Category: Semasa

  • Dua maut dua parah terpelanting dalam kemalangan

    Dua maut dua parah terpelanting dalam kemalangan

    DUA penunggang maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Buangsiol, Limbang, malam tadi.

    Mangsa yang maut ialah Akmal Haziq Arshad, 25 dan Richard Ruaini, 33.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, seorang lagi penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 17 tahun dan pembonceng salah satu motosikal iaitu warga Indonesia cedera parah.

    Menurutnya, hasil siasatan awal dijalankan mendapati ketika kejadian, Akmal dan seorang lagi rakannya sedang bergerak seiring dari arah Bandar Limbang menuju ke Patiambun.

    “Sampai di satu laluan lurus, sebuah lagi motosikal ditunggang Richard bersama-sama pemboncengnya tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan dua motosikal itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, impak perlanggaran yang kuat turut menyebabkan kesemua mangsa terpelanting ke tengah jalan.

    Pasukan paramedik yang menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa katanya, mengesahkan kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi parah.

    “Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Limbang untuk bedah siasat manakala dua mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Biarpun sukar namun masih ada ruang Bersatu bersama Pas,UMNO – Faizal

    Biarpun sukar namun masih ada ruang Bersatu bersama Pas,UMNO – Faizal

    WALAUPUN dilihat sukar namun Datuk Seri Ahmad Faizal Azumi berpendapat masih ada ruang buat parti itu bersama UMNO dan Pas.

    Timbalan Presiden Bersatu itu menegaskan, untuk menyaksikan kerjasama ketiga-tiga parti itu, usaha perlu dilakukan secara bersungguh-sungguh oleh semua pihak dan tanpa Batasan masa.

    Tegas beliau, walaupun Bersatu fokus bersama-sama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional namun dalam masa sama mereka juga komited memberi sokongan padu kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    ‘’Kalau nak melakukan, kebaikan, sampai hujung nyawa pun (boleh lakukan), kalau kita sempat bertaubat, kita harap Allah akan terima taubat kita, kita boleh balik je jalan yang baik.

    ‘’Saya secara peribadi berpandangan bahawa demi kebaikan tidak ada had masa,’’ katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Pada Sabtu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan UMNO melanggar piagam Muafakat Nasional menjadi punca parti itu menolak untuk bersama gabungan itu.

    SEMENTARA ITU di Kota Bharu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ada kemungkinan kenyataan Abdul Hadi disalah petik.

    Katanya, apa yang ingin dinyatakan oleh Abdul Hadi ialah dalam piagam Muafakat Nasional , penyatuan ummah perlu dilaksanakan bukan hanya antara UMNO dan Pas sahaja, sebaliknya perlu dibuka kepada semua parti lain dan badan bukan kerajaan.

    ‘’Satu lagi MoU, saya nak sebut dengan jelas apa yang disebut oleh Presiden Pas dalam piagam Muafakat Nasional ini, penyantuan ummah perlu dilaksnaakan bukan hanya (antara)UMNO dan Pas sahaja..mesti dibuka kepada semua parti lain, NGO dan orang perseorangan yang mempunyai cita-cita sama.

    ‘’Itu yang ditekankan oleh Presiden (Abdul Hadi) jangan hadkan penyatuan ummah itu antara Pas dan UMNO sahaja,’’ katanya.

  • Lebih 3,000 penduduk Kepala Batas serbu jualan murah Keluarga Malaysia

    Lebih 3,000 penduduk Kepala Batas serbu jualan murah Keluarga Malaysia

    LEBIH 3,000 penduduk sekitar Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini menyerbu pekarangan Wisma UMNO Kepala Batas untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga lebih murah.

    Ia sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang berlangsung selama lebih empat jam bermula pukul 8 pagi yang bertujuan meringankan beban kos perbelanjaan rakyat kebanyakan.

    Antara barangan asas yang dijual dengan harga yang murah adalah ayam mentah berharga RM5 seekor; sepapan telur ayam Gred C (RM8);  lima kilogram beras (RM10) serta daging lembu tempatan dijual berharga kira-kira RM30 sekilogram.

    Ahli Parlimen Kepala Batas yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, program yang menawarkan penjimatan antara 25 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan asas itu dapat meringankan beban kos sara hidup yang kian meningkat ketika ini.

    Malah melihat kepada sambutan yang diterima juga, beliau memberi jaminan program tersebut akan dilaksanakan setiap minggu sehingga harga barangan keperluan kembali terkawal.

