Category: Semasa

  • Warga emas didakwa seks luar tabii dengan kambing

    Warga emas didakwa seks luar tabii dengan kambing

    SEORANG lelaki warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, Selangor hari ini atas tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina.

    Shaari Hasan, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.

    Dia didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan luar tabii dengan haiwan, iaitu kambing betina di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Rawang, Kuala Kubu Bharu pada pukul 1.30 tengah hari, 27 Julai lalu.

    Shaari didakwa mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khadijah Amir Hamdzah yang mengendalikan kes tidak menawarkan jaminan memandangka ia adalah kes serius, namun peguam tertuduh, Zolazrai Zolkapli memohon jaminan dibenarkan kerana anak guamnya hidup sebatang kara.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Disember depan untuk serahan dokumen serta sebutan semula kes.

  • ‘’Baru soalan nombor empat…sejam’’ – Speaker tegur ahli Parlimen berbahas ketika tanya soalan

    ‘’Baru soalan nombor empat…sejam’’ – Speaker tegur ahli Parlimen berbahas ketika tanya soalan

    SIKAP beberapa Ahli Parlimen yang mengambil kesempatan berbahas semasa bangun untuk bertanya soalan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini ditegur Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun yang menyifatkan perkara itu tidak adil kepada Ahli Parlimen lain.

    Beliau berkata mengikut konvensyen di House of Commons, setiap soalan hanya diberikan 30 saat manakala seminit untuk jawapan namun ada dalam kalangan Ahli Parlimen mengambil peluang mencecah sehingga dua hingga tiga minit ketika bertanya soalan.

    “Saya dapati kita hari ini baru soalan nombor empat, sejam. Ini adalah satu perkara yang amat tidak memuaskan hati… saya dapati tadi dari pejabat saya ada Yang Berhormat semua bangun untuk berbahas. Ini tak ikut peraturan.

    “Peraturan 24 (4) nyatakan dengan terang sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dijadikan helah untuk berbahas. Ini bukan waktu berbahas. Ini waktu pertanyaan dan waktu menteri menjawab,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika masuk untuk mempengerusikan mesyuarat pada sesi soal jawab semasa soalan keempat oleh Lim Lip Eng (PH-Kepong), ketika persidangan telah berlangsung lebih satu jam. Sesi soal jawab hari ini adalah dari 10.30 pagi hingga 12 tengah hari manakala setengah jam awal adalah Waktu Pertanyaan Menteri.

    Justeru, Azhar meminta Ahli Parlimen supaya menghentikan amalan berbahas ketika sesi soal jawab memandangkan asas di sebalik pertanyaan di Dewan Rakyat adalah memberikan sebanyak mungkin pertanyaan ditanya dan sebanyak mungkin dijawab.

    “… bukan dibolot oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang mendapat soalannya top 10. Bukan, bukan begitu. Jadi, saya hendak pohon kerjasama semua, tak nak lah bahas, mukadimah tu sikit dan dijawab terus. Jangan mukadimah panjang.

    “Saya dapati sebelum ini yang mukadimahnya seminit setengah, soalannya 10 saat. Tidak elok macam itu sebab ia mengambil masa Yang Berhormat lain untuk menanyakan soalan.

    “Sebenarnya tidak adil untuk semua. Saya tak apa, saya boleh bagi satu soalan satu jam pun okay. Tapi tidak adil untuk ahli Yang Berhormat sendiri,” katanya. – BERNAMA

  • Lelaki ditahan cabul anak tiri berusia 6 tahun

    Lelaki ditahan cabul anak tiri berusia 6 tahun

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menahan seorang lelaki kerana disyaki mencabul anak tirinya yang berusia enam tahun di rumahnya di Klang, pada malam tadi.

    Suspek yang merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 30-an ditahan pada pukul 8 malam.

    Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, ibu bapa mangsa telah bercerai dan mereka bergilir-gilir untuk menjaga kanak-kanak perempuan berkenaan.

    “Mangsa tinggal bersama ibunya dan kejadian itu berlaku semasa mangsa bersama-sama suspek dalam bilik pada 22 November lalu selepas pulang dari taska.

    “Mangsa telah memberitahu bapa kandungnya bahawa suspek telah menyentuh bahagian kemaluannya dan bapa kandung mangsa telah membuat laporan polis,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Klang Selatan, hari ini.

