Category: Semasa

  • Tular: Kad akses punca maki pengawal keselamatan

    Tular: Kad akses punca maki pengawal keselamatan

    HANYA kerana kad akses tidak dapat digunakan, pemandu BMW bertindak memaki hamun pengawal keselamatan di sebuah kawasan kediaman di Taman Sri Sentosa di Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan mendapati kejadian tersebut telah dilaporkan kepada pihaknya oleh seorang individu berusia 46 tahun.

    “Siasatan berdasarkan laporan tersebut mendapati kejadian melibatkan seorang lelaki dipercayai penghuni kediaman tersebut yang memandu sebuah kereta jenis BMW.

    “Suspek dikatakan telah membuat kekecohan beberapa kali dan enggan memberikan kerjasama terhadap pengawal keselamatan ketika kejadian.

    “Selain itu, suspek turut dilihat memarahi dan memaki pengawal keselamatan bertugas dengan perkataan yang kesat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, siasatan mendapati punca pertengkaran disebabkan kad akses masuk suspek dipercayai tidak dapat digunakan.

    Kejadian tersebut sekali gus mengakibatkan berlakunya pertengkaran antara suspek dan pengawal keselamatan di kawasan kediaman tersebut.

    “Perkara tersebut kemudiannya diselesaikan secara baik antara suspek dan pengawal keselamatan terlibat dan laporan polis yang dibuat sebelum ini turut ditarik balik,” katanya, lapor Kosmo!

  • PRN: Muda bergerak secara ‘solo’

    PRN: Muda bergerak secara ‘solo’

    MUDA akan bertanding dalam pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi secara sendirian, umum presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Menurut laporan FMT, parti itu akan bertembung Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), walaupun Muda menjadi sebahagian daripada blok kerajaan.

    Sebelum PRU15 November lalu, Muda beberapa kali memohon menyertai PH tetapi gabungan itu belum memberi sebarang maklum balas.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • MB Terengganu menghadap Sultan esok, mohon bubar DUN

    MB Terengganu menghadap Sultan esok, mohon bubar DUN

    MENTERI Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar akan menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin esok, untuk mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu, beliau akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran DUN kepada baginda di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu pada 9 pagi.

    Ditanya mengenai tarikh yang dicadangkan, beliau berkata perkara itu akan diumumkan selepas selesai beliau menghadap Tuanku Sultan.

    “Esok saya akan menghadap Tuanku pada sebelah pagi, sudah dapat perkenan untuk menghadap …. Sebaik saya sembah maklum Tuanku (baru umum tarikh) …. Lebih cantik saya maklumkan Tuanku dulu, InsyaAllah lepas itu buat kenyataan,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu hari ini.

    Ahmad Samsuri turut memberitahu tempoh mandat DUN Terengganu akan berakhir pada 30 Jun ini.

    DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi yang menyaksikan 22 kerusi dikuasai PAS selepas Pilihan Raya Umum ke-14, manakala selebihnya milik Barisan Nasional (BN).

  • KJ bersama atau tidak, PN yakin tetap menang PRN di 6 negeri

    KJ bersama atau tidak, PN yakin tetap menang PRN di 6 negeri

    SAMA ada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memilih bersama Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya, gabungan parti politik itu akan tetap berjaya menguasai pilihan raya negeri (PRN) di enam buah negeri akan datang.

    Keyakinan itu disuarakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PN, Datuk Wan Saiful Wan Jan ketika ditanya mengenai status penyertaan Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkenaan bersama PN.

    Bagaimanapun, tambah Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, pihaknya amat berharap Khairy menyambut baik pelawaan yang dibuat sendiri oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu memandangkan penyertaan beliau ke dalam PN turut mendapat sokongan penuh penyokong parti tersebut.

    “Sekarang keputusannya di pihak Khairy, sudah tentu saya sebagai orang yang sudah lama mengikuti ketokohannya mengharapkan beliau boleh bersama dengan kita (PN).

    “Meskipun begitu, beliau bersama dengan kita atau tidak, kita tetap akan menang dalam PRN di enam negeri nanti.

