Category: Semasa

  • ADUN Sindumin Yusof Yacob umum keluar Warisan

    ADUN Sindumin Yusof Yacob umum keluar Warisan

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob hari ini mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan negeri ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Bekas Ketua Penerangan Warisan itu berkata  tindakan tersebut diambil kerana mahu membantu rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin dan daerah Sipitang dalam menyelesaikan pelbagai masalah, selain berusaha membawa pembangunan ke kawasan itu. 

    “Tindakan saya adalah keputusan peribadi tanpa tekanan atau pengaruh sesiapa. Saya mahu fokus bekerja untuk rakyat yang saya wakili, bukan teriak-teriak di kedai kopi tetapi tiada apa-apa dilakukan untuk rakyat,” katanya pada sidang media, di Kota Kinabalu hari ini. 

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, Yusof, 66, menang kerusi DUN Sindumin dengan majoriti 760 undi dalam saingan tiga penjuru, sebelum mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16, tahun lepas dengan majoriti 424 undi dalam saingan enam penjuru.

    Dengan perkembangan terbaru itu, Warisan yang memenangi 23 kerusi DUN pada pilihan raya tersebut, kini tinggal 20 kerusi setelah ADUN Bugaya Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia November tahun lepas dan ADUN Sebatik Hassan A Gani Pg Amir keluar parti pada Februari lalu.

    Yusof berkata beliau telah berbincang dan menyatakan hasrat keluar parti dengan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Semporna itu tiada halangan untuk beliau berbuat demikian.

    “Kita bincang sebagai sahabat, beliau tiada halangan kerana dalam politik begitulah keadaannya, hari ini berkawan esok berpisah. Saya secara peribadi tidak mahu bermusuh dengan sesiapa, saya mahu jaga rakyat mahu jaga negeri Sabah.

    “Saya dengan Warisan tiada masalah dan bersikap terbuka, saya bersedia dengan apa-apa tindakan selepas ini. Saya juga akan memberi surat makluman kepada Speaker DUN (Datuk Kadzim M Yahya),” katanya.

    Ditanya tentang reaksi Warisan Bahagian Sipitang dan pengundi DUN Sindumin,  katanya terserah kepada mereka mengatakan apa sahaja atau mengikut jejak langkahnya, namun apa yang penting beliau dapat berkhidmat dengan lebih baik untuk rakyat diwakilinya.

    Yusof berkata dengan menjadi ADUN Bebas, beliau boleh menjalinkan kerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk ahli politik serta jabatan dan agensi kerajaan tanpa sebarang kekangan atau halangan. 

    “Saya boleh jumpa dan bincang dengan Ketua Menteri (Datuk Hajiji Noor), Menteri Kerja Raya negeri (Datuk Seri Bung Moktar Radin), dengan GRS atau mana-mana pihak untuk saya selesaikan masalah rakyat saya seperti masalah air dan (Lebuh Raya) Pan Borneo.

    “Rakyat kita sudah terkesan dan susah terutama ketika musim COVID-19 ini, kita kena kerja untuk rakyat, masa saya pun tidak lama lagi empat tahun, jadi saya mahu fokus tolong rakyat dalam masa ini,” katanya. 

    Beliau menafikan akan menyertai mana-mana parti politik buat masa ini, sebaliknya akan fokus sebagai ADUN bebas yang boleh bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan rakyat.

    Ditanya mengenai kehadiran ADUN Klias Datuk Isnin Aliasneh daripada Bersatu pada sidang media itu, Yusof berkata kehadiran Isnin hanyalah sebagai seorang rakan lama yang memberi sokongan terhadap apa dilakukannya.  – BERNAMA

  • Polis siasat pemalsuan dokumen urusan pertukaran wang asing guna nama TMJ

    Polis siasat pemalsuan dokumen urusan pertukaran wang asing guna nama TMJ

    POLIS Johor melakukan siasatan berhubung kes pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing yang dipercayai palsu dan melibatkan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan dijalankan susulan polis menerima laporan berhubung dokumen berkenaan daripada Ketua Unit Media, Pejabat Komunikasi Keluarga Diraja Johor pada 7 malam, semalam.

