Category: Semasa

  • Rayuan haji: Mengapa B40, M40 perlu bayar penuh?

    Rayuan haji: Mengapa B40, M40 perlu bayar penuh?

    JEMAAH haji B40 dan M40 yang dapat ke Tanah Suci pada tahun ini selepas rayuan mereka diterima perlu membayar jumlah penuh RM30,850 kerana tidak berada dalam giliran untuk tunai haji pada tahun semasa.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, berdasarkan giliran tahun ini keutamaan diberikan kepada mereka yang terpilih untuk menunaikan haji pada 2020, 2021 dan 2022 yang tertangguh akibat Covid-19.

    Jelas beliau, apabila ada kekosongan kerana jemaah lain tolak atas sebab tertentu, Tabung Haji (TH) akan buka giliran kepada mereka yang berada di luar giliran.

    Katanya lagi, giliran mereka yang ditawarkan itu mungkin pada 2025, 2026 atau 2027 dan layak menerima bantuan kewangan haji pada tahun-tahun berkenaan.

    “Tetapi apabila mereka ini membuat rayuan dan berjaya, polisi rayuan ialah mereka semestinya ada kemampuan atau istito’ah jadi perlu bayar penuh,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sesi ramah mesra bersama jemaah haji di Ibu Pejabat TH Makkah, Abraj Al-Janadriyah di Makkah, semalam.

    Mohd. Na’im berucap pada majlis ramah mesra di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) Makkah, Abraj Al-Janadriyah semalam. – Foto Sinar Harian

    Dr. Mohd. Na’im menjawab soalan seorang jemaah haji wanita yang bertanyakan mengapa jemaah B40 dan M40 yang terpilih menunaikan haji selepas membuat rayuan perlu menanggung kos seperti golongan T20.

    Bayaran untuk jemaah haji Muassasah bagi kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji tahun ini kekal pada kadar RM10,980 seorang, RM15,980 bagi M40 dan kumpulan T20 perlu membuat bayaran penuh.

    Dalam sidang media selepas sesi ramah mesra tersebut, Mohd. Na’im berkata, terdapat 60,000 pendeposit Tabung Haji (TH) yang sedang menunggu giliran dan sanggup membayar jumlah penuh kos haji tetapi tidak terpilih pada tahun ini.

    “Bayangkan kalau mereka yang merayu tahun ini dapat potong giliran, dapat pula bantuan kewangan, sedangkan pendeposit lain berkemampuan dan bersetuju untuk membayar penuh RM30,850 tetapi tidak berjaya dalam rayuan.

    “Terdapat juga 69 jemaah haji B40 dan M40 yang menerima tawaran menunaikan haji pada tahun ini menolak bantuan kewangan kerana sedar bahawa istito’ah adalah asas wajib dalam menunaikan haji,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Na’im melawat seorang jemaah yang dimasukkan ke Pusat Rawatan TH, di Makkah. – Foto Sinar Harian

    Mohd. Na’im dalam pada itu berkata, seramai 31,600 jemaah haji Malaysia telah berada di Makkah dengan penerbangan terakhir membawa 357 jemaah telah tiba di Jeddah pada Rabu malam.

    Ketika ini katanya, 56 jemaah haji dirawat di Pusat Rawatan TH dan lima orang di Hospital Arab Saudi dan semuanya dalam keadaan stabil.

    Jumlah jemaah yang meninggal dunia setakat ini adalah seramai dua orang dengan kematian terbaharu pada Isnin melibatkan jemaah wanita berusia 75 tahun dari Selangor disebabkan jangkitan kuman dalam paru-paru.

  • Polis terima empat laporan penipuan culik murid sekolah sekitar Lembah Klang

    Polis terima empat laporan penipuan culik murid sekolah sekitar Lembah Klang

    POLIS menerima empat laporan berhubung modus operandi terkini penipuan penculikan melibatkan murid sekolah di sekitar Lembah Klang, pada 13 hingga 15 Jun lalu.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, satu pesanan ringkas turut tular melalui aplikasi Whatsapp berhubung kejadian tersebut.

