Category: Semasa

  • Mayat warga emas ditemui reput dalam apartmen

    Mayat warga emas ditemui reput dalam apartmen

    MAYAT seorang lelaki warga emas ditemukan dalam keadaan reput dan terbaring dalam sebuah apartmen di Damansara Damai, Petaling Jaya, kelmarin.

    Kejadian pesara kerajaan berusia 63 tahun dan masih bujang ditemukan mati itu dilaporkan kepada polis pada pukul 3.40 petang.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pegawai kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah Petaling telah hadir ke tempat kejadian dan membuat penilaian mangsa telah meninggal dunia dalam satu tempoh yang agak lama.

    “Mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

    “Setakat ini, tiada unsur-unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kesini boleh menghubungi hotline Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

  • Tiga sekeluarga maut Perodua Alza bertembung lori

    Tiga sekeluarga maut Perodua Alza bertembung lori

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG cucu bersama datuk dan neneknya maut selepas Perodua Alza dinaiki mereka bertembung lori pasir di Jalan Johor Kampung Pinggir, di Kluang kira-kira 9 pagi tadi.

    Mangsa yang maut ialah pemandu kereta iaitu Izzah Shahirah Sahri, 22, dan datuknya, Md. Salleh Kosran, 75, serta nenek, Miskina Naining, 70.

    Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Md. Nor berkata, ketiga-tiga mereka dikatakan dalam perjalanan ke Simpang Renggam untuk mengambil ubat.

    “Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kemalangan jalan raya melalui talian Mers999 dan sebuah jentera FRT dari BBP Renggam dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Terdapat tiga mangsa tersepit di dalam kereta Perodua Alza dan anggota bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Mohd. Fauzi berkata, ketiga-tiga mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    Pemandu lori yang berusia 52 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi terbabit ditamatkan pada pukul 11.25 pagi.

  • Tujuh kanak-kanak lari dari rumah penjagaan

    Tujuh kanak-kanak lari dari rumah penjagaan

    TUJUH kanak-kanak lelaki yag dipercayai melarikan diri dari rumah penjagaan kanak-kanak, di Kuantan, semalam.

    Susulan itu, polis melancarkan operasi mencari kanak-kanak tersebut yang berumur antara 12 dan 15 tahun itu selepas menerima laporan kehilangan mereka.

    Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan siasatan awal, kehilangan kanak-kanak terbabit disedari seorang rakan mereka sebelum memaklumkan kepada pengurusan.

    “Oleh itu, kerjasama masyarakat amat diperlukan untuk mengesan kanak-kanak ini yang mungkin berlindung di tempat tertentu.

    “Jika melihat kanak-kanak dalam keadaan mencurigakan, orang ramai diminta memaklumkan kepada polis. Kita percaya mereka masih berada di daerah ini,” katanya pada sidang media kes Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Ibu Pejabat Kontinjen Pahang, hari ini.

    Mengulas motif kanak-kanak terbabit melarikan diri, beliau berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

    Katanya, siasatan turut mengenal pasti punca mereka melarikan diri sama ada melalui pintu pagar atau memanjat pagar.

    “Semua masih lagi dalam siasatan dan polis berharap mereka pulang demi keselamatan,” katanya.

  • Kilang tutup akibat Covid-19 jadi punca bekalan minyak masak paket kurang

    Kilang tutup akibat Covid-19 jadi punca bekalan minyak masak paket kurang

    TINDAKAN sebuah pengilang minyak masak paket di daerah Timur Laut, Pulau Pinang yang terpaksa menutup operasi akibat Covid-19 dikesan menjadi antara punca bekalan produk itu khususnya di bahagian pulau negeri tersebut terjejas sejak minggu lalu.

    Lebih memburukkan keadaan apabila pengilang itu merupakan antara pengilang terbesar di bahagian pulau yang membungkus semula minyak masak paket untuk diedarkan kepada peruncit dan ejen.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pengilang yang diberi kuota mengeluarkan 150 tan minyak masak paket sebulan itu terpaksa menutup operasi selama tujuh hari sejak minggu lalu.

    Bagaimanapun ujar beliau, pihaknya yakin masalah kekurangan bekalan minyak masak paket itu akan pulih selepas pengilang terbabit akan meneruskan semula operasi minggu ini.

    Dalam masa sama jelas beliau, kekurangan bekalan minyak masak paket minggu lalu juga disebabkan pengeluarannya dikawal memandangkan berada pada minggu akhir bulan Oktober.

