Category: Semasa

  • Nahas Hawk TUDM: Kapten Mohamad Affendi maut, Mejar Mohd. Fareez cedera

    Nahas Hawk TUDM: Kapten Mohamad Affendi maut, Mejar Mohd. Fareez cedera

    ANGGOTA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang maut dalam nahas pesawat Hawk 108 yang terhempas ketika sedang melakukan latihan penerbangan di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang disahkan sebagai Kapten Mohamad Affendi Bustamy.

    Sementara itu, seorang lagi mangsa dalam kejadian kira-kira pukul 10.07 malam tadi itu ialah Mejar Mohd. Fareez Omar yang cedera dan kini sedang diberikan rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) namun berada dalam keadaan selamat dan stabil. 

    Dalam pada itu, Timbalan Panglima Tentera Udara Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, TUDM akan menjalankan siasatan teknikal dan terperinci berhubung insiden terbabit.

    “Kita akan buat siasatan terperinci,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di pekarangan HSJ awal pagi tadi.

    Terdahulu, beliau tiba di HSJ pukul 1.52 pagi dan meluangkan masa hampir 20 minit melawat Mohd. Fareez.

    Sementara itu, beberapa portal berita yang memetik kenyataan saksi melaporkan terdengar dua letupan kuat seperti letupan bom sebelum melihat api marak di atas landasan di Pangkalan Udara berkenaan ketika nahas berlaku.

    Peniaga kedai makan di Kampung Benggali, Sungai Puyu, Butterworth, Mastura Mohammad Nordin, 44, berkata, dia mendengar deruan pesawat yang agak kuat berbanding kebiasaan kerana kedainya terletak berdekatan pangkalan udara itu.

    “Saya sudah biasa dengar bunyi enjin pesawat kerana gerai makanan saya terletak berhampiran pangkalan udara itu, tetapi bunyi enjin malam tadi agak berbeza sebelum saya dikejutkan dengan letupan kuat di landasan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita.

  • Seorang maut, seorang cedera pesawat Hawk TUDM terhempas

    Seorang maut, seorang cedera pesawat Hawk TUDM terhempas

    SEORANG anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut manakala seorang lagi cedera dalam insiden melibatkan pesawat pejuang Hawk yang dipercayai terhempas di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pukul 10.07 malam tadi.

    Perkara itu disahkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi laman sosial Twitternya malam tadi yang memaklumkan, beliau telah menerima maklumat berhubung kejadian melibatkan pesawat jenis Hawk 108 itu daripada Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad.

    “Baru terima panggilan daripada Panglima @tudm_rasmi Jen TS Ackbal memaklumkan insiden pesawat Hawk 108 yg terhempas di Butterworth tadi.

    “Seorang anggota kehilangan nyawa, seorang lagi cedera. TUDM telah diarahkan segera berikan laporan lebih terperinci dan siasat punca kejadian,” katanya.

    Dalam pada itu, Hishammuddin turut melahirkan rasa amat sedih dan dukacita dengan kejadian tersebut dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

    Malah, beliau telah mengarahkan apa jua keperluan disalurkan kepada keluarga kedua-dua mangsa.

    Terdahulu, TUDM dalam kenyataan mengesahkan berlaku satu insiden kejadian kemalangan melibatkan sebuah pesawat pejuang Hawk milik TUDM di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterworth.  

  • Kanak-kanak perempuan empat tahun maut terjatuh dari tingkat 29

    Kanak-kanak perempuan empat tahun maut terjatuh dari tingkat 29

    SEORANG kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan seorang diri dalam keadaan berkunci di rumahnya, ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkap rumahnya di tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, hari ini.

    Mayat kanak-kanak itu ditemukan seorang kakitangan badan pengurusan di koridor tingkat 8 kondominium tersebut pada pukul 2.41 petang.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa telah ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan di rumah oleh bapanya dalam keadaan pintu berkunci kerana keluar untuk membeli barang dan mendapati anaknya tiada di rumah selepas pulang.

    “Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tingkap di bilik mangsa dalam keadaan terbuka dan terdapat sebuah kerusi berada di tepi tingkap bilik tersebut.

    “Tingkap di dalam bilik tersebut didapati tidak mempunyai jeriji dan siasatan mendapati tiada unsur jenayah.

