Category: Semasa

  • 131,281 murid Darjah Satu di Johor berdepan masalah 3M

    131,281 murid Darjah Satu di Johor berdepan masalah 3M

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    SERAMAI 131,281 murid Darjah Satu di Johor menghadapi masalah menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M).

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, jumlah tersebut melibatkan 20 peratus.

    Jelas beliau, pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak Mac tahun lalu menyebabkan pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka terlalu singkat hingga menjejaskan penguasaan 3M.

    “Kemahiran 3M merupakan aspek penting yang perlu diberi penekanan kepada murid di Tahap Satu, membabitkan Darjah Satu, Dua dan Tiga.

    “Justeru, kerajaan negeri telah merangka satu program khas Didik Johor dengan peruntukan sebanyak RM450,000 bagi membantu murid keciciran mengusai kemahiran 3M pada tahun depan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Penjana KPT Cap@ Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru hari ini.

    Katanya, Didik Johor akan dibantu oleh guru menerusi tuisyen dan sebenarnya lebih kepada kelas pemulihan.

    Program itu katanya, dikelolakan Yayasan Bandaraya Johor Bahru dengan kerjasama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).

    “Program perintis bermula sejak bulan lalu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara, PPR Kempas, dan PPR Bakar Batu,” katanya.

    Sementara itu, Mazlan berkata, seramai 500 graduan menganggur di negeri ini akan menerima manfaat program Penjana KPT-CAP Negeri Johor.

    Beliau berkata, menerusi program terbabit graduan terutama anak Johor dan yang bermastautin di negeri ini akan memperoleh Sijil

    Perkhidmatan Makanan dan Perkhidmatan Baristar menerusi latihan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

    “Sejak dua minggu lalu pendaftaran sudah dibuka. Kursus sijil antara lapan hingga 15 bulan ini adalah percuma.

    “Graduan yang mengikuti kursus ini akan diberi elaun, makan minum dan tempat tinggal selain akan menjalani latihan sambil bekerja di premis McDonald sebagai pelatih pengurusan dan pengendali makanan,” katanya.

    Mereka juga katanya, akan terus diserap bekerja secara automatik selepas tamat latihan dan program itu bagi membantu graduan menganggur dan masih gagal mendapat pekerjaan berikutan pandemik Covid-19.

  • Penjenayah diberkas lima jam selepas rompak pasar mini

    Penjenayah diberkas lima jam selepas rompak pasar mini

    MENYASARKAN kedai runcit dan pasar mini di kawasan kampung untuk merompak.

    Itu modus operandi dilakukan seorang lelaki yang mempunyai pelbagai rekod jenayah namun berjaya diberkas selepas merompak sebuah pasar mini di Kampung Baru, Sungai Tiang, Pedang, malam tadi.

    Lelaki berusia 30-an itu diberkas tidak sampai lima jam melarikan wang tunai RM300 selepas melakukan rompakan tersebut.

    Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, dalam kejadian pukul 7.15 malam, suspek datang bersendirian masuk ke dalam pasar mini berkenaan.

    “Suspek memakai topi, pelitup muka dan cermin mata hitam itu kemudian meminta seorang lelaki yang menjaga kaunter menyerahkan lesen dan MyKad miliknya.

    “Mangsa enggan menyerahkannya menyebabkan suspek bertindak membuka laci kaunter dan mengambil wang tunai RM300.

    “Suspek terus melarikan diri sejurus selepas itu dengan menaiki sebuah kereta,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Arriz Sham berkata, mangsa berusia 20-an kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kubur Panjang.

    Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di pasar mini berkenaan, pihaknya berjaya mengesan suspek.

    “Berikutan itu, pegawai dan anggota menyerbu sebuah rumah di Kampung Baru dan menangkap suspek dalam rumah berkenaan pada pukul 11.30 malam tadi. Turut ditemui semula, wang tunai RM300 hasil rompakan,” katanya.

