Category: Semasa

  • Ahli Parlimen Labuan didakwa guna kedudukan dapatkan kontrak pekerjaan

    Ahli Parlimen Labuan didakwa guna kedudukan dapatkan kontrak pekerjaan

    AHLI Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, tiga tahun lepas.

    Rozman, 57, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

    Mengikut pertuduhan, Rozman didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd yang bapa dan adik lelaki tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya, antara 2.30 petang dan 5.30 petang, 21 Mac 2018.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan tersebut dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Sebaik sahaja pertuduhan dibacakan, Rozman yang memakai sut biru gelap berkata: “Saya sama sekali tidak bersalah dan minta dibicarakan”.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan dan pembelaan yang diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali telah bersetuju jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin diberikan kepada Rozman.

    Ahmad Akram turut memohon supaya pasport Rozman diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Muhammad Rafique, yang mewakili Rozman mengesahkan jumlah jaminan yang telah dipersetujui.

    Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

    Ketika membenarkan tertuduh diikat jamin, Rozina berkata jika boleh penjamin berkenaan adalah individu yang tinggal di Semenanjung.

    “Kita tidak mahu sekiranya berlaku Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sana (Labuan) atau apa sahaja, ia menjadi kesukaran…jadi, mahkamah mahu penjamin yang tinggal di Kuala Lumpur atau Selangor,” kata Rozina.

    Mahkamah turut menetapkan 19 Nov ini untuk sebutan semula kes.

    — BERNAMA

  • MPN ambil tindakan perkukuh, tambah baik sistem kesihatan, ekonomi pasca COVID-19 – Muhyiddin

    MPN ambil tindakan perkukuh, tambah baik sistem kesihatan, ekonomi pasca COVID-19 – Muhyiddin

    MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) selaku pentadbir bersama agensi di bawah Kementerian Kewangan dan Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional (LAKSANA) akan mengambil tindakan sewajarnya untuk memperkukuhkan ketahanan sistem kesihatan dan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19.

    Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini kerana COVID-19 telah memberi pengajaran kepada negara tentang kepentingan penambahbaikan dan penstrukturan semula terhadap sistem kesihatan dan ekonomi yang lebih cekap serta berdaya tahan.

    “Sebagai Pengerusi MPN, saya memikul amanah untuk memastikan segala perancangan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan strategi keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi kesan pandemik COVID-19, dapat berjalan seperti dirancang dan dipastikan mencapai matlamatnya. 

    “Untuk menjayakan matlamat MPN ini, pendekatan seluruh kerajaan dan masyarakat sahaja tidak memadai, sebaliknya memerlukan pendekatan seluruh negara bagi membolehkan usaha pemulihan negara berjalan lancar dengan mendapat sokongan dari seluruh pelosok tanah air,” katanya ketika berucap pada majlis Diners Club Talk anjuran Maktab Ketahanan Nasional malam ini. 

    Dalam pada itu Muhyiddin turut menyentuh usaha kerajaan dalam melaksanakan proses vaksinasi yang pantas sehingga memperlihatkan hasil melalui pengurangan kes baharu COVID-19 di seluruh negara dengan statistik harian jangkitan menurun kepada empat angka dan kebanyakan kes dalam kategori tidak bergejala atau bergejala ringan.

    Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia untuk sentiasa bersedia menghadapi ancaman yang mampu menggugat keselamatan rakyat dan kestabilan negara yang muncul tanpa amaran, pada masa hadapan.

    “Tahap kesiapsiagaan itu bukan sahaja dalam aspek pertahanan, bahkan meliputi antaranya pemerkasaan kawalan penyakit, pembangunan vaksin dan sokongan yang mencukupi terhadap petugas kesihatan dan keselamatan yang menjadi frontliners kita.

    “Dalam era baharu ini, kita perlu mengatur strategi, agar pada masa depan kita telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi pandemik, bukannya baru hendak bertindak selepas dilanda pandemik,” katanya.