    “Pihak pengurusan telah menghubungi ambulans dari Hospital Selayang dan kematian mangsa telah disahkan oleh pegawai paramedik yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, mayat telah dirujuk ke Hospital Selayang untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

  • Palsu! Tiada tiket percuma Piala Malaysia Melaka vs Sabah

    Palsu! Tiada tiket percuma Piala Malaysia Melaka vs Sabah

    IBU Pejabat Perikatan Nasional (PN) menafikan ada mengeluarkan sebarang poster menawarkan tiket percuma bagi perlawanan suku akhir Kedua Piala Malaysia antara Melaka dengan Sabah.

    Penafian itu dikeluarkan oleh Setiausaha Eksekutif PN, Saiful Adli Mohd Arshad dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

    “Poster yang tersebar menerusi media sosial itu adalah palsu,” katanya.

  • Tiada maklumat keberadaan Jho Low – Hamzah

    Tiada maklumat keberadaan Jho Low – Hamzah

    KEMENTERIAN Dalam Negeri mengakui tidak mempunyai maklumat mengenai keberadaan ahli perniagaan dalam buruan Low Teak Jho atau Jho Low setakat hari ini.

    Menteri berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Singapura dan Amerika Syarikat, yang turut memfailkan kes mahkamah terhadap ahli perniagaan itu, juga gagal mengesan lokasi beliau.

    “Kementerian melalui Polis Diraja Malaysia komited untuk mengesan keberadaan Low Taek Jho atau Jho Low untuk dibawa balik bagi menghadapi siasatan.

    “Dalam hal ini, saya ingin memaklumkan bahawa selain Malaysia, Singapura juga telah memfailkan pertuduhan terhadap Low Taek Jho pada 2016 dan telah memperoleh Notis Merah daripada Interpol (Polis Antarabangsa) pada tahun yang sama.

    “Amerika Syarikat juga memfailkan pertuduhan di mahkamah di New York pada 2018 dan waran tangkap dikeluarkan ke atas Jho Low pada tahun yang sama,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

    Hamzah berkata sehingga kini, tiada sebarang maklumat diterima oleh Malaysia atau Singapura mahu pun Amerika Syarikat daripada mana-mana ahli Interpol yang dianggotai 194 negara berhubung keberadaan Jho Low.

    Beliau berkata selain itu, kenyataan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pada 2019 dan 2020 bahawa Jho Low dipercayai bersembunyi di China serta dilindungi oleh Beijing telah dinafikan Kedutaan Besar China pada tahun lepas.

    Pada 4 Dis 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

    Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membawa beliau pulang.

    Jho Low bukan sahaja dikehendaki oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan dalam kes penyelewengan dana 1MDB tetapi juga merupakan saksi penting perbicaraan yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – Bernama

  • Pekerja maut kena renjatan elektrik, syarikat didenda RM40,000

    Pekerja maut kena renjatan elektrik, syarikat didenda RM40,000

    SYARIKAT konsortium pertanian Sinergi Perdana Sdn Bhd didenda RM40,000 atau penjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di Klang hari ini kerana gagal memastikan keselamatan di tempat kerja sehingga menyebabkan seorang pekerja maut terkena renjatan elektrik, dua tahun lepas.

    Hakim, Razali Arifin menjatuhi hukuman itu terhadap syarikat tersebut sebagai Orang Kena Saman (OKS) selepas syarikat itu yang diwakili Pengurus Undang-Undang dan Korporat Siti Fairuz Kamis, 35, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

    Sinergi Perdana sebagai majikan didakwa gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja dengan tidak menyediakan maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan untuk menjalankan aktiviti kerja kimpalan pada tapak motor elektrik ‘granulator chute’ sehingga menyebabkan kemalangan maut kepada Jafri Jamaluddin, 41.

    Syarikat itu melakukan kesalahan tersebut di bahagian pengeluaran dalam kilang, di Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, Klang pada 4.50 petang 19 Feb 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 15(2)(c) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta dihukum di bawah Seksyen 19 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya.

    Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa yang bekerja berseorangan telah membuat kerja baik pulih ‘granulator chute’ telah terkena renjatan elektrik.

    Mangsa dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang tetapi disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.

    Sebelum itu semasa memohon hukuman yang ringan, Siti Fairuz berkata kemalangan tersebut berlaku ketika syarikat itu baru beroperasi selama setahun dan ia merupakan kesalahan pertama.

