JABATAN Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melupuskan sebanyak 1,620 kilogram (kg) saderi yang diimport dari China kerana dikesan mengandungi residu racun perosak jenis Organonitrogen melebihi had yang dibenarkan hari ini.
Pengarah JKNPP, Dr. Ma’arof Sudin berkata, sayuran berkenaan yang bernilai RM12,960 dibawa masuk dari China ke negeri itu menerusi pintu masuk antarabangsa Pulau Pinang.
Menurutnya, JKNPP melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan akan terus memastikan produk hasil pertanian yang diimport masuk ke negara ini adalah mematuhi keperluan Akta Makanan 198 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Perkara ini bagi memastikan pengguna dapat dilindungi daripada isu berkaitan keselamatan makanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan pemantauan secara berkala ke atas produk pertanian yang dijual di pasaran tempatan.
Katanya, hasil pemantauan yang dijalankan sepanjang tahun lalu misalnya mendapati secara purata sebanyak 12.2 peratus produk melanggar residu racun perosak telah dikesan.
“Kebolehkesanan telah dilaksanakan dan diuar-uarkan kepada pengeluar serta pengimport produk hasil pertanian berkaitan perkara ini,” katanya.
Tambahnya, pada tahun ini pemantauan kehadiran residu racun perosak dalam produk hasil pertanian dilakukan secara berterusan dan tindakan di pelbagai peringkat telah dilaksanakan.
“Ini bagi memastikan semua pengeluar, penjual, ejen dan pengimport produk hasil pertanian mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya.
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan UMNO untuk membatalkan saman SRC International Sdn Bhd terhadap parti politik itu bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada UMNO.
Pada Mei lepas, SRC International, yang merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), di bawah pengurusan baharunya telah memfailkan saman itu bersama dengan anak syarikatnya iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd.
Peguam Shahrul Fazli Kamaruzaman, yang mewakili UMNO, berkata Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon menolak permohonan parti politik itu atas alasan kes tersebut tidak sesuai diketepikan pada peringkat ini kerana terdapat isu yang perlu diputuskan semasa perbicaraan.
“Mahkamah juga membenarkan permohonan plaintif untuk meminda nama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Ahmad Maslan yang pada asalnya dinamakan sebagai pemegang jawatan parti, yang mewakili UMNO dalam tuntutan saman dan digantikan dengan nama Datuk Mohd Sumali Reduan iaitu setiausaha kerja UMNO sebagai pegawai awam yang mewakili parti tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita selepas pendengaran permohonan itu yang berlangsung secara dalam talian.
Beliau juga berkata, mahkamah membenarkan permohonan UMNO untuk satu perintah penggantungan interim daripada memfailkan pernyataan pembelaan sementara menunggu rayuan terhadap keputusan hari ini.
Prosiding hari ini disertai peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili UMNO dan Nur Syafinaz Vani Abdullah bagi pihak kesemua plaintif.
SRC International, Gandingan Mentari dan Jendela Pinggiran menyaman UMNO bagi menuntut RM16 juta yang didakwa dipindahkan secara salah kepada parti politik itu.
Plaintif mendakwa parti politik itu mengetahui bahawa wang tersebut adalah milik SRC International dan UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana berkenaan.
Pada 10 Mei lepas, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi mendapatkan semula aset bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.
Kementerian itu menyebut writ saman terbabit difailkan pada 7 Mei iaitu enam oleh 1MDB dan 16 oleh SRC.
Saman itu difailkan oleh 1MDB terhadap sembilan entiti termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti serta 15 individu atas pelbagai salah laku. – BERNAMA
LELAKI warga emas yang mengelar leher anak sendiri selepas bertengkar kerana berebut siaran televisyen di Ulu Bernam, Selangor pada 3 November lalu, didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, hari ini atas tuduhan membunuh.
S. Krisman, 72, dihadapkan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membunuh anak lelakinya, K Apacnaidu, 37, di sebuah rumah di Jalan Kemudi, Taman Bernam Jaya, Ulu Bernam.
Kejadian dilaporkan berlaku antara jam 11 pagi hingga 11.30 pagi, pada 3 November lalu. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khadijah Amir Hamdzah, manakala tertuduh diwakili peguam, Dr Vasu Appu. Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 22 Disember untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
PERKHIDMATAN Penjara Singapura (SPS) mengesahkan seorang warganegara Malaysia yang dijadual dihukum gantung hari ini kerana mengedar dadah disahkan positif COVID-19 pada 9 November 2021, dan akan menerima rawatan perubatan.
Nagaentran K. Dharmalingam, 33, hadir di Mahkamah Rayuan semalam untuk rayuan terakhir terhadap keputusan hukuman mati apabila mahkamah dimaklumkan beliau disahkan positif Covid-19.
