Category: Semasa

  • Zuraida akan rayu keputusan bayar PKR RM10 juta

    Zuraida akan rayu keputusan bayar PKR RM10 juta

    BEKAS Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin, akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar RM10 juta kerana melanggar syarat bon dengan parti itu.

    Beliau juga menyifatkan tuntutan dikemukakan sebagai ‘tidak berasas’ dan dianggap jelas bercanggah dengan hak rakyat menyertai dan meninggalkan sesuatu pertubuhan.

    “Sudah menjadi hak rakyat untuk bersekutu atau berpisah, yang merupakan hak asasi termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “Saya akan merayu keputusan ini bukan sahaja untuk saya, tetapi demi menegakkan hak penting ini yang menjadi milik semua rakyat Malaysia.

    “Ini juga bertentangan dengan dasar awam dan bertentangan dengan prinsip asas demokrasi. Juga tiada justifikasi tuntutan RM10 juta,” katanya menurut Berita Harian.

    Jumaat lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman PKR menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana melanggar syarat bon yang mengikat kepada parti.

    Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati hujahan Zuraida bahawa bon itu ditandatanganinya atas alasan dipaksa adalah tidak berasas.

    Mahkamah juga memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000 kepada PKR.

    PKR memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 Sept 2020 melalui Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif dengan menamakan Zuraida sebagai defendan.

    Parti itu mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya, seperti meletak jawatan dalam parti, bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

    Pada 24 Feb 2020, Zuraida dalam kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang, iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali Perikatan Nasional (PN).

    PKR turut menuntut Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah 5% setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Akhtar berkata, dakwaan Zuraida bahawa RM10 juta adalah tidak seimbang dengan jumlah yang dibelanjakan untuk pencalonan pilihan raya juga tidak berasas.

  • Saman ditolak, syarikat teknologi diarah bayar RM14.39 juta kepada SSM

    Saman ditolak, syarikat teknologi diarah bayar RM14.39 juta kepada SSM

    SEBUAH syarikat teknologi dikehendaki membayar RM14.39 juta kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selepas tuntutan samannya terhadap suruhanjaya itu ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Dalam kenyataan hari ini, SSM menjelaskan saman tersebut difailkan Liberty Technology Resources Sdn Bhd (LTRSB) berikutan pihaknya menamatkan kontrak pembangunan sistem ‘Enterprise Resource Planning’ (ERP) pada 19 Dis 2019.

    Menurutnya, kontrak ditamatkan kerana LTRSB gagal membangun dan menyiapkan projek tersebut dalam tempoh ditetapkan walaupun dengan lanjutan masa.

    Perjanjian bagi pembangunan projek itu ditandatangani antara SSM dan LTRSB pada 13 Sept 2017.

    Menurut kenyataan itu, Hakim Ong Chee Kwan turut membenarkan tuntutan balas SSM, dengan LTRSB diarah memulangkan semula RM12,228,365.80 juta yang telah dibayar SSM, selain membayar RM1,966,812.94 juta sebagai ganti rugi tertentu dan ditetapkan kepada suruhanjaya itu.

    Hakim juga mengarahkan LTRSB membayar faedah sebanyak 5% atas jumlah tuntutan SSM yang dikira dari 26 Nov 2020 sehingga pembayaran penuh tuntutan SSM serta kos sebanyak RM200,000 kepada SSM.

  • Wanita maut dipercayai dibunuh teman lelaki

    Wanita maut dipercayai dibunuh teman lelaki

    SEORANG lelaki ditahan selepas dipercayai membunuh teman wanitanya dengan memukul mangsa menggunakan batang penyapu di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon, Ipoh pagi tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, maklumat awal kejadian itu diterima daripada seorang wanita pada pukul 4.34 pagi yang memaklumkan terdapat pergaduhan suami isteri di mana isteri mengalami kecederaan parah.

    “Setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat seorang wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terbaring di atas katil.

    “Mangsa berusia 24 tahun itu disahkan telah meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

    “Seorang lelaki berusia 23 tahun yang juga teman lelaki mangsa mengaku memukul wanita itu dan dia ditangkap bersama tiga individu lain yang berada di lokasi kejadian,” katanya hari ini.

    Beliau berkata, tiga individu berusia 29 hingga 65 tahun yang ditahan itu adalah ahli keluarga suspek termasuk ibunya yang datang ke lokasi kejadian selepas dihubungi lelaki terbabit.

