Category: Semasa

  • MUDA dakwa disisihkan Anwar, PH-Syed Saddiq

    MUDA dakwa disisihkan Anwar, PH-Syed Saddiq

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyangkal dakwaan veteran DAP, Lim Kit Siang bahawa mereka membuat keputusan tergesa-gesa dan sepatutnya bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution telah mengabaikan tiga surat berkenaan permintaan parti itu untuk mesyuarat ringkas.

    “Namun, bukan sahaja kami dibiarkan tergantung, malah diperlekehkan apabila Setiausaha Agung Pakatan Harapan menjawab bahawa beliau tiada masa untuk membaca surat kami.

    “Ini di sebalik hakikatnya, pejabatnya pada mulanya bersetuju untuk berjumpa tetapi kemudian membatalkannya sekali lagi pada saat-saat akhir,” kata Syed Saddiq dalam satu kenyataan.

    Kaatnya, beliau juga telah cuba menghubungi Anwar dan pegawainya beberapa kali tetapi tidak berjaya.

    “Kami bukan meminta jawatan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang lumayan seperti kebanyakan yang lain dalam kerajaan hari ini. Kami bukan meminta kontrak.

    “Kami hanya mahukan satu mesyuarat supaya kami boleh mencadangkan jalan bergerak ke hadapan untuk membina Malaysia yang benar-benar berbilang kaum, agama, sederhana dan berpaksikan reformasi.

    “Kamu mahu pembaharuan, Tan Sri? MUDA juga mahukannya,” kata Syed Saddiq.

    Semalam, Lim berkata Muda tidak patut terlalu tergesa-gesa dan seharusnya bekerjasama dengan kerajaan perpaduan Anwar dalam enam pilihan raya negeri pada bulan Ogos nanti bagi memastikan usaha reformasi dapat diteruskan.

    Kenyataan Lim itu susulan pengumuman Syed Saddiq bahawa partinya akan bertanding pada PRN secara solo sekali gus bermaksud MUDA akan bertembung PH dan Barisan Nasional (BN).

    Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kerajaan Anwar tidak mempamerkan pembaharuan, justeru MUDA terpaksa berperanan lebih besar dalam semak dan seimbang.

    Katanya, kepincangan masih belum ditangani dengan jawatan GLC masih digunakan sebagai ganjaran politik dan tiada peruntukan yang adil untuk semua ahli Parlimen.

    Menurut Syed Saddiq kerajaan masih belum menetapkan had penggal untuk Perdana Menteri dan tiada pemisahan portfolio Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

    Monopoli dan konsesi utama, katanya, berterusan manakala undang-undang yang menindas masih dikekalkan.

    “Senarai janji-janji palsu tidak berkesudahan,” katanya, lapor Malaysiakini.

  • Kereta bertembung lori tangki, bapa dan bayi maut

    Kereta bertembung lori tangki, bapa dan bayi maut

    SEORANG bapa bersama anak lelakinya berusia 10 bulan maut dalam kemalangan di KM145 Jalan Kuantan-Johor Bahru di Kuantan, Pahang awal pagi tadi.

    Dalam nahas kira-kira 1.15 pagi itu, peniaga berusia 30 tahun dari dari Pasir Gudang, Azirul Azeem Mazri meninggal dunia akibat parah di bahagian kepala, selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki minyak.

    Bayinya, Muhammad Adhwa Azirul Azeem yang turut parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Rompin.

    Ketua Polis Rompin, Deputi Superintenden Azahari Mukhtar berkata, isteri mangsa, Farah Nasuha Johari, 30, yang juga guru dilaporkan selamat.

    Katanya, pemandu lori tangki, Mohamad Fahmi Che Ali, 30, dari Kuala Terengganu, cedera ringan.

    “Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sekeluarga yang menaiki Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala Kuantan.

    “Ketika tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori tangki minyak dari arah Kuantan menghala Johor Bahru,” katanya menurut Sinar Harian.

    Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mayat pemandu kereta yang tersepit dalam keretanya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

  • DUN Terengganu rasmi bubar, kerajaan negeri ditadbir ‘caretaker’

    DUN Terengganu rasmi bubar, kerajaan negeri ditadbir ‘caretaker’

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Terengganu dibubarkan secara rasmi hari ini, dua hari lebih awal daripada mandat yang sepatutnya tamat, 30 Jun ini.

    Yang Dipertua DUN Terengganu, Datuk Yahaya Ali memaklumkan kepada Bernama, wakilnya telah menyerahkan watikah pembubaran kepada Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu Muhammad Salahuddin Salleh, semalam.

    Susulan pembubaran itu, bermula hari ini Terengganu ditadbir kerajaan negeri sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

    Pembubaran hari ini diperkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin selepas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menghadap dan mempersembahkan tarikh cadangan pembubaran DUN kepada baginda di Istana Syarqiyyah di Kuala Terengganu semalam.

    Selain Terengganu, dua lagi DUN iaitu Pulau Pinang dan Kedah dibubarkan secara rasmi hari ini, manakala DUN Kelantan dan Selangor masing-masing telah dibubarkan secara rasmi pada 22 dan 23 Jun lepas.

    Hari ini Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun akan menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, bagi memohon perkenan tarikh pembubaran DUN, negeri terakhir bagi enam negeri yang akan berhadapan PRN.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerajaan negeri Terengganu dibentuk oleh PAS, selepas parti itu berjaya memenangi 22 daripada 32 kerusi DUN, manakala BN hanya memperoleh 10 kerusi iaitu Jertih, Kuala Besut, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.

    PKR yang turut sama ke gelanggang PRU14 di Terengganu, bagaimanapun gagal memperoleh sebarang kerusi daripada kesemua 32 kerusi DUN yang ditandingi.

    Pada PRU14, beberapa kerusi DUN memperlihatkan persaingan sengit antara dua parti dominan di Terengganu iaitu Pas dan Barisan Nasional (BN) apabila majoriti diperoleh sangat tipis dengan majoriti paling tipis di DUN Ajil yang menyaksikan calon Pas, Maliaman Kassim menewaskan Dr Ghazali Taib (BN) dan Zamani Mamat (PKR) dengan hanya majoriti empat undi.

    Bagi kerusi DUN Bukit Besi pula, Roslee Daud (BN) juga menang tipis dengan majoriti 46 undi, mengalahkan calon PAS, Ghazali Sulaiman dan Mohamad Arif Arifin (PKR) manakala bagi DUN Jabi, calon PAS, Dr Azman Ibrahim menang dengan majoriti 55 undi menewaskan Mohd Iskandar Jaafar (BN) dan Aziz Abas (PKR).

    Selepas disahkan menang selesa 22 kerusi DUN Terengganu, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang diangkat sebagai Menteri Besar ke-15, menggantikan ADUN Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (BN).

    Ahmad Samsuri mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 10 Mei 2018 di hadapan Sultan Mizan sebelum memulakan persidangan DUN pertama pada 1 Julai 2018.

    Tidak seperti negeri-negeri lain, Terengganu menyaksikan tiada sebarang Pilihan Raya Kecil (PRK) sepanjang penggal ini, sama ada disebabkan ADUN meninggal dunia, lompat parti atau meletakkan jawatan baik daripada blok kerajaan negeri mahupun pembangkang.

  • Polis tahan 3 lelaki simpan pelbagai senjata api

    Polis tahan 3 lelaki simpan pelbagai senjata api

    POLIS menahan tiga lelaki kerana menyimpan pelbagai senjata api, peluru, bom asap, bom ikan, gari dan peralatan membuat senjata di Kampung Gemencheh Ulu, Kuala Pilah.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Gani berkata, pada 6.30 pagi Isnin lalu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD )Kuala Pilah melakukan serbuan di sebuah rumah di kampung berkenaan susulan maklumat dadah.

