Category: Semasa

  • Potong barisan di persimpangan lampu isyarat, 32 pemandu disaman JPJ

    Potong barisan di persimpangan lampu isyarat, 32 pemandu disaman JPJ

    SERAMAI 32 pemandu yang mementingkan diri dengan memotong barisan di persimpangan lampu isyarat Bulatan Seberang Jaya, Pulau Pinang menerima padah selepas disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang semalam.

    Kesemua mereka disaman dalam operasi pasukan Unit Penguatkuasaan Bermotosikal (UPB) JPJ yang melaksanakan penguatkuasaan kesalahan di bawah Kaedah 5, Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959 iaitu memotong di sebelah kiri jalan.

    JPJ Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini berkata, penguatkuasaan secara berfokus itu dilaksanakan selepas pihaknya menerima banyak aduan awam berhubung sikap pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan lalu lintas terutama di waktu puncak sehingga menyebabkan laluan di sebelah kiri jalan terganggu dan menjadi sesak.

    “Tindakan segelintir pemandu yang pentingkan diri sendiri dan sikap tidak sabar di jalan raya menyebabkan kesulitan kepada pengguna jalan raya lain yang boleh mengundang risiko kemalangan sekiranya tidak diambil tindakan penguatkuasaan segera,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

    Sementara itu, kenyataan tersebut menambah, pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya supaya pemanduan lancar, selamat serta mengelakkan kemalangan dan kesulitan semasa pemanduan.

    Dalam perkembangan lain tambah kenyataan itu, sebanyak 30 buah bas yang diletakkan di tepi jalan berdekatan sebuah pasar raya besar di Bayan Baru, Pulau Pinang diberikan notis dalam pemeriksaan kelmarin.

    Menurut kenyataan itu, Unit Operasi telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan perkhidmatan awam, bas pekerja dan bas persiaran yang meletakkan kenderaan di tempat tidak dibenarkan selepas pihaknya menerima aduan awam.

    “Tindakan segelintir pemandu yang meletak kenderaan di tempat tidak dibenarkan boleh menyebabkan gangguan lalu lintas kepada pengguna jalan raya yang lain dan notis dikeluarkan mengikut Seksyen 115(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Ritual tolak bala, Raja Bomoh diheret ke mahkamah syariah

    Ritual tolak bala, Raja Bomoh diheret ke mahkamah syariah

    IBRAHIM Mat Zin atau digelar ‘Raja Bomoh’ yang ditahan atas dakwaan mencela dan menghina agama Islam, dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Ipoh hari ini.

    Ibrahim, 71, dan ‘Puteri Zaleha’ atau nama sebenarnya, Suliaha Abdul Hamid, 62, tiba di perkarangan mahkamah pada 10 pagi sebelum dibawa masuk ke bilik bicara.

    Pendakwa Syarie Negeri Perak, Suhaili Ishak memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya tidak mengemukakan kertas pertuduhan pada prosiding hari ini kerana masih memerlukan masa untuk mengambil keterangan dan menjalankan siasatan lanjut.

    Sehubungan itu, Suhaili memohon supaya Ibrahim dan Suliaha dibebaskan dengan jaminan mengikut Seksyen 22 Enakmen Tatacara Jenayah Perak 2004.

    Hakim Syarie Mohammad Najib Ab Razak membenarkan kedua-dua individu itu yang tidak diwakili peguam dibebaskan dengan jaminan RM3,000 setiap seorang dan menetapkan 23 Feb untuk sebutan semula kes.

    Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 Enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.

    Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dilapor telah membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim berhubung satu ritual menolak bala dilakukan di Dataran JPS di Teluk Intan yang videonya tular di media sosial pada Rabu.

    Susulan itu, Ibrahim dan tiga individu lain ditahan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIPk (Ipoh) pada petang Khamis.

    Video berdurasi 25 minit yang tular di Facebook itu memperlihatkan Ibrahim atau Raja Bomoh bersama seorang wanita dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’ membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir. – BERNAMA

  • Siasat tuduhan terhadap Azam, jangan biar SPRM ditohmah

    Siasat tuduhan terhadap Azam, jangan biar SPRM ditohmah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Siasatan dijalankan terhadap setiap tuduhan yang melingkari Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu dipandang serius dan dijalankan dengan cara yang mendapat kepercayaan rakyat secara keseluruhan.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan tersebut perlu diambil memandangkan SPRM merupakan satu entiti yang terlalu penting untuk dibiarkan daripada ditohmah atau difitnah.

