Category: Semasa

  • Awas! Hujan sangat lebat tahap bahaya di KL, Perak, Pahang, Selangor hari ini

    Awas! Hujan sangat lebat tahap bahaya di KL, Perak, Pahang, Selangor hari ini

    HUJAN sangat lebat berterusan tahap bahaya diramal berlaku hari ini di beberapa kawasan di ibu negara, Perak, Pahang dan Selangor.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan amaran cuaca yang dikeluarkan pada 1.40 pagi memaklumkan bahawa kawasan yang terlibat di Perak ialah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

    Di Pahang, kawasan yang dijangka terlibat ialah Cameron Highlands, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong dan Kuantan manakala di Selangor ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat serta Hulu Langat. 

    Sementara itu, hujan lebat berterusan tahap buruk diramal berlaku di Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu di Kedah; Pahang (Temerloh, Maran dan Pekan); Sepang (Selangor); Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Jelebu (Negeri Sembilan).

    MetMalaysia juga mengeluarkan amaran waspada hujan berterusan di seluruh Perlis; Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Sik dan Baling), Perak (Hulu Perak) dan Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai).

    Keadaan cuaca sama turut diramal berlaku di seluruh Terengganu, Melaka, Pahang (Bera dan Rompin); Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin) serta Johor (Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat).  – BERNAMA

  • PRN : Pakatan Harapan ‘menderita’ di Melaka,   ‘sengsara’ di Sarawak

    PRN : Pakatan Harapan ‘menderita’ di Melaka, ‘sengsara’ di Sarawak

    PAKATAN Harapan (PH) dijangka merekodkan kekalahan terburuk di Sarawak selepas DAP hanya menang di dua kerusi manakala PKR dan Amanah tewas di semua kerusi ditandingi mereka.

    Pada PRN Sarawak 2016, DAP menang tujuh kerusi, manakala PKR menang tiga kerusi.

    Berdasarkan keputusan tidak rasmi, PRN Sarawak kali ini menyaksikan DAP terpaksa berpuas hati dengan dua daripada 24 kerusi ditandingi, manakala PKR memaparkan prestasi sama seperti di PRN Melaka – tewas di semua 28 kerusi. Amanah juga tewas di semua lapan kerusi ditandingi, lapor portal Free Malaysia Today

    DAP kekal menguasai kerusi Pending dan Padungan, manakala kalah di Batu Kawah, Pujut, Pelawan, Tanjong Datu dan Bukit Assek.

    Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen menang di Padungan manakala Violet Wong unggul di Pending.

    Kekalahan pada PRN Sarawak hampir mengulangi episod sama yang berlaku kepada PH pada PRN Melaka, di mana gabungan itu sekadar menang lima kerusi, berbanding 15 kerusi pada PRU14.

    Terdahulu, dilaporkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar, selepas menguasai majoriti lebih 2/3, dengan memperolehi 76 daripada 82 kerusi.

  • 123 UMNO Bahagian sokong Ismail Sabri kekal sebagai PM sehingga 2023

    123 UMNO Bahagian sokong Ismail Sabri kekal sebagai PM sehingga 2023

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka kekal menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga 2023 selepas memperoleh majoriti sokongan daripada Bahagian UMNO di seluruh negara.

    Menurut sumber, sejumlah 123 Bahagian UMNO telah meluluskan usul pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian yang berlangsung pada Sabtu di seluruh negara untuk menyuarakan sokongan terhadap Ismail Sabri agar terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal 2023.

    Keputusan itu secara tidak langsung menunjukkan sejumlah besar Bahagian-Bahagian UMNO bersedia untuk menghadapi pemilihan parti itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) .

    Terdahulu, wujud dakwaan beberapa media perdana yang menyatakan bahawa 176 Pergerakan Pemuda Umno Bahagian menyokong PRU diadakan terlebih dahulu berbanding pemilihan Umno.

