Category: Semasa

  • Petani haram warga asing ceroboh tanah, buat pembakaran terbuka

    Petani haram warga asing ceroboh tanah, buat pembakaran terbuka

    PENDUDUK Kampung Johan Setia, Klang mahu tindakan diambil terhadap segelintir petani haram warga asing yang bertindak menceroboh tanah secara sesuka hati sekali gus mengundang keresahan mereka.

    Mereka didakwa bukan sahaja menceroboh tetapi melakukan pembakaran secara terbuka turut menyebabkan kawasan itu sering berlaku pencemaran udara.

    Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Johan Setia, Muhamad Kamal Ismail, 48, berkata, isu pencerobohan tanah oleh petani warga asing di kawasan itu semakin berleluasa sejak empat tahun lalu.

    Malah katanya, kejadian kebakaran juga kerap berlaku disebabkan oleh tindakan mereka.

    “Kebanyakan petani haram di sini terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia.

    “Kebiasaannya mereka melakukan pembakaran tersebut bagi meneroka tanah untuk melakukan aktiviti pertanian secara haram namun tindakan berkenaan telah menyebabkan berlakunya pembakaran tidak terkawal sehingga sering mengundang risiko pencemaran udara kepada penduduk setempat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhamad Kamal berkata, aktiviti pembakaran haram oleh pihak terlibat kebiasaannya dilakukan pada waktu malam bagi menggelakkan kegiatan itu dikesan orang awam.

    “Untuk tahun ini sahaja, dianggarkan lima kejadian kebakaran berlaku antaranya melibatkan kawasan stor pembuangan sisa pepejal yang ditinggalkan, kebun petani, tapak pelupusan sampah haram dan lain-lain,” katanya.

    Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Sri Nadi, di sini, Othman Baharuddin, 64, berkata, insiden kebakaran tanah lapang berhampiran rumahnya pada Sabtu lalu turut mengundang kebimbangan berikutan jarak lokasi kejadian hanya terletak sekitar 60 meter.

    Othman berkata, ketika kejadian itu, dia amat risau sekiranya api kebakaran merebak sehingga ke kawasan rumah kediamannya.

    “Nasib baik angin ketika itu tidak ke arah rumah kami dan pasukan penyelamat segera tiba bagi melakukan kerja pemadaman,” katanya.

    Seorang lagi penduduk, Rahman Tahir, 65, berkata, kawasan Kampung Johan Setia sememangnya kerap berlaku kejadian kebakaran terbuka dan disebabkan itulah pemantauan perlu dilakukan secara berkala.

    Tambahnya, kebanyakan tanah yang diceroboh adalah berstatus hak milik persendirian malah kebanyakan pemilik juga tidak mengetahui mengenai keadaan yang berlaku itu.

    “Kebanyakan pemilik tanah hanya mengetahui tanah mereka diceroboh selepas menerima notis daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

    “Disebabkan itulah, kami sebagai penduduk berharap agar pemilik tanah di kawasan ini dapat bersama-sama membantu dengan memastikan tanah mereka tidak diceroboh,” katanya.

    Ahad lalu, JAS Selangor berjaya mengesan aktiviti pembakaran terbuka di Kampung Johan Setia bersebelahan Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di sini menerusi pemantauan menggunakan dron.

  • Diskriminasi vaksin: Malaysia runding dengan Arab Saudi

    Diskriminasi vaksin: Malaysia runding dengan Arab Saudi

    MALAYSIA masih berunding dengan kerajaan Arab Saudi supaya tidak mengenakan diskriminasi vaksin bagi individu yang mahu ke negara itu bagi urusan mengerjakan umrah, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    “Kita masih berunding dengan Arab Saudi supaya tidak ada diskriminasi vaksin sebab kita dapati semua vaksin COVID-19 (yang digunakan Malaysia) adalah berkesan dan selamat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan sumbangan korporat Keluarga Malaysia di Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya, hari ini.

    Kerajaan Arab Saudi sebelum ini dilaporkan hanya menerima empat jenis vaksin COVID-19 iaitu keluaran Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson dan Moderna sahaja bagi individu yang mahu ke negara berkenaan.

