Category: Semasa

  • Agong, Permaisuri berangkat tunai haji

    Agong, Permaisuri berangkat tunai haji

    YANG di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan haji.

    Turut mengiringi, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Sultan Abdullah.

    Majlis keberangkatan Seri Paduka berdua yang diadakan di Istana Negara dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

    Pada majlis itu, Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah memimpin bacaan doa, disusuli laungan azan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam Istana Negara Mohd Mustafidurrohman Mohd Syahroni.

    Sebelum berangkat, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersalaman bersama kakitangan Istana Negara.

    Yang di-Pertuan Agong juga sempat berpesan kepada perdana menteri untuk menjaga negara.

    Seri Paduka berdua dijadual berada di Tanah Suci dari 21 Jun hingga 2 Julai.

    Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Affendi Buang, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

    Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf, yang merupakan kemuncak haji, adalah pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.

  • DAP Sarawak cuma tahu komen negatif terhadap kerajaan GPS

    DAP Sarawak cuma tahu komen negatif terhadap kerajaan GPS

    MENTERI Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak mengkritik DAP Sarawak kerana komen yang hanya bersifat negatif terhadap kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun kerajaan Sarawak berjaya dengan cemerlang dalam menguruskan kewangan, sumber atau infrastruktur, DAP Sarawak akan terus memilih berdiam diri atau mencari sesuatu untuk dikritik.

    “Biarlah mereka menyalak. Mungkin pada mereka, yang menyalak paling kuatlah pemimpin paling kuat bekerja dan patut dipersiapkan untuk mengambil alih kepimpinan,” katanya memetik laporan FMT.

    Hari ini, Pemuda DAP Sarawak berkata, RM30 juta dibelanjakan untuk tiang bendera di Petra Jaya sepatutnya boleh digunakan dengan lebih baik untuk projek praktikal serta program pembasmian kemiskinan.

    Malah Ketuanya, Peter Hee, mlmenuduh 76 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS gagal menangani kesan ekonomi teruk dihadapi rakyat dan meringankan beban mereka.

    Beliau mendakwa ADUN GPS sedar tiang bendera itu sebenarnya bukan satu keperluan malah salah urus dana, tetapi memilih berdiam diri.

    Kenyataan Hee itu selepas Borneo Post semalam melaporkan tiang bendera itu disiapkan lebih awal daripada dijadualkan.

    Tiang bendera setinggi 99m itu dikatakan 4m lebih tinggi daripada tiang bendera di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

    Terletak antara kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Fort Margherita, tiang bendera itu merupakan projek tanggungjawab sosial korporat bagi memperingati ulang tahun ke-60 penyertaan Sarawak dalam Malaysia.

    Sebelum ini, Ketua Pemuda DAP, Dr. Kelvin Yii mendesak kerajaan Sarawak telus mengenai projek tiang bendera itu, sekalipun dibiayai swasta.

    Yii, yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dan Petua Pemuda Pakatan Harapan (PH) berkata, ini penting bagi memastikan projek itu tidak digunakan sebagai habuan untuk sebarang kontrak daripada kerajaan negeri, sama ada pada masa ini atau akan datang.

  • Rohana Jalil meninggal dunia

    Rohana Jalil meninggal dunia

    PENYANYI popular era 1980-an, Rohana Jalil, dilaporkan meninggal dunia sebentar tadi.

    Difahamkan, Rohana, 68, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11.30 malam di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di ibu negara.

    Pada April lalu, Rohana yang juga pelantun lagu Rayuanku dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke ICU akibat kebocoran pada usus.

    Sementara pada 23 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkesempatan menziarahi penyanyi veteran itu.

    Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil memulakan karier sebagai penyanyi sejak usia 17 tahun pada 1979.

    Berbekalkan pengalaman menyanyi ekspo dan fun fair, penyanyi kelahiran Kota Tinggi, Johor itu mencuba nasib dalam pertandingan Bintang RTM 1976, tetapi tuah tidak menyebelahinya.

    Dengan bakat dan kesungguhannya, Rohana kemudian dinobatkan sebagai juara Bintang RTM 1980, sebelum dilamar syarikat rakaman, AB Records.

  • Bomba kesan sisa kilang dibuang dalam parit kawasan industri

    Bomba kesan sisa kilang dibuang dalam parit kawasan industri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesan sisa bahan buangan berbahaya dalam sebuah parit berpunca daripada sisa industri di Kawasan Perindustrian Maju Jaya, Kempas, Johor Bahru pada jam 1 petang tadi.

