Category: Semasa

  • Tinggal 2.3 peratus untuk capai 100 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi

    Tinggal 2.3 peratus untuk capai 100 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi

    SEBANYAK 2.3 peratus sahaja lagi diperlukan negara untuk mencapai angka 100 peratus populasi dewasanya lengkap divaksinasi.

    Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman COVIDNOW, setakat 11.59 malam tadi, seramai 22,876,224 individu atau 97.7 peratus daripada populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

    Setakat semalam juga, 98.9 peratus atau 23,162,767 individu daripada populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Bagi populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, seramai 2,763,787 individu atau 87.8 peratus daripada mereka telah melengkapkan vaksinasi manakala 2,854,126 individu atau 90.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

    Sementara itu, sejumlah 252,817 dos vaksin diberikan semalam melibatkan 2,898 dos pertama, 4,549 dos lengkap dan 245,370 dos penggalak.

    Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 58,812,436 dos dengan 7,356,445 daripadanya adalah dos penggalak.

    PICK diperkenalkan  oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

    Program yang bermula pada 24 Februari 2021 hingga Februari 2022 itu merupakan kempen vaksinasi kebangsaan sebagai satu pendekatan untuk membendung penularan wabak COVID-19 serta menamatkan pandemik penyakit pernafasan ini di Malaysia.

    Program vaksinasi ini merupakan program imunisasi terbesar yang pernah dilaksanakan dalam sejarah negara ini dan diuruskan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

    Hasil daripada kejayaan program vaksinasi ini hampir kesemua sektor kehidupan rakyat sudah dibuka sepenuhnya.

  • LPPR perlu lebih telus perinci kenyataan isu Azam Baki

    LPPR perlu lebih telus perinci kenyataan isu Azam Baki

    LEMBAGA Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) perlu lebih telus dalam memperinci dan melanjutkan siasatan terhadap kenyataan berkaitan isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

    Rasuah Busters dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa kontroversi peribadi itu langsung tidak menyumbang kepada pemulihan institusi yang reputasinya sedang terjejas akibat dakwaan salah laku segelintir pegawainya pada waktu ini.

    “Rakyat ingin melihat wibawa moral SPRM sebagai badan yang berakauntabiliti dan boleh diharap bertindak segera untuk mencegah, mendakwa dan mendidik masyarakat.

    “Sebarang risiko yang menjadi penghalang kepada usaha mengembalikan integriti SPRM sebagai badan yang bebas wajar dikekang,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu menyebut #Rasuah Busters tidak akan bertoleransi dengan tingkah laku rasuah dan salah guna kedudukan yang mewujudkan apa jua potensi konflik kepentingan dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap badan yang seharusnya melindungi kepentingan rakyat dan pemegang taruh.

    SPRM harus bebas, sebagai badan profesional yang dihormati dan isu peribadi tidak wajar mengatasi kepentingan itu, menurut kenyataan tersebut sambil menambah konflik berkenaan tidak harus ditangani secara emosi. – BERNAMA

  • KKM siasat 17 kes jangkitan Omicron tiada rekod vaksinasi

    KKM siasat 17 kes jangkitan Omicron tiada rekod vaksinasi

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesan sejumlah 17 daripada 122 individu yang dijangkiti varian Omicron setakat 4 Jan lepas didapati tidak mempunyai rekod vaksinasi COVID-19.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sedang menyiasat rekod pengembara dari luar negara yang tidak mempunyai sejarah vaksinasi sama ada mereka memiliki masalah kesihatan atau sebab lain.

    Beliau berkata, 10 daripadanya membabitkan warganegara manakala tujuh lagi bukan warganegara.

    “Negara import kes Omicron tanpa rekod vaksinasi ini ialah dari United Kingdom dengan empat kes, Nigeria (empat), Emiriah Arab Bersatu (empat) dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat, Australia, Ghana, Ireland serta Arab Saudi,” katanya pada sidang media hari ini.

    Menurut Khairy, siasatan awal KKM mendapati 122 kes positif Omicron selepas masuk ke Malaysia dengan 14 peratus atau 17 kes tiada vaksinasi.

    “Di sini, wujud isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana hanya mereka yang divaksin sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan,” katanya.

    Khairy juga berkata, jumlah kumulatif varian Omicron dalam kes positif COVID-19 yang dikesan di Malaysia adalah sebanyak 245 kes dengan 157 kes atau 64.08 peratus merupakan jemaah umrah.

    Beliau berkata susulan itu, Jemaah Menteri semalam telah mengarahkan penangguhan sementara bagi aktiviti umrah selama sebulan bermula 8 Jan ini untuk membolehkan penilaian risiko dijalankan sebelum kebenaran mengerjakan ibadah tersebut dilaksanakan semula.

