Category: Semasa

  • Menang PRN bukan sebab penyokong taasub atau fanatik, kata Sanusi

    Menang PRN bukan sebab penyokong taasub atau fanatik, kata Sanusi

    KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) adalah disebabkan rakyat sudah memahami hala tuju parti-parti yang bergabung dalam PN.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, disebabkan itu juga PN dapat mengekalkan kuasa di tiga negeri ditadbir gabungan itu, selain meraih kejayaan lebih baik di negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH).

    “Kefahaman itu sekali gus menepis dakwaan yang mengaitkan kemenangan PN dengan ketaasuban dan fanatik penyokong PN yang kononnya akan menuruti apa sahaja arahan parti.

    “Kemenangan PN atas kefahaman rakyat atau pengundi. Kita telah berikan kefahaman kepada mereka untuk buat penilaian.

    “Rakyat yang buat keputusan dalam PRN berdasarkan kepada kefahaman itulah, bukan sebab taasub atau fanatik,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros mendakwa ketaasuban dan fanatik sesetengah penyokong PN di Kedah, Kelantan dan Terengganu menjadi antara faktor kekalahan Barisan Nasional (BN) dan PH di negeri berkenaan.

    Noor Azleen berkata, ia menjadi satu fenomena yang mana tiada apa boleh mengubah persepsi atau keputusan penyokong tersebut meskipun untuk perubahan dan kebaikan rakyat negeri itu.

    Beliau dilaporkan berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar siri ke-409 bertajuk: Pelan Berdamai: Realiti atau Mimpi Politik yang dihoskan Ismail Adnan.

    Program itu turut menampilkan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd. Rafiq Mohd. Abdullah dan Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzri Helmi Azhar.

    Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN menyifatkan kenyataan Noor Azleen sebagai ucapan berbaur taasub.

    “Itulah contoh pengucapan yang taasub, datangnya daripada dia (Noor Azleen), bukan kita.

    “Orang yang taasub sahaja akan buat kenyataan seperti itu. Dia yang taasub, sehinggakan orang lain semua tak betul, dia seorang saja betul. Haa, itu taasub lah,” jelasnya lagi.

  • PN mampu buat kejutan di Pulai, Simpang Jeram, kata Mohd. Amar

    PN mampu buat kejutan di Pulai, Simpang Jeram, kata Mohd. Amar

    PERIKATAN Nasional (PN) mampu membuat kejutan dengan memenangi kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 9 September ini.

    Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, keyakinan itu berdasarkan keputusan pada pilihan raya negeri (PRN) di keenam-enam negeri baru-baru ini yang memperlihatkan kebangkitan sokongan kepada PN terus meningkat.

    “Perkara ini terbukti melalui pencapaian PN terutama di Selangor dan di Negeri Sembilan.

    “Di Negeri Sembilan walaupun tak banyak kerusi dimenangi, tapi kami berjaya memecahkan penguasaan Pakatan Harapan (PH) dan di Selangor juga kejayaan besar kerana kami berjaya menafikan majoriti dua pertiga PH (Pakatan Harapan) apabila memperolehi 22 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

    “Itu pun kalau tidak kerana ada beberapa isu dalaman, mungkin kami boleh menguasai Selangor baru-baru ini. Jadi, ini satu potensi yang besar dan insya-Allah kami boleh membuat kejutan dalam PRK ini serta tidak mustahil akan memenangi kerusi-kerusi itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Panchor, Kota Bharu hari ini.

    Pihaknya juga menaruh harapan tinggi dalam PRK di DUN Pelangai yang akan diadakan pada 7 Oktober ini dan akan meletakkan calon terbaik di kerusi Pulai serta Simpang Jeram bagi memastikan kemenangan PN.

    Beliau berkata, melihat kesan jangka panjang jika PN menang di Pulai dan Simpang Jeram, akan mengukuhkan lagi kedudukan gabungan politik antara Pas serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    “Jika kami menang di dua kerusi itu, akan membuka laluan lebih mudah untuk PN menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

    “Terutamanya di Pulai kerana bagi kami, sudah meletakkan calon yang terbaik di kerusi itu yang mampu memenuhi aspirasi PN,” ujar Mohd. Amar.

    Dakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu, penolakan terhadap UMNO terutama Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi amat ketara dalam pilihan raya lepas.

    Katanya, penolakan itu akan membantu memberikan kemenangan kepada PN dalam PRK di kerusi-kerusi dipertandingkan selain situasi politik membabitkan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang digantung keahlian dalam UMNO akan turut memainkan peranan.