    “Untuk memastikan tuduhan-tuduhan itu tidak berlarutan dan menjejaskan kredibiliti SPRM di mata rakyat, perlu ada siasatan lebih mendalam dengan cara yang membolehkan rakyat percaya dengan hasil siasatan tersebut.

    “Sebagai seorang yang amat menghormati institusi SPRM, saya amat berharap agar isu ini diselesaikan dengan cara dipercayai rakyat,” katanya.

    Wan Saiful yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis PTPTN Prihatin di Masjid Al-Ihsan, Kampung Changkat Setol dekat Changlun, Kedah, hari ini.

    Beliau menambah, isu tersebut juga tidak seharusnya dipolitikkan bagi memastikan hasil siasatan mahu pun langkah yang diambil, benar-benar yang terbaik buat suruhanjaya tersebut dalam menjalankan fungsinya untuk membanteras rasuah di negara ini.

    “Saya amat berharap supaya semua pihak ketepikan dulu pandangan bersifat politik. Apa yang -penting, pastikan isu ini dapat diselesaikan dalam cara paling dipercayai rakyat.

    “Di pihak SPRM, mereka jangan bersifat defensif manakala orang politik usahlah ofensif pula,” katanya.

    Ditanya sama ada Azam perlu bercuti sementara siasatan berlangsung, Wan Saiful berkata perkara itu terpulang kepada prosedur dalaman SPRM.

    “Ramai tokoh berkaliber, dipercayai dan dihormati rakyat ada dalam beberapa struktur SPRM sekarang. Saya yakin mereka boleh buat keputusan yang baik” katanya.

    Tambahnya, ketika ini harapan rakyat cukup besar agar isu integriti yang menyelubungi negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak berulang.

    “Selepas PRU-14, agenda integriti terutama sekali melalui kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin cukup ditegaskan. Tiada kompromi dalam soal integriti, tadbir urus dan pentadbiran.

    “Kita tak mahu apa yang berlaku sebelum ini berulang kembali. Apa yang kita mahukan adalah penyelesaian terbaik terhadap isu ini dan semua pihak harus memainkan peranan penting untuk memberi komen membina serta menjauhi pendekatan negatif,” katanya.

  • PAPUH dedahkan ada mutawif umrah transit di Dubai elak kuarantin

    PAPUH dedahkan ada mutawif umrah transit di Dubai elak kuarantin

    TERDAPAT beberapa individu termasuk mutawif umrah “culas” dengan menjadikan Dubai sebagai negara transit bagi mengelak daripada dikenakan perintah kuarantin wajib sebaik tiba di Malaysia, dedah Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH).

    Presidennya Razali Mohd Sham mendedahkan,  perkara itu selain berpendapat sistem penguatkuasaan kuarantin kepada pengembara ke luar negara masih lagi lemah dan memerlukan penambahbaikan.

    Katanya, kerajaan bertindak mewajibkan mereka yang pulang mengerjakan umrah dari Arab Saudi menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel ditetapkan, sebaliknya mereka yang datang dari beberapa negara lain tidak wajib kuarantin dan boleh melakukannya di rumah menyebabkan risiko penularan wabak Covid-19 khususnya varian Omicron.

    “Kelemahan sistem kita kalau pergi buat umrah, jemaah balik ikut Dubai dan dari Dubai masuk Malaysia mereka tak perlu kuarantin, terdapat mutawif umrah pergi Arab Saudi tapi sebelum balik Malaysia mereka ke Dubai dulu dan balik Malaysia tak perlu kuarantin. Ini yang berlaku sekarang.

    “Perkara itu berlaku membabitkan para mutawif. Ini kita dapat kesan dan tindakan perlu diambil,” katanya kepada portal berita Free Malaysia Today.

    Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya mana-mana individu yang pulang ke Malaysia perlu kembali menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin bagi memastikan varian Omicron tidak terus menular dan akhirnya menyusahkan banyak pihak bila keadaan semakin memburuk.

    “Sekarang ini siapa balik dari Arab Saudi terus kena kuarantin di pusat kuarantin, sepatut mereka yang datang dari semua negara sampai sahaja Malaysia wajib kuarantin bagi memastikan keadaan lebih selamat,” katanya.

    Razali turut memaklumkan pihaknya bersetuju jika kerajaan memperketatkan pelaksanaan SOP termasuk mewajibkan pengambilan dos penggalak kepada jemaah umrah asalkan aktiviti itu kembali berjalan.

    “Kita juga bersetuju jika syarat wajib kuarantin di pusat kuarantin dikekalkan kalau itu terbaik untuk rakyat. Saya rasa jemaah umrah tiada masalah untuk kos kuarantin,” katanya.

