Category: Semasa

  • Lagi kes buli pelajar sekolah tersebar

    Lagi kes buli pelajar sekolah tersebar

    AKSI seorang pelajar sekolah ditindih, ditumbuk dan ditendang oleh pelajar lain tular di laman Twitter sejak kelmarin.

    Menerusi perkongsian di laman Twitter @MALAYSIAVIRALL, kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Sabah, namun tidak dapat dipastikan lokasi sebenarnya dan tarikh insiden tersebut.

    Berdasarkan klip video berdurasi 1 minit 21 saat itu, kelihatan pembuli menindih, menumbuk dan menendang mangsa bertalu-talu sambil dirakam oleh beberapa rakan yang lain.

    Perkongsian itu juga kini meraih lebih 1 juta tontonan sehingga hari ini.

    Susulan tersebarnya rakaman tersebut, rata-rata pengguna Twitter berang dengan kejadian itu menggesa pihak berkuasa seperti Kementerian Pelajaran (KPM) dan Polis Diraja Malaysia menyiasat perkara terbabit segera.

    “PDRM, KPM, apa lagi? Siasat nak tangkap pembuli. Makin hari makin ramai gengster sekolah,” seru @Jacknenas.

    “Bagus budak zaman sekarang. Buli terus rakam, lepas itu muat naik di media sosial, senang bagi polis buat kerja. Otak separuh sangat,” ciap @aiyysie.

    “Kes buli makin menjadi-jadi. Rasanya KPM boleh buat satu video tutorial khas tunjuk lepas buki masuk penjara, kena hukum. Biar ada insaf mereka ini,” cadang seorang pengguna Twitter, lapor Kosmo!.

  • 261,000 kg baja bernilai lebih RM100,000 dirampas disyaki cuba diseleweng

    261,000 kg baja bernilai lebih RM100,000 dirampas disyaki cuba diseleweng

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEJUMLAH 261,060 kilogram (kg) baja bernilai RM104,424 dirampas dari sebuah gudang di Jalan Padang Hang, Alor Setar, Kedah semalam kerana disyaki cuba diseleweng pihak tertentu bagi meraih keuntungan mudah.

    Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup (KPDN) Kedah, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya menerima serahan kes tersebut daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi yang membuat serbuan di lokasi tersebut kira-kira pukul 11 pagi semalam.

    Katanya, seramai lapan individu terdiri daripada enam warganegara tempatan dan dua warga asing berusia antara 18 hingga 57 tahun, ditahan bagi tujuan siasatan lanjut.

    “Hasil soal siasat mendapati premis berkenaan tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada pengawal bekalan berkaitan pemilikan barang kawalan berkenaan.

    “Susulan itu sebanyak 261,060 kg baja, sebuah lori, sebuah mesin jahit, sebuah alat timbang, empat jentera pengangkut, dan satu ikatan plastik baja yang disyaki digunakan untuk tujuan penyelewengan barang kawalan itu turut dirampas dengan nilai rampasan keseluruhan bernilai RM269,174,” katanya.

    Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

    “Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua, individu berkenaan boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Bagi pertubuhan perbadanan pula boleh didenda tidak lebih RM2 juta untuk kesalahan pertama dan RM5 juta untuk pertuduhan kedua,” katanya.

    Menurutnya, pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang-barang kawalan sedemikian.

    “Tindakan tegas akan diambil termasuklah mendakwa mereka di mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan
    1961 (Akta 122) dan Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) (Akta 613).

    “Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613, mereka yang terlibat boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan tersebut dilakukan, atau RM5 juta, bergantung mana yang lebih tinggi,” katanya.

  • Majoriti bukan Islam faham peraturan, isu dicipta bagi persepsi negatif – Pegawai MB Kelantan

    Majoriti bukan Islam faham peraturan, isu dicipta bagi persepsi negatif – Pegawai MB Kelantan

    MAJORITI bukan Islam termasuk mereka yang bekerja dan berniaga faham peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan.

    Pegawai Khas Menteri Besar Kelantan, Lau Chin Chua, berkata ini termasuk isu membabitkan etika pakaian di tempat awam serta premis perniagaan.

