Category: Semasa

  • Pengoperasian sekolah terbabit banjir dimaklum Isnin ini

    Pengoperasian sekolah terbabit banjir dimaklum Isnin ini

    MAKLUMAT mengenai pengoperasian institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Kelantan dan Sarawak yang terbabit banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), akan dimaklumkan Isnin ini.

    KPM dalam kenyataan hari ini menyatakan maklumat lanjut mengenai pengoperasian institusi itu akan dikeluarkan setelah mengambil kira kesediaan untuk beroperasi.

    “KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” menurut kenyataan itu.

    Selain itu, KPM memaklumkan pengumuman mengenai ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bawahnya bagi Sesi Persekolahan Penggal 3 2021/2022 sebelum ini adalah membabitkan institusi pendidikan bawah KPM seluruh negara, termasuk Kelantan dan Sarawak.

    Hal ini kerana terdapat pertanyaan mengenai pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM bagi Sesi Persekolahan Penggal 3 2021/2022 di Kelantan dan Sarawak yang akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 3 Januari.

    “Oleh yang demikian, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM akan bermula pada 9 Januari 2022 bagi negeri Kelantan dan pada 10 Januari 2022 bagi negeri Sarawak.

    “Pengoperasian dan kehadiran murid adalah mengikut ketetapan yang telah diumumkan melalui kenyataan media KPM pada 31 Disember 2021.

    “Ketetapan ini dibuat setelah mengambil kira kesediaan institusi pendidikan di Kelantan dan Sarawak untuk memulakan pengoperasian mengikut tarikh pembukaan sekolah tersebut,” menurut kenyataan itu lagi. – Bernama

  • Agensi pelancongan minta kerajaan timbang semula keputusan tangguh umrah

    Agensi pelancongan minta kerajaan timbang semula keputusan tangguh umrah

    BEBERAPA persatuan agensi pelancongan meminta kerajaan agar mempertimbangkan semula keputusannya menangguhkan perjalanan rakyat negara ini untuk mengerjakan ibadah umrah.

    Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS), Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, penangguhan itu akan menyebabkan bakal jemaah umrah yang telah membuat tempahan dan pembayaran kepada agensi pelancongan menanggung kerugian kewangan besar.

    “Sebelum dapat visa umrah, agensi perlu membuat pembayaran melalui sistem e-wallet yang disediakan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, selepas bayar untuk kos pengangkutan bas dan hotel barulah keluar visa umrah.

    “Kalau ada berlaku penundaan di pihak Malaysia maka amaun yang telah dibayar tidak akan dikembalikan, serta agensi pelancongan tidak boleh membuat pembayaran semula kepada jemaah. Jadi diharap apa sahaja kerugian ditanggung oleh jemaah dan agensi wajar diambil kira,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

    Turut hadir, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Ab Rahman Mohd Ali dan Naib Presiden Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Mohd Azri Abd Razak.

    Sementara itu, Ab Rahman berkata, anggaran kos kerugian yang perlu ditanggung jemaah yang telah berdaftar ekoran penundaan itu dianggarkan sebanyak RM210 juta.

    Menurutnya, agensi pelancongan juga bakal berhadapan dengan tuntutan tribunal ataupun mahkamah sivil daripada bakal jemaah umrah, bagi menuntut bayaran yang telah dibuat akibat penangguhan perjalanan umrah terbabit.

    “Untuk makluman, tuntutan bayaran balik untuk penangguhan umrah pada 18 Mac 2020 masih ada yang belum dapat diselesaikan, jadi penundaan yang baru diumumkan bakal memberi impak besar kepada agensi-agensi pelancongan,” katanya.

    Sementara itu, Razali turut mencadangkan agar para jemaah umrah diberi keutamaan mendapat suntikan dos penggalak, sekiranya pihak kerajaan menarik semula keputusan penangguhan perjalanan jemaah umrah berkenaan.