    “Kami telah mengambil tindakan segera dengan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan kerja-kerja selamat dengan pekerja sentiasa diberikan latihan,” katanya.

    Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor Jamaludin Harun dan Mohd Nizam Teh Kammaruddin berkata akibat kecuaian tersebut, syarikat itu kehilangan pekerja berkemahiran.

    “Tindakan dibuat selepas kejadian berlaku sepatutnya dilakukan sebelum berlaku. Justeru, saya mohon hukuman setimpal dan berat sebagai pengajaran kepada OKS dan peringatan kepada syarikat di luar sana,” katanya. – Bernama

  • Hamzah nafi wujud kartel dalam PDRM

    Hamzah nafi wujud kartel dalam PDRM

    MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, siasatan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tidak wujud ‘kartel’ dalam agensi itu seperti didakwa sebelum ini.

    Walaupun begitu katanya, bagi memastikan ketelusan, pihaknya telah membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) untuk meneruskan siasatan.

    “Berkenaan dakwaan wujud kartel dalam PDRM, siasatan dalaman telah dilakukan oleh PDRM dan didapati tiada kartel sebagaimana yang telah dinyatakan.

    “Walau bagaimanapun bagi memastikan ketelusan perkara ini di bawa kepada SIAP untuk meneruskan siasatan lanjut,” katanya ketika sesi penggulungan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

    Mengulas lanjut mengenai dakwaan wujud ‘kartel’ dalam PDRM, Hamzah menjelaskan, semua individu yang terbabit dengan perkara itu telah diambil kenyataan.

    “Segala isu yang dibangkitkan mana-mana pihak akan diberikan penyiasatan sewajarnya berdasarkan laporan yang dibuat oleh pengadu, bagaimana mana-mana isu yang dibangkitkan tanpa butiran pengadu tidak akan dilayan

    “Budaya fitnah untuk membentuk persepsi buruk tanpa bertanggungjawab atas isu yang ditimbulkan merupakan satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab,” ujarnya.

    Tambahnya, tindakan akan diambil berdasarkan laporan polis yang bersandarkan kepada maklumat dan aduan yang sahih sahaja, bukannya dalam bentuk surat layang sama ada secara fizikal atau digital.

    Media pada Mac lalu melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika itu mendedahkan wujudnya gerakan dalaman daripada kalangan pegawai muda dalam PDRM yang bercita-cita untuk menjatuhkan beliau.

    Menurutnya, gerakan tersebut juga merupakan kumpulan sama yang mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

  • Kes rogol amah: Nasib ADUN Tronoh diketahui 7 Disember

    Kes rogol amah: Nasib ADUN Tronoh diketahui 7 Disember

    KEPUTUSAN sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong akan dilepaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan rogol pembantu rumah warga Indonesia akan diketahui 7 Disember ini.

    Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan pada akhir kes pendakwaan.

    “Saya perlu masa untuk semak dokumen, nota, bukti dan hujahan bertulis semua pihak dalam beberapa minggu sebelum membuat keputusan,” katanya.

    Pasukan pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi manakala pihak pembelaan terdiri daripada Datuk Rajpal Singh, Salim Bashir dan Phang Yong Nur Sarah.

    Terdahulu, Rajpal berhujah bahawa terdapat banyak persoalan kepada mangsa yang tidak dapat dijawab secara terperinci termasuk tidak membangkitkan isu rogol itu kepada orang terdekat seperti ibu atau isteri tertuduh.

    Rajpal turut membangkitkan mengenai kesan asid deoksiribonukleik (DNA) campuran tidak diketahui pada beberapa eksibit yang bukan daripada Yong selain terdapat catatan ‘tunggu dan lihat’ dalam diari milik mangsa pada 6 Julai 2019 iaitu sehari sebelum kejadian rogol didakwa berlaku.

    Peguam itu berkata cerita bahawa wanita itu dirogol oleh majikannya boleh direka kerana berdasarkan keterangan agensi pekerjaan, dakwaan itu adalah normal sekiranya pembantu rumah ingin pulang ke negara asal serta tidak mahu bekerja sebagai pembantu rumah selain terdapat konspirasi politik.

    Sementara itu, Azlina berhujah, mangsa telah memberitahu bahawa dia tidak menceritakan kepada isteri tertuduh dan keluarga terdekat kerana telah diugut sebelum ini.

