Category: Semasa

  • Yasin masih di Hospital Bahagia, laporan psikiatri belum tersedia

    Yasin masih di Hospital Bahagia, laporan psikiatri belum tersedia

    MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya hari ini diberitahu bahawa laporan psikiatri penyanyi dan komposer lagu, Yasin Sulaiman masih belum tersedia.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin pada sebutan laporan psikiatri di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohamad, pagi ini.

    “Saya dimaklumkan bahawa laporan psikiatri masih belum sedia.

    “Justeru, pihak pendakwaan memohon satu lagi tarikh sebutan bagi laporan psikiatri tersebut,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan bahawa pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ itu tidak dapat menghadiri ke mahkamah pada hari ini ekoran masih berada di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi pemerhatian kesihatan mentalnya.

    Sementara itu, peguam yang mewakili Yasin, Ariff Azami Hussein mengesahkan perkara itu dan tidak membantah permohonan pihak pendakwaan bagi tarikh sebutan baharu.

    “Kami percaya mengikut undang-undang, pihak hospital mempunyai masa sehingga dua bulan untuk menyiapkan laporan psikiatri tertuduh,” ujar peguam itu.

    Mahkamah kemudian menetapkan 6 Julai depan bagi sebutan semula kes itu dan laporan psikiatri oleh pihak hospital.

    Pada prosiding sebelum ini mahkamah sama memerintahkan Yasin agar dirujuk ke hospital bahagia berkenaan untuk pemerhatian kesihatan mentalnya.

    Nik Nasimah memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Ariff Azami yang mewakili Yasin mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Ariff Azami membuat permohonan itu apabila memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan mempunyai asas yang kuat agar kesihatan mental Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, diperiksa oleh pakar psikiatri.

    Katanya, pemerhatian juga perlu dibuat untuk memastikan sama ada Yasin layak dibicarakan atas pertuduhan yang dihadapinya.

    Pihak pembelaan turut mengemukakan lima laporan perubatan yang antara lainnya mengesahkan sejarah kesihatan mental Yasin yang menghidap penyakit Bipolar Disorder Jenis 1 sejak 2007.

    “Laporan terkini yang dikeluarkan oleh University Malaya Specialist Centre (UMSC) mengesahkan keadaan mental dan kesihatan Yasin semakin merosot sehingga boleh membahayakan nyawa,” katanya pada prosiding itu, lapor Utusan TV.

    Pada 6 Julai tahun lalu, Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di kondominium di Persiaran Surian Damansara, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 5.30 petang, 24 Mac 2022.

  • Tembak kucing jiran, bekas tentera didenda RM20,000

    Tembak kucing jiran, bekas tentera didenda RM20,000

    SEORANG bekas tentera didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas mengaku bersalah menembak seekor kucing jirannya dengan senapang angin tahun lalu.

    Aziz Tambi, 63, didakwa melakukan penganiayaan terhadap haiwan dengan menyebabkan penderitaan tidak sepatutnya terhadap kucing milik Amran Majid, 45, dengan cara menembaknya.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Lorong Mat Lajis, Bukit Rambai di Melaka Tengah kira-kira 2.30 petang 18 Jun 2022.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang membawa denda minimum RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh bagi memberi pengajaran kepada masyarakat supaya tidak bertindak terburu-buru.

    Peguam Ishak Mohd Kari yang mewakili Aziz bagaimanapun merayu hukuman ringan atas alasan tertuduh pernah berjasa kepada negara dan menerima pingat penghargaan, selain tindakan itu diambil kerana lama bersabar dengan jirannya.

    Hakim Darmafikri Abu Adam memutuskan denda RM20,000 atau penjara enam bulan, jika gagal bayar denda.

  • Youtuber ‘Noel Faizal’ didenda RM2,500 miliki dadah

    Youtuber ‘Noel Faizal’ didenda RM2,500 miliki dadah

    YOUTUBER Noel Faizal didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis methamphetamine di kawasan tempat letak kereta sebuah kondominium, Mac lepas.

    Majistret Muhammad Iskandar Zainol turut memerintahkan Noel Faizal atau nama sebenarnya Noel Faizal Firdaus Muhamad, 40, dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan pindaan, Noel Faizal didakwa ada dalam kawalannya 0.68 gram dadah jenis methamphetamine di kawasan tempat letak kereta sebuah kondominium, Damansara Perdana di Petaling Jaya pada 2.15 pagi, 21 Mac lepas.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1980) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Loh Xian Yee memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh, mengambil kira faktor kepentingan awam serta kekerapan kes dadah yang berlaku manakala Noel Faizal yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

  • Razaruddin, Ayob Khan akan tangani isu 3R

    Razaruddin, Ayob Khan akan tangani isu 3R

    KETUA Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalannya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang baru dilantik hari ini diberitahu untuk memberi tumpuan menangani ucapan kebencian yang menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini antara perkara yang perlu menjadi keutamaan dua pegawai tertinggi pasukan polis itu dalam menggalas tugas baru mereka.

