Category: Semasa

  • 55 peratus permohonan pertukaran guru diluluskan – Radzi

    55 peratus permohonan pertukaran guru diluluskan – Radzi

    Oleh RIZQI ZABIDI
     
    Pendekatan menyeluruh diambil Kementerian Pendidikan kali ini bakal mendatangkan kegembiraan kepada lebih ramai guru yang memohon untuk bertukar tempat kerja apabila lebih separuh daripada 20,772 permohonan yang dibuat, telah diluluskan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, menerusi pengumuman yang akan dibuat esok, permohonan seramai 11,469 guru atau 55 peratus daripada jumlah keseluruhan pemohon telah diluluskan.

    Katanya, peratusan itu merupakan yang tertinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini yang secara puratanya mencatatkan peratusan antara 22 hingg 31 peratus sejak 2017 hingga 2020.

    “Pada tahun ini kita melakukan pendekatan baharu bagi membolehkan lebih ramai guru dapat bertukar tempat kerja seperti dihasratkan mereka.

    “Antaranya pihak kementerian turut mengambil kira pengambilan seramai 18,702 yang sedang dijalankan. Sebelum guru-guru ini ditempatkan, maka kita selesaikan dulu pertukaran guru sedia ada,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Akademi Sains Pendang, hari ini.

    Mengulas lanjut katanya, pihak kementerian turut memberi tumpuan kepada sejumlah guru berasal dari semenanjung yang telah lama berada di Sabah, Sarawak dan Labuan.

    “Dalam permohonan mereka ini, ada yang merasakan sudah sampai masanya untuk mereka kembali ke sememanjung atas faktor tertentu. Maka jika negeri atau kawasan yang dipohon mereka itu sudah penuh sekali pun, pihak kementerian akan tempatkan mereka di kawasan mahu pun negeri terdekat dengan tempat dipohon.

    “Ada juga dalam kalangan guru yang mengajar subjek di luar opsyen asal mereka di universiti. Maka kita akan ambil pendekatan untuk sesuaikan mereka dengan opsyen baharu,” katanya.

    Tambahnya, usaha dilakukan kementerian itu diharap mampu menggembirakan para guru terlibat selain mengurangkan tekanan dihadapi mereka terutamanya yang berada berjauhan dari pasangan.

    “Kesemua kelulusan permohonan ini akan kita umumkan esok,” katanya.

  • 2 ADUN positif COVID-19, sidang DUN Kelantan tangguh

    2 ADUN positif COVID-19, sidang DUN Kelantan tangguh

    PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadualkan berlangsung sehingga Selasa (7 Dis) ini ditangguhkan lebih awal berikutan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) positif COVID-19.

    Speaker DUN Datuk Abdullah Ya’kub berkata keputusan menangguhkan persidangan DUN ini terpaksa dilakukan bagi mengelak berlakunya penularan COVID-19 kepada orang lain.

    “Sepatutnya kita tamat persidangan pada 7 Dis depan..saya mendapat maklumat, dua ADUN iaitu dari Tanjong Mas (Rohani Ibrahim) dan ADUN Tendong (Mohd Rozi Muhamad) positif COVID-19, jadi kita terpaksa menangguhkan sidang DUN Kelantan sehingga diberitahu kelak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Sidang DUN Kelantan di Kota Darulnaim, di Kota Bharu, hari ini.

    Dalam perkembangan sama, Abdullah turut memaklumkan ADUN Kemuning Mohd Roseli Ismail sedang menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada anaknya yang positif COVID-19.

    Sebelum menangguhkan Sidang DUN itu, Abdullah berkata Belanjawan Negeri Kelantan 2022 telah diluluskan sebulat suara, tanpa dibahaskan.

    “Kita dapat tamatkan persidangan selepas lulus Belanjawan 2022 yang dibentangkan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob dan mengikut Perkara 29 peraturan dewan, Speaker berkuasa untuk menangguhkan dewan pada bila-bila masa,” katanya.

    Belanjawan Kelantan 2022 bertemakan ‘Kelantan Maju Rakyat Sejahtera’ memperuntukkan sejumlah RM1.51 bilion sebagai perancangan berbelanja secara berhemat.

    Ia melibatkan enam teras iaitu Transformasi Kewangan, Memacu Ekonomi, Pendidikan dan Agama, Kesejahteraan Rakyat, Pelindungan Sosial dan Kebajikan. – BERNAMA

  • Ugut bunuh pekerja restoran direman, tukang masak direman 3 hari

    Ugut bunuh pekerja restoran direman, tukang masak direman 3 hari

    SEORANG tukang masak yang membuat ugutan mahu membunuh pekerja restoran di Taman Cheras, Kuala Lumur, kelmarin direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

    Menerut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, lelaki warga emas tersebut yang berusia 62 tahun itu ditahan ketika berada di bilik sewanya semalam.