    “Saya akan cuba usahakan (program jualan mingguan), jika dapat sambutan saya akan buat tiap-tiap minggu sehingga keadaan (harga) lebih stabil dan mungkin juga ada pendekatan lain (dalam menstabilkan harga barang),” katanya yang ditemui pemberita selepas meninjau program tersebut.

    Secara keseluruhan, program jualan yang disertai 10 buah syarikat dan agensi itu di berjaya mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM63,148 membabitkan nilai subsidi RM14,943.

    Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, pihaknya juga akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang; Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA); Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan beberapa pasar raya dari segi menyediakan bekalan untuk program tersebut.

    Program itu diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Disember lalu dan akan dilaksanakan di 222 kawasan Parlimen bermula Sabtu lalu bagi menawarkan harga barang keperluan asas antara 20 hingga 50 peratus lebih murah berbanding tempat lain.

    Inisiatif itu dilaksanakan oleh KPDNHEP; Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Kewangan.

  • Siasat isu ‘lesen terbang’ yang tular – Ka Siong

    Siasat isu ‘lesen terbang’ yang tular – Ka Siong

    MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sedia menyiasat berkenaan isu ‘lesen terbang’ yang tular dalam media sosial.

    Jika terbukti benar beliau akan memastikan pihak yang terbabit dengan perbuatan diri dikenakan hukuman setimpal.

    Beliau berkata, perkara itu juga kini dalam siasatan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Aktiviti menjual lesen memandu secara haram dengan menerima wang sogokan biarpun tidak melepasi ujian ditetapkan di Institut Memandu (IM) adalah perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi media sosial, hari ini.

    Ka Siong berkata, ujian yang ditetapkan oleh IM adalah prosedur penting untuk dipatuhi kerana bukan sahaja membabitkan pendedahan terhadap peraturan jalan raya, juga bertujuan mendapat kefahaman jelas mengenai keselamatan jalan raya sebelum seseorang dibenarkan memiliki lesen memandu.

    Pada masa sama, beliau berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sudah mengeluarkan kenyataan media semalam, berhubung perkara itu.

    Media semalam melaporkan, (JPJ) akan menjalankan siasatan bersama SPRM berhubung dakwaan ada pegawainya terbabit kegiatan menjual ‘lesen terbang’.

    Dalam satu kenyataan hari ini, JPJ memaklumkan, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan yang dibuat oleh seorang pempengaruh atau ‘influencer’ media sosial menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial.

    Individu terbabit, dalam hantaran video di Facebook yang bertajuk ‘Lesen Gerenti Lulus’, mendakwa wujud tawaran menerusi media sosial mendapatkan ‘lesen terbang’ atau lesen memandu tanpa perlu mengikut prosedur sah.

    Menerusi video berdurasi dua minit enam saat itu, individu berkenaan mendakwa kegiatan itu didalangi sindiket dianggotai pelbagai pihak termasuk pegawai JPJ sendiri.

    Dakwanya lagi, kegiatan sedemikian sudah beberapa kali didedahkan media sejak 2014, namun masih berleluasa dan sindiket didakwa semakin berani dengan mengiklankannya di media sosial.

  • Kekurangan bekalan disebabkan Covid-19, bukan sebab minyak masak peket disorok

    Kekurangan bekalan disebabkan Covid-19, bukan sebab minyak masak peket disorok

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan, tiada aktiviti menyorok minyak masak peket dikesan berlaku susulan kekurangan bekalan bahan tersebut di pasaran.

    Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, punca kekurangan bekalan sebelum ini disebabkan gangguan di peringkat kilang ekoran terdapat kes positif Covid-19.

    “Kekurangan bekalan minyak masak peket yang dilaporkan berlaku sebelum ini tiada kaitan dengan aktiviti menyorok, sebaliknya disebabkan beberapa faktor terutama di pihak kilang.

    “Ketika ini tidak sepatutnya timbul masalah kekurangan bekalan minyak masak peket kerana kerajaan telah memperuntukkan 60,000 tan metrik setiap bulan untuk diedarkan di seluruh negara,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) Peringkat Negeri Sembilan di Tapak Pasar Tani Paroi Jaya, Seremban, hari ini.

    Beliau berkata, pihaknya melantik pengedar dan pengilang mengikut kuota ditetapkan untuk setiap penduduk.

    Menurutnya, berdasarkan data pihaknya, tiada masalah membabitkan isu agihan kuota minyak masak.

    “Cuma ada masanya, berlaku sedikit gangguan lebih-lebih lagi dalam tempoh Covid-19 apabila ada kilang terpaksa menutup operasi disebabkan ada pekerja mereka dijangkiti wabak pandemik ini.

