Category: Semasa

  • Maritim Malaysia tahan bot nelayan tempatan gaji PATI sebagai kru

    Maritim Malaysia tahan bot nelayan tempatan gaji PATI sebagai kru

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C2 di perairan Batu Maung, Georgetowm semalam selepas disyaki menggajikan kru warga asing tanpa permit yang sah.

    Pemangku Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim S. P. Nak Rong berkata, bot dengan muatan dua tan hasil tangkapan ikan campur itu ditahan di kedudukan 0.3 kilometer timur Batu Maung.

    Terdahulu, ujar beliau, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan operasi penguatkuasaan di perairan Batu Maung telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas C2 sebelum dirapati untuk pemeriksaan.

    ”Hasil pemeriksaan awal, bot berkenaan didapati menggunakan pukat jerut sebagai alat penangkapan ikan.

    “Pemeriksaan lanjut ke atas bot turut mendapati seramai 16 kru termasuk tekong terdiri daripada lima kru warga Thailand, seorang Myanmar dan 10 warga Kemboja masing-masing berumur antara 19 hingga 59 tahun.

    ”Seramai 15 kru asing yang berada di atas bot berkenaan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang kru warga Myanmar direman selama 14 hari bagi membantu siasatan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Tambahnya, bot tersebut kemudian ditahan dan disyaki melakukan kesalahan dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran Pengarah Perikanan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit yang sah.

    ”Bot dan hasil tangkapan dianggarkan bernilai RM6,000 telah dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Saksi: Akaun Rosmah terima masuk lebih RM1 juta antara 2014-17

    Saksi: Akaun Rosmah terima masuk lebih RM1 juta antara 2014-17

    SEORANG jurubank hari ini memberi keterangan bahawa akaun Datin Seri Rosmah Mansor menerima masuk lebih RM1 juta antara 2014 dan 2017.

    Semasa perbicaraan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai berjumlah RM7 juta hari ini ke atas isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, Nor Ashikin Abdullah dari Affin Bank berkata terdapat 27 transaksi melibatkan RM1,098,200.

    Mesin deposit tunai bank merekodkan transaksi yang melibatkan akaun yang berakhir dengan 0058, katanya.

    Saksi pertama pendakwaan itu ketika membacakan kenyataan bertulisnya, berkata bahawa deposit di cawangan bank di beberapa lokasi itu dilakukan antara 13 Okt 2014 dan 8 Jun 2017.

    Menurut Ashikin, deposit sehari terbesar adalah RM62,350 di cawangan bank di Bangsar, Kuala Lumpur, pada 7 Okt 2015, manakala yang terkecil ialah RM3,300 di cawangan bank LTAT, Kuala Lumpur, pada 12 Dis 2015, lapor MalaysiaKini.

  • 3,500 polis bertugas penamaan calon PRK Pulai, Simpang Jeram 

    3,500 polis bertugas penamaan calon PRK Pulai, Simpang Jeram 

    SERAMAI 3,500 pegawai dan anggota polis di negeri ini akan ditugaskan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Muar, pada Sabtu ini.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata seramai 2,500 pegawai dan anggota ditempatkan di pusat penamaan calon PRK Pulai dan kawasan sekitarnya, manakala selebihnya di DUN Simpang Jeram.

    “Kesemua pegawai dan anggota ini termasuk kereta-kereta peronda akan digerakkan ke pusat penamaan calon dan kawasan sekitar untuk membuat pemantauan dan menjaga keselamatan bagi memastikan tiada sebarang gangguan berlaku,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

    Pada masa yang sama, Kamarul Zaman menasihati calon serta penyokong parti politik supaya mematuhi segala arahan dan peraturan yang diberikan pihak polis serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang proses penamaan calon berlangsung.

    Beliau turut mengingatkan calon dan penyokong agar tidak mencetuskan sebarang provokasi serta saling menghormati antara satu sama lain.

    Sementara itu, beliau berkata 927 anggota polis akan mengundi awal pada PRK Parlimen Pulai, namun tiada anggota yang terlibat bagi pengundian awal PRK DUN Simpang Jeram.

    SPR menetapkan tarikh penamaan calon kedua-dua PRK pada Sabtu ini, 5 September pengundian awal dan hari pengundian pada 9 September.

  • ADUN UMNO Melaka hadiri majlis pelancaran jentera PN di Johor

    ADUN UMNO Melaka hadiri majlis pelancaran jentera PN di Johor

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis dilaporkan hadir pada sebuah majlis berprofil tinggi Perikatan Nasional (PN) di Markas Pas Bakri, Muar malam tadi.

