Category: Semasa

  • Lelaki pedofilia didakwa 4 pertuduhan jenayah seksual terhadap anak saudaranya

    Lelaki pedofilia didakwa 4 pertuduhan jenayah seksual terhadap anak saudaranya

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG bekas mekanik kapal di Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan berkait jenayah seksual terhadap anak saudara perempuannya, lima tahun lalu.

    Lelaki pedofilia tersebut yang berusia 41 tahun membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim V. M. Mabel Sheela.

    Bapa tiga anak itu didakwa merogol, menghasilkan video pornografi kanak-kanak dan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia 7 tahun sembilan bulan di sebuah rumah, di Jalan Rawa 1, Taman Perling, Johor Bahru pada pukul 1.30 pagi, 1 Ogos 2018.

    Dia juga dituduh memiliki pelbagai video dan gambar pornografi kanak-kanak di sebuah rumah di Taman Nusantara, Iskandar Puteri, pada 24 Mei lalu, pukul 9 malam.

    Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 376 (2)(e) Kanun Keseksaan, Seksyen 5 Akta Kesalahan Kanak-kanak 2017(Akta 792), Seksyen 14 Akta Kesalahan Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 10 Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

    Dia boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fadilah Johanuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Baharudin Baharim.

    Jaminan ditetapkan RM8,000 dan kes disebut semula 24 Julai.

  • Inspektor polis percubaan didakwa terima suapan RM3,000

    Inspektor polis percubaan didakwa terima suapan RM3,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG inspektor percubaan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini terhadap pertuduhan menerima rasuah bernilai RM3,000 daripada seorang wanita, tahun lepas.

    Tertuduh, Basree Ibrahim, 38, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

    Dalam pertuduhan dibacakan itu, dia didakwa menerima rasuah daripada wanita berusia 35 tahun tersebut sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu tidak mengambil tindakan terhadap wanita berkenaan, yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Rasuah itu didakwa diterimanya sebagai dorongan untuk tidak melakukan suatu perbuatan berhubung hal ehwal prinsipalnya iaitu tidak mengambil tindakan terhadap wanita berkenaan, yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 8.30 malam, 17 September 2022 di sebuah restoran dekat Jalan Alor Mengkudu, Alor Setar.

    Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

    Terdahulu Mohd. Zulfadli mencadangkan agar mahkamah menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 buat tertuduh dengan seorang penjamin.

    Tertuduh bagaimanapun memohon agar kadar jaminan dikurangkan dengan alasan anaknya masih bersekolah. Hakim lalu menetapkan kadar jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

    Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Julai depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam dengan tertuduh turut diarahkan untuk melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.

  • Lelaki maut tersepit, treler jatuh gaung 10 meter

    Lelaki maut tersepit, treler jatuh gaung 10 meter

    SEORANG lelaki maut akibat tersepit dalam treler muatan pasir yang terbabas ke dalam gaung setinggi kira-kira 10 meter di Kilometer (KM) 43 Lebuhraya Karak-Bukit Tinggi di sini hari ini.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Hasrul Abdul Halim, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 3.45 pagi.

    “Seramai 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama tiga buah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

    “Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu menggunakan peralatan hidraulik dan tali,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

    Ujar beliau, mangsa berjaya dikeluarkan pada pukul 6.44 pagi dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya lapor Sinar Harian.

  • Pas nafi kenyataan ‘hanya bela nasib Melayu-Islam saja’

    Pas nafi kenyataan ‘hanya bela nasib Melayu-Islam saja’

    PAS menafikan mengeluarkan kenyataan media ‘hanya membela nasib kaum Melayu dan Islam sahaja’.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan bertarikh 24 Jun itu adalah palsu dan fitnah, selain cuba memburukkan parti itu.

    “Kenyataan media bertajuk ‘PAS akan terus mempertahankan dan membela nasib kaum Melayu dan Islam sahaja’ bertarikh 24 Jun 2023 adalah palsu dan fitnah semata.

    “Ia nyata cubaan pihak tertentu untuk memburukkan Pas dan mempunyai niat yang tidak baik,” katanya menerusi Facebook miliknya, lapor FMT.

