Category: Semasa

  • Malaysia makin pulih daripada Covid-19, akan masuk fasa endemik

    Malaysia makin pulih daripada Covid-19, akan masuk fasa endemik

    ANALISIS situasi semasa jangkitan Covid-19 di negara ini mendapati penularan Covid-19 akan pulih dalam beberapa minggu kebelakangan lagi khususnya aspek purata kes harian, jumlah kluster, kadar vaksinasi dan kapasiti hospital.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terkini semakin menunjukkan trend penurunan dan Malaysia semakin pulih daripada pandemik Covid-19.

    “Situasi ini sedikit sebanyak menunjukkan kesediaan negara serta masyarakat untuk memasuki fasa endemik.

    “Secara keseluruhannya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati trend yang menurun sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-34 bagi indikator utama seperti kes harian, kes aktif, kematian, kes unit rawatan rapi (ICU) dan yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

    “Pada ME ke-40 iaitu daripada 3 hingga 9 Oktober, terdapat sebanyak 63,722 kes Covid-19 telah dilaporkan berbanding 83,368 kes pada ME ke-39. Ia turun sebanyak 23. 6 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Dr. Noor Hisham berkata, penurunan itu juga telah berlaku secara konsisten sejak enam minggu kebelakangan ini iaitu pada ME ke-34.

    “Sebanyak 133,806 kes aktif dilaporkan pada ME ke-40 iaitu penurunan 21.0 peratus berbanding ME ke-39,” ujarnya.

    Beliau berkata, KKM merekodkan sebanyak 700 kes kematian dengan purata 100 kes sehari pada ME ke-40 iaitu menurun 50.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.

    “Terdapat sebanyak 778 kes yang memerlukan rawatan di ICU iaitu menurun sembilan peratus berbanding ME ke-39.

    “Penurunan 11.2 peratus turut direkodkan pada kes yang memerlukan bantuan pernafasan iaitu 331 kes pada ME ke-40,” katanya.

    Bagi kluster pula, katanya, hanya 79 kluster dicatatkan pada ME ke-40.

    “Daripada jumlah ini, terdapat penurunan sebanyak 21 kluster berbanding ME ke-39. Sebanyak 43 kluster adalah merangkumi kluster tempat kerja, selain kluster komuniti (25), kluster kumpulan berisiko tinggi (enam) dan kluster keagamaan (lima),” katanya.

    Selaras dengan perkembangan positif itu, beliau berkata, masyarakat dinasihatkan agar tidak leka dan cepat berpuas hati dengan status semasa jangkitan Covid-19 di negara ini.

    “Kita wajar mengambil pengajaran dari peristiwa kenaikan kes Covid-19 yang mendadak sebelum ini sehingga melumpuhkan pelbagai sektor ekonomi dan sosial,” katanya.

    Sehubungan itu, katanya, melalui inisiatif ‘reopening safely’, semua pihak perlu memainkan peranan yang penting bagi bersama-sama memutuskan rantaian Covid-19 di negara ini.

    “KKM ingin menasihatkan kepada semua rakyat Malaysia agar sentiasa mengamalkan pematuhan (SOP) dan meningkatkan penilaian kendiri terutama apabila sempadan negeri dibuka semula pada hari ini,” katanya.

  • Tiada lagi amaran, tindakan tegas terhadap individu belum vaksin yang rentas negeri

    Tiada lagi amaran, tindakan tegas terhadap individu belum vaksin yang rentas negeri

    POLIS akan mengeluarkan kompaun kepada individu belum lengkap divaksin tetapi merentas negeri susulan kebenaran aktiviti itu oleh kerajaan bermula hari ini.

    Tindakan tegas akan diambil menerusi pemeriksaan pasukan pemantau di lokasi tumpuan orang ramai seperti kawasan Rehat dan Rawat (R&R) termasuk pemeriksaan supaya orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

    Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali, tindakan itu pada masa sama memastikan tiada individu belum menerima vaksin Covid-19 mengambil kesempatan.

    “Tiada lagi amaran diberi dan pihaknya akan lebih bertegas termasuk mempertingkat pemantauan dan pemeriksaan pematuhan SOP.

    “Pemeriksaan secara mengejut yang akan dilakukan dari semasa ke semasa itu bagi memastikan individu tanpa vaksin tidak mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung.

    “Kerajaan sudah umum mereka yang mahu merentas negeri perlu lengkap vaksin, maka mereka perlu patuhi perkara itu.

