Category: Semasa

  • 936 gambar tangkap layar sejarah layari sesawang lucah dalam telefon bimbit Ebit Lew 

    936 gambar tangkap layar sejarah layari sesawang lucah dalam telefon bimbit Ebit Lew 

     

    SEORANG saksi dalam perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini bahawa sebanyak 936 gambar tangkap layar mengenai sejarah melayari laman sesawang berunsur lucah diperoleh hasil analisisnya daripada sebuah telefon bimbit.

    Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM) Latifah Abdul Aziz, 43, berkata daripada jumlah itu 146 gambar tangkap layar adalah berunsur lucah.

    “Saya mohon untuk merujuk gambar tangkap layar yang pertama dan terakhir, tempoh sejarah yang berjaya dikenal pasti bermula pada 14 Jun 2020 hingga 19 Ogos 2021,” kata saksi ketujuh pendakwaan itu.

    Latifah turut memaklumkan beliau juga diarahkan untuk menjalankan analisis bagi sebuah lagi telefon bimbit dan menemui lapan imej berunsur lucah.

    Beliau berkata imej-imej itu adalah daripada aplikasi WhatsApp dan mendapati hanya satu imej sahaja yang mempunyai penambahan pelekat aplikasi WhatsApp.

    Semalam, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa laman sesawang itu diakses daripada aplikasi Google.

    Pada prosiding hari ini, peguam Ebit Lew Ram Singh membantah soalan daripada pihak pendakwaan kepada saksi mengenai sejarah carian menerusi Google. 

    Peguam itu berkata beliau berpendapat tiada bukti dalam sejarah carian melalui Google bahawa sesebuah laman sesawang sebenarnya dilawati sebagaimana dikatakan saksi. 

    Ram Singh berkata terlalu banyak carian dibuat di dalam telefon bimbit itu yang dianalisis saksi dan tidak relevan kepada pertuduhan. 

    Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria berkata pihak pendakwaan ingin mengemukakan keterangan yang relevan dengan pertuduhan merujuk kepada carian Google berunsur lucah pada tarikh-tarikh pertuduhan.

    Zahida berkata keterangan itu penting untuk menunjukkan perbuatan dan keadaan tertuduh pada tarikh-tarikh tersebut yang melayari laman sesawang berkenaan sebelum menghantar mesej berunsur lucah kepada pengadu.

    Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan bersambung esok.

    — BERNAMA

  • UMNO Selangor nafi keluar surat desak Rafizi letak jawatan

    UMNO Selangor nafi keluar surat desak Rafizi letak jawatan

    BADAN  Perhubungan UMNO Selangor menafikan mengeluarkan surat atau kenyataan yang mendesak Menteri Ekonomi Rafizi Ramli melepaskan jawatan beliau.

    UMNO Selangor dalam kenyataan memaklumkan surat itu adalah palsu dan fitnah terhadap kepimpinan parti di negeri berkenaan.

    Kenyataan itu memaklumkan UMNO Selangor tidak pernah mengeluarkan surat atau kenyataan mengenai perkara tersebut.

    “Berita palsu seumpama ini sememangnya mempunyai agenda jahat untuk menjejaskan imej dan reputasi kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Selangor serta kerajaan perpaduan dalam menghadapi PRN Selangor akan datang,” menurut kenyataan itu, lampor BERNAMA.

    Katanya Badan Perhubungan UMNO Selangor terus komited bagi mengukuhkan kestabilan politik tanah air serta menyambut baik kerjasama dalam kerajaan perpaduan dan akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

    Baru-baru ini tular surat bertarikh 22 Jun yang menggunakan kepala surat Badan Perhubungan UMNO Selangor kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi mendesak Rafizi meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

  • ‘’Tiada ada modal politik…hanya mahu laga-lagakan pemimpin PN’’ – Muhyiddin

    ‘’Tiada ada modal politik…hanya mahu laga-lagakan pemimpin PN’’ – Muhyiddin

    ‘’SENGAJA dibuat pasal sudah tidak ada modal’’ – Itulah reaksi Tan Sri Muhyiddin Yassin Beraubung dakwaan beliau bertelagah dengan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

    Sambil menyifatkan mereka yang menyebarkan dakyah itu ketandusan modal politik, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata,  pihak berkenaan hanya mahu melaga-lagakan pimpinan gabungan itu.