    Katanya, dokumen itu didapati telah dikeluarkan dan ditandatangani oleh seorang wanita tempatan yang bergelar Datuk Seri.

    “Wanita terbabit mendakwa menerima mandat daripada Tunku Ismail untuk menjalankan urusan pertukaran mata wang 200 bilion sehingga 5 trilion Dolar Amerika Syarikat kepada Ringgit Malaysia.

    “Urusan tersebut didapati turut melibatkan satu akaun bank atas nama seorang lelaki,” katanya menerusi kenyataan, di Johor Bharu hari ini. 

    Ayob Khan berkata hasil siasatan menerusi laman web www.istiadat.gov.my mendapati, wanita terbabit tidak berdaftar sebagai Datuk Seri dan merupakan individu yang disyaki terlibat dalam kes penipuan Draf Bank Of Tokyo pada 2011.

    Menurutnya, selain wanita terbabit, kes dipercayai turut melibatkan seorang lelaki tempatan iaitu seorang peguam yang merupakan proksi berkaitan dokumen berkenaan.

    Ayob Khan menjelaskan siasatan bagi mengesan individu yang terlibat sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang kononnya mempunyai hubungan baik dengan pihak istana Diraja Johor tanpa usul periksa bagi mengelakkan sebarang penipuan.

    — BERNAMA 

  • PGA rampas 9,700 kotak cecair vape cuba diseludup bernilai RM150,000

    PGA rampas 9,700 kotak cecair vape cuba diseludup bernilai RM150,000

    BATALION 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 9,700 kotak cecair vape pelbagai jenama bernilai RM150,000 yang dipercayai cuba diseludup keluar berikutan permintaan tinggi di negara jiran, semalam.

    Pegawai Pemerintah Medan Supt Azhari Nusi berkata rampasan dilakukan di Kampung Simpangan, Tumpat pada pukul 5 petang.

    Beliau berkata terdahulu semasa melakukan rondaan, anggota Strike Force Kompeni ‘C’ PGA9 melihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigkan di hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan.

    “Hasil pemeriksaan menemukan kotak berwarna coklat mengandungi 9,700 kotak cecair vape yang disyaki ingin diseludup ke Thailand melalui jalan yang tidak diwartakan. Setelah menunggu kira-kira 30 minit, seorang lelaki warga tempatan berusia 53 tahun datang dan mengaku barangan itu miliknya.

    “Berikutan itu anggota pasukan telah bertindak merampas 9,700 kotak cecair vape pelbagai jenama, satu pod vape jenama RELX bernilai RM60 dan sebuah kereta Proton Wira bernilai RM7,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azhari berkata lelaki serta seluruh barangan rampasan yang dianggar bernilai RM157,060 itu dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) Kuala Jambu untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.

  • McDonald’s Malaysia tawar tiga juta cawan kopi percuma kepada individu divaksinasi

    McDonald’s Malaysia tawar tiga juta cawan kopi percuma kepada individu divaksinasi

    McDonald’s Malaysia menawarkan tiga juta cawan kopi Americano percuma kepada individu yang telah divaksinasi bagi menyebarkan semangat positif sempena Bulan Kopi Antarabangsa sepanjang Oktober ini.

    McDonalds’s Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan baucar untuk McCafé Americano diagihkan kepada individu yang menerima vaksin di 75 pusat pemberian vaksin terpilih di seluruh negara mulai September lepas dan minuman tersebut boleh ditebus dengan mana-mana pembelian produk McDonald’s sehingga 31 Dis ini.

    Restoran khidmat segera itu juga memperkenalkan 3.5 juta cawan eksklusif #KitaBoleh untuk McCafé di seluruh negara bagi menceriakan rakyat Malaysia dan mengingatkan mereka agar terus bersama-sama berdiri teguh dalam susah dan senang.

    “Cawan McCafé dengan mesej semangat #KitaBoleh, boleh didapati sempena Bulan Kopi Antarabangsa pada bulan ini sebagai peringatan kepada rakyat Malaysia untuk terus menjalani kehidupan dan menikmati kopi kegemaran mereka,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Azmir Jaafar berkata pemberian baucar percuma McCafé Americano adalah sebagai tanda terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menjalankan tanggungjawab dengan mendapatkan vaksinasi COVID-19.

