Category: Semasa

  • 472 kawasan Lembah Klang alami gangguan bekalan air

    472 kawasan Lembah Klang alami gangguan bekalan air

    SEBANYAK 472 kawasan di wilayah Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan banjir di beberapa kawasan di Lembah Klang.

    Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa dua loji rawatan air (LRA) terpaksa dihentikan operasi iaitu LRA Langat 2 kerana penutupan bekalan elektrik kecemasan di muka sauk Semantan dan LRA Cheras Batu 11 akibat banjir.

    LRA Sungai Langat pula hanya beroperasi pada pengeluaran bekalan air separa kerana peningkatan paras kekeruhan air yang tinggi menyebabkan ia hanya boleh mengeluarkan 40 peratus sahaja berbanding pengeluaran harian.

    “Air Selangor tidak dapat menggerakkan bantuan bekalan air melalui alternatif lori tangki air kepada pengguna dan premis-premis kritikal di kawasan yang terjejas berikutan penutupan beberapa jalan utama ekoran situasi banjir yang meningkat,” menurut kenyataan itu.

    Air Selangor juga belum dapat memastikan jangkaan masa untuk ketiga-tiga LRA itu kembali beroperasi sepenuhnya di kawasan terjejas.

    Ia akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden itu dari semasa ke semasa dan para pengguna boleh boleh mendapatkan senarai kawsan yang terlibat menerusi laman sesawang http://hentitugas.airselangor.com/ dan aplikasi Air Selangor. – BERNAMA

  • Agong sifatkan banjir di ibu negara ibarat tragedi 1971

    Agong sifatkan banjir di ibu negara ibarat tragedi 1971

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyifatkan senario banjir yang melanda ibu negara malam tadi, seolah-olah sama dengan banjir besar yang berlaku pada 1971.

    Seri Paduka Baginda bertitah selepas 50 tahun peristiwa tersebut, rakyat Malaysia perlu mengambil teladan untuk bersiap sedia terutamanya pada bulan Disember dan Januari, yang memperlihatkan impak banjir yang seperti berulang.

    Seri Paduka bertitah demikian selepas berkenan mencemar duli turun padang membuat lawatan peribadi menziarahi mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, kira-kira 11:30 pagi tadi.

    Dalam lawatannya, Seri Paduka menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan berpesan supaya terus bersabar dengan keadaan yang berlaku.

    “Saya masih meninjau keadaan semasa ke semasa dan dalam pada itu, saya ingatkan supaya terus bersabar dan terima (musibah banjir) dengan keredhaan Allah.

    “Jagalah kesihatan, jaga anak-anak semua,” titah baginda.

    Al-Sultan Abdullah juga berharap supaya pihak kerajaan dapat menghulurkan bantuan sebaik mungkin kepada semua mangsa yang terlibat.

    — BERNAMA

  • Cuaca buruk jadikan op carilamat mangsa sukar

    Cuaca buruk jadikan op carilamat mangsa sukar

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CUACA yang diramalkan buruk menyukarkan pencarian 16 mangsa yang masih hilang pada hari ini susulan tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau, Kota Tinggi Rabu lalu.

    Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, Op Carilamat yang memasuki hari kelima dengan tiada penemuan mangsa baharu sehingga pukul 8 pagi ini.

    Katanya, kelajuan angin dianggarkan 40 hingga 50 kilometer sejam, selain ombak pula setinggi 2.5 meter (m) hingga 3.5 m serta ribut petir di beberapa tempat.

    “Pencarian diteruskan menggunakan empat aset laut dengan keluasan sektor pencarian seluas 111 batu nautika persegi, manakala helikopter AW139 APMM akan melaksanakan pencarian udara meliputi sektor carian seluas 76.50 batu nautika persegi.

    “Misi pencarian di pesisir pantai diteruskan petugas APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Diraja Malaysia meliputi Tanjung Siang hingga ke Sungai Musuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, seramai 61 petugas daripada pelbagai agensi terbabit pencarian di udara, laut dan darat.

    Sebelum ini media melaporkan dalam kejadian pada awal pagi Rabu lalu, bot pancung yang membawa 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Lombok dan transit di Batam, karam dibadai ombak dalam kejadian di perairan Tanjung Balau.

