Category: Semasa

  • Pegawai imigresen berdepan lapan tuduhan rasuah

    Pegawai imigresen berdepan lapan tuduhan rasuah

    SEORANG pegawai Imigresen yang dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah di Tawau, Sabah hari ini mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan rasuah membabitkan RM18,240.

    Sapie Samsudin, 29, yang bertugas di Jabatan Imigresen, Bangunan Sultan Iskandar, Johor membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

    Dia berdepan dua pertuduhan gagal melapor suapan berjumlah RM9,120 daripada Mohd Azril Azizan yang dibuat melalui transaksi ke akaun simpanan peribadinya di Maybank, Semporna.

    Suapan itu bertujuan mendapatkan perakuan cap keluar dan masuk pada pasport warga asing tanpa perlu keluar dari Malaysia.

    Sapie didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Dia juga berdepan enam pertuduhan menerima benda berharga tanpa balasan iaitu wang berjumlah RM9,120 yang dimasukkan ke akaun peribadinya melalui beberapa transaksi daripada Mohd Azril.

    Bagi kesalahan ini, Sapie didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan antara 10 Mei 2018 hingga 7 April 2019.

    Awang Kerisnada membenarkan dia diikat jamin RM12,000 bagi semua pertuduhan dan mengenakan syarat tambahan bahawa tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Johor pada setiap awal bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    Mahkamah menetapkan 15 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Norsham Saharom manakala tertuduh diwakili peguam Samsuddin Sudirman. – Bernama

  • Kerja senggara loji rawatan air Selangor siap 11 malam ini

    Kerja senggara loji rawatan air Selangor siap 11 malam ini

    KERJA penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) adalah pada tahap 83.9 peratus dan mengikut jadual setakat pukul 5 petang tadi.

    Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal itu dijangka siap sepenuhnya pada pukul 11 malam ini.

    “Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat setelah sistem bekalan air telah distabilkan, dan dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 9 malam, 16 Oktober ini.

    “Air Selangor telah menggerakkan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan pusat pemberian vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian,” katanya.

    Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau mengajukan sebarang pertanyaan dan aduan di Pusat Bantuan di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor. – Bernama

  • Trauma selepas tembok rumah roboh dirempuh kereta

    Trauma selepas tembok rumah roboh dirempuh kereta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEPASANG suami isteri masih trauma dengan insiden sebuah kereta yang merempuh tembok belakang rumahnya hingga roboh di Taman Megah Ria, Johor Bahru, Rabu lalu.

    Menurut Ng Poh Lian, 40, walaupun kemalangan pada jam 1.30 pagi itu tidak mencederakannya dan suami, Won Che Bok serta tiga anaknya, insiden tersebut masih meninggalkan kesan sehingga kini.

    Menceritakan perisitwa itu, suri rumah tersebut berkata, semasa kejadian mereka lima beranak sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman yang sangat kuat.

    “Rempuhan itu menyebabkan tembok dinding setinggi lebih dua meter dengan panjang 20 meter itu roboh dan mengakibatkan tingkap dua bilik anak perempuannya turut pecah.

    “Jika diingatkan semula, saya terjaga daripada tidur disebabkan bunyi kereta menekan brek yang kuat disusuli bunyi hentaman yang mengejutkan kami sekeluarga,” katanya ditemui pemberita di rumahnya, hari ini.

    Katanya, kereta Honda yang dipandu seorang lelaki itu melanggar pokok-pokok kecil sebelum merempuh dinding dan keadaan tersebut mengurangkan sedikit hentaman pada bahagian tembok tersebut.

    Pada masa kejadian ujarnya, rumahnya yang terletak berhampiran Lebuhraya Pasir Gudang dari arah Permas Jaya dalam keadaan gelap setelah lampu jalan sudah lebih setahun tidak berfungsi.

    Bagaimanapun dia dan suami bersyukur kerana keluarganya selamat kerana semasa kejadian ketiga-tiga anaknya tidur di ruang tamu kerana pada masa itu terputus bekalan elektrik.

    “Jika tidak, saya tidak tahu apa yang berlaku terhadap mereka,” katanya dan pemandu berkenaan hanya cedera ringan dirawat di Hospital Sultan Ibrahim (HSI) Johor Bahru.