    “Kebiasaan kuota yang ditetapkan untuk Pulau Pinang adalah sebanyak 3,434 kilogram minyak masak paket dan terdapat 25 pengilang yang diberi kebenaran untuk membungkus semula minyak masak paket ini.

    “Bagaimanapun, pada minggu akhir Oktober, kita dapati jumlah pengeluaran telah menghampiri kuota yang ditetapkan dan pengilang mengawal bekalan kerana tidak mahu melepasi kuota yang ditetapkan,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2021 di Pasar Chowrasta, Georgetown, Pulau Pinang, hari ini.

    Sebelum ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa menyiasat masalah kekurangan bekalan minyak masak paket selepas menerima banyak aduan daripada orang ramai yang bimbang berikutan sambutan Deepavali tidak lama lagi.

    Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Ridzuan berkata, pihaknya akan menjalankan pemantauan setiap hari sempena SHMMP Deepavali bagi memastikan tiada kenaikan harga melampau dan bekalan mencukupi ketika musim perayaan.

    Tegasnya, mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga yang tidak munasabah akan dikenakan tindakan dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

  • ”Saya maafkan tertuduh buat anak saya” – Bapa Zulfarhan

    ”Saya maafkan tertuduh buat anak saya” – Bapa Zulfarhan

    SEBERAT mana sekalipun beban penderitaan dan kesedihan yang ditanggung, namun, sebagai manusia waras dan berjiwa besar, Zulkarnain Idros memilih menghulur salam perdamaian buat mereka yang telah menyebabkan kematian anaknya, Zulfarhan Osman.

    Jauh di sudut hatinya, Zulkarnain, 57, sudah memaafkan kesemua tertuduh yang juga rakan sepengajian anaknya di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

    “Secara jujurnya, saya maafkan tertuduh yang buat anak saya. Bila saya maafkan, mungkin ada kelegaan di hati,” itu suara hati Zulkarnain yang dikongsi dengan wartawan dalam sidang media di pekarangan kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

    Pada awalnya, Zulkarnain mengakui berat untuk menjawab soalan tersebut namun selepas empat tahun, akhirnya kemaafan ‘menjentik’ hatinya.

    Begitupun, dia tetap melahirkan rasa terkilan kerana dakwanya, hanya satu keluarga tertuduh datang bertemunya dan memohon maaf.

    “Keluarga tertuduh, mereka tidak datang jumpa saya, tak minta maaf dengan saya kecuali satu keluarga yang datang jumpa saya minta maaf. Seolah-olah anak saya pula yang bersalah. Janganlah begitu, janganlah memutuskan silaturrahim,” katanya lapor Astro Awani.

    Dalam masa sama, Zulkarnain juga menitipkan pesanan kepada orang awam supaya tidak menjadi pembuli.

    “Saya pesan kepada masyarakat di luar sana, jangan jadi pembuli. Contohnya seperti saya, kalau buli membahayakan masyarakat menghilangkan nyawa, kesannya kepada kedua ibu bapa… saya kehilangan anak sulung yang menjadi harapan keluarga,” luahnya.

    Allahyarham Zulfarhan Osman yang menuntut di UPNM maut dalam insiden menyayat hati empat tahun lepas.

    Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam penuntut UPNM yang didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat Allahyarham Zulfarhan Osman yang juga Pegawai Kadet Laut UPNM.

    Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika disabitkan bersalah.

    Enam tertuduh tersebut ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

    Menurut Azman, hukuman tersebut berjalan bermula dari tarikh mereka ditangkap.

    Sementara itu, enam penuntut tersebut dan 12 lagi tertuduh dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana didapati bersalah mencederakan Allahyarham.

    Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 pelajar UPNM, yang kesemuanya berusia 25 tahun, membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan terhadap 18 tertuduh itu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

  • MARA Corp,TalentCorp kukuhkan usaha bangunkan modal insan kompetitif

    MARA Corp,TalentCorp kukuhkan usaha bangunkan modal insan kompetitif

    MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) menandatangani Memorandum Persefahaman bersama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bagi memperkukuhkan usaha dalam membangunkan modal insan kompetitif.

    Kolaborasi itu bagi menyumbang kepada pertumbuhan tenaga kerja dalam industri dan ekonomi negara khususnya graduan di bawah ekosistem pendidikan MARA.

    Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan di Kuala Lumpur hari ini.

    Bercakap kepada wartawan, Mahdzir berkata, sinergi antara dua agensi itu mensasarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan profesional kepada graduan di bawah ekosistem pendidikan MARA yang terdiri daripada pelajar Institusi Pendidikan MARA (IPMA) serta pelajar di bawah tajaan pelajaran MARA.

    “Kedua-dua pihak juga akan merangka program-program khas yang bersesuaian dengan pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan MARA bagi memastikan graduan yang dilahirkan dapat memenuhi tuntutan industri dan mempunyai daya kebolehpasaran yang tinggi di alam pekerjaan,” katanya.

    TalentCorp kata Mahdzir, yang bertindak sebagai penghubung di antara MARA dan pihak berkepentingan yang terdapat dalam jaringan mereka akan menawarkan inisiatif program sedia ada.

    Antaranya, program Nurturing EXpert Talent (NEXT), Structured Internship Programme (SIP), Talent Mobility, Semester Break Programme (SBP), Young Employable Student (YES!) dan #KisahSiswa kepada graduan di bawah MARA.

    Beliau berkata, usahasama antara kementerian dalam agenda pembangunan bakat ini merupakan satu platform yang memberi ruang dan peluang kepada graduan untuk mempersiapkan diri di alam pekerjaan.

    “Saya percaya kerjasama ini mampu menjadi penghubung laluan kerjaya graduan MARA dengan jaringan syarikat dalam pelbagai industri serta menyediakan satu ruang kerjaya yang lebih signifikan dengan peluang yang lebih baik ditawarkan kepada para pelajar MARA”, tambah beliau.

    TalentCorp juga menurut Mahdzir,  bertanggungjawab melalui mandatnya untuk menarik, memupuk dan mengekalkan modal insan serta kepakaran yang terbaik dalam menyokong perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju.

    “Usaha TalentCorp dipacu oleh kerjasama erat dengan pelbagai kementerian, pihak berkepentingan di dalam industri dan institusi pengajian menerusi inisiatif yang menumpukan kepada tiga penawaran khidmat utama iaitu Penyaluran, Kepelbagaian dan Mobiliti modal insan di Malaysia.

    ”Manakala MARACorp merupakan syarikat induk milik MARA yang bertanggungjawab mewujudkan peluang pekerjaan dan membangunkan peluang pemilikan ekuiti serta memastikan peningkatan penjanaan pendapatan syarikat subsidiari di bawahnya dalam memberikan pulangan pelaburan yang baik dan konsisten kepada MARA”, katanya.

  • DAP kekal tolak empat ADUN,  matlamat tidak benarkan cara – Guan Eng

    DAP kekal tolak empat ADUN, matlamat tidak benarkan cara – Guan Eng

    Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP kekal dengan keputusan menolak kesemua empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang sebelum ini menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata partinya hanya berjaya meyakinkan sekutu dalam PH untuk menolak hanya dua daripada empat ADUN tersebut sebagai calon PH dalam PRN Melaka, manakala dua lagi masih dipertimbangkan seperti yang dinyatakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    “DAP terus konsisten dalam mempertahankan prinsip, cita-cita dan integriti kami bahawa PH perlu menjauhkan diri daripada golongan ‘kleptokrat, oportunis dan penyangak’ untuk mengekalkan dan tidak kehilangan ketinggian nilai moral.

    “Apa yang dikatakan adalah bagi mencapai kemenangan di Melaka, kita perlu secara taktikal bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang boleh memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan.

    “Bagaimanapun, matlamat itu tidak membenarkan cara, terutamanya apabila komitmen mereka terhadap reformasi tulen politik yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara diragui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani

    Guan Eng turut mendedahkan bahawa DAP telah kalah undian dalam PH oleh PKR dan Amanah selain terpaksa akur dengan keputusan majoriti demi kepentingan perpaduan pakatan.

    “Bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa keputusan majoriti yang dibuat sebelum ini adalah betul.

    “DAP berharap kewarasan akan tertegak dalam PH dan menggesa sekutu kami dalam PH supaya memilih mereka yang ikhlas terhadap aspirasi PH dan bukannya mereka yang bermotifkan politik oportunis semata-mata,” ujarnya.

    Tegasnya, PH tidak boleh mengulangi kesilapan yang sama dengan kehilangan ketinggian nilai moral dengan membenarkan dua daripada empat ADUN berkenaan bertanding sebagai calon PH pada PRN tersebut.