    Pada Julai lepas, negara itu mengumumkan individu yang sudah lengkap dos Sinovac dan Sinopharm diterima masuk ke negara itu dengan syarat menerima dos penggalak yang diiktiraf di Arab Saudi.

    Khairy dalam pada itu berkata, satu ciri baharu dalam MySejahtera akan disediakan bagi membolehkan individu memohon dos penggalak untuk memenuhi syarat negara lain termasuk bagi urusan mengerjakan umrah atau menunaikan haji.

    Khairy sebelum ini memaklumkan individu yang mahu menunaikan umrah tetapi tidak menerima jenis vaksin ditetapkan Arab Saudi boleh memohon kepada KKM untuk mendapatkan suntikan penggalak menerusi aplikasi MySejahtera bermula bulan depan.

    Pada majlis berkenaan, KKM menerima sumbangan sejumlah 81 unit katil elektronik bernilai RM2 juta daripada Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Program A’fiat TH 2021 bagi menambah keperluan katil unit rawatan rapi (ICU) di beberapa hospital terpilih.

    “Sumbangan ini bukan sahaja akan digunakan di unit ICU malah di unit lain yang sama penting bagi menguruskan kes bukan COVID-19 dalam fasa transisi kita keluar dari pandemik ini,” kata Khairy yang menzahirkan penghargaan kepada TH atas sumbangan berkenaan.

    Menurut menteri itu, sumbangan tersebut merupakan lanjutan daripada Program A’fiat TH 2020 di mana TH menyumbang 57 mesin hemodialisis kepada 42 hospital kerajaan dengan nilai sumbangan hampir RM2 juta. – BERNAMA

  • Bot nelayan tempatan dikendali kru Thailand lakukan pelbagai kesalahan ditahan

    Bot nelayan tempatan dikendali kru Thailand lakukan pelbagai kesalahan ditahan

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan warga Thailand kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan pada kedudukan kira-kira 10.4 batu nautika barat daya Mukah Head pukul 1.19 petang semalam.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot nelayan tempatan itu dikesan sedang menangkap ikan oleh Kapal Maritim (KM) SIKUATI semasa melaksanakan rondaan rutin Op Benteng Laut. 

    Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan tempatan berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu dikendalikan 14 kru warga Thailand termasuk tekong berumur di antara 37 hingga 74 tahun.

    Jelasnya, pemeriksaan lanjut mendapati bot terbabit melakukan pelbagai kesalahan antaranya lesen bot dan permit menggaji warga asing tamat tempoh serta melanggar zon yang dibenarkan untuk penangkapan ikan.

    Selain itu katanya, empat daripada kru asing berkenaan juga didapati memiliki dokumen perjalanan diri tamat tempoh.

    “Sehubungan itu, bot dan hasil rampasan ikan kira-kira satu tan dan kesemua kru berkenaan ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk siasatan lanjut.

    “Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu dokumen perjalanan diri yang telah tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu tambah Abd. Razak, Maritim Malaysia mengingatkan semua terutama komuniti nelayan supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada. 

    Katanya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999. 

  • Polis tahan penganggur rampas pil kuda rampas, wang tunai RM80,000

    Polis tahan penganggur rampas pil kuda rampas, wang tunai RM80,000

    SEORANG penganggur ditahan bersama-sama pil kuda dan wang tunai RM80,000 selepas pihak polis melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Lubok Lesung, Air Putih, Kemaman, kelmarin.

    Menerusi serbuan pukul 12.10 tengah hari itu, suspek seorang lelaki warga tempatan berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd. Haki Hasbullah, hasil pemeriksaan lanjut menemui 27 biji pil warna merah disyaki pil kuda yang bernilai RM270.

    “Polis turut menjumpai wang tunai bercampur-campur bernilai RM80,000 yang disyaki hasil aktiviti penjualan dadah.

    “Berdasarkan maklumat diterima, pihak polis percaya suspek mula bergiat aktif sejak awal tahun ini untuk memasarkan bahan terlarang itu di daerah Kemaman.

    “Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan telah ditahan reman sehingga 21 Oktober depan.

    “Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, hari ini.