    — BERNAMA

  • PRN Melaka : UMNO tidak mampu bergerak solo – Penganalisis

    PRN Melaka : UMNO tidak mampu bergerak solo – Penganalisis

    UMNO dilihat tidak mampu bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya ingin kekal memegang tampuk pentadbiran di negeri itu.

    Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Sivamurugan Pandian berkata UMNO perlu melihat kepada lawan mereka iaitu Pakatan Harapan (PH) yang dilihat tidak goyah dengan kemelut yang berlaku ketika ini.

    “Walaupun Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) menyatakan mereka boleh bergerak solo, tetapi dalam konteks sekarang ini, percaturan juga harus melihat kepada kedudukan pesaing politik mereka PH yang saya rasa tidak goyah dengan kerjsaama DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

    “Sekiranya ingin dekati undi protes, yang sudah tentu boleh berlaku, dan jika mahu ingin pastikan pola pengaliran keluar pengundi meningkat kerana dijangka menurun dalam kedudukan semasa, maka kerjasama-kerjasama ini perlu dimaksimumkan oleh UMNO,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.

    Jelasnya, UMNO perlu mengatasi persepsi negatif terhadap parti itu lantaran terpalit dengan dakwaan sebagai punca kepada krisis politik yang berlaku di Melaka.

    “Sekiranya kerjasama dibina dengan parti-parti lain (komponen Perikatan Nasional), itu sekurang-kurangnya akan menunjukkan keupayaan UMNO untuk ketengahkan penyatuan ataupun kerjasama dengan parti lain dalam keadaan ketika perlu mengurus beberapa persepsi.

    “Jadi, UMNO berhadapan dengan persoalan untuk mengurus persepsi dalam kalangan pengundi walaupun kita tahu di peringkat akar umbi, UMNO kuat dari segi guna tenaga, jentera dan mengurus parti.

    “Sejauh mana itu mampu terjemah dalam bentuk sokongan (semasa PRN), masih menjadi satu titik persoalan,” katanya.

    Ahmad Zahid semalam memberi gambaran kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) berkemungkinan tidak dapat direalisasikan dalam PRN Melaka sekiranya ia diadakan kelak.

    Katanya, biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional (BN) secara solo, dan percaya rakyat akan memilih parti yang terbaik.

  • Proses pemulihan negara selepas pandemik Covid-19 libat segenap aspek

    Proses pemulihan negara selepas pandemik Covid-19 libat segenap aspek

    TAN Sri Muhyiddin Yassin  menegaskan proses pemulihan selepas negara dilanda pandemik Covid-19 mesti melibatkan segenap aspek kehidupan dan pembinaan negara termasuk perpaduan serta kebudayaan.

    Beliau yang merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata, cabaran besar ialah bagaimana menjadikan fasa-fasa pemulihan ke hadapan  lebih menyeluruh dan lebih cemerlang daripada sebelum ini.

    ‘’Oleh itu, Pelan Pemulihan Negara ini perlu menyediakan strategi yang tuntas untuk Malaysia bangkit kembali dari impak pandemik Covid-19 dengan mengenal pasti sektor ekonomi yang paling memerlukan perhatian yang perlu dibantu untuk bangkit semula dengan tumpuan kepada pelancongan, pendidikan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh jangka pendek dan sederhana,’’ katanya melalui Facebook beliau.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata hari ini, beliau menghadiri Sesi Ramah Mesra dan Dialog bersama warga Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) yang terdiri daripada ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah, felo-felo kanan, felo serta kakitangan institut itu.

    Beliau berkata, negara sudah tentu tidak akan dapat kembali seperti dahulu  tetapi  apa yang sedang diusahakan diharap menjadi lebih baik daripada sebelum pandemik.

    ‘’Saya juga mengucapkan tahniah kepada Institut MASA kerana berjaya menganjurkan majlis  ini dan berharap institut ini dapat meneroka lebih banyak bidang penyelidikan dalam isu-isu yang melibatkan rakyat seperti kemiskinan, pendidikan dan pembinaan negara bangsa,’’ katanya.

