Category: Semasa

  • Rentas negeri berisiko jadi punca lonjakan kes Covid-19

    Rentas negeri berisiko jadi punca lonjakan kes Covid-19

    FAKTOR rentas negeri dibimbangi menjadi punca utama lonjakan kes harian baharu Covid-19 dalam negara dalam tempoh terdekat ini.

    Kementerian Kesihatan (KKM) semalam, mengunjurkan purata kes sebanyak 7,576 untuk tempoh lima hari akan datang.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang memberitahu perkara berkenaan pada sidang media semalam turut melaporkan, tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Negeri Sembilan mencatat peningkatan sejak kerajaan menarik semula sekatan rentas negeri pada 11 Oktober lepas.

    Kelmarin, KKM melaporkan kes harian baharu sebanyak 6,210 kes termasuk 42 kes import.

    Kes harian paling rendah untuk tempoh rangkuman mingguan 16 Oktober hingga 21 Oktober dilaporkan pada 18 Oktober iaitu 5,434 kes.

    Kali terakhir angka kes harian baharu pada sekitar 5,000 kes adalah pada 28 Jun 2021 iaitu sebanyak 5,218 kes.

    Sejak hampir sebulan lepas, jumlah kes sembuh terus mengatasi angka kes harian baharu membantu menurunkan kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan dalam negara.

    Semalam, kes sembuh sebanyak 7,630 kes, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 2,311,213 kes (95.5 peratus), sementara kes kumulatif Covid pula sebanyak 2,420,222 kes.

    Data COVIDNOW KKM semalam, menunjukkan kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan menurun kepada 80,697 kes.

    Untuk rekod, kes aktif Covid-19 dengan kebolehjangkitan semalam adalah sebanyak 201,274 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam perkongsian di laman Facebook peribadi beliau pada 19 Oktober lepas, mengingatkan agar semua pihak “kekal mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan penuh disiplin.

    “Setiap individu bertanggungjawab memelihara kesihatan mereka, keluarga, dan masyarakat sekeliling. Inisiatif menjalankan ujian kendiri sangat digalakkan apabila seseorang individu bergejala dan/atau sebelum melakukan perjalanan pulang ke kampung halaman bagi melindungi orang lain di sekeliling.

    “Tingkatkan penilaian kendiri TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, and Seek), ” nasihat beliau.

    Dengan kes kumulatif 2,420,222 kes, Malaysia kini di tangga 20 daripada 223 negara/wilayah yang dilanda pandemik Covid-19.

    Di hadapan Malaysia ialah Ukraine (2,725,385 kes) dan Filipina (2,745,889 kes).

    Sementara itu, Dr. Noor Hisham melaporkan, pada 19 Oktober lepas, sebanyak 134 kes baharu, dikaitkan dengan Variant of Concern (VOC), iaitu 132 kes varian Delta (B.1.617.2); dan dua (2) kes varian Beta (B.1.351).

    Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 2,386 kes.

    Daripada jumlah yang dikesan itu, 2,366 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.– Bernama

  • Pengarah agensi penguat kuasa dera, kurung amah

    Pengarah agensi penguat kuasa dera, kurung amah

    SEORANG pembantu rumah warga Indonesia mendakwa didera majikannya ya ng juga pengarah sebuah agensi penguat kuasa, Isnin lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya mengesahkan kejadian itu dan mengakui ada menerima laporan membabitkan insiden itu.

    “Ya, siasatan sedang giat dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Difahamkan wanita berkenaan mendakwa dipukul kepala, sebelum dikurung dalam sebuah bilik.

    Bagaimanapun, wanita itu dikatakan dapat melarikan diri dan terus menuju ke Kedutaan Indonesia sebelum membuat laporan polis terhadap pegawai agensi penguat kuasa itu.

  • TMJ positif Covid-19?

    TMJ positif Covid-19?

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Ismail Sultan Ibrahim menimbulkan tanya tanya apabila beberapa hantaran yang dimuat naik dalam akaun instagram miliknya hari ini seolah-olah membayangkan Tunku Mahkota Johor itu positif Covid-19.

    Tunku Ismail memaklumkan bahawa sudah diserang wabak itu sejak dua minggu lalu menerusi beberapa hantaran pada hari ini.

    Bagaimanapun, kira-kira pukul 6.35 petang tadi, Tunku Ismail menerusi hantaran terbaharu dalam Instagramnya memuat naik gambar terkini dengan kapsyen ‘The Tiger is back’ (harimau sudah kembali).

    Hantaran itu seperti memberi gambaran bahawa Tunku Mahkota Johor itu sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan virus Covid-19.