    Sehingga kini, jumlah mangsa yang ditemui adalah seramai 34 orang iaitu 21 meninggal dunia, 13 selamat manakala 16 lagi disyaki masih hilang.

  • Lapan rumah di lereng bukit terjejas tanah runtuh

    Lapan rumah di lereng bukit terjejas tanah runtuh

    SEBANYAK lapan rumah di Kampung Palembayan Sungai Penchala, Kuala Lumpur terjejas akibat tanah runtuh dalam kejadian pada malam tadi.

    Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan melibatkan semua penduduk itu yang tinggal di kawasan lereng bukit.

    Menerusi gambar yang tular di media sosial, insiden turut menyebabkan jalan raya dipenuhi runtuhan dan ditutup kepada semua kenderaan.

  • KPLB peruntuk RM4 juta bantu mangsa banjir – Mahdzir

    KPLB peruntuk RM4 juta bantu mangsa banjir – Mahdzir

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan agensinya, memperuntukkan RM4 juta sebagai bantuan segera bakul makanan tambahan kepada kumpulan sasar mangsa banjir.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, lapan agensinya iaitu MARA, RISDA, FELCRA, KEJORA, KESEDAR, KETENGAH, KEDA dan PERDA, masing-masing memperuntukkan RM500 ribu bagi membantu mangsa terjejas.

    “Saya telah berbincang dengan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan juga ketua-ketua agensi KPLB untuk mengambil tindakan segera bagi menyalurkan bantuan berbentuk bakul makanan tambahan kepada mangsa banjir di kawasan terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Pada masa sama kata Mahdzir, KPLB juga akan membaik pulih infrastruktur dan rumah yang rosak atau musnah dalam kejadian banjir di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
     
    ”Di Kelantan, agensi KPLB Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan, KESEDAR juga telah membuka bilik gerakan banjir mulai Jumaat lalu. Sejumlah 200 unit bakul makanan akan diserahkan esok kepada mangsa yang terkandas di kediaman masing-masing,” katanya.

    Mahdzir memberitahu, seramai 50 orang sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan KESEDAR juga akan digerakkan bersama peralatan logistik lengkap seperti kenderaan bagi membantu mangsa banjir.
     
    “Saya berharap, semua mangsa banjir bersabar dengan dugaan ini, pada masa yang sama saya meminta supaya mereka sentiasa berhubung dengan pihak-pihak berkaitan termasuk agensi KPLB bagi menyalurkan sebarang maklumat jika ada yang memerlukan sebarang bantuan,” katanya.

  • Harta bekas Exco kerajaan Johor, anak dan menantu lebih RM6 juta dilucut hak

    Harta bekas Exco kerajaan Johor, anak dan menantu lebih RM6 juta dilucut hak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Tinggi Johor Bahru, hari ini membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak harta bernilai lebih RM6 juta milik bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Johor, Datuk Abd. Latif Bandi, anak dan menantunya.

    Hakim, Datuk Abu Bakar Katar membenarkan rayuan SPRM itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 27 Mei 2019, yang menolak permohonan pihak pendakwaan dan memerintahkan semua harta yang disita perlu dikembalikan kepada pemilik berdaftar.

    Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah meneliti semua rekod rayuan serta memperhalusi hujahan lisan dan bertulis melibatkan pelbagai pihak.

    “Hakim Mahkamah Sesyen dalam penghakimannya terkhilaf apabila gagal menimbangkan permohonan dibawah Seksyen 41(1) Akta SPRM, menjurus kepada harta-harta yang disita dan bukannya keperluan pendakwaan terhadap responden.

    “Mahkamah ini berpendapat harta-harta dalam rayuan ini tidak berkaitan dengan pertuduhan jenayah terhadap Datuk Abd Latif Bandi, Amir Shariffuddin Abd. Rauf dan Mohd. Fauzan Hatim Abd. Latif.

    “Mahkamah berpendapat SPRM telah membuktikan semua harta yang terbabit diperolehi daripada hasil haram iaitu rasuah dan tiada pembelian suci hati dengan balasan berharga berkaitan semua harta terbabit.

    “Oleh itu, mahkamah membenarkan rayuan perayu terhadap semua responden dan membenarkan semua permohonan perayu untuk melucut hak semua harta terbabit,” katanya.