    “Ia sama ada anda (Khairy) mahu menyertai kumpulan kita, atau mahu ditinggalkan daripada kumpulan, itu pilihan beliau, tetapi kita berharap Khairy mahu menyertai kumpulan kita,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah seorang pesakit kencing manis di Sungai Dua, Pulau Pinang hari ini.

    Ditanya perkembangan terkini berhubung kedudukan Khairy itu, Wan Saiful berkata, setakat ini tiada perkembangan lanjut mengenai keputusan pelawaan tersebut dan kata sepakat kini terletak di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi PN dan Khairy.

    “Setakat ini belum ada apa-apa perkembangan lagi, tapi Tan Sri (Muhyiddin) ada memberikan penjelasan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi tentang perbincangan beliau, (dan) saya rasa biar perbincangan itu antara mereka.

    “Malah, Majlis (Pimpinan Tertinggi) memang setuju sepenuhnya dengan apa yang disuarakan oleh Tan Sri (Muhyiddin),” katanya.

    Sebelum ini, Muhyiddin mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu kepada Khairy jika beliau mahu menyertai parti itu.

    Muhyiddin mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas beliau dipecat daripada UMNO, Januari lalu.

    Malah, Khairy turut mengesahkan mengenai tawaran daripada Muhyiddin itu dan menjelaskan memerlukan sedikit masa untuk menyatakan pendirian meskipun mengakui sudah mempunyai jawapan berhubung pelawaan tersebut.

    Habis///

  • Pelabur asing 10 minggu berturut-turut jual saham tempatan

    Pelabur asing 10 minggu berturut-turut jual saham tempatan

    JUALAN bersih oleh pelabur asing diteruskan untuk minggu ke-10 berturut-turut apabila mereka sekali lagi muncul sebagai penjual bersih bernilai RM240 juta pada minggu lalu.

    Menurut MIDF Research, sepanjang 10 minggu lalu, aliran keluar asing bersih secara keseluruhan berjumlah RM2.06 bilion.

    Firma penyelidikan itu berkata, pelabur asing sebagai penjual bersih pada setiap hari minggu lalu, sekali gus muncul sebagai penjual bersih untuk sembilan hari dagangan berturut-turut.

    Ia berkata, pelabur asing muncul sebagai penjual bersih sebanyak RM19.9 bilion pada Isnin, RM91 juta pada Selasa, RM17.7 juta pada Rabu, RM15.2 juta pada Khamis dan RM96.2 juta pada Jumaat, menjejaki sentimen lemah di Wall Street.


    Menurutnya, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih minggu lalu adalah hartanah (RM14.5 juta), perkhidmatan kewangan (RM14.1 juta) dan teknologi (RM11.5 juta).

    Sektor yang merekodkan aliran keluar terbesar pula, katanya adalah produk dan perkhidmatan pengguna (RM92.2 juta), tenaga (RM47.2 juta) dan perindustrian (RM34.5 juta).

    “Setakat ini, warga asing telah menjadi penjual bersih ekuiti Malaysia selama 19 daripada 25 minggu dengan jumlah RM3.83 bilion,” katanya dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 23 Jun.

    Sementara itu, MIDF Research berkata pelabur institusi tempatan menjadi pembeli bersih untuk minggu keempat berturut-turut dengan nilai RM250.3 juta di Bursa Malaysia pada minggu lalu.

    Menurutnya, pelabur tempatan menjadi pembeli bersih pada setiap hari berjumlah RM31.8 juta pada Isnin, Selasa (RM67.1 juta), Rabu (RM34.4 juta), Khamis (RM23.1 juta) dan RM94 juta pada Jumaat.

    “Berbanding pelabur asing, institusi tempatan telah menjadi pembeli bersih untuk tempoh 19 daripada 25 minggu dengan jumlah RM3.45 bilion,” katanya.

    Firma penyelidikan itu menambah, pelabur runcit tempatan pula berdepan minggu dagangan yang bercampur-campur yang berakhir dengan jualan bersih RM10.3 juta.