    Hantaran pertama di Instastory menerusi akaun @hrhcrownprinceofjohor dimuat naik pukul 2 petang itu memaparkan gambar baginda di atas katil dipercayai di wad hospital dengan keterangan ‘few days ago’ (beberapa hari lalu).

    Kira-kira pukul 3 petang pula, Tunku Ismail mẹmbuat hantaran kedua memaklumkan beliau menghidap Covid-19.

    “Dua minggu dijangkiti Covid-19 dan sekarang…

    “Beberapa minggu lemah fizikal dan psikologi. Terima kasih untuk semua doa. Tetapi, sekarang, harimau sudah kembali,” tulis pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menerusi akaun Instagram miliknya.

    Tunku Ismail sekali lagi mengemas kini hantaran dengan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan baginda.

  • Ahli perniagaan rugi RM191,000 diperdaya pelaburan mata wang digital

    Ahli perniagaan rugi RM191,000 diperdaya pelaburan mata wang digital

    AKIBAT mengejar keuntungan dalam masa singkat, seorang ahli perniagaan mengalami kerugian berjumlah RM191,000.

    Mangsa yang berusia 30-an itu menjadi mangsa skim pelaburan mata wang kripto pada awal Oktober lalu.

    Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafein Mamat, mangsa ditawarkan oleh kenalannya yang merupakan seorang wanita tempatan untuk menyertai satu skim pelaburan menggunakan mata wang kripto tersebut.

    Jelasnya, mangsa dijanjikan dengan pulangan satu peratus sehari mengikut tempoh waktu yang telah ditetapkan.

    “Dalam tempoh seminggu, mangsa telah membuat beberapa transaksi pelaburan berjumlah RM242,000 ke empat akaun bank milik seorang individu untuk membeli mata wang kripto bagi membuat pelaburan.

    “Ia dibuat melalui satu aplikasi yang dimuat turun melalui laman sesawang pelaburan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, status pelaburan yang dibuat itu boleh dipantau oleh mangsa melalui aplikasi e-wallet terbabit.

    Beliau berkata, dalam tempoh kurang dari tiga minggu, mangsa juga telah berjaya membuat pengeluaran wang pulangan pelaburan berjumlah RM51,000 dengan membuat pindahan dari aplikasi e-wallet pelaburan berkenaan ke akaun bank miliknya.

    Bagaimanapun, katanya, pada pada Isnin lalu, mangsa mendapati aplikasi pelaburan yang dimuat turun menggunakan telefon pintar serta laman sesawang pelaburan berkenaan tidak lagi boleh diakses.

    Shafien berkata, mangsa yang mengalami kerugian RM191,000 telah membuat laporan polis semalam selepas mengesyaki dia telah tertipu.

    “Kes kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kami ingin mengingatkan kepada masyarakat supaya berhati-hati dalam membuat pelaburan secara dalam talian mahupun bersemuka.

    “Nasihat kami, sentiasalah membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum membuat satu-satu keputusan,” katanya.

    Beliau berkata, langkah lain yang boleh diambil untuk mencegah diri daripada menjadi mangsa penipuan atau scam adalah dengan memuat turun aplikasi ‘Check Scammers CCID’ untuk membuat semakan nombor akaun bank dan nombor talian telefon yang digunakan sama ada pernah terlibat dengan kes-kes jenayah komersil.

  • Jumlah eksport pertanian ke Singapura meningkat dalam tempoh Covid-19

    Jumlah eksport pertanian ke Singapura meningkat dalam tempoh Covid-19

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PANDEMIK Covid-19 tidak menjejaskan jumlah eksport produk pertanian ke Singapura yang menunjukkan peningkatan 44 peratus antara Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3.48 billion.

    Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, dalam tempoh itu 308,000 transaksi direkodkan ke negara republik itu melalui Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri.

    Katanya, jumlah transaksi eskport berkenaan dianggarkan akan terus meningkat sehingga hujung tahun 2021.

    “MAFI melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) akan terus meningkatkan kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara.

    “Ini bagi memastikan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara dapat dibendung serta dikawal,” katanya selepas melawat BSI, hari ini.

    Menurutnya, Maqis merekodkan jumlah kes penahanan melibatkan cubaan membawa masuk dan keluar hasil agromakanan tanpa permit sebanyak 37 kes sehingga 30 September 2021 dengan nilai anggaran tahanan RM1.35 juta.

    Beliau berkata, jumlah itu kurang satu kes berbanding 38 kes pada tahun 2020 dengan nilai tahanan RM1.2 juta.

