Category: Semasa

  • 30,000 keluarga B40 terus dibantu sekitar JB

    30,000 keluarga B40 terus dibantu sekitar JB

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Johor Bahru sudah mengenal pasti masyarakat B40 dalam 11 mukim di Johor Bahru untuk dibantu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Salleh berkata, pihaknya akan memberikan bakul makanan kepada kira-kira 30,000 dalam kawasan mukim berkenaan.

    “Ramai pihak yang tampil menyumbang dan sumbangan itu akan kita gunakan untuk diagih kepada golongan memerlukan iaitu keluarga B40, termasuklah masyarakat Orang Asli, warga emas dan lain-lain,” katanya.

    Beliau yang juga Pegawai Daerah Johor Bahru berkata demikian ketika melancarkan Program Sumbangan Bakul Makanan di Pasaraya KipMall Tampoi, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, sepanjang kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini, banyak golongan memerlukan telah disantuni pihaknya dan usaha tersebut akan diteruskan.

    Sumbangan yang diberi ujarnya, kebanyakan melibatkan bekalan barangan asas antaranya beras, mee dan gula dengan harapan tidak ada satu golongan akan tertinggal daripada menerima bantuan.

    Mengulas berhubung kebenaran rentas negeri yang bermula hari ini, Abdul Rahman berharap masyarakat akan tetap mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

    “Bermula hari ini, lebih banyak sektor ekonomi dan pergerakan masyarakat telah dibenarkan, sehubungan itu masyarakat perlu ambil berat akan kesihatan dan keselamatan mereka.

    “Difahamkan banyak hotel dan tempat percutian sudah mula menerima tempahan, namun dalam masa sama jangan lupa prinsip kita jaga kita,” katanya.

  • Hanya pengunjung lengkap divaksin boleh makan di R&R

    Hanya pengunjung lengkap divaksin boleh makan di R&R

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menetapkan hanya pengunjung yang sudah melengkapkan vaksinasi dibenarkan makan di kedai atau ‘dine in’ di kawasan rehat dan rawat (R&R) di bawah kendalian syarikat tersebut.

    Sehubungan itu semua pengusaha premis makanan perlu memastikan hanya pengunjung lengkap vaksinasi makan di kedai atau ‘dine in’ susulan kebenaran merentas negeri bermula hari ini.

    Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid, berkata seorang kakitangan juga akan ditempatkan di laluan masuk tempat makan berkenaan bagi mengingatkan orang awam untuk merekod suhu badan dan mendaftar masuk aplikasi MySejahtera.

    “Kakitangan PLUS tidak boleh pantau prosedur operasi standard (SOP) semua pelanggan di R&R sebab itu pengusaha kedai perlu memainkan peranan dalam hal ini.

    “Selain itu, pengunjung perlu mengamalkan kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya seperti dilaporkan BH Online hari ini.

    PLUS menjangka 1.3 juta kenderaan sehari di semua lebuh raya kendalian syarikat itu pada hujung minggu ini dan cuti umum Maulidur Rasul Selasa depan, berbanding 1.1 juta kenderaan sehari ketika ini.

    “Sebelum penularan pandemik COVID-19 di negara ini, sebanyak 1.7 juta kenderaan direkodkan pada hari biasa manakala cuti umum atau hari minggu sebanyak 2.2 juta kenderaan,” katanya.

    Sementara itu, beberapa pengunjung yang ditemui berkata, mereka mendapat kebenaran untuk merentas negeri sebelum pengumuman kerajaan semalam.

    Kebenaran diberikan polis atas urusan keluarga dan kerja.

    Ada juga yang ditemui mengaku menjamu selera di R&R berkenaan berikutan menetap dan kerja di kawasan berdekatan.

  • Jumlah trafik di lebuh raya meningkat kepada 4 juta sehari

    Jumlah trafik di lebuh raya meningkat kepada 4 juta sehari

    LEMBAGA Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan jumlah trafik akan meningkat kepada empat juta kenderaan berbanding 3.5 juta kenderaan dalam tempoh sehari pada masa ini.

    Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Shuhaimi Hassan berkata ia susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membenarkan rakyat Malaysia yang telah lengkap divaksin untuk melakukan pergerakkan rentas negeri bermula hari ini.

    Beliau berkata LLM telah bersiap sedia sepenuhnya dan telah mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya terutamanya pada cuti hujung minggu dan cuti umum Maulidur Rasul pada 19 Okt ini.

