Category: Semasa

  • Rampas 4.03 tan daun ketum cuba diseludup

    Rampas 4.03 tan daun ketum cuba diseludup

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEBANYAK 4.03 tan daun ketum bernilai kira-kira RM120,000 berjaya dirampas daripada diseludup ke negara jiran oleh Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara bermula 24 Oktober lalu hingga hari ini.

    Menurut laporan Sinar Harian, tindakan rampasan tersebut dilakukan menerusi kawalan dilakukan dalam Op Benteng Kawalan Sempadan Darat Malaysia-Thailand.

    Pegawai Pemerinta Batalion 3, Superitendan Azhar Hashim berkata, pihak berkuasa juga menahan enam individu yang cuba menyeludup barangan ke negara jiran membabitkan nilai rampasan keseluruhan RM135,855.

    “Daun hijau disyaki daun ketum dirampas di kawasan Wang Kelian, Perlis seberat 2.5 tan. Selebihnya 0.5 tan dirampas di Padang Besar manakala 0.7 tan lagi di Chuping, Perlis.

    “Selain itu, barangan lain yang dirampas adalah sebuah kenderaan bernilai RM10,000, telefon bimbit, beg galas dan dompet,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan PGA Bukit Kayu Hitam, hari ini.

    Hadir sama, Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Asisten Komisioner Rosman Kasman; Pegawal Pemerintah Unit Berkuda, Deputi Superintendan Nurhidayah Damanhoori dan juruterbang Unit Udara PDRM, Superintendan Ras Nazrin Shah Abdullah.

    Beliau dalam pada itu memaklumkan, Batalion 3 PGA itu turut menahan enam individu membabitkan berkaitan kes Pendatang Asing Tanpa Izin melibatkan tiga lelaki warganegara Myanmar di Bukit Kayu Hitam serta tiga lagi individu warganegara Thailand dan tempatan di KTM Padang Besar.

  • Radzi nafi keluar senarai larangan hukuman disiplin

    Radzi nafi keluar senarai larangan hukuman disiplin

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) tidak pernah mengeluarkan jadual berkaitan hukuman tindakan disiplin yang dilarang dilakukan kepada murid.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya tidak pernah membuat kenyataan berkaitan bentuk hukuman terhadap pelajar sekolah.

    “Portal itu meletakkan gambar saya seolah-olah saya yang mengeluarkan kenyataan berkenaan. KPM tidak pernah mengeluarkan jadual bertajuk ‘Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang’ dalam mana-mana dokumen rasmi kementerian.

    “Sama-sama kita semak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau.

    Sebelum ini, tular di media sosial mengenai bentuk hukuman yang dilarang dilakukan terhadap fizikal, mental dan emosi pelajar.

    Sambil merujuk berita  tular bertajuk ‘Gempar!! Bermula esok guru boleh dihukum sekiranya berleter terhadap murid’’ yang mengaitkan namanya, Radzi berkata, portal itu meletakkan gambar beliau seolah-olah beliau yang mengeluarkan kenyataan tersebut.

    Sementara itu, KPM dalam kenyataan memberitahu, tindakan disiplin hanya boleh dikenakan mengikut tatacara pengurusan disiplin dikeluarkan oleh kementerian itu.

    “Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959; Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/1983: Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran; SPI Bil. 7/1995: Tatacara Mengenakan Tindakan dan Hukuman Terhadap Pelajar-Pelajar Sekolah.

    “Selain itu adalah SPI Bil 10/2001: Semua Guru Adalah Guru Disiplin; SPI Bil 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid; dan SPI Bil 7 Tahun 2011: Pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin.

    “Sehubungan itu, KPM menegaskan tatacara pengurusan disiplin murid adalah berdasarkan Garis Panduan dan SPI yang dinyatakan,” kata kenyataan tersebut.

  • Dua rumah setinggan jadi makmal proses pelbagai jenis dadah

    Dua rumah setinggan jadi makmal proses pelbagai jenis dadah

    POLIS berjaya membongkar kegiatan sindiket dadah yang memproses dan membungkus dadah di kawasan setinggan berhampiran lebuh raya di Kuala Lumpur selepas melakukan serbuan baru-baru ini.

    Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melancarkan serbuan di dua lokasi di rumah setinggan yang dijadikan sebagai makmal pemprosesan bahan haram itu.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, operasi terancang itu bermula 2.30 petang pada 17 November lalu bagi membanteras kegiatan memproses dan membungkus dadah jenis heroin, syabu dan ganja yang dipercayai untuk edaran pasaran tempatan.

    “Serbuan pertama di Batu 3 1/2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan menahan tiga lelaki tempatan serta seorang lelaki warga asing berusia antara 24 hingga 38 tahun.

    “Dalam serbuan itu, polis merampas 58 kilogram (kg) dadah disyaki ganja, 11 kg heroin gred tiga, 181 gram heroin gred empat, 2.6 kg methamphetamine dan 50 kg kafein bersama peralatan memproses dadah,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini.

    Yahaya berkata, serbuan kedua pula di Kampung Udara dekat Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia 21 serta 25 tahun.

    “Warga asing yang ditahan itu positif syabu yang mana nilai rampasan dadah adalah RM419,920.

    “Kita turut menyita tiga kereta iaitu Perodua Myvi, Perodua Alza dan Perodua Bezza. Mereka ini aktif sejak Julai lalu,” katanya.

    Menurutnya, siasatan mendapati kumpulan sindiket itu memilih lokasi berkenaan sebagai makmal bagi mengelak dikesan dan mengaburi mata pihak berkuasa.

    “Semua suspek direman seminggu bermula 18 November lalu hingga esok dan akan disambung reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Kanak-kanak perempuan 2 tahun perlu RM90,000 untuk jalani pembedahan jantung keempat

    Kanak-kanak perempuan 2 tahun perlu RM90,000 untuk jalani pembedahan jantung keempat

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dari Penaga, Pulau Pinang memerlukan dana sebanyak RM90,000 bagi menjalani pembedahan jantung kali keempat secepat mungkin.

    Nur Afia Mikayla Abdul Khaliq menghadapi masalah kecacatan jantung konginental seperti kedudukan jantung yang berada di posisi yang salah atau ‘mesorcadia’ serta saluran darah yang nipis dan bertukar tempat.

    Dia telah menjalani pembedahan jantung sebanyak tiga kali dengan dua daripadanya ketika berusia dua bulan manakala satu lagi ketika usianya baru mencapai satu tahun.

    Nur Afia Mikayla kini perlu melalui pembedahan keempat iaitu pembedahan jantung pelengkap secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah ‘pulmonary atresia with ventricular septal defect’ (PA-VSD).

    Ini kerana kanak-kanak tersebut mempunyai tanda ‘cyanosis’ atau perubahan warna tisu pada anggota badan kepada warna lebih gelap di bahagian jari dan bibir.

    Nur Afia Mikayla dari Penaga, Pulau Pinang memerlukan dana sebanyak RM90,000 bagi menjalani pembedahan jantung kali keempat secepat mungkin

    Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, ibu bapa kanak-kanak itu, Aizatul Melissa Abdullah, 23, dan Muhammad Hanif Mohtar, 24, menghubungi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare bagi membantu menguruskan kutipan dana serta rawatan dengan pihak hospital.

    “Bapa Nur Afia Mikayla hanya bekerja sebagai penghantar kurier dengan gaji RM1,250 manakala ibunya suri rumah sepenuh masa dan kami memutuskan menjalankan kutipan amal bagi membantu menguruskan kos pembedahan Nur Afia Mikayla,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Shi Hau, orang ramai yang ingin membantu kanak-kanak tersebut boleh melayari laman sesawang www.onehopecharity.org dan menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Public Bank Berhad pertubuhan kebajikan itu di nombor 3201428817.

    Katanya, orang ramai juga boleh  menghubungi talian 016-4192192, 019-2322192 atau 04-5399212 untuk maklumat lanjut.

  • Mayat bayi membengkak, membusuk ditemukan di sawah

    Mayat bayi membengkak, membusuk ditemukan di sawah

    SEORANG pemilik sawah terkejut apabila menemukan mayat bayi perempuan dalam keadaan membengkak dan membusuk di kawasan sawah berdekatan lorong Taman Serai Muda ke Kampung Padri di Bagan Serai, semalam.