    “Bukan Islam di Kelantan sebenarnya faham setiap peraturan. Cuma yang jadi isu, mereka nak cipta persepsi negatif…itu sahaja.

    “Dalam kawasan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) tertakluk bawah peraturan dan undang-undang. Sudah dijelaskan pakaian untuk orang yang bekerja dalam premis perniagaan mesti sopan.

    “Tetapi apabila pekerja itu berpakaian tak sopan, tidak menjadi kesalahan dia disaman (kompaun),” katanya, lapor FMT.

    Beliau menjelaskan peraturan mengenai pakaian terpakai kepada semua termasuk Islam dan bukan Islam di negeri ditadbir Pas itu.

    Media semalam melaporkan seorang peniaga wanita bukan Islam berusia 35 tahun dikompaun kerana ‘berpakaian tidak sopan’, ketika pegawai penguat kuasa MPKB melakukan pemeriksaan mengejut di premis miliknya, kelmarin.

    Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin berkata, wanita itu didapati berseluar pendek di tempat awam, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 34(2)(b) Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019, yang menyatakan pemilik perniagaan bukan Islam dan pekerja bukan Islam mereka perlu ‘berpakaian sopan’.

    Mengulas lanjut, Lau berkata kompaun itu dikenakan kerana individu terbabit ‘berpakaian seolah-olah tidak berseluar’.

    “Dia pakai seluar kecil sampai orang ingat dia tak pakai seluar, pakai baju sahaja. Kemudian dia tukar seluar, tunjuk gambar dia kena saman (jadi tular).

    “Cuba tipu masa kena saman pakai seluar lain, lepas kena saman pakai seluar lain. MPKB sebelum nak saman dia tangkap gambar dulu,” katanya.

    Katanya, isu itu tular selepas ia sengaja diperbesarkan pihak tertentu untuk memberi imej buruk kepada kerajaan PAS Kelantan bagi tujuan politik.

    “Bukan Islam di Kelantan tidak ditekan atau ditindas, tidak sama dengan persepsi dicipta sesetengah pihak. Kami diberi kebebasan selagi tidak bertentangan undang-undang.

    “Kalau mana-mana pihak tidak mendapat gambaran sebenar silalah datang ke Kelantan, lihatlah sendiri betapa harmoninya kehidupan bukan Islam di sini,” katanya.

  • Warga emas mati dalam longkang, sepasang kekasih didakwa di mahkamah

    Warga emas mati dalam longkang, sepasang kekasih didakwa di mahkamah

    SEPASANG kekasih didakwa di Mahkamah Majistret, di Melaka hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas di tepi jalan di Ayer Keroh, April lalu.

    Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Muhammad Faris Amjad Jamalludin, 24, dan teman wanitanya, Noorbaizura Mohd Fuad, 34, setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

    Mereka didakwa secara bersama-sama telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang lelaki, Tan Kue Seng, 71, kira-kira pukul 7 pagi sehingga 9 pagi di tepi Jalan Gapam, Ayer Keroh di Melaka pada 9 April lalu.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 22 Ogos depan sebagai sebutan semula kes, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Muhammad Faris didakwa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam atas dua pertuduhan merompak warga emas berusia 69 tahun sehingga menyebabkan mangsa cedera dan melarikan beg tangan seorang wanita berusia 34 tahun.

    Kesalahan itu dilakukan di Taman Kota Laksamana pada 22 Mac 2023 dan di Taman Kesidang, di Melaka pada 8 April lalu.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan serta penjara sehingga 14 tahun dan denda serta sebat bagi hukuman di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 1 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

    Sinar Harian pada 11 April lalu melaporkan kebimbangan keluarga terhadap seorang lelaki warga emas yang tidak pulang ke rumah berakhir apabila ditemui mati dalam longkang di Jalan Gapam.