    “MAQIS akan sentiasa mempertingkat kecekapan perkhidmatan bagi memudahcara perdagangan pertanian di pintu masuk utama negara sekali gus membantu perkembangan ekonomi negara,” katanya.

    Ronald diberi taklimat semasa melawat Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru hari ini

    Tambah beliau, sehubungan itu MAQIS telah menambah baik kaedah pemantauan pengimportan dan pengeksportan dengan memperkukuh Prosedur Operasi Standard (SOP) serta melaksana kawalan kemasukan hasil pertanian bagi tujuan transit dan ‘transshipment’.

    Sementara itu, MAFI kini sedang memuktamadkan cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) untuk meluaskan kuasa Maqis di luar pusat kuarantin, stesen kuarantin serta premis kuarantin melibatkan proses membuat serbuan, siasatan dan penahanan diluar pintu masuk negara.

    Pindaan berkenaan juga akan memperkukuh bidang kuasa bagi tujuan kawalan biosekuriti melibatkan semua komoditi pertanian berhubungan dengan aktiviti import dan eksport, pemindahan antara wilayah, transit dan ‘transshipment’.

    Tambahnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu tidak mempunyai impak secara langsung terhadap pengeksportan produk pertanian di CIQ Bangunan BSI.

    “Data menunjukkan transaksi eksport ke Singapura dari pintu masuk ini menunjukkan jumlah transaksi meningkat daripada 56,610 pada tahun 2019 kepada 125,151 pada tahun 2020,” ujarnya.

  • Tak salah NGO sumbang pelitup muka kepada polis

    Tak salah NGO sumbang pelitup muka kepada polis

    TIDAK menjadi kesalahan bagi mana-mana pertubuhan agama atau fahaman untuk memberikan sumbangan kepada anggota keselamatan di negara ini, kata Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

    Beliau berkata, tindakan Persatuan Kebajikan Bintang Utara mewakili pertubuhan Freemasons negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia menyumbangkan 5,000 pelindung muka adalah bagi membantu anggota keselamatan yang bertugas sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

    “Sebenarnya, tidak menjadi masalah sesiapapun boleh bagi sumbangan kepada pihak kita, lagi pun sumbangan pelindung muka untuk diedarkan kepada pihak polis dalam menghadapi tugasan harian, kita sama-sama berjuang mengekang jangkitan COVID-19 dan mereka tampil ke depan untuk membantu.

    “Saya tidak nampak ada sebab kita boleh menghalang mereka daripada memberi sumbangan kepada sesiapa sahaja kerana itu hak mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada seorang pengamal media akhbar berbahasa Tamil, Letchumi Rajoo yang menghidap penyakit angin ahmar di kediamannya di Taman Desa Pengkalan di Ipoh, hari ini.

    Sebuah portal berita (Malaysiakini) hari ini melaporkan, Persatuan Kebajikan Bintang Utara yang mewakili pertubuhan Freemasons daripada negeri-negeri Utara Semenanjung Malaysia menyalurkan bantuan 5,000 pelindung muka kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh pada 15 Okt lepas.

    Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya bersedia membantu Polis Kontinjen Johor untuk menjejaki dua beranak berhubung kes pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing yang menyalahguna nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

    “Setakat ini kita belum jumpa lagi dua individu yang dikehendaki itu dan sekiranya ada info lanjut kita akan maklumkan kemudian,” katanya.

    Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya sedang menjejaki M Parameswaran, 64, dan anaknya P Kuganathan, 34, beralamat terakhir di Persiaran Jelapang 16, Taman Sibilin di Ipoh yang dipercayai terbabit dengan kes berkenaan.

    Sebelum ini, media melaporkan polis Johor memburu tiga individu tempatan dipercayai terbabit dengan kes pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing menyalahguna nama Tunku Ismail.

    Ia membabitkan dokumen letter of undertaking pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$) kepada ringgit yang dipercayai palsu. – BERNAMA

  • Anggota polis maut bertembung kereta ubah laluan

    Anggota polis maut bertembung kereta ubah laluan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG anggota polis meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam satu kemalangan di KM 20.9 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara) di Kulai, hari ini.

    Nahas membabitkan Lans Koperal Mohd Sofian Mohd Saad, berusia 35 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara itu berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerusi anggota trafik yang bertugas di kawasan itu menerima laporan berhubung kejadian itu 15 minit kemudian.

    Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha R25 gagal mengelak kereta jenis Produa Alza di hadapannya.

    “Kereta itu dipercayai secara tiba-tiba mengubah laluan pemanduan ke lorong kiri setelah memotong kenderaan yang lain.