    “Kami juga memohon agar pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah kaunter ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sewaktu ketibaan jemaah dan menambah bilangan kakitangan KKM yang bertugas agar proses dipercepatkan,” katanya.

    Semalam, kerajaan memaklumkan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan bagi membendung penularan varian Omicron, susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin di tempat kediaman. – BERNAMA

  • Jumlah mangsa banjir Johor, Melaka, NS terus meningkat

    Jumlah mangsa banjir Johor, Melaka, NS terus meningkat

    JOHOR, Melaka dan Negeri Sembilan terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir, manakala tiga lagi negeri mencatatkan penurunan jumlah mangsa setakat petang ini.

    Di JOHOR, mangsa banjir meningkat kepada 1,080 orang daripada 271 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 658 orang daripada 192 keluarga tengah hari tadi, dengan Tangkak menjadi daerah terbaharu terjejas bencana itu.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan dalam kenyataan berkata, semua mangsa kini ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah, iaitu Segamat dan Tangkak.

    “Terdapat pertambahan 10 PPS lagi dengan sembilan di Segamat manakala satu lagi di Tangkak. PPS yang baharu dibuka di Segamat ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tah Kang, Balai Raya Kampung Awat, Balai Raya Taman Bukit Lentang, Balai Raya Kampung Jabi 1, Balai Raya Jalan Pemuda, Balai Raya Tungku Tiga, Balai Raya Kampung Sekijang, Sekolah Agama Mukim Jabi dan Sekolah Agama Gemereh.

    “Di Tangkak pula, PPS yang dibuka ialah Sekolah Agama Bandar Tangkak yang menempatkan seramai 17 mangsa,” katanya.

    Vidyananthan berkata, tiga sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Segamat di Bandar Segamat dengan paras air direkodkan pada 9.64 meter (m), Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat, di paras 20.95m dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur di paras 4.32m, setakat 3.15 petang ini.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 507 mangsa membabitkan 134 keluarga pada 4 petang ini, berbanding 382 mangsa daripada 100 keluarga pada 12 tengah hari tadi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra dalam satu kenyataan berkata, semua mangsa kini ditempatkan di lapan PPS, iaitu di Balai Raya Gadek, Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Jelatang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, Surau Kampung Jeram, SMK Lubok China, Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, SK Alor Gajah 1 dan SK Krubong.

    Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan jumlah mangsa banjir di 11 PPS meningkat kepada 1,437 individu daripada 353 keluarga setakat 4 petang ini.

    Di TERENGGANU, situasi banjir semakin baik petang ini dengan penurunan jumlah mangsa kepada 165 orang daripada 49 keluarga, berbanding 451 orang daripada 128 keluarga, tengah hari tadi.

    Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, jumlah PPS masih kekal di empat lokasi iaitu tiga di Dungun dan satu di Kemaman.

    “Jumlah mangsa di Dungun berkurangan kepada 155 orang daripada 47 keluarga iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Shukor (68 orang, 20 keluarga), Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dungun (69 orang, 22 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda (18 orang, lima keluarga).

    “Jumlah mangsa di Kemaman iaitu di surau Kampung Ban Ho juga berkurang kepada 10 orang daripada dua keluarga petang ini. Bagaimanapun, penduduk dinasihatkan terus berwaspada dengan perubahan cuaca serta patuh arahan pihak berkuasa untuk berpindah,” katanya.

    Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal rasmi https://publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan, stesen bacaan tiga sungai di tiga daerah masih melepasi paras amaran iaitu Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun; Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu dan Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut.

    Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan, jumlah mangsa banjir menurun sedikit petang ini kepada 2,026 berbanding 2,161 orang tengah hari tadi.

    Kesemua mangsa banjir ditempatkan di 40 PPS di daerah Lipis, Raub, Bentong, Temerloh, Rompin, Bera, Pekan dan Maran, manakala PPS di Kuantan telah ditutup hari ini.

