Category: Semasa

  • Tiga mayat korban banjir ditemukan, anggota 69 Komando digerak ke Sri Muda

    Tiga mayat korban banjir ditemukan, anggota 69 Komando digerak ke Sri Muda

    TIGA mayat, dipercayai korban banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam ditemukan awal pagi tadi.

    Kesemua mayat itu ditemukan orang awam dan bomba ketika kerja-kerja penyelamatan sedang dilakukan. 

    Dua ditemukan pada 1 pagi manakala seorang pada 5 pagi.

    Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib yang mengesahkan penemuan mayat itu berkata, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut.

    “Kesemuanya lelaki termasuk satu semalam di Seksyen 22 Shah Alam.  Setakat ini, dua daripada tiga korban yang ditemui di Sri Muda dipercayai warga tempatan manakala seorang warga asing dan kita mempunyai kekuatan 120 anggota daripada Pasukan Gerakan Am dan VAT 69.

    “Menerusi elemen Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, kita berjaya keluarkan lebih 200 mangsa di Seksyen 23, 24 dan 25,” katanya kepada pemberita hari ini. 

    Sementara itu, seramai 70 mangsa banjir yang terkandas dalam bencana banjir besar dekat Taman Sri Muda, Shah Alam berjaya diselamatkan sepasukan pegawai dan anggota 69 Komando.

    Menurut laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), turut terlibat dalam operasi tengah malam tadi ialah “Tiger Platoon” Pasukan Gerakan Am (PGA).

    “Operasi mencari dan menyelamat oleh 69 Komando serta “Tiger Platoon” itu menggunakan empat buah bot kecil yang terdiri daripada dua bot PAC dan dua bot “rubber dinghy”.

    “Selain menyelamatkan orang ramai, pasukan 69 Komando dan “Tiger Platoon” PDRM turut mengagihkan bekalan makanan buat mangsa-mangsa banjir yang terlibat,” kata hantaran itu.

  • KKM jangka pertambahan kes positif COVID-19 di Pusat Penempatan Sementara – KJ

    KKM jangka pertambahan kes positif COVID-19 di Pusat Penempatan Sementara – KJ

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menjangka peningkatan kes positif COVID-19 di pusat pemindahan sementara (PPS) seluruh negara, susulan bencana banjir yang berlaku di Malaysia ketika ini.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata ini berikutan keadaan PPS yang dianggap berisiko tinggi serta langkah dan pematuhan kesihatan awam yang tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya ketika berdepan musibah banjir. 

    “Dalam kita menyelamat mangsa banjir ini, keutamaan adalah untuk menyelamatkan mereka dan kadang kala memang tak dapat elakkan beberapa perkara yang sepatutnya dibuat dalam langkah kesihatan awam tidak dapat dipatuhi,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.

    Khairy berkata sehingga 11 pagi tadi, 181 kes dikesan positif COVID-19 di PPS seluruh negara melibatkan 117 kes di Selangor, Pahang (52), Kelantan (enam), Kuala Lumpur (empat) dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Melaka. 

    Hasil saringan di PPS itu juga mendapati kebanyakan kes adalah daripada kategori satu dan dua dengan kesemua mereka dipindahkan ke hospital, Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) atau kemudahan yang ditentukan iaitu PPS khusus untuk mereka yang mempunyai kes COVID-19.

    Menurut Khairy, KKM juga mengenal pasti 206 mangsa banjir sebagai kontak rapat dan mereka juga telah dipindahkan ke PPS yang khusus serta hospital.

    Bagi menghadapi pertambahan kes COVID-19, Khairy berkata sistem kesihatan awam telah disiap sedia untuk menerima lebih ramai pesakit disebabkan musibah banjir yang melanda ini. 

    “Kita akan tambah bilangan pasukan KKM di lapangan. Kita akan teruskan dengan saringan-saringan di PPS supaya kita dapat kenal pasti mereka yang positif COVID-19 dan mereka diasingkan dan kontak rapat mereka juga telah dikenal pasti dan diasingkan,” katanya. 