    Katanya, KKM bersama dengan kementerian dan agensi berkaitan akan mengemas kini SOP umrah antaranya pengambilan dos penggalak sebagai antara syarat umrah serta pemantauan status kesihatan jemaah di Arab Saudi.

    Pada masa sama, Khairy berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan berbincang dengan ejen pelancongan untuk penjadualan semula umrah manakala Kementerian Pengangkutan menguruskan jadual penerbangan.

    “KKM ingin mengingatkan individu yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman atau rumah agar terus mematuhi arahan tersebut, kekal dalam bilik berasingan dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu yang lain,” katanya.

    Beliau berkata, kegagalan mematuhi arahan itu akan menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron kepada ahli keluarga dan komuniti.

    KKM juga menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin COVID-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan optimum serta mengelakkan jangkitan virus itu yang teruk serta komplikasinya. — BERNAMA

  • Jumlah mangsa banjir di lima negeri terus berkurang

    Jumlah mangsa banjir di lima negeri terus berkurang

    JUMLAH mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri iaitu Sabah, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan terus mencatat pengurangan petang ini.

    Di Sabah, jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan ketara kepada 281 orang daripada 62 keluarga petang ini berbanding 3,417 orang daripada 1,224 keluarga tengah hari tadi.

    Sejumlah 14 PPS di Kota Marudu ditutup dengan kesemua 3,136 orang daripada 1,161 keluarga dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas banjir pulih.

    Penutupan PPS di Kota Marudu itu menjadikan 21 PPS ditutup di Sabah setakat petang ini termasuk beberapa PPS di Pitas, Telupid dan Beluran.

    Setakat petang tadi, seramai 183 orang daripada 46 keluarga masih berada di enam PPS di Telupid, diikuti Paitan (54 orang daripada 10 keluarga di dua PPS) dan Sandakan (45 orang daripada tujuh keluarga di satu PPS).

    Di Johor, mangsa banjir menurun kepada 3,985 orang setakat 4 petang berbanding 4,098 orang tengah hari tadi dengan 61 PPS masih beroperasi.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata lima daerah masih terjejas banjir dengan Segamat kekal mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,460 orang, Tangkak (739), Muar (714), Batu Pahat (53) dan Mersing (19).

    Beliau berkata enam stesen sungai mencatat paras bahaya iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat; Sungai Muar di Kampung Olak Sepam dan Sungai Muar di Panchor, Muar; Sungai Gemas di Muara Sungai Gemas, Segamat; Liang Batu di Muar dan Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar.

    Katanya setakat ini, keadaan cuaca di seluruh Johor dilaporkan cerah.

    Di Melaka, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 418 orang daripada 111 keluarga setakat 4 petang berbanding 451 orang daripada 123 keluarga pada 12 tengah hari tadi membabitkan daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

    Di Pahang, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir terus berkurangan setakat 4 petang dengan 954 orang ditempatkan di 29 PPS berbanding 1,171 orang di 30 PPS tengah hari tadi, membabitkan daerah Temerloh, Pekan, Maran, Bera dan Rompin.

    Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Bera dan Sungai Serting di Bera serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan kekal melebihi paras bahaya sejak semalam.

    Di Negeri Sembilan, berdasarkan laporan aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan setakat 4 petang dengan 221 orang daripada 59 keluarga berada di tiga PPS berbanding 472 orang tengah hari tadi.

    Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan Ir Wan Hasnan Wan Musa berkata enam laluan masih ditutup kepada semua kenderaan susulan tanah runtuh termasuk Jalan 6 Felda Titi dan Jeram Toi, Jelebu.

    Di Selangor, Info Bencana JKM memaklumkan tiada PPS beroperasi hari ini. – Bernama

  • Azam Baki saman pengguna laman Twitter ‘Lalitha Kunaratnam’

    Azam Baki saman pengguna laman Twitter ‘Lalitha Kunaratnam’

    KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan telah memulakan tindakan undang-undang seperti yang ditegaskannya dalam sidang akhbar khas, semalam.

    Tindakan undang-undang terhadap seorang pengguna laman Twitter dikenali sebagai ‘Lalitha Kunaratnam’ itu dilakukan kerana tuduhan palsu dan berniat jahat yang dibuat terhadap dirinya secara peribadi, keluarga dan SPRM.

    Azam dalam kenyataannya hari ini memaklumkan telah memulakan prosiding undang-undang terhadap Lalitha bagi melindungi kedudukan baik dan reputasi profesionalnya.

    Menurut Azam, tindakan tersebut diambil selepas mendapat nasihat peguamnya.

    “Saya mengulangi bahawa saya tidak akan teragak-agak untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang menyebarkan atau membuat dakwaan palsu dan berniat jahat terhadap saya atau ahli keluarga.