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan paras air empat sungai telah melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Dong di Kampung Peruas di Raub, Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang (Bera), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran) dan Sungai Kechau di Kampung Dusun (Lipis).

    Selain itu, aras air di beberapa stesen telah melebihi paras amaran antaranya di Jerantut melibatkan Kuala Tahan, Paya Gintong, Sungai Pahang di Sungai Yap, Sungai Tembeling di Kuala Tahan selain Kuala Medang dan Sungai Lipis di Benta, Lipis.

    Turut melepasi tahap amaran, Sungai Pahang di Kuala Krau (Temerloh), Sungai Lepar di Jambatan Gelugor (Kuantan) dan Sungai Lipis di Batu Malim (Raub).

    Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan setakat 5 petang ini, apabila seramai 331 orang daripada 115 keluarga berbanding 482 orang daripada 154 keluarga, tengah hari tadi.

    Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) memaklumkan sebanyak lima PPS dibuka melibatkan dua jajahan iaitu empat di Kuala Krai dan satu di Jeli.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan, tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya, yang mana empat sungai sahaja merekodkan bacaan paras amaran iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai, Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas, Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas.

    Di SABAH, lapan kampung di Kota Marudu disahkan terjejas manakala mangsa banjir kekal 504 mangsa daripada 167 keluarga petang ini.

    Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memberitahu, kampung terjejas itu ialah Kampung Asin-Asin; Kampung Beliajung; Kampung Tingkalanon; Kampung Tongkungon; Kampung Taritipan; Kampung Morion; Kampung Tandek; dan Kampung Popok laut.

    Menurut sekretariat itu, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek menempatkan 253 mangsa daripada 97 keluarga, manakala PPS Sekolah Kebangsaan Teritipan menempatkan 251 mangsa daripada 70 keluarga.

    “Pasukan pemantau masih membuat pemantauan di kampung-kampung yang telah dinaiki air, tinjauan mendapati keadaan paras air mula surut dan masih dalam kawalan,” katanya.

    Sementara itu di SELANGOR, polis memaklumkan setakat 4.30 petang tadi, laluan di Jambatan FT 31 Dengkil-Banting dan Jalan Genting Peras–Kuala Klawang masih ditutup bagi laluan kenderaan ekoran dinaiki air serta jambatan jalan menghala ke Lapang Sasar, Subang rosak akibat banjir. – BERNAMA

  • Warga emas maut cuba selamat haiwan ternakan dari banjir

    Warga emas maut cuba selamat haiwan ternakan dari banjir

    SEORANG warga emas berusia 66 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung, ketika cuba menyelamatkan haiwan ternakannya dengan meredah air banjir di Taman Pinggiran Felda, Gemas, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Anuwal Ab Wahab berkata, dalam kejadian pukul 8 pagi itu, lelaki berkenaan pergi ke kandang ternakan lembu berhampiran rumahnya semasa paras air telah naik di kawasan tersebut.

    “Mangsa tergelincir jatuh semasa meredah air ke kandang ternakannya, kemudian isteri mangsa yang melihat kejadian tersebut sempat menarik lelaki itu ke kawasan yang lebih selamat,” katanya kepada Bernama.

    Menurutnya, doktor kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung dan polis mengkelasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR).

    Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Pinggiran Felda dan Felda Sungai Kelamah, Rosiyah Ab Rahman, 56, berkata kira-kira 200 rumah di kawasan berhampiran terkesan banjir akibat limpahan air Sungai Kelamah, ekoran hujan berterusan sejak petang semalam.

    “Air mula naik sehingga paras dada sejak awal pagi tadi dan penduduk kampung telah diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Kelamah, ekoran bimbang keadaan banjir bertambah teruk,” katanya.

    Ketua Kampung Felda Jelai 4, Jumasri Rahim, 53, berkata 20 keluarga yang terjejas banjir akibat limpahan air Sungai Pador di kampung itu, telah dipindahkan ke PPS Sekolah Agama Rakyat Felda 4 .