    Institut MASA merupakan sebuah badan pemikir bebas yang ditubuhkan dengan fokus awal  untuk merangka Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030). 

    Ia mempunyai 12 felo yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sosial dan pendidikan.

    Turut hadir pada sesi itu ialah Menteri Kanan Pendirikan Datuk Dr Radzi Mohd Jidin, Menteri dan Tan Sri Sulaiman Mahbob, yang kedua-duanya adalah Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut MASA serta felo kanan antaranya Prof Datuk Dr Denison Jayasooria, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Datuk Dr Madeline Berma.

  • Pengecualian faedah 3 bulan, pengurangan bayaran ansuran peminjam B50

    Pengecualian faedah 3 bulan, pengurangan bayaran ansuran peminjam B50

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus) kepada peminjam yang berada dalam kumpulan 50 peratus terbawah (B50) yang akan dilaksanakan oleh sektor perbankan dalam masa terdekat.


    Beliau berkata kemudahan yang ditawarkan ialah pengecualian faedah untuk tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan, termasuk pengurangan kadar faedah.


    “Dalam tempoh ini, pelanggan dengan pinjaman/pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat daripada kadar faedah yang dikurangkan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.


    Katanya URUS merupakan program sokongan bantuan bayaran balik pinjaman yang komprehensif dan akan ditawarkan kepada pelanggan B50 yang terjejas, yang turut merangkumi peminjam yang berada dalam kategori isi rumah B40, iaitu mereka yang berpendapatan kasar kurang daripada RM5,880 sebulan.


    Beliau berkata program URUS ini telah dirangka oleh sektor perbankan bersama-sama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).


    “Butiran selanjutnya mengenai program URUS akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.


    Beliau berkata inisiatif oleh sektor perbankan jelas mencerminkan semangat Keluarga Malaysia dan melengkapkan usaha kerajaan untuk membantu golongan peminjam B50 yang sebelum ini telah pun mendapat manfaat daripada program moratorium yang diumumkan di bawah pakej bantuan dan rangsangan kerajaan sejak Mac 2020.


    Katanya kerajaan berharap dengan pendekatan ‘whole-of-nation’ dan penyatuan usaha seluruh rakyat Malaysia, matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, inklusif dan mampan mampu direalisasikan. – Bernama

  • 53 penjawat awam Negeri Sembilan dinasihat segera ambil vaksin

    53 penjawat awam Negeri Sembilan dinasihat segera ambil vaksin

    SERAMAI 53 penjawat awam di Negeri Sembilan yang masih belum menerima vaksin Covid-19 mempunyai masa hingga hujung bulan ini sebelum dikenakan tindakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

    Aminuddin berkata kerajaan negeri berharap golongan berkenaan dapat mengambil suntikan vaksin Covid-19 pada kadar segera demi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

    “Sebelum ini, seramai 64 penjawat awam di negeri ini yang dikenal pasti belum bersedia untuk menerima vaksin berkenaan bagaimanapun 11 daripada mereka telah menerima suntikan.

    “Memang ada antara mereka yang masih berkeras untuk tidak mahu vaksin. Kita berharap mereka ini memikirkan semula untuk menerima vaksin walaupun masing-masing berpandangan mempunyai hak tersendiri,” katanya pada sidang media mingguan pascamesyuarat Exco di Wisma Negeri, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan JPA mewajibkan semua penjawat awam melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 sebelum 1 November ini.

    Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pembentangan Belanjawan 2022 pada hujung bulan depan.

    “Bajet yang kita rumuskan pada tahun depan adalah realisitik. Kerajaan akan melihat belanjawan tahun terdahulu untuk dirangkumkan dan dibuat pengharmonian supaya bajet yang dibentang kali ini lebih bermakna serta memberi satu rangsangan ekonomi kepada masyarakat,” katanya.