    Azlina berkata mangsa, juga telah menghubungi Kedutaan Besar Republik Indonesia sebanyak tiga kali pada 11 pagi keesokan harinya untuk melaporkan kejadian (dakwaan rogol) dan fakta tersebut disahkan melalui panggilan telefon.

    Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya di kediaman beliau di Meru Desa Park di sini antara 8.15 hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

    Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

    Yong didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak. – BERNAMA

  • Polis tahan Sub-Inspektor lepas tembakan dalam pub

    Polis tahan Sub-Inspektor lepas tembakan dalam pub

    POLIS sedang menjalankan siasatan terhadap seorang anggota polis berpangkat Sub-Inspektor susulan tindakannya melepaskan tembakan terhadap seorang lelaki orang awam dalam sebuah pub di Bandar Puchong Jaya, Puchong, Selangor malam tadi.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata susulan kejadian itu, anggota berusia 56 tahun yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, ditahan untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar tindakan itu.

    “Saya sahkan suspek seorang anggota polis dan dia sedang disiasat untuk siasatan lanjut sama ada dia berada di bawah pengaruh alkohol atau sebaliknya,” katanya, memetik laporan BH, hari ini.

    Terdahulu, Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner A. Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati suspek melepaskan satu das tembakan menggunakan sepucuk pistol dan terkena pada seorang pelanggan lelaki berusia 56 tahun dalam pub berkenaan.

    “Sejurus selepas kejadian, mangsa yang mengalami kecederaan akibat tembakan di bahagian belakang badan dan lengan kiri dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

    “Suspek mempunyai kebenaran membawa senjata api dan pistol yang digunakan ketika kejadian itu dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak mengenali mangsa dan tiada sebarang provokasi di antara kedua-duanya.

  • 132 menara telekomunikasi tambah baik rangkaian internet di Johor

    132 menara telekomunikasi tambah baik rangkaian internet di Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MASALAH gangguan liputan internet di sesetengah kawasan di Johor berkemungkinan dapat diatasi dengan pertambahan 132 buah menara telekomunikasi baharu yang sedang dibina khususnya di kawasan luar bandar di seluruh negeri ini.

    Ketua Bahagian Infrastruktur Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bukhari Yahya berkata, penyediaan menara komunikasi baharu itu membabitkan di kesemua 10 daerah di Johor di bawah Fasa 1 Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

    Katanya, mengikut pelaksanaan di bawah Fasa 1 Pelan Jendela juga, sebanyak 101 menara komunikasi telah siap dibina sehingga Jun tahun lalu.

    “Bagi peluasan liputan jalur lebar mudah alih di Johor, Fasa 1 Pelan Jendela yang bermula pada tahun lalu menyasarkan untuk membina sebanyak 233 buah menara telekomunikasi.

    “Daripada jumlah itu, 101 daripadanya telah siap dibina sehingga Jun lalu manakala selebihnya dalam proses pelaksanaan.

    “Selain itu, sejumlah 3,409 alat pemancar sedia ada akan dinaik taraf kepada perkhidmatan 4G dan 2,877 daripadanya telah pun selesai dinaik taraf sehingga Jun lalu,” katanya pada Taklimat Penerangan Liputan Internet dan Telekomunikasi Negeri Johor di sini hari ini.

    Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang.

    Menurut Bukhari, Johor adalah antara negeri yang mempunyai capaian internet yang tinggi dan mendapat liputan yang meluas, malah capaian liputan mudah alih 4G di kawasan berpendudukan di negeri ini mencapai 98 peratus setakat suku ketiga tahun ini.

    Tambahnya, SKMM turut mengambil maklum aduan yang diterima pihaknya berhubung masalah perkhidmatan komunikasi bagi mempercepatkan serta merancakkan pembangunan infrastruktur digital terutamanya di kawasan kampung di pinggir bandar dan luar bandar.

    “SKMM turut menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau kemampuan rangkaian yang mampu bertahan susulan peningkatan trafik penggunaan internet kepada 71 peratus.

    “Jumlah aduan yang diterima mengenai kualiti capaian internet yang teruk juga meningkat sehingga 70 peratus. Kita ambil maklum perkara ini dan akan ditambah baik dari masa ke semasa,” katanya.

    Dalam pada itu, ujar beliau, SKMM turut membuat penambahbaikan capaian internet di bawah Fasa 1 Jendela membabitkan kawasan Felda di 60 kawasan Felda di negeri ini.