Category: Semasa

  • Ops Ambang 2022: Polis rampas 350 kg ketum, keluar 299 kompaun

    Ops Ambang 2022: Polis rampas 350 kg ketum, keluar 299 kompaun

    POLIS menahan dua lelaki dan merampas daun ketum seberat 350 kilogram (kg) serta pelbagai jenis dadah seberat 325 gram (g) yang kesemuanya bernilai RM28,621 dalam tiga serbuan di sekitar ibu kota malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, dalam serbuan pertama di sebuah pangsapuri di Jalan Klang Lama, polis menahan seorang suspek selepas menemukan beberapa jenis dadah antaranya serbuk MDMA seberat 169g, methamphetamine (27.5g), serbuk ketamin (18.31g), pil erimin 5 (2.85g) dan pil ecstacy (37.87g) di dalam pangsapuri berkenaan.

    Beliau berkata, dalam serbuan kedua di kawasan berhampiran Pasar Sri Sentosa Jalan Seri Sentosa pula polis berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 45g, methamphetamine (10g), ganja (17g) dan menahan seorang lagi suspek.

    “Di lokasi ketiga serbuan di Persiaran Zaaba, Taman Tun Dr Ismail polis berjaya menemukan daun ketum seberat 350 kg dan ubat batuk sebanyak 8,230 mililiter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu Amihizam berkata, polis mengeluarkan 299 kompaun dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah ‘Ops Ambang 2022’ di sekitar Jalan Telawi, Bangsar, Solaris dan di sekitar Bandar Baru Sri Petaling, bagi kesalahan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Beliau berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 637 individu dan 33 buah premis perniagaan di kawasan terbabit dalam operari itu.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Delhan Yahaya berkata 12 orang dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana melanggar SOP di sekitar kawasan Bukit Bintang ketika ambang tahun baharu 2022 semalam kerana tidak mengendahkan amaran yang dikeluarkan oleh polis supaya tidak berhenti dan berkumpul di kawasan terbabit.

    “Walaupun dalam keadaan hujan renyai ketika waktu puncak ambang tahun baru 2022 pihak kami menganggarkan seramai 700 hingga 1,000 orang mula hadir sekitar kawasan ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota seperti di Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan KLCC mendapati kawasan itu yang menjadi tumpuan ketika menyambut ambang tahun baharu dipenuhi pengunjung dari pelbagai bangsa.

    Pihak polis turut kelihatan mengawal keselamatan di kawasan-kawasan berkenaan. – BERNAMA

  • Jalan ke kubur dinaiki air: Anggota keselamatan bantu bawa jenazah dengan bot

    Jalan ke kubur dinaiki air: Anggota keselamatan bantu bawa jenazah dengan bot

    DISEBABKAN laluan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang dinaiki air hari ini, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu membantu membawa jenazah seorang wanita yang meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sri Bayas, Setiu, malam tadi.

    Menurut Ketua BBP Setiu, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Razli Rapiae, pihaknya menerima panggilan pukul 10.15 pagi bagi membawa jenazah warga emas tersebut ke tanah perkuburan berkenaan.

    “Difahamkan warga emas berusia 86 tahun itu meninggal dunia di kediamannya akibat sakit tua dan telah disahkan oleh pihak kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Laluan ke tanah perkuburan di Jambatan Seri Bayas mula dinaiki air sejak awal pagi tadi menyebabkan keluarga berkenaan mengalami kesulitan untuk membawa keluar jenazah.

    “Pihak bomba dengan seramai 10 anggota dibantu empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berjaya membawa jenazah tersebut ke tanah perkuburan dengan menaiki bot penyelamat,” katanya.

    Beliau berkata, operasi bermula jam 10.15 pagi itu tamat pukul 11.50 pagi.

  • 8.6 juta saman selesai sepanjang tempoh tawaran diskaun

    8.6 juta saman selesai sepanjang tempoh tawaran diskaun

    SEBANYAK 8.6 juta saman trafik telah diselesaikan sepanjang tempoh pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 Dis hingga semalam.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia menunjukkan tawaran diskaun saman yang dilaksanakan itu menerima sambutan tinggi daripada masyarakat memandangkan jumlah keseluruhan saman yang diselesaikan sepanjang 2021 adalah sebanyak 12.2 juta saman.