    “Kami komited untuk menyokong masyarakat dengan apa jua cara dan salah satunya adalah melalui minuman kopi yang sememangnya menjadi kegemaran pelanggan kami,” katanya.

    Untuk terus memberikan keseronokan kepada rakyat Malaysia, McDonald’s juga memaklumkan bahawa pelanggan hanya perlu membayar RM1 untuk menukar minuman mereka kepada Iced Latte dengan setiap pembelian McValue Meal.

    Selain itu, McDonald’s Malaysia juga menawarkan promosi McCafé tambahan di aplikasi McDonald’s sepanjang Oktober termasuk RM1.99 untuk Iced Latte bersaiz medium, diskaun 50 peratus untuk minuman terpilih McCafé dan tawaran istimewa untuk kek McCafé terpilih.

    Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran menarik McCafé sepanjang Oktober ini, pelanggan boleh melayari www.mcdonalds.com.my/promotion atau ke aplikasi McDonald’s yang boleh dimuat turun di Google Play atau Apple Store.

    Sepanjang 39 tahun McDonald’s di Malaysia, ia memberi perkhidmatan kepada lebih 13.5 juta pelanggan sebulan di lebih 300 restoran di seluruh negara dan mempunyai lebih 14,000 kakitangan di semua rangkaian restorannya. – BERNAMA

  • Ungkapan ‘No Way’ Zahid boleh undang ‘malapetaka’ politik kepada UMNO- pensyarah

    Ungkapan ‘No Way’ Zahid boleh undang ‘malapetaka’ politik kepada UMNO- pensyarah

    SEORANG pensyarah universiti menyifatkan ungkapan ‘No Way’ oleh Presidan UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berhubung kerjasama dengan Bersatu jika Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan sebagai  ‘keangkuhan politik’.

    Justeru Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Dr.Mohammad Tawfik Yaakub berkata, tindakan Ahmad Zahid itu boleh mengundang ‘malapetaka’ politik bukan sahaja kepada orang Melayu di Melaka tetapi juga kepada parti-parti Melayu yang akan bertanding di negeri tersebut termasuklah Bersatu dan UMNO itu sendiri.

    ‘’Dalam konteks Melaka saya melihat ia adalah salah satu kesilapan strategi permulaan kepada UMNO khususnya UMNO pusat kerana sombong terhadap apa yang hendak dilakukan. Sedangkan orang Melayu khususnya di Melaka dan pengundi-pengundi bukan Melayu juga, mereka semakin menjauhkan diri daripada terlibat dan minat politik mereka semakin kurang.

    ‘’Tetapi apabila ada tindakan- yang sombong yang tidak tepat dari segi strategi  politik, saya lihat ini akan meruntuhkan  sendiri kepemimpinan Ahmad Zahid di peringkat persekutuan dan kekalutan ini akan membuatkan politik semakin kusut dan menyukarkan pertembungan dan kerjasama yang akan berlaku di Melaka,’’ katanya

    Beliau berkata demikian kepada  Astro Awani semalam ketika diminta mengulas pergolakan politik di Melaka.

    Dr.Mohammad Tawfik menegaskan, kalau betul-betul mahu membantu rakyat Melaka dan melihat ada satu kesinambungan kepada kebajikan rakyat negeri itu, pemimpin mesti berjiwa besar dan terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti.

    ‘’ Apa yang dinyatakan oleh Ahmad Zahid sebelum ini terdapat pengkhianat dalam Bersatu sehingga tidak boleh bekerjasama. Dalam Bersatu itu bukannya semua melompat daripada UMNO, ada yang dipecat daripada UMNO.

    ‘’Maka kesimpulan kesimpulan Ahmad Zahid itu saya lihat tidak sampai ke tahap yang tepat dan betul dalam menyimpulkan kerjasama yang sepatutnya boleh diketengahkan, boleh diperbaiki dengan perdamaian politik, jangan kita fikirkan kepentingan politik peribadi. Inilah masanya kita fikirkan bagaimana mahu membantu rakyat khususnya di Melaka,’’ katanya.

    Beliau berkata, strategi politik mestilah disesuaikan dengan keadaan dan perkembangan politik semasa.

