SEMUA pihak harus memberi ruang kepada pihak berkuasa melakukan siasatan sepenuhnya terhadap dakwaan pembelian saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata siasatan berhubung kes itu kini dilakukan pelbagai pihak, antaranya Suruhanjaya Sekuriti selain siasatan dalaman oleh SPRM sendiri, dan ia sekali gus menolak dakwaan beberapa pihak bahawa kerajaan berdiam diri.
“Saya sentiasa dimaklumkan, dan memantau isu berkaitan SPRM, tindakan telah diambil dan gambaran diberikan kerajaan berdiam diri adalah salah. SPRM merupakan suruhanjaya bebas (dan) ada tatacara sendiri kendalikan perkara seperti ini.
“Kita tunggu selesai siasatan, kita tidak boleh ‘jump into conclusion‘ seolah-olah Azam Baki bersalah, kita perlu berlaku adil kepada sesiapa sahaja, selepas selesai siasatan baru ambil tindakan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan dan bakul makanan kepada 206 keluarga mangsa banjir Kota Marudu, Sabah, hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu. – Bernama
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mahu mangsa banjir yang diuji dengan bencana alam itu agar terus bersabar.
Titah nasihat Sultan Ibrahim itu sekali gus menaikkan semangat mangsa banjir yang ditemui baginda di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng, hari ini.
Menurut Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md. Ali, Sultan Johor bertitah sedemikian selain mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada dan menjaga kesihatan, lapor Astro Awani.
“Alhamdulillah, Yang Maha Mulia Tuanku berikan semangat, memberikan harapan kepada rakyat supaya sentiasa menjaga kesihatan, berwaspada dan sabar… yang penting sabar yang Tuanku titah, Alhamdulillah mangsa-mangsa dalam keadaan baik,” kata Nasri.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Sultan Ibrahim ke PPS itu, hari ini .
Terdahulu, Sultan Ibrahim yang tiba di pekarangan SMK Yong Peng pada pukul 11.20 pagi meluangkan masa kira-kira 20 minit bagi mendengar taklimat berkaitan banjir di Batu Pahat dan melihat sendiri keadaan mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan.
Sultan Ibrahim turut berkenan menyampaikan makanan untuk juadah makan tengah hari kepada mangsa yang terlibat selain mengurniakan sumbangan kewangan.
Turut hadir Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.
Sejak Isnin lalu, dua PPS dibuka di daerah Batu Pahat dengan keseluruhan 74 mangsa terdiri daripada 21 keluarga dipindahkan setakat ini.
PPS SMK Yong Peng yang dibuka pada pukul 9 malam Isnin lalu menempatkan 54 mangsa daripada 18 keluarga penduduk Kampung Batu 1, Jalan Labis, Kampung Temehel, Sungai Sedi dan Kampung Paya.
Sementara PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sejati dibuka pada pukul 4 petang semalam dan menempatkan 20 mangsa daripada tiga keluarga Kampung Parit Lapis Basri.
ENAM Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) menyifatkan kenyataan yang dibuat Pengerusinya, Tan Sri Abu Zahar Ujang pada Rabu lalu adalah pandangan peribadinya dan tidak mewakili mereka.
Mereka adalah adalah Tan Sri Ismail Omar, Datuk Seri Azman Ujang, Datuk Seri Akhbar Satar, Datuk Hamzah Kassim, Datuk David Chua Kok Tee dan Prof. Datuk Mohammad Agus Yusoff.
Menerusi satu kenyataan bersama-sama, enam ahli LPPR itu juga menegaskan, mereka pada mesyuarat itu atau pada bila-bila masa selepas itu tidak pernah menyatakan pendapat seperti yang dinyatakan Abu Zahar.
Sebaliknya, mereka mengemukakan cadangan berasingan susulan dakwaan pemilikan saham dengan jumlah melampau berkait Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
“Sebelum sidang media itu, anggota LPPR mengadakan perbincangan berasingan dengan Abu Zahar dan mencadangkan supaya perkara itu dirujuk selanjutnya kepada mana-mana panel dan jawatankuasa berikut:
i) sebuah Jawatankuasa Bebas; ii) Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah; iii) Panel Aduan SPRM.
“Bagaimanapun, pandangan dan cadangan kami tidak dibangkitkan pada sidang media Abu Zahar itu,” memetik kenyataan enam ahli LPPR yang dikeluarkan hari ini, lapor Astro Awani.
Mengikut rekod SPRM, terdapat tujuh anggota LPPR termasuk Abu Zahar yang juga Pengerusinya.