    Sebaran palsu memetik kenyataan Takiyuddin mendakwa parti itu akan terus memperjuangkan nasib Melayu dan Islam, susulan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang sebelum ini, orang bukan Islam punca gejala rasuah berleluasa dalam negara.

    Kenyataan itu juga mendakwa kaum Cina, India dan Bumiputera banyak mendatangkan mudarat kepada masyarakat sehingga menjejaskan ekonomi negara.

  • Ahmad Samsuri menghadap Sultan Terengganu mohon perkenan bubar DUN

    Ahmad Samsuri menghadap Sultan Terengganu mohon perkenan bubar DUN

    MENTERI Besar Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menghadap Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pagi ini, bagi memohon perkenan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu tiba di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu, pada 8.38 pagi untuk sesi menghadap berkenaan lapor Berita Harian.

    Beliau sempat membuka cermin kereta dan melambai tangan ke arah pengamal media yang berkumpul di luar istana.

    Dijangka tiada sidang media khas mengenai pengumuman tarikh pembubaran DUN hari ini, sebaliknya menteri besar hanya akan mengeluarkan kenyataan bertulis setelah selesai sesi menghadap.

    Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU), Pas mengambil alih pentadbiran kerajaan Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) selepas memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala BN hanya memperoleh 10 kerusi.

    Tempoh mandat bagi DUN Terengganu akan berakhir pada 30 Jun ini.

    Terengganu antara enam negeri yang akan mengadakan PRN pada tahun ini selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

    DUN Kelantan dibubarkan pada 22 Jun manakala DUN Selangor sehari selepas itu.

    DUN Kedah dan Pulau Pinang masing-masing akan dibubarkan esok manakala DUN Negeri Sembilan dijangka dibubarkan pada 30 Jun.

  • Rasionalisasi subsidi mungkin jejas pertumbuhan KDNK Malaysia – Ahli Ekonomi

    Rasionalisasi subsidi mungkin jejas pertumbuhan KDNK Malaysia – Ahli Ekonomi

    PENGHAPUSAN subsidi boleh menjejajskan pertumbuhan jangka pendek Malaysia dan merumitkan proses penambaikan gaji ketika paras harga kekal tinggi, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) Firdaos Rosli.

    Ahli Ekonomi itu berkata, ia adalah tidak sesuai untuk melakukan rasionalisasi subsidi terutamanya ketika negara masih dalam proses pemulihan daripada era pandemik.

    “Kita memerlukan subsidi buat masa ini supaya orang ramai berbelanja yang sepatutnya berlaku dalam era pasca pandemik,” katanya pada sidang media mengenai keputusan kewangan suku pertama Bank Islam, semalam.

    Firdaos berkata naratif ekonomi Madani (NEM) oleh kerajaan yang akan dilancarkan pada Ogos depan, perlu memberi tumpuan kepada strategi meningkatkan pertumbuhan, justeru anjakan paradigma daripada rangka kerja sedia ada diperlukan.

    Beliau berkata ia kerana kaedah pendapatan boleh guna semasa digunakan untuk pemberian subsidi mungkin hanya menyukarkan penggubalan dasar dan bukannya memudahkannya.

    “Adalah lebih baik untuk memberi tumpuan dalam menambah baik hasil cukai serta memastikan pertumbuhan jangka pendek kekal kukuh. Seperti yang saya nyatakan walaupun tanpa kerajaan melakukan apa-apa, jumlah perbelanjaan subsidi akan turun secara semula jadi pada tahun ini kerana harga minyak global sekarang lebih rendah berbanding tahun lepas,” katanya.

    Firdaos berkata NEM harus melengkapkan penentukuran semula Rancangan Malaysia ke-12 memandangkan semakan separuh penggal akan diumumkan tidak lama lagi.

    “Malaysia tidak mempunyai pakej rangsangan fiskal yang cukup tinggi untuk berkembang selepas pandemik. Justeru, bagaimana kita akan mengganti semula pengeluaran RM145 bilion Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan dividen semasa COVID-19 dulu,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan harus menyediakan naratif ekonomi yang betul untuk pertumbuhan jangka terdekat bagi memberi keyakinan kepada pelabur dan mengukuhkan ringgit.

