Category: Semasa

  • Tangkap layar perbualan Ebit-pengadu didedah di mahkamah

    Tangkap layar perbualan Ebit-pengadu didedah di mahkamah

    MAHKAMAH diberitahu tangkap layar perbualan antara pendakwah, Ebit Lew dan pengadu bermula sejak 2021.

    Ia didedahkan menerusi analisis telefon bimbit milik pengadu yang dilakukan Juruanalisis Kanan Audio/Video Makmal Forensik Polis Cheras, Latifah Abdul Aziz di Mahkamah Majistret Tenom.

    Latifah, saksi ketujuh pendakwaan memberitahu tangkap layar diperoleh daripada telefon bimbit bertanda NA-1 menunjukkan perbualan menerusi WhatsApp bermula 4 Mac 2021.

    Itu antara perkara dijelaskan saksi berdasarkan 219 gambar tangkap layar diperoleh daripada telefon bimbit pengadu yang disimpan dalam sebuah cakera padat DVD-R, salah satu bahan bukti kes gangguan seksual melibatkan Ebit atau nama sebenarnya sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew.

    Dalam perbicaraan lalu, telefon bimbit bertanda NA-1 iaitu Samsung Galaxy A31 diserahkan kepada pegawai penyiasat oleh pengadu ketika membuat laporan polis di Bukit Aman pada 7 Ogos 2021.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, yang mengetuai pemeriksaan utama turut meminta penjelasan saksi mengenai tangkap layar memaparkan nombor 02:28 am dalam gambar tangkap layar pertama.

    Saksi menjelaskan nombor yang tertera merujuk kepada masa mesej berkenaan dihantar kepada penerima (pengadu), menurut Utusan Malaysia.

    Gambar tangkap layar dipaparkan juga menunjukkan terdapat panggilan suara tidak dijawab pada dua tarikh berbeza yang dilakukan oleh pengirim mesej (Ebit) kepada penerima (pengadu).

    Perbicaraan kali ini berlangsung tanpa kehadiran Ebit kerana peguamnya memaklumkan pendakwah itu menunaikan haji di Makkah.

    Ebit berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui WhatsApp yang didakwa berlaku di Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

    Perbicaraan berlangsung di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad serta Zahida Zakaria.

    Ebit diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak.

  • Bekas anggota tentera perdaya 5 mangsa dipenjara 6 bulan

    Bekas anggota tentera perdaya 5 mangsa dipenjara 6 bulan

    BEKAS anggota tentera dihadapkan di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini atas lima pertuduhan memperdayakan lima mangsa dengan membuat pembayaran dalam talian tidak wujud bagi pembelian pelbagai barangan dengan jumlah keseluruhan hampir RM20,000, bulan lalu.

    Tertuduh, Mohammad Norikhwan Adha Mohamad, 26, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosni selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh memperdayakan lima mangsa berbeza dengan membuat transaksi bayaran yang tidak wujud ke akaun mangsa bagi pembelian sebuah motosikal, pelbagai pakaian, tiga telefon bimbit jenama iPhone dan pelbagai aksesori telefon serta peranti dengan nilai keseluruhan RM19,916.

    Dengan itu tertuduh dengan curangnya mendorong semua mangsa untuk menyerahkan semua barang berkenaan kepada tertuduh yang mana mangsa tidak akan melakukan sedemikian sekiranya tidak diperdayakan.

    Kesalahan dilakukan di lima lokasi di daerah Nilai, pada dari pukul 5.02 petang 17 Mei hingga pukul 7.36 malam 18 Mei lalu, lapor Harian Metro.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama yang membawa hukuman penjara selama tempoh maksimum lima tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Syed Fadil Syed Othman dan M. Parameswari yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara minimum memandang tertuduh kini tidak bekerja dan menanggung isteri, seorang anak serta ibu bapa yang uzur.

    Pendakwaan yang dikendali Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi dan Nurul Muhaimin Mohd Azman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

    Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman enam bulan penjara bermula dari tarikh sabitan.

    Dalam kamar sama, tertuduh bersama Muhammad Asyraf Zaini, 27 dan Abdul Rahman Zaini, 30, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dadah berbahaya jenis syabu anggaran berat 6.30 gram di sebuah rumah beralamat di Taman Desa Palma, dekat Nilai, pukul 10 pagi, 16 Jun lalu.

    Justeru, ketiga-tiga tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama.

    Ketiga-tiga tertuduh diberi jaminan sebanyak RM3,000 seorang dan sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Ogos depan.