Mengulas lanjut, enam individu itu menegaskan, LPPR tiada kuasa penyiasatan susulan penubuhannya adalah sebagai Lembaga Penasihat.
Malah, mereka menjelaskan bahawa mereka perlu memberi penjelasan menerusi kenyataan bersama tersebut bagi menjaga integriti LPPR serta institusi tersebut.
Abu Zahar dalam sidang medianya pada Rabu lalu mengakui berpuas hati dengan kenyataan yang dibuat Azam berkenaan isu pemegangan saham dengan jumlah melampau.
Selain menyifatkan Azam tiada kepentingan kewangan (pecuniary) atau benefisial (beneficial) bagi pembelian atau pemilikan saham berkenaan, Abu Zahar berkata akaun saham Azam digunakan oleh adiknya, Nasir Baki dan ia dilakukan di pasaran terbuka sekali gus tiada percanggahan kepentingan.
CUBAAN dua lelaki tempatan menyeludup masuk 50 ekor kambing bernilai RM30,000 dari negara jiran di Jalan Repek-Lubok Jong, Pasir Mas hari ini gagal apabila ditahan polis.
Kedua-dua lelaki berusia 22 dan 29 tahun itu ditahan semasa anggotanya melakukan rondaan cegah jenayah.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, semasa melakukan rondaan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas telah terserempak dengan sebuah lori.
“Lori itu dipandu dalam keadaan mencurigakan di Jalan Repek-Lubok Jong dan anggota bertugas terus mengekori dan berjaya memintas lori tersebut bagi tujuan pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan ke atas lori itu telah menjumpai 50 ekor kambing,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, semasa ditahan kedua-dua lelaki itu gagal mengemukakan dokumen berkait dengan pemindahan haiwan ternakan tersebut.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, namun hasil saringan ujian air kencing mendapati mereka negatif dan bebas daripada pengaruh dadah,” ujarnya.
Menurutnya, hasil siasatan awal kedua-duanya mengaku terlibat dengan aktiviti penyeludupan kambing dari negara jiran.
Katanya, kesemua haiwan ternakan itu telah diambil di kawasan tepi sungai Kampung Kubang Pak Hitam, Meranti untuk dihantar ke kandang yang terletak di belakang Taman Tengku Anis, Lubok Jong.
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang mendapatkan maklumat lengkap mengenai kerosakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin, Serian, Sarawak yang terbabit dalam kebakaran awal pagi tadi.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, tindakan susulan segera akan diambil mengenai insiden itu.
“Insya-Allah, kami akan ikhtiarkan yang terbaik untuk warga SMK Balai Ringin.
“Saya dimaklumkan, kebakaran itu turut melibatkan bilik guru dan blok pentadbiran. Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa dilaporkan bagi kejadian tersebut,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.
Tambahnya, beliau pernah melawat sekolah berkenaan ketika kunjungan ke Sri Aman, tahun lalu.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku kira-kira pukul 3.04 pagi dan telah memusnahkan blok pentadbiran bilik guru di tingkat atas bangunan.
Sekolah yang terletak di Kilometer 93, Jalan Kuching – Sri Aman itu memiliki lebih 1,700 pelajar dan sekitar 100 guru.
BENCANA banjir di berapa negeri baru-baru ini telah memberikan kesan buruk kepada mereka yang terkena musibah tersebut. Di Johor, banjir masih lagi berlaku dan masih tidak surut lagi.
Ada mangsa banjir yang mengalami kerugian RM1,000, malah ada yang rugi RM100,000 sehingga lebih RM1 juta ringgit. Mana tidaknya, ada kereta-kereta yang bernilai lebih RM1 juta juga ditenggelami air dan lumpur.
Jika hendak dituding kesalahan dan angkara siapakah musibah bencana kali ini, memang ramailah yang akan dipersalahkan.
Namun, bukan mereka sahaja yang bermasalah, ada juga pihak lain yang mengambil kesempatan untuk menekan masyarakat yang sedang kepeningan menghadapi musibah ini.
Baru-baru ini, gegak gempita dalam media sosial dengan invois-invois daripada beberapa bengkel yang mencecah puluhan ribu ringgit untuk membaiki kereta-kereta yang ditenggelami banjir.
Malah, ada yang tergamak menggelarkan bengkel-bengkel tersebut sebagai ‘bengkel dari neraka’.
Bagi menjawab isu tersebut, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel, pengasas bersama Scrut Auto iaitu bengkel membaiki dan servis kereta di Jalan Ampang, Kuala Lumpur berkata, mungkin benar kejadian seperti itu berlaku kerana sifat tamak dan suka mengambil kesempatan itu sentiasa ada dalam jiwa manusia.