    “Ini macam cerita Timbalan Presiden (Bersatu) dan Ketua Penerangan (PN) sebelum ini, sengaja dibuat pasal sudah tidak ada modal. Mereka mahu melaga-lagakan, sedangkan dalam parti kita antara yang paling harmoni.

    “Pas, Bersatu dan Gerakan tidak ada masalah langsung. Dalam parti masing-masing pun stabil, tak ada krisis. Ada dengar bergaduh? bila masa saya bertumbuk dengan Datuk (Seri) Hamzah? tidak ada. Segalanya dibuat-buat.. janganlah percaya,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PN yang turut dihadiri oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

    Sebuah portal berita sebelum ini mendakwa Muhyiddin dan Hamzah bertelagah mengenai hala tuju parti itu.

    Ini berkaitan timbul khabar angin yang menyatakan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut mungkin digantikan sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

     Muhyiddin percaya pihak berkenaan membuat dakwaan itu  untuk mengalihkan perhatian kepada masalah yang sedang berlaku terhadap lawannya.

    “Ini perbuatan ‘cywar’ oleh ‘cybertroopers’ mereka (pihak lawan) yang menggunakan media sosial untuk mengalih pandangan terhadap isu pokok yang tidak diselesaikan mereka,” katanya.

    Mengenai pelawaan PN kepada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sebelum ini, Muhyiddin berkata,   tidak ada apa-apa perkara baru yang dapat dikongsikan.

    “Tanya dia. Dua pun ada jawab dalam Podcas, tak perlu saya bincang panjang perkara itu. Saya sudah nyatakan apa yang patut kita bincang.

    “Beliau pun sudah memberi penjelasan dalam media arus perdana. Itulah apa yang sudah berlaku setakat hari ini,” katanya.

  • PRN: PN tanding kesemua 245 kerusi DUN di enam negeri

    PRN: PN tanding kesemua 245 kerusi DUN di enam negeri

    PRN: PN tanding kesemua 245 kerusi DUN di enam negeri

    PERIKATAN Nasional (PN) akan akan bertanding di semua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri  iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

    Ketika mengumumkan perkara itu,Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerusi-kerusi tersebut ialah  36 kerusi di Kedah, 45 kerusi di Kelantan, 32 kerusi di Terengganu, 40 kerusi di Pulau Pinang, 56 kerusi di Selangor dan 36 kerusi di Negeri Sembilan. 

    ‘’’Jumlah kerusi yang bakal ditandingi oleh Bersatu (83 kerusi), Pas (126 kerusi) dan Gerakan (36 kerusi),’’ katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PN, di Kuala Lumpur hari ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, jumlah kerusi baharu bukan incumbent yang bakal ditandingi oleh anggota parti  PN ialah  Bersatu (64 kerusi), Pas (50 kerusi) dan Gerakan (36 kerusi).

    Beliau berkata, jentera Pilihan Raya PN di peringkat negeri-negeri ketika ini pada tahap tertinggi dan komited dalam gerak kerja menghadapi PRN dalam mempertahankan 3 negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah) dan menawan 3 negeri (Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan).

    ‘’Perikatan Nasional komited untuk menjunjung keluhuran perlembagaan, membela kebajikan rakyat dan memacu kemajuan ekonomi menerusi pembentukan kerajaan yang Prihatin, Bersih dan Stabil,’’ katanya.

    Katanya lagi, PN akan menggunakan lambang gabungan itu negeri selain Kelantan dan Terengganu, yang akan menggunakan lambang Pas.

    “Kecuali pimpinan PAS nak guna lambang PN,” katanya.

    Ditanya mengenai calon yang diketengahkan, Muhyiddin berkata sebahagian besarnya penyandang.

    “Semua calon kita ini akan angkat ikrar aku janji dan akan melalui penapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, Jabatan Insolvensi, Suruhanjaya Pilihan Raya, dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

    Muhyiddin juga memaklumkan bahawa PN tidak membincangkan ‘poster boy’, dan mengharapkan peratusan keluar mengundi yang tinggi mengatasi PRU15.

