Category: Semasa

  • 2 lelaki dikhuatiri lemas ketika lari daripada serbuan polis

    2 lelaki dikhuatiri lemas ketika lari daripada serbuan polis

    DUA lelaki yang belum dikenal pasti identiti dikhuatiri lemas di Sungai Muda berdekatan Kompleks Pasar Bisik di Penaga, Pulau Pinang ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis awal pagi tadi.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 5.32 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda bergegas ke lokasi.

    “Berdasarkan laporan, terdapat dua mangsa lelaki dikhuatiri lemas sewaktu berenang ketika melarikan diri semasa operasi yang dijalankan oleh pihak polis.

    “Bomba ketika ini sedang melakukan usaha mencari dan menyelamat dengan kaedah pencarian pada permukaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah kenyataan itu, usaha pencarian turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Butterworth.

  • Najib mohon tarikh keputusan rayuan SRC pada 8 Disember dilapangkan, minta ditetapkan minggu berikutnya

    Najib mohon tarikh keputusan rayuan SRC pada 8 Disember dilapangkan, minta ditetapkan minggu berikutnya

    DATUK Seri Najib Tun Razak semalam memohon Mahkamah Rayuan agar melapangkan tarikh 8 Dis ini yang ditetapkan untuk keputusan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

    Menurut dokumen daripada Tetuan Shafee & Co yang mewakili Najib yang dihantar kepada Pendaftar Mahkamah Rayuan, menyatakan permohonan itu dikemukakan atas alasan Najib akan berada di Singapura sehingga 5 Dis ini.

    “Pihak perayu (Najib) dengan rendah diri ingin memohon untuk tarikh tersebut dilapangkan dan tarikh keputusan ditetapkan pada minggu seterusnya iaitu minggu 13 Dis sehingga 17 Dis, atau mana-mana tarikh lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah,” menurut dokumen itu.

    Menurut dokumen itu sejurus pulang dari Singapura pada 5 Dis, perayu  diwajibkan untuk kuarantin kendiri selama tujuh hari sehingga 12 Dis dan perayu hanya boleh hadir ke mahkamah atau tempat awam bermula 13 Dis.

    Menurut dokumen itu pihak pendakwa raya  juga telah dimaklumkan berkenaan perkara itu  dan  tidak membantah terhadap permohonan untuk menetapkan tarikh keputusan baru pada minggu di antara 13 Dis hingga 17 Dis.

    Selain itu, dokumen itu menyatakan perbicaraan kes pengubahan wang haram yang dihadapi  peguam yang mewakili Najib, Tan Sri  Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Tinggi juga ditetapkan untuk disambung  bicara pada 8 Dis dan  Najib juga mempunyai perbicaraan kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi.

    Menurut dokumen itu  pada minggu seterusnya iaitu 20 Dis sehingga 23 Dis, perbicaraan kes bunuh melibatkan Samirah Muzaffar yang diwakili Muhammad Shafee akan bersambung di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

    Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan media hari ini  memaklumkan keputusan rayuan Najib itu  ditetapkan pada 8 Dis  ini.

    Najib, 68, mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai tahun lepas, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, melibatkan RM42 juta dana SRC International. – BERNAMA 

  • Pegawai TUDM meninggal dunia di Washington

    Pegawai TUDM meninggal dunia di Washington

    SEORANG pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kol Hasnol Hisham Abu Hassan meninggal dunia di Hospital St Joseph Medical Center Tacoma, Seattle, Washington, Amerika Syarikat pada Sabtu lepas (Malaysia, 21 Nov).

    Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan malam ini memaklumkan Allahyarham Hasnol Hisham, 50, meninggal dunia pada 10.58 malam waktu Seattle, Washington (2.58 petang Ahad waktu Malaysia) selepas tidak sedarkan diri ketika menghadiri Program ‘Airman to Airman Talks (A2ATs)’ di Camp Murray Seattle, Washington yang bermula pada 14 hingga 19 Nov.

    “Pada 16 Nov, Allahyarham tiba-tiba tidak sedarkan diri dan telah dikejarkan ke Hospital St Joseph Medical Center Tacoma, Seattle, Washington bagi menerima rawatan dan menjalani pembedahan segera akibat acute type of aortic dissection.