    Jelas beliau, siasatan awal kes tersebut mendapati, seorang wanita tempatan telah menerima panggilan telefon daripada seorang individu tidak dikenali yang mendakwa telah menahan anaknya dan meminta wang tebusan.

    “Wanita itu dengan segera bertindak memeriksa keadaan anaknya dan mendapati anaknya
    dalam keadaan selamat.

    “Wanita itu serta-merta memutuskan panggilan dengan suspek tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Amihizam berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan iaitu Cubaan Penipuan.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut.

    “Jangan mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon daripada individu yang tidak dikenali serta buat semakan dengan menghubungi pihak sekolah atau dapatkan pengesahan guru sekolah sekirannya anda mengalami situasi tersebut.

    “Hubungi balai terdekat sekirannya anda mengalami masalah dan berhadapan dengan situasi ini serta jangan mendedahkan data peribadi atau maklumat perbankan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali.

    “Buat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” jelas beliau.

    Amihizam berkata, orang ramai juga boleh melaporkan kepada National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan.

    “Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Bekas teman wanita pemain bola sepak Sabah ditahan

    Bekas teman wanita pemain bola sepak Sabah ditahan

    SEORANG wanita ditahan polis selepas dipercayai merosakkan pintu rumah bekas teman lelakinya yang juga pemain bola sepak Sabah.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, wanita berkenaanditahan pada pukul 8 malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

    “Tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat pemain bola sepak berkenaan pada 17 Jun lalu. Pengadu mengatakan bahawa pintu rumahnya telah dirosakkan oleh bekas teman wanitanya.

    “Suspek kemudian berjaya ditahan dan dengan tertangkapnya suspek, kita percaya dapat menyelesaikan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi, perkongsian dan menyebarkan sesuatu berita daripada sumber yang tidak sahih berhubung kes ini yang telah dimuat naik dan tular di platform media sosial.

    “Tangkapan dibuat bersabit dengan kes melakukan khianat dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • ‘Dulu asyik pertikai, bila jadi kerajaan tak tahu buat’ – Shahrir

    ‘Dulu asyik pertikai, bila jadi kerajaan tak tahu buat’ – Shahrir

    VETERAN UMNO, Tan Sri Shahrir Samad mengkritik kerajaan perpaduan kini didakwa tidak cekap dalam pengendalian urus tadbir negara.

    Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) itu mendakwa, ketika menjadi pembangkang, pihak berkenaan terlalu banyak mempertikaikan pelbagai perkara.

    “Bertahun sebagai pembangkang asyik menyalahkan dasar dan strategi kerajaan, tapi bila sudah jadi kerajaan tidak pula tahu buat yang betul,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook miliknya hari ini.

    Beliau turut memuat naik hantaran berhubung kritikan terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang didakwa masih tidak dapat menyelesaikan kemelut ekonomi melanda negara.

    “Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah boleh bubar jawatan Menteri Ekonomi itu.

    “Ekonomi rakyat dan negara semakin tergugat,” kata beliau, lapor Sinar Harian.

  • PM nafi Zahid bercuti, tapi Saifuddin mengesahkan

    PM nafi Zahid bercuti, tapi Saifuddin mengesahkan

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi sedang bercuti dua minggu.

    Setiausaha Agung Parti Keadilan (PKR) itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menemui Zahid tidak lama lagi bagi memuktamadkan rundingan beberapa kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi PRN di enam negeri.

    “(Mereka akan berjumpa) apabila Zahid pulang dari cutinya. Zahid sedang bercuti,” katanya dalam wawancara di pejabatnya semalam, lapor FMT.

    Saifuddin turut mengesahkan Zahid bercuti dua minggu dan pengerusi BN itu dijangka pulang ke tanah air dalam masa beberapa hari lagi.

    Minggu lalu, Anwar menafikan khabar angin Zahid bercuti selama dua minggu.

    Saifuddin berkata, rundingan agihan kerusi dengan BN mudah, tidak seperti rundingan pembahagian kerusi PKR dengan Pas dahulu.