    Selain itu, bekalan pelitup muka, cecair pensanitasi tangan dan pelbagai keperluan lain juga telah dihantar ke semua PPS sejak dua hari lepas. – BERNAMA

  • Azman Mokhtar dilantik Pengerusi baharu Tabung Haji

    Azman Mokhtar dilantik Pengerusi baharu Tabung Haji

    BEKAS Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Azman Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) berkuat kuasa hari ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, Azman mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan korporat.

    Katanya, selain Khazanah Nasional beliau pernah dilantik Pengerusi Pusat Pendidikan Antarabangsa Kewangan Islam (INCEIF) dan Pengerusi Axiata Group Berhad.

    Selain itu, beliau juga terlibat dalam majlis kebangsaan seperti Majlis Pemulihan Negara, Majlis Kemakmuran Bumiputera dan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama.

    “Beliau juga merupakan felo pelawat terhormat Pusat Pengajian Pembangunan Universiti Cambridge dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTM,” katanya dalam kenyataan.

    Idris berkata, pelantikan Azman tertakluk di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), dengan beliau dan Lembaga TH akan bertanggungjawab untuk mentadbir perkara berkenaan dengan urusan jemaah haji.

    “Beliau juga bertanggungjawab ke atas tadbir urus korporat termasuk hala tuju pembangunan strategik TH.

    “Saya mengucapkan tahniah kepada beliau di atas pelantikan ini. Semoga Allah SWT sentiasa memandu setiap gerak kerja yang dilakukan,” katanya.

    Azman dilahirkan pada 23 Jan 1961 di Melaka, kemudian mendapat pendidikan tinggi peringkat Diploma Siswazah dalam Kajian Islam (UIA) dan Kursus Sarjana Falsafah dalam Kajian Pembangunan (Kolej Darwin, Universiti Cambridge United Kingdom) melalui biasiswa Chevening.

    Azman juga adalah felo Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA), United Kingdom, serta ahli profesional Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA).

    Antara 1994 dan 1998, beliau merupakan Pengarah dan Ketua Penyelidikan untuk Union Bank of Switzerland di Malaysia sebelum menjadi Ketua Penyelidikan di Salomon Smith Barney yang berpusat di Malaysia antara 1998 hingga 2002.

    Beliau kemudian menjadi Pengarah Urusan BinaFikir Sdn Bhd sehingga Mei 2004 sebelum menyertai Khazanah Nasional.

  • Banjir: Mangsa di lima negeri meningkat, 73 jalan ditutup di Selangor

    Banjir: Mangsa di lima negeri meningkat, 73 jalan ditutup di Selangor

    JUMLAH mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri iaitu Pahang, Kelantan, Melaka, Perak dan Negeri Sembilan meningkat pagi ini dan 73 jalan di Selangor masih ditutup akibat bencana itu.

    Di PAHANG, menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir terus meningkat pagi ini kepada 25,669 orang di 239 PPS berbanding 19,344 orang di 214 PPS malam tadi. 

    Daerah yang dilanda banjir masih kekal sembilan iaitu Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

    Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KL-K) memaklumkan beberapa lokasi di lebuh raya tersebut masih ditutup antaranya di KM76-KM126 LPT1 Karak-Temerloh bagi kedua-dua arah. 

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri pula melaporkan beberapa paras sungai utama di negeri itu masih pada paras bahaya termasuk Sungai Pahang, Sungai Jelai, Sungai Tembeling, Sungai Lipis, Sungai Bentong, Sungai Lembing, Sungai Lepar dan Sungai Belat. 

    Di KELANTAN jumlah mangsa banjir yang direkodkan pagi ini adalah seramai 3,801 orang daripada 1,098 keluarga, berbanding 3,173 orang daripada 895 keluarga semalam.

    Sekretariat Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan, Zainuddin Hussin berkata 57 PPS dibuka iaitu 29 buah di Kuala Krai, Gua Musang (16), Pasir Mas (lapan) manakala masing-masing dua di Jeli dan Tanah Merah.

    Sementara itu, portal rasmi eBanjir Kelantan melalui https://ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan empat sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai merekodkan bacaan 36.53 meter (m), Sungai Kelantan di Tangga Krai (26.74 m), Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard (17.12 m) dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas (10.28 m).

    Di MELAKA jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 826 mangsa daripada 183 keluarga pagi ini.

