Category: Semasa

  • Penghuni apartmen di Taman Duta diarah kosongkan kediaman

    Penghuni apartmen di Taman Duta diarah kosongkan kediaman

    PENDUDUK sebuah apartmen di Taman Duta, di ibu negara diarahkan berpindah akibat berlaku tanah runtuh di kawasan berhampiran berikutan hujan lebat di Lembah Klang, Sabtu lalu.

    Memetik laporan FMT, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dipetik sebagai berkata, penduduk di Apartmen Sri Duta 1 diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing selepas berlaku tanah runtuh pada bahagian bawah beberapa blok apartmen di situ.

    “Ikram (Institut Kerja Raya Malaysia) sedang meneliti perkara itu dan akan berbincang dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan pengurusan pangsapuri (berhubung jalan penyelesaian).

    “DBKL kemudian akan memaklumkan kepada saya mengenai laporan itu (daripada IKRAM),” katanya.

    Shahidan memaklumkan laporan IKRAM berhubung kejadian itu dijangka siap hari ini.

    Sementara itu, memetik laporan The Star, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan sebagai berkata pihak kontraktor sedang melaksanakan kerja mengukuhkan asas tanah di bangunan yang terkesan.

    “Kerja-kerja pemantauan sedang dilakukan oleh DBKL setiap hari bagi mengukur pergerakan air dan tanah.

    “Sehingga kini, tiada pergerakan tanah dikesan,” katanya yang turut memaklumkan DBKL memindahkan 34 keluarga minggu lalu selepas kerana kawasan itu dianggap tidak selamat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). 

  • Dua beradik maut kemalangan ketika pulang kenduri kahwin

    Dua beradik maut kemalangan ketika pulang kenduri kahwin

    DUA beradik maut selepas pulang daripada menghadiri kenduri kahwin apabila kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan berhampiran simpang Manik Urai, Kuala Krai, Kelantan, petang semalam.

    Free Malaysia Today melaporkan, jenazah dua beradik itu masih lengkap berpakaian baju Melayu serta bersampin tersepit dalam kereta susulan nahas yang berlaku ketika mereka dipercayai dalam perjalanan pulang ke Damansara, Selangor.

    Mangsa yang maut ialah Wan Abdul Azim Wan Zamani, 25, beralamat di Bandar Sri Damansara manakala identiti seorang lagi belum dikenal pasti.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Suzaimi Mohammad berkata, berdasarkan keterangan awal saksi, kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 4.30 petang apabila kereta jenis Proton Saga dipandu seorang mangsa terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori.

    Beliau berkata, dua beradik itu baru pulang daripada menghadiri kenduri kahwin di Kelantan sebelum bergerak pulang ke Selangor.

    Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Kuala Krai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dan bergegas ke lokasi untuk kerja menyelamat mangsa.

    Katanya, tujuh anggota bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah jentera pemadam tiba di lokasi dan mendapati dua mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

    “Bomba berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan ‘resq combination spreader dan cutter’. Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • Banjir: Lebih 28,000 mangsa masih di PPS

    Banjir: Lebih 28,000 mangsa masih di PPS

    SEBANYAK 28,005 mangsa banjir daripada 8,598 keluarga masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lima negeri pagi ini berbanding 33,193 mangsa malam tadi.

    Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di 183 PPS di Kelantan, Selangor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan. 

    Di SELANGOR, aplikasi itu menunjukkan jumlah mangsa banjir di negeri itu terus menurun kepada 11,864 mangsa daripada 3,521 keluarga yang ditempatkan di 61 PPS pagi ini, berbanding 15,354 mangsa di 81 PPS malam tadi.

    Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor turut menasihati masyarakat supaya tidak membakar sisa buangan banjir mereka.

    Pengarahnya Norazam Khamis berkata ia susulan semalam pihaknya telah mendapat panggilan untuk memadam kebakaran melibatkan sampah dan perabot rosak pada 5.50 petang dan setakat ini dua kes direkodkan berlaku sekitar Kapar, Klang.

    Di PAHANG, 16,579 mangsa banjir masih berada di 119 pusat pemindahan sementara pagi ini berbanding 17,211 orang malam tadi. 

