Category: Semasa

  • Negara rugi besar jika tukar Model SWN untuk sediakan rangkaian 5G – Muhyiddin

    Negara rugi besar jika tukar Model SWN untuk sediakan rangkaian 5G – Muhyiddin

    KERAJAAN berdepan risiko implikasi reputasi besar jika menukar model Rangkaian Borong Tunggal, atau Single Wholesale Network (SWN) untuk melaksanakan rangkaian 5G yang sedang dijalankan Digital Nasional Berhad (DNB).

    Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuklah kehilangan keyakinan pelabur akibat perubahan pendirian kerajaan serta implikasi serius daripada aspek kewangan dan perundangan ke atas negara dan DNB, sekiranya sebarang pelanggaran atau penamatan kontrak disebabkan oleh penukaran model.

    “Negara akan kehilangan penjanaan ekonomi berjumlah RM122 bilion menjelang tahun 2030 seperti yang dilaporkan oleh kajian yang dijalankan oleh Ernst & Young Sdn Bhd (EY).

    “Kita juga akan kehilangan kos peluang, atau ‘opportunity cost’ pihak industri dalam memperolehi keuntungan memandangkan rangkaian 5G akan mengguna pakai infrastruktur sedia ada untuk meningkatkan kecekapan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Beliau mengulas mengenai cadangan dikemukakan dalam Laporan Pasukan Petugas 5G Kebangsaan dan Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak berjaya dilaksanakan kerana perbezaan kepentingan di kalangan syarikat telekomunikasi.

    Katanya, sebagai mantan Perdana Menteri, beliau telah terlibat dengan pelbagai perbincangan, termasuklah sesi libat urus dalam menjayakan usaha ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin jika perkara itu berlaku, negara akan kehilangan sokongan bagi sehingga 15 ribu pekerjaan berkaitan pembangunan rangkaian 5G, serta gangguan terhadap penciptaan 148,000 pekerjaan di dalam ekonomi secara keseluruhannya.

    Sedangkan, katanya peluang itu sepatutnya mendorong peralihan ekonomi kepada pekerja berkemahiran tinggi.

    “Model SWN yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan mempunyai kelebihan untuk melaksanakan rangkaian 5G dengan pantas, pada kos paling rendah dan kualiti yang lebih baik,” katanya.

    Bahkan, katanya model SWN yang dikawal selia oleh SKMM juga akan menyediakan akses yang adil dan sama rata kepada semua syarikat telekomunikasi seterusnya menggalakkan persaingan yang berfokuskan perkhidmatan kepada pelanggan.

    “SWN juga tidak akan terlibat di dalam pasaran runcit berdasarkan model perniagaan syarikat dan juga syarat lesen oleh SKMM.
    Pada masa yang sama, saya menyambut baik keputusan Telekom Malaysia Berhad yang telah menandatangani perjanjian percubaan bersama DNB.

    “Ini akan melihat pelanggan mereka menerima perkhidmatan rangkaian 5G dalam masa terdekat. Ini jelas membuktikan bahawa model yang diadaptasi oleh DNB serta pengurusan mereka berjaya untuk menyampaikan perkhidmatan 5G berdasarkan garis masa yang ditetapkan,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan mempertimbangkan isu yang dikemukakan ini dalam menentukan model pelaksanaan yang paling sesuai untuk seluruh rakyat.

    Ini termasuk aspek keterangkuman dan kemampuan rakyat untuk menikmati perkhidmatan 5G pada kos yang rendah serta dapat dinikmati oleh penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar.

    “Masih ingatkah kes Adik Veveonah Mosibin pada Jun 2020. Itu adalah contoh yang dekat di hati kita. Ini adalah kerana kawasan-kawasan tersebut tidak menguntungkan bagi syarikat-syarikat telekomunikasi.

    “Malah, kerajaan terpaksa menyediakan perbelanjaan tambahan berjumlah RM28 bilion daripada wang awam dan swasta di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk menghubungkan perkhidmatan ke kawasan-kawasan luar bandar, di mana syarikat telekomunikasi yang lazimnya dipacu keuntungan komersial, gagal menyediakan liputan.

    “Syarikat telekomunikasi mengambil masa tujuh tahun untuk mencapai liputan 4G di kawasan berpenduduk sebanyak 82.2 peratus, manakala sebaliknya DNB menyasar melancarkan 5G kepada lebih 80 peratus liputan kawasan berpenduduk menjelang 2024,” katanya

  • Kes buli: Mangsa letih, belum bersedia kongsi pengalaman

    Kes buli: Mangsa letih, belum bersedia kongsi pengalaman

    PELAJAR yang menjadi mangsa buli di asrama Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar, Perak kini menjalani rawatan di sebuah hospital dan berada dalam keadaan lemah.

