Category: Semasa

  • Thailand masih belum benarkan, peluang bawa pulang Sajat tipis

    Thailand masih belum benarkan, peluang bawa pulang Sajat tipis

    PELUANG Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membawa pulang usahawan kosmetik, Nur Sajat sukar susulan desakan beberapa pihak yang mempertahankan kebebasan transgender.

    Thailand sehingga kini masih belum membenarkan usahawan berkenaan atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman diekstradisi ke negara ini.

    “Peluang untuk membawa pulang dilihat tipis susulan desakan beberapa pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) atas dasar kebebasan transgender.

    “Kemungkinan dia akan mendapat suaka di negara ketiga,” kata sumber kepada Harian Metro, hari ini.

    Terdahulu, Polis Diraja Malaysia dilaporkan dalam proses memohon ekstradisi bagi membawa pulang Nur Sajat.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan dilaporkan berkata, proses itu akan mengambil masa kerana membabitkan pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Peguam Negara dan pihak berkuasa Thailand.

    Sebelum ini, media melaporkan misteri ‘kehilangan’ Nur Sajat terjawab apabila dia dilaporkan ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

    Pada 9 September lalu atas kesalahan memasuki Thailand secara tidak sah, Nur Sajat didakwa di mahkamah namun usahawan kosmetik itu dibebaskan pada 10 September lalu dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

    Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari.

    Dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian UNHCR mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.

  • Tokan tukar pil kuda dengan barang curi

    Tokan tukar pil kuda dengan barang curi

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menahan seorang penganggur di sebuah rumah di Taman SBJ Putra, Wakaf Bharu, Tumpat pada pukul 10.15 semalam bagi membantu siasatan kes pecah rumah.

    Suspek, 38, ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari IPD Tumpat dengan kerjasama Balai Polis Wakaf Bharu pad pukul 10.15 pagi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemui beberapa barang dipercayai barangan curi dan disimpan dalam sebuah bilik.

    “Pemeriksaan dalam bilik itu menemui sebuah jam tangan, dua bentuk cincin perak dan sebuah telefon bimbit dipercayai barangan yang hilang dari rumah dipecah masuk di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu, minggu lalu.

    “Selain itu, sebatang spring tangan turut ditemui dan pemeriksaan lanjut menjumpai satu beg kecil mengandungi plastik cerah berisi 19 biji pil kuda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Mohd. Razi berkata, soal siasat awal dijalankan mendapati suspek mengaku mengambil barang kes curi itu daripada seorang lelaki dikenali sebagai Hafiz melalui cara membuat pertukaran antara barang kes itu dengan pil kuda.

    Menurutnya, suspek yang dipercayai seorang pengedar dadah, memberitahu tidak mengetahui tempat tinggal Hafiz dan hanya mengenali ketika berurusan untuk jual beli dadah sahaja.

    “Hasil semakan, suspek mempunyai 15 rekod lampau termasuk enam berkait dadah dan tiga kes mengikut Seksyen 28(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) kerana memiliki peralatan pecah rumah serta dua kes curi.

    “Ujian saringan dijalankan mendapati suspek positif methampethamine dan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 21 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.

  • ‘’Panggil la saya dajjal atau apa saja…saya harus tegas’’ –  Khairy

    ‘’Panggil la saya dajjal atau apa saja…saya harus tegas’’ – Khairy

    MENTERI  Kesihatan, Khairy Jamaluddin membidas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kerajaan menggunakan pendekatan mengugut golongan antivaksin dengan undang-undang.

    Katanya, beliau perlu bertegas mengenai isu antivaksin sehingga sanggup digelar “dajjal”.

    “Panggillah saya dajjal atau apa saja. Maaf saya harus bertegas dengan isu ini,” katanya di Twitter dengan yang menyiarkan keratan video Anwar, lapor FMT

    Dalam pada itu, Khairy berkata, kerajaan akan terus memberi penerangan mengenai keberkesanan vaksin Covid-19.

    Beliau menafikan kerajaan tidak cukup memberi penerangan mengenai vaksin.

    “Nak kata kerajaan tidak cukup bagi penerangan tentang vaksin tidak betul. Kita dah kemukakan segala bukti saintifik tentang keberkesanan vaksin Covid-19 dari awal lagi dan kita terus memberi penerangan,” katanya.