    Menurutnya bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik, LLM telah mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya untuk menjadualkan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan mengelakkan pelaksanaan penutupan lorong.

    “…terutamanya di Lebuh Raya Utara Selatan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuh Raya Pantai Timur dan Lebuhraya Kajang Seremban semasa cuti hujung minggu atau cuti umum bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd Shuhaimi berkata syarikat pengendali lebuh raya juga diarah melakukan persiapan bagi memastikan semua kawasan rehat dan rawat serta hentian sebelah sepanjang lebuh raya berada dalam keadaan baik dan teratur serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

    Sementara itu pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, memastikan baki kad ‘Touch and Go’ mencukupi, merancang dan mendapatkan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan serta mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

    Pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia di talian 1-800-88-7752 atau menerusi media sosial seperti Facebook, Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter, @LLMinfotrafik untuk mendapatkan maklumat keadaan trafik serta bantuan. – Bernama

  • Eksport perabot kayu cecah RM13 bilion hujung 2021

    Eksport perabot kayu cecah RM13 bilion hujung 2021

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi yakin dapat mencapai RM13 bilion nilai eksport perabot kayu Malaysia pada penghujung tahun ini.

    Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin yakin angka itu mampu dicapai memandangkan industri perabot berkenaan terbukti mencatat jualan yang membanggakan meskipun berdepan pandemik Covid-19.

    Sebagai contoh katanya, bagi Januari hingga Ogos lalu, nilai eksport perabot adalah sebanyak RM6.6 bilion, meningkat 5.2 peratus berbanding RM6.2 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

    “Potensi perabot di Malaysia begitu tinggi kerana Amerika Syarikat adalah negara utama pengeksport iaitu hampir 50 peratus.

    “Walaupun kita ada saingan dengan Vietnam, Amerika Syarikat masih lihat Malaysia sebagai pembekal perabot yang berkualiti tinggi, kemas dan mengikut cita rasa mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat Satelit Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) di Wisma Persatuan Perabot Muar (MFA), Muar, hari ini.

    Zuraida berkata, Johor khususnya daerah Muar adalah penyumbang utama dalam industri kayu dan perabot negara.

    “Industri perkayuan Muar khususnya sektor perabot mempunyai potensi untuk dibangunkan dengan lebih pesat dengan adanya kemudahan dan infrastruktur yang mampan.

    “Kementerian akan terus memperkasakan peranan sektor perkayuan dan perabot sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara,” katanya.

    Beliau berkata, walaupun negara berdepan dengan pandemik Covid-19, industri perabot masih stabil dan memperoleh RM12.8 bilion nilai eksport pada tahun 2020.

    “Kita juga menghadapi masalah logistik ketika perintah kawalan pergerakan (PKP). Justeru, berbekalkan tiga bulan sebelum 2021 tamat adalah masa untuk kita mengambil kesempatan mengeksport barang sedia ada secepat mungkin.

    “Kementerian juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi menyelesaikan isu pekerja asing yang menjadi kegusaran syarikat perabot.

    “Pengambilan pekerja asing bukan di bawah bidang kuasa kementerian. Namun, kita akan minta laluan atau pengecualian untuk kementerian menguruskan pengambilan pekerja dalam bidang komoditi khususnya industri kayu kayan atau perabot,” katanya.

  • Tempahan vaksinasi di fasiliti swasta Lembah Klang bermula hari ini

    Tempahan vaksinasi di fasiliti swasta Lembah Klang bermula hari ini

    INDIVIDU sekitar Lembah Klang yang belum menerima janji temu vaksinasi COVID-19 atau yang belum sempat menerima dos kedua mereka kini boleh mendapatkan imunisasi berkenaan secara percuma di fasiliti kesihatan swasta selain klinik kesihatan kerajaan. 

    Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan ia menerusi program tempahan vaksin untuk golongan dewasa bermula hari ini menerusi 98 fasiliti kesihatan swasta terpilih yang berdaftar di bawah ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth).

    “Individu di Lembah Klang yang ingin mendapatkan janji temu vaksinasi mereka perlu menghubungi dan membuat tempahan dengan mana-mana 98 fasiliti swasta ini,” menurut kenyataan itu. 

    Kumpulan sasaran adalah golongan dewasa yang baru mendaftar dan belum mendapat janji temu, golongan dewasa yang terlepas janji temu dos pertama atau dos kedua dan golongan lain yang akan diumumkan KKM kelak.