    Arriz Sham berkata, hasil semakan suspek berusia 30-an yang masih bujang didapati mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah termasuk dadah.

    “Suspek direman selama enam hari bermula hari ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

    “Hasil siasatan mendapati suspek menyasarkan kedai runcit dan pasar mini di kawasan kampung untuk melakukan kegiatan itu,” katanya.

  • 9 individu dijangka dituduh isu seleweng geran Mitra

    9 individu dijangka dituduh isu seleweng geran Mitra

    SEKURANG-KURANGNYA sembilan individu dijangka didakwa di mahkamah berkaitan kes penyelewengan geran peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), awal tahun depan.

    Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata individu terbabit adalah daripada 10 syarikat penerima geran berkenaan yang disiasat SPRM sebelum ini.

    “Kita dah di peringkat akhir (siasatan) dan membuat perbincangan dengan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) beberapa kali,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kolokium Antirasuah ‘Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintergriti’ di Seremban, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau berkata 17 lagi syarikat masih sedang disiasat berhubung kes berkenaan dan akan diteruskan dengan syarikat lain secara berfasa selain ia memerlukan tempoh yang agak panjang berikutan penyiasatan melibatkan rasuah dan agak rumit.

    Pada 22 Nov lepas, Azam berkata kertas siasatan melibatkan 10 syarikat yang menerima geran peruntukan Mitra akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk proses perundangan selanjutnya.

    Sebelum ini, SPRM dilaporkan sedang meneliti semua permohonan, laporan perbelanjaan dan program yang dikatakan telah dilaksanakan penerima geran peruntukan Mitra sejak 2019 hingga 2021 susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran itu.

    Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti telah diluluskan geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

    Sementara itu, Azam berkata pihaknya akan meneliti sama ada isu berhubung kewujudan kartel di pelbagai peringkat dalam kalangan pegawai imigresen berada di bawah bidang kuasa SPRM atau tidak selepas mendapat maklumat terperinci daripada Jabatan Imigresen (JIM).

    “Kenyatan itu timbul mungkin daripada siasatan dalaman di JIM, sehingga kini saya masih belum ada maklumat sebenar sama ada berkaitan dengan broker atau rasuah dan menjangkau pegawai di JIM, jadi saya tidak boleh buat spekulasi,” katanya.

    Pada 1 Dis lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendedahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kewujudan kegiatan kartel dalam JIM termasuk berkaitan urusan kenaikan pangkat dalam jabatan itu. – Bernama

  • SPRM belum dapat maklumat kartel dalam Jabatan Imigresen

    SPRM belum dapat maklumat kartel dalam Jabatan Imigresen

    KETUA Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pihaknya belum menerima maklumat lanjut berkenaan dakwaan wujud kegiatan kartel dalam kalangan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen).

    Beliau berkata, dakwaan itu kemungkinan timbul hasil siasatan di peringkat dalaman yang dilakukan jabatan terbabit.

    “Kenyataan yang disebutkan oleh pihak menteri itu, saya belum ada maklumat lengkap lagi. Kenyataan ini mungkin timbul hasil siasatan dalaman atau perkara dalaman Jabatan Imigresen.

    “Sehingga kini saya belum dapat lagi maklumat kartel sebenar yang dimaksudkan oleh pihak menteri itu,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir majlis Kolokium Antirasuah Adat Perpatih Melingkari Hidup Berintegiriti di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

    Namun katanya, jika ada maklumat berkenaan kes terbabit, SPRM akan meneliti sama ada di bawah bidang kuasa agensi itu atau sebaliknya.

    “Saya belum pasti lagi maklumat yang mengatakan sama ada broker atau orang tengah. Yang disebutkan itu adakah berkaitan dengan rasuah atau tidak, dan adakah ia menjangkau masuk ke pegawai kerajaan dalam Jabatan Imigresen,” jelas beliau.