    “Menerusi serbuan itu seorang lelaki berusia 30-an berjaya ditangkap.

    “Susulan daripada serbuan pertama itu, pada pukul lebih kurang 7.30 petang sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Pilah membuat serbuan di dua lokasi berbeza di Johol dan membuat tangkapan dua lelaki lingkungan usia 40-an.

    “Pemeriksaan ke atas kesemua tangkapan berkenaan menjumpai pelbagai senjata api turutan, peralatan membuat senapang angin serta peluru hidup yang disimpan dengan menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

    Amran berkata, hasil pemeriksaan dan rampasan membabitkan dua laras senapang angin, satu laras senapang patah buatan sendiri, satu pucuk pistol angin , 116 butir peluru hidup jenis penabur, dua butir peluru hidup saiz .0.38 special, satu pasang gari, satu butir bom asap, satu butir bom ikan buatan sendiri dan pelbagai peralatan untuk membuat senjata.

    Menurutnya, semua rampasan dan tangkapan dibawa balik ke IPD Kuala Pilah untuk tindakan selanjutnya dan kesemua suspek direman selama empat hari bermula Selasa hingga Jumaat ini.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Anggota polis cedera, lori kontena rempuh pagar, pondok kawalan IPD Tapah

    Anggota polis cedera, lori kontena rempuh pagar, pondok kawalan IPD Tapah

    SEORANG anggota polis cedera apabila sebuah lori kontena merempuh pagar dan pondok kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di Tapah, awal pagi ini.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada pukul 1.20 pagi.

    “Selepas sahaja menerima pangggilan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah bergegas ke lokasi kejadian.

    “Setiba jentera ke lokasi, didapati kemalangan melibatkan sebuah lori kontena melanggar pagar dan pondok polis IPD Tapah.

    “Terdapat seorang anggota polis yang sedang bertugas di pondok kawalan dan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan di Tapah.

    Katanya, ketua operasi mengaplikasikan konsep menyelamat dan membawa mangsa yang cedera ke hospital menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zulkaply Hamad tamat pukul 1.49 pagi, lapor Astro Awani.

  • Anwar diminta henti gurauan merendahkan wanita

    Anwar diminta henti gurauan merendahkan wanita

    AHLI Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menghentikan gurauan merendahkan wanita yang membuka ruang normalisasi kepada lelaki kebanyakan.

    “Anwar sepatutnya menunjukkan watak yang terhormat kepada rakyat tidak kira umur dan latar belakang.

    “Normalisasi ini telah pun berlaku di ruang-ruang komen media sosial mempertahankan perdana menteri seterusnya menyambung lagi gurauan yang tidak beradab kepada wanita,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam Facebook miliknya.

    Dalam satu majlis bersama golongan muda di Nilai, Negeri Sembilan baru-baru ini, Anwar memuji seorang pelajar perempuan kerana kepetahannya bertanyakan soalan.

    Secara berseloroh Anwar berkata, beliau akan meminta nombor telefon daripada pelajar berkenaan sekiranya dirinya masih muda.

    Kenyataan itu menimbulkan reaksi kurang senang pelbagai pihak kerana disifatkan sebagai seksis dan merendahkan wanita.

    Mengulas lanjut, Siti Mastura yang juga adalah Ketua Pengarah Ameerah Malaysia iaitu organisasi Muslimat Muda berkata, rakyat lelaki atau wanita sepatutnya merasa selamat apabila berhadapan dengan perdana menteri menyuarakan isu-isu mereka.

    Anwar katanya, kelihatan terlalu jauh dengan watak reformis selepas menjadi Perdana Menteri.

    “Kuasa jangan sampai melupakan batas sempadan akhlak dan tatasusila,” katanya lapor Malaysiakini.