    Acara itu bagi menandakan bermulanya kempen PN bagi pilihan raya kecil (PRK) Simpang Jeram dan Pulai yang berlangsung pada 9 September ini.

    Kehadiran Jailani, malam tadi diumumkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang memaklumkan ada rakan dari Melaka yang menyertai mereka.

    Menurut akhbar The Star, Jailani berkata, beliau hadir pada majlis itu bagi pihak Muafakat Nasional, sebuah NGO yang diterajui oleh Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

    Annuar dipecat daripada UMNO pada Disember tahun lalu kerana didakwa cuba menggugat parti itu.

    Susulan itu, beliau mengasaskan Muafakat Nasional dan membawa masuk Pas bersama.

    “Saya mewakili Annuar (di sini) kerana Muafakat Nasional berpegang teguh dengan kepercayaan kepada perpaduan ummah.

    “Kebetulan, semangat yang sama dikongsi oleh PN. Kami percaya perpaduan ini tidak mati dan kami tidak bermusuhan dengan mana-mana parti politik,” katanya.

    Jailani berkata, kehadirannya pada majlis itu bukan bermakna akan meninggalkan UMNO.

    “Bukan, kita cuma mahu perpaduan ini berterusan. Jika tidak melalui Pas, UMNO dan Bersatu, maka melalui Muafakat Nasional sebagai NGO.

    “Perlu ada ruang untuk parti Melayu duduk bersama dan bersatu,” katanya.

    Tindakan Jailani itu dijangka akan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan kepimpinan UMNO, yang berikrar akan menyokong usaha Pakatan Harapan untuk mempertahankan kedua-dua kerusi tersebut.

    Jailani dilantik sebagai ADUN Rembia pada 2018 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum berpaling tadah pada 2020.

    Beliau menyertai UMNO setahun kemudian.

    Selepas dipilih semula semasa pilihan raya Dewan Undangan Negeri Melaka 2021 atas tiket BN, beliau dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

    Bagaimanapun, apabila Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada Mac tahun ini, Jailani digugurkan.

    Jailani mempertahankan kerusi Rembia pada 2021 dengan meraih 41.6 peratus undi.

    Pada Julai lalu, DUN Melaka meluluskan undang-undang antui lompat parti yang bertujuan mana-mana wakil rakyat daripada berpaling tadah.

  • Mahkamah tolak tangguh bicara ubah wang haram, elak cukai Rosmah

    Mahkamah tolak tangguh bicara ubah wang haram, elak cukai Rosmah

    MAHKAMAH Tinggi hari ini menolak permohonan pihak pendakwaan bagi menangguhkan perbicaraan kes membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM7.1 juta dan pengelakan cukai.

    Hakim K. Muniandy membuat keputusan berkenaan selepas mendapati kes itu tertangguh sejak 2018.

    “Adalah adil kepada tertuduh (Rosmah) dan mahkamah supaya bicara hari ini diteruskan, pertuduhan akan dibacakan kembali,” katanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, pihaknya memerlukan masa antara dua hingga tiga bulan untuk meneliti surat representasi kedua difailkan Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Beliau berkata, pihak pembelaan Rosmah membangkitkan beberapa perkara termasuk senarai penama baharu dalam surat representasi kedua.

    Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon supaya perbicaraan kes Rosmah yang sepatutnya bermula hari ini ditangguhkan ke satu tarikh lain.

    “Pendakwaan menerima surat representasi (pertama) daripada tertuduh (Rosmah) menerusi peguamnya bertarikh 3 Mei 2023 dan mengikut surat itu, beberapa tindakan siasatan perlu diambil untuk mengesahkan fakta ditimbulkan.

    “Kami kemudian menerima satu lagi surat representasi bertarikh 18 Ogos 2023 yang menimbulkan perkara baharu yang turut perlu diteliti.

    “Mengambil kira situasi ini, kami rendah diri memohon kebenaran mahkamah untuk memberi lebih banyak masa untuk siasatan penuh atas perkara dalam dua representasi berkenaan supaya ada keputusan sebelum bicara bermula.

    “Jika bicara bermula, situasinya akan berubah. Secara logik dengan perkara yang perlu diselesaikan mengikut apa yang ditimbulkan dalam surat itu, saya fikir perlu dua hingga tiga bulan (keputusan representasi) sebab ada nama lain dibangkitkan, kita perlu mencari penama ini dan ada daripadanya berada di luar negara,” katanya.