    “Aspek pematuhan SOP sudah diingatkan sejak tahun lalu lagi. Ada masanya kita perlu berkeras. Kali ini, kita terus kompaun mereka yang rentas negeri tanpa vaksinasi lengkap tanpa diberi amaran dahulu,” katanya seperti dilaporkan BH, hari ini.

    Semalam, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan pemeriksaan SOP tetap dilaksanakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

    Perdana Menteri berkata, biarpun kerajaan memberi kebenaran untuk rentas negeri, ia tidak bermakna pihak berkuasa akan bersikap lepas tangan.

    Mengulas lanjut, Hazani berkata, berkata pihaknya akan terus mengadakan pemantauan SOP di kawasan tumpuan awam di seluruh negara termasuk R&R dan pusat beli-belah.

    “Pemeriksaan secara rawak akan dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk memastikan pematuhan SOP orang awam mengikut undang-undang sedia ada.

    “Kita sedia maklum tiada lagi sekatan jalan raya untuk mengawal pergerakan rentas negeri, tetapi sekatan jalan raya dan operasi lain seperti Op Benteng tetap dilaksanakan untuk menangani aktiviti jenayah dan pelanggaran SOP,” katanya.

  • Rentas negeri: Terminal bas lengang, trafik lebuh raya lancar

    Rentas negeri: Terminal bas lengang, trafik lebuh raya lancar

    PERGERAKAN rentas negeri yang dibenarkan bermula hari ini terkawal dengan laluan beberapa lebuh raya utama menghubungkan negeri di utara, selatan, pantai timur dan pantai barat lancar memandangkan kebanyakan rakyat bekerja.

    Keadaan lancar itu dipaparkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) laman sesawang Jalannow.com malah tinjauan Bernama di beberapa terminal bas utama negeri-negeri juga mendapati suasana lengang.

    Di Terminal Bas Hentian Duta, di sini, petugas kaunter Norhanna Mohd Rapi berkata jualan dan tempahan tiket daripada orang ramai masih belum menggalakkan dan menjangkakan keadaan itu akan berubah menjelang hujung minggu ini dan minggu hadapan.

    “Kami menjangkakan jualan tiket hanya akan mula meningkat bermula minggu depan atau hujung minggu ini memandangkan orang ramai masih bekerja dan belum membuat persediaan seperti memohon cuti dan sebagainya,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Pengawal keselamatan di sebuah syarikat swasta, Siti Samirah Sundar Nandagopal, 40, ketika ditemui di terminal bas berkenaan berkata kelonggaran yang diberikan kerajaan dimanfaatkannya untuk pulang ke kampung bertemu keluarga di Sitiawan, Perak.

    “Saya berasa gembira dengan kebenaran ini selepas menanti lebih lapan bulan untuk menziarahi keluarga di kampung. Saya terus datang hari ini bagi membeli tiket lebih awal untuk pulang ke kampung pada Sabtu ini dan tidak sabar ingin bertemu keluarga kerana selama ini saya berhubung menerusi panggilan telefon sahaja,” katanya.

    Di SELANGOR, tinjauan di Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam dan Terminal A Klang Sentral, Klang, turut mendapati kedua-dua terminal itu lengang.

    Pengurus Jualan Tiket Berpusat (CTS) Mohd Muzammil Mohd Alias ketika ditemui menjangkakan jualan tiket bas pada minggu ini masih perlahan berikutan orang ramai bekerja.

    Di PULAU PINANG, pekerja kaunter tiket bas di Butterworth, Rusliana Mohd Pirus berkata pihaknya mula menerima tempahan tiket bas ekspres bagi perjalanan ke beberapa negeri dan menjangkakan ia meningkat sehingga 50 peratus pada hujung minggu ini.

    “Paling banyak tempahan adalah untuk perjalanan ke negeri-negeri pantai timur dan saya difahamkan beberapa pengusaha bas ekspres juga akan menambah jumlah bas bermula hujung minggu ini bagi menampung peningkatan penumpang,” katanya.

    Di NEGERI SEMBILAN, penjawat awam negeri Siti Amalina Hasfan, 31, berkata kebenaran kerajaan itu digunakannya untuk pulang ke kampung di Kuala Terengganu, Terengganu hari ini bagi menziarahi ibunya dan telah melakukan ujian kendiri COVID-19 demi keselamatan keluarga.