    Bayi berkenaan yang dipercayai dibuang di situ ditemukan pemilik tanah berkenaan sekitar pukul 8.30 pagi dalam keadaan tidak berbaju yang dianggarkan berusia lebih kurang sembilan bulan.

    Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang dokumen atau kain balutan berkaitan kes itu.

    “Status hidup atau mati semasa dilahirkan tidak dapat dipastikan kerana organ dalaman mayat bayi berkenaan telah hancur.

    “Setakat ini punca kematian bayi tidak dapat dipastikan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Menurutnya, kali terakhir pemilik tanah melalui kawasan itu kelmarin sekitar jam 4.30 petang untuk menjalankan kerja membaja, tetapi masih belum terlihat mayat bayi tersebut.

    “Mayat bayi telah di bawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk tujuan bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan dan membuang mayat,” katanya.

  • Bayaran fasa Bantuan Khas Covid-19  Khamis ini – PM

    Bayaran fasa Bantuan Khas Covid-19 Khamis ini – PM

    PEMBAYARAN Fasa 2 Bantuan Khas Covid-19 (BKC) akan dibuat mulai 25 November ini dengan peruntukan RM300 juta.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bayaran kedua itu akan melibatkan 700,000 penerima isi rumah, individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam kategori miskin.

    “Pembayaran seterusnya iaitu Fasa 3 BKC akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu pada bulan Disember 2021 melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40,” katanya dalam hari ini.

    Beliau pada masa sama menegaskan bahawa kerajaan sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat selain berharap pembayaran BKC ini mampu meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19.

    “Bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, kerajaan juga akan terus komited memastikan bantuan yang disediakan dapat disalurkan secara berkesan,” katanya.

    Semakan status kelulusan BKC boleh dibuat melalui Portal BKC, iaitu https://bkc.hasil.gov.my.

    Untuk maklumat lanjut termasuk kriteria penerima dan jumlah bantuan yang bakal diterima, warga Keluarga Malaysia boleh merujuk Jadual 2 serta Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan.

  • JTPD : PH Johor tolak pelawaan Hasni jadi pemerhati, desak diberi taraf ahli ‘ex-offico’

    JTPD : PH Johor tolak pelawaan Hasni jadi pemerhati, desak diberi taraf ahli ‘ex-offico’

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KESEMUA 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) negeri Johor sepakat menolak pelawaan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad untuk menjadi pemerhati dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).

    Keputusan sebulat suara itu dicapai pada mesyuarat PH Johor yang dipengerusikan Ketua Pembangkang Johor, Aminolhuda Hassan selepas pembentangan Belanjawan Johor 2022, Khamis lalu.

    Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, tawaran Hasni tidak adil memandangkan mereka adalah wakil rakyat yang dipilih untuk menyuarakan pandangan dan masalah di kawasan masing-masing.

    Maka ujar beliau, pelawaan sekadar menjadi pemerhati tidak sepatutnya ditawarkan kerana tiada apa-apa perkara yang boleh dilakukan mereka melainkan hanya duduk dan dengar sahaja dalam JTPD.

    “Hanya sekadar dibenarkan datang, duduk, dengar dan balik, itu memang kita tolak. PH Johor desak diberikan taraf ahli ‘ex officio’ supaya ADUN pembangkang dapat beri pandangan dan meminta penjelasan berkaitan isu di kawasan masing-masing dalam JTPD,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

    Khamis lalu, Hasni ketika membentangkan Belanjawan Johor 2022 berkata, kerajaan negeri telah bersetuju untuk menjemput ADUN Pembangkang untuk menyertai mesyuarat itu sebagai pemerhati.

    Pada pembentangan itu, Hasni turut mengumumkan peruntukan tetap tahunan sebanyak RM200,000 kepada 56 ADUN Johor bagi tujuan pengurusan dan pentadbiran serta kerja-kerja kecil dan bekalan. Beliau turut memberikan tambahan RM50,000 untuk tujuan perayaan-perayaan besar.

