Category: Semasa

  • MAINJ sumbang setengah juta ringgit bantu mangsa banjir

    MAINJ sumbang setengah juta ringgit bantu mangsa banjir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAJLIS Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menyumbang barang keperluan dan wang tunai keseluruhan melibatkan peruntukan RM500,000 untuk mangsa banjir di beberapa negeri.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, sumbangan itu melibatkan kotak makanan dan sejumlah wang tunai.

    “Ekoran banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini, MAINJ telah bertindak menyalurkan sumbangan kepada beberapa negeri yang terjejas iaitu Selangor, Pahang dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

    “Sumbangan berkenaan melibatkan 2,000 kotak makanan bagi mangsa banjir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 2,000 kotak makanan di Selangor dan sumbangan wang tunai RM100,000 ke negeri Pahang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Pihaknya berharap sumbangan tersebut akan dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir di negeri berkenaan.

  • Selangor nafi ban pecah punca banjir besar

    Selangor nafi ban pecah punca banjir besar

    KERAJAAN Selangor menolak dakwaan bahawa ban pecah serta pembinaan sebuah projek perumahan berdekatan pintu air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam, Selangor menjadi punca kawasan itu dilanda banjir teruk pada 18 Disember lalu.

    Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Izham Hashim menegaskan, banjir itu berlaku akibat limpahan air susulan hujan lebat.

    “Semua maklum bahawa fenomena banjir baru-baru ini adalah luar biasa yang mana taburan hujan adalah 400 milimeter (mm), sedangkan kita hanya mampu menampung sekitar 80 hingga 100mm saja. 

    “Isu ban tidak timbul kerana air memang melimpah di beberapa kawasan susulan hujan lebat. Perancangan kerajaan negeri ialah menaikkan satu lagi ban di bawah jejantas Lebuh Raya Kemuning Shah Alam (LKSA) serta menaik taraf ban sedia ada,” katanya pada sidang media.

    Bagaimanapun, Izham berkata, pihaknya mengesan dua lokasi mengalami ban pecah, iaitu di Kampung Lombong, Seksyen 29, serta Kampung Asahan, Kuala Selangor, dan tindakan segera sudah diambil untuk menanganinya.

    Terdahulu, tular rakaman video menunjukkan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Selangor, Datuk Nazilah Idris, mempersoalkan pelaksanaan sebuah projek perumahan baharu berdekatan kunci air di kawasan Taman Sri Muda yang didakwa menjadi punca utama banjir di kawasan itu. 

    Melalui rakaman itu, Nazilah turut mendakwa terdapat ban yang pecah sehingga menyebabkan limpahan air Sungai Klang.

    Mengulas lanjut, Izham menjelaskan, projek perumahan terbabit adalah sah dan mendapat kebenaran merancang daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 2015.

    “Projek berkenaan diluluskan selepas mematuhi spesifikasi ditetapkan, termasuk berkaitan faktor jarak dengan rizab dan mempunyai kolam takungan bawah tanah. Justeru, ia tiada kaitan langsung dengan punca banjir di sini,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri sudah meluluskan pembinaan pintu air baharu bagi mengurangkan risiko banjir di Taman Sri Muda.

    Pintu air berkenaan akan dilengkapi pam yang mampu mengepam keluar 5,100 liter air per saat, sekali gus mengurangkan risiko air melimpah ke kawasan perumahan penduduk.

  • Cuba seludup dadah RM1.8 juta dalam tayar basikal guna kurier

    Cuba seludup dadah RM1.8 juta dalam tayar basikal guna kurier

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine bernilai kira-kira RM1.8 juta ke luar negara yang disorokkan di dalam tayar basikal kanak-kanak.

    Taktik sindiket itu berjaya dibongkar susulan serbuan JKDM Pulau Pinang di sebuah syarikat kurier di Butterworth kira-kira pukul 6 petang pada 22 Disember lalu.

    Menurut Pengarah JKDM Pulau Pinang, Abdul Halim Ramli, dalam serbuan itu pihaknya menjumpai sebanyak 104 bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi hablur kristal disyaki dadah jenis methamphetamine disorokkan di dalam tayar basikal terbabit yang dimuatkan di dalam 10 buah kotak.