    Dewan Undangan Negeri bagi Kedah akan dibubarkan pada 28 Jun, Pulau Pinang (28 Jun), Selangor (23 Jun), Negeri Sembilan (2 Julai secara automatik), dan Kelantan (22 Jun), manakala Terengganu dijangka bubar selepas 26 Jun.

  • Bubar DUN: Kelantan kini ditadbir kerajaan sementara-Mohd. Amar

    Bubar DUN: Kelantan kini ditadbir kerajaan sementara-Mohd. Amar

    TIMBALAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Abdullah memaklumkan, negeri itu kini ditadbir oleh kerajaan sementara.

    Jelas beliau, ini susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Bagaimanapun katanya, kerajaan sementara ini tidak boleh meluluskan apa jua peruntukan baharu mahupun undang-undang kecil.

    “Kita kerajaan (sementara) berjalan di semua negeri, walaupun bubar semuanya berjalan, ia dipanggil caretaker goverment, berjalan, semua peruntukan yang sudah lulus boleh digunakan, kerajaan sementara ini (bagaimanapun) tidak boleh meluluskan peruntukan kewangan baharu atau buat dasar besar, dua perkara itu sahaja,” katanya di Kota Bharu hari ini.

    Mohd. Amar berkata, bermula hari ini juga semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kelantan tidak lagi berkuasa untuk menandatangani apa jua kelulusan.

    Kelantan menjadi negeri pertama membubarkan DUN pada hari ini bagi memberi laluan PRN.

    Sementara itu, Mohd. Ahmar berkata, soal pengagihan kerusi antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) pada PRN di enam negeri terlibat sudah selesai 95 peratus.

    “Dua kerusi yang sebelum ini diwakili wakil Bersatu Kelantan, masing-masing satu dalam Parlimen Gua Musang dan kerusi DUN Ayer Lanas yang diwakili oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed diserahkan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk diisi calon Pas,” katanya, lapor Astro Awani.

    Tambah beliau yang juga Naib Presiden Pas, baki beberapa kerusi lain yang bertindih kini masih dalam berbincangan antara pimpinan dalam PN.

  • Lelaki ditahan tipu tawar bantuan kewangan ‘Tengku Zafrul’

    Lelaki ditahan tipu tawar bantuan kewangan ‘Tengku Zafrul’

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan semalam kerana memperdaya dua wanita warga emas dengan menawarkan bantuan kewangan yang tidak wujud.

    Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 70 tahun dari Kampung Asahan, Kuala Selangor yang mendakwa beliau didatangi suspek lelaki yang menaiki kereta dan memperkenalkan dirinya sebagai wakil pemberi bantuan daripada ‘Tengku Zafrul’.

    Katanya, mangsa bersama jirannya berumur 72 tahun diperdaya untuk menaiki kereta suspek bagi mengambil kupon pendaftaran di balai raya, namun kedua-dua warga emas itu telah dibawa ke pekan Bestari Jaya dan diminta menyerahkan barang kemas mereka untuk ditukarkan kepada wang tunai.

    “Mangsa kemudian diminta untuk menunggu di kedai makan. Setelah menunggu beberapa jam, mangsa dan jirannya mendapati kereta lelaki tersebut telah tiada dan mengesyaki mereka telah ditipu dengan jumlah kerugian lebih kurang RM8,100,” katanya.

    Bertindak atas maklumat, suspek yang berumur lingkungan 30-an itu berjaya ditahan petang semalam dan turut dirampas sebuah kereta, dua utas gelang tangan, tiga bentuk cincin serta sekeping resit pajak gadai.

    Lelaki itu kini direman hingga 25 Jun dan hasil siasatan lanjut mendapati terdapat tiga laporan polis yang dibuat berkaitan modus operandi sama dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

  • Lokman kini jadi jurucakap dan pembela DAP, kata MCA

    Lokman kini jadi jurucakap dan pembela DAP, kata MCA

    SELAMA berdekad MCA dan DAP menjadi musuh tradisi dam saling menyerang, sehinggalah selepas penubuhan kerajaan tahun lalu yang memaksa mereka ‘mengadakan gencatan senjata’.

    Namun, menurut Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, peranan menyerang parti itu kini nampaknya telah diambil alih oleh anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam.