    Jimmy Puah yang juga Bendahari PH Johor berkata, Aminolhuda selaku Ketua Pembangkang DUN Johor juga sudah menyampaikan keputusan sebulat suara mereka itu kepada Hasni.

    Manakala, ADUN Jementah, Tan Chen Choon pula akan membawa usul mengenai isu terbabit pada sesi penggulungan Belanjawan Johor 2022, Ahad ini.

    Ketika mengulas sama ada isu berkenaan akan memberi kesan kepada sokongan pihaknya terhadap undian Belanjawan Johor 2022, Jimmy berkata, PH Johor perlu menunggu maklum balas Hasni ketika menggulung belanjawan berkenaan.

    “Kita tunggu pada masa itu sama ada pembangkang akan sokong Belanjawan Johor 2022 atau tidak. Johor mempunyai jumlah ADUN kerajaan dan pembangkang yang tipis iaitu 29 kepada 27 kerusi dan Hasni sebagai Menteri Besar diharap dapat meneruskan politik matang demi kebaikan masyarakat.

    “Jika Menteri Besar benarkan ADUN pembangkang sertai JTPD sebagai ahli ‘ex officio’, PH Johor akan menarik semula usul mengenai isu ini. Soal menyelesaikan isu rakyat, kita akan bertegas,” katanya.

  • 1.7 juta batang rokok tidak bercukai bernilai hampir setengah juta dirampas

    1.7 juta batang rokok tidak bercukai bernilai hampir setengah juta dirampas

    POLIS Pulau Pinang merampas sebanyak 1,718,8000 batang rokok iaitu bersamaan 85,940 kotak rokok tidak bercukai pelbagai jenama bernilai RM482,000 dalam beberapa serbuan di sekitar Bukit Mertajam dan Butterworth semalam.

    Rampasan itu dilakukan dalam serbuan bermula pukul 7.50 pagi di premis rumah kedai dan di dalam empat buah van yang mana empat lelaki warga tempatan turut ditahan.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, serbuan pertama dibuat di sebuah premis kosong di Taman Kota Permai yang mana pelbagai jenama rokok disyaki tidak bercukai dijumpai disimpan di dalam premis berkenaan manakala tiga lelaki berusia lingkungan 30-an turut ditahan.

    Ekoran tangkapan itu katanya, polis menyerbu beberapa premis lain di sekitar Bukit Mertajam dan Butterworth dengan seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 30-an ditahan selain sejumlah rokok pelbagai jenama turut dirampas.

    “Hasil siasatan awal mendapati premis-premis tersebut dijadikan gudang penyimpanan rokok tidak bercukai untuk dijual kepada pelanggan mengikut permintaan khususnya di sekitar Pulau Pinang.

    “Pemeriksaan lanjut juga mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Shafee, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

  • 20 kereta mewah disita bernilai RM711,018

    20 kereta mewah disita bernilai RM711,018

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan melakukan sitaan terhadao 20 buah kereta mewah pelbagai jenama bernilai RM711,018 selepas kerana diimport tanpa cukai.

    Pengarah JKDM Negeri Sembilan, Mohammad Hafiz Ishak berkata, semua kereta mewah berkenaan dirampas dalam serbuan di sebuah premis pada 11 September lalu.

    “Premis itu turut dijadikan tempat penyimpanan kenderaan import terpakai yang belum dibayar cukai dan tanpa kelulusan kastam di Johor.

    “Pemeriksaan mendapati terdapat 20 unit kereta mewah pelbagai jenama melibatkan duti dan cukai bernilai RM1,108,930,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohammad Hafiz berkata, modus operandi suspek ialah memindahkan kenderaan import berduti yang belum dibayar cukai tanpa kelulusan kastam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

    Jelasnya, kenderaan tersebut dipercayai dipindahkan ke Johor dari Selangor yang kononnya bagi tujuan kerja-kerja penyelenggaraan tetapi dipercayai untuk dijual di pasaran di Johor.

    “Pemilik premis seorang lelaki tempatan telah dipanggil ke Pejabat Penguatkuasaan JKDM Negeri Sembilan untuk membantu siasatan.