Menurut SPS, ujian pantas antigen (ART) dan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) yang dilakukan terhadap Nagaenthran pada 8 November 2021 menunjukkan keputusan negatif pada hari yang sama.
“Beliau dibawa ke mahkamah pada tengah hari pada 9 November 2021. Selepas menerima keputusan ujian PCR positif pada petang itu, SPS segera memaklumkan mahkamah dan Nagaentran telah diasingkan,” kata SPS di laman webnya.
Berikutan itu, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman berkuatkuasa serta-merta sehingga semua prosiding yang tertangguh selesai.
SPS berkata Nagaenthran akan menerima rawatan perubatan dan prosiding akan disambung semula pada tarikh yang akan ditetapkan, selepas beliau pulih.
“Nagaenthran sihat dan tanpa gejala. Dia tidak melaporkan sebarang penyakit sebelum perbicaraan mahkamahnya. Dia tidak diberi vaksin kerana memilih untuk tidak menerima mana-mana vaksin COVID-19,” kata SPS.
Menurut SPS, sehingga 9 November, beberapa banduan dan kakitangan penjara dari Institusi A1 iaitu lokasi Nagaenthran ditempatkan disahkan positif COVID-19.
Unit penempatan yang terjejas di Institusi A1, institusi penjara, telah ditutup untuk mengelakkan penularan virus itu.
SPS menyebut Nagaentran mempunyai kontak seketika dengan dua kakitangan yang telah disahkan positif.
Melihatkan kepada bilangan kes dalam komuniti semasa fasa pandemik ini lebih banyak kes jangkitan dijangka berlaku di penjara juga, dan SPS berkata ia mengambil langkah-langkah untuk memastikan keadaan terus terkawal. – Bernama
KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar melalui Institut Kemajuan Desa telah menganjurkan Forum Pemerkasaan Perusahaan Luar Bandar Mikro, Kecil dan Sederhana Peringkat ASEAN [ASEAN Forum On Enhancing Rural Micro, Small And Medium Enterprises (MSMES)].
Forum tersebut dihadiri oleh kira-kira 100 orang yang terdiri daripada pegawai kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan usahawan luar bandar daripada negara-negara ASEAN dan ASEAN Campur Tiga seperti Singapura, Thailand, Kemboja, Filipina, Jepun, Republik Rakyat China dan Malaysia.
Ia turut dihadiri Timbalan Setiausaha Agung ASEAN (Komuniti Sosio Budaya), Ekkaphab Phanthavong dan Sekretariat ASEAN.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, forum itu merupakan salah satu daripada komitmen Malaysia dalam Kerangka Pelan Tindakan ASEAN dalam Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan 2021 hingga 2025.
‘’Forum ini bertujuan untuk berkongsi amalan terbaik dan bertukar pandangan dalam kalangan negara ASEAN dan ASEAN Campur Tiga mengenai isu dan cabaran yang dihadapi oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana luar bandar semasa pendemik COVID-19 serta membincangkan hala tuju dan tindakan yang boleh diambil untuk meningkatkan daya tahan dan daya saing perusahaan luar bandar pasca COVID-19,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam ucapan perasmiannya, Mahdzir berkata, aktiviti keusahawanan luar bandar merupakan salah satu aktiviti utama yang dapat membantu membangunkan kawasan itu.
‘’ Ini adalah aktiviti keusahawanan luar bandar mampu meningkatkan kualiti kehidupan bagi individu, keluarga dan komuniti di luar bandar,’’ katanya.
Beliau turut memberi penekanan terhadap kepentingan untuk meningkatkan penggunaan internet dan teknologi digital untuk memastikan kelestarian dan ketahanan usahawan luar bandar dalam era pemulihan pasca COVID-19.
Dalam forum itu, antara topik yang dibincangkan adalah cabaran usahawan luar bandar pasca COVID-19, pembudayaan aktiviti keusahawaan luar bandar bagi peningkatan ekonomi luar bandar, adaptasi ekonomi digital dalam keusahawanan luar bandar ke arah pembangunan inklusif dan pemulihan dan peningkatan daya tahan usahawan luar bandar pasca COVID-19.
Selain itu beberapa usahawan luar bandar turut berkongsi pengalaman mendepani cabaran COVID-19 dan langkah pemulihan yang diambil untuk meneruskan perniagaan.
Hasil daripada forum ini boleh digunakan oleh negara-negara ASEAN untuk merangka pelan pembangunan usahawan luar bandar di negara masing- masing terutamanya yang berkaitan dengan teknologi digital.
SEORANG pemilik bengkel motosikal buntu apabila lebih 40 motosikal pelbagai jenis milik pelanggannya yang dianggarkan bernilai lebih RM100,000 hangus dalam kebakaran di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu, malam tadi.