    Mangsa yang berusia 13 tahun, difahamkan berada di wad sebuah hospital di Kajang, Selangor untuk pemeriksaan lanjut, susulan ditumbuk bertubi-tubi sekumpulan pelajar lain.

    Ketika SatuBerita menghubunginya, mangsa tidak boleh berbual panjang kerana mengakui masih lemah.

    Pada masa sama, dia juga perlu menyelesaikan isu berkaitan dengan kejadian itu yang menyaksikan enam pelajar kini berada dalam tahanan polis untuk siasatan.

    Difahamkan, mangsa belum bersedia untuk berkongsi pengalaman ngeri itu dan pada masa sama, mahu mengelak memberi kenyataan yang menggangu siasatan polis.

    Setakat ini juga, belum ada sebarang maklumat berhubung tahap kecederaan yang dialami mangsa.

    Kejadian itu tular dalam media sosial selepas tersebarnya rakaman video yang menunjukkan mangsa ditumbuk secara berulang kali oleh pelajar lain.

    Setakat ini, belum dapat dipastikan punca sebenar kejadian.

    Berikutan kejadian itu, semua pelajar terbabit tingkatan Satu dan Tiga MRSM Sultan Azlan Shah itu disoal siasat polis dan enam daripadanya ditahan, termasuk penular video.

    MRSM mengambil tindakan segera dengan menggantung persekolahan selama dua minggu kepada semua pelajar terbabit dan berkemungkinan akan dipecat daripada MRSM.

  • Persenda OKU: 4 individu dijangka beri keterangan petang ini

    Persenda OKU: 4 individu dijangka beri keterangan petang ini

    EMPAT individu dipercayai terlibat dalam dua video berasingan yang tular di media sosial sejak Rabu lepas, kerana mempersendakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), dijangka hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, petang ini.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kesemua suspek berjaya dihubungi oleh pengawai penyiasat semalam, berhubung video tersebut.

    “Mereka akan hadir untuk dirakam percakapan petang ini,” katanya ringkas kepada Bernama hari ini.

    Kes terbabit diklasifikasikan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, kerana kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, dan penggunaan media sosial secara tidak wajar.

    Khamis lepas, Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang mempersendakan golongan OKU, walaupun mereka telah memohon maaf secara terbuka.

    Sebelum ini, tular di media sosial dua lelaki menggunakan tempat meletak kereta khas untuk OKU di sebuah pusat beli-belah, dengan menyamar sebagai OKU untuk menggunakan parkir berkenaan.

    Selain itu, dua wanita yang merupakan penunggang basikal, mengambil kesempatan menggunakan tandas OKU dengan membuat pergerakan yang mempersendakan golongan tersebut.- Bernama

  • 2 ditahan tikam mati warga emas mahu tunai solat Jumaat

    2 ditahan tikam mati warga emas mahu tunai solat Jumaat

    DUA suspek yang menikam seorang lelaki warga emas hingga mati di hadapan rumahnya di Kampung Idaman, Klang, semalam, direman seminggu bermula hari ini.

    “Permohonan reman sehingga 17 Disember terhadap kedua-dua suspek itu dipohon di Mahkamah Klang,” ujar Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, ketika dihubungi hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan, lelaki warga emas yang mahu menunaikan solat Jumaat di masjid maut apabila dipercayai ditikam dua lelaki berhampiran pintu pagar kediamannya.

    Menurut Hoong Fong, mangsa, 69, ditemui terbaring berlumuran darah di hadapan rumahnya sekitar jam 12.38 tengah hari semalam.

    Katanya, kedua-dua suspek yang disyaki menikam mangsa berusia 33 tahun berjaya diberkas di dua lokasi berasingan sekitar Klang dan Shah Alam dalam tempoh empat jam selepas kejadian.

    “Siasatan mendapati, suspek utama dalam kes ini mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan satu rekod jenayah dan dua rekod dadah.

    “Senjata yang digunakan suspek untuk menikam si mati juga berjaya ditemui,” katanya dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Semalam, tular dalam media sosial seorang lelaki warga emas tidak sempat ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat apabila ditikam lelaki dikenali secara tiba-tiba.

  • Bumbung SMK Seri Menanti runtuh

    Bumbung SMK Seri Menanti runtuh

    BUMBUNG sebuah blok Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Menanti di Muar runtuh, kelmarin, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

    Berita Harian hari ini melaporkan, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku ketika sesi persekolahan dan semua pelajar sedang menjalani waktu rehat.