    Mohd. Haki berkata, dadah dan wang tunai yang di rampas itu merupakan rampasan terbesar sejak Ops Jihad Dadah 2.0 dilancarkan pada 14 Oktober lalu.

    “Setakat ini, pihak polis telah menahan 49 individu berusia dalam lingkungan antara 18 hingga 70 tahun yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini.

    “Daripada jumlah itu, seramai 11 individu diklasifikasikan sebagai kes pembekalan, 38 orang penagih termasuk empat individu lagi yang terlibat dalam kes yang dikehendaki,” katanya.

    Ops Jihad Dadah 2.0 dilancarkan serentak di lapan daerah di Terengganu pada 14 Oktober lalu oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa.

  • Bekalan benih padi di Kedah diyakini cukup, sampai tepat pada masa

    Bekalan benih padi di Kedah diyakini cukup, sampai tepat pada masa

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEKALAN benih padi di seluruh negara termasuk di negeri ini diyakini akan sampai tepat pada masanya pada kadar mencukupi, bagi memastikan penanaman untuk musim 2/2021 dapat dilaksanakan dengan lancar.

    Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada jaminan dikeluarkan Jabatan Pertanian terhadap perkara itu.

    Katanya, kalangan pegawai MADA sendiri pada setiap hari sentiasa berhubung dengan pihak Jabatan Pertanian bagi memastikan kesemua 194,602 pek benih padi yang ditempah, dapat dihantar kepada para petani mengikut jadual ditetapkan.

    “Setakat ini kita sudah menerima 48.8 peratus daripada jumlah pesanan yang ditempah itu. Sebenarnya proses penghantaran benih padi itu berjalan sepanjang masa secara berperingkat dan tidak tersangkut di mana-mana.

    “Proses ini dijangka akan selesai paling lewat pertengahan November depan. Sekarang ini, proses penilaian benih-benih padi itu masih berjalan bagi mengesahkannya benar-benar berkualiti demi kebaikan golongan pesawah,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Sewa Pajak Projek Penanaman Padi Skala Besar (PPSB) Kampung Asam Jawa, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) F-III MADA, di Pendang hari ini.

    Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India Negeri, Azman Nasrudin serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob.

    Sementara itu, Azman meminta kalangan pesawah supaya tidak merasa resah, kelam-kabut atau terpengaruh dengan cakap-cakap dari mana-mana pihak mengenai dakwaan berlakunya kelewatan penghantaran benih padi tersebut.

    “Apa yang berlaku bukanlah kelewatan sebaliknya ketika ini Jabatan Pertanian benar-benar mahu menjaga kualiti benih padi tersebut. Mereka tak mahu ada masalah berlaku di kemudian hari kepada para petani.

    “Kalau ada kelewatan pun di beberapa tempat, masalah itu sentiasa diberi perhatian secepat mungkin. Pada akhirnya, kita sentiasa dapat memenuhi keperluan atau permintaan benih yang dipesan PPK-PPK terlibat,” katanya.

  • Sultan Johor kesal sikap buang sampah dalam sungai

    Sultan Johor kesal sikap buang sampah dalam sungai

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah di dalam longkang, parit dan sungai hingga menjejaskan saliran air terutamanya pada musim hujan di kawasan bandaraya Johor Bahru.

    Baginda bertitah, hasil siasatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mendapati banjir kilat melanda kawasan bandar raya pada bulan lalu berpunca akibat sistem saliran tersumbat disebabkan sampah sarap dan sisa binaan.

    “Ia berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam sungai, parit dan longkang. Apabila turunnya hujan dalam jumlah yang besar dan tempoh yang lama, maka banjir kilat pasti tidak dapat dielakkan.

    “Saya ada melihat gambar-gambar dan rakaman video yang ditunjukkan oleh Datuk Bandar MBJB. Terdapat begitu banyak sampah dibuang termasuk tilam, kayu dan juga peti sejuk. Amat mengecewakan.

    “Masyarakat seharusnya lebih bertanggungjawab dengan tidak membuang sampah dalam saliran mahupun sungai. Perbuatan seperti ini kelak menyumbang kepada berlakunya banjir,” titah Sultan Johor hari ini.

