Category: Semasa

  • Kes Covid-19 rendah, tak perlu saringan masuk Langkawi

    Kes Covid-19 rendah, tak perlu saringan masuk Langkawi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak lagi melaksanakan ujian pengesanan Covid-19 kepada pelancong ke Langkawi dibuat berikutan jumlah mereka yang didapati positif adalah rendah dan terkawal.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr. Mohd Hayati Othman, sepanjang ujian pengesanan itu dilaksanakan sejak sektor pelancongan kembali dibuka pada 16 September lalu, hanya 0.4 peratus daripada 54,351 pelancong yang hendak memulakan perjalanan ke situ didapati positif Covid-19.

    Begitu pun katanya, kalangan pelancong diingatkan supaya tetap mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin agar penularan Covid-19 dapat dicegah ketika mereka berkunjung ke destinasi pelancongan popular itu.

    “Setakat ini penularan Covid-19 di Langkawi hanya melibatkan penduduk di pulau itu saja dan tidak melibatkan pelancong. Tiada pelancong yang menjadi pencetus kepada mana-mana kluster atau kes di pulau itu.

    “Pelaksanaan ujian itu juga perlu ditampung pelancong sebelum ini dan mungkin dengan langkah terbaru kerajaan ini, ia sedikit sebanyak membantu mengurangkan perbelanjaan pengunjung sekali gus menarik kedatangan pelancong ke Langkawi,” katanya kepada Warta Rakyat di Alor Setar, hari ini.

    Kementerian Kesihatan sebelum ini membuat keputusan untuk menghentikan serta-merta keperluan ujian pengesanan Covid-19 buat pelancong ke Langkawi bermula kelmarin.

    Begitu pun menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, kalangan pelancong digalakkan unntuk menjalani ujian kendiri sebelum memulakan perjalanan ke pulau berkenaan.

    Dalam pada itu Mohd. Hayati memaklumkan, satu daripada tiga Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini iaitu di Dewan Al-Farabi Alor Setar, ditutup mulai hari ini.

    Katanya, antara faktor PKRC itu ditutup adalah disebabkan pengurangan kes Covid-19 di Kedah kebelakangan ini.

    Katanya berikutan penutupan itu, mana-mana kes bagi kategori tiga dan empat selepas ini akan dihantar ke PKRC Dewan Wawasan di Jitra bagi mendapatkan rawatan.

    “Semua itu boleh dianggap sebagai satu kejayaan bagi negeri ini. Malah ketika ramai penduduk Kedah sudah mendapatkan vaksin, rata-rata mereka yang dijangkiti Covid-19 juga tidak mengalami gejala teruk.

    “Jadi mereka hanya menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO),” katanya.

  • Malaysia sumbang RM5 juta bina semula Klinik Al-Rimal Gaza

    Malaysia sumbang RM5 juta bina semula Klinik Al-Rimal Gaza

    MALAYSIA menyumbang RM5 juta kepada Palestin untuk membantu usaha membina semula Klinik Al-Rimal yang menempatkan satu-satunya makmal ujian COVID-19 di Gaza yang mengalami kerosakan akibat serangan udara Israel pada Mei.

    Pertukaran Nota (EoN) mengenai sumbangan itu dimeterai Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali di Kementerian Luar (Wisma Putra), di sini pada Khamis.

    Saifuddin berkata, sumbangan menerusi Tabung Bantuan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu mencerminkan sokongan padu Malaysia terhadap kerajaan dan rakyat Palestin.

    “Serangan yang tidak henti-henti oleh Israel telah musnahkan infrastruktur awam di Gaza, termasuk kemudahan yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kritikal kepada rakyat Palestin di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19,” katanya di majlis menandatangani EoN itu.

    Walid Abu Ali menunjukkan gambar Klinik Al-Remal yang mengalami kerosakan akibat serangan udara rejim Zionis Israel Mel lalui dalam sidang media bersama Saifuddin Abdullah di Putrajaya, hari ini. – Gambar: Facebook Saifuddin Abdullah

    Saifuddin berkata, kerajaan Malaysia juga telah memutuskan untuk memberikan sumbangan jangka panjang kepada Agensi Bantuan dan Pekerjaan untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), sebagai menyokong usaha agensi itu membantu rakyat Palestin.