    ‘’(Tetapi) kalau kita terus memegang prinsip bahawa tidak akan ada kerjasama politik dengan mana-mana parti politik lain yang boleh memberi keuntungan kepada parti kita, saya lihat ini akan mengundang malapetaka politik kepada UMNO,’’ katanya.

    Menjawab satu soalan,  Dr. Mohammad Tawfik berpendapat, Pas perlu melihat kembali kedudukan mereka dalam Muafakat Nasional (MN) dengan sikap sombong kepimpinan UMNO.

    Hujah beliau, Pas perlu memainkan peranan yang lebih berkesan selaku antara parti utama dan mempunyai keahlian yang ramai dalam menyelesaikan kemelut yang melanda kerjasama tiga parti orang Melayu itu.

    “Jika keadaan ini berlaku, Pas selaku anggota MN dan juga antara parti yang mempunyai keahlian yang ramai perlu memikirkan semula kedudukan mereka dalam MN.

    “Kerana dalam politik ini jika tidak menguntungkan mana-mana parti politik dalam gabungan maka perlu buat keputusan segera dan drastik untuk survival parti politik dalam gabungan,” katanya lagi.

    Beliau menjelaskan keputusan segera dan drastik perlu dibuat bukan hanya untuk menghadapi PRN Melaka tetapi juga PRU-15.

    ‘’UMNO pula perlu juga membuat perubahan segera untuk memastikan dapat meyakinkan pengundi dalam pilihan raya itu nanti,’’ katanya.

  • Pahang tawar 2,000 baucar pelancongan diskaun hotel

    Pahang tawar 2,000 baucar pelancongan diskaun hotel

    KERAJAAN Pahang menawarkan Baucar Pelancongan Pahang berupa diskaun hotel menerusi aplikasi Pahang Go yang dibangunkan kerajaan negeri.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, 2,000 baucar yang dihasilkan dengan kerjasama Tourism Pahang itu bertujuan merancakkan semula aktiviti pelancongan negeri yang suram selama hampir dua tahun akibat Covid-19, dan boleh ditebus di lebih 100 hotel bajet terpilih sekitar Pahang.

    “Baucar ini berdasarkan ketetapan ‘first come, first served‘ dengan pengguna boleh terus menebusnya di hotel bajet pilihan mereka. Ini diharapkan membantu pengusaha hotel terlibat memperoleh keuntungan melalui kehadiran pelanggan.

    “Pengguna boleh melihat senarai hotel yang mengambil bahagian di aplikasi Pahang Go dan menunjukkan baucar itu di kaunter hadapan semasa mendaftar masuk,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Mohd. Sharkar berkata penggunaan baucar itu juga dipertimbangkan untuk diteruskan apabila sempadan negeri dibuka yang dijangka dalam masa terdekat, bagi menarik lebih ramai memilih Pahang sebagai destinasi percutian.

    Beliau berkata Tourism Pahang bersedia menambah baik baucar berkenaan termasuk meningkatkan kuantitinya jika ia mendapat sambutan baik daripada masyarakat.

  • Penggunaan dos penggalak Comirnaty diberi kelulusan bersyarat – Dr Noor Hisham

    Penggunaan dos penggalak Comirnaty diberi kelulusan bersyarat – Dr Noor Hisham

    PIHAK Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak (booster dose) vaksin Covid-19, Pfizer BioNTech, bagi golongan berusia 18 tahun ke atas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

    Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemberian dos vaksin berkenaan akan dibuat sekurang-kurangnya selepas enam bulan dos kedua.

    Kementerian Kesihatan Kesihatan (KKM) katanya, ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat PBKD kali ke-365 telah bersidang pada hari ini.

    “Mesyuarat telah memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak (booster dose) vaksin COVID-19 Pfizer iaitu Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (Comirnaty) keluaran Pfizer Manufacturing Belgium NV (Belgium) dan BioNTech Manufacturing GmbH, Germany, sekurang-kurangnya selepas enam bulan dos kedua untuk golongan berumur 18 tahun dan ke atas.

    “KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin ini dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

    Jelasnya, ini bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif.

    “KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD,” katanya.