    “Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Suspek bekerja sebagai seorang tukang masak di sebuah restoran berdekatan Jalan Kaskas, Cheras.

    “Ini adalah kejadian kali pertama suspek berkelakuan begitu, suspek merasa marah kerana dituduh membuang sampah dan air dari atas sedangkan itu bukanlah perbuatannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhammad Idzam berkata, suspek tinggal di bilik sewa itu sejak beberapa bulan lalu dengan sewa RM400 sebulan.

    “Suspek juga tidak fasih berbahasa Melayu semasa rakaman percakapan diambil,” katanya.

    Media semalam melaporkan seorang lelaki berang kerana ditegur membuang air dan sampah dari tingkat atas unit kediamannya sehingga mengenai sebuah restoran di bawahnya.

    Dalam kejadian pukul 7 pagi kelmarin, suspek didakwa mengugut pekerja lelaki itu sambil memegang pisau pemotong sayur.

    Hasil siasatan awal mendapati suspek dikatakan sering membuang sampah dan air dari tingkat unit kediaman yang disewanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

  • Itu masalah DAP…apa hal babitkan Pas?

    Itu masalah DAP…apa hal babitkan Pas?

    PENULIS sebenarnya tidak ada masalah malah memuji tindakan Hannah Yeoh yang bertudung apabila hadir dalam satu majlis di sebuah masjid, baru-baru ini.

    Apa yang dilakukan oleh Hannah harus dipuji kerana tahu membawa diri dan menghormati majlis. Bagaimanapun apabila tindakan Hannah dikritik oleh rakan separtinya itu yang menjadi masalah.

    Bekas Pengerusi DAP Johor, Dr. Boop Cheng Hau  mengkritik cara pemakaian Hannah itu dalam kumpulan WhatsApp pemimpin DAP.

    “Mungkin semua wakil wanita kita harus memakai tudung bukan sahaja di masjid tetapi di seluruh tempat seperti di pasar awam, gereja, sekolah dan sebagainya.

    “Lebih bagus, semua orang perlu memeluk Islam. Kemudian kita akan pasti memenangi Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang. Apa kata anda semua?” sindirnya yang juga bekas pengerusi DAP Johor seperti dilapor portal Malaysiakini berdasarkan komunikasi WhatsApp yang bocor.

    Kritikan itu mendapat reaksi Setiausaha Agung Lim Guan Eng., sekali lagi penulis tidak ada masalah dengan teguran beliau apabila Ahli Parlimen Bagan itu menasihatkan Boo agar mengutamakan isu rakyat seperti kenaikan harga barang keperluan yang melambung tinggi berbanding ‘taksub’ terhadap pakaian pemimpin wanita DAP ketika melawat masjid atau tempat ibadat”.

    “Bagi seorang pemimpin lelaki DAP menjadikan pakaian dipakai Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh ketika mengunjungi masjid sebagai satu masalah tidak ada bezanya dengan pemimpin Pas yang ekstremis dan primitif yang mahu mengawal apa yang boleh atau tidak boleh dipakai oleh wanita.

    “Ini bukan sahaja tidak sensitif jantina tetapi juga menunjukkan bahawa kita sama tidak bertoleransi dan regresif seperti pemimpin ekstremis Pas,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan seperti dilapor Malaysiakini.

    Soalnya apa hal pula dikaitkan dengan Pas? Setahu penulis tidak ada seorang pun pemimpin Pas yang membuat sebarang komen berhubung pakaian Hannah.

    Sepatutnya Guan Eng lebih berhati-hati apabila membuat kenyataan bak kata orang.. ”Itu masalah kau orang..apa hal babitkan Pas”.

    Penulis percaya tidak ada mana-mana pemimpin Pas akan mencampuri apa yang Hannah lakukan kecualilah beliau mengenakan pakaian menjolok mata ketika memasuki masjid.

    Kalau itu berlaku bukan kata Pas malah seluruh umat Islam akan bangkit mengecam Hannah tetapi itu tidak berlaku kerana Hannah tahu apa yang pakaian sesuai untuk memasuki kawasan masjid.