    Beliau berkata, sebagai tambahan kepada sumbangan kewangan kepada UNRWA sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan US$1 juta yang akan dibayar sebanyak US$ 200,000 setiap tahun dari 2021 hingga 2025.

    “Sumbangan kerajaan itu sebagai pelengkap kepada usaha kemanusiaan dan bantuan dari Malaysia, termasuk yang dilakukan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan,” katanya.

    Selain bantuan kewangan, Saifuddin berkata, Malaysia juga sedang mencari kaedah lain untuk membantu rakyat Palestin dari segi pendidikan dan pekerjaan.

    “Terdapat ramai penuntut Palestin di Malaysia, ada dapat biasiswa dan ada tidak. Kami mahu bincang perkara ini dengan pihak berkaitan untuk lihat bagaimana kita boleh bantu pelajar Palestin di Malaysia dan menarik lebih ramai datang belajar di sini dengan bantuan kewangan.

    “Mengenai pekerjaan pula, rakyat Palestin yang tinggal di sini hanya guna kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian ) dan kami akan pastikan mereka tidak dieksploitasi,” katanya.

    Sementara itu, Walid berkata, Klinik Al-Rimal sangat penting kepada penduduk Palestin kerana ia juga digunakan sebagai ibu pejabat Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza. Klinik itu mengalami kerosakan akibat serangan Israel selama 11 hari pada Mei.

    “Malaysia adalah antara negara yang menghulurkan bantuan kewangan segera kepada Palestin. Kami amat hargai bantuan diberikan Malaysia untuk membina semula apa yang telah rosak akibat serangan udara Israel,” katanya.

    Walid berkata, beliau turut menzahirkan penghargaannya kepada Malaysia yang senantiasa menyokong perjuangan Palestin sejak lebih tujuh dekad. – BERNAMA

  • Karier Zahid bakal berakhir jika UMNO gagal di PRN Melaka?

    Karier Zahid bakal berakhir jika UMNO gagal di PRN Melaka?

    KEDUDUKAN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan tergugat dalam UMNO dan berkemungkinan akan digulingkan sebagai presiden sekiranya parti Melayu itu gagal memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata penganalisis.

    Mereka berkata pertembungan “dua kem” UMNO di Melaka sehingga menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan baru-baru ini memperlihatkan kelemahan Ahmad Zahid sebagai Presiden parti.

    Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata PRN Melaka juga akan memberikan impak langsung kepada kepimpinan Ahmad Zahid dan pemilihan UMNO akan didesak untuk disegerakan.

    “Sekiranya UMNO gagal memenangi PRN Melaka kali ini, ternyata ianya memberikan tekanan kepada beliau untuk kekal sebagai Presiden UMNO bila mana diadakan pemilihan kelak,” katanya kepada MalaysiaNow.

    DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

    Empat ADUN tersebut ialah ADUN Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron, Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

    Peristiwa itu menyaksikan tampuk kepimpinan negeri bertukar kali kedua dalam tempoh sepenggal selepas kerajaan Melaka pimpinan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020.

    Pemerhati politik dari Universiti Utara Malaysia, Ahmad Marthada Mohamed berkata, pendirian Ahmad Zahid yang berubah-ubah berhubung krisis tersebut mencalarkan reputasi beliau.

    “Beliau yang menyatakan perlunya ada PRN, beliau juga yang nyatakan darurat perlu dilaksanakan untuk elakkan PRN,” katanya kepada MalaysiaNow.

    “Kedua, konflik dalaman UMNO tercetus kerana kelemahan kepimpinan terutama kepimpinan tertinggi.”

    Marthada berkata, PH berkemungkinan untuk memenangi semula Melaka sekiranya UMNO dan Perikatan Nasional (PN) bertanding secara berasingan.

    “Di Melaka, ada kawasan-kawasan yang dikatakan hampir pasti dimenangi oleh DAP dan ada kawasan yang mana jika tiada kerjasama antara PN dan U, mungkin sukar untuk calon daripada kedua-dua blok ini memenangi kerusi tersebut.