Wee Jit Hwa, 38, berkata kejadian itu berlaku sekelip mata sehingga mengakibatkan bengkel motosikal yang telah diusahakan bapanya sejak lebih 30 tahun lepas, terbakar 100 peratus.
Katanya, ketika kejadian berlaku beliau tiada di situ kerana keluar membeli makanan.
“Ketika hendak membeli nasi, saya menerima panggilan daripada jiran dan rakan terdekat memaklumkan kedai milik saya terbakar. Tanpa berlengah lagi saya terus bergegas pulang.
“Setibanya di tempat kejadian, saya cuba memasuki kawasan berkenaan untuk melihat keadaan bengkel namun tidak dapat menghampirinya kerana api sedang marak selain anggota bomba juga sedang memadamkan kebakaran,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Pakistan,Kota Bharu, hari ini.
Bercerita lanjut, Wee berkata beliau tidak tahu bagaimana ingin memberitahu pelanggannya mengenai kejadian itu dan resah memikirkan kerugian yang dialami.
“Membaiki motosikal ini satu-satunya pendapatan saya untuk menyara keluarga. Sebelum ini saya mampu meraih sekitar RM200 hingga RM300 sehari membaiki motosikal pelanggan,” kata bapa kepada seorang anak yang berusia satu setengah tahun itu.
Terdahulu, Imam Besar Negeri Kelantan Ustaz Muhammad Hana Pizi Abdullah mewakili Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyampaikan bantuan kecemasan bernilai keseluruhan RM14,000 kepada tujuh keluarga yang terlibat bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Setakat ini pada peringkat awal pihak kami mengesan seramai tujuh keluarga yang terlibat. Sekiranya, ada lagi keluarga yang terlibat, kita akan menyalurkan sumbangan kepada mereka,” katanya.
Kebakaran yang berlaku kira-kira 7.22 malam itu mengakibatkan 10 rumah kediaman dan empat rumah kedai musnah sekelip mata, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.– Bernama
SEORANG anggota polis yang berpangkat lans koperal cedera di mata kiri akibat dilastik dengan batu dalam kejadian di Kampung Tersusun Sungai Kerang, Padang Gajah, Trong, Taiping, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman berkata, semasa kejadian pada pukul 8 malam, anggota berkenaan sedang bertugas mengesan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes jenayah.
“Mangsa berusia 33 tahun bersama-sama rakan setugasnya membantu untuk mengesan suspek berusia 58 tahun di rumahnya.
“Suspek dipercayai terlibat dalam kes yang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan.
“Apabila sampai di alamat berkenaan, suspek enggan memberi kerjasama dengan tidak membuka pintu.
“Tiba-tiba suspek menyerang anggota dengan melastik batu secara bertubi-tubi hingga terkena mata kiri dan belakang kepala mangsa. Akibat serangan itu mangsa telah rebah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, mangsa dibawa ke klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Taiping.
Dalam kejadian itu katanya, suspek berjaya ditahan dan direman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan cedera bagi menakutkan penjawat awam, katanya.
BEKAS Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari hari ini gagal mendapatkan kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 Nov.
Adly yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil dalam permohonan untuk memulakan semakan kehakiman, juga telah memohon pengisytiharan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14 pada 4 Okt lepas, adalah terbatal dan tidak sah.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin ketika menolak permohonan Adly, memutuskan bahawa keputusan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Melaka, tidak boleh diadili.
Hakim Noorin dalam penghakiman ringkasnya berkata berpandukan Perkara 7 (4) Perlembagaan Negeri Melaka, membenarkan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, setelah tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ADUN, untuk membuat keputusan memohon kepada responden keempat (Mohd Ali) bagi membubarkan DUN.
“Susulan permintaan responden pertama (Sulaiman), responden keempat (Mohd Ali) telah mempertimbangkan dan bersetuju dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka ke-14 berkuat kuasa 4 Okt lepas, kerana beliau diberi kuasa untuk berbuat demikian mengikut Perkara 19 (2) Perlembagaan Negeri.
“Mahkamah ini mendapati bahawa sejak awal lagi tidak pernah ada nasihat yang diberikan oleh responden pertama kepada responden keempat untuk membubarkan Dewan. Hanya ada permintaan dan berdasarkan permintaan itu, responden keempat boleh mengambil langkah-langkah berdasarkan Perkara 7 (4) perlembagaan berkenaan untuk memperkenankan permintaan pembubaran tersebut.
“Responden keempat telah menggunakan kuasanya dengan betul di bawah Perkara 19 (2) perlembagaan. Ini adalah proses yang telah diambil oleh responden keempat,” kata hakim Noorin.
Hakim seterusnya berkata bahawa pembubaran DUN adalah tidak boleh diadili dan diterima untuk semakan kehakiman.