  • Polis siasat kematian pelajar di Manjung

    Polis siasat kematian pelajar di Manjung

    POLIS menyiasat kematian seorang pelajar lelaki Tingkatan 3 Sabtu lalu selepas dimasukkan ke Hospital Seri Manjung (HSM) pada 16 Jun.

    Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan kematian mengejut pelajar lelaki pada 4.30 petang semalam selepas mengadu tidak sihat di sekolah pada Jumaat.

    “Siasatan awal dengan pihak sekolah mendapati pelajar itu dilihat tidak sihat dengan berjalan menggunakan tongkat kerana mengalami kesakitan pada bahagian kaki sebelum menelefon keluarga mangsa untuk dibawa pulang.

    ‘Keluarga pelajar kemudian membawa mangsa pulang ke rumah sebelum membawanya ke hospital setelah mendapati keadaan anak mereka semakin teruk. Keadaan mangsa semasa diterima di Jabatan Kecemasan adalah tenat dan diberikan bantuan pernafasan serta-merta dan terus dimasukkan ke wad rawatan rapi bagi penjagaan pakar pada 10.10 malam,” katanya dalam satu kenyataan.

    Nordin berkata, pihak hospital kemudian memaklumkan pelajar terbabit meninggal dunia pada 12.06 tengah malam.

    “Pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan punca kematian mangsa akibat ‘Alute Massive Pulmonary Embolism’ atau darah beku tersumbat pada paru-paru.

    “Polis membuka satu kertas siasatan bagi kes mati mengejut dan kita minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kejadian ini,” katanya.

  • Guru muzik dituduh pandu secara berbahaya hingga sebabkan kematian wanita

    Guru muzik dituduh pandu secara berbahaya hingga sebabkan kematian wanita

    SEORANG guru muzik sambilan berusia 28 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita pada 8 Mei lalu.

    Bagaimanapun, tertuduh, Oo Cheng Sing, mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab di Mahkamah Majistret Jenayah.

    Mengikut pertuduhan, Cheng Sing didakwa memandu sebuah kereta secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang wanita.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Loh Poh Heng, 8 Mei lalu, kira-kira pukul 10.20 pagi.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu lima tahun jika sabit kesalahan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

    Bagaimanapun, peguam tertuduh, Zainal Akram Zainal Azahar memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya akan memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 26 Julai depan untuk sebutan semula kes.

    Dalam kejadian kemalangan yang tular di media sosial pada 8 Mei lalu itu, seorang penunggang motosikal wanita dilaporkan maut selepas dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta yang kemudiannya menyebabkan insiden pergaduhan di lokasi kejadian.

    Susulan kejadian itu, polis menahan enam individu bagi membantu siasatan termasuk ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.

  • DAP Sarawak nafi cuma ‘komen negatif’ terhadap kerajaan negeri

    DAP Sarawak nafi cuma ‘komen negatif’ terhadap kerajaan negeri

    AHLI Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii menyangkal dakwaan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak bahawa DAP tidak ada perkara baik hendak dikatakan mengenai kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Wakil rakyat daripada DAP itu berkata, tidak benar DAP Sarawak tidak pernah menyokong apa yang terbaik untuk negeri itu.

    Katanya, Ahli Parlimen DAP membahaskan secara terbuka dan menyokong rang undang-undang dan perundangan dibentangkan oleh kerajaan semasa yang memberikan manfaat kepada negeri ini.

    “DAP Sarawak kisah dan mahukan yang terbaik untuk negeri ini, (sebab itulah) kami mainkan peranan sebagai semak dan imbang bagi memastikan dasar dilaksanakan dengan betul untuk elak sebarang pembaziran atau penyalahgunaan, tidak kira betapa mulianya niat kerajaan semasa,” katanya memetik laporan FMT.

    Katanya, hasrat mahukan yang terbaik untuk negeri bukan sekadar dizahirkan dengan memuji kerajaan tetapi, yang lebih penting, menuntut ketelusan dan akauntabiliti bagi setiap projek, serta hala tuju sebarang keputusan dasar.

    Jelasnya, itu adalah peranan pihaknya sebagai pembangkang yang bertanggungjawab di negeri ini.

    Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Abdul Karim Rahman Hamzah, yang membidas DAP Sarawak kerana hanya mengeluarkan komen negatif terhadap kerajaan negeri pimpinan GPS.

    Karim berkata, sekalipun kerajaan negeri cemerlang menguruskan kewangan, sumber atau prasarana, DAP Sarawak akan memilih untuk sama ada berdiam diri atau mencari sesuatu untuk dikritik.