    “Isu ini dilihat membimbangkan malah ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini ada membincangkan mengenai perkara ini.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengadakan sidang media pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Itu jelas beri isyarat pada Razarudin dan Ayob Khan, kalau julang awal tugas mereka berdua, kena ‘address’ isu ini dengan kemas sekali,” kata Saifuddin, lapor Malaysiakini.

    Menteri dalam negeri berkata demikian semasa menyampaikan ucapannya pada majlis penyerahan tugas antara Razarudin dan KPN, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang akan bersara, di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur.

    Mengulas lanjut semasa sidang media kemudiannya, Saifuddin berkata, kenyataan menyinggung perasaan yang menyentuh 3R semakin membimbangkan di negara hari ini.

    Justeru, tegasnya, perlu perhatian lebih untuk menangani masalah itu.

  • Tiada apa yang janggal peralihan kuasa – Acryl Sani

    Tiada apa yang janggal peralihan kuasa – Acryl Sani

    TAN Sri Acryl Sani Abdullah Sani menegaskan tiada apa yang janggal berhubung proses peralihan kuasa melibatkan dirinya kepada Tan Sri Razarudin Husain sebagai Ketua Polis Negara yang baharu.

    Acryl Sani ketika berucap pada majlis serah terima tugas hari ini berkata, mungkin ada sesetengah pihak berasa janggal apabila beliau membuat keputusan mengundur diri lebih awal daripada tarikh asal iaitu 3 Oktober depan.

    Bagaimanapun, Ketua Polis Negara ke-13 itu memaklumkan ia adalah proses biasa dalam kepemimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Pada masa sama, beliau turut menghargai keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah menawarkan perancangan selepas bersara.

    “Apabila saya menyuarakan hasrat bahawa saya akan menamatkan perkhidmatan pada 3 Oktober, Perdana Menteri begitu prihatin telah menawarkan saya perancangan selepas bersara.

    “Saya sungguh tak menjangkakan budi baik yang dipanjangkan kepada saya itu.

    “Mungkin ada yang berasa pelik tetapi percayalah bahawa tak ada apa yang janggal dalam proses peralihan kuasa ini…peralihan kepimpinan PDRM ini.

    “Kebetulan situasi memerlukan untuk saya memendekkan tempoh perkhidmatan untuk memenuhi keperluan kehidupan.

    “Justeru, saya tinggalkan pasukan keramat ini dengan penuh rasa lapang dada, dengan penuh tulus dan ikhlas kerana saya percaya, tuan-tuan dan puan-puan yang ada di hadapan saya dan rakan di luar sana akan terus kekal mantap untuk kita laksanakan tugas dengan sebaik mungkin,” katanya dalam ucapan itu, lapor Utusan TV.

    Terdahulu, Acryl Sani menyerahkan tugasnya sebagai Ketua Polis Negara kepada Razarudin dalam satu majlis di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) dengan disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

    Turut diadakan serah terima tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara daripada Razarudin kepada Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

    Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berucap ketika hadir pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Turut diadakan upacara serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia diantara Puan Sri Zaitun Mohd. Isa dengan Puan Sri Zainah Othman disaksikan isteri Saifuddin, Datin Seri Norhayati Musa.

    Semalam, Saifuddin mengumumkan pelantikan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara yang baharu manakala Ayob Khan yang juga Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sebagai timbalannya, berkuat kuasa hari ini.

    Mengulas lanjut, Acryl Sani turut mengimbau semula penyertaan dalam PDRM pada tahun 1986 yang pada ketika itu semata-mata untuk mencari rezeki.

    Beliau berkata, penyertaan ke dalam pasukan polis pada awalnya hanya dengan hasrat meneruskan kelangsungan hidup dan bersifat sementara.

    “Rupa-rupanya penyertaan saya telah meninggalkan perasaan cinta dan kasih sayang amat mendalam terhadap pasukan polis.

    Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika hadir pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Jalan Semarak, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Pasukan PDRM inilah yang telah membantu saya dan isteri membina keluarga sekali gus menjadikan kami sangat terhutang budi,” katanya.

    Acryl Sani turut memberi pesanan kepada anggota polis supaya terus berkhidmat dengan sebaik mungkin.