    Menurutnya, ringgit dijangka ditutup pada RM4.28 berbanding dolar AS pada akhir tahun ini berdasarkan trend pertumbuhan ekonomi.

  • Muhyiddin jumpa Tun M bincang kerjasama Proklamasi Orang Melayu

    Muhyiddin jumpa Tun M bincang kerjasama Proklamasi Orang Melayu

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertemu Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam masa terdekat untuk membincangkan kerjasama menerusi Proklamasi Orang Melayu.

    Dalam temu bual eksklusif bersama FMT, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau membaca 12 agenda dalam proklamasi itu yang disifatkannya agak baik dan menjadi asas prinsip perjuangan parti pimpinannya.

    Menurut Perdana Menteri kelapan itu, agenda dalam perlembagaan negara, hak istimewa orang Melayu dan Islam selain memartabatkan ekonomi bangsa sudah lama diperjuangkan Bersatu, lebih awal daripada Proklamasi Orang Melayu diasaskan Dr. Mahathir, Mac lalu.

    “Pada saya tiada halangan (kepada) sesiapa pun untuk buat perkara sehaluan dengan apa kita perjuangkan,” kata Muhyiddin menjawab kesediannya bertemu Dr. Mahathir yang digantikannya sebagai perdana menteri pada 2020.

    Mahathir sebelum ini berkata, proklamasi yang diilhamkannya itu bertujuan menyatukan orang Melayu melangkaui garis politik. Ia menarik sokongan dan ditandatangani beberapa pemimpin parti pembangkang termasuk Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atas kapasiti persendirian.

    Awal bulan ini, Dr. Mahathir dilaporkan berkata sedia bekerjasama dengan Muhyiddin sekali lagi, tiga tahun selepas hubungan mereka renggang susulan Langkah Sheraton, menyaksikan pentadbiran beliau ketika itu tumbang dan digantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu.

    Muhyiddin menyambut hasrat untuk bekerjasama itu demi membela agama, bangsa dan negara.

    “Bila beliau (Mahathir) kata hendak bekerjasama, saya sambut baik,” kata Muhyiddin yang mengakui sudah ada perbincangan ke arah itu menerusi orang perantaraan.

    “Sekarang, Tun (Mahathir) di luar negara kalau tak silap saya. Jadi saya kata (boleh bertemu) selepas atau sebelum Hari Raya Haji (29 Jun ini) kalau beliau sudah ada masa lapang,” katanya, lapor FMT.

  • Kon Yeow bertemu Ahmad Fuzi, DUN Pulau Pinang rasmi bubar esok

    Kon Yeow bertemu Ahmad Fuzi, DUN Pulau Pinang rasmi bubar esok

    KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pagi ini bertemu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bagi mendapatkan persetujuan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang seterusnya memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

    Kenderaan rasmi yang dinaiki Kon Yeow kelihatan memasuki kediaman Yang Dipertua Negeri, Seri Mutiara di Georgetown kira-kira pukul 7.53 pagi sebelum beliau meninggalkan kediaman itu kira-kira pukul 8.33 pagi.

    Turut memasuki kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Sayuthi Bakar.

    Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Kon Yeow berkata, beliau telah mendapat persetujuan daripada Ahmad Fuzi untuk membubarkan DUN Pulau Pinang berkuat kuasa esok.

    ”Pada pagi ini saya telah mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri untuk menandatangani proklamasi untuk DUN dibubarkan bagi membuka jalan untuk PRN negeri, ia akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas semua negeri (yang terlibat PRN) membubarkan DUN masing-masing.

    ”Saya rasa lega selepas semua ini berakhir dan kita boleh membuat persediaan bagi mengadakan PRN,” katanya.

    Menurut Kon Yeow, beliau akan mengadakan sidang akhbar mengenai pembubaran DUN Pulau Pinang kira-kira 2.30 petang hari ini.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan PRN diadakan serentak.

    Sehubungan itu, satu PRN perlu diadakan sekiranya kerajaan negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing atau DUN terbubar dengan sendiri selepas tamat tempoh.

    Mengambil kira tempoh pembubaran itu, PRN di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos ini iaitu 60 hari daripada tarikh pembubaran.

