PLATFORM sukan atas talian mampu menjadi medium bagi para murid untuk kekal aktif dan menunjukkan bakat masing-masing walaupun pada ketika pandemik Covid-19.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin, platform tersebut juga membolehkan para guru untuk mencungkil dan menggilap bakat serta potensi murid dalam bidang sukan.
Beliau menambah, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran Covid-19 telah menjejas sektor pendidikan dan sosial apabila telah menyebabkan aktiviti sukan, latihan dan pertandingan secara bersemuka tidak dapat dilaksanakan.
Pun begitu beliau mengingatkan, keadaan itu tidak wajar menjadi penghalang para guru daripada menjadi lebih kreatif.
“Guru perlu lebih kreatif dan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi bagi meneruskan pembelajaran termasuk menggilap potensi murid dalam bidang sukan,” ujarnya.
Katanya, Pertandingan Kemahiran Sukan MSSM secara dalam talian 2021 anjuran Kementerian Pendidikan (KPM) bermula Ogos sehingga Oktober lalu yang telah disertai seramai 46,269 peserta, membolehkan atlet murid melakukan aktiviti sukan di kediaman masing-masing secara dalam talian.
“Kemahiran sukan yang dipertandingkan secara rakaman video ini bukan sahaja menjadi platform bagi mengenal pasti bakat baharu malah dapat mempersiapkan atlet murid untuk bertanding dalam mana-mana kejohanan sukan pada masa akan datang,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (KPM-MSSM-Milo) 2019 secara maya hari ini
Dalam pada itu, Radzi berkata, beberapa atlet murid cemerlang sukan dan akademik selain memegang jawatan yang bagus telah dilahirkan hasil usaha dan peranan MSSM dalam mencungkil serta membentuk bakat atlet murid.
Antara atlet tersebut adalah gimnas negara, Lok Mei Hui, yang merupakan pelajar terbaik aliran Sains apabila memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2020; dan jaguh basikal negara, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang yang melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo diadakan setiap tahun bagi meraikan kejayaan dan mengiktiraf atlet, jurulatih sukan, golongan pendidik dan warga KPM yang cemerlang dalam bidang sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sebagai rekod, Anugerah Sukan KPM-MSSM-Milo 2019 menyaksikan gimnas kebangsaan, Izzah Amzan muncul sebagai penerima Anugerah Emas.
BATALION 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa berjaya menumpaskan penyeludupan rokok putih dan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan kenderaan mewah dalam dua operasi berasingan pada 29 November lalu.
Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa, Superintendan Mat Shukor Yusof berkata, dalam serbuan pertama pada pukul 1 tengah hari, sepasukan anggota yang melakukan tugas bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan terserempak dengan sebuah kenderaan mewah jenis Toyota Alphard.
“Kenderaan mewah itu dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Pulai Chondong menghala ke Machang dan anggota terlibat terus mengekorinya,” katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA Lubok Stol di Rantau Panjang hari ini.
Menurutnya, kenderaan itu terus memecut laju dan membelok ke jalan simpang kecil ke Kampung Mata Ayer selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Mat Shukor memberitahu, kenderaan itu bagaimanapun ditemui dalam keadaan enjin masih hidup dan pemeriksaan menjumpai 1,950 karton rokok putih.
Mat Shukor berkata, pada masa sama, PGA telah menahan sebuah Toyota Vellfire ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah yang dinaiki empat lelaki dan dua wanita.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan seorang lelaki dan wanita warga tempatan. Turut ditemui dalam kenderaan itu ialah tiga lelaki dan seorang wanita warga Thailand yang pasportnya telah tamat tempoh.
“Seorang lagi lelaki warga Thailand tidak mempunyai dokumen perjalanan sah,” katanya.
Menurutnya, selang dua jam selepas itu, PGA sekali menahan sebuah Toyota Alphard yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) Banggol Kong.
Pemeriksaan mendapati dua lelaki warga tempatan dan dua wanita serta seorang kanak-kanak lelaki warga Thailand yang mengemukakan dokumen perjalanan tamat tempoh.
