Category: Semasa

  • Nama Nik Abduh naik ke tidak? Tunggu hari penamaan calon – Hadi

    Nama Nik Abduh naik ke tidak? Tunggu hari penamaan calon – Hadi

    PAS terus meninggalkan teka-teki sama ada Nik Mohammad Abdul Nik Abdul Aziz akan dinamakan sebagai calon dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini atau tidak.

    Presiden Pas, Abdul Hadi Awang bagaimanapun berkata, perkara tersebut akan diketahui pada hari penamaan calon nanti.

    “Tunggu hari penamaan calon, tengok nama dia (Nik Abduh) naik ke tidak. Insya-Allah (ada kejutan),” katanya pada sidang media selepas ceramah sempena pelancaran jentera PRN Kelantan di Kota Bharu, malam tadi.

    Hadir sama Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin serta barisan kepimpinan Pas Kelantan.

    Abdul Hadi berkata demikian ketika ditanya sama ada anak bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu akan dicalonkan atau sebaliknya.

    Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu, Nik Abduh digugurkan daripada menjadi calon selepas dua penggal menjadi wakil rakyat Pas bagi Parlimen Pasir Mas dan Bachok.

    Sementara itu ditanya sama ada terdapat bekas pimpinan parti UMNO akan dinamakan menjadi calon Perikatan Nasional (PN), Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN mengiyakannya.

    “Ada, Insya-Allah. Tak perlu kita sebut kerana kita takut kena ‘hijack’ tengah jalan dan macam-macam.

    “Zaman ini zaman lanun banyak,” kata Abdul Hadi, lapor Malaysiakini.

  • Anwar beri bayangan PRN berlangsung Ogos

    Anwar beri bayangan PRN berlangsung Ogos

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri dijangka diadakan sekitar Ogos depan.

    Bercakap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama masyarakat India di Nilai, Negeri Sembilan semalam, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, PRN akan diadakan selewat-lewatnya pada bulan berkenaan.

    “Saya minta kerjasama kawan-kawan semua, bagi sokongan kerana negeri ini akan ada pilihan raya (pada) Ogos. Mesti ada pilihan raya selewat-lewatnya Ogos, mesti pilihan raya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Setakat ini, DUN Selangor dan Kelantan sudah dibubarkan masing-masing pada Jumaat dan Khamis lalu, sementara DUN Pulau Pinang dan DUN Kedah dijangka dibubarkan pada Rabu depan.

    Bagi Terengganu pula, Menteri Besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memohon pembubaran DUN minggu depan.

    Di Negeri Sembilan, Menteri Besarnya Aminuddin Harun sebelum ini memaklumkan, DUN di negeri itu akan dibubarkan pada 30 Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menetapkan tarikh hari mengundi bagi PRN di enam negeri terbabit dalam tempoh 60 hari selepas pembubarannya.

    Sementara itu, Anwar menyeru pengundi khususnya di Negeri Sembilan untuk terus memberi mandat kepada PH dan Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir dan menerajui negeri itu.

    “Kita kena jaga negeri ini supaya boleh jaga semua kaum. (Setiausaha Agung DAP), Anthony Loke kata ada orang tunggu (mahu ambil alih kerajaan negeri), dia boleh tunggu.

    “Tapi kalau mahu selamat ini negeri, mahu jaga ini negeri, mahu semua kaum kita jaga, kamu (rakyat) mesti jaga PH dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

  • ‘Tawaran dibuat sekali sahaja, terserah KJ buat keputusan’

    ‘Tawaran dibuat sekali sahaja, terserah KJ buat keputusan’

    PERIKATAN Nasional (PN) masih terbuka untuk menerima sebarang keputusan daripada Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung tawaran menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan peluang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

    Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berpandangan, tawaran berkenaan cukup dibuat sekali sahaja kepada bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

    “Kalau dia (Khairy) main tarik tali tak apa, pada saya apabila presiden (Tan Sri Muhyiddin Yassin) cakap sekali sahaja, kemudian cukup.

    “Sama ada dia terima atau tidak itu terpulang kepada dia,” katanya pada pemberita selepas berucap pada Himpunan Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu malam tadi, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, Muhyiddin mengakui menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada Khairy, jika beliau mahu menyertai parti itu.

    Muhyiddin mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat daripada UMNO pada Januari lalu.