    Daerah yang masih terjejas ialah Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan. 

    Jabatan Meteorologi pula meramalkan hujan di sesetengah kawasan  di Kuantan dan Pekan pagi ini, manakala di daerah lain cuaca baik. 

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan dengan 378 orang daripada 127 keluarga setakat 7 pagi ini berbanding 470 orang daripada 153 keluarga semalam, melibatkan dua PPS yang dibuka di Jajahan Pasir Mas.

    Dua PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, dan hanya satu sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat pukul 8 pagi ini. 

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya PPS Sekolah Kebangsaan Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan mangsa.

    Di NEGERI SEMBILAN,Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu menunjukkan penurunan kepada 128 individu daripada 37 keluarga berbanding semalam 132 mangsa daripada 38 keluarga.

    Katanya tiga PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini – Bernama 

  • Tanah runtuh di asrama UIAM

    Tanah runtuh di asrama UIAM

    SERAMAI 128 pelajar lelaki Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Selangor diarah mengosongkan asrama mereka selepas berlaku tanah runtuh dan mendapan jalan di kawasan bangunan.

    Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang bergegas ke lokasi selepas menerima laporan pada pukul 9 malam tadi.

    Menurutnya, saksi yang juga pelajar di UIAM itu memaklumkan, kejadian tanah runtuh itu berlaku pukul 6.45 petang ketika hujan lebat dan mereka diarahkan mengosongkan bangunan asrama.

    Pemantauan yang dilakukan mendapati tiada kesan rekahan pada dinding atau lantai bangunan, ” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, mendapan jalan berlaku dengan anggaran keluasan lima meter persegi dengan kedalaman kira-kira tiga meter.

    Pihak pengurusan UIAM sudah menutup kawasan tersebut dengan meletakkan kon dan sawar-sawar dan menghubungi Konsultan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan lanjut, ” katanya 

  • Kilang kitar semula terbakar, asap hitam menjulang ke udara

    Kilang kitar semula terbakar, asap hitam menjulang ke udara

    PENDUDUK di sekitar Bukit Mertajam, Pulau Pinang petang tadi dikejutkan dengan asap hitam dan tebal yang menjulang ke udara yang dapat disaksikan sejauh lebih tiga kilometer.

    Kejadian itu berpunca daripada kebakaran sebuah kilang plastik kitar semula di Kawasan Perusahaan Bukit Minyak, Bukit Mertajam kira-kira pukul 6 petang.

    Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.01 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda bergegas ke lokasi kejadian.

    Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian katanya, didapati kebakaran melibatkan sebuah kilang pembuatan plastik kitar semula dengan anggaran keluasan 2,500 meter persegi.

    “Kilang itu turut dianggarkan musnah sebanyak kira-kira 70 peratus ,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut jurucakap itu, usaha memadamkan kebakaran terpaksa dibantu oleh pasukan bomba dari BBP Sungai Bakap, Perai, Batu Kawan, Kepala Batas dan Bayan Baru selain beberapa pasukan bomba sukarela berhampiran.

    Difahamkan, punca kejadian dan jumlah kerugian yang dialami pemilik kilang masih dalam siasatan dan setakat ini dilaporkan tidak ada kecederaan atau kemalangan jiwa ekoran kejadian itu.

  • Putera Turki zahir hasrat bantu mangsa banjir Malaysia

    Putera Turki zahir hasrat bantu mangsa banjir Malaysia

    MENTERI Kabinet Arab Saudi Putera Turki bin Mohammad bin Fahd bin Abdulaziz menzahirkan hasrat membantu Malaysia dengan menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada rakyat negara ini yang terjejas akibat banjir.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerusi kenyataan hari ini.

    “Pagi tadi saya telah dihubungi oleh Putera Turki bin Mohammed bin Fahd bin Abdulaziz, Putera Raja Arab Saudi, yang telah menyatakan hasrat untuk membantu usaha kami bagi menyediakan bantuan dan sumbangan kepada rakyat Malaysia yang terkesan akibat banjir melalui Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman,” katanya.