    Bagaimanapun dakwaan tersebut disifatkan sebagai tidak tepat dan tidak berasas. kerana menurut sumber terdekat parti, beberapa Ketua-Ketua Pemuda UMNO Bahagian menyifatkan kenyataan Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia telah disalahtafsir dan diputarbelitkan.

    “Kami tidak menerima apa-apa keputusan lagi daripada semua bahagian dan masih ada beberapa Ketua Pemuda dan Bahagian yang belum membuat mesyuarat Pemuda di tempat masing-masing.

    “Seharusnya usul utama yang perlu dibangkitkan adalah usul membantu rakyat selepas zaman endemik, usul memperkasakan ekonomi rakyat dan menjaga kepentingan rakyat patut dijadikan keutamaan pemuda untuk dibawa semasa Perhimpunan Agong Umno nanti,” kata sumber itu.

    Selain itu sumber berkenaan berkata, menerusi perubahan Undi18 juga pada PRU15 akan datang seharusnya Pergerakan Pemuda UMNO harus meneliti usul usia Ketua Pemuda UMNO yang patut diturunkan selaras usia Ketua-Ketua Pemuda UMNO sekarang dan usul salah seorang daripada Naib Presiden mesti di bawah 50 tahun.

    Katanya, rakyat kini bukan hendah melihat UMNO terlalu memikirkan mengenai PRU, tapi seharusnya mempercepatkan bantuan dan inisiatif-inisiatif kemudahan buat peniaga dan golongan B40.

    “Umno ingat bila usul PRU diadakan segera, UMNO mampu mendapat mandat rakyat? Jangan hanya kerana PRN Melaka, kita tergesa-gesa nak buat PRU dan merasa UMNO sudah boleh kembali berkuasa.

    “Bila melihat kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia setelah disalahtafsir oleh media, rata-rata komen netizen mula meluat dengan usul yang diketengahkan.

    “Seharusnya UMNO harus membantu YAB Perdana Menteri dalam menyelesaikan isu rakyat dan merealisasikan belanjawan 2021 untuk disegerakan,” kata sumber tersebut.

  • PRN Sarawak: SPR sahkan GPS menang majoriti mudah, bentuk kerajaan negeri

    PRN Sarawak: SPR sahkan GPS menang majoriti mudah, bentuk kerajaan negeri

    SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi 45 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditawarkan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 setakat 8.45 malam ini.

    Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata dengan keputusan itu , GPS berjaya memperoleh majoriti melebihi 50 peratus daripada jumlah kerusi yang dipertanding atau majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Kuching malam ini.

    GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

    Antara kerusi dimenangi GPS ialah DUN Gedong yang ditandingi Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kawasan ditandingi kedua-dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas masing-masing di Bukit Sari dan Bukit Saban. 

    Selain itu, DUN Batu Kawah yang ditandingi Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Tanjung Datu (Azizul Annuar Adenan) dan Krian (Friday Belik).

    PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 empat penjuru, 24 lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.

    GPS meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) (73), Parti Sarawak Bersatu (PSB) (70), PKR (28), DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) (11), Parti Amanah Negara (Amanah) (lapan), Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) (lima) dan PAS (1).

    Tiga puluh calon Bebas turut bertanding pada PRN ini.

  • Hujan luar biasa, air pasang punca banjir di Selangor – MB

    Hujan luar biasa, air pasang punca banjir di Selangor – MB

    HUJAN luar biasa sejak pagi semalam dan berterusan sehingga kini ditambah dengan kejadian air pasang menyebabkan beberapa kawasan di Selangor dilanda banjir.

    Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor memaklumkan bahawa taburan hujan telah mencecah 380mm.

    “Jumlah ini adalah lebih dua kali ganda taburan hujan tertinggi yang dicatat sebelum ini iaitu kira-kira 180mm. Air pasang di kawasan-kawasan terlibat banjir pula mencecah hingga 4.5 meter,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor hari ini.

    Beliau berkata susulan itu beberapa langkah sedang dan akan diambil termasuk membabitkan keselamatan mangsa-mangsa banjir di kawasan yang paling terkesan.