    Sementara itu, susulan rentas negeri dibenarkan, Aminuddin menasihati pengunjung yang datang ke Negeri Sembilan terutamanya pada hujung minggu ini agar menjaga kebersihan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. -Bernama

  • Askar bunuh diri selepas mengamuk, tembak ibu mentua

    Askar bunuh diri selepas mengamuk, tembak ibu mentua

    SEORANG anggota tentera yang berseragam lengkap mengamuk dan menembak ibu mentuanya yang berusia lingkungan 50-an di Kampung Kolong, Sungai Tengah, Matang, Kuching, hari ini.

    Dalam kejadian sekitar pukul 12.45 tengah hari, suspek, 29, tiba di rumah mentuanya dan melepaskan beberapa das tembakan rambang menggunakan senjata api jenis M4 Carbine.

    Satu daripada tembakan suspek berpangkat Lans Koperal dan bertugas di Rejimen Sempadan ke-10 itu mengenai bahu kiri ibu mentuanya.

    Suspek kemudian berrtindak menembak kepalanya sendiri dan mati di tempat kejadian sementara ibu mentuanya yang cedera kini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

    Suspek meninggalkan balu berusia 22 tahun dan seorang anak perempuan, hasil perkahwinan mereka sejak dua tahun lepas.

  • Azmin, pegawai kanan MITI dalam misi dagangan, pelaburan ke Eropah

    Azmin, pegawai kanan MITI dalam misi dagangan, pelaburan ke Eropah

    MENTERI Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba di Frankfurt, Jerman, bersempena program Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala antara Malaysia dan penggerak kuasa ekonomi Eropah.

    Misi yang bermula hari ini sehingga 21 Oktober, 2021 turut meliputi Perancis dan United Kingdom (UK), demikian menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    “Usaha misi ke Eropah ini menyasarkan syarikat-syarikat dalam kalangan perintis pembuatan pintar, automotif, elektrikal dan elektronik (E&E), peranti perubatan, industri berteknologi tinggi serta yang terlibat dalam pembangunan mampan, agenda hijau dan perdagangan digital baik di peringkat Eropah dan global.

    “Di samping itu, negara-negara ini juga telah menggariskan dasar serta polisi untuk mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 yang sejajar dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” kata kementerian itu.

    Mohamed Azmin turut disertai oleh pegawai kanan MITI dalam misi tersebut yang bertujuan memaparkan dasar kerajaan Malaysia sebagai mesra perniagaan serta keupayaannya dalam bidang strategik seperti kemampanan, pembuatan tinggi dan Revolusi Perindustrian 4.0.

    “Justeru, program TIM ini akan membabitkan sesi libat urus dengan pemimpin industri serta pelabur terkemuka Eropah dalam meninjau prospek perniagaan akan datang di Malaysia,” kata MITI.

    Selain itu, Mohamed Azmin akan turut memanfaatkan sesi libat urus itu dengan berkongsi maklumat mengenai Pelan Pemulihan NMegara, RMK12 dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

    Beliau dijadualkan bertemu dengan pihak Persatuan Persekutuan Pengurusan Bahan, Pembelian dan Logistik eV (BME) yang dianggotai oleh lebih 9,000 penggiat logistik di Jerman dan Eropah.

    Mohamed Azmin juga akan menemui kalangan pemimpin automotif global, Porsche AG dan Daimler AG di Stuttgart yang terbukti mencatat kemajuan dalam pembangunan kenderaan elektrik (EV) yang selari dengan hala tuju Malaysia membabitkan bidang pertumbuhan baharu dengan penekanan dalam elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

    Pada 2020, Jerman merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia dan menjadi sumber kedua terbesar dari segi pelaburan langsung asing (FDI) dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

    Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, jumlah perdagangan dua hala dengan Jerman bernilai RM35.45 bilion (AS$8.59 bilion) dengan eksport dan import masing-masing sebanyak RM18.75 bilion (AS$4.55 bilion) dan RM16.70 bilion (AS$4.05 bilion).