    “Ingatlah logo kita, ingatlah slogan kita, sedia berkhidmat.

    “Ingatlah lirik-lirik lagu Polis Sedia Berkhidmat yang menuntut kita untuk sentiasa rapat dengan masyarakat yang akhirnya kita menggunakan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

    “Sememangnya kita adalah sebahagian daripada anggota masyarakat,” ujarnya.

  • Gelaran Tan Sri: Nik Abduh tak anggap Dr. Mahathir perkecil Nik Aziz

    Gelaran Tan Sri: Nik Abduh tak anggap Dr. Mahathir perkecil Nik Aziz

    KELUARGA dan waris Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan tidak tersinggung dengan komen spontan dibuat bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai penganugerahan pingat kebesaran dari Istana Negara baru-baru ini.

    Salah seorang anak bekas menteri besar Kelantan itu, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, beliau yakin insiden tersebut boleh difahami oleh orang ramai.

    Sebaliknya dakwa Nik Mohamad Abduh, cuma laskar siber tertentu saja memainka isu berkenaan untuk kepentingan pihak tertentu.

    “Bagi pihak keluarga, kami tidak rasa apa-apa kerana dapat memahami dengan mudah. Jadi tidak perlulah untuk mengulas lanjut berkenaan perkara ini,” katanya seperti dilaporkan Utusan Online hari ini.

    Pada 6 Jun lalu Mahathir secara sinis mengundang ketawa pemimpin politik yang hadir semasa sidang medianya selepas ditanya mengenai penganugerahan pingat yang membawa gelaran Tan Sri kepada Nik Abdul Aziz.

    Turut menerima pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) tersebut daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ialah veteran DAP, Lim Kit Siang.

    Gambar fail

    Kata Mahathir dengan pingat tersebut Nik Abdul Aziz dan Lim kini ‘setaraf’.

    Komen itu disambut ketawa beberapa pemimpin lain termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Beberapa hari kemudian salah seorang cucu Nik Abdul Aziz turut menarik perhatian ramai apabila membuat hantaran di media sosial bagi menyatakan rasa kecewanya mengenai anugerah tersebut.

    Dia turut mendakwa keluarga mereka diberi bayangan bekas mursyidul am Pas terbabit akan menerima gelaran Tun, bukannya Tan Sri.

    Nik Mohamad Abduh berkata, ketika sidang media pada awal Jun lalu itu, Dr. Mahathir sebenarnya mahu mengkritik kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menegaskan keluarganya faham kenyataan dibuat itu, Nik Mohamad Abduh berkata. Dr. Mahathir hanya mempersoalkan keputusan kerajaan memberi pingat PSM kepada Lim.

    “Kenyataan Dr. Mahathir bukan bertujuan menghina atau mempersoalkan pengurniaan darjah kebesaran kepada bekas Mursyidul Am Pas itu.

    “Tun M (Mahathir) bagi hint… beliau bukan kata kepada Tok Guru (Nik Abdul Aziz) tetapi lebih kepada mengkritik pendekatan kerajaan Malaysia.

    “Beliau mempersoalkan keputusan kerajaan memberikan anugerah darjah kebesaran kepada Tan Sri Lim Kit Siang.

    “Beliau anggap perjuangan Tok Guru tidak boleh disamakan dengan perjuangan Kit Siang. Itu sahaja,” katanya.

    Sementara itu, Nik Mohamad Abduh enggan mengulas lanjut kenyataan atau luahan dibuat cucu Nik Abdul Aziz baru-baru ini.

    Kata bekas Ahli Parlimen Bachok tersebut, kenyataan dibuat anak saudaranya itu hanyalah pandangan peribadi.

    “Saya tidak mahu ambil pu­sing kerana bagi saya, pengurniaan darjah itu bertujuan baik untuk mengiktiraf perjuangan Tok Guru.

    “Maka ia baik bagi saya serta keluarga. Kami berterima kasih kepada kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

  • Inspektor Sheila digantung tugas, polis buka 8 kertas siasatan

    Inspektor Sheila digantung tugas, polis buka 8 kertas siasatan

    SEORANG pegawai polis wanita yang dikenali sebagai Inspektor Sheila disahkan telah digantung tugas sejak minggu lalu.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini sebanyak dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

    “Rakaman percakapan juga sudah diambil pada 18 Jun lalu dan kedua-kedua kertas siasatan sudah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

    “Pada masa sama, enam kertas siasatan tatatertib dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

    Jelas Saifuddin lagi, polis mempunyai kaedah yang jelas bagi menghadapi perilaku ketidaktenteraman persepsi.

    “Jadi kita biarkan pasukan polis mengguna pakai undang-undang,” katanya.