    Mayat Tan Kue Seng ditemukan oleh warisnya bersama motosikal jenis Demak EX90 yang ditunggang mangsa ketika keluar dari rumah di Taman Ozana Impian, Bukit Katil, di sini pada jam 8 pagi.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, sebelum kehilangan warga emas itu, mangsa sempat memberitahu anaknya mahu ke sebuah kedai kopi di Bemban Jasin untuk bersarapan.

  • Penonton TikTok ditegur kerana sentuh isu 3R, kata Fahmi

    Penonton TikTok ditegur kerana sentuh isu 3R, kata Fahmi

    Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyangkal laporan yang menyatakan beliau mengancam mengambil tindakan terhadap penonton siaran langsungnya di TikTok kerana menyiarkan komen mengkritik dirinya dan kerajaan.

    Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, beliau mengingatkan penonton supaya tidak membuat kenyataan berunsur provokasi berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).

    “Berkenaan 3R, saya hanya mengulangi apa yang pernah saya sebut,” katanya memetik laporan FMT.

    “Sama dengan apa (Menteri Dalam Negeri), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail katakan sebelum ini. Saya ingatkan agar orang ramai tidak buat komen-komen 3R yang bersifat menghasut.

    “Apabila saya buat ‘live’ Tiktok dalam acara, selalu komen yang ditinggalkan (penonton) sentuh 3R. Saya dah selalu cakap, pengguna media sosial tidak patut perguna 3R untuk tujuan politik.”

    Terdahulu, MalaysiaNow melaporkan selepas dua jam sesi siaran langsungnya berjalan di TikTok, menteri itu menegur penonton kerana mengejeknya dan mempersoalkan dasar kerajaan.

    Menerusi sesi live di TikTok yang dihoskan oleh Fahmi malam tadi, dikatakan berakhir dengan menteri komunikasi dan digital itu mengancam penontonnya dengan tindakan pihak polis kerana membuat naik komen mengkritiknya dan kerajaan campuran.

    Fahmi yang mengadakan sesi secara langsung selama lebih dua jam di platform media sosial itu dilihat menerima komen negatif termasuk mempersendakannya serta mempersoalkan banyak dasar kerajaan.

    “Semua anda yang masuk dalam live saya dan mengeluarkan kenyataan ini, anda sedang dipantau oleh pihak berkuasa.

    “Jangan marah saya kalau ada panggilan nanti ataupun ada radio car yang singgah di rumah anda. We are monitoring, behave yourself (Kami sedang memantau, jaga kelakuan anda),” kata Fahmi, mengugut penonton dengan tindakan yang terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya.

    Komen yang membanjiri sesi secara langsung ahli politik menjadi kebiasaan sebagai sebahagian daripada trend kempen secara dalam talian.

    Kemarahan Fahmi terhadap pengkritiknya bukanlah kali pertama ahli Parlimen PKR itu mengancam untuk menutup mulut pengkritiknya.

    Pada Mac, beliau mendapat kecaman selepas mengamuk di media sosial berhubung laporan akhbar Berita Harian mengenai kemungkinan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), dan mengumumkan beliau akan bertemu pengurusan akhbar tersebut.

    Fahmi menerima kritikan umum sejak memegang portfolio menterinya, beliau mempersoalkan segala-galanya daripada dapatan tinjauan 100 hari pertama kerajaan hinggalah menuduh platform media sosial sengaja mempromosikan kandungan pembangkang.

    “Saya akan berjumpa dengan akhbar berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.

    “Adakah mereka cuba melakukan promosi atau menipu rakyat?” katanya pada 1 Mac, memberi reaksi kepada tinjauan bersama lima media tempatan yang mendapati hanya 27% responden berpuas hati dengan prestasi kerajaan.

  • Syeikh Zainul Asri beri penjelasan isu ‘musuh Allah’

    Syeikh Zainul Asri beri penjelasan isu ‘musuh Allah’

    Oleh BADLISHAH MAT

    PENCERAMAH bebas, Syeikh Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli tampil membuat penjelasan berhubung ucapannya yang menyebut ‘musuh Allah’ semasa Himpunan Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman, pada Sabtu lalu.

    Syeikh Muhd. Zainul Asri, 54, berkata, isu berkenaan telah disalah tafsir walaupun ucapan tersebut tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.