    Semalam, Pemuda DAP Sarawak berkata, RM30 juta dibelanjakan untuk tiang bendera di Petra Jaya sepatutnya boleh digunakan dengan lebih baik untuk projek praktikal serta program pembasmian kemiskinan.

    Ketuanya Peter Hee, malah menuduh 76 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS gagal menangani kesan teruk ekonomi dihadapi rakyat, dan meringankan beban mereka.

    Beliau mendakwa ADUN gpS sedar tiang bendera itu sebenarnya bukan satu keperluan malah salah urus dana, tetapi memilih berdiam diri.

    Kenyataan Hee itu selepas Borneo Post melaporkan tiang bendera itu disiapkan lebih awal daripada dijadualkan.

    Tiang bendera itu dikatakan setinggi 99m itu, iaitu 4m lebih tinggi daripada tiang bendera di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

    Terletak antara kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Fort Margherita, tiang bendera itu merupakan projek tanggungjawab sosial korporat bagi memperingati ulang tahun ke-60 penyertaan Sarawak dalam Malaysia.

  • Mahkamah tolak saman fitnah Guan Eng terhadap Naib Presiden MCA

    Mahkamah tolak saman fitnah Guan Eng terhadap Naib Presiden MCA

    MAHKAMAH Tinggi di Georgetown hari ini menolak saman fitnah oleh Pengerusi DAP Lim Guan Eng terhadap Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng dan akhbar berbahasa Inggeris The Star.

    Menurut laporan FMT, Hakim Quay Chew Soon memutuskan bahawa artikel yang ditulis Tan dalam akhbar itu mengenai Lim dan pembiayaan untuk sekolah Cina tahun lepas, adalah komen yang adil dan bukan fitnah.

    Lim diperintah membayar kos RM20,000 kepada Tan, dan RM30,000 kepada The Star.

    Lim menyaman Tan dan The Star tahun lepas berhubung artikel yang disiarkan yang mendakwa Lim sebagai menteri kewangan ketika itu telah menuntut SJK(C) Kuek Ho Yao menukar nama dengan pertukaran RM4 juta dana kerajaan.

    “Ini adalah palsu dan tidak benar. RM4 juta telah diserahkan walaupun pembinaan belum dimulakan.

    “Sebagai menteri kewangan, saya tidak pernah menetapkan syarat SJK(C) Kuek Ho Yao mesti menukar namanya untuk menerima peruntukan saya sebanyak RM4 juta,” kata Lim ketika itu.

    Menurut peguam Lim, K. Simon Murali, anak guamnya akan merayu keputusan hari ini.

    SJK(C) Kuek Ho Yao merupakan sebuah sekolah baru di Johor Bahru yang ditubuhkan pada zaman pentadbiran BN. Ia dinamakan sempena mendiang Kuek, yang merupakan seorang dermawan.

  • 1MDB: Firma bekas penulis ucapan Najib terima lebih RM22 juta

    1MDB: Firma bekas penulis ucapan Najib terima lebih RM22 juta

    BEKAS penulis ucapan Datuk Seri Najib Razak memberi keterangan bahawa dia menerima lebih RM22 juta daripada bekas perdana menteri itu, melalui 39 keping cek, dalam tempoh tiga tahun dari 2011 hingga 2014.

    Pengasas Semarak Konsortium Satu Sdn. Bhd., Mohd. Omar Mustapha memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa dia menerima cek yang ditandatangani Najib semasa pertemuan bersemuka mereka di pejabat menteri kewangan ketika itu antara Mac 2011 hingga April 2014.

    Semasa perbicaraan rasuah 1MDB membabitkan penyelewengan bernilai RM2.28 bilion hari ini terhadap Najib, saksi pendakwaan ke-45 Omar memberi keterangan bahawa syarikatnya telah dibayar jumlah tersebut untuk perkhidmatan menulis ucapan bahasa Inggeris dan kerja-kerja berkaitan media antarabangsa, lapor Malaysiakini.

  • Ayob Khan dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

    Ayob Khan dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

    PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara berkuat kuasa 23 Jun 2023.

    Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pelantikan Ayob Khan bagi menggantikan Tan Sri Razarudin Husain yang dilantik sebagai Ketua Polis Negara.

    “Adalah dimaklumkan bahawa seperti yang termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis telah memperkenan pelantikan Ayob Khan.