    Hoong Fong berkata, ibu mangsa berkahwin dengan suspek sejak Januari lalu dan pihak polis sedang menyiasat sama ada kejadian tersebut merupakan yang pertama kali atau pernah terjadi sebelum ini.

    Sehubungan itu, beliau berkata, suspek direman enam hari dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

  • Kemuka maklumat palsu, suri rumah dipenjara 7 hari, denda RM10,000

    Kemuka maklumat palsu, suri rumah dipenjara 7 hari, denda RM10,000

    SEORANG suri rumah dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan didenda RM10,000.00 oleh Mahkamah Majistret di Tawau, Sabah semalam, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) 11 tahun lalu.

    Tertuduh, Rozana Ajak, 44, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan, yang bertindak sebagai Majistret.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah memberi maklumat palsu dalam sijil kelahiran seorang anak dengan mengaku sebagai ibu kandung selain menjadi penganjur dalam permohonan kad pengenalan di JPN Tawau, antara jam 10 pagi hingga 4 petang, pada 15 Jun 2010.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa dibawah Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana dengan sengaja memberi maklumat palsu sebagai ibu semasa membuat Permohonan Kad Pengenalan 12 tahun.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Amir Shah ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, mahkamah memandang serius kes itu kerana memberikan maklumat palsu iaitu dengan mengaku sebagai ibu atau bapa kandung dalam sebarang urusan pemilikan dokumen adalah membabitkan isu kedaulatan negara.

    Katanya, adalah menjadi satu kerugian jika hak warganegara diberikan kepada individu bukan warganegara atau pendatang asing.

    “Justeru, kes seperti ini harus dijadikan pengajaran dan teladan supaya masyarakat diluar sana tidak sewenang-wenangnya memberikan maklumat palsu dalam sebarang urusan pemilikan dokumen,” katanya.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tujuh hari bermula tarikh ditangkap iaitu pada 21 November lalu.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Nurul Fariza Abdullah sementara tertuduh diwakili peguam Jhasarry P Kang.

  • Kerajaan nilai tender terbuka ganti pesawat Hawk

    Kerajaan nilai tender terbuka ganti pesawat Hawk

    KERAJAAN kini dalam proses menilai tender terbuka perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (FLIT-LCA) bagi menggantikan pesawat Hawk 108/208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tender terbuka antarabangsa bagi perolehan itu sudah ditutup pada 6 Oktober lalu.

    “Kerajaan sudahpun merancang secara sistematik bagi penggantian pesawat Hawk 108/208 sebagaimana digariskan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM (CAP55).

    “Kerajaan juga telah memulakan proses penggantian dengan meluluskan perolehan baharu FLIT-LCA melalui Rolling Plan 1 2021,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang memohon kerajaan mempertimbangkan penggantian pesawat Hawk 108/208 secara sistematik dengan segera.

    Minggu lalu, sebuah pesawat Hawk milik TUDM terhempas di Butterworth, Pulau Pinang dan mengorbankan seorang juruterbang, manakala seorang lagi cedera parah.

  • Aniaya kanak-kanak Sindrown Down, pengasas Rumah Bonda didakwa lagi

    Aniaya kanak-kanak Sindrown Down, pengasas Rumah Bonda didakwa lagi

    PENGASAS Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menganiaya seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun.

    Siti Bainun, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

    Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga remaja itu telah menganiaya mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

    Dia dituduh melakukan perbuatan tersebut di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara Februari dan Jun tahun ini, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pada 20 Ogos lepas, Siti Bainun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan remaja terbabit sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi, di lokasi dan masa yang sama.

    Terdahulu, peguam Datuk Farhan Maaruf yang dibantu Nur Aminahtul Mardiah Md Nor memohon agar mahkamah mengguna pakai wang jaminan RM12,000 yang dikenakan terhadap anak guamnya sebelum ini kerana fakta serta bukti bagi kedua-dua kesalahan itu adalah sama.

    “Pihak kami percaya jaminan RM12,000 yang dikenakan ke atas anak guam saya bagi pertuduhan sebelum ini mencukupi untuk memastikan kehadirannya di mahkamah, namun sekiranya mahkamah ingin mengenakan jaminan bagi pertuduhan kedua ini, saya mohon wang jaminan sebanyak RM3,000,” kata Farhan.

    Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias memohon wang jaminan ditambah berikutan penambahan pertuduhan ke atas Siti Bainun.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengekalkan syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu mangsa, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan.