    “Mereka muncul sebagai pembeli bersih bernilai RM23.9 juta pada Selasa dan RM2.3 juta pada Jumaat, manakala sebagai penjual bersih bernilai RM11.9 juta pada Isnin, RM16.7 juta pada Rabu dan RM7.9 juta pada Khamis,” katanya lapor BH.

    Setakat ini, menurutnya pelabur runcit berperanan sebagai pembeli bersih untuk tempoh 13 daripada 25 minggu berjumlah RM381.6 juta.

    Dari segi penyertaan, firma penyelidikan itu berkata terdapat penurunan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) secara keseluruhan dalam kalangan pelabur runcit (-10.3 peratus), institusi tempatan (-19.6 peratus) dan pelabur asing (-31 peratus).

  • 219 saman dikeluarkan hanya dalam tempoh 3 jam Ops Motosikal

    219 saman dikeluarkan hanya dalam tempoh 3 jam Ops Motosikal

    HANYA dalam tempoh tiga jam operasi, sebanyak 219 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang terhadap 708 pemilik motosikal yang diperiksa.

    Malah, dalam operasi khas Ops Motosikal di lorong motosikal berhampiran Jambatan Pulau Pinang yang bermula pukul 4 petang semalam itu, dua buah motosikal turut disita.

    Menurut jurucakap JPJ Pulua Pinang, antara kesalahan yang dikesan dilakukan penunggang motosikal dalam operasi itu termasuk tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor ( LKM ) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

    “Kesalahan lain yang turut dikesan ialah mempamerkan nombor pendaftaran ‘fancy’ dan ‘extreme’, tiada cermin sisi serta melakukan pengubahsuaian motosikal tanpa kebenaran,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Terdahulu, katanya, operasi motosikal itu diadakan bertujuan memastikan penunggang serta pembonceng motosikal mematuhi peraturan dan undang-undang selain memastikan motosikal tidak diubahsuai untuk tujuan lumba haram, uji kelajuan atau rempit.

    Jelas beliau, tindakan tegas akan dikenakan termasuk motosikal disita jika didapati ubah suai untuk tujuan tersebut masih dilakukan.

    “Sehubungan itu, penunggang dan pemilik motosikal dinasihatkan mematuhi peraturan dan undang-undang selain menunggang dengan cermat dan berhemah bagi mengurangkan kadar kemalangan serta kematian di jalan raya,” katanya.

    -habis-

  • Siasatan lanjut penyerang Kamal Adli, Mahkamah Singapura tangguh ke 10 Julai

    Siasatan lanjut penyerang Kamal Adli, Mahkamah Singapura tangguh ke 10 Julai

    MAHKAMAH Singapura membenarkan penangguhan dua minggu lagi untuk pendakwa raya menjalankan siasatan lanjut ke atas seorang lelaki yang didakwa menyerang pelakon Kamal Adli.

    Hakim Daerah Ong Hian Sun juga mengekalkan tiada jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 10 Julai untuk sebutan kes.

    “Pendakwaan kes polis belum lagi bersedia. Kami memohon penangguhan selama dua minggu. AGC (Jabatan Peguam Negara) telah berunding dan IO (pegawai penyiasat) telah dibimbing untuk menjalankan siasatan lanjut,” kata pendakwa raya.

    Wee tidak mempunyai bantahan terhadap penangguhan itu dan juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya telah mengarahkannya untuk membuat permohonan ikat jamin.

    Wee juga bertanya kepada pihak pendakwaan sama ada siasatan lanjut pihak berkuasa berkaitan dengan pertuduhan baharu atau yang sedia ada.

    Pendakwa raya dalam reaksinya berkata: “Ia adalah atas pertuduhan sedia ada. Pertuduhan baharu masih belum ditawarkan.”

    Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negeri pada 14 Mac kerana “disyaki terlibat dalam kes menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya secara sukarela”.

    Jika sabit kesalahan menyebabkan kecederaan secara sukarela dengan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman.