    “Kes sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu memindahkan barang-barang berduti dari kawalan kastam tanpa kelulusan dan melanggar syarat-syarat Gudang Berlesen (PEKEMA) yang telah ditetapkan di bawah Perintah Tetap Kastam.

    “Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 138, Akta Kastam 1967 iaitu denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

  • Jangan gopoh buat PRU-15, rakyat tengah susah – Nazri

    Jangan gopoh buat PRU-15, rakyat tengah susah – Nazri

    BELUM  masanya untuk Parlimen dibubarkan dan diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana ketika ini, rakyat masih berada dalam kesusahan, tegas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

    Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, sebaliknya tumpua harus diberikan untuk memulihkan ekonomi negara dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan akibat COVID-19.

    Katanya, perbelanjaan untuk menguruskan PRU-15 sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat yang baru mahu memulakan hidup.

    “Saya bersetuju kalau nak buat apa-apa untuk kepentingan rakyat bukan parti, tetapi kena ingat buat masa ini kalau kita sebut kepentingan rakyat, maka bukan bubar Parlimen dan adakan pilihan raya.

    “Kalau betul nak jaga kepentingan rakyat, kena tengok sekarang rakyat tengah susah sebab Covid-19 masih belum reda dan pemulihan ekonomi masih berjalan.

    “Belanja untuk lakukan PRU15 tentulah besar. Kalau PRN (Pilihan Raya Negeri) Melaka pun perbelanjaannya cecah RM45 juta, bayangkan kalau PRU-15?

    “Buat masa ini lebih baik perbelanjaan sebesar itu digunakan untuk membantu rakyat dengan memulihkan ekonomi mereka, barulah rakyat lihat kita jaga kepentingan mereka,” katanya kepada Astro Awani.

    Nazri juga menjelaskan, sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan dilihat sebagai mengkhianati anak muda kerana mereka yang berumur 18 tahun tidak sempat mengundi.

    Beliau berkata, seeloknya PRU15 diadakan pada 2023 setelah segala proses bagi membolehkan mereka yang berumur 18 tahun diselesaikan.

    “Kalau buat selepas segala urusan bagi membenarkan mereka yang berumur 18 tahun mengundi, maka UMNO akan dapat dilihat ikhlas mahu anak muda terlibat dalam proses pembentukan kerajaan.

    “Kalau bubar (Parlimen) tahun ini, anak muda akan lihat UMNO dan BN khianati mereka dan tidak jujur sebab ketika Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan, Ahli Parlimen UMNO menyokong usul meminda Perlembagaan untuk membolehkan mereka yang berumur 18 tahun mengundi.

    “Jadi jangan gopoh, selesaikan pemulihan ekonomi rakyat, selesaikan urusan untuk benarkan umur 18 tahun mengundi, barulah adakan PRU-15, seeloknya 2023,” katanya lagi.

    Nazri juga mengingatkan mereka yang ghairah mahu PRU-15 disegerakan agar belajar daripada apa yang berlaku di Melaka apabila rakyat menghukum pihak yang menyebabkan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa dibubarkan.

    “Kita jangan hanya seronok sebab menang besar dalam PRN Melaka tetapi kena lihat apa yang berlaku, mereka yang menyebabkan DUN dibubarkan telah dihukum.

    “Tiga daripada empat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang menarik sokongan kalah dalam PRN Melaka kerana dihukum oleh rakyat. PH yang terima mereka juga dihukum.

    “Jadi kita jangan buat sampai rakyat pulak hukum kita kerana ghairah nak adakan PRU-15,” kata Nazri.

    Sebaik sahaja BN mencapai kemenangan selesa dalam PRN Melaka pada 20 November lalu, ada pihak yang mahu PRU15 disegerakan.

    Antara yang membuat kenyataan mahu PRU-15 diadakan segera selepas kemenangan besar BN ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    Alasan yang diberikan oleh Mohamad adalah bagi memastikan kerajaan yang dibentuk mendapat mandat rakyat sekali gus bagi memberikan keyakinan kepada banyak pihak termasuk pelabur asing bersandarkan kepada kestabilan kerajaan dan politik semasa.