    “Pertembungan tiga penjuru akan beri kelebihan kepada PH. Ini senario pada PRU14 dan kita akan lihat senario sama jika tidak ada perundingan antara UMNO dan PN,” tambah beliau.

    Menurut Marthada, tuduhan yang dilemparkan berhubung penyelewengan projek pasir di Melaka memberikan kesan terhadap UMNO di Melaka memandangkan Idris masih mempunyai pengaruh sebagai bekas ketua menteri.

    “Bayangkan jika Melaka tidak dimenangi oleh UMNO-Barisan Nasional dan tiba-tiba diambil alih oleh PH. Ini akan melemahkan kredibiliti Presiden.

    “Saya percaya sedikit demi sedikit tekanan dapat mula dirasai bermula dengan krisis Umno di Melaka dan kenyataan-kenyataan (pimpinan parti) yang kita lihat tidak sehaluan,” katanya.

    Menurut Marthada, ketakutan kepada pandemik seperti mana yang berlaku ketika PRN Sabah akan memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi di Melaka.

    “Rakyat juga melihat bahawa PRU akan diadakan juga tidak lama lagi. Tiada sentimen untuk membuatkan rakyat bersungguh-sungguh turun mengundi.

    “Di Melaka, jumlah pengundi tak ramai. Jika yang turun mengundi pun tidak ramai, ditambah pula dengan undi berpecah, ini pasti akan berikan kesan,” katanya.

    Hisommudin berkata dalam keadaan peratusan keluar mengundi rendah, tidak mudah untuk PH merampas kembali Melaka.

    “Kemenangan PH bersyarat, yang memerlukan peratusan keluar mengundi di aras melepasi 85% dengan tiga segmen yang menyumbang kemenangan mereka pada PRU14 lalu kekak iaitu pengundi Cina, pengundi luar dan pengundi muda,” katanya.

  • Sistem daftar bunuh diri KKM dijangka siap 2023

    Sistem daftar bunuh diri KKM dijangka siap 2023

    SISTEM Daftar Bunuh Diri dan Kecederaan Fatal Kebangsaan (NSFIRM) yang sedang dibangunkan Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka siap sepenuhnya pada 2023.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

    Menurut beliau, pada masa ini, KKM sedang dalam perincian proses kerja serta pembangunan aplikasi bagi sistem tersebut, yang akan melibatkan semua fasiliti hospital KKM di seluruh negara.

    “NSFIRM disenaraikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan diperuntukkan RM4 juta bagi pembangunan sistem tersebut.

    “Pembangunan NSFIRM akan membolehkan pembangunan statistik terperinci dan tepat berkaitan kejadian bunuh diri dan kecederaan fatal diperoleh, yang mana ia akan membantu memperkukuhkan usaha pembangunan dasar dan program pencegahan tingkah laku bunuh diri,” katanya.

    Dr Noor Azmi menjawab pertanyaan Senator Fadhlina Sidek mengenai status dan pertimbangan kerajaan tentang pelaksanaan semula Daftar Bunuh Diri Kebangsaan, bagi membolehkan masyarakat mendapat akses kepada informasi kes bunuh diri.

    Beliau menambah, sementara menunggu sistem itu siap sepenuhnya, KKM akan menggunakan data diperoleh daripada sumber lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Institut Sosial Malaysia, untuk melihat statistik kes bunuh diri dan kecederaan fatal di negara ini.

    “Data-data ini akan menunjukkan bagaimana masalah bunuh diri. Daripada Januari hingga Mac 2021, sebanyak 336 kes direkodkan sedangkan pada tempoh sama tahun lepas 112 kes dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 67 peratus. Kes didapati melibatkan umur yang produktif antara 19 dan 40 tahun.

    “KKM akan mengambil data-data ini untuk melihat bagaimana kita nak mengkaji isu ini dan sebab itulah usaha melaksanakan sistem data bunuh diri dan kecederaan fatal sedang dipergiatkan. KKM sangat serius mengenai perkara ini…kita letakkan dana yang tinggi untuk melaksanakannya,” jelasnya.