  • Mayat lelaki tertiarap dengan kesan luka ditemukan di jalan raya

    Mayat lelaki tertiarap dengan kesan luka ditemukan di jalan raya

    SATU mayat lelaki ditemui dengan kesan luka pada beberapa bahagian badan di Jalan Toman 8, Seremban berhampiran sebuah hospital swasta.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam menyatakan terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan kecederaan pada pukul 11.45 malam.

    “Hasil siasatan mendapati mangsa berumur 39 tahun dijumpai tertiarap di jalan raya dalam keadaan tidak bernyawa.

    “Pemeriksaan awal pada anggota badan mangsa terdapat kesan kecederaan pada muka dan badan.

    “Pemeriksaan pada pakaian mangsa mendapati barang peribadi masih berada dalam milikan mangsa,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

    Katanya, mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk bedah siasat dan setakat ini punca kematian masih belum dapat disahkan lagi, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

    Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Adi Khusaini Saripudin di talian 0127702282 atau IPD Seremban 066033222.

  • PN sedia bentuk kerajaan negeri, setuju agihan jawatan-Muhyiddin

    PN sedia bentuk kerajaan negeri, setuju agihan jawatan-Muhyiddin

    PERIKATAN Nasional (PN) sudah sedia membentuk kerajaan di enam negeri dan menyelesaikan agihan jawatan di kalangan komponen parti sekiranya menang pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

    Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN yang akan bertanding di 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mahu mengelakkan pergeseran jika mereka berjaya menawan Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang selain mengekalkan pentadbiran di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    “Pengagihan bukan hanya membabitkan jawatan Menteri Besar, Ketua Menteri, Exco dan ketua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), tetapi ahli majlis serta ketua kampung.

    “Kami bila sudah selesai rundingan kerusi, sudah mula perbincangan tentang pembentukan kerajaan (negeri),” katanya dalam temu bual ekslusif bersama FMT.

    Pada 22 Jun lalu, PN telah memuktamadkan rundingan kerusi di antara komponennya.

    Turut diputuskan calon Menteri Besar bagi Selangor dan Negeri Sembilan akan datang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala Pas mengetuai pentadbiran Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Pas akan bertanding di 126 kerusi, Bersatu 83 kerusi, dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) 36 kerusi.

    Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, PN tidak bimbang dengan kritikan terhadap pelantikan ahli politik untuk mengetuai GLC dengan menegaskan perkara sama turut dibuat kerajaan perpaduan.

    “Kalau ada tokoh-tokoh politik berkaliber yang tidak memegang sebarang jawatan dan layak, apa salah dengannya.

    “Tidak semestinya orang-orang korporat sahaja,” ujar Ahli Parlimen Pagoh itu.

    Muhyiddin turut mengakui penting untuk PN mengambil alih pentadbiran Selangor pada PRN memandangkan statusnya sebagai negeri paling maju, menyumbang 24.8% kepada Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) dengan nilai pendapatan RM300 bilion.

    “Kita sedar bukan mudah, kalau tanya saya dua tiga tahun lalu kalau kalau boleh ambil alih Selangor…saya kata kita cubalah.

    “Tetapi sekarang saya kata InsyaAllah kerana ada satu perubahan landskap politik selepas PRU (pilihan raya umum),” kataya merujuk gelombang rakyat yang menyaksikan PN menawan banyak kerusi Parlimen di Selangor dengan majoriti besar, November lalu.

    Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) memenangi 51 kerusi daripada 56 yang ditandingi.

  • 4 termasuk bayi maut, dua kanak-kanak cedera kereta bertembung treler.

    4 termasuk bayi maut, dua kanak-kanak cedera kereta bertembung treler.

    Oleh RIZQI ZABIDI

    EMPAT sekeluarga termasuk seorang bayi berusia lapan bulan maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dengan treler di Jalan Kulim menuju ke Baling, Kedah, hari ini.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar berkata, kemalangan kira-kira pukul 4 petang itu turut menyebabkan dua kanak-kanak cedera parah.