    Di MELAKA, Timbalan Ketua Polis Melaka SAC Razali Abu Samah berkata pihaknya menjangkakan kemasukan kenderaan ke negeri itu meningkat kepada 35,000 hingga 45,000 sehari menjelang hujung minggu ini berbanding 19,000 sehari sebelum ini.

    Beliau berkata pihaknya akan meneruskan pemeriksaan di tempat tumpuan pelancong bagi memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

    Di KELANTAN, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Mohd Wildan Azhari menjangkakan jumlah pengunjung di kawasan rekreasi seperti air terjun, sungai dan pantai di negeri itu akan meningkat.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak leka dengan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti lemas atau fenomena kepala air.

    Di TERENGGANU, tinjauan di beberapa lokasi tumpuan orang ramai seperti Pasar Payang, Kuala Terengganu City Centre Mall (KTCC) dan Taman Rekreasi Pantai Batu Buruk mendapati tiada kesesakan pengunjung.

    Seorang peniaga makanan di Pasar Payang, Nor Azmah Ngah, 53, berkata kehadiran pengunjung ke lokasi itu masih terkawal sejak pagi meskipun lebih ramai berbanding hari biasa manakala peniaga batik dan sutera, Norlela Asyikin Mohd Azhari, 37, pula menjangkakan keadaan di kawasan itu akan mula sibuk pada hujung minggu ini apabila warga kota mula pulang ke kampung halaman.

    Sementara itu, seorang pengusaha inap desa di Pantai Batu Buruk, Ahmad Faisal Hafiz Mansor berkata tempahan inap desanya untuk tempoh dua minggu akan datang telah pun penuh.

    Di PERAK, tinjauan di tempat tumpuan utama seperti Pulau Pangkor dan pusat beli-belah di sini juga masih tenang dan terkawal.

    Di JOHOR, Terminal Bas Larkin Sentral, yang sebelum ini menjadi tumpuan ‘perantau’ untuk pulang ke kampung halaman dari bandar raya ini, dijangka menerima kehadiran penumpang bas ekspres mencecah 3,000 orang sehari menjelang hujung minggu ini.

    Pengurus Bangunan Larkin Sentral Mohd Helmi Mohd Affendi berkata jumlah penumpang bas ekspres pada hujung minggu ini dijangka akan bertambah sehingga 3,000 penumpang sehari berbanding sekitar 80 penumpang sehari sebelum ini.

    Eksekutif Teknologi Maklumat Amira Azlan, 25, berkata persiapan untuk pulang ke kampungnya di Kuala Terengganu telah dilakukan sejak seminggu lepas berikutan berita mengenai kebenaran merentas negeri kerap muncul menerusi media sosial sejak kebelakangan ini.

    “Sudah dua tahun tak boleh balik, jadi apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) umumkan semalam (kebenaran merentas), saya terus maklumkan kepada keluarga. Rasa gembira dan teruja kerana terlalu rindu keluarga…saya juga telah memohon cuti selama seminggu,” katanya.

    Semalam, Ismail Sabri dalam sidang media khas dilaporkan berkata kerajaan bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi COVID-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis bermula hari ini.

    Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus. – BERNAMA

  • PKPD di Felda Lembah Klau, Raub bermula esok

    PKPD di Felda Lembah Klau, Raub bermula esok

    MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Lembah Klau, Mukim Gali di Raub, Pahang bermula esok hingga 25 Oktober ini.

    Keputusan itu dibuat selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan COVID-19 di lokaliti itu.

    Menurut Ketua Pengarah Keselamatan Negara MKN, Datuk Rodzi Md. Saad, Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini

    “Selain itu PKPD di empat lokaliti di Perak yang bermula 29 September lalu dan satu di Pahang yang bermula 1 Oktober lalu, akan ditamatkan esok,” menurut kenyataan MKN menerusi Facebook hari ini.

    Lokaliti di Perak itu membabitkan Kampung Bakok, Kampung Jambu, Kampung Lalang dan Kampung Dollah di Perkampungan Orang Asli Seri Makmur, Tanjung Rambutan, Kinta, manakala di Pahang membabitkan Kampung Bukit Serdang, Bera.

  • ‘Saya pernah bernikah sekali’ – Peja tolak gosip nikah Erra

    ‘Saya pernah bernikah sekali’ – Peja tolak gosip nikah Erra

    MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan beliau individu yang dikatakan bernikah dengan selebriti pelakon dan penyanyi terkenal, Erra Fazira.