Katanya, PGA akan terus membuat pemeriksaan ke atas kenderaan mewah yang menjadi pilihan penyeludup bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa selain selain dapat lolos daripada kawalan.
KEHILANGAN seorang warga emas yang keluar menjaring ikan dan tidak pulang ke rumah dalam kejadian di Kampung Tengah, Gemencheh, Tampin sejak petang semalam terjawab apabila ditemukan lemas malam tadi.
Mayat Ahmad Sudin, 87, ditemui tersangkut di dahan pokok tidak jauh dari lokasinya memasang jaring pada jam 8.30 malam tadi.
Mangsa dikatakan telah pergi memancing di sungai berhampiran rumahnya kira-kira jam 5 petang, namun tidak pulang menjelang malam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gemencheh bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat malam tadi.
“Cucu warga emas berkenaan telah menghubungi bomba memaklumkan datuknya yang keluar rumah kira-kira jam 5 petang masih tidak pulang.
“Operasi mencari mangsa dilakukan. Dalam masa kurang dua minit, mangsa ditemukan tersangkut di dahan pokok tumbang tidak jauh dari lokasi mangsa memasang jaring,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba cuba memberikan bantuan pernafasan terhadap mangsa, namun lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada cucu mangsa, lelaki terbabit dipercayai menjaring ikan di kawasan sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya.
“Mayat mangsa telah dihantar Hospital Tampin untuk tindakan lanjut,” kata beliau.
PAS memutuskan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak menggunakan logo sendiri.
Bagaimanapun menurut Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, jumlah kerusi yang dipertandingkan masih belum diputuskan.
“Pas telah memutuskan untuk bertanding di PRN Sarawak, namun dengan jumlah kerusi yang munasabah dan sesuai,” katanya kepada Harakah Daily.
Katanya, persiapan PRN Sarawak hanya melibatkan beberapa tenaga penting sahaja yang akan membantu jentera parti itu melaksanakan kempen sebelum hari mengundi.
Beliau mengharapkan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan kempen pilihan raya dapat memberi sedikit kelonggaran bagi membolehkan calon berkempen.
“PRN ini kita harap kelonggaran bertemu pengundi dapat dipertimbangkan kerana masalah liputan media sosial yang agak rendah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Sehubungan itu, beliau turut mengharapkan semua pihak menyokong calon-calon yang akan bertanding di Bumi Kenyalang tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 sementara penamaan calon pada 6 Disember dan pengundian awal 14 Disember.
Dalam PRN Melaka pada 20 November lalu, Pas yang merupakan anggota rasmi Perikatan Nasional (PN) menggunakan lambang gabungan tersebut untuk bertanding di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
POLIS Pulau Pinang sudah menerima laporan berhubung kejadian seorang wanita dipercayai pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di negeri itu yang didakwa menganiaya seorang bayi dengan membaling objek dipercayai bungkusan barang terhadap bayi berkenaan.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian tersebut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3(1) Akta Kanak Kanak 2001,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau mengulas mengenai video kejadian itu yang tular di dalam media sosial Facebook sejak petang semalam yang didakwa berlaku di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bayan Baru, Pulau Pinang.
Video berdurasi 44 saat itu memaparkan tindakan seorang wanita dipercayai pekerja di pusat jagaan tersebut yang seolah-olah bertindak membaling satu objek seperti bungkusan ‘parcel’ terhadap seorang bayi yang sedang meniarap.
Klip video itu dikongsikan pemilik laman sosial Facebook Cahaya Naziha Mohd Nhazeri dipercayai ibu kepada bayi tersebut.
Menerusi catatan di laman sosialnya, wanita itu menulis: “Pos dekat sini la sebagai kenangan…nanti baby tu dah besar, dia boleh tengok apa yang orang dah buat dekat dia. Semoga Allah pelihara anak-anak syurga yang lain. Aku selalu tengok dekat anak orang ja. Sekali anak aku yang kena. Aku dah cukup baikkkkkkk”.
Video itu mendapat kecaman warganet yang turut menggesa pihak polis menjalankan siasatan lebih lanjut dan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan wanita terbabit.