    Katanya, siasatan mendapati pasangan kekasih tersebut tinggal di tingkat atas rumah kedai itu bersama bayi lelaki mereka berusia lapan bulan.

    “Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas keempat-empat suspek mendapati teman lelaki mangsa positif dadah jenis methamphetamine.

    “Tangkapan terhadap kesemua suspek membawa kepada rampasan barang kes berupa empat unit telefon bimbit dan batang penyapu yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu,” katanya.

    Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    “Keempat-empat suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Sabtu depan untuk siasatan lanjut. Bayi lelaki mangsa telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jagaan,” katanya lapor Utusan Malaysia.

  • Jemaah perlu bersedia cabaran kemuncak haji

    Jemaah perlu bersedia cabaran kemuncak haji

    JEMAAH haji perlu bersedia dengan pelbagai cabaran di Arafah, Mudzalifah dan Mina, kata Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji (TH), Dr. Anisah Ab. Ghani.

    Jelasnya yang juga Ketua Pakar Rujuk, ini kerana lokasi berkenaan menjadi tumpuan tiga juta umat Islam untuk melaksanakan ibadah haji.

    “Setiap jemaah juga perlu mendidik emosi mereka supaya sentiasa sabar kerana berada semasa operasi Masyair boleh diibaratkan seperti di Padang Mahsyar kecil.

    “Keadaan khemah yang tak selesa kerana terpaksa duduk dalam keadaan sempit, kadang-kadang panas dan bilik air yang tak sempurna.

    “Jemaah kena didik daripada awal emosi macam mana nak hadapi keadaan macam itu kerana dalam bahasa Arab kerja haji diibaratkan seperti kusut masai,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Dr. Anisah Ab. Ghani – Foto Sinar Harian

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) Abraj Janadriyah, di Makkah mengenai persiapan jemaah sebelum ke Arafah bermula esok (Isnin).

    Dr. Anisah berkata, jemaah haji juga perlu menginsafi diri bahawa kemuncak ibadah ini bukanlah tempat untuk bersenang-lenang.

    “Anggap kita nak berdepan dengan Allah bukannya nak makan sedap, tempat tidur yang selesa dan sebagainya,” katanya.

    Kata beliau, masa yang ada juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya supaya tidak terisi dengan perkara-perkara yang boleh mengurangkan kemabruran haji.

    “Kena ada perancangan apa yang kita nak minta daripada Allah, doa untuk diri sendiri, isteri atau suami, anak-anak, kawan-kawan dan jiran,” katanya.

    Selain berdoa, Dr. Anisah turut menasihatkan jemaah haji supaya memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran dan amalan-amalan sunat lain.

    Ibadah itu katanya, dapat mengelakkan jemaah daripada membuang masa berbual kosong, mengumpat, bertengkar dan perkara lagha yang sia-sia.

    Jemaah perlu membanyakkan doa memohon keampunan daripada Allah. – Foto Sinar Harian

    “Dalam sahih Muslim daripada Aisyah RA Nabi Muhammad bersabda: Tidak ada hari yang lebih banyak Allah membebaskan seorang hamba dari neraka dibanding pada hari Arafah.

    “Maka rebutlah peluang yang ada kerana belum tentu kita akan dapat hadir lagi selepas ini,” katanya.

    Menyentuh mengenai ilmu berkaitan haji, Dr. Anisah berkata masih belum terlewat untuk mengukuhkan pengetahuan supaya dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna semasa Masyair.

    Kerajaan Arab Saudi menetapkan hari Wukuf yang menjadi kemuncak haji, adalah pada Selasa ini, sementara Hari Raya Aidiladha akan disambut pada Rabu.

  • 54 motosikal disita, 290 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan

    54 motosikal disita, 290 saman dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan

    SEBANYAK 54 buah motosikal disita manakala 290 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan polis Pulau Pinang dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan di Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Bagan Ajam, Butterwoth lewat malam tadi hingga pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, operasi itu dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD SPU bermula pukul 11.45 malam sehingga 10 pagi.

    Jelasnya, terdahulu pihaknya menahan pemilik motosikal terbabit yang berusia antara 18 sehingga 30-an untuk pemeriksaan kerana didapati melepak dan membuat bising di kawasan terbabit.

    “Selain itu, antara kesalahan lain yang dikesan ialah motosikal turut diubah suai selain penunggang tidak memiliki lesen yang sah,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Dalam pada itu, Mohd. Radzi menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

    Tambah beliau, operasi seumpama itu juga akan giat dilakukan dari semasa ke semasa bagi membendung kegiatan yang menjurus kepada budaya samseng jalanan daripada terus menular.

  • Bomba dua hari keluarkan mayat dari hutan

    Bomba dua hari keluarkan mayat dari hutan

    BERAT mayat lebih 100 kilogram dan keadaan cuaca yang kurang baik menyebabkan pasukan bomba terpaksa mengambil masa selama dua hari untuk mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia di hutan kelmarin.

    Mayat lelaki warga Indonesia berusia 24 tahun itu hanya dapat dikeluarkan dari hutan Borneo Timber Sungai Pinangah pada Sabtu selepas pasukan bomba melalui pelbagai cabaran di kawasan berkenaan.

    Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 6.30 pagi kelmarin.

    “Menurut panggilan, terdapat seorang mangsa sakit di dalam hutan dan memerlukan bantuan untuk dihantar ke hospital.

    “Menurut maklumat pemanggil, mangsa bersama dua rakannya melakukan aktiviti mendaki dan mengkaji hutan, namun mengalami sakit badan sehingga tidak mampu meneruskan perjalanan,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

    Edoen berkata, seramai tiga anggotanya dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 132 kilometer dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda.

    Katanya, pasukan bomba yang dalam perjalanan ke lokasi kemudian menerima panggilan susulan pada pukul 2.25 petang dan dimaklumkan mangsa telah meninggal dunia.

    Menurutnya, sebaik tiba, mangsa dalam keadaan terbaring di khemah dan dipercayai tidak sedarkan diri.

    “Pada pukul 6.21 petang hari yang sama, pasukan bomba memulakan operasi dengan bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan ‘scoop stretcher’ tetapi ditangguhkan akibat cuaca hujan yang menyebabkan laluan bukit yang curam menjadi licin selain keadaan yang gelap turut menyukarkan operasi,” katanya.

    Tambah Edoen lagi, operasi mengeluarkan mangsa disambung pada pukul 5 pagi Sabtu dengan dibantu oleh pasukan BBP Sook.

    “Mangsa kemudian berjaya dikeluarkan dari hutan dan diserahkan kepada pihak polis sebelum disahkan telah meninggal dunia,” katanya.

    Edoen memaklumkan disebabkan tiada liputan Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) dan talian telefon di lokasi kejadian menyebabkan maklumat sukar disalurkan.

    “Operasi ditamatkan pada pukul 11.20 malam tadi, bagaimanapun maklumat mengenai operasi itu hanya disalurkan pada pukul 12.30 tengah malam tadi berikutan keadaan yang dihadapi,” katanya.

  • PM perlu mohon maaf kerana minta nombor telefon pelajar wanita-MUDA

    PM perlu mohon maaf kerana minta nombor telefon pelajar wanita-MUDA

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta maaf berikutan tindakannya meminta nombor telefon seorang pelajar tingkatan enam dalam satu program baru-baru ini.

    Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abdul Aziz berkata, tindakan Anwar itu disifatkan sebagai tidak menghormati kaum wanita.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu mendakwa, tindakan Perdana Menteri itu juga telah memberikan contoh tidak baik kepada masyarakat.

    Tambahan menurut Amira, Anwar mewakili kumpulan yang mempunyai pangkat dan kedudukan.

    “@anwaribrahim kena minta maaf secara terbuka sebagai contoh yang baik pada lelaki lain.

    “Buat mereka faham bahawa kelakuan ini tidak baik. Terutama datang dari seseorang yang mempunyai kedudukan kuasa.

    “Jika anda kagum dengan gadis itu, puji sahaja dia tanpa membuat komen yang mengganggunya,” katanya dalam ciapan di Twitter.

    Kata Amira Aisya, adalah sesuatu yang malang apabila golongan lelaki berusia menganggap tindakan meminta nombor telefon seorang wanita sebagai bahan gurauan.

    Menurut Amira Aisya, tindakan Anwar akan menyebabkan lebih ramai golongan lelaki akan melakukan perbuatan tersebut.

    “Wanita melihat ini setiap hari dan kita sentiasa perlu menjelaskan setiap kali kita tidak tersenyum atau ketawa pada ‘gurauan’”.

    “Melihat DSAI melakukannya dalam skala yang lebih besar akan mengekalkan kepercayaan ini,” katanya, katanya lapor MalaysiaGazette.

    Dalam ciapan tersebut Amira Aisya turut berkongsi laporan media yang memaparkan Anwar berseloroh meminta nombor telefon daripada seorang pelajar tingkatan enam SMK Tunku Ampuan Durah, Adriana ketika bertanya soalan kepadanya.

    “Saya bangga dengan Adria ini. Tingkatan enam pun bertanya soalan yang begitu kemas.

    “Kalau saya muda saya dah minta nombor telefon,” seloroh Anwar yang memuji pelajar tersebut ketika bertanya soalan kepadanya.

    Jawapan Perdana Menteri mendapat sorakan pelajar yang terhibur dengan kata-kata yang dilemparkan Anwar.

    Kejadian yang disiarkan secara langsung dalam program ‘Temu Anwar Negeri Sembilan’ di Universiti Sains Islam Malaysia.

    Pelajar berkenaan ketika itu melontar dua soalan antaranya berkaitan sama ada Malaysia boleh menjadi negara dunia pertama dan mengenai kedudukan ringgit yang merosot .

  • Sultan Kedah perkenan bubar DUN Kedah 28 Jun 2023

    Sultan Kedah perkenan bubar DUN Kedah 28 Jun 2023

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor hari ini mengumumkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan dibubarkan secara rasmi pada 28 Jun depan bagi memberi laluan kepada pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Menurutnya, tarikh itu telah diperkenankan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah setelah beliau mencadangkankannya kepada baginda dalam sesi menghadap di Wisma Darul Aman dekat Alor Setar, pagi tadi.

    Beliau berkata, dalam sesi menghadap itu, baginda turut menasihatkan agar segala prosedur dipastikan berlangsung mengikut undang-undang tubuh kerajaan negeri.

    “Bermula dari tarikh itu, pentadbiran kerajaan negeri akan dijalankan oleh kerajaan interim yang mana segala fungsi kerajaan akan berlangsung sebagaimana biasa, sehingga kerajaan negeri baharu dibentuk selepas PRN.

    “Masih ada mesyuarat exco untuk meluluskan perkara-perkara penting. Walaubagaimanapun, sebarang kelulusan melibatkan dasar mahu pun kewangan yang tidak diluluskan dalam belanjawan sebelum ini, tak boleh dilaksanakan.

    “Apa yang ada selepas pembubaran ini adalah pelaksanaan kerja-kerja rutin melibatkan perkara yang telah diluluskan dalam DUN atau mesyuarat exco sbeelum ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas sesi menghadap yang berlangsung di Pejabat Sultan Kedah di bangunan pentadbiran itu.

    Terdahulu Muhammad Sanusi tiba Wisma Darul Aman dengan menaiki kereta rasmi Menteri Besar kira-kira pukul 10.22, dan disusuli keberangkatan Sultan Kedah, empat minit kemudian.

    Sementara itu beliau menyifatkan pentadbiran kerajaan negeri berlangsung dalam keadaan amat baik sejak beliau mula diberi tanggungjawab mengemudi kerajaan pada 17 Mei 2020 meskipun negara dilanda ujian pandemik Covid-19 ketika itu.

    Dalam tempoh itu juga katanya, pentadbiran tersebut diuji dengan dua bencana alam yang dahsyat iaitu kejadian kepala air di Yan dan banjir aliran puing di Kampung Iboi, Baling.

    Katanya, kelancaran menghadapi ujian-ujian itu mungkin tidak akan dicapai jika bukan kerana keprihatinan dan sifat mengambil berat Sultan Sallehuddin; Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff serta Raja Muda, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karin Sallehuddin yang sering mengambil tahu, memberi nasihat serta peringatan untuk memastikan nasib dan kehidupan rakyat jelata sentiasa diberi keutamaan.

    “Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pembangkang yang telah melengkapkan konsep demokrasi berparlimen dalam pemerintahan negeri ini.

    “Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada seluruh rakyat Kedah yang telah memberi sokongan terhadap kerajaan negeri dalam setiap usaha dilakukan,” katanya.

  • Pas tidak tunggang Islam raih sokongan rakyat – Abdul Hadi

    Pas tidak tunggang Islam raih sokongan rakyat – Abdul Hadi

    PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menafikan parti itu menunggang Islam dalam meraih sokongan rakyat sebagaimana tuduhan dilemparkan oleh pihak lawan.

    “Pas tidak bertindak membawa sentimen tetapi ia adalah kewajipan agama.”

    “Politik ini merupakan sebahagian daripada agama dan ia merupakan salah satu kewajipan umat Islam.

    “Ada yang cakap Pas sentiasa bawa fahaman tidak undi parti ini bukan Islam, dia (pihak terbabit) yang cakap, bukan kita… yang tentukan syurga, neraka ialah Tuhan. Kita ini buat amal untuk Tuhan reda,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyampaikan ceramah pada program Pakat Pertahan Kelantan: Pas Pilihanku dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di Koa Bharu malam tadi.

    Hadir sama ialah, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kepimpinan kerajaan Kelantan.

    Menurut Abdul Hadi, tindakan parti lawan terutama DAP memainkan sentimen Islamofobia dengan tujuan menakutkan orang dengan Islam.

    Beliau menegaskan, masyarakat tidak perlu takut dengan pemerintahan Islam kerana perkara tersebut tidak betul.

    Ahli Parlimen Marang itu berkata, DAP boleh datang ke Kelantan dan melihat bagaimana pemerintahan Islam di Kelantan.

    “Orang bukan Islam boleh hidup dengan aman di sini, begitu juga di Terengganu dan Kedah. Jadi dia (DAP) sebut Gelombang Hijau ini dengan tujuan untuk menakutkan orang ramai. Islamofobia la tu… tak betul-tak betul.

    “Begitu juga dengan Parti Amanah Negara (Amanah) yang mendakwa kita parti songsang. Buka perlembagaan Pas dan buka perlembagaan Amanah, tengok perlembagaan parti masing-masing,” katanya.

    “Perlembagaan Pas hukum tertinggi adalah al-Quran dan Hadis, ijma’ ulama dan Qias. Amanah apa perlembagaan dia? DAP apa perlembagaan dia? Kajilah perlembagaan parti masing-masing… tahulah songsang atau tidak,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

  • Pemuda MCA saran pulau kempen PRN kerana disisih sejak BN berkawan dengan DAP

    Pemuda MCA saran pulau kempen PRN kerana disisih sejak BN berkawan dengan DAP

    PEMUDA MCA menyarankan kepemimpinan parti itu memulau Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.

    Setiausaha Agung Pemuda MCA, Daniel Wa, turut menyarankan MCA tidak membantu mana-mana calon yang didakwa bersifat sombong sejak Barisan Nasional (BN) menjalinkan kerjasama dengan DAP.

    “Ini kerana calon berkenaan dengan angkuh dan dilihat bangga menjadi jurucakap DAP, seolah-olah mereka hanya memerlukan parti berkenaan sebagai rakan,” tegas Daniel.

    Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas mana-mana calon yang didakwa sombong dan lebih memihak kepada DAP.

    Katanya lagi:”MCA selama ini setia dan berpegang teguh kepada prinsip serta semangat BN. Susah senang MCA tetap bersama BN, walaupun banyak parti komponen meninggalkan gabungan berkenaan ketika berdepan waktu sukar.

    “Kini dia sudah ada kawan baharu DAP, maka itu dia mendabik dada dan tidak perlukan MCA serta MIC yang digelar ‘biawak hidup’.

    “Kepemimpinan MCA juga diharap dapat meneliti secara mendalam cadangan ini bagi mengajar golongan yang sombong, angkuh dan tidak sedar diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Sebelum ini, MCA dilapor sedang mempertimbangkan beberapa pilihan untuk parti itu menghadapi enam PRN, antaranya berkempen untuk rakan parti komponen MCA di bawah BN, tetapi tidak bertanding pada pilihan raya berkenaan.

    Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, dipetik berkata, MCA mengalami lebih banyak kekalahan di enam negeri berkenaan dari 2008 hingga kini.

    Dalam keadaan itu, katanya, MCA langsung tidak mempunyai kuasa rundingan dan akan menghadapi proses rundingan yang sangat sukar.

    Antara pilihan lain ialah bertanding di kerusi tradisi di enam negeri itu atau berusaha untuk bilangan kerusi minimum.

    Ini kerana, parti berusia 74 tahun itu memerlukan golongan muda sebagai pengganti bagi mengembalikan kekuatannya ke arah yang lebih baik.