    Ahli Parlimen Tambun itu berkata, sepanjang 51 tahun hidup, ini pertama kali dia mendapat soalan kahwin lain.

    “51 tahun hidup, saya pertama kali dapat soalan begitu dan saya sebenarnya pernah bernikah sekali. Itupun dengan isteri saya dan saya amat bahagia dengan isteri dan anak-anak saya” katanya ketika persidangan Dewan Negara hari ini.

    Beliau menjawab soalan diajukan oleh Senator Datuk Razali Idris berikutan tular dalam media sosial kononnya Ahmad Faizal bernikah dengan Erra Fazira.

    Terdahulu Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, tidak membenarkan Ahmad Faizal menjawab soalan itu kerana di luar skop tumpuan.

    “Ini di luar skop. Itu hal peribadi beliau dan saya tidak benarkan beliau menjawab,” kata Rais.

    Bagaimanapun Ahmad Faizal tetap menjawab soalan berkenaan sekali gus merungkai gosip berkenaan yang tular dalam media sosial.

  • Erra nafi nikah lagi, akui masih ibu tunggal

    Erra nafi nikah lagi, akui masih ibu tunggal

    PELAKON dan penyanyi ternama, Erra Fazira hari ini menafikan sudah bergelar isteri kedua kepada seorang kenamaan seperti yang dilaporkan dalam pelbagai portal hari ini.

    Selebriti jelita itu atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 47, berkata, dia masih lagi bergelar ibu tunggal sehinga kini.

    Tanpa berselindung, Erra berkata, dia sudah letih untuk dikaitkan dengan pelbagai gosip dan dakwaan tidak berasas.

    “Sudahlah… letih dengan cinta, putus cinta, kahwin, tak kahwin. Status saya masih lagi ibu tunggal.

    “Minta saya, doakan saja segala yang terbaik dan andai bertemu jodoh satu hari nanti, moga jodoh yang membahagiakan dan berkekalan hingga ke jannah,” kata Erra seperti dilaporkan Astro AWANI, hari ini.

    Sejak awal hari ini, tersebar kisah Erra sudah bernikah dan menjadi isteri kedua seorang ahli politik yang berasal dari Perak.

    Sejak dari awal penglibatannya sebagai artis, Erra Fazira tidak pernah berhenti dikaitkan dengan pelbagai gosip.

    Namun, artis yang pernah popular dengan lagu Yang Terindah Hanya Sementara serta membintangi puluhan filem itu sentiasa tenang setiap kali berhadapan dengan gosip liar.

    Bahkan, Erra Fazira juga tidak mudah melenting, sebaliknya, sentiasa memberi kerjasama dengan media dalam menjelaskan situasi sebenar.

    Erra Fazira pernah gagal dalam dua perkahwinan iaitu bersama pelakon, pengarah dan penyanyi terkenal, Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003.

    Bagaimanapun, pernikahan mereka hanya bertahan selama tiga tahun dan tidak mempunyai sebarang zuriat.

    Sementara pernikahan kali keduanya dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 2007 pula bertahan sehingga 2014.

    Hasil perkahwinan itu, Erra Fazira dan Engku Emran dikurniakan seorang cahaya mata, Engku Aleesya Engku Emran, 12.

    Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu menafikan laporan yang mendakwa beliau sudah menikahi artis popular itu.

    Kata Faizal, berita pernikahannya dengan Erra Fazira seperti yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab itu adalah palsu semata-mata.

  • Agensi penguat kuasa sentiasa pantau aktiviti luar pesisir- Tengku Zafrul

    Agensi penguat kuasa sentiasa pantau aktiviti luar pesisir- Tengku Zafrul

    AGENSI penguat kuasa sentiasa membuat pemantauan berterusan terhadap sebarang aktiviti luar pesisir sekiranya terdapat perkara yang mencurigakan.

    Ini melibatkan polis, kastam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Jelas Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, jika sebarang isu yang timbul, agensi terbabit yang bertanggungjawab.

    “Kalau ada perkara yang perlu disiasat seperti yang disebut oleh YB Bagan (Lim Guan Eng), Bank Negara Malaysia sebagai pihak berkuasa yang berwibawa di bawah AMLA sentiasa bersedia bekerjasama dan memanjangkan sokongan kepada agensi-agensi tersebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Coronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

    Lim Guan Eng (PH-Bagan) sebelum itu meminta agar satu siasatan dibuat berhubung pendedahan Kertas Pandora baru-baru ini.