    “Semua tokoh yang ada di Johor dan cenderung kepada PN, kami percaya boleh membantu PN untuk menarik undi terutama daripada penyokong-penyokong dan juga ahli-ahli UMNO sendiri.

    “Saya percaya penolakan terhadap UMNO akan terus berlaku. Jadi, kita yakin boleh ambil balik kerusi,” kata beliau, lapor Sinar Harian.

  • ‘Dedahkan butiran perjanjian Ambalat kepada PAC’, kata KJ

    ‘Dedahkan butiran perjanjian Ambalat kepada PAC’, kata KJ

    KERAJAAN dicadangkan mengemukakan butiran perjanjian persempadanan maritim yang ditandatangani dengan Indonesia kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa Parlimen secara rahsia.

    Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu boleh dilakukan sekiranya kerajaan tidak boleh menyahklasifikasikan perjanjian tersebut bagi menunjukkanmya tidak membabitkan blok Ambalat.

    “Ini kerana kedua-dua pihak mempunyai ahli Parlimen dalam jawatankuasa khas itu selain disebabkan isu sempadan negara menjadi perkara yang sentiasa sensitif.

    “Saya melakukan pendekatan (dedahkan perjanjian) ini semasa program imunisasi Covid-19 kebangsaan (PICK).

    “Walaupun ada perjanjian tanpa pendedahan (NDA) dengan pihak pengeluar (vaksin), saya menunjukkan kontrak pembelian (vaksin itu) kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya menerusi InstaStory dalam akaun Instagram beliau hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau memberitahu, PAC kemudiannya merumuskan bahawa semua proses pembelian vaksin terbabit adalah betul dan mematuhi peraturan.

    “Jadi (kepada kerajaan sekarang) buatlah perkara yang sama,” ujarnya bekas Ketua Pemuda UMNO itu lagi, lapor Sinar Harian.

    Kerajaan Persekutuan pada Ahad lalu digesa menyahklasifikasikan dokumen perjanjian persempadanan maritim yang ditandatangani dengan Indonesia pada Jun lalu, bagi merungkai isu Ambalat yang dibangkitkan beberapa pihak.

    Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, langkah itu dapat menjawab sejauh mana Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Joko Widodo, tidak membabitkan blok Ambalat.

    Katanya, pendedahan perjanjian itu juga dapat menoktahkan spekulasi dan kebimbangan rakyat berhubung sempadan separa laut wilayah antara dua negara di Laut Sulawesi, seperti yang dikatakan kerajaan sebelum ini.

    Ronald berkata, blok Ambalat seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di tengah wilayah pertikaian di luar pantai Sabah itu yang dikatakan mengandungi sumber minyak mentah terbesar di dunia dan dipertahankan Malaysia sejak sekian lama, tidak boleh digadai sama sekali.

    “Apatah lagi pakar maritim yang terbabit dalam usaha melindungi hak Wilayah Malaysia, memberi amaran kepada Putrajaya supaya tidak menandatangani sebarang perjanjian baharu untuk menyelesaikan pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Indonesia.

    “Mereka berkata Malaysia tidak sepatutnya berkompromi terhadap tuntutannya ke atas kawasan tertentu. Kita tidak boleh bertolak ansur atau berkompromi dalam soal kedaulatan negara, khususnya perairan Sabah yang juga membabitkan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta pelantar benua antara Malaysia dengan Indonesia,” katanya.

  • Pemuda Pas Selangor desak siasatan terperinci skandal INSAN

    Pemuda Pas Selangor desak siasatan terperinci skandal INSAN

    PEMUDA Pas Selangor mendesak siasatan terperinci dijalankan terhadap skandal Skim Insuran Am Selangor (INSAN) yang didakwa rakyat Selangor didaftarkan di dalam skim itu tanpa izin penerima.

    Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, didapati pengguna didaftarkan bawah skim ini sejak 2022 serta berstatus aktif dan dijadualkan luput pada November tahun ini.

    “Beberapa persoalan besar perlu dijawab oleh pentadbiran Selangor berkenaan antaranya status pengendali projek syarikat WavPay Fintech Holding Sdn Bhd yang dimiliki oleh syarikat swasta CT Frank Technology dengan pegangan saham majoriti sebanyak 51 peratus.