    Di daerah Kuala Pilah, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, setakat tengah hari tadi, air mula surut di kebanyakan kawasan yang dilanda banjir di daerah itu.

    Katanya jalan Kuala Pilah-Tampin mula dibuka kepada semua kenderaan selepas keadaan air kembali surut, namun laluan ke Kampung Air Taling, Johol masih ditutup kerana belum dapat dilalui susulan air masih bertakung.

    Mohd Faizal berkata, pelbagai agensi keselamatan masih memantau keadaan dan pihaknya telah membuka bilik gerakan di Pejabat Daerah Kuala Pilah, sebagai persediaan memberi bantuan sekiranya berlaku hujan lebat berterusan di daerah itu. – BERNAMA

  • Tujuh kejadian tanah runtuh dilapor hari pertama 2022

    Tujuh kejadian tanah runtuh dilapor hari pertama 2022

    TUJUH kejadian tanah runtuh melibatkan enam di Selangor dan satu di Negeri Sembilan telah dilaporkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sehingga 10 pagi, pada hari pertama tahun ini.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 140 kejadian tanah runtuh di seluruh negara berlaku sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

    “JMG telah memaklumkan kejadian tanah runtuh di kawasan seliaan masing-masing kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengemukakan laporan kepada JMG Negeri, bagi inventori tanah runtuh sepanjang MTL 2021/2022,” menurut kenyataan dikeluarkan Nadma itu.

    Agensi itu memaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) melaporkan kejadian bencana di 53 buah lokasi merangkumi banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap, jambatan rosak atau runtuh, setakat jam 10 pagi tadi.

    Mengenai status terkini infrastruktur komunikasi yang terjejas susulan bencana banjir, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan sejumlah 1,007 daripada 1,039 infrastruktur komunikasi telah dibaik pulih, iaitu 96 peratus daripada jumlah keseluruhan lokasi terjejas.

    MCMC memaklumkan berdasarkan data kumulatif bermula 19 Disember, baki 32 lokasi struktur komunikasi masih dalam proses baik pulih, manakala infrastruktur komunikasi yang telah dibaik pulih sepenuhnya dilaporkan di Kuala Lumpur, Putrajaya; Wilayah Persekutuan, Port Dickson, Rembau, Seremban; Negeri Sembilan, Pekan, Raub; Pahang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Gombak; Selangor.

    Selain itu, Nadma memaklumkan setakat semalam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melaporkan SW Corp Malaysia telah selesai melakukan kerja-kerja pembersihan di 85 peratus kawasan yang terjejas banjir di lima negeri.

    Negeri terlibat adalah Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor dengan anggaran jumlah sisa di tapak transit adalah 2,269 tan dan di tapak pelupusan lain sebanyak 4,142 tan, melibatkan 2,286 pekerja dan 908 jentera bagi kerja pembersihan.

    Sementara itu, susulan kemas kini Amaran Cuaca Berterusan Buruk oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana yang dikemas kini telah dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC).

    “Semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah hendaklah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.

    “Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan,” menurut kenyataan itu lagi.

    Nadma juga memaklumkan MET Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran akan memberi pemakluman awal yang dikemas kini dari semasa ke semasa agar semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dapat bersiap siaga.- Bernama

  • 1,080 mangsa banjir dipindahkan di Segamat, Tangkak

    1,080 mangsa banjir dipindahkan di Segamat, Tangkak

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BILANGAN mangsa banjir yang dipindahkan di daerah Segamat dan Tangkak meningkat daripada 658 orang pada tengah hari kepada 1,080 orang setakat pukul 4 petang tadi.

    Pengerusi Jawatankusa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R. Vidyananthan berkata, kesemua mangsa membabitkan 271 keluarga itu ditempatkan di 19 pusat pemindahan sementara (PPS).