    Gambar Facebook Hannah Yeoh

    Dan untuk rekod, ini bukan kali pertama Hannah bertudung apabila menghadiri majlis di masjid, sejak beberapa tahu lalu lagi beliau berbuat demikian. Rajin-rajinlah Google atau Facebook Hannah Yeoh… di situ ada gambar-gambar berkaitan. Jadi agak hairan jugak kenapakah kali ini ia menjadi isu?

    Adakah benar  apa yang terjadi membuktikan pertembungan tidak berkesudahan antara puak progresif dan konservatif dalam DAP?

    Tetapi tidak mengapalah, itu soal dalaman DAP, namun kalaulah ada perbezaan pandangan atau pertembungan antara kelompok dalam parti janganlah nak alih isu dengan melibatkan parti lain.

    Sebab itu sebenarnya politik tidak cerdik dan membuktikan kelemahan seorang pemimpin mengendalikan isu dalaman partinya. Seperkara lagi kenapa Guan Eng menganggap pemimpin Pas bersikap ekstrem? Apa buktinya? Bagaimana kalau orang menuduh DAP parti perkauman? Adakah Guan Eng boleh menerimanya? Jadi janganlah menuduh parti lain sesuka hati!

    Tak kan usaha Pas mempertahankan perjuangan Islamnya dan memastikan perkara-perkara berkaitan Islam ditegakkan itu dianggap ekstrem? Selagi apa yang dilakukan bertepatan Perlembagaan dan tidak mengganggu hak kaum serta agama lain, ia tidak ada salahnya.

    Kalaulah Guan Eng sesuka hati boleh melemparkan tuduhan kepada Pas maka jangan marah jika selepas ini pemimpin Pas pula akan bertindak balas mengecam DAP. Soalnya adakah itu akan menguntungkan rakyat?

    Oleh itu lebih baik jika Guan Eng tidak mengaitkan parti lain bila ada isu dalam DAP. Jika Guan Eng menasihatkan Boo supaya menumpukan kepada  isu rakyat seperti kenaikan harga barang maka beliau juga seharusnya mengelakkan membuat kenyataan yang hanya akan ‘memanaskan suhu’ politik negara.

    Janganlah menjadi ‘ketam mengajar anaknya berjalan betul’ walaupun kita tahu DAP masih lagi ‘berduka’ dengan pencapaian di PRN Melaka dan gelisah jika di PRN Sarawak keputusannya lebih parah.

  • PM berkongsi rasa sedih selepas pemergian Sabbaruddin dalam Facebook

    PM berkongsi rasa sedih selepas pemergian Sabbaruddin dalam Facebook

    PADA 21 Oktober lalu, rakyat disajikan dengan berita, bagaimana dalam kesibukan tugas sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ‘mencuri masa’ seketika untuk menyantuni sifu politik beliau, Tan Sri Sabbaruddin Chik dalam satu majlis makan malam.

    Daripada gambar-gambar yang disiarkan dalam Facebook Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Anuar Yunus jelas terpancar kemesraan dan keakraban antara Ismail Sabri dengan Sabbaruddin yang disifatkan Perdana Menteri  insan penting dalam perjalanan kerjaya politik beliau.

    Malam tadi genap 45 hari selepas pertemuan yang dianggap bersejarah itu, Sabbaruddin Chik menghembuskan nafas terakhir pukul 8 malam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), selepas seminggu dimasukkan ke pusat rawatan tersebut.

    Kembalinya ke rahmatullah, bekas Setiausaha Agung UMNO itu sememangnya satu berita mengejutkan kepada Perdana Menteri yang mencatatkan perasaan sedih dan dukanya dalam Facebook beliau malam tadi.

    Berikut catatan penuh Ismail Sabri;

    Innalillahi wa inna ilaihi raji’un

    Telah berpulang kepada Allah SWT, seorang insan yang sebahagian kehidupan saya ‘terhutang’ kepadanya.

    Sedih dan duka apabila menerima perkhabaran, sifu dan mentor politik saya, Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin bin Chik telah meninggalkan kita semua selama-lamanya.

    Tan Sri meninggal dunia sekitar pukul 8 malam ini setelah seminggu dimasukkan ke hospital di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

    Allahyarham adalah episod penting bagi sejarah perjuangan saya dalam dunia politik.  Akan selamanya menjadi kenangan dan ingatan sewaktu Allahyarham menjadi Menteri Pelancongan Seni dan Budaya dari tahun 1987 sehingga 1996.

    Ketika saya berusia 27 tahun, Allahyarham telah melantik saya sebagai ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 1987, sebelum dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh beberapa bulan selepas itu.

    Pada tahun 1995, saya memulakan karier politik dengan memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham. Ketika itulah, banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya peroleh berkat tunjuk ajar Allahyarham.