    Katanya setakat 5 petang tadi, daerah Klang, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor telah mengoperasikan 46 pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan 3,582 mangsa banjir.

    Menurut Amirudin, kesemua mangsa di PPS akan melalui saringan COVID-19 secara berkala dan percuma untuk mengelak tercetusnya kes COVID-19 dan PPS khusus akan disediakan bagi mangsa yang dikesan positif COVID-19. 

    Beliau berkata aset-aset kerajaan negeri serta agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia akan dikerah khususnya kenderaan redah banjir bagi pemindahan mangsa serta pengagihan barangan keperluan asas manakala Air Selangor diarah menyediakan tangki air bergerak di PPS.

    “Kesemua usaha ini akan dikoordinasi oleh Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam berpusat di Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam selain pasukan sukarelawan Team Selangor dan Selangor Volunteer (SERVE) akan digerakkan bagi membantu proses penempatan penduduk di PPS, mengagihkan bantuan awal serta pembersihan selepas air pasang mula surut,” katanya.

    Amirudin berkata 134 pintu air terpaksa ditutup akibat kejadian air pasang bagi mengelakkan air melimpah keluar ke kawasan-kawasan perumahan penduduk yang berdekatan kunci air. 

    “Sebanyak 93 pam turut beroperasi secara penuh untuk mempercepatkan aliran air ke sistem perparitan sungai bagi mengawal kejadian banjir,” katanya sambil menambah orang awam yang memerlukan pertolongan boleh menghubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian 03-50350920. – BERNAMA

  • Jenazah ibu, lapan anak dikebumikan esok

    Jenazah ibu, lapan anak dikebumikan esok

    JENAZAH sembilan sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan tragis membabitkan tiga buah kereta dan sebuah treler akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, esok.

    Urusan pengkebumian sembilan beranak itu dijangka mengambil masa kerana terpaksa menunggu keputusan ujian calitan Covid-19 dan keputusan bedah siasat kesemua mangsa.

    Difahamkan, ujian calitan Covid-19 atas jenazah sembilan sekeluarga tersebut mendapati ada antara mereka yang positif, sehubungan itu langkah tambahan perlu diambil sebelum dikebumikan.

    Sementara itu, jenazah seorang lagi mangsa yang turut terkorban dalam nahas berkenaan didapati bebas Covid-19 dan akan dikebumikan di tanah perkuburan sama pada malam ini.

    Warta Raktyat hari ini melaporkan seorang ibu bersama lapan anaknya termasuk 10 yang maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di kilometer 8.3 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite).

    Mangsa yang maut terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan dan masing-masing satu lelaki serta perempuan dewasa.

    Mangsa adalah Norul Naziah Buyong, 37, Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17, Razatul Aliah, 16, Puteri Hidayah, 12, dan Muhamad Aizat Syazwan, 10.

    Selain itu, Muhamad Rolkaizat Rezky, 9, Muhamad Hidayat Hakimie, 7, Puteri Nur Ain Syalwana, 3, Muhammad Raid Fathi berusia 10 bulan dan Mohamad Rahimi Rolex, 27.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar dilaporkan berkata, pemandu treler yang berusia 37 tahun direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

  • Op Benteng:32 PATI Myanmar panjat pagar keselamatan ditahan

    Op Benteng:32 PATI Myanmar panjat pagar keselamatan ditahan

    CUBAAN 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar memanjat pagar keselamatan ketika hujan lebat untuk masuk ke negara ini tidak berjaya apabila mereka berjaya ditahan, semalam.

    Sepasukan anggota Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim berjaya mengesan mereka yang terdiri daripada 21 lelaki dan 11 wanita berusia antara 17 hingga 38 tahun pada pukul 6 pagi semalam selepas menerima maklumat.

    Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA Kulim, Superintendan Md. Dali Jamil berkata, ketika kejadian, sepasukan pegawai dan anggotanya melakukan pemeriksaan di kawasan semak berhampiran tangki air BKH 3 di sini dalam Op Benteng Covid Kawalan Keselamatan Sempadan Darat Malaysia/Thailand.

    Beliau berkata, sewaktu pemeriksaan dilakukan, pegawai dan anggotanya menemui kesemua PATI berkenaan sedang bersembunyi di kawasan semak dalam keadaan mencurigakan.

    “Kesemua mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri sah masuk ke negara ini.

    “Berikutan itu, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk dibuat laporan tangkapan dan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Md. Dali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(3)(C) Akta Imigresen 1963.

    Dalam pada itu, Md. Dali berkata, sejak 1 Disember sehingga kini, Batalion 2 PGA merekodkan rampasan daun ketum sebanyak 4,131 kilogram dengan anggaran nilai RM123,930 serta 218 bungkusan air ketum anggaran RM1,484.

    Beliau berkata, turut dirampas rokok pelbagai jenama yang dianggaran bernilai RM25,906, tiga buah motosikal anggaran RM164,602.

    “PGA Batalion 2 berjaya menahan 13 lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Thailand termasuk 32 warga Myanmar semalam atas pelbagai kesalahan.

    “Pihak batalion 2 Kulim akan meneruskan lagi usaha bagi membanteras dan mencegah kegiatan pencerobohan, penyeludupan Pati dan barangan terlarang yang aktif di kawasan sempadan,” katanya.

  • Buaya sesat atas jambatan di Port Dickson

    Buaya sesat atas jambatan di Port Dickson

    KEMUNCULAN seekor buaya yang tersesat selepas air sungai yang naik mendadak di jambatan berhampiran Sungai Linggi Port Dickson, pada pukul 3 petang tadi mengejutkan pengguna jalan raya.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Mohd Kamal Timar berkata, Pasukan Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang segera ke lokasi kejadian dan mendapati ada seekor buaya yang berada di jambatan di Linggi.

    “Kami percaya buaya ini tersesat dan anggota bomba mengambil inisiatif menghalau buaya ini kembali ke habitat asalnya di kawasan sungai berhampiran.

    “Buaya ini tidak agresif cuma ia tidak tahu arah yang mahu dituju,” katanya ketika dihubungi tadi.

    Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini katanya, diharapkan agar orang ramai lebih berhati-hati kerana boleh terserempak dengan buaya dan bimbang berlaku sesuatu yang tidak diingini.

    “Cuaca masih tidak menentu ketika ini dan diharapkan agar orang ramai tidak membiarkan anak-anak bermain di lokasi berhampiran sungai yang parasnya semakin naik,” katanya.

    Sementara itu, Mohd. Kamal berkata, banjir kali ini adalah yang terburuk sejak sejak beberapa tahun lalu.

    “Dua kawasan yang teruk dilanda banjir ialah di kawasan Permatang Pasir dan Linggi termasuklah rumah kedai kawasan Linggi.

    “Dua pusat pemindahan dibuka iaitu di Balai Raya Permatang Pasir dan Balai Raya Linggi sejumlah 86 orang mangsa dipindahkan ke sini namun keadaan ini mungkin ada pertambahan mangsa,” katanya.

  • Banjir: Lima pekerja balak berenang 300 meter selamatkan diri

    Banjir: Lima pekerja balak berenang 300 meter selamatkan diri

    LIMA orang pekerja balak yang menghuni sebuah rumah kongsi berdekatan Sungai Kelemin di Hulu Dungun, Dungun, terpaksa menggadai nyawa merenangi banjir sejauh 300 meter untuk ke tebing sungai, sebelum diselamatkan pihak bomba.

    Nasir Abdullah, 57, berkata beliau bersama rakan-rakannya terperangkap sejak petang semalam akibat air yang naik mendadak sehingga menenggelamkan sebuah jambatan kecil yang merupakan satu-satunya laluan keluar daripada rumah kongsi itu.