    Pada 12 Mac, polis telah dimaklumkan mengenai kes di 1 Expo Drive, suspek didakwa menyerang pelakon berusia 36 tahun itu dengan baton yang kemudian dirampas oleh polis sebagai bukti.

    Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

    Kamal dan isterinya, Uqasha Senrose berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 selama tiga hari bermula 10 Mac, di Dewan 5A Ekspo Singapura apabila insiden itu berlaku pada penghujung acara.

  • 2 penagih dadah ditahan babit samun berparang pekerja hotel

    2 penagih dadah ditahan babit samun berparang pekerja hotel

    DUA penagih dadah ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjata parang di sebuah hotel dekat Sungai Jarom pada 15 Jun lalu.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian samun daripada pekerja hotel.

    Beliau berkata, pengadu yang merupakan seorang lelaki berusia 19 tahun mendakwa telah disamun dua lelaki tempatan dan kehilangan sebuah telefon bimbit jenis Samsung.

    Bertindak atas maklumat, dua lelaki tempatan berusia 28 dan 30 tahun ditahan pada pukul 2.30 petang, Khamis di sebuah rumah kosong dekat Taman Sentosa, Klang yang merupakan lokasi menagih dadah.

    “Turut dirampas dua buah telefon bimbit jenis Samsung dan Vivo serta sebilah parang berhulu hijau yang digunakan ketika samun.

    “Semakan mendapati kedua-dua suspek ini mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, suspek dipercayai aktif melakukan jenayah sejak tiga bulan lalu dan kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaaan, lapor Utusan TV.

  • Seorang wanita maut, 15 cedera tiga kereta bertembung

    Seorang wanita maut, 15 cedera tiga kereta bertembung

    SEORANG wanita maut dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Mersing-Jamaluang, dekat Kampung Wak Saam di Mersing, awal pagi tadi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, Anuar Hussin, berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Johor menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sekitar 2.59 pagi tadi.

    Katanya, sebuah jentera LFRT dari BBP Mersing bersama tujuh anggota kemudiannya dihantar ke tempat kejadian.

    Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta BMW, Mitsubishi dan Perodua Myvi.

    “Terdapat 16 mangsa yang terdiri daripada 10 lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan tiga kanak-kanak perempuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, tiga lelaki daripada kereta BMW dan tiga lelaki serta dua kanak-kanak menaiki Perodua Myvi cedera.

    Bagi kereta Mitsubishi pula, katanya, seorang wanita meninggal dunia, sementara empat lelaki dan dua perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak perempuan cedera.

    Menurutnya, semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Mersing, manakala mangsa korban diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • Insiden latihan menembak: Jurulatih cedera dalam keadaan stabil

    Insiden latihan menembak: Jurulatih cedera dalam keadaan stabil

    SEORANG jurulatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terbabit dalam insiden kemalangan ketika menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar di Tapak Latihan Grenade Asas, lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas semalam dilaporkan stabil.

    TUDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan, Koperal Udara Khairuzaman Lokman, 35, itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Segamat, Johor dan berada dalam pemantauan rapi.

    Terdahulu, dalam kejadian 12.10 tengah hari itu, dua anggota turut maut iaitu penuntut INSTAR Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, 22, yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala jurulatih Koperal Udara Syuib Bidin, 33, meninggal dunia pada 5.45 petang ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah di Hospital Segamat.

    Kenyataan itu menyebut waris anggota yang terlibat telah dimaklumkan dan TUDM akan memastikan semua urusan kebajikan keluarga mangsa yang terlibat diutamakan serta urusan pengebumian disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

    “Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Datuk Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan serta pucuk pimpinan tertinggi menzahirkan rasa dukacita atas kejadian berkenaan dan merakamkan salam takziah kepada waris anggota yang meninggal dunia yang merupakan kehilangan besar kepada TUDM,” menurut kenyataan itu.

    Semua waris anggota yang terlibat juga diharap bersabar, tabah dan reda menghadapi ujian yang berlaku, katanya.

    Pihak TUDM turut meminta supaya semua pihak tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan berita tidak sahih sehingga proses siasatan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia selesai, tambah kenyataan itu.