    Sesungguhnya Allahyarham seorang yang amat berdisiplin dan menepati waktu, malah sangat tekun dan berwibawa dalam melaksanakan amanahnya untuk rakyat dan negara.

    Segala ilmu dan tunjuk ajar Allahyarham, tidak pernah saya lupakan dan akan saya kenang sepanjang kehidupan ini. Pemergian Allahyarham adalah kehilangan yang begitu besar, bukan sahaja kepada saya tetapi juga buat negara kita. Saya berdoa agar seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan menerima kehilangan besar ini.

    Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

    Marilah kita semua sama-sama menghadiahkan surah al-Fatihah buat Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik. Al-Fatihah.

  • Warga emas rugi RM60,000 diperdaya kekasih luar negara

    Warga emas rugi RM60,000 diperdaya kekasih luar negara

    SEORANG warga emas kerugian RM60,000 selepas terperdaya dengan janji kekasih maya dari luar negara yang dikenalinya menerusi media sosial.

    Mangsa berusia 68 tahun itu mula berkenalan dengan suspek pada 2 Ogos lalu yang mendakwa bekerja di sebuah pelantar minyak di Australia.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd Yusof berkata, hubungan mereka semakin rapat selepas sering berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp.

    “Pada 30 November lalu, suspek telah meminta bantuan wang dengan mendakwa mahu membeli mesin pelantar minyak dan mangsa mempercayai kata-kata suspek.

    “Susulan itu, mangsa telah membuat tiga transaksi berjumlah RM60,000 ke dalam akaun yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau menjelaskan, selepas memasukkan wang tersebut, suspek gagal dihubungi dan menyebabkan mangsa merasa dirinya telah ditipu.

    “Mangsa kemudian tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan membuat laporan berhubung kejadian itu.

    “Kes masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan modus operandi ‘love scam’,” katanya.

  • PRN Sarawak : Pas hanya bertanding di DUN Beting Maro

    PRN Sarawak : Pas hanya bertanding di DUN Beting Maro

    PAS akan hanya meletakkan seorang calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

    Beliau berkata keputusan meletakkan seorang calon dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk situasi terkini Covid-19 dalam negara.

    Calon tunggal parti itu ialah Setiausaha Pas negeri Mohammad Arifiriazul Paijo.

    “Keputusan meletakkan hanya seorang calon pada PRN12 dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk situasi Covid-19 yang masih belum berakhir. 

    “Pas juga mahu memelihara hubungan di peringkat pusat dengan kerajaan pelbagai parti termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon Pas PRN12 Sarawak, hari ini,di Kuching.

    Turut hadir Ketua Penerangan Pas Senator Khairil Nizam Khirudin dan Pesuruhjaya Pas Sarawak Jofri Jaraiee.

    Mohammad Arifiriazul, 37, merupakan usahawan dan pernah bertanding di Lambir, satu daripada 11 kerusi yang ditandingi PAS pada PRN11.- BERNAMA

  • Sabaruddin Chik meninggal dunia

    Sabaruddin Chik meninggal dunia

    BEKAS menteri Kabinet, Tan Sri Sabbaruddin Chik meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) malam ini.

    Pegawai khasnya, Datuk Zamri Mohamad ketika mengesahkan berita berkenaan berkata, Sabbaruddin,80, sebelum ini dimasukkan ke PPUM sejak seminggu lalu bagi menjalani kuarantin selepas disahkan positif COVID-19.

    “Betul, Tan Sri baru saja meninggal dunia kira-kira jam 8 lebih tadi. Belum pasti akan dikebumikan di mana.

    “Kami pun sudah memaklumkan berita itu kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri) yang kini berada di Sarawak,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi., lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, segala urusan jenazah termasuk pengebumiannya dijangka akan dibuat sepenuhnya oleh pihak hospital.

    Ismail Sabri sebelum ini pernah menyifatkan Sabbaruddin Chik sebagai sifu dan mentor politik yang tidak mampu dibalas jasanya.

    Pada 21 Oktober lalu, walaupun sibuk dengan tugasnya, Perdana Menteri sempat mencuri masa bertemu dan menyantuni Allahyarham.

    Menurut  Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Anuar Yunus di Facebook berkata,, sikap Ismail Sabri yang merendah diri itu adalah detik cukup indah yang menunjukkan bagaimana seorang anak murid yang kini bergelar Perdana Menteri mengenang budi dan jasa bekas ketuanya.

    Allahyarham dianggap Perdana Menteri yang juga individu yang bertanggungjawab mengangkat Ismail Sabri ke dalam dunia politik.

    Perdana Menteri dilantik sebagai Setiausaha Politik Sabbaruddin pada 1995 hingga 1999 iaitu ketika beliau menjadi Menteri Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan.

  • Harga maksimum ayam dikuatkuasa mulai Selasa – Rosol

    Harga maksimum ayam dikuatkuasa mulai Selasa – Rosol

    HARGA  maksimum ayam standard ditetapkan RM9.30 sekilogram bagi jualan runcit dan RM8 sekilogram untuk pemborong di Semenanjung, kecuali Langkawi, berkuat kuasa Selasa ini.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, berkata ia ditetapkan bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang kali pertama diadakan, berkuat kuasa selama 25 hari hingga 31 Disember depan bertujuan meringankan beban rakyat dalam menghadapi kenaikan harga barang keperluan.

    Beliau berkata, berikutan pelaksanaan itu, harga ayam standard di Langkawi ditetapkan RM9.80 sekilogram (runcit) dan RM8.50 sekilogram (borong).

    Bagi Wilayah Persekutuan Labuan pula harga ayam standard ditetapkan RM11 sekilogram (runcit) dan RM10 sekilogram (borong).

    “Harga ayam standard adalah berbeza mengikut kawasan dan di Sabah serta Sarawak, kita menetapkannya antara RM9.30 hingga RM12.40 bagi pembelian runcit, dan RM8.10 hingga RM11.20 (borong).

    “Selain ayam standard, ada 11 jenis barang lagi yang dimasukkan bawah skim ini, seperti ayam hidup, telur ayam Gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import serta timun.’’ katanya di Kuala Berang seperti dilapor Berita Harian.

    Rosol berkata, sebagaimana ayam standard, harga kawalan bagi 11 barang lain terbabit juga adalah berbeza mengikut kawasan, dengan penetapan dibuat berdasarkan kesesuaian harga pasaran.

    “Ia mengambil kira pelbagai faktor perubahan harga, terutama bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan sebagainya,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, senarai barangan terbabit akan dikaji secara berterusan, termasuk ditambah atau digugur berdasarkan penilaian situasi pasaran.

    Beliau menjelaskan, SHMKM adalah berbeza dengan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang diadakan setiap tahun dengan pelaksanaannya diharapkan mampu menstabilkan harga barangan asas dalam pasaran.

    “Semua pihak dalam seluruh rantaian bekalan membabitkan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual, akan dikenakan tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi skim ini. Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi skim ini boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

  • Mayat kanak-kanak tidak berpakaian, reput ditemukan

    Mayat kanak-kanak tidak berpakaian, reput ditemukan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MISTERI bau busuk berhampiran kawasan semak dalam sungai di Jalan Anggerik Putih Majidee, Kampung Desa Makmur, Johor Bahru terjawab apabila mayat seorang kanak-kanak ditemukan hari ini.

    Mayat tersebut ditemukan seorang penduduk pada pukul 10.30 pagi sebelum memaklumkannya kepada pihak polis dan bomba.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Khomari Bakar berkata, susulan itu enam anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Mayat kanak-kanak tersebut ditemukan dalam keadaan tidak berpakaian dan dianggarkan berusia kira-kira tiga tahun manakala jantinanya tidak dapat dikenal pasti kerana keadaan mayat sudah reput.

    “Terdapat bahagian mayat tersebut sudah dimakan haiwan mungkin ikan atau biawak. Rambutnya sudah tiada, belakang tengkorak pecah dan otak juga sudah tiada.

    Anggota bomba dibantu polis mengangkat mayat kanak-kanak yang ditemukan dalam keadaan tidak sempurna di kawasan semak dalam sungai di Jalan Anggerik Putih Majidee, Kampung Desa Makmur, Johor Bahru, hari ini.

    “Kita anggarkan kanak-kanak tersebut sudah meninggal dunia dua atau tiga hari lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Katanya, pihak bomba kemudian mengeluarkan mayat kanak-kanak tersebut yang berkedudukan kira-kira 1.5 meter dari tebing sungai tersebut.

    Menurutnya, siasatan terhadap mayat kanak-kanak itu dilakukan unit forensik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Larkin di sini.

    Tambah beliau, penemuan mayat kanak-kanak itu agak menghairankan kerana sebelum ini pihaknya atau BBP berdekatan tidak menerima aduan berkenaan budak hilang atau lemas dalam sungai.

    Shamsul Khomari berkata, operasi yang diketuai Komander Operasi dari BBP Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Khairul Azharin Abd. Aziz tamat pada pukul 11.26 pagi.