    Pencemaran tersebut menimbulkan bau busuk sebelum orang awam menghubungi pihak bomba untuk bantuan kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Penolong Penguasa Bomba Mohd . Ridzuan Malek Rivan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung pencemaran bau di kawasan tersebut pada pukul 1.29 petang.

    Berikutan itu katanya, seramai 14 anggota dengan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan EMRS) dari BBP Kempas dan BBP Larkin dihantar ke tempat kejadian.

    “Siasatan mendapati berlaku kejadian pencemaran bau di kawasan parit yang bersebelahan sebuah kilang. Pihak bomba juga maklum terdapat air bertakung dan bau busuk.

    “Bomba membuat pemantauan di lokasi kejadian dan menghubungi pihak Jabatan Alam
    Sekitar (JAS) Johor untuk hadir ke lokasi.

    “Pasukan Hazardous Material Unit Team (HAZMAT) JBPM Johor turut hadir yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Saifulbahri Safar dan membuat tugas-tugas ‘detection’ dan
    mengambil sampel bersama-sama pegawai JAS Johor.

    “Hasil awal mendapati parit tersebut tercemar dengan bahan-bahan ‘schedule waste’. Bahan- bahan yang didapati hasil dari kerja-kerja ‘detection’ dan ‘sampling’ ialah ‘acrolein’, ‘benzene’, carbon dioxide, ‘methane’ dan ‘ethylene oxide’,” ujar beliau dalam kenyataan malam ini.

    Lokasi insiden katanya, telah diambil alih pihak JAS kerana susulan kerja-kerja ‘detection’ tiada bahan yang sepadan dengan hasil yang dijumpai di peringkatawal.

    Tambah Mohd Ridzuan, operasi ditamatkan pada pukul 6.59 petang.

  • Lelaki ragut wanita warga asing ditahan polis

    Lelaki ragut wanita warga asing ditahan polis

    SEORANG lelaki tempatan berusia 46 tahun ditahan reman selama lima hari bermula hari ini kerana disyaki terlibat dalam kejadian ragut dan samun seorang wanita warga asing di Jalan Macalister, Georgetown, Pulau Pinang kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian itu, suspek yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 menghampiri dan meragut beg mangsa kira-kira pukul 11.30 malam itu.

    Bagaimanapun, ujar beliau, suspek gagal melarikan diri dan ditangkap oleh orang awam di sekitar tempat kejadian sebelum diserahkan kepada polis.

    Jelasnya, hasil semakan mendapati motosikal yang digunakan oleh suspek adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di daerah Timur Laut.

    “Suspek berasal dari Pulau Pinang, dan mempunyai lapan rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambahnya, hasil ujian saringan awal polis juga mendapati suspek positif dadah jenis ganja (THC), methamphetamine (Meth) dan amphetamine (Amp).

    Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan bagi kesalahan samun ragut yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 14 tahun berserta denda atau sebatan.

    “Siasatan juga dibuat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan bagi kesalahan curi motosikal yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun dan denda,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai yang melihat kejadian itu tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bagi membantu siasatan.

  • Chow menghadap Yang di-Pertua Negeri 27 Jun untuk bubar DUN

    Chow menghadap Yang di-Pertua Negeri 27 Jun untuk bubar DUN

    KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bercadang untuk menghadap Yang Dipertua Negeri Ahmad Fuzi Abdul Razak pada 27 Jun bagi mendapat perkenan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Chow berkata sekiranya semua berjalan lancar, pembubaran DUN dijadualkan pada 28 Jun bagi memberi laluan kepada PRN.

    “Kita bercadang 27 Jun ini untuk memaklumkan kepada Tuan Yang Terutama (Ahmad Fuzi) bahawa DUN akan dibubarkan (28 Jun) untuk memberi laluan kepada PRN,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Senagin.

    Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada PRU14, PH memenangi 37 kerusi termasuk dua daripada calon Bersatu yang ketika itu masih bersamanya manakala masing-masing dua dan satu kerusi dimenangi BN dan PAS.

    Pada PRU15, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, tidak membubarkan DUN masing-masing.