    Sebelum ini media melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan ada menerima laporan berhubung kewujudan kegiatan kartel dalam Jabatan Imigresen membabitkan pegawai pelbagai peringkat.

    Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dilaporkan berkata, pembabitan kartel itu bukan saja berkaitan urusan kenaikan pangkat dalam jabatan berkenaan, malah kartel itu juga dikatakan menggunakan pegawai imigresen untuk kepentingan mereka.

    Malah, katanya, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Jonathan Yasin ada memaklumkan di Sabah terdapat iklan yang menawarkan perkhidmatan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

    Hamzah berkata, ia tidak sepatutnya berlaku kerana Jabatan Imigresen tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk sebarang urusan imigresen.

  • Permohonan Najib kemuka bukti baru ditolak, mahkamah sampaikan keputusan rayuan esok

    Permohonan Najib kemuka bukti baru ditolak, mahkamah sampaikan keputusan rayuan esok

    MAHKAMAH Rayuan bersedia untuk menyampaikan keputusannya esok berhubung kes rayuan Najib Razak untuk membatalkan sabitan dan hukumannya dalam kes SRC International bernilai RM42 juta.

    Dalam keputusan sebulat suara hari ini, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Abdul Karim Abdul Jalil menolak permohonan bekas Perdana Menteri untuk mengemukakan bukti baru dalam rayuan itu.


    Semasa prosiding melalui aplikasi Zoom hari ini, panel hakim lain ialah Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.

    “Kami mendapati bukti tambahan tidak diperlukan untuk rayuan. Tiada keadaan luar biasa atau syarat luar biasa ditunjukkan untuk mahkamah mengambil keterangan tambahan dalam rayuan. Permohonan ditolak. Penyampaian keputusan (keputusan rayuan SRC Najib) esok akan diteruskan seperti yang ditetapkan,” kata Abdul Karim, lapor Malaysiakini.

    Najib dilihat hadir semasa prosiding maya hari ini. Awal hari ini, panel itu mengeluarkan amaran kepada bekas perdana menteri untuk menghadiri prosiding secara dalam talian, berikutan ketidakhadirannya mendengar prosiding fizikal pagi ini.

    Prosiding hari ini sedang mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru yang boleh mengukuhkan kesnya dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukumannya dalam kes SRC.

    Permohonan itu dibuat dalam beberapa hari selepas keputusan yang dijadualkan esok dalam rayuan Najib untuk membatalkan keputusan bersalahnya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam kes SRC.

    Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menyampaikan keputusan dan hukuman bersalah, berikutan perbicaraan penuh tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana daripada SRC.

    Bagaimanapun, hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman, sementara menunggu penyelesaian rayuan Najib di Mahkamah Rayuan.

  • Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’, ejen insurans berlagak marshal serah diri

    Ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’, ejen insurans berlagak marshal serah diri

    DUA lelaki menjadi pengiring atau marshal konvoi motosikal berkuasa tinggi yang memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong, Port Dickson, bulan lalu, ditahan semalam.

    Kedua-dua lelaki berusia 45 dan 49 tahun itu hadir ke Balai Trafik Port Dickson pada pada 12.45 tengah hari dan 2.30 petang semalam untuk memberi keterangan berkaitan video mereka tular dalam media sosial.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua lelaki termasuk seorang daripadanya bergelar Datuk hadir ke balai trafik itu sejurus mengetahui aksi mereka dirakam dan tular.

    “Polis menahan kedua-dua lelaki yang juga ahli perniagaan dan ejen insurans itu. Polis turut menahan dua motosikal berkuasa tinggi dan beberapa barangan yang digunakan kedua-dua marshal berkenaan seperti yang dirakam.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh termasuk jika wujud kesalahan lain,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

    Kelmarin, dilaporkan polis mencari kumpulan motosikal berkuasa tinggi yang berlagak marsyal di jalan awam selepas rakaman video berdurasi tiga minit tular di media sosial.

    Rakaman itu menunjukkan penunggang motosikal berkuasa tinggi itu memberi arahan kepada sebuah kenderaan supaya memperlahankan kenderaannya dan bergerak ke kiri lorong jalan bagi memberi laluan kepada kumpulan konvoi terbabit.

    Berdasarkan rakaman itu, dipercayai konvoi itu bergerak dari arah Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka melepasi kawasan Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang, Port Dickson.

  • Muhyiddin tak pernah keluar kenyataan perolehan vaksin – KJ

    Muhyiddin tak pernah keluar kenyataan perolehan vaksin – KJ

    BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa negara telah membelanjakan lebih RM2 bilion daripada peruntukan keseluruhan RM3 bilion bagi perolehan vaksin buat 30 peratus penduduk negara.

    Perkara itu diakui Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang turut menyifatkan laporan media pada 13 Disember 2020 itu sebagai tidak tepat.

    Menurut Khairy, transkrip penuh ucapan Muhyiddin yang diperolehi pihaknya mendapati Muhyiddin tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian, lapor Utusan TV, hari ini.

    Ia berhubung kait dengan laporan berita pada 1 Disember lalu iaitu kenyataan Khairy kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bahawa Muhyiddin telah tersilap cakap apabila mengatakan kerajaan telah membelanjakan lebih RM2 bilion bagi perolehan vaksin COVID-19 untuk 30 peratus penduduk negara.

    “Dalam sesi penerangan itu, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh telah membangkitkan tentang laporan media yang memetik kenyataan Muhyiddin selaku Perdana Menteri ketika itu seperti dilaporkan portal Berita Harian, Malaysia dan The Straits Times, Singapura pada 13 Disember 2020.

    “Namun, setelah pejabat saya memperolehi transkrip penuh ucapan Muhyiddin, ternyata beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu dan ia adalah laporan yang tidak tepat, sekurang-kurangnya oleh dua agensi berita tersebut.

    “Bagaimanapun, kesilapan laporan itu tidak diperbetulkan dan boleh diakses sehingga ke hari ini.

    “Saya juga ingin mengingatkan para pengamal berita untuk lebih berhati-hati dalam laporan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Minggu lalu, Khairy dilaporkan berkata, Muhyiddin tersilap cakap apabila mengatakan kerajaan akan memberi vaksin kepada 6.4 juta rakyat dengan kos RM3 bilion.

    Kenyataan Khairy kepada PAC itu dilakukan pada Januari lalu ketika beliau memegang jawatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

    PAC dalam laporan mengenai perolehan vaksin Covid-19 berkata, ia mengakibatkan kekeliruan kerana kos RM469 bagi setiap individu jauh lebih tinggi daripada angka yang didedahkan Belgium iaitu hanya RM82.40 seorang.

    Dalam pertemuan pada 1 Mei, Khairy memberitahu Kah Woh bahawa Muhyiddin telah membuat kesilapan ketika menyatakan harga vaksin.

  • Hans Isaac umum undur diri daripada dunia lakonan

    Hans Isaac umum undur diri daripada dunia lakonan

    LEBIH suku abad bergelar anak seni, pelakon Datuk Hans Isaac akhirnya mengumumkan mengunudurkan diri daripada dunia lakonan.

    Dia yang kini sudah berusia 50 tahun menegaskan untuk memberikan tumpuan kepada bidang lain dan mahu memberikan ruang kepada generasi baharu meneruskan legasi.

    “Semua perkara baik akan ada pengakhiran. Semuanya bermula apabila Datin Paduka Shuhaimi Baba memberi peluang kepada saya melakonkan watak dalam filem Ringgit Kasorrga pada tahun 1994.

    “30 daripadanya filem cereka, sejumlah besar drama dan rancangan TV kemudiannya, diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Lakon Layar dan memenangi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi Buli Balik bersama Afdlin Shauki untuk dilakonkan di Filipina (Miss You Like Crazy) ke filem Singapore City Sharkdan dan kini sudah tiba masanya untuk mengundurkan diri,” ujarnya.

    Dia membuat pengumuman tersebut melalui Instagram peribadinya hari ini mendapat pelbagai reaksi daripada rakan artis dan juga peminat.

    Bagi yang mengikuti kerjaya seni pelakon ini, Hans sebenarnya sudah menceburkan diri ke dalam dunia lakonan sejak tahun 1995 dengan beberapa rangkaian filem seperti Ringgit Kasorrga, Hanya Kawan dan Laila Isabella.

    Dalam tempoh masa yang sudah dilalui, dia banyak mempelajari ilmu baharu dan secara tidak langsung mempopularkan namanya sehingga ke hari ini.

    “Berlakon bukanlah minat saya, tetapi saya belajar untuk mencintai dan menikmati proses itu serta bertuah kerana dapat bekerja bersama yang terbaik dalam industri.

    “Bagi mereka yang amat mengenali saya, mereka akan memberitahu anda bahawa saya bukan jenis yang duduk dan tidak melakukan apa-apa. Saya selalu bertanya kepada diri sendiri apa dan siapa Hans yang seterusnya?”

    “Apabila saya telah mencapai matlamat tertentu, bagaimana saya boleh menambah baik dan pada masa yang sama memberi peluang kepada orang lain di sekeliling saya?” tambahnya lagi.

    Sepanjang bergelar anak seni, terlalu banyak orang yang sudah membantu dirinya dan sudah pasti dia mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa ada di sisinya selama ini.

    “Saya akan terus menyokong industri seperti biasa. Terdapat sisi pawagam, pengurusan dan mungkin juga pergi ke pentas bersama Awie dan Afdlin dari semasa ke semasa untuk ketawa, beriadah dan berseronok.

    “Harapan saya adalah untuk mengarahkan satu lagi teater muzikal di Istana Budaya suatu hari nanti dan akan terus meluangkan masa untuk membina empayar saya.

    “Kerana jika tidak ada orang yang percaya kepada saya sebelum ini, maka tidak akan ada Hans Isaac si pelakon. Dengan itu, terima kasih kepada semua penerbit, pengarah, rakan sekerja dan ahli kru kerana telah memberi saya antara kenangan terbaik dalam hidup,” katanya.

  • Mana Najib, mana penjamin? Ini mahkamah bukan kedai kopi – Hakim

    Mana Najib, mana penjamin? Ini mahkamah bukan kedai kopi – Hakim

    MAHKAMAH Rayuan yang mendengar rayuan kes Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran bahawa ia adalah mahkamah undang-undang dan bukan kedai kopi.

    Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata demikian selepas peguam Harvinder Singh Sidhu yang mewakili Najib memberitahu mahkamah bahawa penjamin kepada bekas perdana menteri itu tidak hadir pada prosiding hari ini.

    Hakim Abdul Karim: Mana Najib? Mana penjamin?

    Harvinder: Perayu (Najib) tidak hadir kerana beliau menjadi kontak kasual kepada anak peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah iaitu, Muhammad Farhan yang disahkan positif COVID-19. Penjamin pun tidak hadir.

    Hakim: Najib menjadi kontak kasual, mudah memberi alasan, tetapi mahkamah memerlukan bukti.

    Kontak rapat ada dua kategori gejala. Paling penting hadir ke mahkamah. Semua orang telah terdedah (kontak rapat). Ini adalah mahkamah undang-undang, bukan air liur. Kami mahu bukti. Penjamin pun tidak hadir!

    Ketika mendengar penjelasan peguam, penjamin Najib, Faizal Shamsuddin dilihat memasuki bilik mahkamah dan kemudian Harvinder memaklumkan kepada panel mengenai kehadiran penjamin.

    Sejurus selepas penjamin itu masuk, Hakim Abdul Karim menyoal Faizal mengenai kegagalan Najib untuk hadir pada prosiding hari ini.

    Hakim Abdul Karim: Mana Najb? Kamu tahu kenapa Najib tak datang ke mahkamah, tangggungjawab sebagai penjamin adalah berat. Kamu kena menentukan kehadiran dia. Adakah kamu mengambil tahu kenapa Najib tidak hadir?

    Sebagai  penjamin kamu kena mengambil tahu, kami boleh membatalkan jaminan jika kami tidak berpuas hati dan waran tangkap boleh dikeluarkan untuk menangkap Najib. Mana Najib?

    Faizal : Datuk Seri ada di Pavillion.

    Hakim Abdul Karim: Pavillion? Pavillion itu rumah dia? Awak telefon dia tanya ke atau awak tembak sahaja? Jangan main tembak, main agak sahaja, ini mahkamah bukan kedai kopi.

    Hakim Abdul Karim yang bersidang bersama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera juga bertanya mengenai seorang lagi penjamin Najib.

    “Mana penjamin lagi seorang? Dalam perjalanan? Mahkamah mula pukul 9 pagi, datang ikut suka hati?,” katanya.

    Faizal turut diberi amaran kerana membuat rakaman ketika prosiding.

    “Awak rakam ke? Ini mahkamah mana boleh buat rakaman, padamkan! Awak hantar pada siapa?,” kata Hakim Has Zanah.

    Selepas itu kelihatan jurubahasa mahkamah dan beberapa anggota polis menghampiri penjamin berkenaan dan memeriksa telefon bimbitnya.

    Pada pagi ini mahkamah sepatutnya mendengar permohonan Najib untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan sabitan kes SRC International Sdn Bhd.

    Mahkamah menangguhkan pada 12.30 tengah hari tadi untuk mendengar permohonan itu secara dalam talian.

    Sesi pendengaran kemudiannya dilakukan secara hibrid. Najib yang merupakan perayu turut hadir pendengaran tersebut melalui aplikasi Zoom. – BERNAMA

  • ‘’Dia terlalu angkuh’’ – Dr. Mahathir dakwa Tony Pua bertindak seperti menteri

    ‘’Dia terlalu angkuh’’ – Dr. Mahathir dakwa Tony Pua bertindak seperti menteri

    DR. MAHATHIR Mohamad hari ini mempertahankan tulisannya mengenai seorang pembantu bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang beliau dakwa dalam memoirnya masuk campur dalam urusan kerajaan dan mengugut seorang pemaju sebuah projek hartanah bermasalah.

    Bekas Perdana Menteri itu mengatakan pembantu tersebut berkelakuan “seakan-akan dia seorang menteri” berbanding jawatannya yang hanya bergelar Setiausaha Politik.

    “Dia terlalu angkuh. Beliau berkelakuan macam dialah yang menteri. Sebagai Setiausaha Politik, anda harus lapor isu politik dalam negara, bukan pergi keliling laksanakan polisi kerajaan,’’ katanya ketika ditanya mengenai isu tersebut dalam sebuah sesi dalam talian hari ini, lapor portal MalaysiaNow.

    Mengulas lanjut, Dr. Mahathir mendedahkan bahawa beliau turut menerima banyak aduan terhadap individu tersebut.

    “Ada banyak perkara yang dikatakan terhadap dia dan latar belakangnya. Namun ramai mengadu kepada saya. Jika saya ingin memetik kenyataan mereka, pastinya buku ini akan dipenuhi dengan kes berkaitan,’’ katanya.

    Menerusi buku  berjudul “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”, Mahathir berkata, beliau terpaksa menghentikan tindakan seorang pemimpin DAP yang didapati menyertai mesyuarat di luar bidang kuasanya.

    “Terdapat juga beberapa insiden penasihat ini bercakap di khalayak ramai mewakili kerajaan meskipun tidak mempunyai jawatan.

    Disebabkan penasihat ini, kata Dr. Mahathir, ramai pemilik syarikat tidak menyokong kerajaan.

    “Apabila kita mempunyai individu yang bukan seorang menteri, hanya setiausaha politik, memberi arahan atau mengugut mereka, ini menunjukkan anda seorang yang angkuh,” tambahnya.

    • Dr.Mahathir lebih percaya taikunTony Pua

    Sementara itu,  Ahli Parlimen Damansara Tony Pua tampil mengakui dirinya adalah individu yang dirujuk Dr Mahathir.

    Pua berkata projek yang dimaksudkan itu adalah projek Exchange106, bangunan pencakar langit yang merupakan sebahagian daripada projek Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur, yang dibangunkan oleh Mulia Property Development Sdn Bhd, sebuah syarikat yang berkait dengan taikun kontroversi Indonesia Djoko Tjandra.

    Namun beliau berkata tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha rundingan dengan syarikat tersebut, sambil menambah Lim memberikan arahan kepada beliau untuk “memantau perkembangan dan resolusi” isu-isu berkenaan projek tersebut.

    “Masalahnya adalah, saya tidak boleh ‘mengugut’ pemaju hartanah itu kerana saya tak pernah berjumpa mahu pun bercakap dengan mereka!” kata Pua, sambil menambah usaha rundingan dengan syarikat tersebut dijalankan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Asri Hamidon dan TRX City Sdn Bhd – syarikat dimiliki kementerian kewangan yang juga pemaju utama Tun Razak Exchange.

    Pua berkata Djoko marah disebabkan proses ketekunan wajar (due diligence) yang diminta oleh Kementerian Kewangan, bertemu dengan Dr. Mahathir dalam sebuah pertemuan yang diatur oleh “salah seorang daripada penasihat yang dipercayai Dr.Mahathir”.

    “Dr. Mahathir marah apabila diberitahu oleh Pak Joe bahawa Tony Pua sudah ‘mengugut’ untuk ambil alih pegangan saham Mulia sebanyak 49% hanya dengan harga RM1 selepas syarikat itu melabur lebih dari RM1.1 bilion dalam projek itu.

    “Malangnya, beliau (Dr.Mahathir) pilih untuk percaya kata-kata taikun asing yang jahat, di mana dia sebelum ini disabitkan kesalahan menipu ratusan bilion rupiah dari Bank Bali pada 2009; dan kemudian disabitkan sekali lagi kerana pemalsuan dokumen pada 2020 dan rasuah pada 2021,” kata Pua, merujuk kepada Djoko.

    Projek RM3 bilion Exchange106 menghadapi masalah selepas pemaju gagal mendapatkan pinjaman bagi separuh daripada kos projek tersebut.

    Pua berkata syarikat itu ditawarkan dana oleh pentadbiran Najib, dengan timbal balik kerajaan diberikan pemilikan “sementara” sebanyak 51% daripada projek tersebut.

    Beliau berkata susulan tuduhan terhadapnya, Dr. Mahathir memanggil Guan Eng pada November 2018, sekitar enam bulan Pakatan Harapan memegang pentadbiran kerajaan.

    Namun Pua berkata Guan Eng mempertahankan peranan beliau dalam isu dengan pemaju hartanah, sambil menambah tindakan kementerian kewangan itu diluluskan selepas beberapa kali perbincangan diadakan dalam Kabinet.

    Pua turut berkata beliau bangga dengan “peranan kecil yang diambilnya… bagi melindungi kepentingan pembayar cukai Malaysia”, selain turut menambah ia juga bagi memastikan projek tersebut diselesaikan tanpa sebarang kerugian ditanggung oleh kerajaan.

    “Dr.Mahathir sepatutnya berbangga dengan kerajaan beliau kerana berjaya melindungi kepentiangan rakyat dalam skandal berbilion ringgit dan rekodkan pencapaian beliau itu dalam memoirnya.

    “Namuan beliau pilih untuk tulis perkara yang remeh dan menulis bagaimana beliau dapat ‘menyekat’ seorang setiausaha politik bawahan dalam kementerian kewangan.”