    Menurut kenyataan itu program dibangunkan ProtechHealth berkenaan adalah bagi menambah baik akses pemberian vaksin di Selangor dan Kuala Lumpur  serta mengelakkan pembaziran dan ketidakpastian permintaan vaksin.

    ProtectHealth ditubuhkan pada 19 Disember 2016 sebagai anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia (PHM) yang ditubuhkan di bawah KKM.

    ProtectHealth juga merupakan pengurus skim untuk PeKa B40, Electronic Service Provider (ESP) untuk Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing dan pelaksana penglibatan pengamal perubatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. 

  • Pejabat Konsulat China tingkat hubungan dua hala, perdagangan

    Pejabat Konsulat China tingkat hubungan dua hala, perdagangan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEKTOR perdagangan dan hubungan dua hala khususnya antara Johor dan China diyakini dapat diperkukuh dengan lebih baik melalui cadangan penubuhan Pejabat Konsulat Jeneral China di negeri ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Dr. Chong Fat Full berkata, pejabat tersebut akan turut berperanan mempromosikan sektor lain seperti pelancongan dan kebudayaan.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sudah bersetuju dengan cadangan penubuhan pejabat tersebut pada 2 April 2018.

    “Sultan Ibrahim berkenan mencadangkan kepada bekas Duta Besar China, Bai Tian untuk menubuhkan Pejabat Konsulat Jeneral China di Johor bagi terus memperkukuh hubungan dua hala antara Johor dan Republik China.

    “Pada 2 Februari lalu, Duta Besar China ke Malaysia, TYT Ouyang Yujing juga telah memberikan maklum balas bahawa kerajaan China sedang mengkaji dan meneliti mengenai saranan Sultan Ibrahim,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, cadangan penubuhan pejabat tersebut amat tepat pada masanya dan pihaknya komited untuk mendokong hasrat dan saranan Sultan Johor mengenai perkara berkenaan.

    “Justeru itu, saya telah mengambil inisiatif mengadakan perjumpaan bersama Menteri dan Timbalan Menteri Luar Negeri pada 4 Oktober lalu bagi membuat susulan mengenai cadangan ini,” katanya.

  • Pengesahan vaksinasi sudah cukup untuk masuk Sarawak

    Pengesahan vaksinasi sudah cukup untuk masuk Sarawak

    KEMENTERIAN Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak kecewa dengan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang masih melaksanakan sistem pengawasan EnterSarawak.

    Beliau yang menyambut baik pengumuman kerajaan persekutuan yang membenarkan rentas negeri bermula hari ini berkata, syarat yang dikenakan
    kerajaan Sarawak iaitu borang ‘enterSarawak’, dilihat tiada asasnya.

    Sebagai Menteri yang bertanggungjawab memulihkan kembali sektor pelancongan di Sarawak, penarikan beberapa syarat sebelum ini termasuk pembatalan permit polis untuk memasuki negeri itu amat dialu-alukan, namun katanya, JPBNS perlu bersikap lebih memudahkan orang ramai.

    “Permit polis sudah tidak perlu, mengapa kita masih perlu mempunyai permit untuk memasuki Sarawak?

    “Syarat bukti lengkap divaksinasi atau surat doktor menyatakan mengapa anda tidak divaksinasi adalah memadai,” ujarnya pada sidang media selepas melancarkan Dayak Daily Drift 2021 di Kuching, hari ini.

    Tambah Abdul Karim, pihaknya yakin pengesahan vaksinasi lengkap sudah memadai untuk membolehkan seseorang itu memasuki Sarawak kerana sistem yang sama diguna pakai negara lain, termasuk di Eropah.

  • TRP bantu kurangkan beban pinjaman individu, PKS

    TRP bantu kurangkan beban pinjaman individu, PKS

    AGENSI Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedang membangunkan program bantuan sementara atau Temporary Relief Programme (TRP) bagi mengurangkan beban pinjaman individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

    Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, TRP diwujudkan bagi mereka yang masih menghadapi kesukaran memulihkan aliran tunai mereka.

    Jelas beliau, ini kerana kumpulan tersebut menghadapi masalah itu selepas berakhirnya bantuan bayaran balik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) akibat pendapatan yang terus terjejas.

    “Maklumat terperinci berkenaan program ini akan diumumkan dalam masa terdekat. Peminjam akan turut menerima nasihat kewangan daripada AKPK termasuklah dari segi perancangan kewangan yang bersesuaian.