    Dia dan suaminya, Won Che Bok, runsing setelah terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM60,000 selain bimbang akan keselamatan anak-anaknya selain bilik anaknya yang berusia 16 hingga 18 tahun itu dikosongkan.

    “Lebuh raya ini laluan utama kenderaan termasuk kenderaan berat dengan kelajuan 80 kilometer sejam. Setiap kali kenderaan berat melalui lebuh raya di belakang rumah, pastinya kami ketakutan bimbang kejadian sama berulang.

    “Apa yang saya harapkan sekarang ini ialah agar pihak berwajib dapat memasang penghadang jalan raya di kawasan belakang rumah kami selain memastikan lampu jalan berfungsi,” ujarnya.

    Dia mendakwa telah membuat aduan kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah ini tetapi sehingga kini mereka tidak ada jawapan dan jaminan diberikan.

  • SPRM dakwa Ahli Parlimen Labuan esok

    SPRM dakwa Ahli Parlimen Labuan esok

    Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa Ahli Parlimen Labuan daripada Warisan, Rozman Isli di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.


    Perkara itu disahkan peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali kepada portal Malaysiakini.


    “Dia diminta (oleh SPRM) untuk hadir (ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) esok,” katanya ketika dihubungi portal itu hari ini.


    Muhammad Rafique berkata dia setakat ini tidak tahu pertuduhan yang akan dihadapkan kepada anak guamnya.

    Bagaimanapun dia mendedahkan pertuduhan melibatkan Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

    Seksyen itu berkenaan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan, sama ada “bagi dirinya sendiri, saudara atau sekutunya”.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan SPRM hari ini, suruhanjaya itu akan mendakwa seorang ahli parlimen di mahkamah tersebut pada pukul pagi esok.

    Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan nama ahli parlimen itu mahupun peruntukan undang-undang yang terlibat.
    Rozman menjadi ahli parlimen Labuan sejak 2013. Dia pada mulanya mewakili Umno sebelum menyertai Warisan selepas PRU14

  • Osman Sapian diserang strok pagi ini

    Osman Sapian diserang strok pagi ini

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BEKAS Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian diserang strok di rumahnya di Johor Bahru hari ini.

    Menurut Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Senator Md. Nasir Hashim, Osman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam diserang strok pukul 10.30 pagi tadi.

    “Diberitakan beliau sudah mula pulih petang ini dan sedang berehat di Hospital KPJ, Jalan Abdul Samad di sini untuk rawatan lanjut” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau mendapat tahu keadaan Osman ketika berada di Dewan Negara hari ini dan menyifatkan berita itu mengejutkan terutama Bersatu Johor.

    Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, dimaklumkan Osman akan dipindahkan ke hospital di Kuala Lumpur hari ini.

    “Setakat ini saya tidak tahu keadaan terkini beliau tetapi saya akan menziarahinya di Kuala Lumpur esok dan berdoa agar beliau cepat sembuh,” katanya.

    Osman, 70, adalah Menteri Besar Johor ke-16 dan yang pertama daripada Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

    ADUN Kempas itu menyandang jawatan tersebut selama 11 bulan sebelum melepaskannya pada April 2019.

  • 2 lelaki pukul gelandangan, peminta sedekah di Komtar ditahan

    2 lelaki pukul gelandangan, peminta sedekah di Komtar ditahan

    POLIS menahan dua penyelia pembersihan bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georgetown, Pulau Pinang kelmarin selepas didapati memukul dua lelaki termasuk gelendangan.

    Lebih mengejutkan, siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek warga tempatan berusia 27 dan 43 tahun itu difahamkan sering memukul peminta sedekah atau gelandangan yang berada di lokasi tersebut.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, suspek ditahan pukul 9 malam di hadapan sebuah bank di Komtar oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) dari ibu pejabat Polis Timur Laut.

    Menurut beliau, turut dirampas bersama-sama suspek dua batang rotan yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

    “Hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

    “Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan senjata,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Mengulas mengenai kejadian itu, Soffian berkata, polis menerima laporan daripada salah seorang mangsa pukul 7 malam pada hari sama.

    Katanya, mangsa sempat merakam menggunakan telefon bimbitnya tindakan dua lelaki sedang memukul seorang peminta sedekah menggunakan rotan pukul 2 petang pada Oktober lalu di hadapan sebuah bank di Komtar.