    “Kerajaan negeri juga perlu menjelaskan kedudukan bekas Exco Negeri, Datuk Teng Chang Khim sebagai pengarah bagi WavPay yang jelas merupakan satu pertembungan kepentingan peribadi dalam urusan ini.

    “Kenyataan berkenaan isu ini juga tidak konsisten contohnya Chang Khim pada 2022 menggambarkan seolah-olah skim ini perlu dimohon, namun hal ini bertentangan dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan skim ini baru di peringkat ‘prapendaftaran’ yang hanya akan aktif apabila diisi sendiri oleh rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Kelmarin, timbul isu pertikaian pengguna didaftarkan tanpa kebenaran menerusi INSAN didakwa menggunakan data peribadi tanpa kebenaran.

    Isu tersebut tersebar di media sosial telah menimbulkan kebimbangan awam tentang tahap keselamatan data peribadi.

    Mohamed Sukri berkata, sebagai satu produk kewangan, skim insurans ini tidak boleh didaftarkan secara paksa tanpa izin dan pengetahuan penerima manfaat yang melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

    “Pemuda Pas Selangor menuntut penjelasan tuntas Amirudin serta barisan kepimpinan kerajaan negeri. Pada masa sama menuntut isu ini disiasat oleh pihak berkuasa secara mendalam.

    “Kami turut menasihatkan kepada rakyat yang telah mendapati nama tersenarai dalam skim insurans tanpa izin untuk membuat laporan polis sebagai langkah melindungi keselamatan data peribadi anda,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Ahli Parlimen BN nafi kosongkan kerusi Parlimen Putatan

    Ahli Parlimen BN nafi kosongkan kerusi Parlimen Putatan

    AHLI Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya menolak khabar angin bahawa beliau antara tujuh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang akan mengosongkan kerusi parlimen.

    Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah menegaskan fokusnya ketika ini hanya mahu menyelesaikan masalah bekalan air dan jalan raya di negeri ini.

    “Itu semua khabar-khabar angin, jangan terlampau difokus. Kita fokus kepada kerja saja.

    “Tiada apa-apa setakat ini, saya tumpukan masa untuk selesaikan masalah air dan juga jalan raya,” katanya ringkas selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Ceramah Motivasi Sabah Maju Jaya di Dewan Sri Putatan, Putatan, hari ini.

    Timbalan Ketua Menteri itu berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai khabar angin yang mendakwa tujuh Ahli Parlimen BN akan mengosongkan kerusi termasuk satu di Sabah.

    Menurut laporan Sinar Harian, dakwaan itu dibuat oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menerusi satu rakaman video di mana ahli Parlimen yang terlibat iaitu empat dari Johor dan satu masing-masing dari Sabah Pahang dan satu di sebuah negeri di utara tanah air.

    Shahelmey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat sebelum ini digantung keahliannya dalam UMNO susulan tindakannya menyokong dan menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menyokong Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri dalam kemelut politik yang berlaku awal tahun ini.

  • Pergaduhan bola sepak; 20 lagi lelaki direman

    Pergaduhan bola sepak; 20 lagi lelaki direman

    SERAMAI 20 lagi individu ditahan reman hari ini susulan insiden pergaduhan antara penyokong pasukan bola sepak Penang FC dan Kedah FC selepas tamat perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang malam semalam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua mereka iaitu lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 30 tahun yang berasal dari Pulau Pinang ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

    “Dua daripada tahanan didapati mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah dan hasil ujian saringan awal ke atas kesemua suspek mendapati mereka negatif daripada pengambilan dadah,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Sebelum ini, video kejadian itu yang memaparkan pergaduhan antara sekumpulan lelaki dipercayai penyokong Penang FC dan Kedah FC tular di laman sosial media.

    Pada perlawanan malam semalam, Kedah FC berjaya menundukkan Penang FC dengan keputusan 2-1 dalam aksi ‘derby’ utara yang berlangsung dalam suasana sedikit tegang.

    Susulan itu, polis menahan tujuh lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 38 tahun semalam, namun mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis.

    Dalam pada itu, tambah Soffian, polis tidak menolak kemungkinan akan menahan individu lain susulan insiden pergaduhan tersebut berdasarkan siasatan yang sedang dijalankan.

    ”Oleh itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Lim Zhao Yong di talian 01119078888 bagi membantu siasatan,” katanya.

    Kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat).