  • Bicara Shafee tangguh, peguam hadiri pengebumian

    Bicara Shafee tangguh, peguam hadiri pengebumian

    PERBICARAAN kes peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram dan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ditangguhkan ke 26 Okt ini kerana peguam utamanya, Harvinderjit Singh menghadiri pengebumian.

    Pada prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, peguam Sarah Abishegam yang mewakili Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa Harvinderjit menghadiri upacara pengebumian pengajarnya sebelum beliau diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara.

    “Pihak-pihak telah bersetuju untuk menggantikan tarikh perbicaraan pada hari ini kepada 26 dan 27 Okt depan.

    “Pihak pembelaan juga memohon agar tarikh perbicaraan pada November ini dilapangkan kerana Muhammad Shafee terikat dengan kes lain,” kata peguam itu pada prosiding perbicaraan kes yang sepatutnya bersambung pada hari ini.

    Sarah berkata, perbicaraan selama empat hari adalah memadai memandangkan hanya tiga lagi saksi akan dipanggil dan mencadangkan tarikh perbicaraan seterusnya pada 8 dan 10 Dis ini.

    Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan itu.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan tarikh perbicaraan pada November dilapangkan dan menangguhkan perbicaraan pada hari ini selain menetapkan 26 Okt untuk sambung bicara.

    Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Feb 2014.

    Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram. – BERNAMA

  • Lelaki tetak mati ibu, bapa dirujuk ke Hospital Permai

    Lelaki tetak mati ibu, bapa dirujuk ke Hospital Permai

    SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lipis hari ini atas pertuduhan membunuh ibu dan bapa kandungnya, minggu lalu.

    Tertuduh, Ahmad Hafizuddin Mohammad, 31, mengangguk faham terhadap pertuduhan ketika dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh bapanya Mohammad Maasai, 68, dan ibu, Zailan Zainudin, 64, di sebuah rumah di Kampung Kemahang Benta, di sini antara 11 malam hingga 12 tengah malam pada 4 Okt lepas.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding berkenaan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh memohon agar tertuduh dirujuk ke hospital, bagi menjalani pemeriksaan psikiatri untuk menilai tahap kesihatan mentalnya.

    Berikutan itu Siti Aisyah membenarkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai di Johor bagi menjalani pemeriksaan dan menetapkan 11 Nov untuk sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan, sepasang suami isteri warga emas maut dipercayai ditetak anak lelaki mereka dengan menggunakan parang dan kejadian didakwa berlaku selepas lelaki itu berbual bersama bapanya mengenai ilmu agama dan ketuhanan. – BERNAMA

  • Bekas guru besar didakwa pecah amanah wang zakat

    Bekas guru besar didakwa pecah amanah wang zakat

    SEORANG bekas guru besar hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan pecah amanah menyalahgunakan wang sumbangan zakat berjumlah RM75,000 pada 2019.

    Bagi kesemua pertuduhan, Mohamed Nor Azmi Darno, 54, didakwa melakukan pecah amanah dengan curangnya menyalahgunakan wang sumbangan zakat, dengan nilai keseluruhan RM75,000 daripada sebuah syarikat korporat kepada murid asnaf di sebuah sekolah rendah di Sungai Buloh, dekat sini di mana tertuduh merupakan guru besar sekolah itu pada masa tersebut.

    Mohamed Nor Azmi yang kini bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor didakwa menyalahgunakan wang sumbangan itu, masing-masing RM5,000; RM40,000 dan RM30,000 untuk kegunaannya sendiri dan tidak diagihkan kepada murid asnaf sekolahnya, bagi program Pemberian Sumbangan Hari Raya 2019.

    Dia melakukan kesemua kesalahan tersebut di sebuah cawangan bank tempatan di Saujana Utama, Bandar Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini pada 17 dan 19 Jun 2019.

    Justeru, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noryusriza Zulkifli, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Asikin Mohamed Yusoff.

    Terdahulu, Nur Asikin yang mewakili Mohamed Nor Azmi memohon mahkamah membenarkan jaminan rendah daripada RM80,000 yang dicadang pihak pendakwaan, atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan enam anak dengan dua daripada mereka masih belajar serta tertuduh merupakan pencari nafkah utama keluarga.