    “Dua buah blok sekolah berkenaan ketika itu terbabit dalam proses baik pulih bumbung, susulan strukturnya yang sudah uzur.

    “Kerja menukar bumbung bermula sejak sesi persekolahan dibuka dan kedua-dua bangunan berkenaan masih belum digunakan lagi,” katanya ketika dihubungi.

    Syed Saddiq berkata, runtuhan bumbung membabitkan sebuah bangunan dan pihak sekolah sudah menyerahkan isu berkenaan kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi tindakan lanjut.

  • Kes buli: Perhatikan perubahan sikap anak-anak

    Kes buli: Perhatikan perubahan sikap anak-anak

    IBU bapa digesa sentiasa memantau perubahan sikap anak terutama yang bersekolah di sekolah berasrama bagi mengelak berlakunya insiden buli.

    Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata warden asrama dan guru juga perlu memainkan peranan sekiranya menyedari perubahan diri pelajar.

    “Buli mungkin satu cara untuk melepaskan perasaan, mungkin tidak berpuas hati dengan mana-mana pihak barangkali dengan keluarga atau memang tidak mahu masuk asrama tetapi dipaksa.

    “Jadi dia melepaskan tekanannya itu dengan cara memukul orang, keluarga yang ada anak di asrama kena memahami perubahan sikap anak, begitu juga guru dan warden asrama,” katanya.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, hari ini.

    Kejadian itu menyebabkan semua pelajar terbabit digantung sekolah selama dua minggu dan mungkin disingkirkan terus daripada belajar di MRSM.

    Saarani menegaskan, gejala buli tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkait rapat dengan isu dalaman individu terbabit.

    “Pada saya orang yang sanggup memukul orang ini ada sesuatu yang tidak kena, dia tidak mempunyai perasaan dan emosinya tidak stabil, ini sangat bahaya.

    “Saya harap ia tidak berulang, ini kerana berkali-kali kita tengok (kejadian buli). Apa yang saya pelik, orang yang merakam sampai hati pula melihatnya, sepatutnya orang yang merakam dan kawan yang berada di sekitar membantu meredakan,” katanya.

    Media hari ini melaporkan polis menahan enam suspek kes buli didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular di media sosial semalam.

    Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat.

    Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara jam 1 hingga 2 pagi pada 9 Disember membabitkan tujuh suspek remaja dan seorang mangsa yang kesemuanya berusia 13 tahun.

    Susulan itu, pihak polis memanggil kesemua pelajar terbabit dan pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Bernama

  • Muhammad Erry raih Perak di Uzbekistan

    Muhammad Erry raih Perak di Uzbekistan

    SKUAD angkat berat kebangsaan terus menyinar apabila giliran Muhammad Erry Hidayat pula merangkul pingat perak, pada Kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel 2022 di Tashkent, Uzbekistan, malam tadi.

    Bersaing dalam kategori 73 kilogram (kg), Muhammad Erry melakukan angkatan 136kg bagi acara ‘snatch’ dan 165kg untuk ‘clean and jerk’, dengan keseluruhan angkatan seberat 301kg.

    Pingat emas menjadi milik atlet India Achinta Sheuli yang sekali gus layak secara automatik ke Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, United Kingdom manakala Mudiyanselage Indika Chathur Dissanayake dari Sri Lanka membawa pulang gangsa.

    Kejohanan tersebut bersekali dengan Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021 itu, turut menyaksikan atlet berusia 22 tahun dari Kuala Lumpur itu berada di tempat ke-12, dengan atlet Indonesia Erwin Abdullah meraih emas manakala Briken Calja dari Albania meraih perak dan gangsa menjadi milik Suttipong Jeeram dari Thailand.

    Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia Datuk Ayub Rahmat dalam kenyataan berkata atlet kebangsaan yang belum meraih tempat ke temasya di Birmingham, dijangka menyertai Kejohanan Kelayakan Sukan Komanwel di Singapura tahun depan.

    Muhammad Erry pernah melakar sejarah apabila merangkul emas acara 69kg lelaki dengan jumlah angkatan keseluruhan 255kg pada Kejohanan Komanwel Belia di Apia, Samoa pada September 2015.

    Sebelum ini, dua badang negara Muhamad Aznil Bidin meraih emas kategori 61kg semalam serta Mohamad Aniq Kasdan yang menggungguli kategori 55kg pada Selasa lepas, telah menempah slot ke Sukan Komanwel Birmingham pada kejohanan di Uzbekistan itu.