    Bagaimanapun, menurut Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin mangsa banjir di daerah Alor Gajah menunjukkan sedikit penurunan kepada 481 orang daripada 99 keluarga, manakala di Melaka Tengah individu terjejas banjir bertambah kepada 327 orang daripada 80 keluarga. 

    “Daerah Jasin pula kekal dengan 18 mangsa banjir daripada empat keluarga. Secara keseluruhan, 11 PPS dibuka di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

    Sementara itu, di PERAK satu lagi PPS dibuka di Dewan Bandaran Teluk Intan semalam menjadikan setakat ini, tiga PPS sedang beroperasi di seluruh negeri.

    Menurut jurucakap APM dan Sekretariat Pengurusan Bencana Perak, jumlah mangsa banjir meningkat pagi ini kepada 242 orang berbanding 154 orang semalam, berikutan limpahan air Sungai Bernam, Sungai Slim dan Sungai Trolak. 

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah APM Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di Seremban dan Port Dickson meningkat kepada 597 individu daripada 142 keluarga dengan 11 PPS dibuka setakat 8 pagi ini. 

    Di SELANGOR, menurut aplikasi InfoBencana JKM negeri, setakat 8 pagi ini seramai 11,418 orang daripada 4,267 keluarga telah dipindahkan ke 74 PPS di kesemua daerah.

    Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan sebanyak 73 jalan ditutup melibatkan sembilan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), susulan banjir yang masih belum surut setakat 4 pagi tadi.

    Jalan-jalan tersebut adalah di bawah penyeliaan IPD Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (dua); Klang Utara (sembilan); Sungai Buloh (dua); Subang Jaya (11); Kuala Langat (27); Sepang (lima); Shah Alam (enam); Klang Selatan (10) dan Hulu Selangor (satu).

    Sementara itu di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dalam kenyataan memaklumkan bahawa jumlah mangsa banjir menurun kepada 288 orang daripada 68 keluarga pagi ini, berbanding 297 orang daripada 69 keluarga semalam dan kesemua mereka ditempatkan di PPS Kemaman dan Dungun. – BERNAMA

  • MRA gerakkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara

    MRA gerakkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara

    MALAYSIAN Relief Agency (MRA) sebagaimana pada tahun sebelumnya telah menggerakkan usaha di seluruh negara untuk menghantar bantuan di negeri-negeri yang terjejas teruk banjir.

    Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, bantuan awal yang difokuskan oleh MRA adalah membekalkan pek makanan, pek makanan panas, bekalan air minuman, pek kebersihan dan keperluan bayi serta wanita untuk kegunaan mangsa yang tinggal di PPS.

    “Pada tahun lepas, MRA telah menghantar bantuan banjir dengan jumlah RM 620,000. Justeru pada tahun ini MRA menyasarkan sumbangan bantuan bencana banjir RM1 juta daripada orang awam dan syarikat korporat yang bermurah hati,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Menurut beliau, sebagai permulaan operasi bantuan bencana banjir ini, MRA telah menerima sumbangan awal dana fasa kecemasan banjir sebanyak RM120,000 daripada Celcom Axiata Berhad.

    “Sumbangan ini akan dikhususkan untuk membeli peralatan kebersihan seperti pam air, jet air, penjana kuasa dan peralatan keselamatan diri yang amat diperlukan sewaktu menghantar bantuan.

    “Selain peralatan, sumbangan tersebut telah dimanfaatkan juga dalam bentuk pek makanan asas berserta air minuman dan diagihkan kepada 200 buah keluarga yang terjejas banjir di Kampung Pasir Baru, Klang Lama malam tadi.

    “Sumbangan orang ramai boleh disalurkan ke Tabung Bantuan Kecemasan Mengharungi Monsun MRA menerusi akaun CIMB Bank – Malaysian Relief Agency (No. akaun: 86000 59478),” jelas Dr Mohd Daud.FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare

  • Pindah mangsa ke PPS secepat mungkin fokus Tentera Darat  – Hishammuddin

    Pindah mangsa ke PPS secepat mungkin fokus Tentera Darat – Hishammuddin

    ANGGOTA-anggota tentera digerakkan ke semua kawasan banjir sejak tiga hari lepas bagi membantu mangsa-mangsa.