    Ti malah mengucapkan tahniah kepada DAP kerana Lokman yang dahulunya berseteru dengan parti itu kini menjadi jurucakap dan pembela mereka.

    MIC dan MCA hari ini menyuarakan rasa tidak puas hati terhaap Lokman kerana menganggap mereka sebagai ‘biawak hidup’ dalam Barisan Nasional (BN) kerana gagal memberi impak sejak pilihan raya umum (PRU) 2008.

    Dalam kenyataan hari ini, Ti mengecam Lokman dan membangkitkan Deklarasi Setapak yang dibuat DAP pada 1967 yang menekankan prinsip kesamarataan kaum dan menentang pengasingan antara bumiputera dan bukan bumiputera dalam proses membina negara.

    Ekoran naratif itu, Ti berkata DAP mendapat sokongan popular manakala undi orang Cina dan India terhadap BN merosot.

    Beliau juga membangkitkan apa yang disifatkannya sebagai politik dalaman UMNO yang menghakis sokongan Melayu, dengan ada pemimpin parti itu yang keluar dan menubuhkan parti lain dan menarik penyokongnya.

    “Personaliti-personaliti (bekas) UMNO ini juga diperalat dan ditunggang oleh DAP sehinggalah DAP bukan sahaja berjaya memonopoli undi Cina dan India, tetapi juga menambah sokongan pengundi Melayu yang merupakan penyokong tegar dan tradisi BN,” kata Ti.

    ‘Jangan biadab’

    Ti turut membangkitkan seruan perubahan yang dilaungkan DAP sebelum ini dengan menyifatkan UMNO sebagai ‘penyamun’ dengan BN bertindak balas dengan penegasan ‘No DAP’.

    “Inilah latar belakang dan hakikat politik yang perlu kita terima secara kolektif.

    “Janganlah Lokman menjadi biadab seperti DAP yang pernah gelar MCA sebagai ‘anjing UMNO’ dengan melabel MCA dan MIC sebagai ‘biawak hidup’. Bertaubatlah dan janganlah mengaibkan lebih-lebih lagi rakan seperjuangan,” katanya lagi.

    Sejak menganggotai BN, kata Ti, MCA sentiasa mengamalkan politik kesederhanaan dan menghormati perbezaan.

    ”Adakah Lokman mahu MCA menjadi parti ekstremis dan cauvinis demi meraih undi sehingga mengorbankan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia?

    “Sedar atau tidak, DAP sering menuduh MCA dan MIC gagal mempertahankan atau membela kaum Cina dan India. Malah DAP juga sudah lama menanam doktrin bahawa MCA dan MIC ‘tunduk’ kepada UMNO,” katanya lapor Malaysiakini.

    ‘Bawa UMNO keluar BN’

    Sementara itu, jurucakap MCA, Mike Chong Yew Chuan berkata, antara punca kegagalan partinya dan MIC untuk menarik sokongan adalah kerana segelintir pemimpin UMNO yang kurang matang dan tidak bertanggungjawab membuat kenyataan menghakis sokongan terhadap BN sejak beberapa PRU lalu.

    Chong berkata, MCA sentiasa menjunjung semangat kekeluargaan dalam BN yang membolehkan gabungan itu mengharung segala halangan dan cabaran sehingga hari ini.

    “Namun begitu, fitnah tidak berasas yang dilemparkan oleh Lokman semasa telah mencemarkan integriti dan imej MCA dan MIC di kalangan umum.

    “Memandangkan dia telah menyatakan secara terang pandangan terhadap MCA dan MIC, berdasarkan semangat demokrasi dia dipelawa memohon kepada partinya untuk menarik diri daripada BN dan menyertai PH secara rasmi,” katanya yang turut mendesak Lokman agar memohon maaf secara terbuka atas kenyataan yang dibuatnya.

  • Kes tipu menyamar ‘Datuk’ tak diiktiraf, mahkamah tolak reman pendakwah

    Kes tipu menyamar ‘Datuk’ tak diiktiraf, mahkamah tolak reman pendakwah

    MAHKAMAH Majistret Kangar menolak permohonan reman pendakwah bebas, Ahmad Husam Ahmad Baderudin, bagi membantu siasatan kes tipu dengan menyamar menggunakan gelaran ‘Datuk’ tidak diiktiraf.