  • 200,000 pekerja asing mohon untuk bekerja semula – KDN

    200,000 pekerja asing mohon untuk bekerja semula – KDN

    MENTERI Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberitahu, seramai 212,926 pekerja asing telah memohon untuk bekerja semula melalui Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sejak dilaksanakan tahun lalu.

    Beliau berkata, pada masa sama sebanyak 11,751 majikan turut memohon dalam program tersebut untuk mendapatkan khidmat tenaga kerja asing.

    “KDN telah membuat semakan mengenai permohonan-permohonan tersebut meliputi beberapa sektor antaranya perkilangan, pembinaan, pertanian serta peladangan.

    “Ada beberapa sektor khusus ingin mereka mendaftarkan diri iaitu melalui perkilangan sahaja sebanyak 65,484 telah berdaftar untuk bekerja semula, pembinaan (122,075) manakala pertanian (12,003) dan peladangan (7,176). Ini adalah mereka yang sedang telah berdaftar dan berminat untuk mana-mana majikan mengambil bekerja semula.

    “Selain itu, melalui Program Rekalibrasi Pulang PATI pula, sebanyak 147,705 (mendaftar untuk pulang), dengan kutipan wang kompaun berjumlah RM71,368,700.

    “Ini membuktikan program ini mencapai kejayaan buat setakat ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

    Terdahulu, Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) meminta menteri menyatakan sektor mana yang dibenar menerima kemasukan pekerja asing baharu, selain jumlah pekerja asing yang akan diluluskan bagi setiap sektor serta berapa lama kelonggaran ini akan berlangsung.

    Menjawab pertanyaan tersebut, Hamzah (Bersatu-Larut) berkata, kerajaan bersetuju membawa masuk kira-kira 32,000 tenaga buruh asing ke Malaysia untuk sektor perladangan secara pengecualian khas.

    Jelas beliau, keputusan itu dibuat dalam Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Oktober lalu selepas bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing ke Malaysia bagi sektor yang dibenarkan.

    “SOP yang sama akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan secara kes mengikut kes (case-by-case basis) oleh Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing,” ujarnya.

    Dalam masa yang sama, Hamzah berkata, setakat ini kerajaan masih meneliti jumlah pekerja asing yang akan diluluskan bagi setiap sektor yang dibenarkan.

    Katanya, kementerian dan agensi berkaitan sedang melaksanakan analisis terperinci mengenai perkara tersebut bagi memastikan hala tujuk strategik dalam mencapai keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan.

  • Kalau berlaku lebih dua penjuru, Pas sokong penyandang, tanding kerusi dimenangi PH – Kamaruddin

    Kalau berlaku lebih dua penjuru, Pas sokong penyandang, tanding kerusi dimenangi PH – Kamaruddin

    prn melaka

    PAS Melaka akur dengan keputusan yang dibuat pimpinan pusat parti berkenaan untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Piihan Raya Negeri (PRN) itu.

    Menurut Pesuruhjayanya, Datuk Kamaruddin Sidek, Pas negeri memahami bahawa PN merupakan gabungan parti-parti politik yang berdaftar sementara Muafakat Nasional (MN) hanyalah gagasan kerjasama antara Pas dan UMNO.

    Sehubungan itu, Pas Melaka, jelas Kamaruddin, akan cuba mengelak daripada berlaku pertembungan kerusi di 28 Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan di PRN pada 20 November ini.

    ” PN dan Barisan Nasional (BN) sepakat satu lawan satu, tiada pertembungan kerusi,” kata beliau kepada Astro AWANI.

    Bagaimanapun, sekiranya wujud pertembungan lebih daripada dua penjuru, Pas, tegas beliau, akan mengambil pendekatan menyokong penyandang kerusi yang memenangi di DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

    “Kalau berlaku juga (pertembungan lebih dua penjuru), Pas akan ambil sikap menyokong pemegang kerusi PRU14,” jelasnya lagi.

    Semalam, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan media memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas meluluskan penggunaan lambang PN dalam PRN Melaka.

    Ketetapan itu, kata Abdul Hadi, mengambil kira panduan yang diberikan Majlis Syura Ulama (MSU) Pas yang bersidang 31 Oktober lalu dan selaras dengan Peruntukan Fasal 84 Perlembagaan Pas.