    Noor Shakira Aliana turut memaklumkan kepada mahkamah, kedua-dua kes itu akan dibicarakan bersama dan setakat ini pihaknya telah menyediakan seramai 29 saksi pendakwaan untuk memberi keterangan.

    “Pihak pendakwaan telah menyerahkan 13 dokumen berkaitan kes itu kepada pihak pembelaan, namun terdapat beberapa dokumen lain yang masih belum diserahkan antaranya rekod janji temu mangsa dari Hospital Serdang dan gambar daripada forensik,” katanya yang turut memohon tarikh sebutan bagi penyerahan dokumen tersebut.

    Izralizam kemudian menetapkan perbicaraan kes itu berlangsung selama 15 hari bermula 30 Mac 2022 manakala sebutan kes ditetapkan pada 6 Jan tahun depan.- Bernama

  • Harga produk Gardenia naik mulai bulan depan

    Harga produk Gardenia naik mulai bulan depan

    PENGELUAR roti tempatan Gardenia Bakeries menjangkaka kenaikan harga produknya susulan peningkatan kos bahan mentah dan caj pengangkutan.

    Menerusi surat yang ditujukan kepada peruncit, syarikat itu memaklumkan, pihaknya akan menyemak semula harga runcit dan pengguna bagi kebanyakan produknya.

    Jelas syarikat itu, kenaikan harga pelbagai roti dan produk bakeri lain akan berkuat kuasa mulai 1 Disember.

    Free Malaysia Today (FMT) hari ini melaporkan, harga baharu pengguna termasuklah RM2.80 bagi sebuku Gardenia Original Classic 400g, iaitu naik daripada RM2.50.

    Gardenia Original Classic Jumbo 600g pula kini berharga RM4, naik daripada RM3.55, manakala harga roti Gardenia Bran & WheatGerm 400g, yang kini RM2.50 akan dinaikkan kepada RM2.90.

    Produk lain yang terbabit termasuk Gardenia Fluffy Buns (RM3.70) dan Gardenia Puazz Buns (RM1.30).

    Ketika dihubungi bagi mendapatkan komen, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, ia masih belum menghubungi Gardenia dan pihaknya akan bertemu pengurusan syarikat itu esok sebelum mengeluarkan kenyataan.

    Gardenia bukanlah satu-satunya pembekal hasil makanan yang menyemak atau menaikkan harganya, dengan harga sayur-sayuran turut meningkat baru-baru ini.

  • Polis siasat instagram ‘datosrig’

    Polis siasat instagram ‘datosrig’

    Oleh RIZQI ZABIDI

    POLIS kini membuka siasatan terhadap pemilik akaun Instagram ‘datosrig’ berhubung muat naik artikel dan poster berkaitan satu program yang tidak tidak wujud dalam laman media sosial tersebut melibatkan Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati poster dan artikel tersebut turut memaparkan nama serta gambar kerabat diraja Kedah, Tunku Nur Muhammad Ibni Almarhum YTM Lt. Kol. Tunku Adnan serta Pengerusi Agro Kedah, Datuk Wan Zulkifli.

    “Turut dimuat naik bersama poster itu adalah artikel mengenai ‘Program Presiden Agro Malaysia Turun Padang Jumpa Usahawan Agro di Sungai Petani’ pada 25 November 2021.

    “Semakan dibuat melalui pihak berkaitan mendapati program tersebut adalah tidak wujud,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, antara pengisian program tersebut kononnya adalah majlis penanaman pokok, pembukaan restoran dan majlis penyerahan bantuan bakul makanan Agro Malaysia.

    “Kami menafikan penglibatan Ketua Polis Kedah dalam program tersebut. Mereka yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dalam masa terdekat bagi dirakam percakapan,” katanya.

    Menurutnya, orang ramai dinasihati supaya jangan mudah terpengaruh dan percaya dengan apa-apa program yang dianjurkan sebelum membuat semakan dengan pihak berkenaan.

  • Polis nafi Johor Bahru tidak selamat, rakyat Singapura akan diragut

    Polis nafi Johor Bahru tidak selamat, rakyat Singapura akan diragut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab sama adamenyebarkan kandungan, khabar angin atau berita tidak sahih.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menjelaskan, itu merujuk kepada kenyataan yang tular dalam media sosial berhubung kemungkinan rakyat Singapura akan diragut di Johor Bahru apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka.