    Katanya, beliau menganggotai jawatankuasa PKR untuk rundingan agihan kerusi bagi PRU sejak 1999 dan proses itu lebih rumit dahulu.

    Beliau berkata, mudah berurusan dengan UMNO kerana pemimpin BN lebih bersikap terbuka berbanding Pas yang cenderung membuat ‘kejutan’ apabila rundingan dianggap sudah selesai.

    “Perkara paling penting ialah sebaik anda bersetuju dengan sesuatu, jangan jadi pengkhianat. Dalam sejarah kita dengan Pas, mereka telah mengkhianati kita.

    “(Pada PRU 2013) kita tewas di kerusi DUN Kota Damansara. Calon kami kalah kerana Pas memutuskan untuk meletakkan calon dan UMNO menang,” katanya merujuk PKR, Pas dan DAP menjadi sekutu dalam Pakatan Rakyat.

    Beliau berkata, hubungan dengan parti Islam itu jauh lebih baik ketika ia diterajui pemimpin seperti Allahyarham Tan Sri Nik Aziz Nik Mat, Datuk Seri Fadzil Noor dan Datuk Haron Din.

    Saifuddin berkata, Pas yang diketuai Tan SriAbdul Hadi Awang bukan parti dikenalinya kerana pemimpinnya mengambil laluan agama dan menyamakan perbezaan politik dengan pertikaian agama.

    Katanya, lebih baik Perikatan Nasional berkempen menentang kerajaan berdasarkan dasar dan program berbanding menggunakan royalti, kaum atau agama (3R).

    Tetapi, beliau menjangkakan isu 3R akan dimainkan pembangkang khasnya menjelang PRN di enam negeri.

  • Beri kelonggaran pilih pakaian seragam harian, kata jururawat

    Beri kelonggaran pilih pakaian seragam harian, kata jururawat

    BEBERAPA jururawat tampil menyuarakan rasa lega apabila isu pakaian seragam mereka menjadi bualan orang awam sejak minggu lalu selepas kenyataan seorang ahli Parlimen di Dewan Rakyat. 

    Bercakap kepada portal MalaysiaNow, masing-masing menyatakan pakaian seragam sememangnya menjadi isu yang belum selesai meskipun masalah yang sama seringkali dibangkitkan kepada pihak atasan mahupun persatuan. 

    Ini termasuklah isu potongan baju yang menampakkan bentuk badan, penggunaan pakai seragam untuk tugasan luar fasiliti kesihatan dan kebebasan untuk memilih jenis pakaian seragam ketika bekerja. 

    Seorang jururawat wanita mahu dikenali sebagai Wati berkata, dia pernah berkhidmat di klinik kesihatan dalam kawasan pedalaman Pahang selama enam tahun. 

    Di sana, katanya, dia perlu masuk ke kawasan penempatan Orang Asli untuk membuat lawatan ke rumah khususnya melibatkan rawatan ibu dan bayi. 

    “Ada rakan-rakan pula kena masuk ke kampung Orang Asli untuk hantarkan ubat tibi. 

    “Kadang-kadang kena panjat semak samun dan belukar guna uniform putih jururawat. 

    “Sangat tak selesa dan baju selalu juga terkoyak sebab potongan baju yang  ikut badan ataupun tercarik sebab kena duri atau dahan pokok,” katanya kepada  sambil menambah baju seragam jururawat walaupun dijahit besar dariapada saiz badan tetap akan menampakkan bentuk badan. 

    “Sebab memang dah designnya begitu,” katanya. 

    Dalam pada itu, seorang jururawat lelaki yang berkhidmat di Hospital Sultanah Nora, Batu Pahat, Johor juga mengatakan hal yang sama mengenai pakaian seragamnya. 

    Mahu dikenali sebagai Nas, dia bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor supaya mereka dibenarkan untuk memilih pemakaian yang selesa semasa bertugas.

    “Tak ada isu uniform misi di Malaysia ni ikut acuan Barat atau sebagainya. 