    Media kemudian melaporkan Khairy seolah-olah memberi gambaran menolak tawaran itu semasa pertemuannya dengan Muhyiddin pada Isnin lalu.

    Beliau bagaimanapun berkata, akan mempertimbangkan semula tawaran tersebut atas permintaan Muhyiddin.

  • Mengundi pertahankan Islam fardu ain, kata Abdul Hadi

    Mengundi pertahankan Islam fardu ain, kata Abdul Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyifatkan mengundi mempertahankan Islam merupakan fardu ain.

    Menurut beliau, perkara itu wajib bagi semua pengundi lelaki dan wanita termasuk golongan muda.

    “Jangan pula kita tidak keluar mengundi,” katanya semasa berucap pada ceramah di Pakat Pertahan Kelantan Pas Pilihanku dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu malam tadi

    Lebih 2,000 penyokong Pas hadir mendengar amanah yang disampaikan oleh pemimpin nombor satu parti itu.

    Hadir sama Setiausaha PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kepimpinan kerajaan Kelantan.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata, mengundi adalah tanggungjawab sangat besar dan bukan boleh dibuat main.

    “Seluruh rakyat disaran untuk memberikan sokongan kepada PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri nanti katanya.

    Beliau berkata, sokongan itu penting memandangkan UMNO sudah tidak mampu ketika ini.

    “Semoga segala usaha ini (keluar mengundi) akan diberkati oleh Allah” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Jangan serah Kedah kepada orang yang hanya cari makan

    Jangan serah Kedah kepada orang yang hanya cari makan

    Oleh BADLISHAH MAT

    KEDAH akan menjadi sasaran terbesar Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk ditumbangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi hanya kerana keberanian para pemimpinnya bercakap benar tentang hakikat yang berlaku selama ini.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, negeri itu akan diberi tumpuan penuh oleh pihak lawan untuk dirampas kerana mereka mula menyedari betapa agung dan hebatnya Kedah yang boleh melonjak maju pada masa depan.

    Katanya, keberanian rakyat negeri itu untuk bangkit dan pakar-pakar sejarah yang mula bercakap soal Kedah tidak akan dipandang begitu sahaja dan dibiarkan dengan mudah oleh pihak lawan.

    “Semakin banyak cabaran, tohmahan akan dilempar kepada kita. Untuk bangkitkan kembali Kedah dan kehebatan rakyatnya, jangan serah (Kedah) kepada orang yang hanya mencari makan di negeri ini tetapi bercakap bagi pihak negeri lain.

    “Jangan biarkan anak cucu kita terpengaruh dengan agenda dibawa para pemimpin yang ambil naratif sejarah penjajah sebagai bahan untuk diceritakan sejarah negeri ini kepada orang ramai.
    Sangat penting untuk kita pastikan apa yang telah berlaku masa lalu disampaikan dengan benar, berani dan tanpa segan silu kepada siapa pun.

    “Tidak ada sesiapa yang ada hak untuk tutup mulut kita daripada bercakap benar tentang diri kita. Kita dipanggil celupar, bodoh, angkuh dan pelbagai nama tapi kita tak peduli semua itu kerana selagi benar kita akan terus berjalan di atas landasan ini,” katanya ketika berucap pada Himpunan Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

    Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, selama ratusan tahun sejak 1786, sejarah negeri yang berkat itu telah ditenggelamkan untuk kepentingan penjajah dan konco-konconya.

    Stadium Darul Aman yang memiliki kapasiti kira-kira 25,000 orang hampir dipenuhi lautan manusia apabila rakyat Kedah dan negeri sekitarnya membanjiri lokasi itu bagi menyertai program Himpunan Kedah Berselawat anjuran kerajaan negeri Kedah.

    Beliau berkata, apa yang sedang dilaksanakan ketika ini adalah membuka lembaran sebenar yang lama disembunyikan untuk dijadikan rujukan, panduan dan pedoman kepada generasi seterusnya yang akan memimpin Kedah agar sekali lagi menjadi negeri yang membawa cahaya Islam ke seluruh rantau ini.

    Katanya, bagi mencapai cita-cita itu, ketahanan, kesungguhan, iltizam, kepandaian dan keberanian serta kepetahan harus disebar luas bagi mendapat sebanyak mungkin sokongan, pihak yang bersimpati dan mahu bersama-sama menjadikan Kedah sekali lagi negeri yang hebat.