    “Ayob Khan berumur 57 tahun, dilahirkan pada 27 Julai 1966 di Kota Setar, Kedah. Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat Negeri dan Kontinjen.

    “Beliau memulakan tugas pada tahun 1993 di Cawangan Khas Bukit Aman dari pangkat Penolong Penguasa Polis (ASP) sehingga ke pangkat Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) selama 15 tahun.

    “Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dan ditempatkan di Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman sebelum kembali ke Cawangan Khas dengan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Polis (DCP) pada tahun 2016,” katanya dalam satu kenyataan, pada hari ini.

    Saifuddin berkata, Ayob Khan berkhidmat selama empat tahun dan telah dinaikkan pangkat ke Pesuruhjaya Polis (CP) pada tahun 2020 dan menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor.

    “Pada tahun 2022, beliau kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan kini berkhidmat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.

    “Kerajaan mengucapkan syabas dan tahniah di atas pelantikan ini,” katanya, lapor Astro Awani.

  • Malaysia sedia jadi tuan rumah Simposium Haji Perdana

    Malaysia sedia jadi tuan rumah Simposium Haji Perdana

    SIMPOSIUM Haji Perdana di Arab Saudi yang membincangkan semua perkara berkaitan haji dan umrah dicadangkan untuk diadakan di Malaysia pada masa hadapan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, dengan penganjuran di Malaysia, ia akan dapat membantu negara ASEAN lain untuk mengambil bahagian selain tidak perlu mengeluarkan kos yang besar untuk ke Arab Saudi.

    “Saya berpandangan, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fauzan Muhammed Al Rabiah tidak mempunyai halangan untuk membincangkan cadangan berkenaan disebabkan hubungan baik antara kedua-dua negara.

    “Kita ada ramai pensyarah universiti yang menulis mengenai haji dan umrah dan saya rasa kalau kita buat simposium di Malaysia, kita boleh cungkil lagi bakat baharu untuk memberikan idea-idea terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Haji Perdana kali ke-47 di Jeddah semalam.

    Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Syed Hamadah Syed Othman dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

    Simposium sehari itu menghimpunkan para cendekiawan dan pakar dari seluruh dunia bagi berkongsi pengetahuan, penemuan penyelidikan dan amalan terbaik dalam pengurusan ibadah haji.

    Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Abdulrahman Al-Sudais dan Dr. Tawfiq turut serta sebagai panel bagi mengupas mengenai perkhidmatan menyeluruh disediakan kerajaan Arab Saudi untuk memudahkan ibadah di Tanah Suci.

    Mengulas mengenai penyertaan Malaysia dalam simposium itu, Dr. Mohd. Na’im berkata, ia penting bagi mendapatkan maklumat secara terus daripada kerajaan Arab Saudi mengenai usaha yang diperkenalkan negara itu untuk kemudahan bakal haji.

    “Tema pada tahun ini ialah berkisar mengenai khidmat memudahkan jemaah beribadah di Tanah Suci apabila 40 agensi bekerjasama bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kerajaan Arab Saudi.

    “Mereka menyelaras agensi-agensi bermula dari proses di setiap negara, berada di Tanah Suci kemudian balik ke negara masing-masing selamat dari segi keselamatan dan kesihatan,” katanya lapor Sinar Harian.

  • Bapa rogol anak kandung dijel 30 tahun, enam sebatan

    Bapa rogol anak kandung dijel 30 tahun, enam sebatan

    SEORANG bapa dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Gua Musang semalam atas lima pertuduhan termasuk merogol anak kandungnya dan memiliki video pornografi.

    Sinar Harian melaporkan, tertuduh yang berusia 45 tahun mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

    Pada masa sama, tertuduh turut mengaku salah terhadap tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuannya.

    Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya ketika mangsa berusia 12 tahun di sebuah rumah di daerah ini sejak Jun 2020.

    Kali terakhir tertuduh melakukan perbuatan terkutuk itu pada 30 Mei lalu.

    Tertuduh berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan yang mana masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

    Bagi pertuduhan pertama dan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara serta tiga sebatan bagi setiap pertuduhan.

    Bagi pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 292(B) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman tiga tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Selain itu, tertuduh turut mengaku memiliki video lucah dalam telefon bimbit jenis Realme dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan dari tarikh tangkapan dibuat.

    Bagi pertuduhan keempat dan kelima, masing-masing pertuduhan mengikut Seksyen 8 (A) dan 14 (D) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Terdahulu, pada 4 Jun 2023, mangsa telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Bertam, selepas tertuduh bertindak meraba mangsa pada 30 Mei lalu.