Category: Semasa

  • Sultan Selangor tarik balik tauliah mengajar agama aktivis politik

    Sultan Selangor tarik balik tauliah mengajar agama aktivis politik

    SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan tauliah mengajar agama Islam di Selangor yang diberikan kepada mana-mana aktivis politik ditarik balik berkuat kuasa 31 Disember ini.

    Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, selaras dengan titah Sultan Sharafuddin itu, Jawatankuasa Tauliah MAIS akan menyemak semula semua tauliah mengajar agama Islam yang telah dikeluarkan kepada pemegang tauliah dan mana-mana tauliah yang telah diberikan kepada aktivis politik di negeri ini ditarik balik.

    Bagaimanapun, katanya, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor yang memegang portfolio agama Islam masih boleh menyampaikan pengajaran agama Islam dengan syarat ia tidak menyentuh hal berkaitan politik dalam perkara yang disampaikan.

     “Sultan Selangor menitahkan agar agama Islam tidak dipolitikkan dan dijadikan sebagai bahan politik oleh mana-mana pihak di negeri ini khususnya di masjid dan surau.

    “Bagi menjaga kesucian agama Islam di negeri Selangor, baginda tidak perkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik kerana dikhuatiri ia boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam serta mencemarkan agama Islam di negeri ini,” katanya.

    Abdul Aziz menegaskan, mengajar agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (negeri Selangor) 2003 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 119 Enakmen sama.

    “Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Selain itu, mana-mana orang yang bertindak dengan cara menghina kuasa yang sah, atau mengingkari atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam berhubung dengan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam bagi mana-mana aktivis politik juga adalah merupakan suatu kesalahan di bawah perenggan 12(a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

    “Jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” tegasnya.

  • Tamparan untuk Shafie Apdal, dua ADUN Warisan  termasuk Peter Anthony tinggalkan parti

    Tamparan untuk Shafie Apdal, dua ADUN Warisan termasuk Peter Anthony tinggalkan parti

    TIDAK sampai dua minggu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal begitu bersemangat mengembangkan sayap parti Warisan ke Semenanjung, hari ini parti tersebut mendapat satu lagi tamparan.

    Ia berikutan keputusan Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony meninggalkan parti itu dan menubuhkan parti tempatan baharu. Turut bersama Peter hari ini ialah ADUN Limbahau, Juil Nuatim yang turut mengumumkan beliau meninggalkan Warisan.

    Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, parti baharu itu akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Difahamkan, Peter bakal menubuhkan parti Kemakmuran Demoktratik Majmuk dengan membawa akronim Parti KDM.

     KDM juga merupakan akronim bagi masyarakat Kadazan Dusun dan Murut.

    Peter merupakan  wakil rakyat keempat daripada Warisan meninggalkan parti pimpinan Mohd Shafie Presiden.

    Terdahulu, tiga termasuk dua pemimpin kanan Warisan bertindak meninggalkan parti itu.

    Pada 25 Februari lalu, ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir mengumumkan keluar parti atas alasan Warisan masih mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat.

    Awal Oktober lalu, ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob mengumumkan keluar daripada Warisan untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan dan diikuti Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin ketapi pada 30 Oktober.

  • Polis buka kertas siasatan majlis perkahwinan selebriti langgar SOP

    Polis buka kertas siasatan majlis perkahwinan selebriti langgar SOP

    POLIS membuka kertas siasatan berhubung penularan video yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook memaparkan majlis perkahwinan pasangan selebriti di Genting Highlands yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

    Menerusi video berdurasi 41 saat yang tular itu mendapati terdapat tetamu yang hadir tidak memakai pelitup muka serta tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaihan Mohd Kahar memaklumkan, polis akan mengesan dan mengenal pasti kesemua individu yang hadir dalam majlis tersebut.

    Katanya, kes disiasat di bawah Perkara 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

    Beliau turut meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden ini.

     Terdahulu pada 27 Disember malam, polis menerima laporan berkaitan video berkenaan.

    Hasil siasatan mendapati majlis tersebut berlangsung pada 15 Disember sekitar jam 8.30 malam di sebuah vila di Genting Highlands.

  • Anggota polis masih bertugas ketika rumah sendiri dinaiki air

    Anggota polis masih bertugas ketika rumah sendiri dinaiki air

    MUHSEN  Bujang, 34, sedang menjalankan tugasnya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Taman Gemilang pada 18 Dis ketika menerima panggilan dari isterinya bahawa kediaman mereka di Kampung Cemperai dinaiki air.

    Anggota dari Balai Polis Dengkil itu tiba di rumah kira-kira setengah jam selepas itu dan mendapati air telah naik sehingga paras lutut dan hanya mampu menyelamatkan dokumen penting dan keluarganya, memandangkan air naik terlalu cepat.