    Katanya, mangsa yang meninggal merupakan seorang lelaki berusia 32 tahun, dua wanita berumur 30 dan 59 tahun serta bayi lelaki berusia lapan bulan.

    “Kami menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 4.06 petang. Terdapat enam mangsa berada dalam kereta Perodua Bezza tersebut. Empat daripadanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala dua lagi kanak-kanak berusia dua dan enam tahun cedera parah,” katanya.

    Abdul Rahim berkata, kesemua mereka dipercayai tersepit dalam kenderaan itu sebelum dikeluarkan dengan peralatan khas rescue tools.

    “Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kulim dengan bantuan ambulans KKM, manakala empat yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Sementara itu, seorang saksi, Mohamad Redzuan Adam, 41, yang menaiki kereta bersama keluarganya berada di belakang kenderaan mangsa terkejut melihat kejadian itu.

    Katanya, ketika mereka berada di belakang kereta mangsa secara tiba-tiba kereta terbabit hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

    “Saya terkejut apabila melihat kereta di hadapan saya terhuyung-hayang sebelum bertembung dengan sebuah treler. Kereta itu berpusing sebelum terbabas di bahu jalan, saya dalam keadaan panik terus memberhentikan kereta dan menolong mangsa.

    “Kami hubungi pihak polis dan bomba bagi membantu mangsa,” katanya.

  • SPRM tegur lafaz IBR tapi ambil rasuah… ibarat wayang pertunjukan!

    SPRM tegur lafaz IBR tapi ambil rasuah… ibarat wayang pertunjukan!

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan terdapat kes individu yang telah menyatakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR), tetapi memungkiri janji dan ditahan disebabkan perbuatan itu.

    Ketua Pesurujayanya Tan Sri Azam Baki berkata perkara berkenaan sesuatu yang memalukan dan seolah-olah IBR hanya ‘wayang’ untuk pertunjukan sahaja.

    “Walaupun telah melafazkan IBR, individu terbabit ditangkap SPRM kerana melakukan rasuah. Janji untuk mencegah rasuah hanya di mulut, tidak sampai ke hati sanubari. Saya amat berharap, program IBR pada hari ini bukan bersifat one-off atau kosmetik semata-mata,” katanya.

    Beliau berkata kepada pemberita selepas hadir majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di Kuala Lumpur hari ini.

    Mengenai penglibatan WTCKL dalam IBR, Azam berkata program IBR ini merupakan satu langkah yang baik dalam menerapkan nilai-nilai integriti dalam kalangan warga kerja WTCKL.

    “IBR ialah janji yang dibuat oleh kempimpinan organisasi bagi meningkatkan integriti, tadbir urus baik dan mencegah rasuah dalam organisasi,” katanya.

    Azam berkata penzahiran komitmen Pengurusan WTCKL melalui IBR adalah amat penting, bagi menunjukkan pendirian pengurusan tertinggi organisasi berkaitan pencegahan rasuah.

    Mengenai perkembangan siasatan berhubung penglibatan ahli politik dalam judi dalam talian, Azam berkata SPRM sedang mengumpul maklumat berkaitan ahli politik yang mendalangi dan melindungi kegiatan judi dalam talian.

    Beliau berkata maklumat berkenaan bagaimanapun tidak boleh didedahkan kerana masih dalam siasatan.

    “Saya hanya boleh sahkan bahawa siasatan sedang dibuat dan tidak boleh mendedahkan mereka (ahli politik) yang terlibat. Saya juga tidak boleh dedahkan sama ada ahli politik itu di sebelah kerajaan atau di sebelah pembangkang,” katanya.

    Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan kepada Dewan Rakyat bahawa wujud elemen naungan politik dalam kegiatan perjudian dalam talian di negara ini.

    Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata elemen berkenaan, menjadi kekangan terbesar kepada KDN dan Polis Diraja Malaysia (PRDM) serta kerajaan secara keseluruhannya, dalam usaha membanteras kegiatan itu.