    Beliau juga berkata Kementerian Pertahanan, melalui Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kini memberi tumpuan kepada usaha bantuan pasca banjir dan persediaan bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua bencana itu.

    Katanya setakat semalam, seramai 998 anggota dan pegawai ATM iaitu Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara Diraja Malaysia diatur gerak bersama dengan 96 aset pelbagai jenis termasuk trak, bot tempur, enjin sangkut (OBM) serta helikopter EC725 ke negeri yang terjejas seperti Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Melaka.

    Hishammuddin berkata ATM juga berjaya memindahkan sejumlah 32,661 mangsa ke pusat pemindahan sementara setakat semalam dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan serta semua agensi berkaitan menerusi Ops Murni.

    “Perancangan ATM yang seterusnya di kawasan berkenaan ialah meningkatkan lagi pelaksanaan kerja-kerja pembersihan pasca banjir termasuk pencegahan penularan wabak COVID-19.

    “Ini selari dengan kenyataan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang semalam bahawa ATM akan menambah jumlah anggota sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 500 orang khusus untuk membantu kerja-kerja pembersihan,” katanya.

    Beliau berkata satu batalion ATM diletakkan dalam keadaan siap siaga di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas apabila terdapat keperluan menghadapi banjir gelombang kedua.

    Katanya ini termasuk pembelian kecemasan 55 unit OBM yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan susulan laporan berhubung situasi bot ATM yang terpaksa digunakan tanpa henti di kawasan terjejas.

    Mengulas penubuhan pasukan petugas khas pasca banjir, Hishammuddin berkata Kementerian Pertahanan dan ATM akan memberi kerjasama penuh kepada pasukan itu. – BERNAMA

  • Sukarelawan Syria, Yaman bantu cuci rumah mangsa banjir

    Sukarelawan Syria, Yaman bantu cuci rumah mangsa banjir

    SUKARELAWAN Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) dari komuniti Syria dan Yaman turut bersama dalam kerja-kerja pembersihan pascabanjir di sekitar Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Selangor.

    Aktiviti termasuk membantu membersihkan rumah-rumah yang ditenggelami banjir baru-baru ini dan kawasan sekitar.

    Selain itu, kumpulan ini juga telah membantu membersihkan perabot dan kelas di sekolah KAFA Integrasi RTB Bukit Changgang yang terkesan dengan banjir.

    Sukarelawan MAHAR membantu membersihkan rumah-rumah yang ditenggelami banjir baru-baru ini

    Pengerusi MAHAR, Jismi Johari berkata, mereka telah banyak membantu dalam inisiatif banjir sejak permulaan lagi dengan pelbagai bentuk bantuan.

    “Mereka amat bersimpati terhadap mangsa-mangsa bencana banjir dan aktiviti gotong-royong ini dizahirkan sebagai satu bentuk solidariti mereka kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Seramai 30 orang saudara dari Syria dan Yaman ini terdiri daripada kalangan ekspatriat, ahli perniagaan, pelajar dan peserta Program Penempatan Sementara Migran Syria (PPSMS) yang menetap di sekitar Lembah Klang.

  • Tuan Ibrahim sahkan dijangkiti COVID-19 bersama anak, cucu

    Tuan Ibrahim sahkan dijangkiti COVID-19 bersama anak, cucu

    MENTERI Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mengesahkan dirinya dijangkiti COVID-19.

    Dalam catatan di Facebooknya, beliau berkata empat anak dan seorang cucu beliau turut dijangkiti wabak tersebut dan telah menjalani kuarantin.

    “Mohon doa semua. Saya, empat orang anak dan seorang cucu telah disahkan positif COVID-19.

    “Kami telah menjalani kuarantin beberapa hari lalu. Seorang cucu selamat dilahirkan semalam dan disahkan negatif tetapi ibunya masih ditahan di Hospital Sungai Buloh. Doakan,” menurut catatan itu. – BERNAMA

  • Jumlah mangsa banjir 33,779 orang, semakin berkurangan

    Jumlah mangsa banjir 33,779 orang, semakin berkurangan

    JUMLAH mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor, Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan menunjukkan penurunan manakala jumlah mangsa di Melaka kekal, petang ini.

    Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 33,779 orang masih berada di 210 PPS di lima negeri.

    Di SELANGOR, 15,404 mangsa ditempatkan di 83 PPS setakat petang ini berbanding 16,568 orang mangsa di 86 PPS tengah hari tadi.

    Pihak Pengurusan Bencana Daerah Klang memaklumkan Pusat Kawalan Tindakan Kejadian (PTPK) di Taman Sri Muda akan diisytiharkan tutup pada 12 tengah malam ini.

    Pengurusan itu memberitahu menurut laporan dari Komander PKTK Taman Sri Muda, operasi menyelamat dan tugasan pengagihan bantuan telah selesai serta tumpuan kini diberikan untuk kerja-kerja pembersihan.

    Menurutnya, sebarang bantuan, pertanyaan atau aduan boleh disalurkan terus ke Bilik Operasi Bencana di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

    Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri Ng Sze Han dalam kenyataan berkata 12 Stesen Pemindahan Sementara sampah pukal dibuka setakat ini bagi mempercepatkan urusan pembersihan sampah pascabanjir.

    Semua 12 stesen itu melibatkan empat pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

    Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri merekodkan 17,738 mangsa banjir masih berada di 125 PPS di enam daerah iaitu Kuantan, Pekan, Bera, Maran, Temerloh dan Bentong setakat 4 petang.

    Beberapa jalan yang ditutup sebelum ini di daerah Temerloh telah dibuka, bagaimanapun laluan di Pekan antaranya Jalan Teluk Ganchong Lepar, Pelak-Belimbing, selain Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Jalan Serengkam di Maran selain Jalan Batu Bor dan Jalan Charuk Puting-Guai di Bera masih ditutup.

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya satu sungai di Maran berada di paras bahaya dengan trend menurun iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku.

    Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Saiful Zaini Mohd Bokhari dalam kenyataan memaklumkan beberapa kawasan di negeri ini dijangka akan mengalami keadaan tekanan air rendah berikutan penggunaan air terlalu tinggi secara serentak bagi tujuan pembersihan rumah atau premis akibat banjir selain kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan telah menyebabkan jajaran paip terputus serta pecah.

    Selain itu, beliau berkata hampir kesemua Loji Rawatan Air (LRA) telah beroperasi sepenuhnya bagi membekalkan air kepada pengguna dan masih dalam proses pemulihan, namun ia memerlukan masa dan akan pulih secara berperingkat.

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan penurunan setakat 6 petang kepada 470 orang daripada 153 keluarga di dua PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok di jajahan Pasir Mas.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Golok dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas berada pada paras waspada.

    Di NEGERI SEMBILAN, 141 mangsa ditempatkan di tiga PPS, sementara di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin kekal 26 orang daripada lapan keluarga setakat 4 petang, menurut Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra. – BERNAMA

  • Projek EKVE punca banjir lumpur Hulu Langat – PM

    Projek EKVE punca banjir lumpur Hulu Langat – PM

    PROJEK pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai antara punca banjir lumpur di sekitar Taman Sri Nanding di Hulu Langat, baru-baru ini.

    Memetik laporan FMT, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hasil pemantauan mendapati pembinaan lebuh raya itu menyebabkan longkang tertutup dan mengganggu sistem saliran air.

    “Banjir ini bukan saja disebabkan oleh air hujan, tapi (tinjauan) di Taman Sri Nanding tadi (mendapati) kerana projek EKVE.

    “Longkang tertutup dan sebagainya, menyebabkan banjir lebih cepat berlaku,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program gotong-royong pembersihan kawasan terjejas banjir di Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Tua hari ini.

    Hulu Langat merupakan antara kawasan terjejas teruk akibat banjir yang melanda negara, minggu lalu.

    Setakat ini, polis mengesahkan seramai 47 mangsa terkorban akibat banjir di seluruh negara dan lima masih hilang.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Selangor kekal dengan 25 mangsa manakala Pahang seramai 19 mangsa dan di Kelantan tiga mangsa.