    Ujar beliau, kotak yang beralamat di Pulau Pinang itu cuba dikirimkan menggunakan perkhidmatan kurier ke salah sebuah negara di kepulauan Oceania.

    Jelasnya, pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati kesemua bungkusan plastik itu merupakan dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat kasar kira-kira 18 kilogram dengan harga pasaran RM1,802,800.

    “Siasatan lanjut termasuk memastikan sama ada alamat yang digunakan oleh pengirim benar-benar wujud atau sebaliknya masih dijalankan dan setakat ini juga belum ada sebarang tangkapan berhubung kes ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

    Menurut Abdul Halim, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu mengedar dadah dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung mandatori.

    Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai membantu JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan sebagainya serta tidak melibatkan diri dengan aktiviti berkenaan.

    Tambahnya, mereka yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan boleh menghubungi talian bebas tol kastam di talian 1-800-88-8855 atau membuat laporan di mana-mana pejabat JKDM terdekat.

  • Sambutan tahun baharu 2022 berskala besar di Pulau Pinang tidak dibenarkan

    Sambutan tahun baharu 2022 berskala besar di Pulau Pinang tidak dibenarkan

    SAMBUTAN tahun baharu 2022 berskala besar seperti di padang awam atau di mana-mana kawasan terbuka di Pulau Pinang tidak dibenarkan sama sekali untuk dianjurkan.

    Bagaimanapun, orang ramai masih boleh meraikan sambutan tahun baharu itu secara kecil-kecilan di tempat tertutup dan boleh dikawal penjarakan fizikal.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Sofian Santong berkata, keputusan itu adalah berdasarkan arahan terkini Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang melarang sambutan tahun baharu berskala besar di tempat terbuka dalam tempoh ketika ini.

    Sehubungan itu jelas beliau, pihaknya berharap orang ramai akan mematuhi arahan tersebut bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin apatah lagi Pulau Pinang sudah mencatatkan kes positif varian Omicron.

    “Polis juga akan mengadakan operasi secara ‘omnipresence’ melibatkan semua jabatan bermula malam sambutan tahun baharu untuk memastikan arahan serta prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi semua pihak.

    Asisten Komisioner Sofian Santong

    “Seramai 146 pegawai dan 821 anggota akan ditugaskan sepanjang operasi ini berlangsung bagi memastikan keselamatan awam terjaga,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di Georgetown hari ini.

    Dalam pada itu Sofian berkata, polis turut menjangkakan berlaku peningkatan aliran trafik di Pulau Pinang sehingga 40 peratus bermula esok sehingga hujung minggu ini.

    Jelas beliau, kawasan-kawasan tumpuan pelancong seperti di daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai juga dijangka berlaku kesesakan ekoran pertambahan pelancong.

    “Sehubungan itu, kita meminta pemilik premis perniagaan makanan supaya mengehadkan jumlah pelanggan di dalam kedai dan memastikan SOP sentiasa dipatuhi.

    “Anggota polis akan sentiasa berada di lokasi-lokasi ‘hot spot’ atau tumpuan pelancong untuk memantau keadaan dan memastikan orang ramai tidak bersesak-sesak,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai merancang perjalanan ke Pulau Pinang dan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati terdapat pelanggaran undang-undang dan pematuhan SOP.

  • Ismail Sabri akan rombak Kabinet?

    Ismail Sabri akan rombak Kabinet?

    *Dijangka lebih tertumpu kepada kedudukan menteri, timbalan menteri Perikatan Nasional

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bakal mengumumkan rombakan Kabinet pertamanya sejak memegang jawatan utama itu pada Ogos lalu, yang mungkin menjadi ujian sejauh mana beliau berjaya dalam memimpin gabungan kerajaan itu ketika perbalahan antara Bersatu dan kumpulan UMNO diketuai Najib Razak terus memuncak.

    MalaysiaNow melaporkan, portal itu difahamkan rombakan Kabinet itu mungkin berlaku seawal bulan depan walaupun satu sumber dalaman UMNO berkata rombakan barisan anggota Kabinet tersebut tidak akan dilaksanakan secara besar-besaran.