    Permohonan perintah reman terhadap ustaz berusia 33 tahun itu ditolak Majistret Siti Hasliza Md. Ali selepas mengambil maklum alasan dikemukakan peguam mewakilinya.

    Husam diwakili peguam Nur Iman Nor Azmi, Siti Hajar Ahmad, Zuhair Ahmad Zakuan, dan Nurul Hanani Che Nor.

    Nur Iman yang mengetuai barisan peguam berkata, pihaknya membantah permohonan reman daripada polis kerana “tiada keperluan bagi menahan anak guam mereka untuk satu tempoh yang lama”.

    “Ustaz Ahmad Husam sudah bebas dengan jaminan polis, namun kami sudah beri aku janji untuk beri kerjasama kepada polis sekiranya dipanggil selepas ini.

    “Untuk ke hadapan, kita akan berbincang dengan pihak anak guam kami untuk tindakan selanjutnya,” katanya menurut Harian Metro ketika bercakap di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar.

    Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah sekitar 9.30 pagi diiringi anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.

    Sementara itu, Ketua Polis Kangar, Yusharifuddin Mohd. Yusop, mengesahkan suspek dibebaskan dengan jaminan polis.

    Beliau berkata, suspek ditahan semalam selepas dipanggil untuk memberikan keterangan di Balai Polis Kangar sekitar 1 tengah hari berhubung kes berkenaan.

    “Suspek ditahan berhubung satu laporan polis yang dibuat pada 2 Mei lalu apabila seorang pelanggan sebuah kedai makan di Jalan Kaki Bukit, Kangar terbaca satu hantaran dimuat naik oleh suspek.

    “Hantaran berkenaan dimuat naik sekitar 10 malam hari sebelumnya oleh suspek pada Facebooknya serta mempunyai seramai 306,000 pengikut.

    “Berdasarkan pada hantaran berkenaan, suspek menggunakan gelaran dan anugerah ‘Datuk’ pada profil akaun Facebook dan pada paparan poster tertera nama beliau yang menggunakan gelaran berkenaan,” kata laporan itu.

    Katanya, sehubungan itu tiga kertas siasatan dibuka polis antaranya mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia.

    “Selain itu, kita turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 3(2) Akta Kesalahan yang berhubungan dengan Anugerah 2017,” katanya.

  • MIC cabar Lokman bawa resolusi keluarkan UMNO dari BN

    MIC cabar Lokman bawa resolusi keluarkan UMNO dari BN

    MIC mencabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam membawa resolusi mengeluarkan parti komponen itu dari gabungan Barisan Nasional (BN).

    Ketua Penerangan MIC, R. Thinalan membuat cabaran sedemikian susulan kenyataan Lokman bahawa UMNO tidak perlu memberi layanan istimewa kepada MCA dan MIC yang tidak mampu menarik sokongan Cina dan India.

    “Jika berat sangatlah beban untuk memikul MIC, berbincanglah dengan Presiden UMNO (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dan bawakan satu resolusi untuk mengeluarkan MIC daripada BN.

    “Jangan hanya untuk mendapat perhatian murahan, Lokman ingin mengeluarkan kenyataan sinis.

    “Beliau sendiri tidak mampu menang pilihan raya yang ditandinginya, ingin pula mengata orang lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas wawancara Lokman dengan sebuah portal yang mengatakan MCA dan MIC perlu membuktikan mempunyai sokongan pengundi bukan Melayu untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN).

    Kata Lokman:”Tetapi, sampai bila kita nak pikul biawak itu, kalau kita ada sahabat yang setia tak ada masalah. Selama ini mereka kalah 2008 hingga 2018. Mereka tetap menjadi menteri walaupun mereka tak ada kerusi.

    “Tetapi mereka mengkhianati kita, kita perlu fikir juga bahawa perlu rakan kongsi yang boleh sama-sama saling menyumbang.

    “Takkan kita sahaja sumbang kepada mereka dan mereka tidak menyumbang,” kata Lokman dalam wawancara itu.

    Bagaimanapun, Thinalan mendakwa UMNO adalah punca sokongan pengundi India dan Cina merosot kepada BN.

    “Sehingga 2007 kami telah menyumbang dengan penuh kepada BN sehingga tindakan beberapa pemimpin UMNO yang telah mengguris sentimen masyarakat India.