    “Ini menggambarkan orang ramai betul-betul mengambil peluang tawaran diskaun tersebut untuk menyelesaikan saman tertunggak mereka,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Banjir di Kampung Jongok Batu, di Dungun hari ini.

    Ditanya sama ada tempoh tawaran diskaun tersebut akan dilanjutkan, Acryl Sani berkata, pihaknya tidak bercadang berbuat demikan memandangkan kaunter pembayaran trafik di seluruh negara dilihat lengang mulai penghujung bulan lepas.

    Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku Pengerusi Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana berpuas hati dengan peranan yang dimainkan semua agensi berkaitan dalam pengendalian situasi banjir di seluruh negara dan kesemuanya mengikuti Arahan No 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN 20), termasuk di peringkat negeri.

    “Berdasarkan arahan ini semua agensi akan terlibat. Maknanya semua agensi terlibat melalui konsep ‘gotong-royong’. Di peringkat kontinjen pun telah diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Tindak Balas Operasi Bencana yang ketua polis negeri telah memanggil semua agensi berkaitan untuk berbincang dan memperincikan peranan mereka.

    “Setakat ini, saya berpuas hati dan maklum balas yang saya terima daripada ketua-ketua polis negeri didapati persiapan dan persediaan telah dibuat. Kita sama-sama berdoa supaya apa yang telah dirancang berjalan dengan lancar,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata sebanyak 50 mangsa korban banjir dicatatkan setakat hari ini manakala dua lagi mangsa iaitu di Telemong dan Bentong, Pahang masih hilang sejak bencana itu melanda di beberapa negeri bulan lepas. – BERNAMA

  • 157 dikompaun RM157,000 termasuk dua remaja langgar SOP PPN

    157 dikompaun RM157,000 termasuk dua remaja langgar SOP PPN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 157 individu termasuk dua remaja bawah umur dikenakan kompaun keseluruhan berjumlah RM157,000 setelah didapati asyik berhibur di dua premis hiburan di Taman Molek dan Taman Johor Jaya, Johor Bahru, tengah malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Mohd. Sohaimi Ishak berkata, dalam Ops Noda/Bersepadu Musim Perayaan dan Tahun Baharu itu, pemeriksaan dijalankan terhadap kesemua individu berusia 16 hingga 66 tahun.

    “Dalam kedua-dua serbuan, seramai 157 warga tempatan terdiri daripada 143 pelanggan, 12 pekerja dan dua penjaga premis telah diperiksa.

    “Kesemua warga tempatan telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang. Nilai keseluruhan kompaun adalah sebanyak RM157,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Seramai 157 warga tempatan terdiri daripada 143 pelanggan, 12 pekerja dan dua penjaga premis telah diperiksa di dua buah pusat hiburan

    Katanya, daripada jumlah itu seramai 12 lelaki dan empat wanita warganegara asing diperiksa untuk semakan ketulenan passport di Jabatan Imigresen.

    Selain itu katanya, siasatan mendapati pusat hiburan terbabit tidak mempunyai Lesen Hiburan Awam dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Johor dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

    Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

    “Operasi secara berterusan bagi mengawal dan memantau semua pusat-pusat hiburan di Daerah Seri Alam akan diteruskan.

    “Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak atau individu yang cuba menjalankan operasi pusat hiburan tanpa mengikut undang-undang sedia ada,” ujarnya.

  • Ops Ambang Tahun Baharu Pulau Pinang, 253 ditahan polis

    Ops Ambang Tahun Baharu Pulau Pinang, 253 ditahan polis

    POLIS Pulau Pinang menahan seramai 253 individu atas pelbagai kesalahan dalam Op Ambang Tahun Baharu 2022 yang dijalankan di seluruh negeri itu bermula pukul 9 malam hingga 4 pagi tadi.

    Daripada jumlah itu, seramai 144 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan melibatkan narkotik dengan pelbagai jenis dadah bernilai RM17,338 turut dirampas.

    Mereka yang ditahan itu termasuk 16 individu yang disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis heroin seberat 112.2 gram bernilai RM3,997.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, Op Ambang Tahun Baharu 2022 itu melibatkan kekuatan 146 pegawai kanan dan 821 anggota polis dari kelima-lima ibu pejabat polis daerah (IPD) di negeri itu.

    “Seramai 36 individu pula ditahan atas kesalahan jenayah manakala lima individu yang mempunyai rekod jenayah dikehendaki turut berjaya ditahan.