    “Mangsa yang bertugas di cawangan komandan IPD Johor Bahru Utara disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beng Yeow berkata, semasa kejadian tersebut mangsa sedang bertugas.

    Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di Kulai untuk proses bedah siasat.

    “Dalam kemalangan ini, pemandu kereta Produa Alza itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kedua-dua kenderaan turut dibawa ke Puspakom Senai untuk diperiksa. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

  • Kerajaan lulus SOP kemasukan pekerja asing sektor perladangan

    Kerajaan lulus SOP kemasukan pekerja asing sektor perladangan

    JAWATANKUASA Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini meluluskan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing, bagi memenuhi keperluan sektor perladangan seperti yang dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga pengerusi jawatankuasa khas itu berkata, SOP berkenaan akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan, dan diluluskan secara ‘case-by-case basis’ oleh Jawatankuasa Pekerja Asing dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.

    “Kuota dan tarikh kemasukan pekerja asing bagi sektor pekerjaan yang lain adalah tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Perdana Menteri, SOP kemasukan pekerja asing ke negara ini yang diluluskan, merangkumi empat peringkat iaitu praperlepasan, semasa ketibaan, selepas ketibaan (tempoh kuarantin) dan pasca kuarantin.

    Katanya, SOP di peringkat praperlepasan ialah telah menerima vaksinasi lengkap di negara sumber, melakukan ujian saringan menggunakan Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR), 72 jam sebelum meninggalkan negara asal, mengemukakan sijil vaksinasi, mematuhi syarat dan dasar imigresen, serta lain-lain kriteria yang ditetapkan kerajaan.

    Ismail Sabri berkata, kemasukan pekerja asing hanya dibenarkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

    Namun, pekerja asing warga Thailand yang bekerja sebagai kru kapal vesel penangkapan ikan tempatan, dibenarkan masuk melalui laluan darat seperti Bukit Kayu Hitam, Wang Kelian, Betong dan Rantau Panjang.

    Katanya, semasa ketibaan, mereka juga perlu melalui laluan khas pekerja asing yang disediakan.

    Perdana Menteri berkata, selepas ketibaan, pekerja asing perlu menjalani kuarantin wajib tujuh hari di pusat kuarantin sekitar Lembah Klang yang diperakui kerajaan, kecuali kru kapal penangkapan ikan tempatan warga Thailand yang dibenarkan menggunakan pusat kuarantin berdekatan pintu masuk.

    Ujian RT-PCR perlu dilakukan pada hari kedua dan hari kelima tempoh kuarantin dan sekiranya positif, kes kategori satu atau dua perlu diisolasi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) swasta, manakala kes kategori tiga, empat dan lima perlu dirujuk ke hospital swasta.

    Sebaliknya, jika keputusan disahkan negatif dan telah tamat kuarantin, pekerja asing akan dibawa ke premis majikan menggunakan pengangkutan disediakan majikan, serta perlu melengkapkan urusan dengan Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) dan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan. – BERNAMA

  • Mereka yang enggan divaksin patut kena tindakan – Muhyiddin

    Mereka yang enggan divaksin patut kena tindakan – Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIADA lagi kompromi malah kerajaan perlu mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang masih tidak mahu divaksin tanpa alasan kukuh.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kedegilan mereka membimbangkan walaupun jumlah mereka hanya kira-kira 10 peratus dan tanpa disedari berisiko menjadi penyebar wabak Covid-19.

    Jelas bekas Perdana Menteri, golongan tersebut juga berpotensi merencatkan usaha kerajaan untuk memulihkan semula ekonomi malah menganggu usaha untuk mencapai imuniti kelompok dengan lebih berkesan.

    “Kerajaan patut pertimbang jika jadikan sebagai mandatori apakah dia ada halangan sama ada daripada segi perundangan atau Perlembagaan atau melakukan apa cara sekalipun supaya golongan yang menolak ini dapat diberikan nasihat untuk menerimanya.

    “Kalau mereka tidak menerima vaksinasi, mereka tak boleh guna MySejahtera. Sebab kalau ada aplikasi ini, dia akan sediakan sijil vaksinasi yang mana kita perlu imbas untuk masuk ke tempat-tempat tertentu.

    Muhyiddin beramah mesra dengan peniaga dan mencuba kuih bahulu semasa melakukan ‘walkabout’ di Pasar Tani Bukit Gambir, pekan Gambir, Tangkak, hari ini

    “Jadi kalau mereka tiada sijil, mereka secara semula jadi sudah menafikan hak untuk mendapat kemudahan sama ada ke restoran, masjid, hotel atau di mana sekalipun kerana ia sudah jadi satu amalan biasa di Malaysia,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Tempatan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, pekan Gambir, Tangkak, Muar, hari ini.

