Category: Semasa

  • Lelaki mengaku tidak bersalah guna nama Ahmad Maslan tipu RM50,000

    Lelaki mengaku tidak bersalah guna nama Ahmad Maslan tipu RM50,000

    SEORANG peniaga berusia 54 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan menipu dan memperdaya seorang individu sebanyak RM50,000 dengan mengaku sebagai pembantu peribadi kepada bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan. 

    Tertuduh, Kamarul Ramizu Idrus membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus. 

    Mengikut kertas pertuduhan, Kamarul Ramizu didakwa cuba menipu dan memperdaya seorang lelaki berusia 28 tahun pada 6 Julai 2015 untuk menyerahkan wang RM50,000 dengan mempercayai dia merupakan pembantu peribadi kepada Ahmad dan akan mengambil tindakan ke atas lelaki berkenaan yang dikatakan terlibat dalam skim pelaburan emas. 

    Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 28(1)(a) ASPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 bagi pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dengan dua penjamin. 

    Selain itu, tertuduh turut diarah menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan. 

    Mahkamah kemudian menetapkan 10 Disember ini bagi tarikh pengurusan kes. 

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri dan Pegawai Pendakwa Siti Mastura Zakaria manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Kes harian Covid-19 menurun lagi, catat 6,709 kes hari ini

    Kes harian Covid-19 menurun lagi, catat 6,709 kes hari ini

    MALAYSIA menunjukkan penurunan kes Covid-19 apabila merekodkan 6,709 kes baharu pada hari ini, berbanding 7,373 kes semalam.

    Menurut maklumat itu dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebook beliau, hari ini, perkembangan tersebut menjadikan kes keseluruhan Covid-19 meningkat sebanyak 2,346,303 kes sehingga kini.

  • Kes harian Covid-19 Singapura lepasi 3,700

    Kes harian Covid-19 Singapura lepasi 3,700

    KEMENTERIAN Kesihatan Singapura (MoH) memaklumkan, 3,703 kes baharu Covid-19 dilaporkan sehingga kelmarin, tertinggi sejak pandemik melanda negara itu.

    MoH turut melaporkan 11 kematian akibat Covid-19 di Singapura.

    Kenaikan kes baru-baru ini selepas kelonggaran beberapa sekatan pergerakan diumumkan kerajaannya menyebabkan Singapura mengambil keputusan untuk menghentikan usaha pembukaan semula sektor-sektor ekonomi dan sosial di negara itu.

    Lebih daripada 80 peratus populasi negara itu telah menerima vaksin Covid-19.

    Singapura turut memperketatkan langkah kesihatan dengan menghadkan pertemuan sosial kepada dua orang dan mewajibkan bekerja dari rumah.

  • Khairy terima penghargaan Ketua Pengarah WHO

    Khairy terima penghargaan Ketua Pengarah WHO

    KETUA Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus hari ini mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kerana menggalakkan rakyat Malaysia untuk bercakap mengenai kesihatan mental.

    Memetik ciapan Khairy sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia semalam, Dr Tedros menyeru setiap individu untuk berusaha ke arah penjagaan kesihatan mental berkualiti buat semua.

    “Terima kasih atas kepemimpinan anda dan usaha menggalakkan rakyat #Malaysia untuk bercakap mengenai #mentalhealth, Menteri Kesihatan@Khairykj. Bersama-sama, demi penjagaan kesihatan mental yang berkualiti untuk semua! #WorldMentalHealthDay,” ciap beliau.

    Khairy menerusi ciapan di akaun Twitter miliknya menyebut mengenai Let’s TALK Minda Sihat, satu bentuk kempen oleh Kementerian Kesihatan yang dilancarkan pada 2019 untuk menggalakkan rakyat Malaysia agar mendapatkan sokongan dan bantuan dalam penjagaan kesihatan mental, selain menggalakkan anggota keluarga dan rakan-rakan memberikan sokongan kepada mereka yang memerlukan. – BERNAMA

  • Balik kampung: Jangan sesekali guna kad vaksinasi palsu!

    Balik kampung: Jangan sesekali guna kad vaksinasi palsu!

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KALANGAN perantau yang berhasrat pulang ke kampung bermula hari ini, diingatkan supaya tidak sama sekali menggunakan kad vaksinasi palsu atau bakal berdepan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya kini sudah mula mengaktifkan empat pasukan pemantau bagi memastikan mereka yang merentas negeri ke bandar raya ini, hanya terdiri daripada individu yang telah lengkap divaksin.