    Antara harta yang dilucut hak ialah 19 kereta mewah termasuk Mercedes Benz G63 AMG, Bentley Continental GT Coupe, Land Rover Proversport, Porsche Cayenne, Nissan Skyline, Toyota Vellfire dan Honda HRV.

    Selain itu, turut dilucut hak ialah 16 jam tangan jenama mewah, 15 beg tangan mewah, 15 barangan kemas serta pelbagai mata wang asing iaitu mata wang Singapura, Hong Kong, Kuwait, Korea dan Jepun.

    Pada 27 Mei 2019, Mahkamah Sesyen, dilaporkan menolak permohonan SPRM untuk melucutkan hak harta milik bekas Abd. Latif, anak dan menantunya.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat manakala peguam, Abd. Rahim Ali, mewakil Abd. Latif, Amir Shariffuddin Abd Rauf, Mohd. Fauzan dan menantu Abd. Latif, Nur Shaliza Mohd. Salleh.

    Peguam kemudian memohon supaya arahan pelucutan hak harta itu ditangguhkan, bagi membolehkan pihak pembelaan memfailkan rayuan kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan.

    Namun, hakim memerintahkan pihak pembelaan supaya menghantar permohonan penangguhan arahan pelucutan hak harta itu secara rasmi, bagi membolehkan satu prosiding lain dilakukan bagi mendengar hujahan.

  • Lebih ramai anggota bomba sedia dikerah bantu mangsa banjir

    Lebih ramai anggota bomba sedia dikerah bantu mangsa banjir

    LEBIH ramai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk dari negeri yang tidak dilanda banjir sedia dikerahkan bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas teruk di beberapa negeri ketika ini.

    Malah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau juga sudah berhubung Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid untuk bersedia menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan segera.

    Tambahnya, agensi berkenaan juga akan membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang akan mengkoordinasi operasi menyelamat yang dijalankan secara bersepadu bersama beberapa agensi lain.

    Ketika ini, seramai 4,819 anggota bomba termasuk pasukan bomba sukarela telah dikerahkan untuk membantu kerja-kerja menyelamat dan membawa mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri-negeri yang terlibat dengan banjir.

    Usaha tersebut dibantu oleh aset logistik terdiri daripada 125 buah kenderaan angkut serta 214 bot yang turut digerakkan ketika ini.

    Menurut Reezal Merican, beliau juga akan mendapatkan perkembangan terkini situasi banjir itu daripada pihak bomba di Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor selepas ini sebelum langkah seterusnya dapat diambil.

    “Saya difahamkan ketika ini sebanyak enam negeri terlibat dengan bencana banjir terutama di Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

    Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Khatan Perdana Peringkat Parlimen Kepala Batas yang disertai seramai 150 kanak-kanak di Kubang Menerong, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam pada itu, Reezal Merican menasihatkan orang ramai khususnya mangsa banjir segera menghubungi talian kecemasan dan mematuhi arahan pihak berkuasa setiap masa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.

    “Setakat ini, saya dimaklumkan pihak bomba bersama beberapa agensi lain masih berusaha untuk membantu mangsa yang terlibat,” katanya.

  • Laman rumah dipenuhi timbunan kayu, pokok besar tumbang akibat banjir

    Laman rumah dipenuhi timbunan kayu, pokok besar tumbang akibat banjir

    KELUARGA Mohd Yusof Hanafi diuji dugaan berat apabila rumah mereka dipenuhi timbunan kayu dan pokok besar yang tumbang akibat dihanyutkan arus deras banjir di Batu 7 Kampung Pantai di sini malam tadi.

    Menceritakan detik cemas ketika banjir melanda kawasan rumahnya, Mohd Yusof, 55, berkata hujan berterusan sejak 7 malam tadi menyebabkan air naik mendadak ke paras dada.

    Tanpa berfikir panjang, beliau terus bertindak menyelamatkan ibu mertuanya yang berusia 94 tahun dengan memindahkan warga emas itu ke rumah jiran apabila air semakin naik selain menyelamatkan tiga anak serta isteri.

    “Sepanjang 18 tahun berkahwin dan menetap di sini bersama isteri, ini kali pertama kali kami sekeluarga menghadapi banjir seteruk ini, selalunya air naik tetapi setakat di tempat letak kereta sahaja.