    “Kami sudah berada di rumah kongsi sejak lima hari lepas dan hujan sejak semalam menyebabkan air naik begitu cepat menyebabkan kami tidak boleh keluar hari ini. Bekalan makanan pun semakin berkurangan jadi kami pun menghubungi majikan dan minta diselamatkan.

    “Selepas itu kami keluar dari rumah kongsi dan berenang sampai ke tebing sungai sebab jambatan sudah tenggelam. Bomba pula ambil kami dengan bot,” katanya ketika ditemui pemberita selepas diselamatkan pasukan penyelamat di tebing Sungai Kelemin, Kampung Talong, Hulu Dungun, di Dungun hari ini.

    Nasir yang berasal dari Sandakan, Sabah berkata meskipun rumah kongsi didiaminya terletak di kawasan yang tinggi namun beliau dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk keluar dari kawasan itu kerana bimbang sekiranya banjir semakin buruk dan mereka akan terputus bekalan makanan.

    Sementara itu Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Penolong Penguasa Bomba, Zul Husni Abdul Rahman berkata pasukan penyelamat mengambil masa selama 40 minit untuk menyelamatkan pekerja rumah kongsi berkenaan dengan menyeberangi Sungai Kelemin sejauh lapan kilometer.

    “Kerja-kerja penyelamatan dilakukan oleh empat anggota Balai Bomba AMBS dan dibantu empat anggota polis dari Balai Polis Kuala Jengal, dengan menggunakan sebuah bot milik bomba.

    Keadaan arus sungai yang deras dan risiko kayu balak yang hanyut menyebabkan kita mengalami kesukaran menyelamatkan pekerja-pekerja yang berumur lingkungan 50-an itu,” katanya.

    Dalam pada itu Zul Husni menasihati semua pekerja rumah kongsi terutama yang terletak berdekatan sungai supaya lebih berhati-hati apabila tibanya musim tengkujuh.

    Katanya mereka juga perlu keluar dari rumah kongsi lebih awal sekiranya keadaan hujan berterusan bagi mengelakkan daripada terperangkap dengan keadaan banjir yang lebih buruk sehingga menyukarkan operasi menyelamat. – Bernama

  • PPDNHEP Pulau Pinang kesan 9 kes naik harga ayam, menu makanan

    PPDNHEP Pulau Pinang kesan 9 kes naik harga ayam, menu makanan

    PEJABAT Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang merekodkan sebanyak sembilan kes berkaitan kenaikan harga ayam dan penandaan tanda harga bagi menu makanan di premis termasuk restoran di negeri itu.

    Pengarahnya, Mohd. Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan susulan aduan menerusi akhbar mengenai harga ayam melebihi harga maksimum Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) serta Ops Menu di daerah Barat Daya dan Timur Laut.

    Menurutnya, pemeriksaan turut dilakukan bersama Ketua Seksyen Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (SKHAP), Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Zubir Hamsa hari ini.

    Jelas beliau, pemeriksaan itu mendapati peniaga pasar awam di daerah terbabit mematuhi harga SHMKM yang telah dikuatkuasakan pada 7 Disember lalu melibatkan 12 barangan keperluan seperti kategori ayam hidup, ayam standard, ayam super dan sayur-sayuran.

    “Ops Menu pula dijalankan bagi memastikan pemilik restoran dan kedai makan mematuhi penandaan tanda harga dan pemakaian alat timbang selain mengamalkan budaya perniagaan beretika dan tidak memperdayakan pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohd. Ridzuan, pihaknya turut menjalankan sebanyak 249 pemeriksaan sejak SHMKM berkuat kuasa dan merekodkan tujuh kes dengan nilai kompaun sebanyak RM500 manakala dua kes lagi dicatatkan dalam Ops Menu melibatkan 490 pemeriksaan.

    Dalam masa sama, beliau mengingatkan mana-mana peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga yang tidak munasabah dengan niat untuk mendapatkan keuntungan berlebihan.

    Tegasnya, perbuatan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.