    “Tapi kita tak ada acuan sendiri, jururawat di Malaysia tak standardize uniform yang boleh dipakai. 

    “Ada hospital universiti pakai uniform acuan mereka, fasiliti KKM guna uniform putih. Ada hospital swasta benarkan pakai baju scrub,” katanya kepada MalaysiaNow.

    Atas sebab itu, kedua-dua mereka memberitahu dalam kalangan jururawat amat berbesar hati sekiranya mereka dibenarkan untuk memilih jenis pakaian seragam ketika menjalankan tugas. 

    Sejak minggu lalu, isu pakaian seragam jururawat menjadi satu polemik di Malaysia apabila Wan Razali ketika membahaskan Kertas Putih Kesihatan mempersoalkan etika pemakaian jururawat wanita di klinik dan hospital kerajaan, yang didakwa berpakaian ketat dan tidak patuh syariah. 

    Sementara itu, Persatuan Jururawat Malaysia dalam satu kenyataan pada Isnin menafikan dakwaan Wan Razali. 

    Katanya, reka bentuk pakaian seragam jururawat itu memudahkan pergerakan jururawat dalam melakukan tugas harian mereka selain ianya turut mematuhi kod pakaian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

    “Isu pakaian ketat adalah isu terpencil dan tidak mencerminkan jururawat di Kementerian Kesihatan secara keseluruhan. 

    “Teguran sempit secara tidak langsung akan menjejaskan semangat kita,” kata kenyataan itu. 

    Dalam pada itu, Wan Razali menegaskan bahawa tujuannya menyentuh isu pemakaian jururawat adalah kerana terdapat pihak yang menggesa supaya ianya dibawa kepada perhatian Dewan Rakyat. 

    Katanya, beliau sebelum ini juga pernah menyentuh pelbagai isu melibatkan kesihatan yang mana tindakan positif telah diambil oleh pihak kementerian, menyebabkan dia hanya tumpu kepada beberapa isu yang tidak disentuh ahli Parlimen lain. 

    “Justeru, apa yang saya sebut dalam Parlimen bukan sebab suka-suka. Saya luahkan apa yang telah diluahkan kepada saya. 

    “Walaupun perkara ini dianggap sebagai remeh bagi sesetengah pihak, tetapi bagi saya ini adalah satu amanah yang telah diberikan kepada saya,” jelas beliau dalam sesi Live TikTok Pemuda Pas Pahang minggu ini. 

    Terdahulu, dalam ucapannya di Parlimen, beliau turut menggesa KKM meneliti semula etika pemakaian jururawat wanita, termasuk mempertimbang keperluan memberi kelonggaran kepada pihak klinik dan hospital menentukan etika berpakaian yang sesuai. 

    Beliau memetik contoh di dua hospital di Kelantan (Hospital Universiti Sains Malaysia) dan Pahang (Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah) yang mengambil inisiatif memberi pilihan kepada kakitangan wanitanya mengenakan pakaian yang lebih sesuai. 

  • Mahkamah tolak rayuan Rosmah cabar kes rasuah solar

    Mahkamah tolak rayuan Rosmah cabar kes rasuah solar

    MAHKAMAH Rayuan menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan cabaran undang-undang untuk membatalkan kes rasuah terhadapnya yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion, lapor Malaysiakini.

    Panel tiga hakim yang bersidang, dipengerusikan oleh Hakim Hanipah Farikullah sebulat suara menolak permohonan supaya isteri kepada bekas perdana menteri yang dipenjarakan Datuk Seri Najib Razak meneruskan semakan kehakimannya yang mencabar kesahihan pelantikan ketua pendakwa raya kes solar, mendiang Gopal Sri Ram.

    Prosiding hari ini ditetapkan buat panel hakim yang turut diketuai oleh Hakim Che Mohd. Ruzima Ghazali dan See Mee Chun untuk menyampaikan keputusannya berhubung rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (bidang kuasa sivil) Kuala Lumpur pada 30 Ogos tahun lepas.