    “Di samping itu, kita turut menahan tiga individu di bawah Akta Bahan Letupan 1957 kerana membakar mercun tanpa kebenaran serta 26 individu lagi atas kesalahan di bawah Enakman Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998.” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis (IPK) kontinjen Pulau Pinang hari ini.

    Dalam pada itu Rahimi berkata, secara keseluruhannya operasi tersebut telah memeriksa seramai 8,164 individu dan 4,929 buah kenderaan.

    Ujarnya, polis turut mengeluarkan sebanyak 1,301 saman serta menyita 52 buah motosikal atas pelbagai kesalahan trafik selain menahan tiga individu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

  • Lelaki lemas selepas bot terbalik ketika memukat ikan

    Lelaki lemas selepas bot terbalik ketika memukat ikan

    SEORANG lelaki lemas manakala dua rakannya selamat selepas bot yang dinaiki terbalik ketika memukat ikan di Ladang Rakyat, Mak Lagam, Chukai, hari ini.

    Mangsa, Saiful Anuar Mustaffa, 40, dihanyutkan arus deras pada pukul 9.18 pagi namun ditemukan semula oleh rakannya.

    Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Azman Alias berkata, mangsa bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia.

    “Sementara dua rakan mangsa yang terselamat ialah Hafizuddin Rawi, 27, dan Tuan Zamri Tuan Din, 24.

    “Ketika kejadian, kesemua mereka sedang memukat ikan di kawasan terbabit sebelum bot berkenaan terbalik.

    “Mangsa dikatakan dihanyutkan arus, manakala dua rakannya itu sempat menyelamatkan diri, ” katanya ketika dihubungi.

    Mangsa katanya, hanyut tidak jauh dari lokasi kejadian dan sempat dibawa naik oleh rakannya sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Cheneh untuk mendapatkan rawatan.

    “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan sepasukan anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa sudah ditemui rakannya,” katanya.

    Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

  • Johor dilanda banjir, jumlah mangsa 4 negeri meningkat

    Johor dilanda banjir, jumlah mangsa 4 negeri meningkat

    SELEPAS Sabah malam tadi, Johor pula menjadi negeri seterusnya dilanda banjir membabitkan pembukaan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Segamat yang menempatkan seramai 456 mangsa daripada 133 keluarga setakat 8 pagi ini.

    Jumlah mangsa banjir di empat negeri pula iaitu Sabah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu mencatatkan peningkatan.

    Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R. Vidyananthan berkata PPS berkenaan dibuka mulai lewat malam tadi susulan hujan berterusan di daerah berkenaan sejak semalam.

    “PPS yang dibuka ialah Balai Raya Kampung Sermin, Balai Raya Kampung Lembah Bakti, Dewan Serbaguna Pekan Air Panas, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun, Balai Raya Kampung Paya Lenga, Balai Raya Kampung Paya Lebar, Balai Raya Kampung Gelang Chinchin, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang dan Dewan Serbaguna Jalan Genuang.

    “Kawasan terjejas melibatkan Kampung Sermin, Kampung Lembah Bakti, Kampung Pekan Air Panas, Kampung Paya Lenga, Kampung Paya Lebar, Kampung Gelang Chinchin, Kampung Tenang dan Kampung Sedeng,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menerusi laman web rasmi public infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) https://publicinfobanjir.water.gov.my, aras air Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat telah melebihi tahap bahaya iaitu 20.11 meter (m), manakala Sungai Lenik di Kampung Chaah, Segamat telah melebihi tahap amaran dengan 5.58 m setakat 8.15 pagi ini.

    Sementara itu, aras air Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur, Tangkak, juga telah melebihi paras bahaya yang mencatatkan 4.16 m, pagi ini.

    Di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 504 mangsa daripada 167 keluarga pagi ini berbanding 73 mangsa daripada 17 keluarga malam tadi dalam bencana banjir di daerah Kota Marudu dan sebuah PPS baharu dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek menempatkan 253 mangsa daripada 97 keluarga manakala PPS SK Teritipan menempatkan 251 mangsa daripada 70 keluarga.

    “Jumlah kemasukan mangsa ke PPS terus bertambah ekoran keadaan paras air masih tinggi. Pasukan pemantau telah membuat pemantauan di kampung-kampung yang telah dinaiki air,” menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah menerusi kenyataan hari ini.