    “Tangkak menjadi daerah terbaharu yang terjejas banjir apabila seramai 17 mangsa daripada tiga keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Agama Bandar Tangkak yang dibuka pada jam 2 petang.

    “PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 267 orang daripada 73 keluarga diikuti SK Batu Anam seramai 256 mangsa daripada 73 keluarga.

    Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Segamat membantu penduduk terjejas banjir di Palong Timur, Batu Anam, Segamat, hari ini.

    “Seterusnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ai Chun menempatkan 169 mangsa daripada 38 keluarga dan SJKC Tah Kang seramai 164 mangsa daripada 33 keluarga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Dalam pada itu, beliau memberitahu, Sungai Segamat di Bandar Segamat, Sungai Muar Kampung Awat Segamat dan Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur berada pada paras bahaya setakat pukul 3.15 petang tadi.

    “Sungai Segamat di Bandar Segamat mencatat paras 9.64 meter (m) berbanding aras bahaya 9.14m manakala Sungai Muar Kampung Awat Segamat pula mencatatkan paras 20.95m berbanding paras bahaya 19.95m.

    “Sungai Tangkak di Kampung Seri Makmur juga mencatatkan paras 4.32m berbanding paras bahaya 4.00m,” katanya.

  • Judi: 2,933 individu ditahan, RM1.12 juta dirampas

    Judi: 2,933 individu ditahan, RM1.12 juta dirampas

    SERAMAI 2,933 individu ditahan kerana disyaki terlibat pelbagai kes judi di ibu kota sepanjang tahun 2021, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

    Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, pihaknya telah melakukan sebanyak 1,528 serbuan serta merampas wang tunai RM1.12 juta, dalam usaha membanteras kegiatan judi dalam talian.

    “Jumlah berkenaan meningkat berbanding 779 serbuan, 2,051 individu ditahan dan wang tunai RM637,563 dirampas pada tahun 2020.

    “Pada tahun lepas (2021) juga seramai 20 orang telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 manakala sebanyak 1,528 kertas siasatan telah dibuka dan daripada jumlah itu 1,142 kes telah berjaya dituduh di mahkamah berbanding 581 kes pada 2020 ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abd Jalil berkata, pihaknya memandang berat kenyataan sesetengah pihak yang mempertikaikan kesungguhan pihaknya membanteras kegiatan jenayah berkenaan.

    “Polis akan terus melipatgandakan usaha bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad, jabatan agama Islam negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dalam mengekang kegiatan ini,” katanya. – BERNAMA

  • Long Tiger disambung reman

    Long Tiger disambung reman

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TEMPOH reman Long Tiger dan tiga individu membabitkan kes melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak yang sepatutnya berakhir hari ini disambung dua hari lagi.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia bagi membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan terhadap lelaki berketurunan Rohingya yang berusia 32 tahun itu serta suspek berusia 36, 38 dan 46 tahun.

    Katanya, reman tersebut disambung sehingga 3 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan terhadap Long Tiger dan Seksyen 216 kanun sama membabitkan tiga suspek lagi.

    Pada 29 Disember lalu, keempat-empat mereka termasuk lelaki yang berperwatakan perempuan yang dicekup bersama-sama Long Tiger di Sungai Petani serta di Batu Pahat, direman selama empat hari.

    Penjenayah paling dikehendaki dalam buruan polis itu yang nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid ditangkap sehari sebelum itu ketika sedang bersembunyi di sebuah rumah di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani.

    Semasa tangkapan pada pukul 3.15 petang, Long Tiger mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah ketika sekali lagi cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

    Lelaki itu bertindak meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak melalui pintu utama pada 15 Disember lalu ketika sedang menunggu proses perbicaraan di bawah Seksyen 388 kerana pemerasan.

    Dia juga masih mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.