    Sementara itu, peguam bela Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent, bersetuju supaya perbicaraan anak guam ditangguhkan bagi memberi masa supaya representasi dipertimbangkan dengan betul.

    “Saya hargai pendakwaan tidak tergesa-gesa untuk menolak representasi, tetapi sedang mempertimbangkan fakta ditimbulkan.

    “Isu dibangkitkan akan menjadi asas kepada pihak pembelaan yang menjurus kepada pertuduhan.

    “Maka, kita meminta pendakwaan mempertimbangkan representasi berkaitan fakta dibangkitkan, nama yang diberikan,” katanya lapor Berita Harian.

    Pada 23 Mac lalu, pendakwaan memaklumkan 13 saksi bakal dipanggil untuk memberi keterangan terhadap Rosmah.

    Rosmah didakwa di Mahkamah Sesyen pada 4 Oktober 2018, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

    Beliau berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017.

    Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini Mazlan, mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

    Hakim itu juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda berkenaan, namun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

  • Rakyat perlu diberi kefahaman senario politik semasa, kata Sanusi

    Rakyat perlu diberi kefahaman senario politik semasa, kata Sanusi

    KETUA Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rakyat khususnya golongan muda perlu diberikan kefahaman mengenai senario politik semasa di negara ini.

    Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata,
    ini agar mereka bijak membuat pilihan kelak.

    Katanya, sentimen berhubung perkara itu diharap ‘sampai’ dan difahami oleh rakyat.

    “Kefahaman ini penting bagi memastikan pengundi tidak menyokong sesebuah parti secara taasub dan membuta tuli.

    “Ini terjadi apabila ada pihak yang menyatakan sokongan membuta tuli dan taasub orang di belah utara dan pantai timur menyebabkan PN menang (di Terengganu, Kelantan dan Kedah).

    “Ini berlaku kerana ada pihak tidak faham dengan senario politik yang ada keperluan membuat perubahan,” katanya.

    Muhammad Sanusi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengisytiharan Calon PN bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Markas Pas Bakri, Muar malam tadi, lapor Sinar Harian.

    Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

    PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia dunia pada 23 Julai lalu.

    Justeru, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK adalah pada 26 Ogos, pengundian awal 5 September dan hari pengundian pada 9 September.

  • PRK DUN Pelangai 7 Oktober depan

    PRK DUN Pelangai 7 Oktober depan

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan
    hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang ditetapkan pada 7 Oktober depan.

    Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh turut memaklumkan, tarikh penamaan calon pula pada 23 September manakala 3 Oktober ditetapkan sebagai undi awal.

    “PRK Pelangai melibatkan kos RM2.1 juta dan sejumlah 16,456 pemilih terlibat,” katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK Pelangai, di Putrajaya hari ini, lapor Sinar Harian.

    Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.

    Johari yang merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri dipilih sebagai ADUN Pelangai selepas memenangi kerusi terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-15 tahun lalu.

    Beliau bersaing empat penjuru dan memperoleh 7,308 undi dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Kasim Samat; calon Pakatan Harapan (PH), Ahmed Wafiuddin Shamsuri; dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Isa Ahmad.

  • PRK:Sokongan rakyat kepada PN dijangka semakin meningkat-Tuan Man

    PRK:Sokongan rakyat kepada PN dijangka semakin meningkat-Tuan Man

    TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) dijangka memuncak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

    “Senario ini bakal mengulangi kemuncak sokongan rakyat kepada PN seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu baru-baru ini.”

    Jelasnya, sebelum ini gelombang rakyat tidak berlaku semasa PRN Johor kerana diadakan lebih awal namun situasi politik ketika ini tidak sama dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

    “Sebab itu ia penting PRK ini kita mahu tengok bagaimana momentum sokongan di seluruh negara, (enam negeri yang melalui PRN baru-baru ini) akan turut dirasai di negeri ini.

    “Oleh itu, PRK Pulai dan Simpang Jeram juga akan menjadi pengukur sejauh mana sokongan rakyat Johor terhadap Perikatan Nasional,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Jentera dan Pengisytiharan Calon PN bagi PRK Pulai dan Simpang Jeram di Markaz Tarbiyah Pas Kawasan Bakri di Muar, malam tadi.

    Hadir sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Pengerusi PN Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal dan calon PN DUN Simpang Jeram, Dr. Mohd. Mazri Yahya.