    Sebelum ini kerajaan mengumumkan perjalanan umrah ditangguhkan sementara waktu bermula 8 Jan selama sebulan.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, jemaah yang baru pulang tidak lagi diberi kebenaran kuarantin di rumah, sebaliknya semua jemaah perlu melengkapkan tempoh kuarantin di stesen kuarantin atau hotel yang ditetapkan.

    Terbaharu Khairy berkata, Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam (Rabu) memutuskan penangguhan sebulan itu adalah bagi membolehkan penilaian risiko penularan Covid-19 varian Omicron dilakukan.

  • Harga ayam segar, telur mungkin naik selepas 4 Februari

    Harga ayam segar, telur mungkin naik selepas 4 Februari

    HARGA ayam segar dan telur ayam mungkin naik selepas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia tamat pada 4 Februari ini namun kerajaan akan mencari mekanisme bagi menanganinya demi kepentingan semua pihak.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan akan mengkaji semula harga siling ayam bagi mengimbangi kebajikan antara pengguna dan penternak serta satu sesi libat urus bersama pelbagai agensi berkaitan diadakan semalam.

    “Dalam sesi libat urus yang diadakan bersama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan persatuan penternak itu, kita mendengar keluhan penternak mengenai harga ternakan dan kos operasi yang dikatakan meningkat disebabkan kos import dedak ayam.

    “Pengguna juga harus faham mengenai masalah ini sebab ia agak rumit. Bukan mudah nak letak harga rendah tapi penternak tak dapat keluarkan bekalan. Jadi kita akan bermasalah tiada bekalan nanti,” katanya.

    Beliau berkata kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, Jasin hari ini.

    Alexander berkata, harga kawalan ayam hingga 4 Februari di peringkat runcit adalah RM9.10 sekilogram namun mendapat keluhan daripada penternak yang bukan sahaja melibatkan kos tetapi tempoh skim kawalan yang terlalu lama.

    Beliau berkata, kementeriannya akan mencari mekanisme terbaik bersama MAFI dan menjaga harga di peringkat runcit dan pemborong.

    “Harga siling mungkin akan tinggi tetapi kita akan lihat dahulu sebab kita ada strategi lain seperti MAFI mengimport ayam dari luar. Kalau itu yang terjadi, harga tak perlu naik sebab ada persaingan,” katanya. – BERNAMA

  • Bekas KSU Kementerian Luar meninggal dunia akibat kemalangan

    Bekas KSU Kementerian Luar meninggal dunia akibat kemalangan

    Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar dan Pengerusi Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) Tan Sri Mohd Yusof Hitam meninggal dunia petang semalam akibat kemalangan.

    Ahli Majlis dan pengasas bersama ADAB, Mohd Arof Ishak yang mengesahkan perkara itu berkata Mohd Yusof, 86, menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 4 petang semalam di Hospital Pantai Kuala Lumpur.

    “Arwah terlibat dengan kemalangan di hadapan rumahnya di Bukit Damansara,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Taman Tun Dr Ismail selepas solat jenazah yang akan diadakan selepas solat Jumaat, hari ini.

    Mohd Arof yang juga rakan kepada Allahyarham berkata arwah merupakan seorang yang tegas, amanah dan mempunyai tahap intelektual tinggi yang tidak sukar dicari ganti.

    Allahyarham pernah menjadi Duta ke Republik Sosialis Vietnam pada 1976 sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi ke New Zealand pada 1978 dan juga pernah menjadi Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 1986.

    Allahyarham yang berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri pada 1988 meninggalkan isterinya Puan Sri Michiyo Noor Azian Mustakim dan tiga orang anaknya.

    Sementara itu Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham di laman Twitternya, pagi ini.

    “Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya.

    — BERNAMA

  • Rombakan Kabinet: Bersatu serah kepada PM berbincang dengan sesiapa sahaja

    Rombakan Kabinet: Bersatu serah kepada PM berbincang dengan sesiapa sahaja

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan perbincangan dengan sesiapa yang dirasakan perlu, berhubung spekulasi mengenai rombakan Kabinet yang dikhabarkan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, seperti disebut oleh Presiden parti itu sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin, isu mengenai rombakan dan pelantikan Kabinet terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.

    “Sekarang semuanya masih di peringkat spekulasi dan kalau saya komen, maka akan tambah satu lagi spekulasi hingga akhirnya ia menjadi lebih besar. Jadi elok serah kepada Perdana Menteri untuk beliau adakan perbincangan dalam kalangan pemimpin atasan parti.