    Sementara itu, Tengku Zafrul dalam masa sama turut mengalu-alukan laporan daripada orang ramai termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenai Kertas Pandora.

    “YB Port Dickson kata tadi, dia ada laporan sekiranya terdapat maklumat seseorang individu atau entiti mungkin terlibat dengan penggubahan wang haram, aktiviti pembiayaan keganasan dan penjanaan pendapatan atau hasil daripada aktiviti haram,” ujarnya.

  • IWK ambil alih 191 loji rawatan kumbahan di Johor- Tuan Ibrahim

    IWK ambil alih 191 loji rawatan kumbahan di Johor- Tuan Ibrahim

    KERAJAAN Persekutuan dan kerajaan Johor bersetuju menjalin kerjasama bagi menaik taraf dan meningkatkan mutu perkhidmatan pembetungan di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG).

    Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan, kerjasama itu melibatkan penyerahan perkhidmatan pembetungan di kedua-dua kawasan tersebut kepada Indah Water Konsortium Sendirian Berhad (IWK).

    Katanya, IWK merupakan syarikat milik Menteri Kewangan diperbadankan dan agensi di bawah kawal selia Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

    “Melalui kerjasama tersebut, IWK akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan 191 loji rawatan kumbahan melibatkan 147 di MBJB serta 44 di MBPG bermula 1 Disember ini.

    “Ini membabitkan populasi setara (PE) sebanyak 1.46 juta penduduk selain menyediakan perkhidmatan menyahenap cemar kepada kira-kira 293,236 buah tangki septik individu serta tangki tradisional di kedua-dua kawasan.

    “Melalui kolaborasi ini juga, mutu dan kualiti perkhidmatan pembetungan khasnya daripada aspek pematuhan kepada standard pelepasan efluen terawat Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta kualiti perkhidmatan dapat ditingkatkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian perjanjian kolaborasi bagi pengambilalihan sistem pembetungan Johor Baharu dan Pasir Gudang di Eastin Hotel, Petaling Jaya, hari ini.

    Perjanjian kolaborasi tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Johor Special Water (JSW), Zulkiflee Abas dan Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Encik Narendran Maniam sambil disaksikan Tuan Ibrahim bersama-sama Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

    Tuan Ibrahim berkata, pengalaman dan kepakaran teknikal IWK sebagai syarikat pembetungan negara mampu memastikan aset-aset pembetungan dioperasi serta diselenggara secara optimum sekaligus mengurangkan ganggu kacau kepada penduduk dan menyokong kelestarian alam sekitar.

    “Inisiatif ini juga dapat mengurangkan punca sumber air oleh efluen yang tidak dirawat dengan sempurna ke atas 18 sungai utama termasuk Sungai Skudai, Sungai Kim-Kim dan Sungai Masai,” katanya.

  • Jangan alpa, virus ada dalam komuniti – Muhyiddin

    Jangan alpa, virus ada dalam komuniti – Muhyiddin

    ORANG ramai diingatkan supaya tidak sesekali leka dan alpa sehingga mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana virus COVID-19 masih berada dalam komuniti tatkala kerajaan telah membenarkan pergerakan rentas negeri.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak perlu mengamalkan kawalan kendiri dengan ketat termasuk memakai pelitup muka, mengelakkan bersentuhan, menjaga penjarakan fizikal dan sentiasa membasuh tangan.

    Jika berkemampuan, kata beliau, lakukan ujian kendiri Covid-19 dengan kerap memandangkan kit yang dijual dengan harga berpatutan kini di farmasi dan secara dalam talian.

    “Sering saya tekankan sewaktu mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 dahulu bahawa suntikan vaksin ini merupakan ‘cahaya di hujung terowong’ dan tanggungjawab kerajaan untuk melindungi penduduk di Malaysia.

    “Alhamdulillah, hari ini, kita sudah mula melihat dan menikmati hasil kerjasama rakyat serta kerajaan dan pengorbanan para petugas barisan hadapan dalam memerangi Covid-19.

    “Bagi mereka yang ingin merentas negeri, saya doakan perjalanan anda dipermudah dan semoga anda serta keluarga sentiasa dilindungi,” katanya dalam hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, kerajaan di bawah pimpinannya sebelum ini mula memberikan kelonggaran kepada mereka yang telah lengkap divaksinasi pada Julai 2021 dan seawal Jun 2020 ketika lengkung jangkitan mula melandai.