    Sementara itu Tuan Ibrahim berkata, PN menyasarkan sejumlah 70 peratus rakyat Johor akan keluar mengundi bagi PRK Pulai dan Simpang Jeram kali ini.

    Katanya, sasaran itu dibuat berdasarkan kepada situasi yang berlaku pada PRN di enam negeri baru-baru ini yang menyaksikan peratusan keluar mengundi meningkat.

    “Kalau kita tengok situasi yang berlaku pada PRN di enam negeri yang lepas peratus yang keluar mengundi agak tinggi.

    “Sekali gus, ini menunjukkan rakyat mahukan gelombang perubahan dan kita sasarkan rakyat Johor akan keluar mengundi pada PRK di dua kawasan berkenaan (Pulai, Simpang Jeram),” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Sanusi tarik perhatian pada pelancaran jentera PRK Simpang Jeram

    Sanusi tarik perhatian pada pelancaran jentera PRK Simpang Jeram

    KEMUNCULAN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram, malam tadi menarik perhatian ramai.

    Ketua Pengarah Pilihan Raya PN yang diberi jolokan Panglima Pas itu dinanti ahli parti sejak 8.30 malam dan ketibaannya kira-kira 10 malam disambut sorakan serta takbir di Markas Pas Bakri, Muar.

    Turut hadir Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Naib Presiden Pas merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar selain Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim.

    Majlis turut menyelitkan bacaan surah Al Fatihah buat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, Allahyarham Datuk Seri Salehuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu akibat pendarahan otak, lapor Harian Metro.

    Pas mempertaruhkan pakar bedah, Dr. Mazri Yahya pada pilihan raya kecil (PRK) 9 September ini dan dijangka menentang calon Pakatan Harapan (PH) Ir. Nazri Abd. Rahman.

    Penamaan calon bagi PRK Dun itu yang serentak dengan Parlimen Pulai akan berlangsung Sabtu ini.

  • Kemenangan PRK Pulai, Simpang Jeram tidak mustahil – Sanusi

    Kemenangan PRK Pulai, Simpang Jeram tidak mustahil – Sanusi

    GELOMBANG rakyat di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini diharapkan sampai dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

    Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, dua PRK tersebut penting bagi menyampaikan isyarat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar tentang kegagalan pentadbirannya.

    “Saya harap Simpang Jeram ini akan menerima aura dari Terengganu dari Kelantan dari Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor.

    Pelancaran jentera dan pengisytiharan calon PN dilakukan di Markas Pas Bakri, Muar, malam tadi. Turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (tiga dari kiri); Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (kiri) dan Muhammad Sanusi. – Foto Facebook Muhammad Sanusi Md Noh

    “Tuan-tuan sekalian, gelombang Perikatan Nasional ini telah melanda negeri di pantai timur di utara dan telah turun selatan tanah air. Dan saya yakin Simpang Jeram dan Pulai ini akan menjadi penentu penting untuk kita hantar mesej kepada Bang Non (Anwar),” katanya semasa ceramah di Markas Pas Bakri, Muar, malam tadi.

    Selain Sanusi, turut hadir ke pelancaran jentera dan pengisytiharan calon PN adalah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Menteri Besar Kedah itu juga berkata, kemenangan dua PRK tersebut tidak mustahil dan boleh memberi impak besar.

    “Sungguh ni, Bang Non duduk ketaq (gementar) dah tue… Hampa bagi dia demam sama. Insya-Allah bukan perkara yang mustahil benda ni boleh berlaku.

    “Siapa sangka negeri terkuat DAP di dunia Pulau Pinang? Kalah 11 kerusi,” katanya lagi lapor AgendaDaily.

    Menurut Sanusi lagi, jika kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-UMNO tewas lagi dua PRK, ia sekurang-kurangnya dapat menyekat kerakusan mereka yang berterusan menekan dan menzalimi lawannya.

    Kehadiran Sanusi semasa program ceramah di Bakri disambut dengan sorakan serta laungan takbir daripada orang ramai khusunya penyokong parti berkenaan yang menunggu sejak pukul 8.30 malam.

    PN meletak pakar bedah, Dr. Mazri Yahya menentang calon Pakatan Harapan (PH) dari Amanah, Nazri Abd Rahman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, manakala Zulkifli Jaafar pula diletak sebagai calon Parlimen Pulai.

    Penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada Sabtu ini.

    Kedua-dua kerusi itu kosong selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Salehuddin Ayub pada 23 Julai lalu akibat pendarahan otak.