    “Dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) memang ada tokoh sesuai tetapi isu ini berada di peringkat Perdana Menteri dan eloklah kita serahkan kepada beliau buat pertimbangan,” katanya.

    Wan Saiful yang juga Pengerusi berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) Prihatin di Masjid Al-Ihsan, Kampung Changkat Setol dekat Changlun, Kedah, hari ini.

    Mengulas lanjut beliau berkata, perkara itu juga sama sekali tidak pernah dibincangkan oleh kepimpinan tertinggi Bersatu sebelum ini.

    “Malam Rabu memang kami ada bertemu tetapi itu bukan Mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu pun sebaliknya hanya perbincangan dalam kalangan beberapa pemimpin atasan mengenai agenda yang mungkin dibangkitkan dalam sesi Parlimen akan datang.

    “Kami tak bincang pun mengenai rombakan Kabinet yang dikatakan akan berlaku itu,” katanya.

    Dalam pada itu Wan Saiful memaklumkan, parti itu tidak mahu terburu-buru dalam melakukan perancangan atau mengambil tindakan berhubung spekulasi yang menyatakan beberapa kepimpinan parti akan keluar dan memimpin parti baharu iaitu Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Katanya spekulasi berhubung perkara itu sudah berlarutan selama hampir setahun namun sehingga kini masih tiada apa yang berlaku.

    “Bagi saya apa yang lebih baik adalah tunggu ‘benda’ itu benar-benar berlaku untuk kita rangka perancangan untuk bergerak ke depan. Tak perlu bertindak terburu-buru dalam hal ini.

    “Realitinya PBM telah ditubuhkan dan benar, ada beberapa bekas ahli Bersatu bersama mereka. Namun yang ramainya itu tak pernah menjadi ahli Bersatu pun sebaliknya hanya terlibat dalam beberapa aktiviti dianjurkan Bersatu sebelum ini,” katanya.

    Tambahnya kewujudan PBM juga sehingga kini dilihat tidak mendatangkan kesan terhadap jumlah keahlian Bersatu di seluruh negara.

    “Hingga Perhimpunan Agung Tahunan Kali Ke-4 Bersatu pada bulan lalu, jumlah ahli Bersatu adalah seramai 600,000 orang. Itu jelas menunjukkan bahawa Bersatu sama sekali tidak terjejas.

    “Kita bagaimana mengucapkan selamat datang kepada PBM dalam arena politik nasional dan mengharapkan agar wujud persaingan sihat untuk manfaat rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

  • KPM ganti 263,662 buku teks rosak akibat banjir

    KPM ganti 263,662 buku teks rosak akibat banjir

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menggantikan sebanyak 263,662 buku teks rosak akibat bencana banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

    Proses penggantian buku teks itu akan melibatkan seramai 14,422 murid di seluruh negara.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memberitahu, kementeriannya mempunyai stok mencukupi untuk menggantikan buku teks yang rosak itu.

    Menurut beliau, langkah itu sekali gus akan membolehkan murid berkenaan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dijadualkan bermula minggu depan.

    “Kita sedar bahawa dalam tempoh banjir besar yang kita lalui, ramai murid yang terjejas. KPM menerima banyak pertanyaan mengenai buku teks murid yang rosak akibat banjir.

    “Jadi kepada murid yang kehilangan buku teks atau buku mereka rosak akibat banjir, jangan risau.

    “Mereka juga tidak perlu membayar ganti rugi atas kerosakan buku teks berkenaan mahupun menggantikan buku itu,” katanya dalam rakaman video yang disiarkan melalui laman Facebook milik beliau, hari ini.

    Radzi menambah, guru akan merekodkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir dan memastikan usaha menggantikannya dapat dilaksanakan dengan segera.

    Beliau berkata, tindakan itu adalah bagi membolehkan sesi persekolahan yang bermula minggu depan, dapat berjalan dengan teratur dan lancar.

    “Semoga anak-anak yang terjejas dengan banjir dapat mengharungi tempoh sukar ini dan kembali ke sekolah apabila sekolah dibuka semula kelak,” katanya.

  • Tawar khidmat seks melalui media sosial, 6 penuntut IPT warga Afrika ditahan

    Tawar khidmat seks melalui media sosial, 6 penuntut IPT warga Afrika ditahan

    MENAWARKAN khidmat seks menerusi media sosial pada kadar mencecah RM500 hingga RM600 untuk satu malam, itu taktik dikesan digunakan enam wanita warga Afrika dalam kegiatan pelacuran di kondominium mewah di beberapa lokasi di Kuala Lumpur.