    Bagaimanapun tumpuan akan diberikan kepada Bersatu, menteri dan timbalan menteri daripada Perikatan Nasional (PN).

    Sebarang perubahan dari sudut keseimbangan parti-parti dalam Kabinet ketika ini perlu memastikan gabungan kerajaan itu tetap utuh walaupun perbalahan dan serangan terus berlaku terutamanya antara UMNO dan Bersatu.

    Dari sudut itu, sumber rapat dengan pentadbiran Ismail Sabri memaklumkan kepada portal tersebut usahanya untuk mengimbangi antara kedua-dua gabungan itu bagi mengekalkan kesatuan Kabinetnya lebih sukar daripada apa yang pernah dialami Tun Dr Mahathir Mohamad.

    “Dalam kes Mahathir, wujud perbalahan yang berterusan antara Bersatu dan PKR, namun semua itu didiamkan walaupun kesatuan yang ditunjukkan itu terbukti tidak kekal lama.

    “Bagi Ismail Sabri pula, beliau perlu berdepan dengan pimpinan partinya yang berterusan menyerang menteri-menteri yang ada dalam Kabinet beliau. Kemenangan UMNO di Melaka baru-baru ini menyebabkan tekanan semakin hebat terhadap Ismail Sabri untuk mengenepikan sekali gus meletakkan menteri-menteri daripada PN ke jawatan yang lebih rendah,” kata sumber itu.

    Baru-baru ini, Najib melancarkan serangan terbuka terhadap Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz ketika bekas perdana menteri itu meningkatkan gesaan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

    “Usahlah dengar nasihat menteri kewangan ketinggalan zaman PN,” kata Najib.

    Akan tetapi mengenepikan parti-parti selain UMNO adalah tindakan “bunuh diri” bagi Ismail Sabri ketika lebih 50 ahli Parlimen PN adalah antara yang menyokong dan sekali gus memastikan beliau memegang jawatan perdana menteri.

    Ismail Sabri dilihat tidak dengar apa ‘bossku’ cakap

    Satu sumber mengatakan walaupun Ismail Sabri menjadi “perdana menteri secara kebetulan”, beliau sedar kesan politik jika dilihat cenderung bersama atau bersekutu dengan Najib.

    “Setakat ini, beliau berjaya tunjukkan dirinya tidak dengar apa yang diperkatakan Bossku,” kata sumber itu, merujuk gelaran yang digunakan Najib.

    “Beliau juga hanya berikan peranan kecil kepada Najib sebagai penasihat ekonomi, sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan musuh utama Najib diberikan kuasa besar dengan jawatan penting menangani pelan pemulihan pasca pandemik.

    “Dengan nasib politik Najib, begitu juga Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat malap ekoran perbicaraan kes rasuah mereka, Ismail Sabri tahu bagaimana untuk tangani suara-suara dari luar,” tambahnya.

    Sama ada rombakan akan menjejaskan kedudukan PN dalam jawatan utama Kabinet hanya satu bahagian daripada isu itu.

    Ismail  Sabri juga perlu menguruskan kumpulan anti Najib yang wujud dalam UMNO, kata sumber itu lagi.

    “Mereka termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Shahidan Kassim,  Tan Sri Annuar Musa, belum lagi pemimpin-pemimpin parti komponen (BN) yang sudah menunjukkan mereka tidak mahu dipimpin Najib dan Zahid.”

    Kebanyakan anggota Kabinet Umno, MCA dan MIC menolak cadangan Najib dan Zahid untuk keluar daripada kerajaan yang dipimpin Muhyiddin ketika kemuncak kempen dua pemimpin Umno itu bagi menumbangkan kerajaan PN Julai lalu.

    Dengan ketetapan mahkamah bahawa Najib bersalah dalam kes rasuahnya, sementara Zahid juga dilihat bakal menerima nasib yang sama, Ismail  Sabri memiliki peluang untuk meneruskan tugasnya sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum yang mesti diadakan dalam tempoh 17 bulan dari sekarang.

    Sehingga saat itu, sama ada beliau akan menjadi Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah masih belum dapat dipastikan.

  • PDRM buru ahli perniagaan dalang sindiket edar dadah

    PDRM buru ahli perniagaan dalang sindiket edar dadah

    SATU waran tangkap dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap seorang ahli perniagaan yang disyaki dalang dalam aktiviti pengedaran dadah.

    Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, ahli perniagaan itu kini dipercayai berada di luar negara
    dan PDRM sudah memaklumkan perkara itu kepada Polis Antarabangsa (Interpol).

    “Interpol akan membantu mengesan suspek yang dipercayai berada di sebuah negara di Asia. Suspek berkenaan menjalankan perniagaan yang sah dalam industri perhotelan dan perkapalan untuk menutup kegiatan pengedaran dadahnya.

    “Sebelum suspek melarikan diri dari negara ini, Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah merampas kontena berisi dadah di Pelabuhan Klang pada tahun ini.

    “Kita percaya dadah yang dirampas itu untuk diedarkan di utara Semenanjung Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.

    Sementara itu, Razarudin berkata, sebanyak 279 sindiket berjaya ditumpaskan pada tahun ini dengan 1,147 ahli sindiket diberkas.

    “Kebanyakan sindiket yang ditumpaskan adalah sindiket antarabangsa termasuk beberapa individu disyaki ‘kingpin’ ditahan,” katanya.

  • Arab Saudi wajibkan semula pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal

    Arab Saudi wajibkan semula pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal

    KERAJAAN Arab Saudi mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di kesemua tempat tertutup dan terbuka bermula Khamis.

    Agensi Berita Saudi (SPA) yang memetik sumber Kementerian Dalam Negeri (MoI) Saudi melaporkan keputusan itu dibuat selepas kes harian jangkitan Covid-19 di negara itu kembali melonjak.

    Sehingga semalam, Arab Saudi mencatatkan 602 kes jangkitan baharu, 147 kes sembuh dan satu kematian.

    Pada Okt lepas, Arab Saudi mengumumkan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 antaranya individu yang sudah divaksin sepenuhnya tidak perlu lagi memakai pelitup muka di tempat awam terbuka.

    MoI menjelaskan semua prosedur dan arahan semasa tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa kesihatan, berdasarkan perkembangan situasi epidemiologi tempatan dan global.

    MoI turut mengulangi gesaan supaya orang ramai mematuhi langkah berjaga-jaga dan segera melengkapkan dos vaksinasi mereka. – BERNAMA

  • Pemandu Alza bawa tiga kanak-kanak secara berbahaya ditahan

    Pemandu Alza bawa tiga kanak-kanak secara berbahaya ditahan

    POLIS menahan seorang wanita bagi membantu siasatan mengenai video tular menerusi media sosial memaparkan sebuah kereta Perodua Alza membawa tiga penumpang kanak-kanak secara berbahaya.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata wanita berusia 34 tahun itu merupakan pemandu kereta tersebut dan membawa ketiga-tiga kanak-kanak terbabit dengan mengeluarkan separuh badan mereka di bahagian penumpang hadapan dan belakang dalam keadaan kenderaan sedang bergerak.

    Beliau berkata tingkah laku mereka merupakan satu tindakan yang amat berbahaya dan boleh mendatangkan kemalangan serta membahayakan nyawa atau keselamatan diri dan orang lain.

    Menurut Mohd Zaid, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain dan jika disabitkan, boleh dihukum penjara selama tempoh tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya sekali.

    “Orang ramai diminta supaya sentiasa memastikan keselamatan kanak-kanak dikawal serta dipantau oleh orang dewasa.

    “Sebarang maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-5156933 atau balai polis berdekatan,” katanya.

    Semalam, satu video tular menerusi media sosial yang memaparkan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu secara berbahaya dengan membiarkan tiga kanak-kanak mengeluarkan badan mereka ketika kenderaan sedang bergerak.

    — BERNAMA

  • Bukit Changgang, Bentong jadi kawasan angkat KPLB bantu pasca banjir

    Bukit Changgang, Bentong jadi kawasan angkat KPLB bantu pasca banjir

    DUA kawasan yang terjejas teruk akibat bencana banjir iaitu Kampung Bukit Changgang di Banting dan daerah Bentong, Pahang, dijadikan ‘Kawasan Angkat’ kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk misi bantuan pasca banjir.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, seramai 600 kakitangan KPLB dan agensi di bawahnya akan dihantar sebagai sukarelawan untuk misi bantuan khas tersebut.