    Sementara itu bercakap kepada BERNAMA, beliau berkata, langkah menggunakan logo itu bagi memastikan pertandingan satu lawan satu dapat dilaksanakan dalam usaha mereka menghalang kemenangan Pakatan Harapan (PH).

    “Pas dah buat pendirian… dalam perjumpaan tiga parti (sebelum ini), bahawa setuju bersama satu lawan satu dan mengekalkan kerusi status quo… dan saya boleh beri jaminan kalau kerusi yang dimenangi oleh UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi itu tidak boleh ditandingi oleh PN.

    “Makna kalau kata ada pihak PN, contoh Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) masuk lawan juga di kawasan kerusi yang UMNO menang, Pas tidak teragak-agak untuk menyokong UMNO dalam kerusi tersebut, begitu juga sebaliknya.

    “Kerusi yang telah dimenangi oleh Bersatu, UMNO tak boleh masuk… kalau dia (UMNO) masuk kita (Pas) akan menyokong Bersatu… bermakna kita menghormati, jadi tak ada isu saya rasa… matlamat (tetap) satu lawan satu (dengan PH),” katanya ketika dihubungi.

    Sementara itu, Kamarudin berkata PAS Melaka akan bertanding di kerusi yang dimenangi PH pada PRU14 pada PRN Melaka kali ini bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru.

    “Pas akan ditempatkan di kerusi dimenangi oleh PH. Makna kita takkan ganggu kerusi UMNO, kita takkan ganggu kerusi Bersatu,” katanya.

    Pada PRU14 lepas, BN menang 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Asahan, Sungai Udang, Pantai Kundor, Ayer Molek, Rim, Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai dari keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka.

    DAP pula menguasai lapan kerusi DUN iaitu Gadek, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Banda Hilir dan Bemban manakala PKR di tiga kerusi (Rembia, Machap Jaya dan Klebang).

    Bersatu dan Amanah masing-masing menguasai dua kerusi iaitu Paya Rumput, Telok Mas, Durian Tunggal dan Bukit Katil manakala Pas bertanding di 24 kerusi namun tiada kerusi yang dimenangi. – BERNAMA

  • PGA tumpas kegiatan arak dan rokok seludup

    PGA tumpas kegiatan arak dan rokok seludup

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PASUKAN Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan arak dan rokok membabitkan nilai yang mencecah RM127,318 hasil penahanan tiga lelaki tempatan dalam dua serbuan di Kluang, semalam.

    Sindiket terbabit dipercayai mensasarkan jualan di kedai runcit sekitar daerah itu selepas menyeludup masuk bekalan terbabit dari luar negara.

    Malah, mereka juga menggunakan pelekat Kastam palsu disyaki sebagai helah atau bagi mengaburi mata pihak berkuasa supaya tidak mengesan kegiatan itu.

    Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, berdasarkan risikan dan maklumat, tiga lelaki terbabit yang berusia 20, 28 dan 33 tahun ditahan di Taman Delima dan Taman Saujana, di sini.

    Dua daripada tiga lelaki yang berusia 20, 28 dan 33 tahun ditahan di Taman Delima dan Taman Saujana, Kluang.

    “Dalam operasi pertama kira-kira 9.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Batalion 5 PGA telah menahan dan membuat pemeriksaan ke atas dua orang lelaki di sebuah premis di Jalan 1, Taman Delima.

    “Antara barang yang berjaya dirampas adalah 54 karton rokok pelbagai jenama dan 1,745 botol arak pelbagai jenama. Semua barang tersebut tidak memiliki cukai kastam serta menggunakan pelekat kastam yang disyaki palsu,” katanya dalam kenyartaan, hari ini.

    Dimin berkata, hasil soal siasat, kedua-dua suspek membawa pasukan ke lokasi kedua di sebuah premis di Jalan Saujana Perdana 1, Taman Saujana sebelum menahan seorang lagi lelaki yang terlibat dalam kegiatan itu.

    Suspek ketiga ditahan di sebuah premis di Jalan Saujana Perdana 1, Taman Saujana, Kluang

    Katanya, di lokasi terbabit, 168 tin arak pelbagai jenama dan 175 botol arak pelbagai jenama yang tidak memiliki cukai kastam dirampas.

    Beliau berkata, tangkapan serta barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan Ianjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (I) Akta Kastam 1967.

    “Orang awam diminta terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280,” katanya.