Menurut beliau, lebih-lebih lagi ketika musim banjir kali ini, ekoran terlalu banyak tempat yang dinaiki yang terlibat.
Kebanyakan bengkel di Lembah Klang penuh dan difahamkan masih banyak kereta yang rosak akibat banjir belum ditarik untuk dibaiki.
“Mangsa banjir yang hendak menghantar kereta-kereta mereka yang telah terjejas hendaklah terlebih dahulu menghubungi bengkel-bengkel yang mereka kenali terlebih dahulu, dapatkan slot pemeriksaan dan anggaran harga (sebut harga).
“Jangan terus hantar, kerana kebanyak bengkel sekarang penuh. Pastikan setelah diperiksa, sebut harga diberikan. Jika tidak setuju, rasa mahal, bawa pulang semula kerena anda.”
“Biasa terjadi hal-hal sebegitu adalah disebabkan kecuaian kita sendiri yang bersifat tidak kisah. Seperti kata-kata, ‘buat je apa yang patut, nanti saya bayar.’ Tanpa meminta sebut harga dulu. Untuk pengetahuan, setiap kereta berbeza harga alat ganti dan kos penyelenggaraan,” katanya, baru-baru ini.
Seorang mekanik di Scrut Auto tekun membaiki kenderaan milik pelanggan.
Nik Muhammad Izwan juga menyarankan, kereta yang rosak kerana banjir hendaklah dihantar kepada bengkel secepat mungkin bagi mengelakkan kos pembaikan melambung setelah lumpur yang ada di dalam kereta menjadi keras dan menyukarkan pembaikan.
Sementara itu, seorang lagi pengasas Scrut Auto, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin memberitahu, pihak bengkel juga harus bijak memilih pelanggan.
Beliau menambah, jika pelanggan tidak mampu membayar, kerugian akan berlaku kepada pihak pengusaha bengkel pula.
Sebagai contoh, kata Ahmad Aliff, di Scrut Auto, mereka memberi keutamaan kepada pelanggan yang mereka kenali, kemudian barulah pelanggan baharu jika ada slot kosong.
“Tidak mustahil ada pengusaha bengkel yang hendak mengambil kesempatan ke atas musibah banjir kali ini, maka penggunalah yang harus bertindak bijak. Pilih bengkel yang telah dikenali, dapatkan sebut harga sebelum bersetuju dan pastikan jangan menggunakan khidmat broker!
“Setiap bengkel ada kadar harga mereka sendiri. Kalau di Scrut Auto, kami menekankan kualiti dan servis terbaik. Bukan ala kadar. ‘You pay peanut, you get monkey’ itu slogan kami di sini.
“Tetapi, kami akan memberikan sebut harga setelah kerosakan dianggarkan, diagnosis dibuat. Jika tidak bersetuju. Hanya bayar kos pemeriksaan dan diagnosis sahaja, kemudian boleh dibawa kereta anda ke bengkel lain. Begitulah praktis kami di sini,” jelasnya.
Mereka berdua bersependapat, para pengguna perlu bijak menguruskan musibah ini dan jangan membuat keputusan tergesa-gesa.
Pada masa yang sama pengusaha bengkel juga dinasihatkan tidak bersikap tamak dan cuba mengambil kesempatan. Jika pelanggan tidak mampu bayar, bagaimana?
Semalam, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz turut berkongsi dalam ciapan Twitter miliknya tentang insentif kerajaan bagi meringankan beban pemilik kenderaan yang rosak akibat bencana banjir.
Menurut beliau, pemilik kenderaan terbabit boleh memohon Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian.
Selain itu, mereka layak menerima diskaun sehingga 50 peratus bagi kerja pembaikan oleh hampir 20 syarikat automotif dengan rangkaian lebih 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara.
SEORANG lelaki meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan lapan kenderaan di Kilometer 229.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di Taiping malam tadi.
Kejadian pada pukul 12 tengah malam itu mengorbankan Muhammad Syahmi Ishak, 21, yang maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa melanggar bahagian belakang sebuah lori.
Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan kereta mangsa hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar tembok batu penghadang jalan di sebelah kanan dan terhenti di lorong kanan.
“Keadaan itu menyebabkan sebuah kereta jenis Honda Accord dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun di lorong kanan telah melanggar kereta mangsa sebelum berpusing dan melanggar sebuah ambulans yang bergerak di lorong kiri.
“Empat buah kenderaan lain iaitu Volkswagen, Perodua Axia, Honda City dan Honda Civic yang berada di lorong kanan turut bergesel dengan kenderaan mangsa namun pada waktu berbeza,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Osman berkata, mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala tujuh pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga.