    Dalam serbuan yang dijalankan lewat malam tadi di sebuah kondominium mewah, kesemua mereka yang berusia lingkungan 20-an didapati merupakan penuntut di sebuah universiti swasta di sekitar Taman Shamelin Perkasa, di sini dan Subang, Selangor.

    Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata kegiatan pelacuran itu dipercayai beroperasi sejak tahun lepas menggunakan aplikasi WeChat dan Facebook untuk mencari pelanggan.

    Beliau berkata pelanggan perlu meyakinkan bahawa mereka tidak akan membocorkan rahsia kegiatan itu dan setelah diyakini mereka akan dianggap sebagai pelanggan eksklusif sekali gus menjadi pelanggan tetap. 

    “Kegiatan ini dijalankan di lokasi berbeza bergantung kepada permintaan pelanggan setempat dan dianggarkan mereka memperoleh RM7,000 sebulan,” katanya kepada pemberita selepas serbuan itu.

    Khairul Dzaimee berkata hasil siasatan mendapati lima wanita berkenaan memasuki negara ini menggunakan pas lawatan pelajar manakala seorang lagi menggunakan pas lawatan sosial. 

    Beliau berkata serbuan itu turut menahan tiga lelaki warga Afrika dan seorang lelaki tempatan berusia 30-an dengan kesemuanya dipercayai pelanggan. 

    Katanya kesemua wanita berkenaan akan direman di Depot Imigresen Putrajaya selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. 

    Sementara itu, seorang wanita yang ditahan turut dilihat berpura-pura pengsan dan sakit bagi meraih simpati pihak berkuasa.

    — BERNAMA

  • Lelaki ‘panas baran’ pukul teman wanita hingga bayi dalam kandungan mati

    Lelaki ‘panas baran’ pukul teman wanita hingga bayi dalam kandungan mati

    SEORANG lelaki ‘panas baran’ dipenjara seumur hidup oleh Mahkamah Bournemouth Crown selepas dia didapati bersalah membunuh bayi yang masih dalam kandungan teman wanitanya pada 29 Mei 2020.

    Dailymail.com melaporkan, Asa Davison, 35 tahun yang mendapati Isabelle Irish hamil bayi hasil hubungan dengan lelaki lain menyerang wanita tersebut dengan menumbuk dan menendang bahagian perut serta menyeretnya di atas jalan raya.

    Lelaki berusia 35 tahun itu berbuat demikian dengan niat untuk menggugurkan kandungan Irish yang berusia 7 bulan.

    Bagaimanapun Iris berjaya melepaskan diri dan bersembunyi di belakang sebuah rumah di mana dia ditemui oleh pemilik rumah tersebut yang kemudiannya menghubungi pihak polis.

    Ketika pemeriksaan imbasan ultrasound dijalankan ke atas kandungan Iris, doktor mendapati tiada lagi degupan jantung walaupun sebelum ini bayi itu sihat.

    Hakim Mahkamah Nournemouth, Johannah Cutts menyifatkan Davison merupakan individu yang “sangat berbahaya” kepada golongan wanita dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh paling kurang 12 tahun sebelum boleh dipertimbangkan untuk pelepasan parol.

    “Selama perbicaraan ini, kamu cuba menegaskan bahawa kamu cuba untuk membantu Cik Irish tetapi saya menolak kenyataan itu. Kamu bukannya kesatria di atas kuda. Kamu seorang lelaki yang mempunyai sikap panas baran dan ganas.

    ‘’Saya tidak teragak-agak untuk mendapati kamu bahaya. Tindakan kamu bukan sahaja bertujuan untuk menyebabkan teman wanita kamu cedera parah pada bahagian badan tetapi juga mahu membunuh bayi yang belum lahir,’’ tegas hakim.

    Mahkamah diberitahu, Irish sememangnya sedang mengandung apabila dia mula menjalin hubungan dengan Davison pada awal tahun 2020.

    Walaupun Davidson berkata, mereka boleh meneruskan hubungan selepas bayi itu lahir, namun lelaki itu mempunyai rasa dendam sehingga dia bertindak ganas ke atas Irish.

    Perbuatan ganas pada 29 Mei itu dilihat oleh seorang saksi yang menganggap Davidson menyeret teman wanitanya di atas jalan raya seperti “anjing di hujung tali”.

    Walaupun mengalami detik ‘mengerikan’ itu namu Irish tetap bersama Davidson sebelum pada September 2020 lelaki tersebut menyerang dia sekali lagi.

    Davison didapati bersalah atas 4 tuduhan yang menyebabkan bayi di dalam kandungan terbunuh.