    “Semua barangan rumah saya rosak, televisyen dan pakaian juga habis terkena air banjir, dinding rumah rosak… saya juga tidak sempat menyelamatkan dokumen penting, hanya memikirkan keselamatan anak-anak, isteri dan ibu mertua sahaja,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Tinjauan Bernama mendapati selain rumah Mohd Yusof, terdapat sebuah lagi yang turut berdepan situasi sama dan kini kerja-kerja pembersihan laman di kediaman terbabit giat dilakukan oleh anggota Majlis Bandaraya Seremban.

    Mohd Yusof, yang merupakan pekerja sebuah kilang di Bangi, berkata kerja-kerja pembersihan laman itu dijangka mengambil masa lebih seminggu untuk mengangkat timbunan kayu serta pokok besar dan membersihkan lumpur di dalam rumah.

    Terdapat beberapa kawasan di sepanjang Jalan Pantai dekat sini yang dipenuhi lumpur paras buku lali manakala air banjir di kawasan itu surut sejak pagi tadi.

    Mohd Yusof berkata barangan persekolahan tiga anaknya yang berusia 16, 14 dan 11 tahun juga rosak.

    Bagaimanapun, beliau bernasib baik kerana ketika kejadian, dua kereta miliknya sempat dialihkan ke lokasi lebih tinggi. – BERNAMA

  • Bomba bantu 4 pesakit terkandas banjir jalani dialisis

    Bomba bantu 4 pesakit terkandas banjir jalani dialisis

    JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Jeli membantu empat pesakit buah pinggang dari Kuala Balah, Jeli untuk mendapatkan rawatan dialisis di Hospital Jeli selepas kawasan kediaman mereka dinaiki air sejak awal pagi semalam.

    Semua mangsa banjir berkenaan yang perlu menjalani rawatan dialisis dibawa menggunakan trak sejauh 300 meter untuk mendapatkan rawatan di Hospital Jeli.

    Ketua Balai Bomba Jeli, Adni Ibrahim berkata, semua pesakit berkenaan berusia antara 30-an hingga 40-an.

    “Kami terpaksa bantu mereka sebab laluan utama Jeli-Dabong, Kuala Krai dinaiki air sehingga 0.8 meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, selain itu, pihaknya juga menyelamat seorang wanita awal 30-an yang menghidap penyakit darah tinggi serta batuk berdarah.

    Beliau berkata, wanita berkenaan juga terlantar dan terpaksa dibawa menggunakan pengusung dan semuanya dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan selanjutnya.

  • Banjir:100 penduduk berlindung lebih 12 jam atas bumbung surau

    Banjir:100 penduduk berlindung lebih 12 jam atas bumbung surau

    DIANGGARKAN 100 penduduk di Taman Sri Nanding terpaksa berlindung lebih 12 jam atas bumbung Surau Al Munir Taman Sri Nanding di Hulu Langat, hari ini, yang terperangkap akibat banjir.

    Seorang penduduk, Puteri Nadia Natasha Mohamed Ramzan, 24, berkata, perkara itu dimaklumkan seorang rakannya menerusi perkongsian video ketika berada di atas bumbung surau berkenaan.

    Menurutnya, penduduk terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung surau berikutan air naik pada paras tertinggi meskipun dalam keadaan kesejukan akibat hujan renyai.

    “Saya antara penduduk yang menetap di Taman Sri Nanding, namun sempat menyelamatkan diri keluar dari kawasan bencana.

    “Namun ada beberapa rakan yang tidak sempat keluar terpaksa berlindung atas bumbung surau sementara menunggu bantuan tiba,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

    Puteri Nadia berkata, lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan bayi, wanita mengandung, pesakit kronik dan warga emas terpaksa menumpang teduh di atas bumbung terbabit.

    “Rumah kami kebanyakannya sudah tenggelam dan keadaan semakin teruk apabila air dari Sungai Pangsun melimpah deras ke penempatan penduduk.

    “Banyak kerugian harta benda dialami dan sebahagian kereta yang tidak sempat diselamatkan tenggelam selain operasi menyelamat berdepan kesukaran,” jelasnya.

    Katanya, pada masa ini penduduk mula dipindahkan dengan bantuan bot dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Taman Perkasa.

    “Setakat jam 10 pagi tadi (Ahad) proses pemindahan penduduk ke lokasi lebih selamat masih dijalankan dan berharap semuanya dalam keadaan selamat,” katanya.