“Kenderaan terlibat telah dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
TULAR kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun tersepit kaki pada eskalator di sebuah pasar raya di Kota Bahru semalam.
Dalam kejadiain pada pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa cedera pada jari kelingking dan tengah kaki kirinya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, mangsa sebelum itu bersamasama- bapanya yang berusia 36 tahun ke pasar raya berkenaan dan menaiki tangga bergerak tersebut.
“Mereka dari aras bawah ke tingkat satu bangunan dan semasa menaiki tangga bergerak tersebut, kaki anaknya tiba-tiba tersepit pada bahagian hujung tangga berkenaan.
“Mangsa dibantu pihak teknikal pasar raya dan orang awam yang menghentikan tangga tersebut sebelum dapat mengeluarkan kaki kanak-kanak itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk rawatan.
“Kami menerima laporan polis yang dibuat oleh bapa kanak-kanak itu pada pukul 5 petang semalam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai dan ibu bapa supaya berhati-hati serta mengawasi anak-anak kecik yang menggunakan eskalator.
Rakaman video kejadian itu turut tular di laman sosial sejak semalam.
SEORANG lelaki Orang Asli maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau dekat Pos Bihai, di sini, jam 9 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata mangsa dikenali sebagai Anek Bin Along berusia 59 tahun.
Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.30 tengah hari daripada kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dan maklumat itu kemudiannya disahkan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
“Berdasarkan maklumat yang diterima kejadian berlaku ketika mangsa keluar membuang air kecil di belakang rumah manakala anak perempuannya sedang menumbuk padi di belakang rumahnya kira-kira pukul 9.10 pagi.
“Ketika itu anak mangsa mendapati bapanya telah tiada dan setelah dipanggil beberapa kali dan mencari di belakang rumah didapati ada kesan darah pada daun-daun pokok berdekatan sebelum memanggil orang kampung untuk mencari bapanya di kawasan hutan dan telah ternampak seekor harimau berdekatan mayat mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sik berkata penduduk dilaporkan telah membaling lembing ke arah harimau tersebut dan dipercayai terkena di bahagian muka menyebabkan haiwan itu melarikan diri.
Beliau berkata sepasukan anggota daripada Balai Polis Gua Musang telah ke tempat kejadian pada jam 5.40 petang, bagi membawa keluar mayat mangsa dan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani ketika dihubungi berkata harimau belang jantan berusia tiga tahun seberat 120 kilogram (kg) berjaya ditembak mati, selepas cuba menyerang anggotanya yang membuat pencarian di kawasan hutan tempat kejadian pada jam 12.15 tengah hari.
Katanya tindakan itu terpaksa dijalankan berikutan harimau belang berkenaan telah meluru ke arah pasukan tangkapan jabatan itu.
“Tindakan ini juga bersesuaian dengan Seksyen 52, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) kerana hidupan liar berkenaan berbahaya kepada nyawa manusia,” katanya.
SEORANG veteran tentera British tidak menyangka tetamu yang datang menyantuni beliau di rumahnya di Taman Bijaya di Klang hari ini adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz susulan ketiadaan protokol ketika kunjungan itu.
Abdul Aziz Mohd Amin, 83, berkata Ikmal Hisham yang datang seorang diri secara bersahaja ramah menyapa beliau dan isterinya Nor Azian Abd Wahab, 76, sebelum meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama mereka.
“Memang saya sudah dimaklumkan Timbalan Menteri Pertahanan akan datang ke rumah tapi saya tak sangka orang yang saya leka bersembang itu adalah beliau.
“Beliau juga bercerita tentang keadaan banjir di Kelantan dan Hulu Langat, tempat yang beliau tinjau sebelum ini sambil tidak putus-putus bertanyakan khabar saya terutama kenapa saya berkerusi roda.
“Bila menteri datang rumah kita, sudah tentu kita suka. Orang masih ingat pada kita dan dalam ramai-ramai, kita yang terpilih untuk mereka kunjungi,” katanya pada Bernama di rumahnya hari ini.
Lawatan itu adalah sempena program Cakna Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut disertai pegawai kanan ATM termasuk Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.
Program itu adalah antara inisiatif Kementerian Pertahanan melalui JHEV ATM bagi menjaga kebajikan veteran yang terkesan akibat banjir.
Menurut JHEV, seramai 244 veteran ATM terjejas akibat bencana banjir di Selangor dan 46 orang daripada mereka adalah di daerah Klang.
Ikmal Hisham juga berkata pada tahun lepas, sejumlah 531 mangsa banjir dibantu dengan peruntukan sebanyak RM265,000. – BERNAMA