    “Saya gunakan bot untuk ke rumah ketika itu, dan sebelum itu isteri sempat mengalihkan kereta manakala motosikal saya terperangkap di kawasan rumah,” kata bapa tiga anak itu kepada pemberita selepas menerima sumbangan mangsa banjir daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

    Muhsen merupakan salah seorang daripada 39 warga IPD Sepang yang terjejas akibat banjir pada 19 Dis lepas dan rata-rata mereka dari kawasan Dengkil, Kampung Labu Lanjut, dan Kampung Cemperai.

    Kata Muhsen, hampir 90% barangan dalam rumah rosak dan tidak dapat diselamatkan memandangkan air naik setinggi lapan kaki (2.4 meter). Ketika ini air telah surut dan beliau masih bercuti untuk mengemas rumahnya.

    Terdahulu, Ketua Polis Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof, menyampaikan sumbangan barangan berupa tilam dan bantal, makanan, dapur gas, peralatan mencuci rumah beserta wang tunai hasil kutipan dari warga IPD Sepang kepada semua 39 mangsa.

    “Kita dapat kumpul wang sebanyak RM12,500 manakala sumbangan barangan adalah daripada syarikat korporat, orang persendirian dan badan bukan kerajaan,” katanya.

    Wan Kamarul Azran yang turut bersimpati dengan anggota yang terkesan banjir berkata atas budi bicara dan dasar prihatin, mereka diberi cuti pelepasan mengikut keperluan bagi kerja pembersihan di rumah masing-masing.

    “Apabila banjir bermula Jumaat (17 Dis), kita sendiri perlu bantu masyarakat yang terjejas dan selepas seminggu, kami mula fokus pada anggota sendiri yang juga mangsa banjir,” katanya.

    Sepang merupakan salah satu kawasan yang terjejas teruk akibat banjir dan sehingga kini dua mangsa masing-masing ditemukan lemas di Flat Taman Permata, Dengkil dan Bandar Baru Salak Tinggi. – BERNAMA

  • Polis Kelantan tembak mati dua penjenayah di Gua Musang

    Polis Kelantan tembak mati dua penjenayah di Gua Musang

    POLIS menembak mati ketua kumpulan jenayah dikenali sebagai kumpulan “Adik Mat” dan seorang ahli kumpulan itu dalam satu serbuan di pondok dua tingkat di kawasan hutan Kampung Batu Papan, Gua Musang, kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

    Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata kedua-dua lelaki berumur 29 dan 36 tahun dari Gua Musang yang mendalangi kejadian samun bersenjata api, ugutan jenayah serta mengedar dadah, dan aktif melakukan kegiatan jenayah sejak tahun 2018 itu, mati di lokasi kejadian selepas berbalas tembakan dengan polis.

    Beliau berkata polis turut menemui dua pucuk pistol jenama LLama semi auto dan revolver selain 41 peluru hidup, tujuh biji kelongsong peluru dan 1,200 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM12,000 dalam serbuan itu.

    “Bertindak atas maklumat, serbuan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Khas Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan dan bantuan dari anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang. 

    “Selepas menyedari kehadiran pihak polis, kedua-dua suspek melepaskan beberapa das tembakan kearah pasukan serbuan, dalam situasi membalas tembakan dan mempertahankan diri, pasukan serbuan membalas tembakan yang menyebabkan kedua-dua mereka rebah dan mati,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini hari ini.

    Shafien berkata kedua-dua penjenayah ini biasanya menggunakan senjata api untuk kegiatan menyamun serta mengugut dengan melepaskan tembakan ke udara.

    “Dengan tertumpasnya kumpulan ‘Adik Mat’ ini pihak polis percaya telah dapat menyelesaikan lima hingga lapan kes jenayah samun di negeri ini dengan jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM20,000,” katanya dan menambah polis sedang memburu beberapa lagi ahli kumpulan ini yang masih bebas.

    Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati suspek berusia 29 tahun yang juga ketua kumpulan berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau sebanyak tiga kes jenayah samun dan pukul selain sembilan kes dadah, manakala seorang lagi suspek mempunyai empat rekod lampau kes dadah.

    Shafien berkata kes sedang disiasat mengikut seksyen 307 Kanun Keseksaan, 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971,8 (A) Akta Senjata Api 1960. 

  • Banjir: Jumlah mangsa di Selangor turun, empat negeri kekal

    Banjir: Jumlah mangsa di Selangor turun, empat negeri kekal

    JUMLAH mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor terus berkurangan pagi ini manakala di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan tidak berubah sejak malam tadi.

    Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pagi ini, jumlah keseluruhan mangsa di kelima-lima negeri ialah 20,026 orang daripada 6,136 keluarga di 130 PPS  berbanding 21,544 orang  daripada 6,563 keluarga malam tadi.

    Di SELANGOR, aplikasi InfoBencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 7,751 orang di 39 PPS pagi ini berbanding 8,644 orang di 45 pusat PPS malam tadi.

    Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula memaklumkan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat berada pada tahap waspada dengan paras 3.66 meter pada 7.15 pagi tadi dan dalam trend menurun.

    Sementara itu, Polis Selangor memaklumkan terdapat enam laluan masih dinaiki air, rosak dan ditutup untuk kenderaan melibatkan seliaan lima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu.

    Setakat 4 pagi tadi, jalan yang ditutup ialah Jambatan FT 31 Dengkil-Banting (IPD Sepang), Jalan Genting Peras-Kuala Klawang (IPD Kajang) dan Jalan BRP 7/2 Bukit Rahman Putra yang ditutup susulan berlubang akibat banjir (IPD Sungai Buloh).

    Turut ditutup, jambatan menghala ke Lapang Sasar, Subang susulan rosak serta Jalan PJU 7, hadapan MRT, Mutiara Damansara (IPD Petaling Jaya) manakala Jalan Kuala Kubu Bharu-Bukit Fraser menghala ke Peretak dibuka untuk kenderaan ringan sahaja (IPD Hulu Selangor).

    Di PAHANG, aplikasi InfoBencana JKM memaklumkan 12,692 orang kekal berada di 90 PPS di enam daerah iaitu Bentong, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan, sejak malam tadi.

    Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Kundang di Maran mencatatkan paras 21.17 meter pagi ini iaitu melebihi tahap amaran pada paras 21 meter.

    Jabatan Meteorologi meramalkan cuaca mendung di Kuantan dan Pekan pada pagi ini manakala cuaca baik di daerah lain terjejas banjir. 

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir kekal 152 orang daripada 46 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh dan SK Gual Periok, di Pasir Mas, setakat 7 pagi tadi.

    Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya.

    Jumlah mangsa banjir di MELAKA pula, pada 8 pagi tadi kekal seramai 26 orang daripada lapan keluarga sejak malam tadi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya PPS SK Penghulu Benteng di Jasin dibuka bagi menempatkan semua mangsa.

    Jumlah mangsa banjir turut tidak berubah di NEGERI SEMBILAN apabila Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor memaklumkan 58 orang daripada 19 keluarga masih berada di dua PPS di Jelebu sejak malam tadi hingga pagi ini. – BERNAMA

  • Malaysia hampir capai 80 peratus lengkap divaksin

    Malaysia hampir capai 80 peratus lengkap divaksin

    PROGRAM Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan oleh kerajaan bermula pada 24 Februari 2021 ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri terus menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila Malaysia hampir mencapai sasaran 80 peratus atau 26,125,920 populasi keseluruhan lengkap divaksinasi.

    Biarpun masih ada 220 Lebih membanggakan pencapaian itu

    Lebih membanggakan  sasaran 80 peratus atau 2,536,600 populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun lengkap divaksinasi sudah dicapai, pada 10 November lalu.

    Pencapaian itu dipaparkan dalam portal COVIDNOW yang menunjukkan  78.4 peratus atau 25,589,542 populasi keseluruhan lengkap divaksinasi, 1.2 peratus (391,442) belum lengkap manakala  20.4 peratus (6,676,416) tiada pelalian COVID-19.

    Semalam juga mencatatkan sebanyak 120,092 dos penggalak dan 128,433 dos harian diberikan yang membawa kepada jumlah kumulatif masing-masing 5,577,262 dos penggalak serta 56,951,412 dos harian.

    Sementara itu jumlah vaksinasi harian itu menunukkan 5,102 lengkap divaksinasi dan 3,239 dos pertama.

    Angka vaksinasi harian bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun terus mencatatkan peningkatan kepada 87.3 peratus atau 2,747,938 orang.

    Seramai 93,646 atau tiga peratus populasi sama direkodkan belum lengkap divaksinasi, manakala 305,916 lagi atau 9.7 peratus tiada vaksinasi.

  • Kepala air, bukan EKVE punca banjir Hulu Langat – MB Selangor

    Kepala air, bukan EKVE punca banjir Hulu Langat – MB Selangor

    MENTERI Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata banjir di Hulu Langat berpunca daripada kepala air yang turun dari kawasan pergunungan sekitar.

    Amirudin berkata, kepala air itu turut membawa longgokan sampah dan kayu-kayan sehingga ke kawasan Batu 14, Sungai Lui dan sekitarnya.