SERAMAI 595 individu atau 77.5 peratus dari keseluruhan 768 kes kematian akibat COVID-19 di Terengganu adalah individu yang tidak pernah menerima suntikan vaksin.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata daripada 768 kematian yang direkodkan itu, 425 kes atau 55 peratus adalah lelaki manakala 343 kes atau 45 peratus wanita, dengan 658 orang atau 85.7 peratus daripada jumlah kematian itu mempunyai faktor komorbid.
“Peratus kematian mengikut umur paling tinggi adalah dalam kalangan individu yang berusia 60 hingga 69 tahun iaitu sebanyak 25.3 peratus, diikuti individu dalam lingkungan usia 70 hingga 79 tahun (23.6 peratus) dan 50 hingga 59 tahun (17.2 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata antara faktor peningkatan kematian itu adalah kelewatan mendapatkan rawatan, pesakit yang mempunyai faktor komorbid berganda (dua dan ke atas), belum mendapatkan vaksinasi dan pesakit yang berumur lebih 50 tahun.
Sejak kebenaran rentas negeri bermula 11 Okt lepas dan Terengganu beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, Jabatan Kesihatan Negeri telah menjangkakan berlaku peningkatan kes COVID-19 susulan pergerakan masuk ahli keluarga yang pulang ke kampung dan aktiviti pelancongan.
Dr Kasemani berkata bermula hujung Oktober sehingga 30 Nov lepas, Terengganu telah mencatat peningkatan kemasukan kes COVID-19 ke hospital sebanyak 24.9 peratus berbanding tempoh sama sebelum itu (September hingga Oktober), dengan penggunaan katil COVID-19 di hospital mencecah 59.7 peratus.
“Sebanyak 84.4 peratus kemasukan ke hospital adalah pesakit bagi kategori 3, 4 dan 5 dan ini menyumbang kepada penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) terkini sebanyak 72.5 peratus. Selain itu, sejak hujung Oktober juga, 39.5 peratus kes yang dimasukkan ke ICU adalah individu yang tidak divaksin,” katanya.
Sehingga kini, 69.2 peratus daripada jumlah populasi di Terengganu telah lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 dan 92.6 peratus dalam kalangan populasi dewasa di negeri ini menerima dos primer.
Dr Kasemani berkata bagi suntikan dos penggalak pula, sehingga kini seramai 31,397 individu sahaja telah disuntik dan pencapaian dos penggalak itu amat rendah hanya 3.4 peratus jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.
HASRAT dua beranak mencari rezeki dengan memukat udang tidak kesampaian apabila kedua-dua mereka ditemukan maut dipercayai akibat lemas di Perairan Kota Kuala Muda berhampiran pesisiran Kampung Tepi Sungai dekat Kuala Muda, Kedah hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, jasad Mohamad Ariffie A. Razak, 61, dan anaknya, Zulhusni Mohamad Ariffie, 29, dari Kampung Matang Bagan, Kuala Muda ditemukan terdampar oleh seorang nelayan di pantai Kampung Tepi Sungai kira-kira pukul 10.30 pagi.
Hasil soal siasat bersama keluarga mangsa katanya, dua beranak itu dipercayai turun ke laut kira-kira pukul 7 pagi tadi bagi memukat udang.
“Menantu Mohamad Ariffie memaklumkan kepada pihak polis yang dia mengesyaki adik iparnya, Zulhusni mungkin diserang sawan dan terjatuh dari laut.
Dua beranak itu dipercayai turun ke laut kira-kira pukul 7 pagi tadi bagi memukat udang.
“Keadaan itu dipercayai menyebabkan bapa mentuanya cuba menyelamatkan Zulhusni hingga mengakibatkan kedua-duanya lemas,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada unsur jenayah yang pada tubuh badan kedua-dua mangsa.
“Jasad dua beranak itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk tujuan bedah siasat.
“Setakat kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
DUA kenderaan dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 hingga Seksyen 30, Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands, Pahang, hari ini.