  • Sultan Johor:18,000 khemah disediakan untuk mangsa banjir

    Sultan Johor:18,000 khemah disediakan untuk mangsa banjir

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, bertitah hampir 18,000 khemah bencana untuk kegunaan mangsa-mangsa banjir telah disalurkan kepada kawasan-kawasan berisiko di seluruh Johor.

    Baginda bertitah, persediaan menghadapi banjir dibuat saban tahun dan dikemas kini sewajarnya oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

    “Sama ada berlaku ataupun tidak, kita bersiap siaga untuk menghadapi banjir setiap tahun. Bukan sahaja khemah, malah persediaan lain juga disiapkan awal untuk segera dikerahkan jika sesuatu kawasan itu dilanda banjir.

    “Semalam, pukul 2 pagi Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dah datang ke Segamat untuk meninjau keadaan.

    “Bantuan bukan sahaja untuk ketika berlakunya banjir, tetapi juga perlu disediakan untuk meneruskan kehidupan selepas bencana itu.

    “Rumah perlu dibersihkan, peralatan yang rosak perlu diganti dan macam-macam lagi,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.

    Sultan Ibrahim beramah mesra dan bertanyakan keadaan mangsa banjir semasa mencemar duli melawat mangsa banjjir di PPS, Labis, Segamat, hari ini

    Terdahulu, Baginda berkenan berangkat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang, di Labis, Segamat untuk melawat mangsa banjir.

    Pusat berkenaan menempatkan 272 mangsa banjir daripada 93 keluarga yang menetap berhampiran.

    Ketika tinjauan itu, Sultan Ibrahim menitahkan tempahan tilam dan bantal tambahan untuk keselesaan mangsa di pusat berkenaan.

    Turut berangkat Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

    “Yayasan saya akan cuba sebaiknya untuk membantu mangsa-mangsa banjir negeri Johor, namun tangan saya ada dua sahaja. Saya tak mampu buat bersendirian. Saya harap lebih ramai pihak akan tampil untuk saling membantu.

    “Saya juga menyeru rakyat negeri Johor supaya membuat solat sunat hajat dan berdoa agar diringankan bencana yang dihadapi, serta dikurniakan perlindungan,” titah Sultan Ibrahim.

  • Suami ditahan kes dera isteri, 9 anak yang tular dalam media sosial

    Suami ditahan kes dera isteri, 9 anak yang tular dalam media sosial

    SEORANG peniaga berusia 41 tahun di Pulau Pinang ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes dera membabitkan isteri dan sembilan anaknya yang tular di dalam media sosial.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, suspek ditahan semalam selepas pihak polis menerima laporan berhubung kejadian dera tersebut daripada isterinya yang berusia 31 tahun.

    Menurut beliau, wanita warga asing berkenaan membuat laporan mendakwa dia bersama-sama sembilan anak-anaknya berusia setahun hingga 13 tahun menjadi mangsa dera lelaki berkenaan.

    “Bertindak daripada laporan itu, polis bertindak menahan lelaki berkenaan semalam dan suspek kini direman bermula hari ini sehingga 6 Januari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Rahimi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan siasatan lanjut termasuk dari aspek kesihatan dan perubatan terhadap mangsa masih dijalankan.

    Dalam masa sama jelas beliau, polis turut mengenal pasti anak-anak pasangan terbabit yang menjadi mangsa dera dengan tidak menolak kemungkinan lebih daripada seorang daripada mereka mengalami kecederaan.

    “Kita masih menunggu laporan perubatan wanita tersebut bagi mengesahkan sama ada dia juga menjadi mangsa dera oleh suspek,” katanya.

    Kisah penderaan wanita dan anak-anaknya itu menjadi tular dalam media sosial baru-baru ini selepas seorang individu dipercayai kakitangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memuat naik mengenainya dalam laman sosial Facebook.

    Difahamkan, mangsa bersama sembilan anaknya itu berjaya diselamatkan dengan bantuan NGO di Pulau Pinang.