    Kata beliau, sememangnya tanggungjawab memutuskan rangkaian jangkitan terletak di bahu kita bersama dengan penilaian risiko kendiri amat penting untuk memastikan penularan virus dapat dikawal.

    Muhyiddin turut menyambut baik saranan kerajaan supaya meningkatkan penilaian kendiri dengan lima langkah TRIIS iaitu Test, Report, Inform, Isolate dan Seek.

    “Saya memuji pendirian kerajaan yang terus konsisten dengan strategi memberi vaksin kepada seramai mungkin penduduk di negara ini. Lebih ramai yang divaksin, lebih ramai yang akan terlindung daripada dijangkiti Covid-19 dengan teruk dan beban terhadap sektor kesihatan awam akan berkurang.

    “Ini akan membolehkan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dibuka serta kita beransur-ansur kembali ke kehidupan norma baharu dan beralih dari pandemik ke endemik.

    “Walaupun dikritik hebat sebelum ini, pendirian kerajaan tidak berubah. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan mesti berani bertindak berdasarkan fakta dan melakukan perkara yang betul.

    “Selain usaha-usaha kerajaan dalam kita beralih ke tahap endemik jangkitan Covid-19, penilaian kendiri amat penting untuk kita terus berjaya dan menang menentang musuh kita iaitu virus Covid-19,” jelas beliau.

  • Dua kontraktor SUKE didenda RM300,000

    Dua kontraktor SUKE didenda RM300,000

    DUA kontraktor yang terbabit dengan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dikenakan penalti RM300,000 kerana gagal memastikan keselamatan di tapak bina sehingga mengakibatkan kemalangan maut pada 22 Mac lalu.

    Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, denda berkenaan dikenakan selepas prosiding tindakan tatatertib kontraktor diadakan pada 20 September lalu, selesai.

    Menerusi prosiding yang diadakan itu katanya, memutuskan bahawa kontraktor utama untuk Pakej CA3, jajaran CH4200 hingga CH7800 Projek SUKE iaitu Syarikat Muhibah Perniagaan dan Pembinaan Sdn. Bhd. dikenakan penalti sebanyak RM100,000.

    “Sementara itu, subkontraktor untuk projek sama, China Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd. pula dikenakan penalti RM200,000.

    “Kedua-dua kontraktor berkenaan didapati bersalah mengikut Seksyen 34B(1)(b), Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Akta 520) yang memperuntukkan setiap kontraktor perlu memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas pembinaan.

    “Sekiranya kontraktor gagal memastikan keselamatan, CIDB boleh mengenakan penalti yang tidak melebihi RM500,000 ke atas kontraktor terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan tiga maut dan seorang cedera selepas struktur kren gantri di tapak projek pembinaan SUKE, pakej CA3 terjatuh dan menghempap sebuah kereta di Alam Damai, Cheras, kira-kira pukul 8.30 pagi, 22 Mac lalu.

    Insiden berkenaan membabitkan empat mangsa yang terdiri daripada tiga pekerja projek itu dan seorang awam. Struktur kren gantri itu jatuh dan menghempap sebuah kereta Perodua Bezza menyebabkan pemandu seorang warga tempatan parah.

    Dalam pada itu, Ahmad ‘Asri berkata, bagi menjamin keselamatan awam dan langkah-langkah kerja bagi projek SUKE, pihaknya menyarankan supaya kontraktor terbabit melakukan audit keselamatan oleh pihak ketiga terhadap keselamatan projek, cara kerja dan pengendalian serta pengurusan tapak bina.

    Ahmad ‘Asri turut memaklumkan pada November tahun lalu, pihaknya turut mengenakan penalti RM180,000 kepada dua kontraktor yang terbabit dengan pembinaan pakej CA2, SUKE susulan kejadian bongkah konkrit terjatuh dari struktur pembinaan lebuh raya itu dan menimpa sebuah kenderaan pada 19 September 2020.

    “Dalam kes itu, kontraktor utama dikenakan penalti RM80,000 manakala subkontraktor pula dikenakan penalti RM100,000.

    “CIDB memandang serius setiap kemalangan yang berlaku di sektor pembinaan dan mengingatkan penggiat industri untuk sentiasa komited serta meningkatkan tahap keselamatan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak pembinaan,” katanya.