Difahamkan kenderaan yang tertimbus ialah sebuah lori kecil dan sebuah kereta.
Tanah runtuh itu menyebabkan laluan di kedua-dua arah ditutup kepada semua aliran kenderaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 1.44 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat.
“Setibanya jentera di lokasi, didapati tanah runtuh menghalang laluan utama ke Cameron Highlands.
“Berdasarkan maklumat awal, sebuah kenderaan terperangkap di mana terdapat mangsa di dalamnya. Operasi kini sedang dijalankan,” katanya.
PENJAWAT awam kanan di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak memperoleh pendapatan jauh lebih tinggi daripada peruntukan gaji disediakan kerajaan, dengan sekurang-kurangnya seorang daripada mereka dibayar sebanyak RM200,000 sebulan, dedah Tun Dr Mahathir Mohamad dalam memoir terbaru mengandungi kisah pelantikan kali keduanya sebagai perdana menteri yang bakal terbit.
D. Mahathir, yang berkhidmat kira-kira 22 bulan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebuah gabungan yang dipimpinnya bagi menjatuhkan Najib yang terpalit skandal 1MDB, mengatakan masalah terbesar yang perlu ditanganinya selepas kembali mengetuai pentadbiran Putrajaya ialah keadaan kewangan dan kemerosotan dalam sektor perkhidmatan awam.
Beliau berkata, penjawat awam kanan termasuk ketua setiausaha kerajaan mengabaikan beban pinjaman mega yang ditanggung pentadbiran Najib, namun kemudiannya diketahui bahawa mereka sendiri mengambil gaji dengan jumlah yang besar.
“Kerajaan berhutang lebih RM1 trilion — iaitu angka yang mempunyai 12 nombor kosong. Jadi anda boleh faham sendiri, angka sifar itu lebih banyak daripada apa yang ada pada kalkulator saya.
“Ketua setiausaha kerajaan, yang merupakan ketua perkhidmatan awam, menyedari perkara ini namun tidak mengemukakan apa-apa bantahan, dan apabila disiasat ternyata dia memperoleh pendapatan lebih daripada yang sepatutnya,” tulis Mahathir dalam “Capturing Hope: Struggle Continues for New Malaysia”, lapor portal MalaysiaNow
Ketua Setiausaha ketika pentadbiran Najib ialah Tan Sri Ali Hamsa, yang dilantik pada 2012, dan meneruskan perkhidmatan kira-kira tiga bulan selepas kejatuhan Najib pada 2018.
Buku setebal 304 muka surat itu adalah memoir kedua Mahathir selepas “A Doctor in the House”, biografinya yang merakam beberapa peristiwa penting di bawah pentadbiran diketuainya selama 22 tahun sebelum ini.
Buku tersebut, yang dilihat sebagai percubaan untuk “mendedahkan semuanya” dan menjelaskan isu-isu seputar penggal pendek keduanya di Putrajaya, bakal memenuhi rak kedai buku utama di Malaysia dan Singapura dengan harga RM100 sebuah.
Dr. Mahathir berkata selain Ketua Setiausaha, bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah turut memperoleh pendapatan besar melalui lantikannya sebagai pengerusi beberapa syarikat kerajaan.
“Secara keseluruhan, dia dibayar sehingga RM200,000 sebulan — iaitu RM2.4 juta setahun, jauh melebihi gaji biasa yang diperuntukkan kerajaan. Semua orang ini perlu disingkirkan, namun siapa yang akan menggantikan mereka? Saya memerlukan orang yang jujur, dan saya perlu mencari bukti bahawa mereka jujur dan memiliki keupayaan yang diperlukan,’’ katanya.
Dr. Mahathir, 96, membantu menubuhkan Bersatu pada 2016 bagi mencabar UMNO diketuai Najib semasa kemuncak pendedahan mengenai skandal 1MDB.
Beliau kemudiannya bekerjasama dengan PH bagi menamatkan enam dekad pentadbiran Barisan Nasional, sekali gus dilantik menjadi ketua kerajaan paling tua di dunia pada usia 93 tahun.