    “MIC dilabelkan sebagai hamba UMNO dan parti itu juga tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memperbetulkan keadaan sehingga Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri,” katanya.

    Katanya, MIC tidak terkejut dengan kenyataan Lokman yang didakwa sebagai katak politik.

    “Memang susah untuk kami mengharapkan ikatan kekeluargaan yang sama daripada Lokman yang merupakan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipecat.

    “Ia agak kelakar apabila katak politik pula yang menuding jari kepada orang lain,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.

    Lokman merupakan ahli UMNO dari 1991 sebelum bertindak masuk PKR pada 1999 sebelum dipecat pada 2004.

    Beliau kembali bersama UMNO pada 2006 sehingga 2020 sebelum dilucutkan keahlian pada Februari 2020.

    Namun, Lokman kembali menjadi ahli pada 30 September 2021, selepas rayuannya untuk menyertai kembali UMNO diterima oleh parti.

  • Sita akaun Bersatu: Hakim Ahmad Kamal akan dengar kes

    Sita akaun Bersatu: Hakim Ahmad Kamal akan dengar kes

    HAKIM Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Kamal Md Shahid, dijadualkan untuk mendengar kes cabaran undang-undang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap penyitaan dua akaun banknya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ahmad Kamal juga merupakan hakim yang memberikan kelulusan kepada Bersatu pada bulan lalu supaya meneruskan cabaran undang-undang berasingan untuk membatalkan pembekuan akaun bank oleh SPRM.

    Permohonan mahkamah untuk semakan kehakiman Bersatu berkaitan dengan penyitaan akaun itu dijadualkan akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, hari ini.

    Bagaimanapun, semasa prosiding dalam talian hari ini, pasukan peguam parti pembangkang itu memohon agar kes tersebut dipindahkan ke mahkamah sivil di bawah presidennya, iaitu Ahmad Kamal. Permohonan pemindahan itu dibenarkan oleh Wan Ahmad Farid.

    Apabila dihubungi, peguam Bersatu, Rosli Dahlan mengesahkan keputusan itu, berkata pasukan guaman yang mewakili Peguam Persekutuan SPRM daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membangkitkan bantahan terhadap permohonan pemindahan.

    Peguam tersebut berkata permohonan pemindahan tersebut kerana isu penyitaan akaun berkait rapat dengan isu pembekuan akaun yang menjadi subjek tindakan undang-undang yang lain.

    Dengan pemindahan kes hari ini, Ahmad Kamal akan mendengar kedua-dua kes berkaitan Bersatu itu, lapor Malaysiakini.

    Hakim tersebut kemudiannya akan menetapkan tarikh mendengar kes Bersatu memohon diberikan kebenaran meneruskan kes semakan kehakiman berkaitan dengan penyitaan akaun parti itu.

    Sekiranya Ahmad Kamal memberikan kebenaran, beliau kemudiannya akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar hujah tindakan undang-undang.

    Pada 20 April, akaun parti Bersatu yang sebelum ini dibekukan oleh SPRM telah disita.

    SPRM dalam satu kenyataan menjelaskan akaun tersebut disita pada 11 April selepas mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

    Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan The Edge bertajuk ‘Bersatu asks MACC why two accounts still frozen after 90 days’ (Bersatu minta penjelasan SPRM mengapa dua akaun masih dibekukan selepas 90 hari).

    “Sebelum ini, akaun-akaun terbabit dibekukan pada 12 dan 13 Januari 2023 mengikut Seksyen 44 AMLATFPUAA 2001 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.

    “Susulan itu, SPRM telah melaksanakan tindakan sitaan tersebut pada 11 April 2023 berhubung siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Md Yasin di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan AMLATFPUAA 2001,” kata agensi itu.

    Pada 20 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM232.5 juta.

    Empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dibuat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, di mana Muhyiddin didakwa menggunakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu ketika itu bagi mendapatkan rasuah sebanyak RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

    Tiga syarikat tersebut ialah Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit adalah Azman Yusoff.

    Dua pertuduhan pengubahan wang haram dinyatakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Amlatfpuaa 2001 yang dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

    Individu berusia 76 tahun itu didakwa menerima RM120 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.