    “Naratif sejarah penjajah di negeri ini kita akan tamatkan selama-lamanya. Kami tak mahu lagi dengar naratif penjajah, yang kami nak tahu hakikat sebenar apa yang telah terjadi kepada nenek moyang, rompakan, pembunuhan besar-besaran yang kamu lakukan kepada rakyat negeri ini,” katanya.

    Tambah beliau, menjelang kedatangan PRN juga, ramai pemimpin parti lawan akan berkunjung ke Kedah bagi mengajak rakyat atau pengundinya memenangkan mereka agar selari dengan Kerajaan Persekutuan untuk diberikan peruntukan, keistimewaan dan sebagainya.

    “Keadilan harus diberi tanpa kira latar belakang dia pemimpin kamu atau bukan penyokong kamu. Bagaimana Saidina Umar berlaku adil kepada orang Yahudi, demikianlah kita selama jadi rakyat negeri ini dan sebahagian negara ini kerana kita tak perlu parti sama untuk mereka berlaku adil kepada kita dan kita berlaku adil kepada mereka.

    “Inilah hakikat ilmu siasah yang tak berani diungkapkan, mereka hanya berani ungkapkan akan berlaku keadilan, akan diberi peruntukan, keistimewan dan apa diperlukan hanya apabila (kerajaan) sama dengan mereka, itu kempen songsang,” katanya.

    Justeru Muhammad Sanusi mengingatkan jentera parti untuk bersungguh-sungguh bekerja bagi memastikan ‘kubu’ di negeri Kedah tidak tembus dari sisi yang dijaga, sebaliknya perlu sentiasa kukuh dan utuh walaupun di mana sahaja. 

  • ‘Siapa fitnah saya akan disaman’ – Hamzah

    ‘Siapa fitnah saya akan disaman’ – Hamzah

    KETUA Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin sekali lagi menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang melemparkan tuduhan ke atasnya berkait penerimaan wang judi untuk pilihan raya dan tidak membayar cukai.

    Tegas Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu, beliau tidak pernah menerima apa-apa dana judi daripada mana-mana pihak dan bersumpah atas nama ALLAH atas perkara itu.

    “Saya akan saman siapa yang membuat fitnah. Saya akan saman mereka, saya berada di landasan yang benar,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 10,000 hadirin pada Himpunan Ppakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Kota Bharu malam tadi.

    Menurut Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, fitnah tersebut menyebabkan pejabatnya ‘diserang’ oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencari bukti menyimpan duit judi.

    Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati tiada wang tersebut ditemukan.

    “Selepas itu ada yang buat cerita tidak bayar cukai sehingga Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tampil membuat pemeriksaan.

    “Saya arahkan pegawai untuk mengutip semua data dan akhirnya kita berjaya selesaikan perkara itu dengan LHDN dan SPRM,” katanya.

    Hamzah berkata, sebelum menjadi ahli Parlimen beliau merupakan seorang ahli perniagaan.

    “Saya jadi ahli Parlimen bermula pada tahun 2008,” ujar beliau lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, media melaporkan kediaman Ketua Pembangkang itu diserbu dan digeledah oleh pegawai dari LHDN.

    Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai serbuan tersebut.

    Kata Anwar, serbuan dan penggeledahan oleh pegawai LHDN di rumah Hamzah merupakan urusan agensi berkenaan selaku badan penyiasat.

  • Sanusi menghadap Sultan Kedah mohon perkenan bubar DUN

    Sanusi menghadap Sultan Kedah mohon perkenan bubar DUN

    OLeh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pagi ini menghadap Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi memohon perkenan baginda berkenaan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

    Muhammad Sanusi tiba ke Wisma Darul Aman kira-kira pukul 10.22 pagi manakala kenderaan rasmi membawa Sultan Sallehuddin dilihat memasuki pekarangan wisma tersebut kira-kira empat minit kemudian.

    Difahamkan Menteri Besar itu menghadap Sultan Sallehuddin di pejabat baginda dengan diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali bersama Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Nik Azhan Hakim Nik Mahmood.

    Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dijadualkan akan mengadakan sidang media kira-kira pukul 12 tengah hari nanti.

    Sebelum ini Muhammad Sanusi memaklumkan, beliau akan mencadangkan 28 Jun depan sebagai tarikh pembubaran DUN kepada Sultan Sallehuddin.

    Kereta rasmi membawa Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah tiba di pekarangan Wisma Darul Aman bagi menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kira-kira pukul 10.26 pagi tadi.