    “Selain itu, terdapat pusat pengedaran dan gudang tempat pengumpulan ditutup menyebabkan tiada bekalan,” katanya.

    Beliau berkata, pengguna yang berhadapan dengan isu bekalan minyak masak peket di pasaran, perlu tampil membuat aduan dan memberi maklum balas kepada KPDNHEP.

    Menurutnya, ia bagi membolehkan pihaknya pergi ke lokasi berkenaan dan melihat bentuk bantuan boleh diberikan supaya situasi itu dapat diatasi.

    “Contohnya, satu kilang tidak dapat beroperasi dan terpaksa ditutup kerana ada kes Covid-19, kami cuba cari kilang berdekatan di kawasan sama.

    “Langkah itu bagi bantu tampung sementara waktu, ini pendekatan kami lakukan,” katanya.

  • 141,000 rakyat Malaysia terus bekerja di Singapura

    141,000 rakyat Malaysia terus bekerja di Singapura

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DIANGGARKAN 141,000 rakyat negara ini memilih untuk terus bekerja di Singapura sejak sempadan kedua-dua negara di Tambak Johor dan Linkedua ditutup pada Mac tahun lalu akibat Covid-19.

    Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, ketika negeri itu membangunkan aplikasi Johor Immunity Planning System (Johor ImmuPlan) untuk rakyat negara ini yang mahu bekerja di Singapura sebelum ini, didapati seramai 115,000 orang membuat pendaftaran.

    “Ini bermakna terdapat seramai 141,000 yang sedang bekerja di sana manakala 115,000 lagi sedang memohon untuk bekerja di sana, menjadikan hampir 300,000 rakyat Malaysia bergantung harap kepada pembukaan sempadan berkenaan.

    Katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kebun Bandar di Taman Impian Emas, di Johor Bahru, hari ini.

    Bermula 29 November lalu, pengembara rakyat Malaysia yang lengkap dos suntikan vaksin dibenarkan pulang ke tanah air di bawah inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara.

    Hasni (tengah) diberi penerangan semasa melawat tapak pameran pada Majlis Pelancaran Kebun Bandar di pekarangan Masjid Taman Impian Emas, Johor Bahru, hari ini

    Bagi VTL darat, 1,440 pengembara perlu menggunakan khidmat bas dari Terminal Queen Street ke Terminal Larkin Sentral tanpa perlu menjalani perintah kuarantin sebaik tiba, sementara langkah sama turut diaplikasi bagi terminal udara.

    Tambah Hasni, kepimpinan kedua-dua negara juga komited dan bersetuju untuk memastikan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura melalui inisiatif VTL darat terus berjalan lancar.

    “Dalam pertemuan saya dengan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan beberapa hari lalu, beliau memaklumkan penutupan semula sempadan itu hanya akan dibuat sebagai langkah terakhir.

    “Ketika ini kedua-dua negara bersetuju untuk memastikan sempadan itu terus dibuka dalam masa sama kajian sedang dibuat terhadap varian baharu. Dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi kita mungkin akan mendapat gambaran lebih jelas berkenaan varian Omicron ini tetapi ketika ini sempadan tersebut akan terus dibuka,” ujarnya.

  • Lebih 20,000 pegawai, anggota polis positif COVID-19 sejak tahun lepas

    Lebih 20,000 pegawai, anggota polis positif COVID-19 sejak tahun lepas

    SERAMAI 23,766 pegawai dan anggota polis serta ahli keluarga mereka telah dijangkiti COVID-19, sejak pandemik tersebut melanda negara tahun lalu sehingga hari ini.

    Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim berkata daripada jumlah tersebut seramai 1,794 orang merupakan pegawai kanan polis; 10,577 orang pegawai rendah polis; 1,137 orang pegawai awam; manakala 10,258 orang adalah ahli keluarga.

    “Bagi jumlah kematian pula, sebanyak 39 kes kematian direkodkan dalam kalangan pegawai dan anggota polis. Ia terdiri daripada empat pegawai kanan dan 35 pegawai rendah. Pegawai awam yang meninggal dunia akibat COVID-19 pula adalah seramai tiga orang dan anggota keluarga polis pula seramai 118 orang,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kenderaan Pasukan Toyota Hilux GS Cargo Kepada Kontinjen Terengganu di Pangkalan PSP Unit 6, di Wakaf Tapai di Marang hari ini.

    Pada majlis tersebut, Mazlan menyerahkan 26 pacuan empat roda jenis Toyota Hilux GS Cargo bagi kegunaan ibu pejabat polis daerah (IPD) di seluruh negeri yang bakal membantu penugasan pegawai dan anggota di negeri ini termasuk operasi pada musim banjir.

    Katanya penyerahan pada hari ini merupakan sebahagian daripada 400 Toyota Hilux GS Cargo yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), melibatkan peruntukan sebanyak RM62 juta.

    Sementara itu, Mazlan berkata sebanyak 32 pasukan di Terengganu melibatkan 65 pegawai dan 190 anggota serta pegawai awam bersiap siaga menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh ini.

    “Kami telah bersiap sedia dari segi keanggotaan, kursus dan kefahaman tentang tindakan yang perlu diambil sekiranya banjir berlaku. Kami juga telah menyiapkan aset-aset yang diperlukan terutama bot-bot yang banyak,” katanya.

    Pada majlis tersebut Mazlan turut mengumumkan pembinaan 10 unit kuarters bagi pegawai dan anggota polis di Pulau Redang yang memperuntukkan kos sebanyak RM13 juta.

    Katanya proses dokumentasi dan tender bagi pembinaan kuarters di bawah Rancangan Malaysia ke-12 itu akan bermula tahun hadapan.

    “Sekarang hanya terdapat lapan unit kuarters di Pulau Redang tetapi pegawai dan anggota di sana adalah seramai 28 orang. Kebanyakan mereka tinggal di tanah besar dan terpaksa ulang-alik menaiki bot untuk bertugas. Jadi amat membahayakan keselamatan mereka terutama musim tengkujuh ini,” katanya.

  • Sesi persekolahan diteruskan hingga cuti penggal, hujung minggu ini

    Sesi persekolahan diteruskan hingga cuti penggal, hujung minggu ini

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SESI persekolahan tahun ini akan diteruskan hingga ke penghujung penggal memandangkan jumlah pelajar yang dijangkiti Covid-19 ketika ini dianggap masih lagi rendah berbanding jumlah pelajar secara keseluruhan di seluruh negara.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, data menujukkan jumlah kes aktif melibatkan pelajar sekolah di seluruh negara masih berada di tahap rendah iaitu melibatkan hanya 200 hingga 250 orang berbanding 4.5 juta pelajar yang hadir ke sekolah.

    “Secara umumnya jika dilihat dalam konteks kita nak bergerak ke fasa endemik, kita tahu akan ada kes yang berlaku di luar sana dan itu tak dapat dielak. Namun dalam konteks data yang kita ada, jumlah kes aktif itu adalah jauh lebih rendah berbanding jumlah keseluruhan murid.

    “Dalam konteks kita bergerak ke fasa endemik, ini yang akan berlaku. Tetapi kita dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ada, kita cuba kawal supaya tak berlaku penularan besar Covid-19 dan insya Allah sesi persekolahan akan berterusan hingga ke akhir penggal ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Akademi Sains Pendang, hari ini.

    Penggal persekolahan tahun ini bakal berakhir pada hujung minggu ini iaitu pada 10 Disember 2021.

    Radzi menambah, pihaknya pada setiap masa sentiasa menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menentukan langkah-langkah yang perlu diambil terutamanya melibatkan sekolah-sekolah yang memiliki kes Covid-19.

    “KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sentiasa membuat penilaian mengenai langkah yang perlu diambil. Jika berlaku kes seperti di Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, mereka akan mengeluarkan arahan untuk menutup sekolah.

    “Bagi pihak Kementerian Pendidikan pula, kami akan sentiasa akur dengan nasihat diberikan itu,” katanya.

    Mengulas lanjut Radzi berkata, kementeriannya berpandangan sistem persekolahan secara bersemuka amat penting dalam usaha meminimumkan masalah murid bagi mengelakkan mereka tercicir dari pelajaran.

    “Dalam sistem bersemuka ini, kita dapat kenal pasti masalah mereka dan langkah-langkah intervensi boleh dilaksanakan segera. Tetapi apabila sekolah ditutup seperti sebelum ini, mungkin akan timbul perasaan ‘renggang’ antara murid dengan sistem perskolahan walaupun Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan.

    “Memang ramai kata sekolah jangan dibuka dulu, tetapi kita dah bincang bahawa amat pentinng untuk sekolah dibuka sambil semua pihak meneliti akan intervensi perlu dilaksanakan supaya anak-anak ini rapat dengan sistem persekolahan,” katanya.

  • 7, 477 peserta Sarawak dapat ‘durian runtuh’, FELCRA Berhad agih untung RM31.6 juta

    7, 477 peserta Sarawak dapat ‘durian runtuh’, FELCRA Berhad agih untung RM31.6 juta

    SERAMAI 7,477 peserta FELCRA di Sarawak menerima ‘durian runtuh’ menerusi agihan keuntungan FELCRA Berhad.

    Menteri Pembangunan Luar Bamdar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, agihan keuntungan berjumlah RM31.6 juta itu bagi tempoh Interim 1 dan 2 tahun 2021.

    “Saya mengucapkan tahniah kepada FELCRA dan juga peserta khususnya di Wilayah Sarawak hari ini atas penerimaan keuntungan yang dikongsikan.

    ‘’Ini menandakan usaha-usaha pemulihan ekonomi terus dipergiatkan dan berada di landasan yan tepat di mana FELCRA berjaya menyalurkan agihan keuntungan yang lebih tinggi kepada peserta,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Kesyukuran Peserta FELCRA Wilayah Sarawak di Kota Samarahan hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri KPLB II, Datuk Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Awang, Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

    Mahdzir berkata, FELCRA akan terus memperkasakan kegiatan perladangannya bagi memastikan semua pesertanya mendapat manfaat yang maksima.

    Berdasarkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), FELCRA Berhad mensasarkan untuk membuka lebih 1,000 hektar  ladang baru di seluruh Sarawak dan sekaligus bakal mewujudkan peluang dan manfaat kepada hampir 700 orang peserta baru dari Sarawak.

    “Berpaksikan dua teras utama iaitu Menstruktur Semua Ekonomi Negara dan Mempertingkat Infrastruktur secara Menyeluruh, Kementerian Pembangunan Luar Bandar menekankan pemerkasaan program sosio-ekonomi demi mewujudkan suasana kehidupan luar bandar yang lebih sejahtera,” katanya.

    Mahdzir memaklumkan, Kerajaan Persekutuan  juga telah meluluskan peruntukan pembangunan ameniti sosial di Sarawak kepada FELCRA Berhad berjumlah RM1.77 juta.

    ‘’Ia merangkumi projek bagi peruntukan tahun 2021 sebanyak RM770,000  dan RM1 juta bagi tahun 2022.

    “KPLB terus komited dalam melaksanakan projek infrastruktur jalan raya, bekalan air, elektrik, kemudahan pendidikan dan kesihatan, ameniti sosial serta capaian internet melalui agensi pelaksana seperti FELCRA dan agensi-agensi lain di bawah seliaannya,’’ katanya.

    Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyampaikan bantuan persekolahan kepada 100 pelajar golongan B40 serta bantuan bakul makanan kepada 100 keluarga FELCRA.

  • Ahmad Faizal jumpa pemimpin pertubuhan belia minggu depan

    Ahmad Faizal jumpa pemimpin pertubuhan belia minggu depan

    MENTERI Belia dan Sukan akan bertemu pemimpin pertubuhan belia bagi membincangkan dasar had umur belia minggu depan.

    Menurut Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, pertemuan itu bertujuan mencari titik penyelesaian bagi pelbagai isu belia termasuk berkaitan akta berhubung had umur belia selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Belia Malaysia (MBM).

    “Ini kerana saya mendapati setiap pertubuhan belia itu ada masalah tersendiri yang boleh kita cari jalan bagaimana untuk menemui titik penyelesaian supaya akta ini dapat dilaksanakan.

    “Pertemuan itu juga dapat merungkai permasalahan lain membabitkan pertubuhan belia,” katanya selepas hadir merasmikan Sambutan Hari Kesukarelawan Belia Malaysia 2021 Peringkat Kebangsaan di Hotel Casuarina Meru, Ipoh, hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini berhubung perkara pelaksanaan had usia kepemimpinan belia daripada 40 kepada 30 tahun.

    Terdahulu, media melaporkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencari satu resolusi terbaik bagi mencapai situasi menang-menang berhubung isu pelaksanaan had usia kepemimpinan belia daripada 40 kepada 30 tahun.

    Ahmad Faizal dilaporkan berkata, pihaknya akan meneruskan perundingan dengan pertubuhan belia di seluruh negara dalam usaha memberikan kefahaman kepada mereka.

    Pada 17 November lalu, Ahmad Faizal mengumumkan di Parlimen, pelaksanaan had umur individu untuk memegang jawatan dalam persatuan belia diturunkan daripada 40 kepada 30 tahun bermula 1 Januari tahun depan.

    Susulan pengumuman itu, beberapa pihak terutama pertubuhan dan gerakan belia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melahirkan bantahan terhadap penurunan had umur berkenaan.