    Laporan dan gambar-gambar hasil siasatan MBJB dipersembahkan kepada Sultan Johor oleh Datuk Bandar MBJB, Datuk Noorazam Osman di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru baru-baru ini.

    Noorazam Osman melakukan tinjauan di kawasan banjir kilat dan mendapati longgokan sampah antara punca masalah tersebut

    Sebelum ini, Sultan Ibrahim menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor serta pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di Johor.

    Sementara itu, Noorazam berkata, pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan di lokasi yang terlibat dengan membersihkan halangan di dalam parit, longkang serta saliran utama.

    “MBJB memperuntukan RM6 juta untuk penyelenggaraan sungai dan longkang setiap tahun. Sikap segelintir rakyat kita amat dikesali.

    “Saya juga telah mengadakan lawatan ke lokasi-lokasi hotspot banjir bagi merangka tindakan penyelesaian komprehensif melibatkan tindakan penyelesaian segera, sederhana dan jangka masa panjang bagi mengatasi masalah banjir,” katanya.

  • Kerjasama semua negara tangani kesan COVID-19 global

    Kerjasama semua negara tangani kesan COVID-19 global

    KERJASAMA rapat antara kerajaan di seluruh dunia diperlukan bagi menangani kesan COVID-19 terutamanya dari segi peningkatan kadar kemiskinan dalam kalangan rakyat.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendekatan bersama perlu dilaksanakan dalam usaha pemulihan yang dilaksanakan oleh setiap negara terutamanya dalam aspek ekonomi dan kesihatan serantau.

    Menurut beliau, rakyat setiap negara sudah menunjukkan solidariti mereka bersama kerajaan sepanjang tempoh krisis dan kini tiba masanya kerajaan memastikan tiada siapa ketinggalan dalam usaha pemulihan.

    “Jangan ada pihak mengambil kesempatan dalam keadaan ekonomi negara tertentu yang rapuh ketika ini bagi meraih keuntungan akibat kesengsaraan dialami rakan negara lain.

    “Kita seharusnya bangun bersama, mengukuhkan antara satu sama lain dan memastikan usaha pemulihan mampu memberi faedah kepada semua negara melalui kerjasama antarabangsa dalam perdagangan dan pelaburan,” katanya dalam sesi webinar sempena Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa di Kuala Lumpur, hari ini.

    Program secara dalam talian terbabit dianjurkan Insititut Masa Depan Malaysia (MASA) bersama Institut Pengurusan dan Penyelidikan Kemiskinan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

    Bekas Perdana Menteri itu menambah, bagi kebanyakan negara, kesan ekonomi akibat ketidaktentuan akibat krisis kesihatan adalah tidak dapat dibayangkan, malah banyak negara dijangka mengalami impak sosioekonomi dalam tempoh yang panjang.

    “Langkah yang diambil setiap kerajaan dalam menangani pandemik ini menyebabkan jutaan keluarga yang bergelut terutamanya di negara miskin dan membangun terus jatuh di bawah garis kemiskinan.

    “Keadaan ini menyebabkan kerajaan di seluruh dunia termasuk Malaysia terus berhadapan kesukaran bagi mencapai sasaran Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu menamatkan kemiskinan di semua tempat,” jelasnya.

    Muhyiddin memberitahu, usaha membasmi kemiskinan terus kekal menjadi cabaran setiap negara berikutan, masih banyak penduduk dunia berhadapan masalah mendapat keperluan hidup akibat kesan COVID-19 serta cabaran ekonomi ketika ini.

    “Banyak negara masih berusaha menyelesaikan masalah kemiskinan yang ekstrem termasuk kekurangan makanan, air minuman bersih dan isu sanitasi terutamanya mereka yang hidup dalam keadaan getir.

    “Keadaan ini mengakibatkan program pembasmian kemiskinan menjadi lebih sukar, tetapi tetap harus dilakukan segera dalam memulihkah komuniti yang terkesan akibat krisis kesihatan, konflik, cabaran ekonomi dan bencana alam sekitar,” katanya.

  • OKU buta, dua warga emas terselamat dalam kebakaran

    OKU buta, dua warga emas terselamat dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki dewasa Orang Kelainan Upaya (OKU) kategori buta, dua warga emas dan seorang wanita berdepan detik cemas selepas dua buah rumah di Taman Jeram Mulia, Muar, terbakar hari ini.