    Tegasnya, polis Johor menafikan perkara tersebut malah perkembangan terkini juga menunjukkan indeks jenyah di negeri ini menurun.

    Beliau berkata secara keseluruhan, indeks jenayah di Johor bagi tempoh Januari 2021 hingga semalam menunjukkan penurunan sebanyak 2,610 kes iaitu 39.67 peratus dan berada dalam keadaan terkawal.

    “Kes samun ragut di Johor bagi tempoh sama juga mencatatkan penurunan sebanyak 125 kes bersamaan 77.64 peratus berbanding tahun lepas. Begitu juga kes curi motosikal yang menurun sebanyak 1,099 kes iaitu 51.05 peratus,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

    Menerusi kenyataan yang tular itu, mendakwa terdapat beratus-ratus pencuri yang menaiki motosikal di daerah ini bersedia untuk meragut pelancong dari Singapura apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka semula.

    Selain itu kenyataan itu mendakwa polis tidak akan mengambil tindakan berikutan terdapat terlalu banyak pencuri di Johor.

    Namun pihaknya akan terus bertindak secara agresif bagi membanteras kegiatan jenayah sekali gus memastikan Johor selamat didiami dan dikunjungi.

    Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai apa jua perkara yang ditularkan dan perlu menyemak terlebih dahulu bagi mendapatkan kesahihan maklumat.

  • 16 Rohingya ditahan:Selongkar tong sampah, jadikan rumah stor besi buruk

    16 Rohingya ditahan:Selongkar tong sampah, jadikan rumah stor besi buruk

    SERAMAI 16 etnik Rohingya ditahan dalam operasi yang dilakukan di empat lokasi iaitu Kampung Kubang Tin, Melor Lama, Jambu Merah serta Kok Lanas di Kota Bharu, malam tadi.

    Operasi yang dijalankan Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Pendaftaran Negara dan Polis Diraja Malaysia itu dilakukan bermula 5 petang semalam hingga 8 malam.

    Serbuan itu menarik perhatian orang ramai anggota penguat kuasa apabila seorang wanita warga Rohingya meraung sambil merayu supaya suaminya yang ditahan dalam operasi itu dilepaskan.

    Sambil mendukung bayi lelakinya yang berusia setahun dan diiringi dua kanak-kanak lelaki, wanita berusia 30-an itu berulang kali memanggil suaminya yang sedang disoal siasat pihak JI) Kelantan.

    Keadaan makin bingit apabila suaminya menaiki trak untuk dibawa ke depot tahan, dia antara 16 warga Rohingya yang ditahan.

    Lelaki berusia 50-an yang memiliki kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu ditahan di sebuah kedai makan di Kubang Tin, Melor kerana bekerja di premis berkenaan.

    Penolong Setiausaha MDKPI, Nik Muhammad Syahmi Nik Mohd Azlan berkata, operasi itu berdasarkan aduan yang diterima daripada penduduk sekitar yang melaporkan pelbagai isu yang ditimbulkan Rohingya terutama daripada segi kebersihan dan penyelongkaran tong sampah.

    “Dalam operasi ini, sebanyak enam notis kompaun dikeluarkan atas kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), tiga kompaun kesalahan membabitkan kebersihan dan satu berniaga tanpa lesen,” katanya kepada pemberita, malam tadi.

    Nik Muhammad Syahmi berkata, pihaknya menerima banyak aduan berkaitan kegiatan menyelongkar tong sampah yang dilakukan warga asing yang mana majoritinya menjalankan kerja sebagai pengutip besi buruk.

    Seterusnya, warga Rohingya itu akan membawa pulang barangan yang diselongkar itu ke rumah dengan menjadikannya sebagai stor sekali gus mengganggu penduduk.

    Sementara itu, Ketua Operasi Bahagian Penguatkuasaan JIM Kelantan, Amran Abd Aziz berkata, seramai 46 warga asing diperiksa dan 16 daripada mereka ditahan atas kesalahan tiada dokumen perjalanan serta kad UNCHR yang tamat tempoh.

    “Daripada 16 yang ditahan itu, 10 adalah lelaki dan dua wanita manakala selebihnya adalah kanak-kanak, dengan usia bagi yang dewasa antara 20-an hingga 50-an.

    “Seorang pemilik kedai makan berusia 22 tahun turut ditahan kerana menggaji warga asing yang juga pemegang kad UNCHR dan kesemua mereka dibawa ke Depot tahanan Imigresen Tanah Merah,” katanya.