    Kejohanan bermula pada 7 Disember itu akan berakhir pada 17 Disember – Bernama

  • Pasangan suami isteri warga emas maut motosikal masuk longkang

    Pasangan suami isteri warga emas maut motosikal masuk longkang

    SEPASANG suami isteri warga emas berusia 66 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai terbabas ke dalam longkang dalam kejadian di Jalan Pengkalan Machang, Butterworth, Pulau Pinang semalam.

    Kejadian itu dikatakan berlaku kira-kira pukul 8 pagi ketika pasangan berkenaan dikatakan dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Desa Murni, Butterworth ke tempat kerja mangsa wanita di bahagian pulau.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, siasatan pihaknya mendapati ketika tiba di lokasi kejadian motosikal jenis Modenas berwarna merah yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan.

    Motosikal dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar batu penghadang di atas longkang sebelah kiri sebelum masuk ke dalam longkang

    “Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar batu penghadang di atas longkang sebelah kiri sebelum masuk ke dalam longkang.

    “Penunggang dan pembonceng tercampak ke tepi kiri longkang dan kedua-duanya yang didapati mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas di sini untuk dibedah siasat.

  • MRSM gantung pelajar buli serta-merta, dicadang tamat pengajian

    MRSM gantung pelajar buli serta-merta, dicadang tamat pengajian

    SERAMAI enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang sudah dikenal pasti terlibat dalam kes buli, digantung serta merta selama dua minggu persekolahan.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan pelajar terbabit ditamat pengajian mereka di institusi itu.

    “Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM telah pun memanggil 10 pelajar yang terlibat dengan insiden berkenaan.

    “Dalam laporan yang disediakan, enam pelajar terlibat memukul mangsa buli berkenaan manakala 4 pelajar yang berada di lokasi kejadian didapati bersubahat dan membuat provokasi, pelajar-pelajar ini berada di tingkatan 1 hingga tingkatan 3,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap, Padang Terap, hari ini.

    Mahdzir ketika berucap menyempurnakan majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap, Padang Terap, hari ini

    Sejak semalam video berdurasi 10 saat itu tular dalam media sosial memaparkan seorang pelajar menumbuk seorang pelajar lain dalam asrama yang dikatakan berlaku di sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar.

    Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pihak Mara mengambil serius kejadian buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu.

    Ditanya mengenai siasatan polis terhadap kes berkenaan, Mahdzir berkata, pihaknya tidak mencampuri urusan siasatan dan menyerahkan kepada pihak berkenaan berdasarkan siasatan luaran.

    Pihak Mara jelas beliau, mengambil tindakan penggantungan itu berdasarkan siasatan dalaman dan mengikut peruntukan hukuman yang telah ditetapkan JDM.

    “Malang bagi Maktab Rendah Sains Mara mempunyai pelajar-pelajar yang pandai, dipanggil temuduga sebagai saringan, kualiti pendidikan, ko-kurikulum dan jatidiri mereka diambil kira untuk kemasukan ke MRSM,

    “Tetapi masih juga berlaku lagi kejadian seumpama itu, jadi saya rasa amat kecewa kerana mereka tidak sepatutnya terdedah dengan perbuatan itu,” katanya.

  • Mayat mangsa kemalangan bot ditemui

    Mayat mangsa kemalangan bot ditemui

    SEORANG daripada dua mangsa kemalangan bot di Sungai Perlis, Kangar pada Khamis lalu, ditemukan hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa dikenali Mohd Faizal Hisyam Mat Taib, 39 ditemukan kira-kira jam 7.46 pagi tadi.

    Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap, kira-kira 20 meter tidak jauh dari lokasi kemalangan bot.

    “Kita percaya ketika kejadian mangsa tenggelam di lokasi kemalangan menyebabkan mayatnya sukar ditemukan. 

    “Apabila masuk hari ketiga, mayat mula timbul dan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat,” katanya.

    Beliau ditemui media ketika melakukan tinjauan lokasi kemalangan bot Sungai Perlis, hari ini.

    Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 79 anggota terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

    “Fokus utama kita hari ini adalah untuk mencari seorang lagi mangsa yang masih hilang iaitu Abdul Rashid Md Derus, rakan kepada Mohd Faizal.

    “Kita juga akan menggunakan kepakaran penyelam serta Unit Anjing Pengesan (K9) dari JBPM Perlis di mana anggota penyelam akan menyelam semula di kawasan kemalangan untuk mencari sekiranya mayat seorang lagi mangsa berada di kawasan itu,” katanya.

    Katanya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.