    Dalam keratan video yang turut dikongsi Khairy, Anwar berkata, walaupun tidak menyokong antivaksin tetapi percaya mereka yang tidak mahu menerima vaksin juga mempunyai hujah yang kuat.

    “Jadi kita jawab dengan hujah. Kadang-kadang mereka pun ada hujah yang kuat juga. Mereka bagi hujah saintifik. Kita bawa hujah saintifik yang lebih ‘credible’ dan lebih kuat untuk mematahkan hujahnya,” katanya.

    Pada Jumaat lalu, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan telah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin di negara ini dan berharap tindakan pantas dapat dilakukan seperti menyiasat dan mendakwa mereka jika perlu.

  • Kapal tangki bawa muatan minyak tanpa dokumen ditahan

    Kapal tangki bawa muatan minyak tanpa dokumen ditahan

    PERGERAKAN sebuah kapal tangki dalam keadaan mencurigakan membongkar kesalahan yang dilakukan iaitu membawa muatan diesel tanpa sebarang dokumen pelepasan di pelabuhan Perairan Kemaman, Kemaman, kelmarin.

    Kapal berkenaan ditahan Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kemaman pada pukul 10.45 malam semasa rondaan rutin di sekitar perairan Terengganu.

    Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, hasil pemeriksaan mendapati kapten bersama tiga kru kapal gagal mengemukakan dokumen pelepasan pelabuhan (port clearance) yang sah.

    “Kapal yang berdaftar di Port Klang itu ditahan dan dibawa ke tempat berlabuh, manakala kapten bersama tiga kru yang berusia antara 29 hingga 68 tahun dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman, di sini untuk siasatan lanjut

    “Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga Indonesia memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Rashidilhadi berkata, Maritim Malaysia memandang serius perkara ini dan sentiasa meningkatkan pemantauan ke atas kapal-kapal yang berada di perairan negara ini bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi undang-undang negara.

  • Mahkamah benarkan Najib ke Singapura melawat anak perempuannya

    Mahkamah benarkan Najib ke Singapura melawat anak perempuannya

    DATUK Seri Najib Razak dibenarkan untuk mendapatkan semula pasportnya untuk kegunaan sementara, lapor Awani hari ini.

    Keputusan tersebut dibuat Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini bagi membolehkan bekas Perdana Menteri itu ke Singapura untuk melawat anak perempuannya yang dijangka akan melahirkan anak kedua tidak lama lagi.

    Pasukan pembelaan Najib memfailkan permohonan berkaitan pasport tersebut ke Mahkamah Rayuan, kerana rayuan bagi sabitan kes Ahli Parlimen Pekan itu sedang dibicarakan di situ.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said membenarkan permohonan pelepasan pasport berkenaan bermula 20 Oktober sehingga 22 November ini.

    amaluddin berkata, mahkamah membenarkan permohonan itu selepas mendapati terdapat alasan yang munasabah.

    Sebelum ini Mahkamah Tinggi membenarkan Datin Seri Rosmah Mansor memperoleh pasport antabangsanya secara sementara untuk ke Singapura bagi tujuan sama.

  • Tragedi bot karam, 17 nelayan terselamat

    Tragedi bot karam, 17 nelayan terselamat

    SERAMAI 17 nelayan tempatan terselamat selepas bot yang dinaiki karam di muara Kuala Kemaman, Kemaman semalam.

    Dalam kejadian pada jam 5.15 pagi itu, semua mereka diselamatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kemaman selepas orang awam menghubungi agensi berkenaan.

    Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata, pihaknya menerima aduan yang memaklumkan terdapat sebuah bot nelayan tempatan hampir karam.

    Menurutnya, sebuah Bot Penggalang 16 digerakkan ke lokasi bagi menyelamatkan bot berkenaan yang dinaiki 17 nelayan tempatan berusia antara 17 hingga 51 tahun.”Hasil siasatan awal mendapati bot itu mengalami kebocoran dan hampir karam selepas terlanggar sesuatu di laut,” katanya.