    “Mangsa mendakwa dia turut dipukul dua lelaki tersebut selepas mereka menyedari mangsa merakam perbuatan mereka.

    “Mangsa dipukul berkali-kali sehingga mengalami lebam di belakang badan, siku kanan dan betis kiri sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya.

    Soffian turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang hingga mendatangkan mudarat kepada orang lain.

    Katanya, orang awam perlu mengambil pendekatan yang lebih bijak dan mengikut lunas undang-undang dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan.

    Terdahulu, tiga video masing-masing berdurasi dua minit; 20 saat dan 45 saat yang memaparkan dakwaan seorang lelaki telah dipukul oleh beberapa individu di tempat awam tular di dalam media sosial sehingga mencetuskan kemarahan awam.

    Difahamkan, suspek bertindak demikian selepas mendakwa gelendangan dan peminta sedekah di kawasan Komtar sering membuat kotor.

  • Jumlah pengangguran turun 4.6 peratus

    Jumlah pengangguran turun 4.6 peratus

    JUMLAH pengangguran berkurang kepada 748,000 pada Ogos 2021 dengan kadar pengangguran turun kepada 4.6 peratus susulan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kembali, kataKetua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.

    Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja meningkat 0.5 peratus dengan merekodkan sebanyak 15.38 juta orang pada Ogos berbanding 15.29 juta pada Julai dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk meningkat 0.2 mata peratus kepada 65.2 peratus.

    Menurutnya, kadar pengangguran pada Ogos 2021 menurun 0.2 mata peratus kepada 4.6 peratus berbanding bulan Julai yang merekodkan 4.8 peratus.

    “Ini merupakan penurunan pengangguran yang pertama setelah merekodkan peningkatan pada bulan Jun dan Julai 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dr Mohd Uzir Mahidin

    Katanya, bilangan tenaga buruh terus meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 16.13 juta orang pada Ogos berbanding 16.07 juta pada Julai 2021 selain kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada tempoh sama turut meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 68.4 peratus.

    “Mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus mencatatkan perubahan positif bulan ke bulan terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit; dan kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial.

    “Guna tenaga dalam sektor pembuatan dan pembinaan juga merekodkan pertumbuhan positif setelah mencatatkan penurunan pada bulan sebelumnya manakala sektor pertanian dan perlombongan serta pengkuarian kekal dalam trend menurun,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, daripada segi taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merangkumi 77.4 peratus, meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 11.90 juta orang setelah mencatatkan penurunan bagi tempoh dua bulan sebelumnya.

    “Penduduk bekerja sendiri terus meningkat sejak Februari 2021 dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 1.4 peratus merekodkan 2.54 juta orang,” katanya.

    Jelas Mohd. Uzir, pengoperasian semula lebih banyak aktiviti ekonomi pada Ogos mendorong bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu terus menurun sebanyak 13.5 peratus kepada 671,200 orang berbanding 776,300 orang pada Julai.

    “Penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.3 peratus daripada jumlah penganggur. Kumpulan ini menurun sebanyak 3.7 peratus kepada 627,500 orang berbanding 651,300 orang pada Julai.

    “Daripada jumlah penganggur yang aktif, 53.8 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun meliputi sembilan peratus.

    “Trend yang sama juga dilihat pada penganggur tidak aktif yang percaya tiada pekerjaan tersedia telah berkurang sebanyak 4.4 peratus dari bulan ke bulan kepada 121,300 orang,” katanya.

  • Projek LPB Sarawak Fasa Satu sudah 71 peratus siap

    Projek LPB Sarawak Fasa Satu sudah 71 peratus siap

    TIMBALAN Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup memberitahu Dewan Negara hari ini, status kemajuan pembinaan 10 pakej kerja dari Sematan ke Miri melalui projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak Fasa Satu sudah 71 peratus siap hingga bulan lalu.

    “Sama seperti projek-projek kerajaan lain, wabak Covid-19 memberi kesan ke atas kemajuan kerja dan kos pembinaan projek LPB Sarawak yang mana jangkaan siap keseluruhan adalah pada September 2022.

    “Sehubungan itu, pelbagai pelan mitigasi sedang dilaksanakan antara lainnya penyelarasan semula jadual pembinaan dan Lanjutan Masa (Extension Of Time – EOT) bagi memastikan kelancaran serta kelangsungan projek ini,” katanya.