    Hari ini  pasukan tentera tiba di Klang Utama untuk membantu mangsa banjir selepas beberapa hari terkandas akibat hujan lebat berterusan sejak Sabtu lalu yang menyaksikan ribuan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

    Dalam catatan di Twitter, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mengesahkan anggota tentera akan bekerjasama dengan kakitangannya untuk membantu penduduk terjejas.

    Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, beliau sudah memberi taklimat kepada Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Mohd Zakaria Yadi mengenai situasi di Klang.

    “Terima kasih, Datuk Seri atas maklum balas pantas. Ya, saya telah bercakap dengan Datuk Mohd Zakaria malam tadi. Pagi ini tentera berada di Klang Utama untuk memulakan operasi dan bekerja dengan kakitangan saya. Kita perlu memberikan sokongan kepada Sri Muda sebaik sahaja kerja di sini selesai,” balas Santiago di Twitter.

    Sementara Hishammuddin dalam Facebooknya memaklumkan, fokus anggota Tentera Darat Malaysia ialah untuk pastikan kesemua mangsa yang terkandas dapat dipindahkan secepat mungkin ke PPS.

    ‘’Alhamdulillah, ramai yang telah dapat dipindahkan sejak semalam (Sabtu) dan usaha ini masih giat dilaksanakan – dalam apa jua keadaan, keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,’’ katanya.

  • ”Lillahi Taala…saya tak guna aset kerajaan” – Jovian

    ”Lillahi Taala…saya tak guna aset kerajaan” – Jovian

    MENANTU  kepada Perdana Menteri , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Datuk Jovian Mandagie, menafikan dirinya menggunakan helikopter milik kerajaan untuk kegunaan peribadi bagi menyelamatkan diri daripada terkandas akibat banjir.

    Menerusi hantaran di Instagram rasminya, Jovian yang juga pereka fesyen terkenal menegaskan, dia tidak akan sesekali menggunakan harta benda yang bukan miliknya selain menganggap tuduhan terbabit satu fitnah.

    “Isu helikopter, tak perlu dipanjangkan. Bukan nak menunjuk, kalau nak menunjuk saya dah ‘posing’ dan buat video serta bergambar sakan. Siapa yang kenal saya, mereka tahu saya bukan seperti itu. Saya tak guna aset kerajaan, Lillahi Taala. Tak mungkin saya akan guna benda yang bukan hak saya.

    “Kalian nak maki hamun saya silakan, tapi itu adalah fitnah. Kenapa tak guna helikopter untuk bantu orang ramai? Jawapannya, itu adalah helikopter komersial, jadi tak boleh nak buka pintu dan turunkan bantuan atau naikkan mangsa,” tulisnya dalam perkongsian itu lapor Berita Harian.

    Menurut Jovian lagi, jika kehadirannya menimbulkan rasa kurang senang kepada segelintir pihak, dia berharap individu terbabit boleh berhenti mengikuti perkembangannya di media sosial.

    “Kalau awak tak suka saya, jangan ikuti saja (di media sosial). Lebih baik bantu negara daripada terus menghentam perkara yang tidak betul terhadap saya.

    “Terdapat banyak lagi perkara yang perlu dilaksanakan untuk membantu rakyat di luar sana. Betul orang memang tengah sengsara, kalau nak sertai turun padang agihkan makanan ‘roger’ saya,” katanya.

    Terdahulu Jovian mendakwa difitnah apabila dia dikatakan menaiki helikopter kerana status sebagai menantu kepada Perdana Menteri.

    Disebabkan itu, Jovian juga dikatakan mendapat akses mudah untuk menyelamatkan diri daripada terkandas akibat banjir yang berlaku di Lembah Klang ketika ini.

  • Maritim Malaysia Pulau Pinang tingkat kesiagaan hadapi monsun Timur Laut

    Maritim Malaysia Pulau Pinang tingkat kesiagaan hadapi monsun Timur Laut

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang mengambil langkah proaktif dengan meningkatkan rondaan, kesiagaan anggota, aset bot dan kapal berikutan amaran cuaca buruk serta keadaan laut bergelora yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia ketika ini.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, tiupan angin Monsun Timur Laut ketika ini boleh mencecah sehingga 40 kilometer sejam dengan ombak setinggi tiga meter serta hujan lebat luar biasa dipercayai tempias daripada taufan Rai yang melanda Filipina.