  • Logo DAP pada cek sumbangan, Pemuda PN bidas tatakelola kerajaan PH-UMNO

    Logo DAP pada cek sumbangan, Pemuda PN bidas tatakelola kerajaan PH-UMNO

    PEMUDA Perikatan Nasional (PN) membidas langkah pemimpin DAP menggunakan logo parti itu pada replika cek sumbangan kerajaan yang diberi kepada sekolah di Perak baru-baru ini.

    Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan langkah dibuat tersebut mendedahkan tatakelola sebenar kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-UMNO dan mempersoalkan logo parti politik diletak pada cek untuk ditayang kepada umum.

    Kata beliau, kenapa diletakkan logo parti di replika cek yang ditayangkan di khalayak umum.

    “Ia seolah-olah menggambarkan sumbangan daripada parti berkenaan. Apa cerita pula ni..

    “Inilah tataurus kononnya yang dicanang oleh pemimpin PH-BN pada hari ini,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun TikTok.

    Terdahulu, portal berita melaporkan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyerah replika cek kepada 17 sekolah persendirian di Perak yang tertera logo DAP.

    Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas berkata, peruntukan tersebut merupakan wang daripada pembayar cukai.

    “Patutlah kerajaan tak nak bagi sangat peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang..” kata beliau, lapor Agenda Daily.

    Sehingga sekarang ahli parlimen pembangkang tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan PH-UMNO, sedangkan di era kerajaan PN semua ahli parlimen mendapat hak mereka.

  • Wanita mengandung enam bulan maut langgar anjing

    Wanita mengandung enam bulan maut langgar anjing

    SEORANG wanita mengandung enam bulan maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor anjing di Jalan Keru- Batu Belang, di Tampin hari ini.

    Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, mangsa yang berusia 35 tahun itu disahkan meninggal dunia pukul 2.10 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Tampin.

    “Kejadian pada pukul 12.05 tengah malam itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik seorang diri.

    “Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari kedai makan di Jalan Tampin – Gemas ke rumahnya di Kampung Keru Hulu,Tampin.

    “Namun sebaik sampai di lokasi, mangsa telah melanggar seekor anjing menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan lalu terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, akibat kemalangan itu, mangsa cedera parah dan dihantar ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia selepas dua jam kejadian.

    Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

    Boleh tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Tampin atau menghubungi Balai Polis Trafik IPD Tampin di talian 06-4412502 atau Bilik Gerakan IPD Tampin di talian 06 – 4431999 bagi membantu siasatan, katanya.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan,” ujar beliau, lapor Sinar Harian.

  • Buruh didakwa bunuh pemandu teksi

    Buruh didakwa bunuh pemandu teksi

    SEORANG buruh didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan membunuh seorang pemandu teksi.

    Tertuduh Muhammad Hanif Mohd. Rosli, 29, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Mohd. Latif Idris.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 Ogos lalu dalam sebuah teksi di tepi jalan hadapan Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Terengganu antara jam 10.09 malam hingga 10.56 malam.

    Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 September depan untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Shahir Mat Jusoh.

    Terdahulu media melaporkan seorang pemandu teksi ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah di dalam keretanya berdekatan sebuah klinik kesihatan di Kampung Seberang Takir pada 10 Ogos lalu.

    Lelaki yang berusia 51 tahun itu ditemukan di tempat duduk belakang kereta tersebut dengan beberapa kesan luka di bahagian leher lapor Astro AWANI.

  • Anggota polis mengaku tak salah 98 tuduhan rasuah lebih RM30,000

    Anggota polis mengaku tak salah 98 tuduhan rasuah lebih RM30,000

    SEORANG anggota polis berpangkat sarjan mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas 98 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM31,400 pada 2021 dan 2022.

    Tertuduh, Anuar Yaakob, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan empat jurubahasa dalam masa lebih 40 minit di depan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

    Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa menerima wang antara RM100 dan RM2,000 tanpa balasan daripada beberapa individu mempunyai hubungan dengan tugas rasminya yang dipindahkan menerusi dalam talian ke akaunnya.

    Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar Kuantan ketika bertugas di Bahagian Siasatan/Perundangan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pahang dengan pangkat sarjan dan ketua Balai Polis Cherating sebagai sarjan mejar antara Januari 2021 hingga Oktober 2022.

    Penjawat awam lebih 30 tahun berkhidmat itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.

    Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim memohon jaminan rendah buat anak guamnya kerana tertuduh berpendapatan sekitar RM3,000 sebulan dan perlu menyara keluarganya, termasuk ibu bapa berusia.

    Zamzani menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan semua syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 25 Sept ini untuk serahan dokumen.