    Pelaburan terbesar dari Jerman meliputi produk-produk E&E, bahan kimia dan produk berasaskannya selain produk petroleum.

    Sementara itu, dalam kalangan EU, Perancis merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dan sumber ketiga terbesar FDI pada 2020.

    Malah, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, jumlah keseluruhan perdagangan antara Malaysia dan Perancis mencecah RM8.37 bilion (AS$2.03 bilion) manakala eksport ke Perancis mencecah RM3.64 bilion (AS$0.89 billion) dan import pada RM4.73 billion (AS$1.15 bilion).

    Majoriti pelaburan Perancis di Malaysia merangkumi produk-produk bahan kimia dan barangan berasaskannya, jentera dan peralatan, kelengkapan pengangkutan serta produk petroleum.

    Pada 2020, UK pula merupakan rakan dagang ke-18 terbesar Malaysia di peringkat global.

    Jumlah perdagangan antara Malaysia dan UK bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini telah mencecah RM11.19 bilion (AS$2.72 bilion) yang disumbangkan oleh eksport sebanyak RM6.52 bilion (AS$1.58 bilion) dan import RM4.67 bilion (AS$1.13 bilion).

    Malaysia merekodkan pelaburan besar dari UK dalam bidang pengeluaran produk E&E, bahan kima dan produk berasaskannya serta produk petroleum. – Bernama

  • RON97 naik 10 sen, RON95 dan Diesel tidak berubah

    RON97 naik 10 sen, RON95 dan Diesel tidak berubah

    KEMENTERIAN Kewangan hari ini memaklumkan, harga runcit petrol RON97 naik 10 sen seliter kepada RM2.87 mulai esok sehingga 20 Oktober ini.

    Dalam kenyataan hari ini kementerian itu memaklumkan bagaimanapun harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing kekal pada harga RM2.05 dan RM2.15 hingga 20 Oktober.

    Menurut kementerian itu ia berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

    “Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran APM bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling semasa,” menurut kenyataan itu.

    Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara

  • Warga emas, barisan hadapan terima dos penggalak

    Warga emas, barisan hadapan terima dos penggalak

    PEMBERIAN dos penggalak kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas dan anggota barisan hadapan yang lengkap vaksinasi sekurang-kurangnya enam bulan lalu.

    Menteri Kesihatan (KKM), Khairy Jamaluddin berkata, mereka yang layak akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera.

    “Bagi individu yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera, pemakluman akan dibuat melalui pesanan ringkas atau panggilan telefon oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

    “Pemberian dos penggalak dilakukan secara sukarela dan percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, objektif pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 ialah untuk memastikan tempoh perlindungan yang optima diperoleh oleh penerima vaksin di negara ini.

    Katanya, dos penggalak merupakan dos tambahan yang perlu diberikan kepada seseorang yang sebelumnya mendapat perlindungan mencukupi selepas vaksinasi lengkap namun imuniti tersebut menurun dari semasa ke semasa.

    “Pemberian dos penggalak akan diterajui oleh klinik swasta (GPs) di bawah penyelarasan ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd.,” katanya.

    Menurutnya, fasiliti kesihatan kerajaan akan memberi suntikan vaksinasi kepada anggota kesihatan masing-masing.

    “Anggota kesihatan swasta juga boleh mendapatkan dos penggalak daripada fasiliti masing-masing bergantung kepada persetujuan jabatan kesihatan negeri,” katanya.

    Ujarnya, dos penggalak akan diberikan di fasiliti kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi anggota barisan hadapan ATM.

    “Pemberian dos penggalak akan melibatkan penerima dos lengkap vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer BioNTech dahulu di mana individu tersebut akan menerima vaksin yang sama.

    Ini memandangkan hanya vaksin Comirnaty yang telah mendapat kelulusan bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 8 Oktober,” katanya.