    “Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di hospital berkenaan dan isteri Allahyarham, Rohani Tahir turut berada di sisinya ketika saat akhir beliau,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu menambah, jenazah Allahyarham Hasnol Hisham yang merupakan Pengarah Latih di Markas Tentera Udara-Bahagian Sumber Manusia (Latih) akan dikebumikan dengan istiadat pengebumian tradisi ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Covington, Washington pada 24 Nov, 6.30 pagi waktu Malaysia.

    Pengurusan jenazah Allahyarham akan dilaksanakan House of Mercy dan warga muslim Malaysia yang diketuai Kapt Ayub S. Laari, yang turut mengimamkan solat jenazah.

    “Bagi urusan pengebumian, pihak Washington Air National Guard melalui Brigedier Jen Gent Welsh telah menawarkan penghormatan untuk memberikan Istiadat Pengebumian Tradisi Ketenteraan kepada Allahyarham dan mengkoordinasi urusan pengebumian dengan dipantau oleh pegawai TUDM.

    “Penasihat Pertahanan Malaysia di Amerika Syarikat Brigedier Jen Mohd Fadzil Mohd Diah telah mengkoordinasi dan berbincang dengan pihak Washington Air National Guard agar urusan pengebumian dilaksanakan mengikut tatacara yang sesuai dan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

    Panglima TUDM Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad dan seluruh warga TUDM merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam pengurusan pengebumian jenazah Allahyarham Hasnol Hisham.

    — BERNAMA

  • Hartanah RM100 juta: ‘’Apa Sumbangan Najib kepada negara’’ – Dr.Mahathir

    Hartanah RM100 juta: ‘’Apa Sumbangan Najib kepada negara’’ – Dr.Mahathir

    TUN Dr Mahathir Mohamad menempelak Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa beliau cuba menuding jari mempersalahkannya kerana membuat pindaan kepada Akta Saraan Ahli Parlimen 1980.

    Tegas Dr Mahathir, pindaan tersebut bertujuan untuk kerajaan mempertimbang memberi sedikit ganjaran kepada bekas Perdana Menteri sebagai mengenang jasa mereka dan bukannya untuk bermewah-mewah.

    Sambil menempelak tindakan Najib membuat permohonan kepada Kabinet untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara, Dr Mahathir menjelaskan, kebiasaannya ganjaran yang diberi ialah rumah kerajaan sedia ada.

    Berkenaan tindakan Najib itu, Dr Mahathir turut mempersoalkan apakah sumbangan Najib kepada negara?

    “Tunku Abd Rahman yang menjadi Perdana Menteri Malaysia dan berjaya memerdekakan negara hanya dapat sebuah rumah papan. Rumah Tun Razak dijadi monumen. Tun Hussein pun tidak dapat apa-apa yang bernilai tinggi. Tun Rahah dapat rumah Kerajaan yang sedia ada,” katanya dalam catatan terbaharu bertajuk ‘Perdana Menteri?’ di blog beliau hari ini.

    Pada 19 November, Najib menarik balik permohonan hartanah itu selepas mendapat kritikan dan kecaman pelbagai pihak.

    Dr Mahathir malah menjelaskan beliau sendiri yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun tidak menuntut dan tidak menerima apa-apa selain daripada pencen dan RM10,000 sebulan untuk menyelenggara rumah.

    “Sebidang tanah di Putrajaya telah ditawar kepada saya secara percuma apabila saya bersara tetapi saya telah tolak dan sebaliknya saya beli tanah di Putrajaya dengan harga seperti yang ditawar kepada penjawat awam apabila bersara,” jelas beliau.

    Jelas Dr Mahathir lagi, seorang Perdana Menteri tidak perlu kepada banyak ganjaran selepas bersara kerana pencen, gratuiti dan elaun yang diperolehi lebih daripada mencukupi untuk membina rumah sendiri yang selesa.

  • Bunuh kerani wanita: Penolong pegawai perubatan kekal bebas

    Bunuh kerani wanita: Penolong pegawai perubatan kekal bebas

    SEORANG penolong pegawai perubatan di sebuah hospital menarik nafas lega selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan pembebasannya daripada pertuduhan membunuh seorang kerani wanita sebuah sekolah agama di Bukit Pasir, Muar, enam tahun lepas.

    Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel tiga hakim berkata tiada kekhilafan dilakukan oleh hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dalam memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zurailie Muhamad,

    “Oleh yang demikian, rayuan pendakwa raya selaku perayu ditolak. Keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan dikekalkan,” kata Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

    Pendakwa Raya merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Nov 2019 yang mengekalkan pembebasan Zurailie daripada pertuduhan membunuh selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 28 Jan 2018, melepas dan membebaskan lelaki itu tanpa dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan.

    Zurailie didakwa membunuh Nurul Shahira Mohamed Yatim, 29, yang juga jirannya, di rumah mangsa di di Jalan Sungai Terap, Muar, antara 2.05 petang dan 2.30 petang, 16 Nov 2015.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Hakim Mahkamah Tinggi telah memutuskan pihak pendakwaan tidak dapat menunjukkan kehadiran profil asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh (Zurailie) pada tubuh dan pakaian si mati dan terdapat kelompongan dalam kes pendakwaan.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faizah Mohd Salleh berhujah bahawa terdapat keterangan mencukupi yang boleh mengaitkan responden (Zurailie) dengan kematian mangsa.

    “Terdapat keterangan saksi pendakwaan yang menyatakan responden berhutang dengan kawannya dan sehari selepas kejadian itu (bunuh), responden telah menyerahkan telefon bimbit si mati kepada seorang individu bagi melunaskan hutangnya selain turut menjual barang kemas si mati di sebuah kedai emas pada harga RM1,000.

    “Keterangan itu menunjukkan responden memiliki telefon bimbit dan barang kemas termasuk rantai leher dan rantai tangan si mati tidak sampai 24 jam selepas kejadian berkenaan,” katanya yang memaklumkan kesanggupan lelaki itu memanjat pagar balai polis dan melarikan diri semasa disoal siasat oleh polis turut menimbulkan keraguan.

    Faizah berhujah tindakan responden berkali-kali memujuk suami si mati agar tidak membenarkan bedah siasat dijalankan ke atas isterinya sesuatu yang pelik kerana sebagai individu yang bekerja di bidang kesihatan, responden sepatutnya tahu pentingnya bedah siasat dilakukan.

    Katanya keterangan saksi pendakwaan menunjukkan suami si mati telah pergi ke tempat kerja keesokan paginya dan semasa kejadian bunuh itu berlaku sekitar 2.30 petang, beliau masih berada di tempat kerjanya di Ulu Tiram, Johor Bahru.

    Faizah juga berkata terdapat DNA si mati pada kukunya menunjukkan mangsa cuba melonggarkan jerutan pada lehernya.

    Peguam Nahdan Rengganathan Abdullah, yang mewakili Zurailie berhujah bahawa tiada apa-apa bukti yang menunjukkan penglibatan anak guamnya dalam mencederakan dan membunuh si mati.

    “Laporan DNA tidak menunjukkan adanya darah atau DNA responden pada tubuh atau pakaian si mati mahupun darah atau DNA si mati dijumpai pada diri atau pakaian responden yang dirampas oleh pihak polis,” katanya.

    Nahdan berkata, pegawai penyiasat juga gagal menjalankan siasatan terperinci berhubung isu berkaitan barang kemas dan telefon bimbit si mati yang kononnya dijual oleh responden.

    Zurailie ketika ditemui media selepas prosiding dengan gembira berkata, ‘Bebas’. – Bernama

  • 152 pelajar keracunan makanan, kantin SM Sains Tuanku Aishah Rohani diarah tutup

    152 pelajar keracunan makanan, kantin SM Sains Tuanku Aishah Rohani diarah tutup

    KANTIN Sekolah Menengah (SM) Sains Tuanku Aishah Rohani, di Seremban, diarah tutup susulan 152 pelajarnya mengalami gejala keracunan makanan termasuk muntah, sakit perut dan cirit-birit selepas makan di situ, semalam.

    Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata pelajar berkenaan telah dibawa ke hospital berdekatan serta-merta bagi menerima rawatan dan kesemua kes adalah stabil selain tiada kemasukan ke wad.

    Katanya penutupan tempat penyediaan makanan itu dibuat di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi mengelakkan berlakunya pertambahan kes baharu daripada punca premis yang sama.

    “Pemeriksaan premis dan aktiviti persampelan juga telah dijalankan. Sampel klinikal daripada kes-kes, makanan dan persekitaran dihantar ke makmal untuk dianalisis selain pemantauan wabak akan dilakukan sehingga situasi stabil.

    “Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau berkata taklimat kesihatan telah diberikan kepada semua pelajar terlibat, pengusaha dan semua pengendali makanan di dapur asrama tersebut dengan keadaan semasa adalah terkawal.

    Menurut Veerapan semalam Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) menerima laporan 152 daripada 597 pelajar yang terdedah iaitu dengan kadar serangan 25.5 peratus, dipercayai mengalami keracunan makanan dengan gejala utama sakit perut, loya, sakit kepala, muntah dan demam. – Bernama

  • Ahli KWSP mungkin hidup dalam kemiskinan pada usia tua akibat kekurangan simpanan

    Ahli KWSP mungkin hidup dalam kemiskinan pada usia tua akibat kekurangan simpanan

    KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menyatakan kegusaran mereka mengenai risiko majoriti ahlinya berkemungkinan menjalani hari tua dalam kemiskinan kerana pengeluaran akibat COVID-19 telah memburukkan keadaa menyebabkan jumlah simpanan yang tidak mencukupi.

    Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata perkara ini bukan hanya akan memudaratkan kehidupan individu sahaja, tetapi juga terhadap landskap sosioekonomi negara dan fiskal kesihatannya juga akan mencabar.

    Beliau berkata pada masa ini 48 peratus ahli KWSP di bawah 55 tahun mempunyai simpanan KWSP pada tahap kritikal.

    Menurutnya, ini merupakan peningkatan 28 peratus ahli KWSP yang mempunyai simpanan yang amat kritikal berbanding sebelum pandemik.

    “Dengan jangka hayat rakyat Malaysia pada 75 tahun, dan menjangkakan ahli KWSP mula mengeluarkan simpanan persaraan mereka pada usia 55 tahun, simpanan yang ada perlu mencukupi untuk sekurang-kurangnya 20 tahun.

    “Dalam perkata ini, dengan simpanan median kesemua ahli KWSP di bawah 55 tahun berjumlah RM13,000, bermaksud RM54 sebulan untuk tempoh persaraan mereka,” katanya pada ucapan pembukaan di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2021 yang berlangsung secara maya dan fizikal hari ini.

    Ahmad Badri berkata simpanan median ahli KWSP pada usia 54 tahun pada RM38,000 pula bermaksud RM159 sebulan untuk tempoh 20 tahun yang akan datang, dan dalam usaha ahli untuk mendapatkan semula jumlah kehilangan daripada pengeluaran berkaitan COVId-19, mereka perlu bekerja untuk tempoh tambahan empat ke enam tahun.

    Sehingga 31 Okt, sejumlah RM101.1 bilion telah dikeluarkan di bawah i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra. Ia merupakan 22 peratus daripada program rangsangan kerajaan berjumlah RM530 bilion bagi membantu rakyat Malaysia secara keseluruhan.

    Berkaitan isu kecukupan, Ahmad Badri berkata perlindungan sosial adalah hak asasi manusia untuk semua, yang merangkumi semua bentuk pekerjaan, sama ada sektor formal atau tidak.

    Secara kasarnya, hanya tiga daripada 10 dewasa di Malaysia dilindungi oleh perlindungan sosial seperti skim pencen kerajaan dan perlindungan KWSP.

    “Kami melihat hanya 7.5 juta daripada 23.5 juta populasi pada usia bekerja yang pada ketika ini menetap di negara ini.

    “Pandemik ini juga tela merubah landskap pekerjaan ke arah tidak formal. Peningkatan dalam golongan bekerja sendiri dan tidak formal dijangka akan meningkat daripada 5.7 juta masa ini kepada 8.8 juta pada 2040,” kata Ahmad Badri.

    Dalam menangani kecukupan simpanan dan pendapatan persaraan beliau berkata negara memerlukan penyelesaian yang meluas, meliputi program jaringan keselamatan yang berkesan, sistem perlindungan kitaran hayat sosial komprehensif, polisi pasaran buruh dan gaji yang teguh, pertumbuhan ekonomi yang mampan, kemahiran semula dan peningkatan kemahiran tenaga buruh, selain polisi mengalakkan automasi dan pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti.

    “Dalam konteks ini, KWSP ingin menyumbang untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Kami amat menyokong inisiatif Bajet 2022 kerajaan bagi menambah program i-Saraan dengan memasukkan mereka yang berusia 55 ke 60 tahun.

    “Ini akan menjadikan i-Saraan lebih menarik kepada mereka yang berada dalam sektor tidak formal untuk menabung untuk persaraan mereka,” katanya.

    Caruman Sukarela Insentif Suri, atau i-Suri yang telah disepadukan dengan Pertubuhan Keselamtan Sosial (Perkeso) dan dijenamakan semula ‘Kasih Suri Keluarga Malaysia’, membolehkan suri rumah dan balu yang berdaftar di bawah sistem e-Kasih, mendapat akses kepada keselamatan sosial. – BERNAMA

  • Pegawai Malaysia, Singapura laksana latihan pembukaan VTL darat

    Pegawai Malaysia, Singapura laksana latihan pembukaan VTL darat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MALAYSIA dan Singapura hari ini mengadakan latihan bersama-sama bagi pembukaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat melibatkan sempadan dua negara itu yang akan dilaksana serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi ciapan dalam akaun twitter miliknya hari ini memaklumkan, pegawai dari kedua-dua negara tersebut terlibat dalam latihan berkenaan bagi memastikan semuanya lancar.

    Beliau turut memuat naik beberapa keping foto latihan berkenaan yang mendapat maklum balas positif daripada pengikut twitternya.

    “Pegawai dari Malaysia dan Singapura sedang melaksanakan ‘dry run’ bagi cadangan pembukaan VTL melalui Tambak Johor hari ini.

    “Pembukaan sempadan ini amat dinanti-nantikan oleh rakyat kedua-dua negara. Semoga berjaya,” ciapnya.

    Ahad lalu, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad dilaporkan mengumumkan, VTL darat antara Malaysia dan Singapura akan dilaksanakan serentak dengan VTL udara pada 29 November ini.

    Hasni dilaporkan berkata, itu adalah hasil perbincangan yang memutuskan perjalanan darat hanya untuk pemegang pas jangka panjang.

    Semalam pula, Hasni menerusi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) memberitahu, Johor bersedia menerima masuk 1,440 individu pada minggu pertama laluan VTL darat antara Malaysia dan Singapura.

    Menurut Hasni, Johor sudah menghantar prosedur operasi standard (SOP) khas kepada Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan VTL darat itu dilaksanakan sekali gus sempadan antara Malaysia-Singapura dapat dibuka segera.

    Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga dijangka mengadakan lawatan ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar di sini, pada 29 November ini.

    Tujuannya bagi meninjau kemasukan sulung menerusi VTL darat, selepas hampir 20 bulan sempadan Malaysia-Singapura ditutup sejak tahun lalu.

  • Sistem eGTukar benarkan permohonan tukar guru secara berterusan

    Sistem eGTukar benarkan permohonan tukar guru secara berterusan

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) menambah baik urusan pertukaran guru dengan mengguna pakai Sistem eGTukar yang membenarkan permohonan dibuat secara berterusan berbanding hanya dua kali setahun, sebelum ini.

    Katanya menerusi sistem itu, pertukaran guru akan dilakukan berasaskan pada kekosongan di negeri-negeri lain dan bukan hanya tertumpu di negeri yang dipohon.

    “Jadi Sistem eGTukar ini mengambil kira kebajikan guru-guru sebagai Keluarga Malaysia dan insya-Allah kita boleh lihat bahawa dalam masa akan datang, jumlah guru yang akan ditukarkan itu akan lebih meningkat,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu Program Bual Bicara Koresponden BERNAMA yang disiarkan Bernama TV hari ini.

    Beliau berkata, KPM telah mengenal pasti dan menyusun pelbagai pendekatan bagi menyelesaikan dua isu utama iaitu membabitkan pengurusan sekolah dan kebajikan guru di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari.

    Dalam konteks pengambilan guru untuk mengisi lebih 18,000 kekosongan jawatan guru, Radzi berkata peluang itu turut ditawarkan kepada graduan di luar bidang pendidikan.

    Bagaimanapun, beliau berkata setiap graduan yang dipilih perlu melalui latihan tertentu yang disediakan KPM bagi memastikan mereka kompeten untuk mengajar subjek yang ditugaskan.

    “Dalam konteks ini (pengambilan) keutamaan kami memang kepada graduan yang memiliki ijazah pendidikan tetapi disebabkan ada bekalan (graduan pendidikan) tak cukup, jadi kami buka juga pengambilan untuk mereka yang tiada ijazah pendidikan.

    “Mereka akan diberi lantikan secara kontrak perkhidmatan dan latihan. Ini antara pendekatan yang kami gunakan untuk tutup jurang berkenaan (jurang kekosongan),” katanya.

    Beliau menjelaskan, dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat dan kondusif, pihaknya telah memohon kepada kerajaan agar dilaksanakan pemutihan tanah supaya projek menaik taraf dan pembinaan semula sekolah daif dapat dilakukan segera.

    Katanya ini penting kerana kekangan utama untuk menaik taraf dan membina semula sekolah daif di sesetengah kawasan adalah berkaitan status tanahnya yang masih belum menjadi milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).

    “Apabila ia bukan tanah PTP maka kami (KPM) tidak boleh bangunkan bangunan (sekolah) di tanah tersebut walaupun sudah ada peruntukan. Itu yang jadi banyak kelewatan (pembangunan bangunan sekolah).

    “Sebab itu kami telah mohon diadakan pemutihan tanah kerana daripada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara sebenarnya masih ada tanah yang bukan milik PTP. Ada tanah milik individu, diwakafkan tanpa dokumen lengkap, milik majlis tempatan, tanah hak adat Bumiputera (NCR) dan pelbagai lagi status,” katanya

  • Enam didakwa tetak dan bunuh Ah Long di Klang

    Enam didakwa tetak dan bunuh Ah Long di Klang

    ENAM individu termasuk dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret Klang, Selangor hari ini atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ di Lorong Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, awal November lalu.

    Tertuduh, Tan Ah Chai, Yeo Ching Lian, Lau Zi Hui dan Yap Soon Kuan kelihatan mengangguk kepala dan faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Sarulatha Paramavathar.

    Kesemua empat suspek tersebut yang berusia 18 hingga 36 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 302/34 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Sementara dua lagi tertuduh, Gan Kok Shang dan Tan Yong Seng menghadapi pertuduhan berasingan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bersubahat membunuh.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua enam individu terbabit.

    Jika disabitkan kesalahan oleh kedua-dua seksyen berkenaan tertuduh berdepan dengan hukuman gantung sampai mati.

    Empat tertuduh iaitu Tan Ah Chai, Lau Zi Hui, Gan Kok Shang dan Tan Yong Seng diwakili peguam, Lim Chee Chau, manakala Yeo Ching Lian diwakili peguam, Ng Li Kian dan Yap Soon Kuan pula diwakili Helen Fong.

    Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nur’ain Madihah Zulkifli memaklumkan kepada mahkamah pihaknya sedang menunggu laporan forensik daripada pihak berkuasa, selewat-lewatnya 31 Januari 2022.

    Majistret kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 31 Januari 2022.

    Pada 6 November lalu, media melaporkan seorang lelaki dipercayai ‘ah long’ ditemui mati disyaki ditetak dengan parang oleh dua suspek selepas menikmati makanan bersama dua anak lelakinya di sebuah restoran kopitiam di Bandar Bukit Tinggi, Klang.

    Dalam kejadian pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 47 tahun itu sempat melarikan diri di celah kenderaan sebelum rebah dan maut.

    Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan 16 suspek yang disyaki bersubahat dan melakukan pembunuhan tersebut.

    Salah faham dan dendam lama sesama ahli kongsi gelap Geng 24 dipercayai merupakan punca mangsa yang juga ahli geng sama telah ditetak suspek. Tangkapan suspek dilakukan di sekitar Muar dan Segamat, Johor.