    Sementara itu, saksi kejadian Hazrul Haziq, 30, berkata, semasa kejadian dia bersama isteri dan seorang anak sedang berehat di tepi pantai iaitu kira-kira 300 meter jarak dari lokasi bot tersebut.

    “Memang ketika itu, saya nampak sangat jelas kedudukan bot tersebut hampir tenggelam. Tanpa berlengah saya segera menghubungi pihak Maritim Malaysia untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

  • PRN Melaka : Penamaan calon 8 November, Pengundian 20 November – SPR

    PRN Melaka : Penamaan calon 8 November, Pengundian 20 November – SPR

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah pada 8 November manakala tarikh mengundi pula pada 20 November depan.

    Perkara itu dimaklumkan Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam sidang media yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awanii.

     “Tarikh-tarikh PRN DUN Melaka ke-15 seperti berikut, tarikh writ pilihan raya pada 18 Oktober (Isnin), tarikh penamaan calon pada 8 November (Isnin), tarikh mengundi awal pada 16 November (Selasa), tarikh mengundi pula pada 20 November 2021 (Sabtu),” katanya.

    Beliau berkata, sebanyak 28 pengurus pilihan raya dilantik dibantu 80 Penolong Pegawai Pengurus.

    Manakala bagi pemantauan pula SPR telah menubuhkan 28 pasukan petugas kempen pilihan raya yang diwakili Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil calon bertanding.

    “Pengunaan daftar pemilih terkini sehingga 3 Oktober 2021 melibatkan 495,196 orang pengundi.

    “SPR menyasarkan 70 peratus pengundi keluar mengundi. SPR memohon kerjasama semua pihak parti politik dan media dalam mengalakkan pengundi keluar mengundi,” katanya lagi.

    Pada masa sama tambah Abdul Ghani, garis panduan pencegahan COVID-19 yang akan digunakan sepanjang PRN itu berpandukan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas dipersetujui Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.

    Ia susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan daripada kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

  • Seorang maut, konvoi motosikal ke Cameron Highlands terlibat kemalangan

    Seorang maut, konvoi motosikal ke Cameron Highlands terlibat kemalangan

    KESERONOKAN sekumpulan pemuda dari Pulau Pinang berkonvoi ke Cameron Highlands, Pahang bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka maut apabila motosikal ditunggang mereka bergesel sesama sendiri.

    Kejadian itu berlaku di Kilometer 157.4 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Nibong Tebal kira-kira pukul 9 pagi semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, dalam kejadian itu pelajar kolej, Muhammad Zikrikhan Rizadhan, 18, terbunuh di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

    Jelasnya, siasatan mendapati kejadian itu melibatkan empat buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Juru menuju ke Cameron Highlands.

    Kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal bergesel dengan motosikal mangsa di sebelah kanan sebelum bergesel dengan sebuah motosikal lain.

    Tambah beliau, kemalangan berlaku apabila sebuah motosikal bergesel dengan motosikal mangsa di sebelah kanan sebelum bergesel dengan sebuah motosikal lain.

    “Motosikal mangsa turut bergesel dengan motosikal keempat di sebelah kiri sebelum kesemua kenderaan itu terseret di atas jalan dan terhenti di lokasi kejadian.

    “Kesemua motosikal terlibat berada di lorong kiri sebelum kemalangan berlaku,” katanya kepada pemberita di sini.

    Menurut beliau, tiga penunggang lain yang terlibat dalam kemalangan itu masing-masing berusia 19, 21 dan 23 tahun mengalami kecederaan dan mendapatkan rawatan di hospital.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • ‘Lawak seram’ Zahid… adakah individu lain akan jadi Pengerusi BN?

    ‘Lawak seram’ Zahid… adakah individu lain akan jadi Pengerusi BN?

    KATA Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi;

    ‘’Senarai calon UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15 diputuskan oleh tiga pemimpin tertinggi parti itu, bukan lagi oleh Presiden sahaja.’’

    Tiga orang yang dimaksudkan ialah beliau sendiri sebagai Presiden UMNO, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Yang menarik beliau berkata, ‘’Namun jika ketiga-tiga mereka ini bersetuju tetapi tidak dipersetujui oleh Pengerusi BN, maka watikah itu tidak akan ditandatangani.’’ – yang diiringi dengan senyuman.