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir meningkat kepada 138 individu daripada 41 keluarga yang berada di sembilan PPS termasuk Surau Kampung Gedok, SK Felda Palong 1 dan Dewan Desa Dangi, setakat 8 pagi ini.

    Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan seramai 295 individu yang terperangkap dalam banjir di Felda Jelai 4 di Gemas, Kampung Tengah, Kampung Geduk, Kampung Tenai, dan Kampung Baru Geduk di Gemencheh, Felda Palong 1 di Bahau, Kampung Kuala Johol, Kuala Pilah serta Kampung Tanah Datar Hilir dan Teha Homestay di Seri Menanti, diselamatkan oleh anggotanya sejak awal pagi tadi.

    Jumlah mangsa banjir di KELANTAN mencatatkan sedikit peningkatan setakat 8 pagi ini, apabila seramai 1,129 individu terjejas berbanding 1,128 orang semalam yang ditempatkan di 18 PPS melibatkan tiga jajahan iaitu 11 di Kuala Krai, enam di Jeli dan satu di Tanah Merah, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Sementara itu, portal rasmi info banjir JPS melaporkan hanya satu sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai merekodkan bacaan 25.27 m.

    Hari ketiga banjir di TERENGGANU menyaksikan jumlah mangsa terus meningkat kepada 451 orang daripada 128 keluarga pagi ini berbanding 433 orang daripada 123 keluarga malam tadi.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memberitahu satu lagi PPS di daerah Dungun dibuka menjadikan jumlah keseluruhan PPS adalah empat buah.

    “PPS itu ialah Dewan Orang Ramai Kampung Minda yang dibuka tengah malam tadi menempatkan 18 mangsa daripada lima keluarga. Tiga PPS lain kekal dengan jumlah sama iaitu surau Kampung Ban Ho di Kemaman (43 mangsa, lapan keluarga), Dewan Serbaguna Kampung Shukur, Dungun (225 mangsa, 60 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dungun (165 orang, 55 keluarga),” menurut kenyataan itu.

    Di PAHANG, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan seramai 2,030 mangsa masih berada di 32 PPS melibatkan enam daerah pagi ini.

    Hujan lebat berterusan menyebabkan tujuh PPS kembali dibuka di Raub sebagai persediaan awal, namun setakat awal pagi ini hanya satu PPS iaitu di SK Ulu Atok dihuni oleh 35 orang daripada lapan keluarga.

    JPS melaporkan dua sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lipis di Batu Malim, Raub dan Sungai Serting di Padang Gudang, Bera dengan kedua-duanya menunjukkan trend menaik.

    Enam sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut; Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub); Sungai Lipis di Benta (Lipis), Sungai Triang di Chemomoi (Bentong); Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran dan Sungai Kechau di Kampung Dusun (Lipis).

    Di SELANGOR, setakat 11 malam tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir atau hujan lebat bakal berlaku di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak.

    Di MELAKA, sebanyak 96 mangsa daripada 29 keluarga dipindahkan ke dua PPS berikutan banjir yang kembali melanda Alor Gajah malam tadi.

    Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra dalam kenyataan berkata 15 mangsa daripada lapan keluarga menghuni Balai Raya Gadek yang dibuka pada 3.30 pagi tadi manakala 81 daripada 21 keluarga dipindahkan ke SMK Seri Pengkalan yang dibuka pada 7 pagi ini.

    “Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) juga kini dibuka pada 7 pagi dan mangsa sedang dalam proses pendaftaran,” katanya.

    Ketiga-tiga PPS yang ditutup Khamis lepas dibuka semula hari ini berikutan banjir kembali melanda daerah Alor Gajah. – BERNAMA

  • TMJ melawat mangsa banjir di Segamat

    TMJ melawat mangsa banjir di Segamat

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melawat mangsa banjir di Dewan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun, SJKC Sawah Baru dan SK Kampung Tenang, Segamat, awal pagi ini.

    Tunku Ismail tiba pada pukul 2 pagi disambut oleh Pegawai Daerah Segamat, Nasri Md. Ali dan Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrin Mohd. Noh.

    Tunku Mahkota Johor turut beramah mesra dengan mangsa banjir di pusat berkenaan yang menempatkan 196 mangsa membabitkan 51 keluarga.

    “Alhamdulillah, barang-barang bantuan telah diagihkan kepada mangsa banjir dan suasana di sini semuanya terkawal,” kata Tunku Ismail dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tunku Ismail yang meluangkan masa kira-kira dua jam kemudian berangkat pulang pada pukul 4 pagi.