    Pada 1 September tahun lepas, Mahkamah Tinggi (bidang kuasa jenayah) Kuala Lumpur mensabitkan Rosmah bersalah dalam kes rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

    Bagaimanapun, beliau memperoleh penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman itu, dan rayuan jenayahnya yang berasingan terhadap keputusan bersalah berkenaan ditetapkan untuk dibicarakan di hadapan Mahkamah Rayuan pada 11 Julai (perbicaraan pada mulanya ditetapkan untuk pendengaran pada bulan Jun sebelum tarikh itu dikosongkan).

    Mahkamah Rayuan juga memerintahkan Rosmah membayar kos RM10,000 kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

  • Disifatkan sebagai ‘biawak hidup’, pemimpin MIC kecam kenyataan Lokman 

    Disifatkan sebagai ‘biawak hidup’, pemimpin MIC kecam kenyataan Lokman 

    AHLI Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Adam dikecam kerana menyifatkan MIC dan MCA sebagai “biawak hidup” kerana tidak lagi mampu menyumbang kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

    Ketua Penerangannya Thinalan Rajagopalu berkata jika benar parti itu dirasakan sebagai beban, beliau meminta Lokman mencadangkan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya mengeluarkannya dari gabungan berkenaan.

    “Jika berat sangat beban memikul MIC, bincanglah dengan Presiden UMNO dan bawakan satu resolusi untuk mengeluarkan MIC daripada BN.

    “Jangan hanya untuk mendapat perhatian murahan, Lokman mengeluarkan kenyataan sinis…beliau sendiri pun tidak mampu menang pilihan raya,” katanya merujuk kekalahan Lokman di PRK Sungai Kandis pada 2018, Labor FMT.

    Katanya, MIC tidak pernah meminggirkan BN sejak penubuhannya dan kekal sehingga kini walaupun parti itu tidak diberi sebarang kedudukan dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

    “Adakah kami menuntut apa-apa jawatan hanya untuk mengekalkan sokongan kepada BN?

    “Tidak ada satu jawatan pun diterima oleh MIC sedangkan UMNO yang menerima semua jawatan kerajaan dan GLC pula menuding jari kepada parti komponen?,” katanya.

  • Jangan ingkar titah Sultan Kedah berkaitan KXP

    Jangan ingkar titah Sultan Kedah berkaitan KXP

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menzahirkan harapan agar tiada mana-mana pihak ingkar terhadap titah Sultan negeri itu, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah agar projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) diberi layanan dan perhatian adil serta sewajarnya untuk direalisasikan.

    Menurut Muhammad Sanusi, semua pihak tidak seharusnya hanya menjunjung titah sultan yang berpihak kepada mereka semata-mata.

    Katanya, ikrar kesetiaan kepada raja dan negara perlu sentiasa dipatuhi seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.

    “Saya harap titah tuanku ini tiada orang atau pihak yang ingkar. Janganlah kita menjunjung titah apabila hanya ‘sebulu’ dengan kita. Apabila tak ‘sebulu’, kita ingkar. Kita dah berikrar kesetiaan kepada raja dan negara. Kena setialah, ini Rukun Negara ‘bos’!” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

    Ketika bertitah sempena Hari Keputeraan Baginda ke-81 baru-baru ini, Sultan Sallehuddin sekali lagi ‘bersuara’ mengenai KXP dengan menyatakan, amat rugi sekiranya projek itu tidak dilaksanakan hanya disebabkan oleh perbezaan pandangan dan pemahaman politik antara pemimpin negeri dengan Persekutuan hingga membelakangkan keperluan negeri serta negara yang lebih mustahak.

    Justeru baginda menyeru supaya projek itu diberi layan dan perhatian adil serta sewajarnya agar ia dapat direalisasikan demi kepentingan rakyat.

    Ditanya pandangannya mengenai titah baginda yang berpendapat bahawa projek itu dapat disegerakan sekiranya kerajaan negeri serta Persekutuan dapat bekerjasama dengan pucuk pimpinan mengenepikan perasaan peribadi, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sentiasa membawa kepentingan negeri.