    Jika tertangkap katanya, individu yang menggunakan kad vaksinasi palsu itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

    “Empat pasukan pemantau itu akan melakukan pemeriksaan di pasar raya, kedai makan dan hentian lebuh raya bagi memastikan golongan perantau yang melakukan perjalanan merentas negeri, sudah lengkap divaksin.

    “Selain empat pasukan pemantau di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, sembilan balai polis lain yang terletak di bawah IPD ini juga akan menubuhkan pasukan pemantau masing-masing bagi tujuan sama,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau poses penutupan sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Alor Setar Utara, malam tadi.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan, kerajaan bersetuju membenarkan rakyat untuk merentas negeri setelah peratusan rakyat Malaysia yang lengkap divaksinasi telah mencapai 90 peratus.

    Keadaan itu bermakna, sempadan negeri di seluruh negara dibuka serentak mulai hari ini namun hanya mereka yang lengkap divaksin saja dibenarkan merentas negeri dan pemeriksaan secara rawak akan dilakukan bagi mengesan individu yang didapati melanggar arahan tersebut.

    Ahmad Shukri berkata, susulan pengumuman kerajaan itu, tiga SJR iaitu di Plaza tol Alor Setar Selatan, Plaza Tol Alor Setar Utara dan Plaza Tol Hutan Kampung ditutup sepenuhnya pukul 12 tengah malam tadi.

    “SJR ditutup tetapi kita akan terus melakukan pemantauan termasuk pemeriksaan mengejut terhadap orang ramai yang masuk daerah Kota Setar.

    “Dijangkakan jumlah pengguna jalan raya mungkin akan bertambah berikutan kepulangan orang ramai ke kampung dan keadaannya mungkin bertambah sesak pada hujung minggu,” katanya.

  • Aspan Alias mengaku tidak bersalah hina Agong

    Aspan Alias mengaku tidak bersalah hina Agong

    PENULIS blog Aspan Alias mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik membabitkan Yang di-Pertuan Agong di laman Facebook miliknya, Mei lalu.

    Aspan, 69, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik berkenaan menggunakan laman profil Facebook ‘Aspan Alias’ dengan niat untuk menyakiti hati orang lain pada 2.47 petang, 16 Mei 2021.

    Hantaran itu kemudian dibaca di Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Wangsa Maju, dekat sini pada 9 pagi, 18 Mei 2021.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara yang boleh sampai setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili OKS memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya sudah tidak bekerja sejak 30 tahun lalu.

    Hakim M. M. Edwin Paramjothy membenarkan Aspan diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Dis ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • 1.2 juta penduduk dewasa belum divaksin di Malaysia

    1.2 juta penduduk dewasa belum divaksin di Malaysia

    MASIH terdapat 5.2 peratus individu yang tidak divaksin walaupun negara mencapai sasaran 90 peratus indvidu dewasa yang lengkap menerima vaksinasi Covid-19, semalam.

    Menurut web COVIDNOW, setakat jam 11.59 malam tadi, peratusan berkenaan membabitkan 1.224 juta penduduk dewasa di seluruh negara.

    Mengikut data yang dikongsikan, Sabah adalah negeri yang terendah daripada segi jumlah populasi dewasanya yang lengkap divaksinasi iaitu 65.1 peratus, diikuti Kelantan (73.6 peratus), Kedah (79.5 peratus) dan Perak (79.8 peratus).

    Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata, pihaknya optimis semua negeri akan mencapai kadar vaksinasi lengkap 80 peratus pada bulan ini, kecuali Sabah.

    Susulan itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menggiatkan program jangkau luar (outreach) di negeri itu, termasuk kempen gerak vaksinasi kepada masyarakat.

    Sementara itu, seramai 21,073,482 individu dewasa di negara ini lengkap divaksinasi sehingga semalam, sekali gus mencapai sasaran 90 peratus yang ditetapkan.

    Peratusan itu dicapai selepas 70,408 individu melengkapkan vaksinasi COVID-19 mereka semalam, yang membolehkan perjalanan rentas negeri dan keluar negara dibenarkan bermula hari ini, seperti diumumkan Perdana Menteri.

    Selain itu, seramai 22,185,520 individu dewasa sudah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Bagi vaksinasi untuk golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, seramai 7.4 peratus sudah lengkap divaksinasi membabitkan 231,714 individu, sehingga semalam, manakala 72.2 peratus atau kira-kira 1.27 juta sudah menerima satu dos vaksin.

    PICK Remaja dimulakan secara rasmi pada 20 September lalu, yang mensasarkan 3.2 juta remaja di negara ini untuk menerima suntikan vaksin.