    Segamat menjadi daerah pertama terjejas banjir di Johor melibatkan 456 mangsa daripada 133 keluarga dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 8 pagi tadi.

  • Daftar baharu, kemas kini BKM mulai hari ini hingga 31 Jan

    Daftar baharu, kemas kini BKM mulai hari ini hingga 31 Jan

    TARIKH pendaftaran baharu dan kemas kini Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dibuka mulai hari ini hingga 31 Jan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

    Beliau berkata, ia bertujuan memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan dapat mengemukakan permohonan masing-masing dan penerima sedia ada yang mempunyai sebarang perubahan maklumat juga berpeluang membuat pengemaskinian.

    “BKM pada 2022 akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, data penerima BPR 2021, penerima Bantuan Khas COVID (BKC) B40 2021 dan pemohon BPR 2021 yang tidak lulus atas alasan menerima Geran Khas Prihatin akan dibawa secara automatik ke dalam sistem BKM untuk disemak silang kelayakan mengikut syarat yang ditetapkan.

    Selain itu, data agensi kerajaan lain merangkumi data e-Kasih, bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penghuni Perumahan Awam atau Projek Perumahan Rakyat di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan turut dibawa ke dalam sistem BKM.

    Turut akan disemak, kelayakan data Orang Asli Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), gelandangan berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan DBKL, ibu tunggal berdaftar dengan KPWKM, penerima Skim Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan penerima zakat atau Baitulmal di Lembah Klang.

    Pemohon BKM boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik dalam portal rasmi BKM https://bkm.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut. – BERNAMA

  • Umrah tangguh: Bincang bayaran balik bagi bakal jemaah

    Umrah tangguh: Bincang bayaran balik bagi bakal jemaah

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang mengadakan perbincangan dan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan bagi membantu bakal jemaah yang terkesan susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan umrah bermula 8 Jan ini. 

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia termasuk berbincang dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), sama ada jemaah diberi pembayaran balik atau dijadualkan semula perjalanan mereka.

    “Memang kita dah bincang dengan mereka bagaimana mereka yang terkesan ini dapat sama ada menjadualkan semula umrah mereka dan langkah untuk dapat bayaran balik selain kita juga akan terus adakan sesi libat urus dengan agensi pelancongan.

    “Saya minta maaf kepada mereka yang nak pegi umrah tetapi mudarat yang besar adalah kesihatan awam…tidak ada menteri beragama Islam yang ingin tangguhkan ibadah umrah, tetapi ini perkara yang serius, ini bukan tweet di media sosial, ini bukan video di Tiktok, ini adalah kehidupan anda,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

    Kerajaan hari ini menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan bagi membendung penularan Omicron, susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin di tempat kediaman.

    Ditanya mengenai kos kuarantin wajib di pusat kuarantin yang akan dikenakan kepada jemaah umrah, Khairy berkata mereka mempunyai pilihan sama ada untuk menanggung sendiri bayaran kos kuarantin di hotel yang akan disenaraikan oleh KKM atau menjalani kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan kerajaan.

    Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sedang menguruskan stesen kuarantin yang sesuai dan selesa untuk menempatkan para jemaah dan berkemungkinan melibatkan kemudahan kerajaan yang telah digunakan sebagai pusat kuarantin sebelum ini.

    Dalam pada itu, Khairy berkata KKM sedang mengkaji berkenaan suntikan dua dos vaksin COVID-19 jenis Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer-BioNTech yang didakwa menunjukkan tindak balas imun yang rendah melawan Omicron, berbanding varian lain.

    “Kita telah terima berita tersebut, kumpulan teknikal sedang mengkaji maklumat yang diperoleh dan mereka akan buat syor kepada CITF (Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19).

    “Sama ada mereka yang telah terima Sinovac, Sinovac, Pfizer mesti dilengkapi dengan satu dos lagi, tetapi masih terlalu awal untuk buat apa-apa kesimpulan buat masa ini tetapi kita dah tahu berita tersebut dan sedang dikaji,” katanya.

    Media melaporkan kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik dari Universiti Yale, Kementerian Kesihatan Republik Dominican serta beberapa institusi lain mendapati dua suntikan vaksin Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer-BioNTech menunjukkan tindak balas imun yang rendah melawan Omicron, berbanding varian lain. – BERNAMA