    “Kalau pihak yang ‘menahan’ projek itu ada kepentingan peribadi, maka mereka kena ketepikanlah. Kalau mereka kata tak ada kepentingan peribadi, maka kena ‘lepaskanlah’ projek ini agar dapat dilaksanakan.

    “Dulu masa Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), kerajaan Persekutuan kata semua projek lapangan terbang perlu tunggu Kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) disiapkan. Namun tiba-tiba, diumumkan pula projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) dalam Belanjawan.

    “Kenapa boleh pula diumumkan dua projek itu sebelum NASP dijalankan? Bagi saya, mesti ada benda tak betul kerana mengapa dua projek itu boleh dikecualikan dari NASP tetapi KXP tidak?” katanya.

  • Titah Sułtan Kedah bukan mahu cari gaduh – kata Sanusi

    Titah Sułtan Kedah bukan mahu cari gaduh – kata Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tiada mana-mana pihak sepatutnya merasa bimbang dengan titah Sultan, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada hari keputeraan baginda baru-baru ini, mengenai sejarah melibatkan negeri itu dan Pulau Pinang.

    Katanya, titah baginda berkaitan perkara itu sememangnya benar, lurus dan betul serta tidak bertujuan untuk mencari gaduh dengan sesiapa.

    “Saya rasa tak ada pihak patut rasa bimbang dan risau dengan titah itu sebab titah tersebut benar, lurus dan betul. Bukan bertujuan untuk mencari gaduh dengan sesiapa sebaliknya hanya untuk ungkapkan apabila ada pemesongan atau bahasa lainnya dipanggil penjulingan sejarah, keadaan itu mesti diperbetulkan oleh anak bangsa yang lahir dari kecerdikan, kepintaran, kecerdasan serta memiliki ilmu selain berusaha membuat kajian.

    “Pembetulan mesti dibuat. Jika tidak, kita hanya hidup dalam rangka ‘diset’ pihak lain yang ada kepentingan sejak ratusan tahun lalu untuk kita hidup dalam keadaan tertentu.

    “Saya fikir itu tak betul dan kalau dulu berlaku pemesongan, adakah kita sanggup hidup dalam pemesongan itu selama-lamanya? Saya tak sanggup tetapi kalau ada orang sanggup atau selesa dengan pemesongan tersebut, itu kerana mereka ada kepentingan tertentu berkaitan pemesongan berkenaan,” katanya.

    Sultan Sallehuddin ketika bertitah sempena Hari Keputeraan Baginda ke-81 baru-baru ini menegaskan, amatlah tidak wajar sekiranya suara rakyat Kedah cuba didiamkan berhubung sejarah dan kedaulatan Kedah.

    Titah baginda, pembentukan Malaysia tidak seharusnya menjadi titik bagi membenarkan sejarah sesebuah negeri yang wujud sejak sekian lama terpadam dan hakikat bahawa tanah Pulau Pinang hanya dipajak dari Kedah, perlu diperjelaskan secara terang bersandarkan fakta tanpa prejudis.

    Sementara itu Muhammad Sanusi menjelaskan, beliau bukannya ‘gila’ untuk mendesak agar Perlembagaan dipinda berkaitan Kedah dan Pulau Pinang, dalam keadaan partinya tidak memiliki dua per tiga sokongan di Dewan Rakyat.

    Beliau berkata tuduhan itu adalah sesuatu yang tidak logik selain turut didakwa sentiasa cuba mencari gaduh.

    “Takkanlah nak membetulkan sejarah pun bermaksud cari gaduh? Semua itu (tuduhan) adalah usaha untuk mengekalkan pemesongan kerana mereka ada kepentingan darinya. Ada pakar sejarah kata sewa Pulau Pinang sudah terbatal. Tetapi itu beliau seorang saja yang cakap dan beliau pun lahir dari sistem yang telah dipesongkan itu. Saya tak tahulah PhD (Doktor Falsafah) beliau kaji bab apa?” katanya.