  • Bangkai gajah pygmy betina ditemukan di Sukau

    Bangkai gajah pygmy betina ditemukan di Sukau

    BANGKAI seekor gajah pygmy betina ditemukan di Kawasan Santuari Hidupan Liar di Sukau dekat Kinabatangan, Sabah, pada Sabtu lepas.

    Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah Augustine Tuuga berkata kematian gajah yang dianggarkan berusia sekitar 25 tahun itu dipercayai disebabkan faktor keradangan pada organ dalaman mamalia berkenaan.

    “Terlalu awal untuk mengesyaki terdapat sebarang perbuatan khianat.

    “Sampel telah dihantar ke Pusat Racun Negara untuk analisis,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supritendan Dzulbaharin Ismail berkata polis menerima laporan mengenai penemuan bangkai gajah itu oleh sekumpulan penyelidik hidupan liar pada kira-kira pukul 8.30 pagi di Kawasan Santuari Hidupan Liar Kinabatangan, berhampiran Sungai Resang, Sukau.

    Beliau berkata tiada organ atau bahagian badan haiwan itu ditemukan dan mamalia berkenaan dipercayai telah mati dalam tempoh tiga atau empat hari lepas. – Bernama

  • Pemantauan lebih ketat pelajar, tenaga IPT belum divaksin kembali ke kampus

    Pemantauan lebih ketat pelajar, tenaga IPT belum divaksin kembali ke kampus

    SERAMAI 2,286 atau 0.2 peratus pelajar universiti yang menghadapi masalah kesihatan setakat 8 Oktober lalu, tidak menerima vaksin.

    Justeru kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad, prosedur pemantauan pergerakan lebih ketat akan dijalankan terhadap penuntut dan tenaga pengajar universiti yang belum divaksin, jika mereka terpaksa hadir secara fizikal ke kampus.

    “Jadi, institut pengajian tinggi (IPT) disaran untuk membantu pelajar-pelajar ini supaya pengajian mereka tidak terjejas.

    “Dalam situasi kritikal, sekiranya kehadiran secara fizikal tenaga pengajar atau pelajar yang tidak divaksin tidak dapat dielakkan, maka pemantauan pergerakan yang lebih ketat, Insya-Allah kita akan laksanakan.

    “(Langkah ini) seperti pelaksanaan ujian saringan RTK-PCR tiga hari sebelum masuk kampus adalah wajib.

    “IPT juga digalakkan melaksanakan ujian saringan kendiri secara berkala untuk memastikan mereka dalam keadaan yang baik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang mahu tahu keadaan mahasiswa yang tidak divaksin, kerana difahamkan terdapat kes semakan mahkamah mengenai mereka yang belum divaksin mahu kembali ke kampus.

    Mengulas lanjut, Noraini memaklumkan setakat 1 Oktober lalu, sebanyak 83 peratus atau 951,739 daripada 1.15 juta penuntut IPT telah lengkap dua dos vaksin COVID-19.

    Sementara kadar vaksinasi dalam kalangan kakitangan universiti yang lengkap menerima dos vaksin pula mencecah 90 peratus atau 117,721 orang.

    “Pihak kementerian mengutamakan pelajar dan warga IPT yang mendapat dos vaksin lengkap untuk kembali ke kampus secara berperingkat.

    “Semntara pelajar-pelajar lain boleh mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian.

    “Tetapi ini adalah bagi menyaksikan persekitaran IPT yang lebih selamat untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang bersemuka dengan norm baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” ujarnya.

  • 2 bilik wad Hospital Pantai terbakar malam tadi

    2 bilik wad Hospital Pantai terbakar malam tadi

    DUA bilik wad di Hospital Pantai, Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang mengalami kebakaran malam tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang menerima laporan pada jam 11.38 malam dan tiba di lokasi empat minit kemudian.

    Beliau berkata proses pemadaman api di dua bilik wad yang kosong tersebut mengambil masa selama 30 minit.

    Norazam berkata kebakaran melibatkan bilik Wad No A60 dan A61 keluasan 1.86 X 1.86 meter persegi.

    “Jumlah mangsa yang dipindahkan seramai 30 orang melibatkan 12 orang perempuan, 16 lelaki, dua perempuan iaitu penjaga pesakit kanak-kanak serta 20 kakitangan hospital yang terlibat namun tidak ada mangsa yang tercedera.

    “Proses pemadaman api di dua wad tersebut menjadi mudah kerana wad kosong jadi kami hanya mengambil masa selama 30 minit untuk memadam api di wad berkenaan,” katanya ketika di hubungi Bernama. – BERNAMA