    Penggal DUN Kedah kali ini sepatutnya berakhir pada 4 Julai depan.

    Kedah memiliki 36 kerusi DUN yang menyaksikan PN diterajui Muhammad Sanusi ketika ini menguasai 20 kerusi (PAS-14, Bersatu-6) diikuti Pakatan Harapan (PH) yang memiliki 10 kerusi (PKR-5, Amanah-3, DAP-2), sementara Barisan Nasional dan Pejuang masing-masing dua kerusi.

    Dua lagi kerusi kosong selepas ADUN Gurun dari PKR, Datuk Johari Abdul memaklumkan beliau telah mengosongkan kerusinya pada 18 Dis tahun lepas selepas dilaporkan menjadi antara calon bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, sementara ADUN Belantek dari PAS Datuk Mohd. Isa Shafie meninggal dunia, pada 14 Jun lalu.

  • Nilai ringgit jatuh, PN desak Rafizi letak jawatan

    Nilai ringgit jatuh, PN desak Rafizi letak jawatan

    PERIKATAN Nasional (PN) mendesak Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli meletakkan jawatan selepas dikatakan gagal mengatasi masalah kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) serta ekonomi negara ketika ini.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keadaan nilai mata wang jatuh itu dipercayai berikutan tidak ada polisi yang dibuat untuk kepentingan rakyat.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) mendakwa, Rafizi tidak tahu menguruskan formula dengan betul sebaliknya cuba menyalahkan pihak pembangkang pula.

    “Minggu lepas dia cakap “wahai pembangkang-pembangkang terutamanya ketua pembangkang,ramai daripada kamu dahulu,bekas menteri yang banyak pengalaman, tolonglah nasihat kami”.

    “Eh, dulu kau (Rafizi) pergi merata-rata kata macam-macam formula yang kau boleh lakukan. Hari ni dah nak minta tolong, dah tak tahu bagaimana nak menguruskan ekonomi, sahabat mereka daripada UMNO balun cukup-cukup. UMNO pula kata, “Rafizi engkau dah tak reti jadi menteri, engkau turun”.

    “Sekarang ini, rakyat pula nak beritahu, kalau engkau dah tak reti bagaimana nak menguruskan negara ini engkau… (turun),” sambil disahut penyokong ketika berucap di hadapan lebih 10,000 hadirin pada Himpunan Pakat Pertahan dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Negeri Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di Alor Setar malam tadi.

    Ahli Parlimen Larut itu juga menambah sewaktu beliau menjadi Menteri Dalam Negeri, harga ringgit turun sedikit dan hanya akan meningkat jika PN kembali mentadbir negara.

    “Rakyat menghadapi masalah yang begitu besar, kos sara hidup. Ikan selayang dulu harga murah, sekarang dah naik melebihi RM10, RM13, RM14, RM16, RM18. Jangan naik sampai RM20, naik RM20, kita rampas balik kerajaan Malaysia.

    “Saya nak maklumkan kepada pemimpin yang ada pada hari ini, kalau kamu tidak tahu bagaimana menguruskan ekonomi negara, rakyat akan buktikan referendum (pemungutan suara rakyat berhubung dengan sesuatu dasar politik) dalam Pilihan Raya Negeri kali ini, kita mahu mereka turun dan gantikan dengan pemimpin-pemimpin PN,” ujar beliau lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini, UMNO Selangor menafikan mengeluarkan surat atau kenyataan mendesak Rafizi melepaskan jawatan beliau.

    UMNO Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan surat itu adalah palsu dan fitnah terhadap kepimpinan parti di negeri berkenaan.

  • Alunan selawat bergema di Stadium Darul Aman

    Alunan selawat bergema di Stadium Darul Aman

    Oleh BADLISHAH MAT

    STADIUM Darul Aman yang memiliki kapasiti kira-kira 25,000 orang hampir dipenuhi lautan manusia apabila rakyat Kedah dan negeri sekitarnya membanjiri lokasi itu bagi menyertai program Himpunan Kedah Berselawat anjuran kerajaan negeri Kedah.

    Majlis yang bermula sejak pukul 7.30 malam itu dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah diikuti solat hajat dan doa munajat sebelum diteruskan dengan kuliah Maghrib Perdana serta solat Isyak.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor antara pimpinan utama yang hadir ke program itu bersama barisan Exco Kerajaan Negeri serta wakil-wakil rakyat negeri Kedah.

    Turut hadir, tokoh ulama Kedah, Abdullah Lebai Samah yang juga pengasas Madrasah Takwiyatul Islamiah atau dikenali Pondok Bukit Lada; Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah, Syeikh Mohamad Rodi Abdul Rahman dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim.

    Sebanyak empat pusingan selawat dan qasidah dialunkan sepanjang himpunan tersebut sebelum Tausiah disampaikan oleh Syeikh Muhd. Zainal Asri Mohd. Romli dan diikuti ucapan Muhammad Sanusi.

    Muhammad Sanusi berkata, program berkenaan merupakan himpunan terbesar yang diadakan dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.

    “Himpunan yang besar pernah diadakan di Stadium Darul Aman adalah Himpunan Hijau pada tahun 2012.

    “Alhamdulilah Allah beri izin dan Allah paut hati-hati kita untuk berhimpun bersama dengan para alim ulama, asatizah dan para pemimpin yang dalam tempoh bebrapa tahun ini sedaya upaya membawa kebaikan seperti mana dituntut Allah,” katanya pada program itu malam tadi.

  • PRN: Muhyiddin ingatkan jentera PN jangan pinggirkan kawasan hitam

    PRN: Muhyiddin ingatkan jentera PN jangan pinggirkan kawasan hitam

    PENGERUSI Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa jentera parti tidak meminggirkan kawasan hitam di sesuatu kawasan pilihan raya dengan anggapan kawasan tersebut tidak mempunyai potensi memberikan undi kepada parti.

    Menurutnya, dalam situasi semasa politik hari ini tidak mustahil pengundi di kawasan hitam itu mampu memberikan undi kepada Perikatan Nasional (PN).

    “Sebab itu saya tidak mahu kita (jentera) membuat kesimpulan awal. Oleh kerana kawasan tersebut kawasan hitam, kawasan kelabu, kita tak payah pergi. Biar dia gelap selama-lamanya. Terutamanya masa ini di kawasan UMNO. Dulu mungkin itu kawasan kuat UMNO tapi kali ini mungkin tidak lagi,” katanya berucap pada Konvensyen PN Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam hari ini.

    Muhyiddin berkata, peluang tersebut perlu direbut lebih-lebih lagi UMNO kini berada dalam keadaan ‘hancur’ di bawah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Sementara itu, Muhyiddin mengakui tidak kisah sekiranya ahli atau pemimpin UMNO tidak menyertai mana-mana parti komponen PN dengan alasan sudah memadai jika mereka menyatakan sokongan terhadap gabungan itu.

    Justeru, beliau mengingatkan kepada ahli serta pemimpin PN supaya jangan memaksa ahli UMNO untuk menyertai gabungan itu.

    Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden BERSATU tetap menaruh harapan kepada pemimpin UMNO supaya meninggalkan parti itu dengan beralih menyatakan sokongan kepada PN.

    “Orang UMNO memang tidak akan berganjak kerana kita pun tidak akan lari dan tinggalkan parti kerana ia sudah sebati dengan hidup kita.

    “Hari ini, sudah pun ramai yang meninggalkan UMNO. Pemimpin besar, pemimpin sederhana mahupun pemimpin kecil, bawahan mengisytihar sokongan kepada PN. Terima kasih Tan Sri Noh Omar dan banyak lagi. Saya tak payah sebut di sini.

    “Yang lain kata dia tak kena keluar dulu tetapi dia tetap sokong PN. Tak apa, jangan paksa suruh masuk mana-mana parti, asalkan dia sokong (PN).

    “Saya percaya kali ini sebab yang menyokong UMNO dulu akan meninggalkan UMNO dan menyokong PN, Insya-Allah,” katanya ketika Konvensyen PN Selangor 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

    Pada majlis sama, Muhyiddin menyentuh mengenai pemilihan calon PN untuk pilihan raya negeri (PRN) dalam masa terdekat.

    Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau menegaskan calon yang disenaraikan oleh pucuk pimpinan parti dalam gabungan itu wajib diterima.

    “Ramai calon berkelayakan (dalam PN). Di Selangor khususnya sudah diteliti.

    “Pucuk pimpinan putuskan (siapa dipilih jadi calon)… (maka) wajib terima calon itu…setuju?” katanya.

    Mengulas manifesto PN, Muhyiddin berkata ia akan dilancarkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.