    Beliau juga memaklumkan, tidak menerima maklumat bahawa pembinaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) dipercayai antara faktor menyebabkan banjir di kawasan Hulu Langat seperti yang dilaporkan media semalam.

    “Yang pastinya daripada maklumat awal yang saya perolehi, saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu (EKVE menjadi punca banjir). Daripada taklimat awal yang diperolehi saya, ia berpunca daripada kepala air yang jatuh dari kawasan pergunungan sekitar,” katanya pada sidang media khas berhubung perkembangan banjir di Selangor, hari ini.

    Dalam perkembangan sama, Amirudin mengakui kerja-kerja pembinaan sebatang tiang untuk sebuah projek lebuh raya di kawasan Kampung Asahan, Kuala Selangor, dekat sini telah memutuskan sebuah ban di kampung itu lalu menyebabkan air melimpah.

    “Saya sendiri datang ke Kuala Selangor dan kita dapati ada satu tiang untuk membina sebuah lebuh raya telah memotong satu ban di Kampung Asahan.

    Sebab itu air melimpah di Kampung Asahan dan sejak semalam banyak air sudah berjaya dikeluarkan daripada kawasan itu. Insya-Allah akan berlaku penyurutan air yang signifikan,” katanya. – BERNAMA

  • Syarikat didenda RM50,000 gagal pastikan keselamatan pekerja

    Syarikat didenda RM50,000 gagal pastikan keselamatan pekerja

    SEBUAH syarikat pembinaan didenda maksimum RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah gagal memastikan keselamatan dan kebajikan pekerjanya sehingga menyebabkan seorang pekerja warga Indonesia meninggal dunia.

    Hakim Rofiyah Mohammad menjatuhkan hukuman itu ke atas Syarikat HAB Construction Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya Haw Wei Sheng, 32, selaku orang kena saman (OKS) selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Rofiyah tidak membenarkan penangguhan bayaran dan memerintahkan denda itu dijelaskan hari ini.

    Mengikut pertuduhan, syarikat itu sebagai majikan didakwa telah gagal untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja kepada semua pekerjanya sebagaimana yang perlu semasa pengoperasian kren menara sehingga menyebabkan kemalangan pekerja ditimpa oleh struktur kren menara.

    Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di tapak cadangan pembangunan bercampur di Persiaran Multimedia, Seksyen 7, Shah Alam pada 10.30 pagi, 2 Jan 2018 mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta dihukum mengikut Seksyen 19 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

    Dalam kejadian itu mangsa Matrais, 38, telah meninggal dunia dan tiga lagi pekerja Sudami (Indonesia), 50, dan dua warga Bangladesh, Toffazal Hossain, 41, dan Raja Miah,33, mengalami kecederaan selepas kren tumbang di tapak pembinaan berkenaan.

    Ketika rayuan, syarikat itu yang diwakili peguam Arif Asyraf Mohd Khairi memohon dikenakan denda minimum dengan alasan pihak OKS memberi kerjasama yang baik sepanjang perbicaraan berjalan.

    “Atas rasa tanggungjawab, OKS juga telah membayar pampasan RM10,000 kepada pihak keluarga si mati serta urusan penghantaran jenazah ke Indonesia selain tiga yang lain turut ditanggung sepanjang menerima rawatan di hospital.

    “Saya juga memohon, sekiranya mahkamah dapat menggunakan budi bicara memberikan tempoh waktu sekurang-kurangnya dalam minggu ini bagi pihak OKS menyempurnakan denda tersebut,” katanya.

    Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JPKKP) Selangor, Mohd Nizam Teh Kamaruddin memohon hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam selain kematian pekerja itu supaya memberi pengajaran kepada OKS serta majikan lain.

    Dalam prosiding itu, pendakwaan turut dikendalikan Pegawai Pendakwa JPKKP Selangor Maizura Yusof dan Mohd Khairi Mohd Yatim manakala tertuduh turut diwakili peguam Mohd Khairul Brian dan Muhamad Syah Azlan.

    Seramai lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 22 April 2021 selain sebanyak 37 eksibit dikemukakan sepanjang kes itu berlangsung. – Bernama

  • Banjir kilat Pekan Kajang, Taman West Country

    Banjir kilat Pekan Kajang, Taman West Country

    PARAS air Sungai Langat di Pekan Kajang dan Taman West Country, Hulu Langat kini berada pada paras bahaya dan semakin menaik.

    Peringatan itu dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) petang tadi.

    “Dinasihatkan agar penduduk sentiasa waspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” kata JPS.

    Rakaman video dan gambar situasi banjir kilat di sekitar Pekan Kajang juga tular dalam media sosial.