    Menurut beliau, fenomena alam itu boleh membahayakan keselamatan mereka yang melakukan aktiviti maritim terutama nelayan persisir pantai, bot penumpang serta rekreasi termasuk aktiviti pelancongan di tepi pantai.

    Sehubungan itu tambah beliau, pihaknya menasihatkan komuniti maritim sentiasa cakna dan mematuhi langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil ketika keluar atau berada di laut.

    “Ini seperti pemakaian jaket keselamatan, peralatan komunikasi berada dalam keadaan baik, memaklumkan kepada persatuan atau ahli keluarga tentang keberadaan lokasi semasa dan bersedia dengan perubahan iklim yang tidak dijangkakan.

    “Pengunjung pantai juga disarankan agar tidak mandi ketika keadaan laut yang bergelora,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Dalam pada itu, Abd. Razak turut meminta orang awam melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.

  • Gempar mayat ditemukan selepas banjir surut

    Gempar mayat ditemukan selepas banjir surut

    SATU mayat lelaki ditemukan sejurus paras air surut di hadapan pangsapuri Alam Idaman, Seksyen 22, Shah Alam, semalam.

    Penemuan itu menggemparkan dan video berkenaan tular menunjukkan orang ramai menghampiri mayat terbabit dipercayai meninggal dunia akibat lemas.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, mayat lelaki tempatan yang berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemui orang awam sekitar pukul 7.50 malam.

    “Mangsa adalah penghuni salah sebuah pangsapuri berdekatan kawasan berkenaan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, satu video berdurasi 14 saat tular di aplikasi media sosial menunjukkan terdapat satu mayat di atas jalan.

    Difahamkan mayat berkenaan dijumpai selepas air banjir di kawasan itu mula surut sejak petang semalam.

    Kawasan berkenaan adalah antara yang terjejas serta dinaiki air sejak petang semalam susulan banjir kilat yang berlqku di beberapa daerah di Selangor.

  • Banjir di Kelantan: 12 tahun berteduh di wakaf

    Banjir di Kelantan: 12 tahun berteduh di wakaf

    SETIAP kali rumah mereka ditenggelami banjir sejak 12 tahun lalu, empat beranak akan menjadikan wakaf sebagai tempat untuk berteduh selepas kediaman mereka di pinggir Sungai Kelantan di Kampung Pasir Kelang, Kuala Krai, Kelantan, dinaiki air.

    Yah Mamat, 55 dan keluarga memilih untuk tinggal di wakaf yang terletak di pinggir jalan utama, kira-kira 100 meter dari rumahnya berikutan keadaan kesihatan suaminya, Mohd. Sata Jaafar, 60, yang juga orang kelainan upaya (OKU).

    “Bukan kami tidak mahu ke pusat pemindahan sementara (PPS). Suami tidak mahu bersesak di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya yang tidak sanggup meninggalkan suaminya yang sakit bersendirian di wakaf itu.

    “Pada petang semalam, limpahan air sungai menyebabkan sebahagian rumah kedai kami ditenggelami air dan terpaksa bermalam di wakaf ini yang hanya ditutupi dengan plastik putih.

    “Pada masa sama, dua anak iaitu Mohd. Fazri Mohd Sata, 38 dan Mohd. Amirul, 29, juga perlu bergilir-gilir mengawasi keadaan kerana bimbang berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya memetik laporan BH, ketika ditemui di Kampung Pasir Kelang.

    Yah berkata, pasukan keselamatan menyarankan mereka sekeluarga berpindah ke PPS bagi memastikan keselesaan dan keselamatan, namun memutuskan untuk berteduh di wakaf itu sehingga banjir surut.

    “Jika mahu mandi, kami akan menumpang bilik air di masjid berhampiran.

    Kebiasaannya, keadaan ini tidak akan berlarutan dalam tempoh yang lama…hanya tiga atau empat hari,” katanya.