  • Muslimat ingatkan Anwar: Kedah bukan musuh Putrajaya

    Muslimat ingatkan Anwar: Kedah bukan musuh Putrajaya

    MUSLIMAT Pas Kedah menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri gagal kerana terganggu dengan saingan politik daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor.

    Ketua penerangannya, Mardhiyyah Johari berkata demikian susulan Anwar masih tidak memberikan jawapan terhadap permohonan Sanusi untuk bersua muka bagi membincangkan isu pembangunan Kedah.

    “Tindakan Perdana Menteri kesepuluh yang lemah akal budi ini sangat bercanggah dengan salah satu nilai Madani yang diketengahkan Anwar,” katanya dalam kenyataan bertajuk Kedah bukan musuh Putrajaya hari ini.

    Sanusi hujung bulan lalu berkata, beliau masih menunggu persetujuan Anwar setelah menghantar dua pucuk surat bagi membincangkan projek pembangunan industri penerbangan Aerotropolis di Kedah.

    Aerotropolis ialah projek metropolitan subwilayah yang merangkumi kemudahan awam, guna tanah dan ekonomi berpusatkan lapangan terbang di Kuala Muda.

    Projek seluas 9,800 ekar itu melibatkan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Hab Logistik, Aerospace, dan Pembuatan Sidam (Slam).

    Anwar yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat sebelum ini berkata, Pusat tidak boleh mempertimbangkan pembinaan lapangan terbang baru di Kulim.

    Sebaliknya, kata Anwar, kerajaan bercadang menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, berbanding membangunkan hab baharu.

    Menurut Anwar, kerja naik taraf itu akan dilaksanakan pada kos jauh lebih rendah berbanding cadangan membina lapangan terbang baharu di Kulim yang dianggarkan berjumlah RM7 bilion.

    Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Mardhiyyah berkata, Anwar gagal melaksanakan fungsi Perdana Menteri serta Menteri Kewangan secara profesional.

    Katanya, apa yang berlaku juga adalah bukti bahawa Anwar tidak dapat membezakan antara seteru politik kepartian dan tanggungjawab sebagai pentadbir negara.

    “Berkali-kali Muhammad Sanusi menegaskan bahawa perbezaan pendirian politik serta isu saman antara beliau dengan Perdana Menteri adalah hal peribadi dan bersifat hubungan antara parti politik dengan parti politik yang lain,” katanya.

    Kata Mardhiyyah, amatlah rugi sekiranya projek pembangunan ini tidak dilaksanakan hanya disebabkan perbezaan pandangan politik antara pemimpin negeri dan persekutuan.

  • Bermula Julai, TH hanya benar pindah wang simpanan ke akaun bank pencarum sahaja

    Bermula Julai, TH hanya benar pindah wang simpanan ke akaun bank pencarum sahaja

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) meneruskan usaha untuk memperkukuh keselamatan perkhidmatan digitalnya dengan menambah baik kawalan teknologi demi keselesaan dan keselamatan urusan kewangan pendeposit.

    TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa bermula 1 Julai, TH membenarkan pemindahan wang daripada akaun simpanan TH ke akaun bank sendiri sahaja.

    “Pendeposit juga hanya boleh mengaktifkan kad ATM dengan akaun TH menerusi mesin ATM dan bukan melalui perkhidmatan perbankan dalam talian bank-bank rakan strategik TH,” menurut kenyataan itu.

    Langkah itu merupakan satu daripada usaha TH dalam memastikan para pendeposit tidak terjerat dalam perangkap pihak tidak bertanggungjawab atau scammer kerana TH memandang serius terhadap penipuan yang berlaku melibatkan pendeposit melalui perbankan Internet bank-bank rakan strategik TH.

    “TH sentiasa cakna dan prihatin akan keselamatan urusan para pendeposit. Justeru, TH akan terus berusaha untuk memperkasakan lagi perkhidmatan digital TH demi keselesaan para pendeposit,” kata Pengarah Eksekutif Operasi TH Mohamad Ameen Abdul Wahab dalam kenyataan berkenaan.

    TH juga sentiasa melakukan kemas kini dan memperketat kawalan keselamatan teknologi sedia ada secara berterusan bagi memastikan semua transaksi yang dilakukan oleh pendeposit adalah selamat.

    Orang ramai boleh merujuk laman web rasmi TH, www.tabunghaji.gov.my atau terus menghubungi Pusat Panggilan TH (THCC) menerusi talian 03-6207 1919 bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang perkhidmatan lain yang ditawarkan.