Bagaimanapun, berikutan kontroversi mengenai perjanjian peralihan kuasa yang bakal menyaksikan bekas musuhnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan beliau sebagai perdana menteri, perpaduan dalam gabungan PH menjadi retak sehinggalah Mahathir meletakkan jawatan secara mengejut pada Februari 2020.
Manifesto PH ‘tebal,tidak realistik’
Dalam buku itu juga, Mahathir turut mendedahkan “mentaliti pembangkang” anggota Kabinet yang diketuainya, menjelaskan keraguan beliau berhubung manifesto pilihan raya PH, termasuk janji untuk memansuhkan tol, di mana ia adalah perkara yang ditentang secara terbuka oleh ahli politik veteran tersebut.
Walaupun beliau memberi kata pengantar kepada dokumen manifesto pembangkang itu, Mahathir berkata ia disediakan oleh mereka yang “tidak mempunyai pengalaman dalam kerajaan” dan “terlampau sedikit kefahaman tentang kekangan praktikal pentabdiran yang akan dihadapi oleh seorang pentadbir apabila dipilih menjadi kerajaan”.
“Akhirnya, saya terpaksa bersetuju kerana kita amat memerlukan platform bersama dalam menghadapi pilihan raya umum, namun saya menentang beberapa perkara dalam manifesto itu dan berhujah hampir mustahil untuk menunaikan beberapa janji yang terkandung di dalamnya,’’ katanya.
Beliau berkata manifesto pilihan raya PH juga terlalu tebal dan tidak realistik.
“Saya fikir manifesto pilihan raya harus ringkas. Ia harus meletakkan perkara-perkara tertentu sahaja. Dan ia tidak sepatutnya menjadi sebuah dokumen yang tebal, apatah lagi dengan tarikh akhir yang tidak realistik bagi pelaksanaannya”
Dalam buku itu juga, Dr. Mahathir menjelaskan pendiriannya mengenai beberapa janji pilihan raya lain oleh PH yang tidak ditunaikan, seperti pemulihan hak bagi Sabah dan Sarawak, dan pemansuhan undang-undang zalim.
“Kami membuat banyak janji dalam manifesto, namun sekarang, setelah menjadi kerajaan, kami langsung tidak ada majoriti di Parlimen bagi melaksanakannya – atau memang wujud perkara lain yang memerlukan pindaan perlembagaan,” katanya, sambil menambah usaha untuk mendekati pembangkang ketika itu juga gagal dilakukan.
DAKWAAN seorang individu bahawa adiknya yang dipukul dan dibuli di berek bujang di sebuah kem tentera mendapat perhatian Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Melalui tangkap layar yang dikongsi dalam Twitter ‘Pedoq, what is this behavior?’ individu terbabit mendakwa insiden itu berlaku setiap hari dan wang gaji adiknya habis kerana diberikan kepada anggota-anggota tentera yang lebih senior.
Menurutnya, adiknya perlu membeli barang keperluan untuk 12 hingga 14 anggota tentera yang lain di berek bujang tersebut.
Namun, dia mendakwa, adiknya takut untuk membuat laporan manakala kes-kes serupa yang dilaporkan kepada pihak atasan sebelum ini hanya dikenakan hukuman kawad selama 45 minit.
Selain itu, adiknya bimbang akan berdepan tindak balas daripada anggota-anggota tentera yang lebih senior yang tinggal bersamanya di berek bujang berkenaan.
Sehubungan itu, pengadu yang meminta identitinya dirahsiakan meminta pemilik akaun Twitter tersebut membantu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi adiknya.
Walau bagaimanapun, lokasi kem tentera terbabit tidak dinyatakan.
Tangkap layar mesej daripada pengadu.
Sementara itu, Hishamuddin melalui laman Facebook miliknya meminta individu berkenaan supaya menghubungi beliau atau pejabatnya untuk memberi maklumat lanjut.
“Jangan risau, identiti anda akan dirahsiakan,” katanya.
Beliau menambah, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz juga telah diarah untuk menelitti perkara itu secara peribadi.
“Jika sahih, tindakan tegas akan diambil,” tegasnya.