“Perkara tersebut telah diselesaikan. Tiada merit untuk mengemukakan hujah lanjutan dan permohonan ini ditolak tanpa perintah berhubung kos,” tambahnya.
Adly, 50, memfailkan permohonan itu dengan menamakan Sulaiman, Speaker DUN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Mohd Ali masing-masing sebagai responden pertama, kedua, ketiga dan keempat.
Dalam permohonan itu, Adly memohon satu deklarasi bahawa tindakan responden pertama (Sulaiman) menasihati responden keempat (Mohd Ali) pada 4 Okt lepas untuk membubarkan DUN Melaka setelah tidak lagi mempunyai kepercayaan majoriti ADUN, telah melanggar undang-undang, terbatal serta tidak sah.
Beliau juga memohon deklarasi bahawa adalah tidak munasabah dan tidak rasional bagi Sulaiman menasihati Mohd Ali supaya membubarkan DUN dalam keadaan pandemik COVID-19 atau fasa endemiknya di negara ini.
Adly juga memohon perintah certiorari agar writ pilihan raya Suruhanjaya Pilihan Raya bertarikh 18 Okt untuk mengadakan pilihan raya negeri dibatalkan; selain kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Peguam Razlan Hadri Zulkifli memberitahu pemberita bahawa beliau akan menunggu arahan selanjutnya daripada anak guamnya untuk tindakan seterusnya.
Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy dan Ahmad Hanir Hambaly mewakili Jabatan Peguam Negara. – BERNAMA
SEORANG ah long dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret Kulai, hari ini setelah didapati bersalah mengugut bapa kepada Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA pada September lalu.
Tertuduh, Teng Chee Sing, 34, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Sharifah Maleeha Syed Hussin.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu telah melakukan perbuatan ugut melalui panggilan telefon dengan mengugut mangsa berusia 58 tahun untuk membakar rumahnya menggunakan nombor telefon persendirian.
Perbuatan terbabit dilakukan tertuduh di hadapan sebuah bank di Indahpura Kulai pada pukul 12.46 tengah hari, 21 September lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan serta hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 506 kanun sama iaitu penjara selama tempoh tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mahkamah menjatuhi hukuman penjara selama lima bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh dia ditangkap pada 31 Oktober lalu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edlynn Wong dan tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman, Hidayah Asri.
Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan seorang lelaki ditahan pada pukul 2.45 petang di Taman Abad pada 31 Oktober lalu.
Suspek ditahan kerana mengugut bapa kepada Chua Jian Boon yang juga Timbalan Pengerusi MCA Kulai. Jian Boon antara pemimpin yang aktif memerangi kegiatan ah long di daerah itu sebelum ini.
Terdahulu, kediaman Jian Boon di Jalan Sri Putri 1/8, Taman Putri Kulai dan dua keretanya turut disimbah cat merah oleh individu tidak dikenali dalam satu kejadian pada pukul 11.15 malam, pada 7 Oktober lalu.
OPERASI Benteng berjaya menahan 16,229 pendatang asing tanpa izin (PATI), manakala 3,666 lagi diusir ketika cubaan membolosi sempadan darat dan perairan negara.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, berkata angka itu berdasarkan pelaksanaan Operasi Benteng selama 18 bulan, iaitu sehingga 31 Oktober lalu.
Katanya, operasi itu juga berjaya mengekang penyeludupan di sempadan dengan anggaran nilai rampasan RM668.47 juta.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, ini membabitkan rampasan barang terlarang dan kenderaan.
Ikmal Hisham berkata, operasi itu membabitkan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan agensi lain.
“Objektif utama pelaksanaan operasi ini bertujuan menghalang kemasukan PATI, bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
“Pada masa sama, inisiatif ini dapat mengukuhkan lagi kawalan keselamatan persempadanan negara sama ada sempadan darat atau perairan negara.
“Bagi memastikan Operasi Benteng terus berkesan, kementerian akan memperkukuh untuk menambah baik keupayaan ATM melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan meneruskan peruntukan belanjawan tahunan kepada operasi ini,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) mengenai keberkesanan operasi berkenaan pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab soalan tambahan, Ikmal Hisham berkata, tiga perkara membabitkan risikan, pemantauan dan pengawasan akan dipertingkat dalam pelaksanaan Operasi Benteng, bagi menjejaki jenayah rentas negara.
“Kita menyediakan peruntukan Operasi Benteng secara prinsipnya dan akan fokus kepada peningkatan keupayaan pasukan keselamatan melaksanakan tugas di sempadan, bagi memastikannya tidak mudah dibolosi.
“Ini juga selaras hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika pembentangan RMK-12 yang menyentuh fokus keempat, iaitu memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.