    “Ia bersesuaian dengan keperluan peminjam, pendidikan berkenaan pengurusan kewangan dan juga rujukan kepada agensi-agensi lain melalui Rangkaian Sinergi Sosial (Social Synergy Network) bagi membantu meningkatkan keupayaan dan pendapatan peminjam.

    “Oleh itu, adalah tidak benar tanggapan bahawa terdapat golongan yang akan tercicir terutamanya daripada kalangan mereka yang terjejas, sekiranya bantuan moratorium pinjaman berakhir atau tidak dilaksanakan dengan lebih meluas seperti penghapusan caj faedah secara keseluruhan,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) yang meminta kementeriannya menyatakan implikasi faedah terakru kepada peminjam menerusi moratorium.

  • 4,471 kes kanak-kanak dilapor hilang sejak 2017

    4,471 kes kanak-kanak dilapor hilang sejak 2017

    SEBANYAK 4,471 kes kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah dilaporkan hilang berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2017 hingga 1 September tahun ini.

    Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, daripada jumlah tersebut, 4,399 orang kanak-kanak telah dijumpai semula manakala 72 orang lagi masih hilang.

    Bagi kes orang hilang berumur 18 tahun dan ke atas pula, beliau berkata, sebanyak 6,074 kes dilaporkan dalam tempoh sama dengan 4,871 orang telah dijumpai semula manakala 1,203 orang masih hilang.

    “Antara langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah ini ialah dengan mewujudkan Portal Kanak-kanak Hilang. Maklumat berkenaan dipaparkan di portal https://knk2hilang.rmp.gov.my yang boleh diakses oleh orang awam.

    “Portal ini memberi peluang kepada masyarakat untuk bekerjasama mengesan kanak-kanak yang hilang dengan lebih cepat dan berkesan dengan menyalurkan maklumat yang terkini melalui Internet,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

    Ismail menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong yang ingin tahu mengenai statistik bilangan kes kehilangan orang dan kanak-kanak yang dilaporkan di Malaysia dalam tempoh lima tahun sebelum ini termasuk bilangan orang telah ditemui dan masih belum ditemui serta langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah itu.

    Beliau berkata, PDRM juga menjalin kerjasama dengan 40 agensi lain melalui NUR Alert iaitu sistem amaran awal bagi kes kehilangan kanak-kanak untuk membantu agensi penguatkuasa undang-undang dalam menjalankan siasatan dan membawa kepada tangkapan yang pantas.

    “PDRM turut mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam penganjuran program-program kesedaran untuk mengelakkan kes ini daripada berulang. Kempen Kesedaran Kanak-kanak atau Child Awareness Campaign (CAC) bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa kanak-kanak mudah terdedah menjadi mangsa dan adalah penting untuk memastikan keselamatan mereka terjamin,” katanya.

  • Penumpang tersepit, van remuk teruk selepas rempuh kerbau

    Penumpang tersepit, van remuk teruk selepas rempuh kerbau

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MEREKA dalam perjalanan pulang selepas selesai mencari rezeki di pasar malam namun tanpa disangka van dinaiki merempuh seekor kerbau di Labu Besar-Malau, Kulim, malam tadi.

    Rempuhan itu menyebabkan van dipandu lelaki berusia 47 tahun remuk teruk di bahagian hadapan manakala anak perempuannya berusia 24 tahun pula tersepit di tempat duduk penumpang.

    Bagaimanapun, mujur dua beranak terbabit tidak mengalami kecederaan serius dengan si anak yang tersepit hanya cedera ringan.

    Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima panggilan daripada oran awam yang memaklumkan berhubung kemalangan terbabit dan anggota polis terus bergegas ke lokasi.
     

    “Maklumat yang diterima mengatakan sebuah van terbabit dalam kemalangan dengan seekor kerbau dan sebaik tiba kita mendapati kenderaan itu berada di tepi jalan.
     

    “Bagaimanapun, pemandu dan penumpang van sudah tiada di lokasi kemalangan terbabit dan pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan mengalami kerosakan teruk di hadapan akibat terlanggar kerbau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
     

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati van dinaiki seorang lelaki bersama-sama anak perempuannya itu dalam perjalanan pulang dari arah Labu Besar menuju ke Kampung Bikan selepas selesai berniaga di pasar malam.

    “Hasil keterangan daripada beberapa saksi mendakwa yang anak perempuan pemandu van berkenaan tersepit dalam kenderaan itu namun berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang ramai.

    “Mangsa dikejarkan ke Hospital Kulim dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.