    “Sebelum itu saya memohon maaf tidak terhingga kepada muslimin dan muslimat serta seluruh rakyat Malaysia yang tersinggung dan tersentuh terhadap ucapan yang berbangkit.

    “Sesungguhnya saya tidak menyasarkan ucapan itu kepada mana-mana kumpulan dan tidak menyebut kepada mana-mana parti politik atau sesiapa sahaja,” katanya dalam klip video di Instagram miliknya.

    Pada Sabtu lalu, ketika menyampaikan Tausiah sempena Himpunan Kedah Berselawat, Syeikh Muhd. Zainul Asri berharap agar ‘Allah mempertahankan negeri ini (Kedah) daripada dijatuhkan oleh musuh-musuh Allah SWT dan dimenangkan agama Allah Swt’.

    Jelas pengasas dan Penasihat Madrasah Darul Sajidin (Darsa) Kuala Nerang itu, beliau merujuk firman Allah ketika mengungkapkan ucapan itu.

    “Tidak akan meredhai golongan yahudi dan golongan nasrani sehinggalah kamu mengikut jejak langkah kehidupan mereka.

    “Jadi itulah yang menjadi tujuan ucapan saya pada malam itu kerana Islam adalah agama yang konsisten dan istiqomah dengan akidah perjuangannya dan menolak sebarang bentuk dakyah dan juga usaha daripada musuh-musuh Islam iaitu yang dimaksudkan dengan golongan yahudi dan nasrani.

    “Mudah-mudahan pencerahan ini akan beri seribu keharmonian kepada kita semua umat Islam dan rakyat malaysia. Marilah kita sama-sama bersatu dan berpadu untuk menjaga agama kita dengan sebaik-baiknya,” katanya.

  • Siasatan kes rasuah lima bekas pegawai menteri di peringkat akhir – Azam Baki

    Siasatan kes rasuah lima bekas pegawai menteri di peringkat akhir – Azam Baki

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini di peringkat akhir menyelesaikan kertas siasatan berkaitan skandal rasuah isu pengambilan pekerja asing membabitkan pegawai Kementerian Sumber Manusia (KSM).

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan dijangka diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh dua minggu.

    “Kes sudah di peringkat akhir siasatan. Di peringkat kami apabila sudah selesai dalam tempoh terdekat mungkin dalam tempoh dua minggu,” katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Hari Integriti 2023, di Dewan Tun Hussien Onn World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur, hari ini.

    Beliau berkata, apa yang penting SPRM tidak melengahkan siasatan kepada mana-mana pihak pun.

    Pada 9 Mei lalu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar mengesahkan bahawa lima pegawainya yang disiasat SPRM sudah ditamatkan kontrak.

    Sivakumar dilaporkan berkata, pemecatan lima pegawainya yang terpalit dalam skandal rasuah membabitkan pengambilan pekerja asing itu dilakukan bagi memastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar.

    Sementara itu, dalam perkembangan lain mengenai ada ahli politik menaungi kegiatan judi di negara ini, Azam berkata, perkara itu masih dalam siasatan awal.

    “Kita sedang menyiasat perkara ini dan laporan baru dibuat dalam bulan lalu. Kita masih lagi mengumpul maklumat.

    “Jadi saya tak boleh dedahkan siapa-siapa ahli politik yang berkenaan tetapi saya boleh sahkan siasatan memang sedang dijalankan. Jika terbukti, ia adalah satu kesalahan,” katanya.

    Ditanya adakah pembabitan itu membabitkan ramai ahli politik, Azam tidak memberikan jumlah inndividu.

    “Adalah dalam beberapa kalangan mereka. Tak boleh kata ramai atau tidak. Nanti akan jadi satu spin off dari banyak pihak pula,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Lelaki swafoto selepas tumbuk pekerja kedai mengaku tak salah

    Lelaki swafoto selepas tumbuk pekerja kedai mengaku tak salah

    PENYELIA tapak pembinaan didakwa di Mahkamah Majistret Bangi atas tuduhan mencederakan seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam di Semenyih, minggu lalu, dalam kejadian tular di media sosial.