    Hakim Rozilah Salleh memerintahkan tertuduh diikat jamin RM30,000 untuk kesemua kesalahan dengan seorang penjamin, dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Nov depan.

    Sebagai syarat tambahan, tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap awal bulan dan tidak mengganggu saksi. – BERNAMA

  • Dua warga asing antara tiga individu dituduh edar dadah

    Dua warga asing antara tiga individu dituduh edar dadah

    TIGA individu termasuk dua warga asing didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan mengedar dadah minggu lepas.

    Tertuduh lelaki warga India Narayanan Loganathan, 42, wanita warga Indonesia Puteri Adelia, 21, dan wanita tempatan M. Hemamalani, 26, hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abdul Wahab.

    Mengikut kertas pertuduhan, Narayanan didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 62,000 gram di sebuah rumah di Bandar Lahat Mines di sini kira-kira 5.15 petang, 4 Okt lepas.

    Lelaki yang bekerja di kedai runcit itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

    Puteri Adelia dan Hemamalani yang tidak bekerja pula didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas mengedar dadah jenis pil Yaba seberat 161 gram di sebuah rumah lain di Bandar Lahat Mines di sini kira-kira 5.30 petang hari yang sama.

    Pertuduhan ke atas kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut seksyen sama dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dengan Narayanan serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, ketiga-tiga tertuduh boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azahar manakala kesemua tertuduh diwakili peguam R. Raja Segaran.

    Mahkamah kemudian menetapkan 14 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk menunggu laporan kimia. – BERNAMA

  • MOTAC cadang buka Langkawi kepada pelancong asing

    MOTAC cadang buka Langkawi kepada pelancong asing

    KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan kepada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi, dibuka kepada pengunjung daripada beberapa negara luar.

    Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu bagi membolehkan Malaysia mengembangkan ekonomi yang terjejas susulan pandemik COVID-19.

    “Saya cadangkan dibuka (sempadan) kepada (pelancong) beberapa negara untuk Langkawi sahaja dahulu, (iaitu) projek rintis Langkawi, kita dengarlah dahulu pengumuman daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebab kita sudah buka ruang ini kepada pihak luar.

    “Ini salah satu cara kita mengembangkan ekonomi kita,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ahmad Yahaya, yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membuka ruang pelancongan bagi projek berkenaan kepada negara luar, khususnya negara ASEAN.

    Terdahulu, Nancy berkata, dari 16 Sept hingga 12 Okt, seramai 85,921 pengunjung telah mengembara ke Langkawi menerusi gelembung pelancongan tersebut melalui pintu masuk udara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan pintu masuk laut.

    Katanya, berdasarkan maklum balas Persatuan Hotel Malaysia (MAH), kadar purata penginapan di premis penginapan pelancong ahli MAH di Langkawi bagi tempoh tujuh hari pertama bulan ini adalah 45 peratus bagi premis penginapan pelancong bertaraf empat hingga lima bintang, manakala 21 peratus premis bertaraf tiga bintang dan ke bawah.

    Nancy berkata demikian bagi menjawab soalan asal Ahmad yang mahu tahu sejauh manakah sambutan pelancong tempatan ke Pulau Langkawi, selepas dibuka semula pada 16 Sept lepas serta masalah berbangkit sejak hari pembukaan sehingga kini. – BERNAMA

  • 90.9 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi

    90.9 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi

    MALAYSIA kini mencatat 90.9 peratus populasi dewasa atau 21,290,960 individu lengkap menerima dos vaksinasi COVID-19 setakat 11.59 malam tadi (13 Okt).

    Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) yang disiarkan di portal COVIDNOW, sebanyak 94.9 peratus populasi dewasa atau 22,230,828 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Selain itu, sejumlah 207,520 dos vaksin diberikan semalam melibatkan golongan dewasa dan remaja.

    Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Feb lepas meningkat kepada 46,252,254 dos bagi golongan dewasa.

    Bagi golongan kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam 453,906 atau 14.4 peratus melengkapkan suntikan vaksin, manakala 75.9 peratus atau 2,390,062 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi PICK Remaja yang bermula sejak 8 Sept lepas. – BERNAMA