  • Jangan perkecil rakan komponen, PH Terengganu tegur UMNO

    Jangan perkecil rakan komponen, PH Terengganu tegur UMNO

    PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Raja Bahrin Shah mengingatkan UMNO negeri itu supaya tidak memperkecilkan kekuatan ‘rakan kerajaan perpaduan’ dalam usaha bersamanya memenangi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Raja Bahrin mengakui UMNO sememangnya telah lama bertapak di negeri itu berbanding gabungan PH dan Parti Amanah Negara (Amanah), namun sokongan ‘parti baharu’ itu mampu menjadi penentu kemenangan di lapan kerusi mencatat majoriti tipis pada pilihan raya lalu.

    “Contoh antara lapan kerusi itu ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil dimenangi Pas dengan majoriti empat undi manakala kemenangan Barisan Nasional (BN) di Bukit Besi hanya dibezakan dengan 46 undi.

    “Undi diperoleh PH lebih tinggi dari majoriti kemenangan UMNO atau Pas, perlu diingat peranan parti gabungan lain tidak harus diperkecilkan.

    “Parti ‘baru’ boleh membantu menjadi penentu ‘King Maker’ dalam situasi Terengganu yang lapan DUN majoriti menang begitu tipis jika penglibatan kami dihargai dan tidak direndahkan,” katanya memetik laporan FMT.

    Beliau mengulas kenyataan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mengingatkan PKR supaya ‘ukur baju di badan sendiri’ susulan permintaan parti itu bertanding di banyak kerusi pada PRN.

    Ahmad berkata, parti itu seharusnya melihat kekuatan jenteranya dan menerima hakikat pertarungan sebenar di Terengganu hanya membabitkan Pas dan UMNO.

  • Pertemuan dengan Anwar, Khairy dipanggil bagi pandangan- Rafizi

    Pertemuan dengan Anwar, Khairy dipanggil bagi pandangan- Rafizi

    PERTEMUAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pelbagai pihak sama ada kerajaan atau pembangkang, termasuk bersama Khairy Jamaluddin baru-baru ini adalah bagi mendapatkan pandangan berhubung hala tuju negara.

    Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, media dan netizen seharusnya lebih fokus kepada isu teras berbanding cerita ‘clickbait’ dengan siapa Khairy akan jumpa selepas ini.

    “Dari satu sudut, kalau kita jadi kerajaan sama ada Perdana Menteri atau saya sebagai Menteri Ekonomi, kalau saya hanya jumpa orang PKR sahaja, nanti media dan netizen kata tak nak ambil idea daripada orang-orang lain.

    “Jadi Perdana Menteri pun panggilla semua datang jumpa dia untuk bagi pandangan. Dia panggil timbul isu pula. ‘Ooo, ini jumpa KJ. KJ jumpa (Tan Sri) Muhyiddin.

    “Jadi timbul cerita Muhyiddin pula… dan timbul pula soalan anda akan duduk (dengan Khairy)? Saya fikir mari fokus pada isu struktur teras,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) di Putrajaya hari ini.

    Terdahulu, Rafizi ditanya adakah beliau akan melibatkan Khairy dalam sesi libat urus selepas bekas Menteri Kesihatan itu mengadakan pertemuan dengan Anwar dan kemudiannya bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Sementara itu laporan The Star yang memetik sumber melaporkan Khairy akan kekal tanpa menyertai mana-mana parti buat masa ini tetapi didakwa akan membantu kempen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    Menyifatkan Khairy sebagai kawannya, Rafizi berkata, beliau mungkin akan meluangkan masa bersama bekas Ahli Parlimen Rembau itu untuk minum kopi.

    “Saya rasa anda semua media dan netizen menghabiskan banyak masa untuk mencipta cerita.

    “Saya rasa anda akan membuat lebih banyak kemajuan dalam menguruskan hari-hari daripada menghabiskan banyak ‘clickbait’ dan ruang digital untuk cerita, lepas ini KJ jumpa siapa?,” ujar Rafizi lagi.

    Jumaat lalu, Khairy dengan statusnya yang masih tidak mempunyai parti politik, hadir dalam perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Semalam, Khairy menyiarkan gambarnya bersama Muhyiddin di ruangan laman sosial, InstaStory, namun tidak disertakan sebarang keterangan.