    Terdahulu Muhyiddin merasmikan Kayuhan Santai Sempena Hari Sukan Negara Peringkat DUN Gambir di pekarangan Dewan Serbaguna Bukit Gambir.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir itu kemudian melakukan ‘walkabout’ di Pasar Tani Bukit Gambir sebelum menyampaikan sumbangan barang basah kepada Ketua-ketua taman sekitar pekan Bukit Gambir.

    Pada 12 Ogos lalu, Muhyiddin semasa menjadi Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memutuskan untuk mempertimbang mewajibkan suntikan vaksin secara mandatori sebaik kajian ke atas golongan yang menolak vaksin atau antivaksin selesai sepenuhnya.

    Muhyiddin (kiri) diiringi ADUN Tenang, Mohd Solihan Badri (kanan) bertemu orang ramai semasa ‘walkabout’ di Pasar Tani Bukit Gambir, pekan Gambir, Tangkak, hari ini

    Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan sebelum ini tidak menguatkuasakan perkara berkenaan kerana tertumpu kepada usaha pemberian vaksin dengan segera.

    Namun kata Muhyiddin, sudah tiba masa untuk perkara tersebut diperhalusi berikutan ketika ini golongan menolak divaksin itu kebanyakannya terpengaruh dengan berita tidak sahih yang disebarkan.

    Tindakan golongan tersebut katanya, secara tidak langsung akan merencatkan usaha mencapai imuniti kelompok dengan lebih berkesan.

  • Kerja pemulihan jangka pendek bermula di Yan

    Kerja pemulihan jangka pendek bermula di Yan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah pun memulakan kerja-kerja pemulihan jangka pendek di Yan bagi mengurangkan impak terhadap kejadian aliran debris yang berlaku di Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.

    Pengarah JPS negeri, Md. Khuzai Hussain berkata, kerja-kerja itu mula dijalankan sejak pertengahan September lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada awal November depan.

    Menurutnya, antara skop kerja yang terlibat adalah pengorekan semula sungai yang tertimbus akibat mendapan, penstabilan tebing sungai bagi tempat yang terhakis teruk serta membaik pulih pintu-pintu air yang rosak supaya dapat kembali beroperasi dengan baik.

    “Selain itu kami turut mengalihkan, membersih dan membuang halangan pokok, reba serta ranting dan dahan yang terserkat di struktur lintasan seperti jambatan bagi melancarkan aliran sungai.

    “Dalam masa sama kami turut membaik pulih kawasan rekreasi dengan menyusun semula bongkah batu dan membuat semula saluran untuk aliran air berjalan lancar,” katanya.

    Semalam Warta Rakyat melaporkan mengenai kebimbangan penduduk di kawasan terlibat yang mengharapkan agar kerajaan bertindak segera bagi mendalamkan sungai-sungai tersebut.

    Ia berikutan kejadian banjir kilat yang didakwa sering berlaku kebelakangan ini kerana sungai-sungai di kawasan itu sudah semakin cetek sejak terjadinya tragedi aliran debris pada 18 Ogos lepas.

    Katanya, setakat ini sebanyak 65 peratus kerja tersebut telah disiapkan dengan semuanya berjalan serentak melibatkan penggunaan satu jentera di satu tapak.

    Mengulas lanjut katanya, pelaksanaan 11 kerja itu dijangka dapat mengurangkan impak kejadian banjir kilat dan menyelesaikan masalah yang timbul ekoran kejadian tanah runtuh di kawasan tertentu.

    “Walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah banjir sepenuhnya, kelangsungan kepada pelaksanaan segera kerja-kerja pemulihan ini diperlukan bagi memastikan keselamatan nyawa orang awam dan mengurangkan kerosakan harta benda.

    “Penyelesaian bagi keseluruhan kesan bencana ini adalah di bawah pelan pemulihan jangka panjang yang dalam proses kelulusan pelaksanaan di peringkkat kementerian,” katanya.

    Beliau memaklumkan, 11 sungai yang terlibat dengan kerja-kerja itu adalah Sungai Batu Hampar, Sungai Bakong, Sungai Raga, Sungai Ruat Air, Sungai Titi Hayun, Sungai Dara Mandi, Sungai Yan Besar, Sungai Singkir, Sungai Teroi, Sungai Setar dan Sungai Seri Perigi.