    “Saya memandang serius pelbagai tuduhan palsu dan berniat jahat yang dibuat terhadap saya secara peribadi, keluarga dan juga SPRM,” katanya.

    Terdahulu, Lalitha menerusi akaun Twitternya mengesahkan telah menerima surat tuntutan daripada Azam.

    Menerusi surat bertarikh 6 Januari itu, Azam mengemukakan surat tunturan menerusi firma guaman Zain Megat dan Murad.

    Surat tuntutan berkenaan berkaitan artikel dipercayai ditulis Lalitha yang mendakwa Azam mempunyai kepentingan dalam beberapa syarikat.

    “Saya telah menerima surat tuntutan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM. Terima kasih,” katanya ringkas dalam ciapan di Twitter.

    Dalam sidang akhbar khas semalam, Azam menegaskan tohmahan ke atasnya sebagai satu penipuan besar pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka untuk menjatuhkan reputasinya dan SPRM.

    Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan, Azam berkata, beliau juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mencemarkan reputasinya. 

  • Geng Muruku rompak, samun apa sahaja termasuk curi haiwan peliharaan

    Geng Muruku rompak, samun apa sahaja termasuk curi haiwan peliharaan

    GENG Maruku yang aktif melakukan kegiatan jenayah antaranya kes samun rumah, samun kebun sayur, samun kedai runcit, samun kuil dan pasar raya tumpas selepas pihak polis menahan lima lelaki tempatan, kelmarin.

    Semua ahli geng tersebut yang aktif menyamun dan melakukan rompakan ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kuala Langat dan Bandar Baru Klang, Klang.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, geng tersebut dipercayai aktif merompak, menyamun dan mengambil apa sahaja termasuk haiwan peliharaan serta barang makanan.

    Menurutnya, polis menerima laporan daripada seorang pesara berusia 69 tahun yang bertugas sebagai setiausaha di sebuah kuil di Telok Bunut, Banting selepas rumah ibadat berkenaan disamun oleh suspek terbabit pada Isnin.

    “Dalam kejadian tersebut dua orang pekerja kuil mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat dipukul dengan kayu oleh suspek. Suspek menyasarkan kuil untuk merompak barang kemas yang digunakan ketika upacara sembahyang.

    “Barang-barang yang hilang berupa pasport, telefon bimbit, komputer riba, wang tunai RM7,800 serta barang kemas bernilai RM16,000 milik kuil,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, hari ini.

    Beliau berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua suspek dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Bandar Baru Klang sekitar jam 12.15 tengah malam pada Selasa.

    “Hasil soal siasat pada 4 Januari jam lebih kurang 4.45 pagi serbuan kedua dibuat dan berjaya memberkas tiga lelaki tempatan di kawasan Banting,” katanya.

    Katanya, pihaknya berjaya menemui barang milik mangsa dan sejumlah barang disyaki hasil kegiatan jenayah membabitkan beberapa kes pecah rumah, pecah kedai, pecah pejabat dan samun.

    “Pihak polis percaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes samun dan 10 kes pecah rumah di sekitar Banting, Kuala Selangor dan Klang.

    “Antara kes berjaya diselesaikan ialah pecah Pejabat Peladang pada 30 Disember dan beberapa kes samun rumah, samun kebun sayur, samun kedai runcit, samun kuil dan pasar raya daripada bulan Oktober 2021 hingga Januari,” katanya.

    Ahmad Ridhwan berkata, kesemua suspek yang berusia 18 sehingga 30 tahun didapati mempunyai rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

    Tambah Ahmad Ridhwan, pihaknya sudah mengenal pasti seorang lagi suspek yang masih bebas dan usaha mengesan lelaki tersebut sedang giat dijalankan.

    “Suspek direman enam hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujar beliau.

  • KKM lulus vaksin Pfizer kepada kanak-kanak 5 hingga 11 tahun

    KKM lulus vaksin Pfizer kepada kanak-kanak 5 hingga 11 tahun

    Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini meluluskan pendaftaran bersyarat vaksin Pfizer – Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection – bagi program imunisasi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, berkata kelulusan itu diberikan dalam mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-368 hari ini.

    Menurutnya, Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection adalah vaksin comirnaty yang diluluskan untuk imunisasi Covid-19 kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

    “Sediaan ini mempunyai kekuatan yang lebih rendah berbanding vaksin comirnaty yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mesyuarat itu juga meluluskan comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection dengan formulasi baharu yang tidak memerlukan pencairan (dilution) sebelum administrasi dan mempunyai tempoh jangka hayat yang lebih panjang, iaitu 10 minggu berbanding formulasi sedia ada selama sebulan apabila disimpan pada suhu 2 ºC hingga 8 ºC setelah dinyahbeku.

    “Indikasi comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg Solution for Injection ini adalah untuk imunisasi Covid-19 kepada individu berumur 12 tahun dan ke atas,” katanya

    Dr. Noor Hisham berkata, pemegang pendaftaran bagi kedua-dua vaksin comirnaty itu adalah Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. dan dikilangkan oleh BioNTech Manufacturing GmbH, Jerman.

    Menurutnya, PBKD juga memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin Convidecia® Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector) Solution for Injection sebagai dos penggalak kepada individu yang berumur 18 tahun dan ke atas dengan sela masa tiga hingga enam bulan selepas menerima dos pertama daripada vaksin yang sama.

    Pemegang pendaftaran bagi vaksin ini ialah Solution Biologics Sdn Bhd dan ia dikilangkan oleh CanSino Biologics Inc China.

    “Kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

    “Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin-vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

  • Bapa saudara parah dipukul kerana tegur anak saudara ambil ubat nyamuk

    Bapa saudara parah dipukul kerana tegur anak saudara ambil ubat nyamuk

    SEORANG lelaki cedera parah di kepala selepas dipukul anak saudaranya dengan kayu hanya kerana mengambil ubat nyamuk tanpa kebenaran, dalam kejadian di Kampung Tempoyak, Kota Bharu, pada Isnin lalu.

    Mangsa, 55, sempat berlari ke rumah adiknya berhampiran dalam keadaan berlumuran darah untuk memaklumkan kejadian menimpanya dalam
    kejadian pada pukul 11.30 malam itu.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, mangsa tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

    Katanya, ketika kejadian, suspek berusia 30 tahun datang ke rumah mangsa sebelum mengambil sekotak ubat nyamuk tanpa kebenaran.

    “Mangsa menegur suspek yang didakwa sering mengambil barangnya tanpa keizinan menyebabkan suspek berang dan terus memukul mangsa di kepala menggunakan sebatang kayu sebelum melarikan diri.

    “Mangsa yang merupakan seorang duda cedera parah dan berlumuran darah terus menuju ke rumah adiknya memaklumkan dia dipukul oleh anak saudaranya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya menahan suspek di tepi sungai di kampung yang sama pada 8.45 pagi tadi.

    “Saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Mesyuarat khas Parlimen bincang isu banjir 20 Januari

    Mesyuarat khas Parlimen bincang isu banjir 20 Januari

    SATU Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat akan diadakan pada 20 Jan ini, untuk memberi ruang kepada kerajaan menjelaskan kepada rakyat mengenai tindakan dan perancangan kerajaan menangani isu-isu banjir.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sesi khas itu merupakan platform terbaik untuk ahli-ahli Parlimen mendapat maklum balas tentang isu banjir.

    “Mesyuarat Khas ini diadakan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

    “Ia bagi membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Ismail Sabri berkata pelaksanaan Mesyuarat Khas ini juga telah disembah maklum dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – BERNAMA

  • Tular ritual bertentangan dengan syariat Islam, Jakim teliti tindakan wajar

    Tular ritual bertentangan dengan syariat Islam, Jakim teliti tindakan wajar

    IBRAHIM Mat Zin atau nama gelarannya Raja Bomoh membuat laporan di Balai Polis Teluk Intan pada pukul 12.30 tengah malam tadi bertujuan menafikan upacara dilakukannya bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, Raja Bomoh mendakwa upacara itu tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

    “(Sebaliknya mendakwa ia) hanya mendoakan keselamatan semua penduduk supaya tidak berlaku banjir.

    “Laporan ini juga dirujuk kepada pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak untuk siasatan pihak berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Terdahulu, video tular berdurasi 25.09 minit itu memaparkan seorang pengamal perubatan tradisional bersama-sama wanita melakukan ritual bagi menolak berlakunya banjir yang didakwa sebagai petua zaman dahulu.

    Ahmad Adnan berkata, susulan tularnya video ritual berkenaan, Ketua Polis Balai Teluk Intan sudah membuat laporan polis pada 4.30 petang semalam.

    Mengulas lanjut, katanya, upacara itu dilakukan di tepi Sungai Perak berhampiran sebuah kuil di Dataran Sungai Perak, Teluk Intan.

    “Laporan berkenaan juga sudah dirujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak untuk tindakan lanjut,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata,Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneliti tindakan sewajarnya dikenakan terhadap Raja Bomoh dan wanita terbabit.

    Beliau berkata, tindakan individu berkenaan jelas bercanggah dengan ajaran Islam selain terdapat unsur khurafat serta tahyul.

    “Saya sudah mengarahkan Jakim untuk meneliti apa sahaja tindakan yang sewajarnya kerana individu berkenaan sentiasa mencari publisiti sebegitu walaupun tidak mendapat sambutan.

    “Tindakan yang dilakukan itu jelas membawa unsur bercanggah dengan ajaran agama dan ada unsur khurafat serta tahyul dalam upacara itu,” katanya.