    UtusanTV sebelum ini melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian seorang penjawat awam memarahi dua anggotanya di Taman Sri Gombak, Batu Caves.

    Kemudian, tular lagi sebuah video memaparkan perselisihan faham di antara penjawat awam berkenaan dengan orang awam di tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya di Brickfields, Kuala Lumpur.

    Susulan itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

  • Lebih baik kritik secara terbuka daripada tandatangan SD diam-diam, kata Syed Saddiq

    Lebih baik kritik secara terbuka daripada tandatangan SD diam-diam, kata Syed Saddiq

    AHLI Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan tidak akan berhenti menyuarakan isu-isu rakyat di Parlimen, ketika beliau dan partinya dikritik hebat baru-baru ini kerana membangkitkan isu skandal pembinaan kapal pesisir tempur (LCS).

    Bercakap kepada MalaysiaNow, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) sudah mengenali dirinya dan kelantangan serta pendirian beliau.

    “Jangan pendirian kita berubah apabila ada dalam kerajaan, itu tidak betul. Lebih baik bercakap secara terbuka di Parlimen daripada menandatangani akuan bersumpah (SD) secara senyap-senyap,” katanya merujuk kepada desas-desus usaha menukar kerajaan yang bertiup kencang beberapa bulan lalu.

    Katanya, beliau memilih untuk kekal setia dengan Pakatan Harapan (PH) sejak zaman Langkah Sheraton walaupun dipujuk dengan jawatan menteri dan diugut selepas itu.

    Kerajaan sebelum ini setuju untuk meneruskan pembinaan lima kapal LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerusi sebuah syarikat bertujuan khas yang akan mengambil alih projek itu daripada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

    Syed Saddiq yang juga bekas menteri belia dan sukan di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2018 mengemukakan usul untuk membahas isu tersebut pada sesi Parlimen lepas namun ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.

    Sayap Pemuda PKR turut menempelak kenyataan Syed Saddiq yang mendakwa penolakan usul itu adalah kerana bukan kepentingan awam.

    “Mungkin orang akan kata (MUDA) gunting dalam lipatan, tetapi mereka lupa jika ini benar, saya sudah lama tunduk pada ugutan atau menerima habuan-habuan yang ditawarkan.

    “Jika semua itu saya tolak, takkan tiba-tiba saya hendak jadi orang lain,” soalnya.

    Beliau sebelum ini menggesa Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tidak mengubah intonasi mereka berhubung isu berkenaan, yang dijadikan bahan kempen PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

    Ini bukan kali pertama MUDA dan PH, terutamanya PKR, tidak sehaluan. Sebelum ini, kedua-dua parti tidak sehaluan dalam pembahagian kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

    Ketika ini, MUDA dan PH Selangor saling berbalas kenyataan berhubung kerjasama yang ingin diadakan menjelang PRN.

    Syed Saddiq berkata, ramai pengundinya di Muar menyokong tindakan beliau menyuarakan isu LCS di Parlimen.

    “Kalau kamu tidak mahu konsisten selepas pilihan raya, itu kamu. Saya mahu konsisten.

    “Isu ini besar di hati saya kerana atuk saya berkhidmat dalam TLDM sejak muda hingga bersara,” tambah beliau.

  • DUN Kelantan bubar secara rasmi hari ini

    DUN Kelantan bubar secara rasmi hari ini

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang mempunyai 45 kerusi hari ini secara rasmi dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Ia susulan pengumuman Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob pada sidang medianya Rabu lepas, bahawa pembubaran DUN itu mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

    Pembubaran DUN bagi penggal ke-14 itu dilakukan empat hari lebih awal, berbanding tempoh mandat DUN yang akan berakhir pada 26 Jun ini.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS mendominasi Kelantan apabila menang 37 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) menguasai lapan kerusi.

    Namun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas Datuk Seri Mustapa Mohamed kemudian bertindak keluar daripada Umno dan menyertai Bersatu.

    PRN Kelantan kali ini akan menyaksikan BN membuat kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH), selain PAS yang menerajui Kelantan sejak 1990 juga tidak bersendirian apabila membentuk kerjasama dengan Bersatu menerusi Perikatan Nasional (PN).

    Ketika ditemui media semalam, Setiausaha PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat mengesahkan parti itu akan bertanding di 39 kerusi DUN manakala Bersatu akan menentang BN di enam kerusi.

    Bagi BN dan PH, kedua-dua gabungan berkenaan juga telah menyelesaikan pembahagian kerusi masing-masing.