    Datuk Arthur Joseph Kurup
    Datuk Arthur Joseph Kurup

    Beliau menjawab soalan Senator Dr. Nuing Jeluing yang ingin tahu status terkini pembinaan projek LPB memandangkan terdapat masalah disebabkan pandemik COVID-19, selain sama ada tarikh asal siap pembinaan dikekalkan atau dilanjutkan.

    Menurut Arthur, projek LPB Sarawak Fasa Satu bernilai RM16.117 bilion meliputi 11 pakej kerja dengan jajaran sepanjang 786 kilometer bermula dari Telok Melano ke Miri dimulakan pada Oktober 2015.

    Katanya, Kementerian Kerja Raya turut mengambil langkah proaktif memantau prestasi kemajuan projek tersebut secara berterusan melalui lawatan berkala serta sesi libat urus bersama kontraktor dan perunding terlibat.

    “Ini untuk mengenal pasti keberkesanan tindakan mitigasi dan penambahbaikan yang boleh diambil bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek LPB Sarawak,” katanya.

  • Program Felo Perdana mantapkan kebolehan belia

    Program Felo Perdana mantapkan kebolehan belia

    PROGRAM Felo Perdana memberi manfaat kepada golongan belia yang menyertainya dalam memantapkan kebolehan komunikasi, pentadbiran dan keyakinan, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Beliau berkata program itu memberi pendedahan kepada anak muda mengenai pentadbiran kerajaan selain mengikuti tanggungjawab seorang menteri serta ahli politik.

    “Program Felo Perdana ini memberi pengalaman menarik dan membantu kerajaan lebih memahami kehendak serta pemikiran anak muda,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Felo Perdana Tahun 2021 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya, hari ini.

    Seramai 66 orang terpilih menyertai program Felo Perdana tahun ini yang akan ditempatkan bersama 32 Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bermula hari ini hingga 31 Disember ini.

    Program Felo Perdana dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 2013 dan telah mengumpulkan penyertaan lebih 600 anak muda.

    Ia merupakan inisiatif kerajaan bagi melatih belia yang berpotensi dengan kemahiran aras tinggi disamping melibatkan mereka secara langsung dengan penggubalan dan pembentukan dasar kerajaan.

    Ahmad Faizal berkata KBS akan sentiasa berhubung dengan felo yang ditempatkan di kementerian untuk mengikuti perkembangan mereka.

    Sementara itu, Gan Wen Shen, 30, yang ditempatkan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata beliau teruja apabila dimaklumkan akan ditempatkan di PMO pagi tadi.

    “Sepanjang tiga bulan ini, saya harap dapat libatkan diri dalam proses penggubalan dasar kerajaan,” katanya.

    R.Pavidra, 24, pula berkata beliau amat bertuah mendapat peluang ditempatkan di PMO.

    “Aspirasi saya adalah untuk lebih mengenali tentang Parlimen dan dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan bermula dari awal sehingga disampaikan kepada rakyat,” katanya yang menjadikan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebagai idola dalam bidang politik.

    Nathasha Diyana Zulkifly, 23, yang ditempatkan di KBS pula berharap dapat mengenali dasar-dasar belia selain dapat menyumbang sebanyak mungkin dalam pelaksanaan Hari Belia Negara akan datang. – Bernama

  • 301 guru dikenal pasti masih belum divaksin di Pahang

    301 guru dikenal pasti masih belum divaksin di Pahang

    SERAMAI 301 guru di Pahang masih belum menerima vaksin dan mereka diberi tempoh sehingga 1 November ini untuk berbuat demikian.

    “Tindakan bakal diambil terhadap guru yang gagal mengambil vaksin selepas tempoh itu bergantung kepada arahan selanjutnya dari Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” tegas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Rosli Abdul Rahman.

    Katanya lagi, sehingga kini program vaksinasi dalam kalangan guru di negeri ini mencapai 98.38 peratus manakala 99.04 peratus dalam kalangan kakitangan bukan guru.

    “JPN Pahang menjangkakan bilangan penerima vaksin dalam kalangan guru di negeri ini akan meningkat menjelang 1 November depan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Pemuafakatan Antara Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang dan JPN Pahang Bil 2/2021 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Kuantan, hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri.