Category: Semasa

  • Pesawat TUDM hantar kelengkapan Hospital Medan ATM Sibu

    Pesawat TUDM hantar kelengkapan Hospital Medan ATM Sibu

    PESAWAT A400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diterbangkan hari ini untuk membawa enam tan kelengkapan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (HMATM) Sibu.

    Pesawat berkenaan berlepas dari Pangkalan Udara Subang, pada pukul 7 pagi dan selamat tiba di Lapangan Terbang Sibu pada pukul 8.50 pagi.

    Mejar Mohd Hafiz Mat Yusof menjadi juruterabng pesawat itu dibantu Kapten Noor Mohamad Farhan Mohamad Noor dan Kapten Muhammad Idris Ismail bersama-sama empat kru dari Nombor 22 Skuadron TUDM.

    Jurucakap Markas 9 Briged Infantri berkata, antara kelengkapan hospital dan peralatan perubatan yang diterima adalah khemah DRASH, khemah utilis, pendingin hawa, katil medan, alat bantuan oksigen serta pelbagai peralatan perubatan lain.

    “Penghantaran udara menggunakan pesawat pengangkut TUDM ini adalah bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menghantar barangan logistik dan perubatan dalam usaha melengkapkan keperluan HMATM Sibu yang akan beroperasi dalam masa terdekat.

    “HMATM Sibu ditubuhkan bagi membantu pihak Hospital Sibu menguruskan pesakit bukan kes COVID-19, sekali gus meringankan tugas staf perubatan di Hospital Sibu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, Panglima 9 Briged Infantri, Brigedier Jeneral Shamshor Jaafar dan Timbalan Komander Rejimen 510 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Ahmad Halim Mohd Rosli turut menyaksikan ketibaan kelengkapan HMATM Sibu itu, hari ini.

    Apabila beroperasi sepenuhnya, HMATM Sibu yang mempunyai 100 katil itu akan diatur gerak oleh staf perubatan dari 1 Batalion Ubat.

  • Najib, Rosmah dikecam warganet Singapura

    Najib, Rosmah dikecam warganet Singapura

    WARGANET Singapura mengecam teruk laporan media berhubung keputusan mahkamah memulangkan pasport sementara Datin Seri Rosmah Mansor untuk menemani anak perempuannya bersalin di republik berkenaan.

    Portal di Singapura membuat liputan keputusan mahkamah di Malaysia yang mengembalikan pasport kepada Rosmah.

    Mereka juga turut membuat liputan terhadap permohonan suaminya yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan semula pasportnya untuk tujuan sama.

    Portal mothership.sg yang berpengkalan di Singapura menulis laporan berita berhubung hasrat kedua-dua pasangan itu yang mahu ke Singapura untuk menemani anak perempuan mereka, Nooryana Najwa yang dijadual bersalin tidak lama lagi.

    Memetik laporan AgendaDaily, dalam perkongsian berita yang dikongsi di akaun Facebook mothership, warganet dipercayai pengguna media sosial Singapura mengkritik keras hasrat Rosmah dan Najib.

    Malah, tidak kurang juga yang tidak mengalu-alukan kedatangan mereka memandangkan terpalit dengan banyak pertuduhan di mahkamah Malaysia ketika ini.

    Emerald Emerald menulis: ‘Itu hanya alasan dia. Bagaimana dia boleh dibenarkan berjalan ke luar negara ketika berdepan kes mahkamah? Ini menunjukkan lemahnya undang-undang Malaysia. Dia tidak layak diberikan layanan istimewa VIP lagi sepatutnya?

    Seorang lagi pengguna Facebook dengan nama Eric Lew menulis: “Saya harap kerajaan Singapura tidak memberi layanan istimewa untuk mereka tidak perlu menjalani kuarantin wajib 10 hari sama seperti yang diwajibkan kepada rakyat Malaysia memasuki Singapura.

    Sementara itu, pengguna Facebook dengan nama Howard Tan menulis: “Kenapa Singapura benarkan dia masuk ke sini?,”

    Ruangan komen dalam akaun Facebook Mothership dihujani ratusan komen yang majoritinya melahirkan rasa tidak puas hati dengan kebenaran mahkamah Malaysia yang memulangkan pasport sementara kepada Rosmah dan Najib itu.

    Pada 15 Oktober, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberi kebenaran kepada Rosmah untuk mendapatkan kembali pasportnya selepas memberi alasan untuk menemani anak perempuannya bersalin di Singapura.

    Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan yang dibuat oleh peguam bela tertuduh, Datuk Jagjit Singh.

    “Pasport pemohon dikembalikan kepadanya pada 15 Oktober 2021 (hari ini), dan mesti dikembalikan (ke mahkamah) sebelum atau sebelum 6 Disember 2021.

    “Ini dengan syarat pemohon hanya dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negeri ke Singapura, mulai 21 Oktober 2021, dan mesti kembali ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021,” katanya.

    Untuk rekod, perbicaraan kes rasuah Solar melibatkan Rosmah ketika ini masih sedang berlangsung. Najib yang sudah dijatuhi hukuman kes rasuah dan sedang dibicarakan dalam beberapa kes rasuah lain turut memohon untuk mendapatkan pasportnya semula.

  • Kerajaan cadang tambah renjer untuk kurangkan konflik hidupan liar dengan manusia

    Kerajaan cadang tambah renjer untuk kurangkan konflik hidupan liar dengan manusia

    KERAJAAN bercadang menambah bilangan renjer hutan bagi membantu mengawal aktiviti pencerobohan sekali gus mengekalkan habitat semula jadi haiwan liar di negara ini, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Beliau berkata setakat ini kerajaan telah melantik lebih 600 renjer yang mempunyai kepakaran, termasuk untuk menjaga Hutan Simpan.

    Katanya daripada jumlah itu lebih 400 renjer adalah dalam kalangan masyarakat Orang Asli, manakala selebihnya veteran tentera dan polis yang telah diberikan latihan secukupnya.

    “Pasukan renjer ini dilatih dan berkebolehan mengendalikan kes dalam hutan termasuk menjaga kawasan habitat hidupan liar, sekali gus dapat menghubungkan haiwan itu dengan manusia, contohnya gajah dan sebagainya.

    “Kawalan ini penting supaya dapat mengurangkan konflik antara hidupan liar dengan manusia. Konflik ini mungkin berpunca daripada pembangunan dan pembukaan kawasan, yang menyebabkan habitat semula jadi mereka diusik atau diteroka,” katanya ketika ditemui pemberita di Kota Bharu, semalam.

    Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menambah pasukan renjer dalam kalangan Orang Asli, beliau berkata individu yang berkepakaran dalam bidang berkenaan hampir tiada lagi.

    “Kita memerlukan lebih ramai renjer, kalau mahu lantik dalam kalangan Orang Asli, mereka yang berpakaran hampir habis. Namun, jika ada yang berminat menyertai pasukan tersebut, kita akan latih mereka.

    “Mereka juga diberikan elaun khas sehingga mencecah lebih RM2,000 sebulan sekali gus memberi pendapatan kepada golongan itu,” katanya.

    Sebelum ini media melaporkan daerah Kemaman di Terengganu mencatatkan bilangan kes gangguan gajah liar tertinggi di Semenanjung Malaysia, selain Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu.

    Menurut laporan berkenaan, Takiyuddin menyatakan dalam tempoh 2015 hingga Ogos 2021, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerima sebanyak 251 aduan daripada penduduk kampung dan pengusaha ladang, dengan anggaran kerugian kira-kira RM3.5 juta. – Bernama

  • Puak antivaksin sentap, lancar ‘serangan’ terhadap KJ

    Puak antivaksin sentap, lancar ‘serangan’ terhadap KJ

    PUAK antivaksin mempertingkatkan ‘serangan’ mereka terhadap pemimpin kerajaan berikutan pelaksanaan pelbagai peraturan yang bertujuan mengurangkan risiko penularan COVID-19 dalam kalangan rakyat.

    Sasaran utama mereka ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin selepas menegaskan bahawa beliau akan ‘membuatkan hidup mereka susah’.

    Khairy dilaporkan berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran 11th National Acute Myocardial Infarcation Course (NAMIC) 2021 di Kuala Lumpur, semalam.

    Salah satu kumpulan antivaksin yang menggelarkan diri mereka ‘Universal Antidote Malaysia’ melancarkan kempen membaca qunut nazilah bagi mendoakan kehancuran Ahli Parlimen Rembau itu.

    Mesej tentang tindakan yang kebudak-budakan itu dipercayai disebarkan melalui kumpulan sembang Telegram.

    Khairy berkongsi tangkap layar mesej tersebut dalam Insta Story miliknya dengan kapsyen yang berbunyi: “Golongan antivaksin meningkatkan permainan mereka.”

    Khairy Jamaluddin puak antivaksin
    Tangkap layar yang dikongsi dalam Insta Story Khairy Jamaluddin.

    Selain itu, puak antivaksin turut menghujani ruangan komen dalam laman Facebook Khairy dengan kecaman yang bernada serupa.

    Tindakan golongan minoriti tersebut mengundang kekesalan netizen yang memahami tujuan kerajaan menggalakkan rakyat mengambil vaksin.

    Malangnya, puak antivaksin masih ingin menegakkan benang yang basah dengan menyerang netizen yang cuba menasihatkan mereka.

    Pelbagai hujah yang tidak masuk akal dilontarkan oleh mereka termasuk berita palsu yang tidak dapat ditentukan kesahihannya.

    Mungkin mereka tidak sedar kedegilan enggan mengambil vaksin akan menyukarkan usaha kerajaan memastikan negara ini bebas daripada ancaman pandemik COVID-19.

    Melihat kepada perangai mereka yang tidak berapa matang itu, memang wajarlah kerajaan menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) yang menyekat puak antivaksin daripada memasuki premis awam dan perniagaan.

    Menjaga keselamatan dan nyawa rakyat adalah keutamaan kerajaan. Sekiranya puak antivaksin tidak berpuas hati dengan SOP yang dilaksanakan, mereka boleh duduk diam-diam sahaja di rumah.

  • Lelaki tidak berpakaian pegang parang mengamuk tengah jalan

    Lelaki tidak berpakaian pegang parang mengamuk tengah jalan

    SEORANG lelaki bersenjatakan parang mengamuk di tengah jalan lama Temerloh-Maran berhampiran Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh, hari ini dan membimbangkan pengguna jalan raya.

    Tindakan lelaki yang tidak berpakaian pukul 11 pagi itu turut menyebabkan kesesakan jalan raya sehingga kira-kira tiga kilometer.

    Seorang pengguna jalan raya berkenaan, Khaidir Ahmad, 59, memberitahu, ketika kejadian, dia sedang menghala ke Batu 4 di sini atas urusan kerja.

    Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, dia terkejut apabila melihat deretan kenderaan yang berhenti hingga menyebabkan kesesakan jalan.

    “Lelaki yang tidak berpakaian itu dilihat mengacukan parang kepada kenderaan yang lalu-lalang namun saya memberanikan diri dan redah sahaja melaluinya, namun ada juga yang berpatah balik, syukur tidak berlaku apa-apa,” katanya seperti Sinar Harian, hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Yusof mengesahkan kejadian tersebut dan berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.

    Ujarnya, kejadian berkenaan tidak menyebabkan kecederaan kepada orang awam dan siasatan lanjut sedang dilakukan terhadap kejadian itu termasuk sekiranya suspek mempunyai masalah mental.

    “Setakat ini tiada individu yang tampil membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan termasuk melakukan ujian urin terhadap suspek,” katanya.

  • Lelaki mengamuk cederakan jiran, pecahkan cermin kereta

    Lelaki mengamuk cederakan jiran, pecahkan cermin kereta

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar menahan seorang lelaki selepas disyaki melakukan perbuatan khianat dan mencederakan jirannya di kawasan perumahan Bee Bee Park, Alor Setar semalam.

    Suspek warga tempatan, 52, ditahan sekitar pukul 7.50 malam selepas mangsa berusia 46 tahun membuat laporan polis pukul 2.09 petang di Balai Polis Alor Setar.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, suspek didakwa mencederakan mangsa dan memecahkan cermin kereta serta perkakas perniagaan iaitu rak cermin dan peti ais tiga pintu.

    “Polis turut merampas sebiji batu bata berwarna kelabu serta sebatang besi berwarna coklat sepanjang 75 sentimeter yang disyaki digunakan oleh suspek dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan melakukan khianat.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian terbabit juga diminta berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Syazwani Sazali,” katanya.

  • KDN bincang isu gaji pegawai, anggota polis

    KDN bincang isu gaji pegawai, anggota polis

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan membincangkan isu gaji pegawai dan anggota polis dengan kementerian dan agensi berkaitan, kerana ia memerlukan kajian lebih menyeluruh, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata, perbincangan itu antara lain melibatkan Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan yakin perbincangan awal berkaitan isu itu sudah berlangsung.

    “Ini perlu perbicangan mendalam kerana melibatkan kewangan,” katanya ringkas pada sidang media selepas menghadiri Upacara Pemakaian Pangkat kepada Ketua Polis Daerah Bera Supt Mansor Samsudin yang dinaikkan pangkat daripada DSP, di Dewan Sri Kempas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera di Bera, hari ini.

    Upacara disempurnakan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. Turut dinaikkan pangkat ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Bera DSP N. Kumaran yang sebelum ini memakai pangkat ASP.

    Ismail Sabri berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media baru-baru ini, bahawa kadar gaji dan elaun polis terutamanya yang berpangkat rendah menjadi punca polis berhadapan masalah termasuk hutang dan difahamkan semakan terakhir gaji polis dibuat pada tahun 2010.

    Sementara itu, Ismail Sabri merakamkan penghargaan kepada polis yang cemerlang melaksanakan tugas sebagai pasukan barisan hadapan pandemik COVID-19 tanpa mengira waktu, meskipun dalam kesibukan melaksanakan tugas hakiki menjaga keselamatan negara.

    Selain itu, lebih 150,000 penduduk Bera menerima berita gembira hari ini apabila Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera mengumumkan pembinaan beberapa balai dan pondok polis baharu, serta menambah baik balai sedia ada di beberapa lokasi strategik demi keselamatan penduduk selari dengan keperluan semasa.

    Ini termasuk pembinaan balai dan pondok polis baharu di gugusan Felda Tembagau, Charuk Puting, Felda Bukit Mendi dan Bera Selatan, yang ketiadaan pondok polis menyebabkan penduduk sekitar perlukan sejam untuk tiba di balai polis berhampiran.

    Ia juga selaras dengan kenaikan IPD Bera daripada gred C kepada gred B, yang antara lain membolehkan pertambahan jumlah keanggotaan daripada 300 orang kepada lebih 400 orang, yang dilihat sesuai dengan keluasan daerah itu yang hampir menyamai Melaka.

    Peruntukan lebih RM2 juta juga diumumkan perdana menteri bagi projek penambahbaikan, antaranya pondok polis dan kuarters Triang, IPD Bera, balai polis Kuala Bera, balai polis Mengkarak, balai polis dan kuarters Kemayan, Bandar 32 serta Felda Mayam.

    “Pertambahan anggota dan kewujudan balai baharu serta penambahbaikan yang dilakukan akan memberikan keyakinan kepada penduduk Bera dalam aspek keselamatan, selain membaiki kualiti perkhidmatan yang diterima rakyat,” katanya. – BERNAMA

  • Bukit Aman siasat rakyat Malaysia ditahan seludup dadah di Australia

    Bukit Aman siasat rakyat Malaysia ditahan seludup dadah di Australia

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung penahanan seorang rakyat Malaysia yang disyaki menyeludup dadah ke negara itu.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan sedang dilakukan melalui kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM dan pihak Polis Persekutuan Australia (AFP).

    Beliau berkata, semua tindakan akan diambil oleh PDRM dalam memastikan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah dapat dibanteras tanpa kompromi.

    “Media melaporkan seorang warga Malaysia telah ditahan pihak berkuasa Australia kerana cuba menyeludup masuk 450 kilogram heroin bernilai RM431.8 juta ke negara berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, media melaporkan pihak berkuasa Australia telah merampas dadah terbabit dalam satu siri serbuannya dan menurut kenyataan AFP, dadah itu ditemukan dalam kontena yang membawa jubin dari Malaysia ke Melbourne.

    Lelaki yang tidak dinamakan dalam kenyataan itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melbourne pada Jumaat. – BERNAMA

  • 2 OKU buta bakal cipta rekod ekspedisi kayak, catat nama dalam MBOR

    2 OKU buta bakal cipta rekod ekspedisi kayak, catat nama dalam MBOR

    DUA anak muda cacat penglihatan bakal mecipta nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila menjadi orang kelainan upaya (OKU) pertama menyertai Ekspedisi Dayungan Duo sempena Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Sungai Perak pada 5 November ini.

    Khairruddin Mazli, 30, dan Muhamad Shahrizal Ismail, 24, akan merentasi sungai sejauh 22 kilometer bermula dari Kem Intan Suraya, Sungai Siput dan berakhir di Jambatan Victoria, Karai di Kuala Kangsar.

    Kedua-dua mereka adalah peserta kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) OKU refleksologi di bawah pemantauan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) telah memulakan latihan fizikal sejak sebulan lalu menerusi bimbingan Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kampar, Yusnizan Md. Yusof dan pendayung solo negara, Nur Adilla Abu Hassan.

    Khairruddin yang mengalami cacat penglihatan sejak berusia 17 tahun mengakui suka mencabar diri melakukan aktiviti sukan sama seperti individu normal lain.

    “Saya yang pernah menyertai pasukan bola sepak paralimpik negara tidak berdepan kesukaran menjalani latihan insentif dalam air dan gimnasium sebagai persediaan misi dayungan itu.

    “Mula-mula sahaja macam susah, tetapi bila dah selalu berlatih jadi dah biasa. Sekarang nak pegang pedal dan cara dayungan pun dah tahu.

    “Sempena sambutan Hari Sukan Negara yang lepas, saya ada dijemput ke Pulau Langkawi untuk sertai ekspedisi kayak di sana, jadi secara tak langsung membuatkan saya lebih yakin untuk menghadapi misi kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

    Anak keempat daripada enam beradik yang menetap di Meru Raya, Ipoh itu berkata, latihan dijalankan setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari untuk latihan kayak dan sesi petang bagi latihan ketahanan fizikal di gimnasium.

    “Misi kali ini memang agak sukar kerana hanya membabitkan dua peserta sahaja, tetapi kami yakin mampu lakukannya, doakan kami berjaya,” katanya.

    Muhamad Shahrizal yang cacat penglihatan sejak lahir menganggap misi dayungan ini sebagai platform membuktikan kemampuan diri supaya dapat dijadikan contoh kepada OKU lain.

    Anak sulung daripada tujuh beradik itu sebelum ini belum pernah menyertai mana-mana aktiviti sukan dan hanya aktif dalam perniagaan menjual kuih loyang dan membuka pusat refleksologi sendiri di Batu Kurau.

    “Keluarga amat menyokong penyertaan saya dalam aktiviti kayak ini, walaupun ada yang risau dengan keadaan diri saya, tetapi mereka tetap beri semangat.

    “Jurulatih sangat memahami kekurangan kami dan sedaya upaya memberi tunjuk ajar yang terbaik. Alhamdulillah, saya semakin bersedia untuk berdepan misi ini,” katanya.

    Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, misi dayungan duo itu ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri dengan fasiliti latihan seperti gimnasium, kayak dan peralatan latihan disediakan Jabatan Belia dan Sukan di Kompleks Rakan Muda Kampar.

    Katanya, keberkesanan misi itu nanti akan dijadikan kayu ukur terhadap pelaksanaan program pembangunan bagi golongan TVET OKU di negeri ini.

  • Tiada pertelingkahan…hak abang tubuh parti baharu – Ismail Sabri

    Tiada pertelingkahan…hak abang tubuh parti baharu – Ismail Sabri

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan abangnya Kamarazaman Yaakob menubuhkan parti baharu iaitu Parti Kuasa Rakyat adalah hak beliau dalam amalan negara demokrasi.

    Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menyifatkan, perbezaan keahlian parti politik dalam kalangan ahli keluarga juga bukan suatu perkara baharu dalam politik tanah air.

    “Adik beradik berlainan parti politik bukan perkara baharu, sudah ada di Malaysia…ini demokrasi, itu hak beliau…tidak timbul pertelingkahan dan sebagainya,” kata Ahli Parlimen Bera itu ketika ditanya mengenai tindakan Kamarazaman yang menubuhkan Parti Kuasa Rakyat baru-baru ini.

    Beliau berkata demikian pada  sidang media selepas Upacara Pemakaian Lencana Pangkat kepada Ketua Polis Daerah Bera Supt Mansor Samsudin yang dinaikkan pangkat daripada DSP, di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah Bera di sini hari ini.

    Upacara disempurnakan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan turut dinaikkan pangkat ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Bera DSP N.Kumaran yang sebelum ini memakai pangkat ASP.

    Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman Datuk Seri Sahabudin Abd Manan dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Zaini Jass.

    Media sebelum ini melaporkan Kamarazaman melancarkan parti baharu iaitu Parti Kuasa Rakyat, yang berbilang kaum pada 10 Okt lepas, yang antara lain akan memperjuangkan pelajaran percuma, kesihatan percuma, rumah percuma dan peluang pekerjaan terutama kepada golongan B40 dan M40. – BERNAMA