    “Kementerian Pembangunan Luar Bandar mengambil tanggungjawab itu dengan menjadikan kawasan Kampung Bukit Changgang di daerah Banting dan juga daerah Bentong di Pahang sebagai Kawasan Angkat untuk kita salurkan bantuan pasca banjir.

    ”Selain menghantar sukarelawan bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir di kawasan berkenaan, kita juga ada menyediakan bantuan dalam bentuk barangan keperluan hidup,” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan pasca banjir di Kampung Batu Kapor dan Sungai Buloh, Mentakab hari ini.

    Turut hadir Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.

    Mahdzir berkata, seramai 300 sukarelawan KPLB masing-masing akan ditempatkan di Bukit Changgang dan juga di daerah Bentong untuk membantu penduduk membersihkan kediaman yang terjejas termasuk membaiki pendawaian elektrik diikuti proses penilaian kerosakan untuk kerja-kerja baik pulih.

    Beliau juga memaklumkan KPLB memperuntukkan RM15,000 untuk kerja-kerja baik pulih bagi setiap rumah penduduk yang layak menerima bantuan.

    ”Manakala bantuan bina baharu rumah pula diperuntukkan sebanyak RM56,000 bagi setiap rumah,” katanya.

    Sementara itu, Mahdzir memaklumkan pihak KPLB di seluruh negeri yang terjejas banjir, sedang mengumpul data termasuk penduduk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), jalan kampung, jalan perhubungan desa, jambatan, longkang, surau, taska dan tabika serta ameniti sosial lain di bawah seliaan kementerian itu.

    Data berkenaan katanya, amat penting dan perlu segera dilengkapkan bagi memudahkan KPLB merangka pelan pembaikan dan juga peruntukan kos.

    “Kalau boleh ada senarai segera dan memang layak, dia ada orang yang sahkan, contohnya di kampung itu ada tujuh rumah, kampung sana ada lapan rumah, itu yang kita nak senarai dan data itu.

    ”Yang mana yang dah dapat data itu kita boleh laksanakan (bantuan baik pulih) RM15,000 dan kalau Bina Baharu RM56,000. Butiran satu negara belum dapat lagi tetapi ada daerah yang kita dah dapat seperti Hulu Langat sebahagiannya kita dah dapat,” katanya.

    Dalam lawatan kerja pasca banjir ke Pahang ini, Mahdzir turut menyampaikan bantuan pasca banjir iaitu 2,000 selimut toto dan 2,000 dapur gas sumbangan KPLB kepada mangsa banjir di negeri itu.

    Beliau juga menyerahkan pelbagai barangan keperluan hidup seperti lampin, minyak masak, tuala wanita, air mineral, beras, sejadah dan telekung, sumbangan UMNO Bahagian Padang Terap.

  • Ketua balai bomba Kimanis parah dalam kemalangan

    Ketua balai bomba Kimanis parah dalam kemalangan

    KETUA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Paris Satu, Kinabatangan, pukul 3 petang tadi.

    Mohd. Johainin Ruslan, 35, dan seorang lagi individu yang belum dikenal pasti identitinya mengalami kecederaan parah.

    Isteri Johainin, Norlela Mohd Firdaus, 35, serta anak mereka, Nur Damia Maisarah, 7; Muhammad Muhyiddin Irfan, 6, dan adik kepada Norlela, Nurul Yusra, 20, hanya mengalami cedera ringan.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.13 petang.

    Beliau memberitahu, lapan mangsa dilaporkan terbabit dalam kemalangan itu dan tujuh anggota dari BBP Kinabatangan dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 43 kilometer dari balai bomba itu.

    “Kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax, lori dan Perodua Alza.

    “Terdapat lapan mangsa dilaporkan terlibat iaitu dua cedera parah, empat cedera ringan manakala dua lagi selamat,” katanya ketika dihubungi.

    Katanya lagi, semua mangsa dihantar ke Hospital Kinabatangan menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.

    “Mangsa sebelum itu turut diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) manakala mangsa yang parah dirujuk ke Hospital Sandakan untuk rawatan lanjut,” katanya.