    Kejadian pukul 7.45 pagi itu disedari penghuni di rumah pertama sebelum memaklumkan empat mangsa tersebut yang berada di rumah kedua.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Pegawai Bomba Kanan I Ismail Mahmod berkata, seramai 11 anggota BBP Muar dibantu BBP Pagoh dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Mereka dibantu satu jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM).

    “Kebakaran melibatkan dua rumah kediaman jenis kekal dua tingkat berkeluasan 6 X 15 meter. Kebakaran berlaku di tingkat atas bangunan dan mengakibatkan kemusnahan 65 peratus pada rumah pertama dan 40 peratus pada rumah kedua.

    Semasa kejadian terdapat empat penghuni iaitu dua warga emas, satu wanita dewasa dan seorang lelaki OKU buta, mereka berjaya menyelamatkan diri ketika pihak bomba sampai

    “Dalam kejadian ini terdapat empat penghuni iaitu dua warga emas, satu wanita dewasa dan seorang lelaki OKU buta, Mereka telah berjaya menyelamatkan diri ketika pihak bomba sampai ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, kebakaran disedari seorang penghuni rumah pertama dan kemudiannya memaklumkan kepada ahli keluarga bagi menyelamatkan diri.

    Kebakaran katanya, tidak melibatkan kecederaan manakala punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

    Tambah beliau, operasi memadam kebakaran selesai pada jam 8.50 pagi.

  • Pengurus tapak projek didakwa rogol gadis bawah umur

    Pengurus tapak projek didakwa rogol gadis bawah umur

    SEORANG pengurus tapak projek pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas dakwaan merogol kekasihnya yang juga remaja bawah umur di sebuah rumah di Kota Bharu minggu lalu.

    Tertuduh, Syazwan Afiq Shariff, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertudhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan yang ketika kejadian berusia 14 tahun tiga hari.

    Kesalahan dilakukan di sebuah rumah pada jam 5 pagi, 15 Oktober lalu, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Pendakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam, Roshayati Hassan.

    Ahmad Farid bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan serius terhadap remaja bawah umur.

    Sementara itu, Roshayati memohon ikat jamin yang rendah dikenakan terhadap anak guamnya selain tertuduh berjanji tidak mengganggu mangsa sekiranya diberikan jaminan.

  • Dua anggota polis dituduh terima rasuah

    Dua anggota polis dituduh terima rasuah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini, berdepan dua pertuduhan rasuah dengan nilai keseluruhan RM500 yang didakwa dilakukan kira-kira empat tahun lalu.

    Dua individu berkenaan, Shah Erwan Kasa @ Mansor, 41, dan Andinor Zabidin, 37, yang kedua-duanya berpangkat koperal serta koperal sokongan bagaimanapun tidak mengaku bersalah sebaik dua pertuduhan tersebut dibacakan di depan Hakim, Harmi Thamri Mohamad.

    Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa dengan niat bersama secara rasuah memperolehi untuk diri mereka sendiri wang tunai sebanyak RM300 daripada seorang lelaki.

    Wang suapan itu diberikan oleh lelaki tersebut sebagai dorongan agar kedua-dua anggota polis berkenaan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan bersama-sama seorang lagi wanita yang disyaki berkhalwat dalam sebuah kereta.

    Kesalahan rasuah itu didakwa dilakukan di Jalan Lagenda 3, Sungai Petani pada 26 Mei 2017, kira-kira pukul 12.30 pagi.

    Sementara itu bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua mereka didakwa dengan niat bersama telah secara rasuah memperolehi wang untuk diri mereka sendiri berjumlah RM200 daripada lelaki sama, juga untuk tujuan sama.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan antara pukul 9 malam hingga 9.30 malam di tepi tasik, Jalan Persiaran Perdana Height, Lot 88, dalam daerahh Kuala Muda.

    Pertuduhan bagi kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sew Ping mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.

    Jika sabit kesalahan, dua anggota polis tersebut boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta sama iaitu dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

    Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen pada 22 November depan dengan kedua-dua tertuduh masing-masing dibenarkan diikat jamin berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin.