Category: Semasa

  • Adakah DAP akan khianati BN – Ka Siong

    Adakah DAP akan khianati BN – Ka Siong

    SELEPAS pemimpin UMNO mengecam Tony Pua kerana me label BN sebagai pakatan korup, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong pula mempersoalkan kenyataan pemimpin DAP itu yang mencadangkan supaya PH memerintah secara solo selepas PRU-16.

    Dalam kenyataan melalui Facebook, Ka Siong berkata, adakah kenyataan itu bermaksud PH akan mengkhianati BN yang kini bersama mereka dalam Kerajaan Perpaduan.

    “Bukankah itu bermaksud BN akan dikhianati oleh PH? DAP akan ‘tikam belakang’?” katanya.

    Tony menjadikan majlis makan kutipan dana DAP malam tadi di Petaling Jaya untuk melabek BN sebagai pakatan korup dan berharap PH akan memerintah secara bersendirian selepas PRU-16.

    Ka Siong seterusnya mempersoalkan, jika Tony sudah mengkritik BN korup,kenapa pula DAP mahukan sokongan BN untuk tubuhkan kerajaan?

    Beliau turut mengingatkan bahawa beberapa pemimpin DAP merupakan Menteri dalam Kerajaan Perpaduan, yang tertubuh dengan sokongan BN.

    “Saya selar Pua sebagai ‘mulut celupar dan  kenyataan beliau  tidak menggambarkan ‘semangat kebersamaan’ dalam Kerajaan Perpaduan, serta akan mengelirukan penyokong.

    Terdahulu, MCA mencabar Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook memecat Pua yang juga penasihat dasarnya.

    SEMENTARA itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki  menghantar mesej protes secara rasmi kepada DAP berhubung kenyataan  Tony.

    UMNO kata beliau, turut mendesak supaya Tony tidak dipertaruhkan sebagai calon oleh DAP dalam PRN.

    “Saya telah menghantar mesej protes kepada kepimpinan tertinggi DAP dan desak mereka untuk jangan sesekali meletakkan beliau (Pua) sebagai calon dalam PRN akan datang jika mahu keharmonian gabungan kerajaan perpaduan Malaysia ini berkekalan.

    “Lagi pun beliau sendiri masih bermimpi di siang hari sehingga terlupa bahawa kerajaan hari ini bukan kerajaan PH tetapi gabungan besar BN, PH, GPS, GRS dan Warisan yang didalamnya terdiri daripada 19 parti politik.

    “Apa yang diucapnya hanya menyerlahkan kedangkalannya sendiri,” katanya.

  • Gelombang rakyat jadi tsunami dalam PRN di enam negeri – Tuan Ibrahim

    Gelombang rakyat jadi tsunami dalam PRN di enam negeri – Tuan Ibrahim

    MOMENTUM gelombang rakyat di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dilihat bakal menjadi tsunami yang akan menyebabkan perubahan besar dari PRN di enam negeri tidak lama lagi.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menghuraikan petanda tersebut dalam ucapannya pada Ceramah Himpunan PERIKATAN NASIONAL (PN) BEST, di Tasek Gelugor malam tadi.

    “Sebab itu bagi kita PRN enam negeri ini ialah satu referendum rakyat walaupun Perdana Menteri menyebut apa jua keputusan PRN enam negeri ini tidak akan menggugat Kerajaan Persekutuan. 

    “Dari segi politiknya yang jelas adalah penolakan rakyat. Bayangkan kalau Selangor kita (PN) ambil alih, Negeri Sembilan tumbang kepada PN, Kedah kita pertahankan. Kita menang Kelantan di Terengganu di Pulau Pinang. 

    “Enam-enam negeri ini menjadi satu gelombang. Akhirnya yang duduk di atas itu kepanasan, takkan lama mereka akan turun atau diturunkan insya-Allah,” ujarnya membongkar kegelisahan sedang melanda Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN).

    Harakahdaily.net melaporkan, Tuan Ibrahim berkata, kajian pelbagai pihak melihat gelombang kali ini lebih besar berbanding PRU15 lalu kerana rakyat selaku pengundi merasa ditipu oleh para pemimpin PH-BN yang melanggar sumpah dan janji mereka.

    Katanya,  rakyat sedang mengimbas semula segala kenyataan yang kononnya dari pakar berupa formula penyelesaian kepada masalah-masalah, namun sedang menimpa negara kini adalah sebaliknya.

    “Rakyat monitor melihat seolahnya negara ini dipimpin oleh seorang manusia. Mari soalan kementerian apa pun dia yang jawab. Kadang-kadang jawapannya sekejap macam ini, kejap macam ini, berubah-ubah, flip flop,” tegasnya.

    Ahli Parlimen Kubang Kerian tersebut juga berkata, kekuatan gabungan dan nilai integriti yang dimiliki oleh PN cuba dirosakkan dengan tuduhan palsu kononnya melakukan rasuah, manakala akaun bank disekat.

    Hal tersebut ujarnya, menyebabkan anak muda merasa bosan dengan kemelut politik dicipta itu lalu mereka mahukan barisan kepimpinan yang meyakinkan dan bukannya hanya sekadar bercakap dan berteori.

    Tegasnya, beliau menyokong penuh agresif Perdana Menteri untuk memerangi rasuah, tetapi mestilah dengan tindakan dan disertakan bukti, bukan hanya menjadi cakap politik untuk memburukkan PN.

    Sedangkan rakyat ujarnya, mengadakan perbandingan dengan melihat teladan telah dibawa pada pemerintahan kerajaan seperti di Kelantan tidak sebagaimana tuduhan yang dibuat itu.

  • ’’Tiada abang besar, abang kecil dalam PN’’ – Muhyiddin

    ’’Tiada abang besar, abang kecil dalam PN’’ – Muhyiddin

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menegaskan tiada “abang besar atau abang kecil” dalam gabungan itu walaupun Pas mendapat kerusi terbanyak untuk PRN.

    Katanya juga Presiden Bersatu berkata secara fakta memang diakui Pas mempunyai lebih kerusi daripada parti pimpinannya, selain telah lama wujud dan menguasai beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu serta Kedah.

    “Kita tak panggil ‘abang besar’ ke ‘abang kecil’. Saya Presiden Bersatu dan pengerusi PN disokong oleh Pas. Tak kisah siapa memimpin asalkan kita mempunyai tekad dan azam sama,” katanya pada sidang media di Pagoh, lapor FMT.

    Beliau mengulas dakwaan Pas kini menjadi “abang besar” dalam PN kerana mendapat agihan kerusi terbanyak berbanding Bersatu dan Gerakan, rakan dalam komponen PN.

    Khamis lalu, Muhyiddin mengumumkan PAS akan bertanding di 126 kerusi, Bersatu 83 kerusi dan Gerakan di 36 kerusi.

    Perkembangan ini di sebalik pengumuman Muhyiddin bahawa PN akan mengangkat Menteri Besar daripada Bersatu di Selangor dan Negeri Sembilan, manakala di Pulau Pinang bergantung kepada bilangan kerusi yang dimenangi.

    Muhyiddin berpendapat pembahagian kerusi dalam PN dibuat secara adil dan Pas banyak bertanding banyak kerusi di Pantai Timur serta Kedah.

    “Di Selangor dan Negeri Sembilan, Bersatu lebih… begitu juga di Pulau Pinang. Bagi kami tak jadi masalah dan sudah diputuskan dengan baik (pembahagian kerusi PN),” katanya.

  • 245 calon PN akan tandatangan aku janji – Muhyiddin

    245 calon PN akan tandatangan aku janji – Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, 245 calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan menandatangani   aku janji untuk berpegang teguh dengan dasar gabungan itu.

    Bagaimanapun beliau yang juga Pengerusi PN berkata,  aku janji tersebut tidak meletakkan sebarang nilai denda sebagaimana yang dilakukan sesetengah parti sebelum ini.

    “Kita tidak buat begitu kerana yakin calon-calon PN berpegang kepada aku janji dan angkat sumpah. Aku janji sudah dibuat pada PRN) Melaka dan Johor serta Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    “Aku janji ini biasanya untuk memastikan mereka tidak terlibat dengan rasuah dan berpegang kepada perlembagaan serta undang-undang. Kita harap mereka berpegang teguh kedudukan mereka itu atas dasar PN,” katanya lapar SINAR HARIAN.

    Beliau berkata demikian selepas menyerahkan 52 lembu sempena Program Korban Perdana Parlimen Pagoh di Bukit Pasir, di sini, pada Sabtu.

    Ahli Parlimen Pagoh itu menambah semua calon PN juga perlu menjalani tapisan untuk memastikan mereka ‘bersih’ daripada sebarang kesalahan dengan pihak berkuasa termasuk tidak muflis.

    “Sebelum pemilihan dibuat, semua bakal calon perlu melalui proses saringan dengan teliti serta diperhalusi bagi memenuhi kriteria ditetapkan.

    “Proses tapisan dijalankan bagi memastikan mereka tidak ada rekod polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Jabatan Insolvensi.

    “Ini sudah dijadikan panduan, pendek kata kita sudah bersedia lebih awal sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umum tarikh penamaan calon,” katanya.

    Sementara itu, Muhyiddin turut melahirkan keyakinan PN mampu menyapu bersih kerusi di sesetengah negeri pada PRN negeri.

    “Tiga negeri bawah pentadbiran PN yang dipimpin oleh Pas sebagai Menteri Besar akan kekal pada PRN ini.Malah jumlah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi juga akan meningkat,” katanya.

  • 31,600 jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah esok

    31,600 jemaah haji Malaysia bergerak ke Arafah esok

    SERAMAI 31,600 jemaah haji mula bergerak ke Arafah esok bagi menyempurnakan ibadah yang paling penting dalam Rukun Islam kelima itu.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, jemaah haji akan bergerak dari Mekah ke Arafah bermula jam 7 pagi hingga selepas Zohor melibatkan laluan sejauh 21.9 kilometer.

    Katanya, sebanyak 21 bas disediakan untuk membawa 3,000 jemaah dengan keseluruhannya 63 trip perjalanan untuk satu maktab.

    “Petugas akan buat pemeriksaan di 12 penginapan jemaah, di setiap tingkat dan juga di Masjidilharam supaya tiada jemaah yang tertinggal,”katanya pada taklimat operasi Masyair di Ibu Pejabat Tabung Haji di Abraj Al Janadriyah.

    Wartawan SINAR HARIAN melaporkan dari Mekah, pada tahun ini kira-kira tiga juta jemaah haji dari seluruh dunia berada di Arafah, Mudzalifah dan Mina bagi menyempurnakan ibadah haji masing-masing.

    Syed Saleh berkata, pada hari wukuf iaitu Selasa 9 Zulhijjah, jemaah haji akan mengikuti khutbah Arafah dan memanfaatkan waktu wukuf dengan ibadah masing-masing seperti doa,berzikir dan membaca al-Quran.

    Kata beliau, sebelum Maghrib kira-kira jam 6.30 petang semua jemaah haji perlu berada di dalam bas yang ditetapkan untuk bergerak ke Mudzalifah melibatkan jarak lapan kilometer.

    “Apabila masuk Maghrib, jemaah akan dibawa dengan tujuh bas secara ulang-alik dari Arafah ke Mudzalifah dan perlu menunggu separuh malam pada 11.45 malam.

    “Duduk seketika di Mudzalifah pada separuh malam dikira memenuhi syarat bermabit seperti yang ditetapkan pakar rujuk,” katanya.

    Tambah Syed Saleh, dari Mudzalifah jemaah akan bergerak ke Mina dengan jarak perjalanan tujuh kilometer menggunakan sembilan bas selepas jam 11.45 malam.

    “Jemaah haji akan berada di Mina pada 10 Zulhijjah hingga 12 Zulhijjah atau sehingga 13 Zulhijjah, berpandukan kepada Nafar Awal (melontar jamrah pada dua dari tiga hari tasyrik) dan Nafar Thani (melontar bagi ketiga-tiga hari tasyrik).

    Kerajaan Arab Saudi menetapkan hari Wukuf yang menjadi kemuncak haji, adalah pada Selasa, ini, sementara Hari Raya Aidiladha akan disambut pada Rabu.

  • Tony Pua tidak bermuka-muka,tidak berpura-pura…kenapa pemimpin UMNO marah?

    Tony Pua tidak bermuka-muka,tidak berpura-pura…kenapa pemimpin UMNO marah?

    PENULIS tersenyum apabila membaca reaksi  pemimpin-pemimpin UMNO berikutan kenyataan Tony Pua yang melabel BN-UMNO ‘pakatan korup’.

    Ada kata sudah hantar mesej protes kepada kepemimpinan DAP, ada yang desak DAP ambil tindakan ke atas Tony  dan ada yang kata UMNO sedia jadi pembangkang.

    Nampak bersemangat kalau membaca kenyataan mereka tetapi soalnya adakah ia akan menjadi ‘kudis’ atau ‘mengganggu’ DAP?  Adakah DAP akan ambil tindakan pecat Tony kerana Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kata, kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara itu tak wakili DAP?

    Hakikatnya, pemimpin UMNO tidak perlulah emosi sangat atau buat-buat emosi dengan tindak tanduk Tony atau mana-mana pemimpin DAP.

    Sebaliknya, oleh kerana pemimpin UMNO mahu memperjuangkan politik majmuk, maka mereka sendiri perlu belajar menyesuaikan diri dengan ‘tatakelola’ dan ‘wewenang’ politik DAP yang baru tujuh bulan menjadi ‘sahabat baik’ UMNO.

    Mungkin ada seorang dua dalam DAP berperangai seperti Tony, kalau tidak masakan UMNO boleh bersedia menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan DAP atas alasan ‘titah Agong’? Terima sahaja kenyataan Anthony bahawa apa yang Tony kata tidak wakili DAP sebab itulah sebelum ini pemimpin UMNO menggesa ahli UMNO undi calon DAP.

    Pemimpin dan ahli UMNO perlu bersikap terbuka menerima kritikan atau cemuhan pemimpin DAP memandangkan bukankah mereka anggap DAP jauh lebih baik daripada Pas?

    Kalau tidak masakan ketika merasmikan  Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO baru-baru ini, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan  berkata UMNO bekerjasama dengan DAP pasca PRU-15 kerana parti itu tidak bermuka-muka serta tidak berpura-pura dalam setia kawan.

    Sebaliknya, Mohamad berkata, UMNO sukar bekerjasama dengan Pas kerana mendakwa Pas tidak pernah setia atau ikhlas, malah tanpa segan berselingkuh atau curang dengan parti serpihan atau ‘janda’ UMNO.

    Jadi betullah apa yang Tony lakukan, beliau tidak bermuka-muka dan tidak berpura-pura. Tony hanya menzahirkan itulah sikap dan pendirian atau tanggapan sesetengah pemimpin DAP terhadap UMNO-BN.

    Oleh itu tidak perlulah DAP meminta maaf kepada UMNO kerana kenyataan Tony, lagipun Anthony Loke pun tak sebut soal itu sebaliknya hanya kata, apa yang bekas Ahli Parlimen Damansara tersebut cakap tak wakili DAP.

    Tidak perlu pemimpin UMNO mahu DAP minta maaf kerana nanti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan tegaskan  ‘’sudah ada persetujuan bersama dicapai di antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) ketika rundingan kerjasama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan yang turut membabitkan DAP diadakan.

    “Mereka (DAP) sudah nyatakan perkara ini (tidak membuat kenyataan mengguris perasaan UMNO) beberapa kali, malah dalam perundingan kita untuk membentuk kerajaan ini pun bukan perkara itu yang menjadi syarat utama kepada kita,’’ kata Ahmad Zahid.

    Justeru daripada pemimpin UMNO buat-buat pening kerana kenyataan Tony itu, lebih baik mereka bermuhasabah bagaimana mahu memastikan ‘perjuangan’ UMNO  selari dengan kehendak parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

    Setakat buat kenyataan, kecam, bidas, marah atau kecewa dengan tindakan pemimpin DAP seperti Tony ia hanya membuang masa. Lagipun sejak dulu lagi, pendirian, perjuangan dań matlamat DAP tidak berubah, sebaiknya UMNO yang berubah, diubah dań akhirnya rebah. Jadi pemimpin UMNO…tenang-tenang sahaja. 

  • Tindakan Tony Pua label ‘BN pakatan korup’ tak wakili DAP – Anthony Loke

    Tindakan Tony Pua label ‘BN pakatan korup’ tak wakili DAP – Anthony Loke

    TINDAKAN bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang menyifatkan BN-UMNO ‘pakatan korup’ ternyata mencetuskan kebimbangan kepemimpinan parti itu, tambahan pula menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN di enam negeri tidak lama lagi.

    Dalam reaksinya, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan, Tony Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP. 

    ‘’Justeru itu, beliau bercakap di atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti. 

    ‘’Ucapan tersebut yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan (uncalled for),’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook hari ini.

    Beliau mengulas kenyataan Tony Pua pada majlis makan malam mengumpul dana PRN DAP di Petaling Jaya kelmarin.

    Dalam ucapannya, Tony Pua menggelar Barisan Nasional (BN) yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai ‘corrupt coalition’ atau pakatan ‘korup’.

    Kenyataan itu disuarakan bekas Ahli Parlimen Damansara itu sewaktu berucap pada majlis tersebut di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

    Sehubungan itu, Tony Pua menyuarakan harapan supaya Pakatan Harapan (PH) selepas ini dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan UMNO dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

    Mengulas lanjut, Anthony berkata, kepimpinan tertinggi DAP telah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik.

    ‘’Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini,’’ katanya.

    Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran. 

    ‘’Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP,’’ katanya.

  • Label ‘BN parti korup’ : Dua pemimpin UMNO ‘serang balas’ Tony Pua

    Label ‘BN parti korup’ : Dua pemimpin UMNO ‘serang balas’ Tony Pua

    DUA pemimpin UMNO melakukan ‘serangan balas’ terhadap pemimpin DAP yang mendakwa Barisan Nasional (BN) sebagai ‘pakatan korup.

    Sambil menyifatkan tindakan bekas Setiausaha Publisiti DAP itu merobek keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata, Pua seharusnya sedar ekonomi negara melalui zaman gelap sepanjang Pakatan Harapan (PH) dan DAP mentadbir dalam tempoh 22 bulan selepas PRU14.

    Tegas beliau,  Pua yang menjadi penasihat di atas kapasitinya sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika itu, tidak mampu membantu memacu ekonomi menyebabkan kejatuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta nilai ringgit.

    Kata Akmal, sebaliknya di bawah BN yang didakwa “korup”, ekonomi Malaysia pada kedudukan ke-23 paling kompetitif diiktiraf badan antarabangsa manakala KDNK naik sehingga RM1.4 trilion, pendapatan Khazanah Nasional Berhad menokok RM116 bilion dan rizab tunai Petronas meningkat dari RM30 bilion kepada RM174 bilion.

    Tanpa berselindung bercakap kepada portal FMT, Dr.Akmal menegaskan,  kelancaran pentadbiran kerajaan perpaduan pimpinan  Datuk Seri Anwar Ibrahim kini disebabkan kemampuan dan pengalaman menteri dari BN, 

    “(Pua) Cermin dulu diri sendiri, beliau hanya tin kosong dan tidak beri manfaat kepada pembangunan negara,” katanya yang sebelum ini menggesa DAP memohon maaf secara terbuka di atas segala tohmahannya terhadap UMNO sehingga mengguris hati ahlinya.

    Akmal mengulas kenyataan Pua yang melabel BN dan UMNO sebagai “pakatan korup” selain Bersatu, beliau turut berharap PH dapat membentuk kerajaan sendiri selepas PRU16.

    SEMENTARA itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Isham Jalil pula mengingatkan Pua pemimpin kanan DAP seperti Guan Eng juga berdepan pertuduhan berkaitan rasuah, justeru tidak layak baginya melabel Umno sebagai “parti korup”.

    Katanya, Pua juga boleh mencadangkan kepada PH untuk berpisah dengan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya merasakan parti itu “kotor”.

    “Jika UMNO ini korup dan kotor sangat, tidak perlu tunggu PRU16, sekarang pun boleh cadang kepada pemimpin parti kamu untuk tinggalkan UMNO daripada Kerajaan Perpaduan.

    “Saya tiada masalah jadi pembangkang dan jika tidak kerana titah Agong dahulu, UMNO dan BN memang bersedia jadi pembangkang selepas PRU15 tempoh hari. Kamu sedia jadi pembangkang?,” kata Isham.

  • Wang tunai lebih RM44 juta ditemui di pejabat dan rumah bekas Pengarah Jabatan Air Sabah – Saksi

    Wang tunai lebih RM44 juta ditemui di pejabat dan rumah bekas Pengarah Jabatan Air Sabah – Saksi

    *Wang tunai RM9 juta dan RM4 juta  dalam kereta Mazda dan Mercedes-Benz*

    MAHKAMAH Sesyen Kota Kinabalu, diberitahu bahawa wang tunai lebih RM44 juta ditemui di pejabat dan rumah bekas pengarah Jabatan Air Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib.

    Perkara itu dimaklumkan ketua pasukan serbuan nombor lapan, Hishammudin Mohammed Esa, 49, semasa pemeriksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Mahadi Abdul Jumaat.

    Hishammudin memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-40 di hadapan Hakim Abu Bakar Manat dalam perbicaraan skandal rasuah terbesar di Sabah itu.

    Beliau berkata, lebih RM23 juta ditemui semasa serbuan di pejabat Ag Tahir pada 4 Oktober 2016 di Wisma Muis.

    “RM62,500 ditemui dalam beg bertanda ‘Tahir’ di meja Ag Tahir. Wang tunai selebihnya ditemui di tiga lokasi lain di dalam bilik pantri – di sofa dengan tiga tempat duduk, kabinet TV serta kabinet kayu,” katanya sambil menambah bilik pantri itu berada di belakang meja Ag Tahir, lapor Berita Harian

    Beliau turut memberi keterangan bahawa setiap bungkusan wang antara RM50,000 dan RM100,000 dan hanya Ag Tahir yang mempunyai akses ke bilik pantri di pejabatnya.

    Bilik pantri itu adalah bilik dengan papan tanda “Go Away” di pintunya di mana timbunan wang tunai ditemui dan dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Hishammudin turut memberitahu pada hari sama, lebih RM21 juta ditemui ketika pasukannya menyerbu rumah Ag Tahir di Sembulan.

    Menjawab soalan, beliau berkata lebih RM8 juta ditemui dalam sebuah bilik di tingkat tiga rumah itu.

    Beliau turut berkata, 86 jam tangan berjenama dan mewah serta 921 barang kemas turut ditemui di rumah berkenaan.

    Saksi selanjutnya memberi keterangan bahawa pasukannya selanjutnya menemui wang tunai RM9 juta dan RM4 juta masing-masing di dalam kereta Mazda dan Mercedes-Benz.

    “Kira-kira RM9 juta ditemui dalam sebuah kereta Mazda. Wang itu dimasukkan ke dalam beberapa beg yang disimpan di dalam bonet kereta. Ketika itu kereta diparkir tidak jauh dari pagar rumah yang diletakkan di luar pagar rumah.

    “Sebanyak RM4 juta lagi ditemui di dalam sebuah Mercedes Benz. Wang itu dimasukkan ke dalam beg dan dimasukkan ke dalam bonet kereta,” katanya.

  • Kumpulan WhatsApp mengandungi gambar,video berunsur lucah ditemukan dalam telefon bimbit -saksi

    Kumpulan WhatsApp mengandungi gambar,video berunsur lucah ditemukan dalam telefon bimbit -saksi

    SEORANG saksi dalam perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret Tenom hari ini satu Kumpulan WhatsApp  mengandungi gambar dan video berunsur lucah ditemukan dalam telefon bimbit yang diterimanya pada 8 Okt 2021.

    Juruanalisis Kanan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM) ASP Latifah Abdul Aziz, 43, berkata telefon bimbit itu dihantar ke makmal forensik PDRM kira-kira pukul 12.02 tengah hari oleh pegawai penyiasat.

    Saksi pendakwaan ketujuh itu berkata telefon bimbit itu disimpan dalam keadaan selamat, sebelum dikeluarkan pada 22 Okt 2021 untuk proses analisis namun telefon bimbit itu mempunyai kata laluan.

    “Saya menghubungi pegawai penyiasat untuk mendapatkan kata laluan bagi membolehkan akses oleh sistem analisis dan telah diberikan pada hari yang sama…saya kemudian jalankan analisis terhadap telefon bimbit itu sebelum menemukan Kumpulan WhatsApp itu,” katanya.

    Latifah berkata demikian semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad yang bertanya hasil analisis saksi terhadap telefon bimbit yang diterimanya itu.

    Lew, 37, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Majistret Nur Asyraf Zolhani menetapkan perbicaraan disambung dari 16 hingga 18 Ogos depan.

    — BERNAMA