    Comirnaty merupakan vaksin Covid-19 pertama yang diluluskan bagi penggunaan dos penggalak di negara ini.

    Ia sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas pada 15 Jun 2021.

  • 3 Januari dengar permohonan lucut hak harta keluarga Abdul Azeez

    3 Januari dengar permohonan lucut hak harta keluarga Abdul Azeez

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini menetapkan 3 Januari tahun depan untuk pendengaran permohonan kerajaan melucut hak hampir RM16 juta termasuk satu lot kedai daripada keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas pihak pemohon, responden dan penuntut bersetuju dengan tarikh berkenaan.

    Muhammad Jamil turut memerintahkan hujahan bertulis masing-masing difailkan dua minggu sebelum tarikh pendengaran.

    Pemohon dalam kes ini ialah kerajaan manakala responden merupakan isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd. Noor serta empat anak mereka, lapor Sinar Harian.

    Ini termasuk syarikat Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd sementara penuntut ialah Maybank Islamic Berhad.

    Prosiding pada hari ini dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Dona Liyanna Sabariah manakala semua responden diwakil peguam Sharin Raaj dan penuntut oleh peguam Choy Kay Chun.

    Berdasarkan senarai kausa dalam laman web e-pemfailan, kerajaan telah memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez dan empat anak mereka dan satu unit pejabat milik Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd.

    Permohonan melucut hak itu difailkan pihak pendakwaan terhadap ahli keluarga Abdul Azeez pada September 2019 lalu manakala mereka memfailkan permohonan untuk penangguhan pada Januari lalu.

  • Harga baharu kit ujian Covid-19 dimuktamad November

    Harga baharu kit ujian Covid-19 dimuktamad November

    SATU paras harga baharu kit ujian kendiri Covid-19 akan dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu akan dilaksanakan selepas beberapa faktor diperhalusi dan dimuktamadkan pada November.

    Kerajaan katanya, telah menerima maklum balas dari industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan mencukupi dan berterusan.

    “KPDNHEP sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis yang menjual kit ujian kendiri seperti pasar raya.

    “Sudah ada premis yang bersetuju untuk menjual lebih rendah daripada paras harga yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ijni .

    Beliau berkata, pembukaan penjualan kit ujian pantas oleh pasar raya dijangka dapat dilaksanakan menjelang akhir Oktober ini.

    “Kementerian juga akan memantau harga dan persaingan kesan daripada peluasan penjualan kit ujian pantas selain daripada farmasi dan klinik,” katanya.

    Alexander berkata, terdapat lebih kurang enam juta kit ujian kendiri telah berada dalam pasaran.

    “Penetapan harga yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 5 September lalu turut mengambil kira kos yang terlibat di dalam membawa masuk dan mengeluarkan kit tersebut,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak yang terlibat di dalam penjualan kit ujian kendiri memberikan kerjasama.

    “Usaha yang digembleng bersama ini juga diharap dapat membantu negara keluar daripada pandemik dan seterusnya menghidupkan semula pelbagai sektor di dalam negara termasuk sektor ekonomi domestik,” katanya.

  • Kurang satu peratus untuk capai 90 peratus vaksinasi populasi dewasa

    Kurang satu peratus untuk capai 90 peratus vaksinasi populasi dewasa

    SEBANYAK 20,856,337 atau 89.1 peratus daripada populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima dos vaksinasi COVID-19 setakat malam tadi.

    Peningkatan sebanyak 0.3 peratus kadar vaksinasi lengkap bagi dewasa berbanding sehari sebelum itu (6 Okt) 88.8 peratus menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus kadar vaksinasi di negara ini kini berbaki 0.9 peratus.

    Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW, 94.6 peratus atau 22,153,302 individu bagi populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Selain itu, sejumlah 196,647 dos suntikan vaksin diberikan semalam (7 Okt) bagi golongan dewasa melibatkan 108,092 individu bagi suntikan dos pertama dan 88,555 individu bagi suntikan lengkap menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 45,204,479.

    Setakat semalam, sebanyak 147,938 atau 4.7 peratus individu bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun sudah melengkapkan suntikan vaksin manakala 68.5 peratus atau 2,156,346 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Pada 22 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka.