Category: Semasa

  • Wanita diperdaya RM34,936 dengan tawaran kerja sambilan

    Wanita diperdaya RM34,936 dengan tawaran kerja sambilan

    SEORANG wanita rugi sebanyak RM34,936 selepas diperdaya dengan tawaran kerja sambilan menerusi platform dalam talian yang diiklankan di laman sosial, bulan lalu.

    Mangsa, 34, yang merupakan pembantu tadbir sebuah syarikat swasta tertarik untuk menyertai kerja sambilan tersebut selepas melihat iklan berkenaan pada November lalu.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa kemudian berurusan dengan seorang wanita yang merupakan suspek melalui WhatsApp dan diterima untuk menyertainya dengan tawaran komisen sebanyak 20 peratus.

    “Tugasan diberikan cukup mudah iaitu mangsa hanya perlu membuat tangkap layar gambar produk yang ingin dibeli dan menghantarnya kepada suspek bersama wang pendahuluan.

    “Selain wang pendahuluan akan dikembalikan, mangsa akan menerima keuntungan melalui komisen mengikut kadar ditetapkan.

    “Mangsa membuat tugasan pertama dengan bayaran RM30 dan wang yang diterima kembali ialah RM33,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Wazir berkata, mangsa kemudian menyelesaikan beberapa tugasan dengan bayaran pendahuluan lebih RM34,000.

    “Malangnya, dia gagal menerima kembali wang pendahuluan dan komisen yang dijanjikan.

    “Mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kuantan pada Jumaat selepas menyedari ditipunya. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Polis sedang mengesan dua pemilik akaun bank yang digunakan dalam kes tersebut bagi membantu siasatan,” kata beliau.

  • Singapura kesan tiga lagi kes varian Omicron

    Singapura kesan tiga lagi kes varian Omicron

    SINGAPURA mengesan tiga lagi kes COVID-19 yang hasil ujian saringan awal mendapati positif varian Omicron, satu daripadanya jangkitan tempatan melibatkan seorang lagi pekerja barisan hadapan di lapangan terbang manakala dua lagi kes import.

    “Ketiga-tiga kes telah lengkap divaksin dan tanpa gejala dan beransur pulih ketika menjalani pengasingan di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID),” menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam satu kenyataan pada lewat Jumaat.

    Kes pertama melibatkan seorang lelaki berusia 38 tahun, bekerja di bahagian perkhidmatan penumpang di Terminal Lapangan Terbang Changi.

    Dikategorikan sebagai kes 276839, lelaki itu tidak berinteraksi dengan tiga kes Omicron sebelum ini.

    “Kes itu tidak mempunyai kaitan dengan kes yang dilaporkan sebelum ini – Kes 276363 – yang juga melibatkan kakitangan perkhidmatan penumpang Lapangan Terbang Changi,” menurut kementerian.

    Lelaki itu menjalani ujian saringan COVID-19 pada 9 Dis sebagai sebahagian Ujian Rutin Terdaftar (RRT) mingguan untuk pekerja barisan hadapan dan keputusan awal tindak balas rantai polimerase (PCR) didapati positif varian Omicron.

    “Dia tidak menunjukkan gejala dan sebaik diberitahu mengenai hasil ujian itu dia telah menjalani kuarantin kendiri di rumah,” menurut MOH.

    Sementara itu, kes kedua dan ketiga pula membabitkan mereka yang pulang ke Singapura melalui Lorong Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dari United Kingdom (UK) pada 8 Dis.

    Kementerian menyatakan kedua-duanya tidak saling berinteraksi semasa dalam penerbangan.

    Dalam kenyataan berasingan, Singapura akan menggunakan dos pediatrik vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty COVID-19 untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

    “Vaksinasi untuk kumpulan itu akan dimulakan sebelum akhir tahun ini, sebaik sahaja kami menerima dos vaksin,” menurut MOH.

    MOH menyatakan dos yang disyorkan ialah satu pertiga daripada dos yang digunakan untuk mereka berumur 12 tahun ke atas — untuk dua suntikan setiap satu dos pediatrik adalah sebanyak 10 mikrogram — berselang sekurang-kurangnya 21 hari.

    Kementerian juga akan melanjutkan program suntikan dos penggalak COVID-19 kepada individu berumur 18 hingga 29 tahun, mulai 14 Dis.

    Sehingga kini, 96 peratus penduduk yang layak di Singapura sudah lengkap menerima vaksin COVID-19 manakala 30 peratus daripada jumlah penduduk telah mendapat dos penggalak.- Bernama

  • Harga barang stabil sepenuhnya awal tahun depan

    Harga barang stabil sepenuhnya awal tahun depan

    HARGA barangan khususnya ayam dan sayur-sayuran yang dilaporkan meningkat mendadak sebelum ini dijangka kembali stabil sepenuhnya awal tahun depan malah sudah menunjukkan tanda-tanda penurunan ketika ini.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, penurunan itu disebabkan beberapa faktor termasuk keadaan cuaca yang kembali normal di negara-negara pengeluar.

    Selain itu menurut beliau, langkah yang diambil kerajaan khususnya menerusi Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk mengimport bekalan ayam dari luar negara turut memastikan harga bekalan ayam mentah tidak terus melonjak.

    Dalam masa sama jelasnya, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dilancarkan sejak 2 Disember lalu turut membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat ekoran peningkatan harga barang tersebut sebagai penyelesaian jangka pendek.

    “Disebabkan itu juga kita merancang meneruskan program ini sehingga Mac tahun depan meskipun harga barangan sudah kembali stabil ketika itu.

    “Jika harga barang dikesan terus berlaku terutama menjelang musim perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri pada awal Mei tahun depan, kita akan terus memantau keadaan ini dari semasa ke semasa dalam memastikan rakyat tidak terkesan,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas meninjau program PJKM di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Bandar Perda, Pulau Pinang hari ini.

    Mengulas mengenai inisiatif PJKM tambah Rosol, program yang menawarkan harga barangan murah secara terus kepada rakyat itu telah dilaksanakan di 15 buah Parlimen di seluruh negara sehingga kini.

    Tambahnya, program itu juga mendapat sambutan menggalakkan selepas dihadiri hampir 30,000 penduduk setempat dengan nilai jualan sebanyak RM423,844.

  • 87 penerima Darjah, Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor

    87 penerima Darjah, Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor

    AHLI Dewan Diraja Selangor Tengku Datuk Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah Alhaj adalah antara 87 penerima Darjah dan Bintang Kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan yang ke-76 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.

    Sultan Selangor berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Kedua (D.K II) kepada Tengku Ramli Alhaj yang juga merupakan Ahli Perbadanan Wakaf Selangor dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Raja Tun Uda.

    Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pula dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’.

    Seramai tujuh penerima dikurniakan Darjah Kebesaran – Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) yang membawa gelaran ‘Datuk’ bagi ahli lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi ahli wanita antaranya Duta Besar Malaysia ke Belgium Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani; Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mohd Tarid Sufian dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada Anizan @ Siti Hajjar Adnin.

    Turut menerima Darjah Kebesaran D.P.M.S adalah Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Mohd Syafiq Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Markas Tentera Darat Mej Jen Anuar Mohamad Ali dan Panglima Wilayah Laut 1 (Kuantan) Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain.

    Darjah Kebesaran Datuk – Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) yang turut membawa gelaran ‘Datuk’ bagi ahli lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi ahli wanita, dikurniakan kepada sembilan individu antaranya Ketua Pengarah Pergigian Markas Tentera Darat Brig Jen Dr Mohd Rosli Majid, Pegawai Memerintah 94 HAT, Kem Terendak Brig Jen Dr Mohamed Hatta Manis dan Panglima Pasukan Khas Laut (Lumut), Markas Tentera Laut Laksamana Pertama Redzuan Talib.

    Turut menerima Darjah Kebesaran D.S.I.S ialah Juruiring Tentera Kepada Sultan Selangor Kepten Ahmad Ramli Kardi, Pengarah Hospital Serdang Dr Rohana Johan, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, Lembaga Pemegang Amanah, Lembaga Zakat Selangor Dr Abdul Rahman Abdullah, Pengarah Urusan Sunway Healthcare Group Lau Beng Long dan Pengarah Urusan Segi Value Holdings Sdn Bhd Chui Ah Hock.

    Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran- Setia Mahkota Selangor (S.M.S) kepada 19 penerima antaranya Pakar Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang Dr Kartini Md Ariff, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor Rahilah Rahmat dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor Hazman Che Mohamed.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor Hafisham Mohd Noor, Penolong Pesuruhjaya (Ketua Siasatan Negeri-KSN) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Selangor Adi Supian Shafie dan Pakar Perubatan Forensik dan Ketua Jabatan Hospital Serdang Dr Khairul Anuar Zainun merupakan antara 14 individu yang terpilih untuk dianugerahkan Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S).

    Sempena ulang tahun keputeraan itu juga, Sultan Selangor berkenan untuk mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) kepada 15 penerima dan Darjah Kebesaran Ahli – Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) kepada 14 orang.

    Seramai tujuh individu turut dikurniakan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C) sempena ulang tahun keputeraan baginda.

    Tarikh untuk majlis istiadat penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat tersebut akan dimaklumkan kemudian. – Bernama

  • Warga emas rentung dalam kebakaran di rumah

    Warga emas rentung dalam kebakaran di rumah

    SEORANG lelaki warga emas rentung dalam kebakaran di rumahnya di Kampung Tanjung Rendang, Pasir Mas, pukul 4 pagi tadi.

    Abdul Manaf @ Zakaria Ismail, 71, dilaporkan rentung 90 peratus dan rumahnya juga musnah dalam kebakaran tersebut.

    Anak mangsa, Anilisida Abdul Manaf, 40, berkata,

    Kejadian itu disedarinya, anak mangsa, Anilisida Abdul Manaf, selepas mendengar letupan kecil ketika dia sedang membuat kuih untuk jualan.

    “Sejurus mendengar, saya terus bergegas ke rumah ayah yang terletak bersebelahan dengan rumah.

    “Pada waktu itu, api sedang marak. Saya dan suami serta anak-anak tidak sempat berbuat apa-apa kerana asap tebal,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

  • 54 tan keratan ayam sejuk beku dari Thailand dirampas

    54 tan keratan ayam sejuk beku dari Thailand dirampas

    SEJUMLAH 13,281 ekor ayam hidup dan kira-kira 54 tan keratan ayam sejuk beku yang cuba dibawa masuk dari Thailand dirampas di Kelantan sejak Januari hingga November tahun ini.

    Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pihaknya telah menahan kemasukan kira-kira 54 tan keratan ayam sejuk beku bernilai RM768,000 itu kerana gagal mematuhi syarat-syarat kemasukan yang ditetapkan.

    Menurut Maqis, kesemua ayam hidup bernilai kira-kira RM100,000 pula dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Polis Marin ketika cuba dibawa masuk melalui pengkalan haram tebing Sungai Golok.

    “Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Maqis.

    “Di bawah Seksyen 11(3) akta sama, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.

    Menurut Maqis, pihaknya dengan kerjasama agensi penguatkuasaan di sempadan yang lain akan terus komited dan mengambil langkah serius dalam mempertingkat kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya di pintu masuk negara.

    Ini bagi memastikan isu melibatkan kawalan penyakit, keselamatan makanan, pengiktirafan halal dan risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian serta penternakan negara ini dapat dibendung serta dikawal. – Bernama

  • Warga asing baring atas jalan maut dilanggar MPV

    Warga asing baring atas jalan maut dilanggar MPV

    SEORANG lelaki warga asing yang sedang baring atas jalan raya maut dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Phileo Damansara, Petaling Jaya, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa, 40, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 10.54 malam.

    “Siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga asing sedang baring atas jalan raya dan dilanggar oleh kereta yang keluar dari bangunan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

    Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan beliau meminta saksi kejadian diminta untuk tampil bagi membantu siasatan.

    “Kepada sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Rozilah Hussin di talian 016 267 9025,” katanya.

  • Saman tertunggak di Johor RM3 bilion, termasuk libatkan warga Singapura

    Saman tertunggak di Johor RM3 bilion, termasuk libatkan warga Singapura

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS Johor merekodkan sebanyak 10,073,023 keping saman yang masih tertunggak berjumlah sebanyak RM3.021 bilion atas pelbagai kesalahan jalan raya sejak tahun 2000 hingga kini.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Deputi Superintenden Khairul Azhar Ismail berkata, daripada jumlah itu, RM58.07 juta adalah saman tertunggak melibatkan warga Singapura.

    Katanya, jumlah itu melibatkan sebanyak 193,583 saman yang dikeluarkan pihaknya terhadap pemandu republik berkenaan.

    “Sejak tahun 2000 hingga kini, jumlah saman tertunggak bagi Kontinjen Johor adalah sebanyak 10,073,023 keping saman melibatkan pelbagai kesalahan.

    “Antara kesalahan direkodkan termasuk memandu laju, menghalang lalu lintas, melanggar lampu isyarat, tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, ubah suai kenderaan dan mengguna telefon bimbit,” katanya kepada pemberita di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

    Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay meluangkan kira-kira 20 minit melihat proses pembayaran saman sempena diskaun 80 peratus di Ibu Pejabat Polis Trafik Johor.

    Khairul Azhar memberitahu, sejak 1 Disember hingga semalam, pihaknya telah mengutip pembayaran saman berjumlah RM4.8 juta dengan RM1.6 juta dikutip semalam iaitu sejak diskaun 80 peratus bermula.

    “Daerah yang paling banyak mencatat kutipan saman membabitkan Johor Bahru Selatan dengan kutipan RM730,960 diikuti Batu Pahat (RM539,380) dan Muar (RM469,500).

    “Bagi memudahkan urusan pembayaran saman, orang ramai boleh mengunjungi 14 cawangan trafik di mana-mana Ibu Pejabat Polis Daerah negeri Johor untuk urusan berkenaan.

    “Saya berharap masyarakat akan menggunakan sepenuhnya peluang yang diberi ini untuk menjelaskan saman mereka pada harga diskaun 80 peratus iaitu sehingga Ahad ini,” ujarnya.

  • 4 ahli sindiket edar dadah ditahan, ganja 107kg dirampas

    4 ahli sindiket edar dadah ditahan, ganja 107kg dirampas

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket dadah yang didalangi tiga beranak termasuk pasangan suami isteri dalam serbuan di sekitar negeri itu serta Kedah dan merampas 107 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM267,500.

    Turut ditahan dalam serbuan kelmarin dan semalam itu ialah seorang lagi suspek lelaki yang merupakan kenalan kepada tiga beranak berkenaan yang kesemua mereka berusia antara 25 hingga 33 tahun.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, tangkapan pertama melibatkan dua individu dilakukan pukul 8.40 malam kelmarin di Kampung Lahar Yooi yang mana polis menemukan lima ketulan ganja seberat lima kilogram bernilai RM12,500.

    Katanya, tangkapan itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah pukul 9.50 malam hari sama yang mana seorang wanita iaitu kakak kepada salah seorang suspek pertama ditahan bersama empat guni berisi 100 ketul ganja bernilai RM255,000.

    Tangkapan terakhir pula katanya, melibatkan suami wanita berkenaan yang berjaya ditahan dalam serbuan di Sungai Ara, Bayan Lepas pukul 12.45 pagi semalam.

    “Keempat-empat suspek itu didapati menjadi dalang kepada aktiviti pengedaran dadah untuk pasaran tempatan sejak Jun lalu.

    “Hasil siasatan mendapati dua daripada mereka memiliki rekod lampau berkaitan dadah manakala seorang suspek positif methapethamin,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah SPU, Kepala Batas hari ini.

    Menurut Mohd. Radzi, dalam kesemua serbuan itu polis turut menyita sebuah kereta dan dua buah motosikal serta sejumlah wang tunai dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan  RM340,500.

    Tambahnya, kesemua suspek kini direman tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

  • Nelayan gagal seludup 40kg dadah bernilai lebih RM2 juta

    Nelayan gagal seludup 40kg dadah bernilai lebih RM2 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CUBAAN satu sindiket menyeludup keluar 40 kilogram dadah jenis syabu gagal selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan serbuan di Jeti Nelayan Parit Jawa, Muar, semalam.

    Serbuan dan penahanan dibuat Zon Maritim Batu Pahat itu pada pukul 7 malam selepas mendapat maklumat selain risikan dan intipan aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah melalui perairan melibatkan bot-bot nelayan tempatan.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mulanya pasukan operasi darat mengesan sebuah bot Kelas A mencurigakan dan disyaki sedang menyelusuri masuk ke Jeti Nelayan Parit Jawa.

    “Berikutan itu, pasukan serbuan diatur gerak ke lokasi dan telah menahan bot berkenaan bersama-sama dua suspek warga tempatan.

    “Penggeledahan ke atas bot telah menemukan satu karung guni putih mencurigakan yang disembunyikan di bawah alat kemudi bot tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pemeriksaan ke atas guni terbabit menemukan 30 bungkusan mampat berisi hablur putih disyaki dadah jenis syabu dengan berat anggaran lebih kurang satu kilogram setiap bungkusan.

    Maritim menemukan dadah yang disembunyikan dalam bot nelayan untuk diseludup ke negara jiran

    Kedua-dua suspek katanya, mengakui dadah tersebut dalam proses transit untuk dipindahkan ke bot nelayan lain di perairan Parit Jawa sebelum diseludup keluar ke negara jiran.

    Dua nelayan tempatan yang berumur 45 dan 48 tahun itu katanya, ditahan dan semua 30 bungkusan dadah turut dirampas seterusnya dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

    Antara yang tunai yang dirampas dalam sebuan di Jeti Parit Jawa, Muar, semalam selain dadah, bot nelayan, sebuah tefleon bimbit, menjadikan nilai keseluruhan rampasan lebih RM2 juta.

    “Keseluruhan barang yang dirampas merangkumi lebih kurang 40 kilogram dadah dipercayai jenis syabu, bot nelayan tempatan kelas A berwarna biru berukuran 12.45 meter panjang dan 2.76 meter lebar serta satu unit enjin model Yanmar 24 kuasa kuda, sebuah tefon bimbit dan wang tunai RM1,706 dirampas. Ini menjadikan nilai keseluruhan rampasan lebih RM2 juta,” katanya.

    Beliau berkata, pihak maritim akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan

    Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat menerusi talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.