    Kenyataan Ahmad Zahid  yang dilaporkan oleh media membuatkan ramai tersenyum dan ada juga tertanya-tanya.

    Kenapa tersenyum? Sebab bukankah beliau juga adalah Pengerusi BN dan ada yang bertanya, adakah Ahmad Zahid hanya akan menjadi Presiden UMNO manakala Pengerusi BN akan dipegang oleh individu lain.

    Kalau Pengerusi BN itu betul lah akan disandang orang lain, bolehlah Ahmad Zahid bercakap demikian tetapi kalau Pengerusi BN adalah beliau sendiri yang juga Presiden UMNO, ‘lawak seram’ apa yang Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ‘mahu persembahkan’?

    Tetapi kalau Ahmad Zahid mahu menyerahkan jawatan Pengerusi BN kepada orang lain pun ok juga sebab sebelum ini ketika pencalonan untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin, Ahmad Zahid berkata, tidak terlintas untuk menamakan diri beliau sebagai calon Perdana Menteri.

    Jadi kenalah cari orang yang ada hasrat dan paling penting mempunyai material untuk menjadi Perdana Menteri sebagai persiapan jika UMNO menang besar dalam PRU-15 nanti.

    Mungkinkah demi rakyat dan negara serta UMNO, Ahmad Zahid mahu menyerahkan jawatan Pengerusi BN kepada Ismail Sabri memandangkan Ahli Parlimen Bera itu sudahpun menjadi Perdana Menteri?

    Seperkara lagi, apakah mungkin Ahmad Zahid sedar beliau sudah tidak sesuai lagi untuk memegang dua jawatan memandang masalah sakit belakang dan leher yang dihadapinya? Beliau akan mendapat rawatan dengan pakar terkemuka di Munich, Jerman tidak lama lagi. Justeru dengan menyerahkan jawatan Pengerusi BN kepada individu lain kuranglah sikit bebanan beliau. Betul tak?

    Atau adakah Ahmad Zahid mahu memberi tumpuan kepada kes mahkamahnya kerana sekarang ini beliau terpaksa berulang alik bagi menghadiri perbicaraan, itupun sikit sebanyak boleh menjejaskan tumpuan beliau kepada urusan parti?

    Apapun hanya Ahmad Zahid lebih memahami apa yang beliau maksudkan dengan ayat, ‘’ ’Namun jika ketiga-tiga mereka ini bersetuju tetapi tidak dipersetujui oleh Pengerusi BN, maka watikah itu tidak akan ditandatangani.’’

    Macam-macam andaian boleh buat. Sama-samalah kita tunggu kalau-kalau ada penjelasan lanjut daripada beliau. Jadi buat sementara ini, kalau sesiapa yang baca kenyataan Ahmad Zahid itu nak senyum atau ketawa atau nak nangis sekalipun…silakan….maklumlah tak tahu reaksi apa nak bagi…

  • Bomba selamatkan lelaki sesak nafas, melecur dalam kebakaran

    Bomba selamatkan lelaki sesak nafas, melecur dalam kebakaran

    SEORANG lelaki terselamat selepas mengalami sesak nafas dalam rumahnya yang terbakar di Taman Desa Karunmas, Kajang hari ini.

    Lelaki tersebut yang terperangkap dalam rumah itu tidak mampu menyelamatkan diri sebelum pihak bomba datang menyelamatkannya.

    Tindakan pantas pihak bomba selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 4.23 pagi berjaya menyelamatkan mangsa.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikejarkan ke lokasi.

    “Sebaik tiba, kami dimaklumkan mengenai sebuah rumah teres dua tingkat yang terbakar di bahagian ruang tamu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Norazam berkata, ketika mereka tiba, kebakaran itu sudah dipadamkan.

    “Dalam kejadian itu, terdapat dua mangsa lelaki, masing-masing berusia 50-an. Seorang daripada mereka ditemui di dalam bilik tidur di tingkat satu rumah berkenaan.

    “Ketika ditemui, lelaki itu mengalami sesak nafas serta sedikit melecur di bahagian kaki. Seorang lagi mangsa pula berjaya menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya.

    Katanya, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk rawatan lanjut.