    PRN itu perlu diadakan memadangkan tempoh mandat DUN di enam negeri berkenaan akan berakhir pertengahan tahun ini.

  • Wanita hampir dirogol lelaki kurang siuman, positif dadah

    Wanita hampir dirogol lelaki kurang siuman, positif dadah

    SEORANG wanita melalui detik cemas apabila diserang oleh seorang lelaki kurang siuman yang dipercayai mahu merogolnya di kawasan tangga sebuah bangunan di Tuaran, semalam.

    Menerusi rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial, wanita terbabit dilihat bergelut sebelum suspek melarikan diri apabila menyedari kehadiran orang lain di kawasan itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Noraidin Awang Maidin, suspek berusia 29 tahun dipercayai kurang siuman itu telah ditahan pukul 3 pagi semalam dan saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

    “Hasil siasatan mendapati suspek merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun berasal dari daerah Tuaran. Suspek tidak siuman dan merupakan pesakit yang berdaftar di Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu.

    “Suspek baru sahaja hari hari keluar dari wad hospital berkenaan dan menerima rawatan susulan setiap minggu.

    “Siasatan juga turut mendapati suspek merupakan seorang penagih dadah,” ujar Noraidin dalam satu kenyataan media di Tuaran, hari ini.

    Beliau berkata, secara keseluruhan polis menerima tiga laporan polis yang dibuat oleh tiga mangsa berbeza berusia dalam lingkungan 15 hingga 31 tahun yang mendakwa telah dicabul oleh suspek.

    “Kesemua mangsa membuat laporan dicabul oleh lelaki tidak dikenali antara pukul 1 tengah hari hingga 4 petang Ahad.

    “Mangsa mengatakan suspek telah datang secara tiba-tiba memeluk dan mencabul mangsa,” katanya, lapor Astro Awani.

    Selain mencabul, suspek turut dipercayai merampas beg tangan dan melarikan wang tunai salah seorang mangsa.

    Katanya, suspek yang ditangkap dirujuk ke Hospital Mesra Bukit Padang.

  • Inspektor polis tular: Saya masih bujang kerana terlampau tegas

    Inspektor polis tular: Saya masih bujang kerana terlampau tegas

    OLEH kerana perwatakannya yang tegas sebagai seorang pegawai polis wanita, ‘Inspektor Sheila’ yang tular di media sosial sejak dua minggu lalu, mengakui dirinya masih belum berpunya.

    “Saya masih bujang kerana terlampau tegas…tidak banyak lelaki sukakan saya,” katanya berseloroh ketika menjawab soalan pemberita di Mahkamah Selayang, hari ini.

    Beliau ditemui selepas didakwa dengan tiga tuduhan mengugut dan mengaibkan kesopanan tiga individu, termasuk seorang anggota polis di Mahkamah Majistret, lapor Berita Harian.

    Malah, ‘Inspektor Sheila’ atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 35, mengakui cara percakapannya memang dalam nada yang tegas.

    “Suara saya memang begini. Cuba tanya penduduk di Petaling Jaya, Inspektor Sheila ini memang tegas orangnya.

    Inspektor Sheila Sharon dituduh atas kesalahan melakukan ugutan jenayah dan berkelakuan tidak sopan ditempat awam ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Ketua saya selalu menghantar saya untuk memberikan ceramah, saya sudah berkhidmat dari tahun 2017 hingga tahun 2022. Berapa banyak ceramah dalam bahasa Inggeris, berapa banyak dalam bahasa Melayu yang saya berikan.

    “Cuba tanya penduduk di Petaling Jaya, Inspektor Sheila ini dia memang orang yang suka ikut prosedur. Saya bukan seorang yang suka cakap mengarut.

    “Saya tidak ambil rasuah, tidak akan berkompromi untuk mengurangkan seksyen dalam tuduhan tetapi banyak orang cuba merasuah saya,” katanya.

    Pagi tadi, Sheila mengaku tidak bersalah mengugut seorang wanita berusia 69 tahun, dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaaan, yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Beliau juga mengaku tidak bersalah menghina kesopanan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan berkata: “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu” mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Sheila turut membuat pengakuan sama terhadap tuduhan menyebut pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak, dengan maksud mengaibkan kehormatannya, juga mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.