    Ketua Penerangan Umno Kelantan Datuk Zawawi Othman dilapor berkata calon BN akan diletakkan di 31 kerusi manakala 14 kerusi diberikan kepada PH.

    Kelantan antara enam negeri yang akan mengadakan PRN termasuk Kedah, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

  • Anak Johor jadi penterjemah di Masjidil Haram

    Anak Johor jadi penterjemah di Masjidil Haram

    KETIKA kali pertama bertemu, penampilan seorang pemuda ini nampak seperti pelajar Malaysia lain yang berada di bumi Makkah untuk menuntut ilmu di universiti.

    Disebakan bertubuh kecil, mungkin ramai yang tidak menyangka bahawa Muhammad Mujahid Zaharudin, 26, dari Johor Bahru mempunyai kerjaya yang menarik.

    Semasa ditemubual hampir satu jam dengan media Malaysia mengenai kehidupan beliau di Tanah Suci, Muhammad Mujahid berkongsi pengalaman bertugas sebagai penterjemah di Masjidil Haram.

    Beliau bertanggungjawab dalam menterjemah khutbah Jumaat, Hari Arafah, solat gerhana matahari dan bulan, solat mohon hujan serta beberapa tugasan penting lain.

    Graduan lulusan Universiti Umm Al-Qura, Makkah dalam bidang Syariah dan mempunyai diploma bahasa Arab itu juga penghafaz 30 juzuk al-Quran serta 4,000 hadis.

    Kata Muhammad Mujahid, untuk melayakkan dirinya menjawat tugas berkenaan bermula Oktober 2022 lalu sebenarnya agak sukar kerana Arab Saudi menetapkan kelayakan yang tinggi.

    “Di sini saya seorang sahaja yang tiada kelulusan Sarjana dan PhD (Doktor Falsafah), maka mereka menetapkan saya perlu ada kebolehan tambahan seperti keputusan cemerlang di universiti dan alhamdulilah saya dapat memenuhinya,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.

    Katanya, penterjemah di Masjidil Haram terbahagi kepada 10 bahasa dan setiap bahasa mempunyai empat petugas.

    “Petugas kumpulan pertama bertugas di pejabat melibatkan terjemahan untuk papan tanda dan khutbah manakala kumpulan kedua berada di lapangan untuk membantu jemaah dari Malaysia dan Indonesia yang mahu bertanya soalan.

    “Setiap minggu rutin kerja terjemah khutbah Jumaat. Kami ada empat orang, sebulan ada empat kali Jumaat jadi setiap seorang akan kena terjemah sekali,” ujar beliau.

    Menurutnya, teks khutbah akan dapat sehari atau dua hari awal dan dia akan terjemah kemudian rakam untuk jemaah dengar secara langsung ketika penyampaian.

    Bertugas sebagai penterjemah memerlukan penelitian kerana melibatkan imej Kementerian Haji dan Umrah. – Foto Sinar Harian

    Muhammad Mujahid berkata, tugasan mencabar dalam kariernya ialah apabila perlu melakukan terjemahan kuliah Imam Besar Masjidil Haram, Sheikh Abdulrahman Al-Sudais.

    “Hampir setiap bulan beliau ada majlis khusus di Masjidil Haram dan pada masa itu tiada teks ucapan, Sheikh Sudais petik satu hadis atau ayat al-Quran dan syarahkannya. Ketika itu terjemahan secara langsung.

    “Cabarannya Sheikh Sudais pandai berpuisi, bersajak dan simpulan bahasa berbeza tidak seperti bahasa kita. Contohnya panjang tangan bahasa Melayu ialah mencuri tapi panjang tangan bahasa Arab ialah orang yang suka bersedekah,” katanya.

    Kata beliau, terdapat juga metafora digunakan yang memerlukan penelitian supaya ayat yang diterjemah tidak membawa maksud yang berbeza.

    “Setakat ini alhamdulilah tugas dapat dilaksanakan dengan baik kerana kumpulan kami sentiasa teliti dalam penterjemahan kerana ia melibatkan imej Kementerian Haji dan Umrah,” katanya.

    Anak sulung daripada tujuh beradik yang sudah berkahwin dan baru sahaja menimang cahaya mata itu bercadang untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana dan kemudiannya peringkat PhD.

    Alumni Sekolah Menengah Islam Hidayah, Johor Bahru yang mencatatkan keputusan 11A pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2017 berkata, bidang agama yang diceburinya adalah pilihan yang tepat.

    “Bapa saya seorang pensyarah kejuruteraan elektrikal di universiti tempatan dan beliau banyak memberikan galakan kerana pada pandangan beliau, bidang yang saya ceburi mempunyai masa depan yang cerah,” katanya.