    Tertuduh, U.S. Divagaran, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd. Nawawi.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah ke atas lelaki berusia 18 tahun di sebuah kedai serbaneka di Ecohill Taipan, Semenyih, 5 pagi, 20 Jun lalu.

    Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa kepada hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

    Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd. Sulaiman menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

    “Jika mahkamah benarkan jaminan, syarat tambahan tidak mengganggu mangsa hingga kes selesai.

    “Mohon satu tarikh untuk serahan dokumen dan laporan perubatan,” katanya menurut Berita Harian.

    Bagaimanapun, peguam mewakili tertuduh, V. Vickneswari memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung perbelanjaan dan keperluan ibu bapa yang sudah tua.

    Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 15 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan laporan perubatan.

    Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian 5 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun didatangi lelaki berkenaan yang ingin membeli minuman.

    Lelaki itu kemudian mengambil tiga payung dan keluar dari premis tanpa membuat bayaran sebelum berlaku pertengkaran serta menumbuk muka mangsa.

    Dia turut mengambil swafoto bersama mangsa selepas mencederakannya sebelum beredar meninggalkan premis.

  • Bekas setiausaha politik Wan Azizah pula dilantik ketuai syarikat Kementerian Kewangan

    Bekas setiausaha politik Wan Azizah pula dilantik ketuai syarikat Kementerian Kewangan

    BEKAS Setiausaha Politik kepada isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai pengerusi Cyberview Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan yang juga diketuai oleh perdana menteri, dalam satu lagi lantikan politik.

    Datuk Romli Ishak sebelum ini berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Beliau kemudiannya menjadi setiausaha politik kepada Menteri Besar Negeri Sembilan selepas kerajaan PH tumbang, lapor MalaysiaNow.

    Cyberview ditugaskan untuk membangunkan Cyberjaya, bandar yang diwujudkan sebagai sebahagian daripada inisiatif Mahathir untuk menarik syarikat teknologi pada akhir 1990-an.

    Pelantikan Romli, yang merupakan sebahagian daripada Majlis Pimpinan Pusat PKR, diumumkan pada hari yang sama Anwar melantik bapa kepada salah seorang setiausaha politiknya untuk mengetuai MyHSR Corporation Sdn Bhd, sebuah lagi syarikat milik Kementerian Kewangan.

    Bekas ahli Parlimen PKR, Fauzi Abdul Rahman, adalah bapa kepada Farhan Fauzi – setiausaha politik Anwar di Pejabat Perdana Menteri.

    “Dengan lebih tujuh tahun pengalaman dalam tadbir urus korporat dan 15 tahun sebagai usahawan teknologi, semangat Dato’ Romli untuk keusahawanan dan pembangunan bakat telah menjadikannya mentor dan penasihat yang dicari-cari dalam industri teknologi dan inovasi,” menurut Cyberview dalam satu kenyataan sewaktu mengalu-alukan pelantikan Romli semalam.

  • Rusuhan kuil Seafield 2018: 17 lelaki dibebaskan

    Rusuhan kuil Seafield 2018: 17 lelaki dibebaskan

    MAHKAMAH majistret di Petaling Jaya hari ini membebaskan 17 lelaki tanpa memanggil mereka membela diri terhadap tuduhan merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 2018.

    Majistret Iskandar Zainol memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie berhubung kejadian pada November tahun itu yang menyaksikan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim.

    Peguam 17 individu berkenaan, S. Kirthiraj mengesahkan keputusan itu ketika dihubungi, sambil menambah bahawa mahkamah jenayah mendapati saksi pendakwaan gagal mengenal pasti tertuduh berikutan kesukaran membuat pengecaman pada kejadian yang berlaku pada awal pagi tersebut.

    Peguam itu berkata, mahkamah mendapati bukan sahaja tiada pengecaman positif oleh saksi, malah keterangan mereka semasa peringkat perbicaraan adalah tidak boleh dipercayai dan tidak konsisten, lapor Malaysiakini.