Category: Semasa

  • Pengarah Urusan syarikat, jurutera ditahan SPRM kemuka tuntutan palsu

    Pengarah Urusan syarikat, jurutera ditahan SPRM kemuka tuntutan palsu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang pengarah urusan sebuah syarikat dan seorang jurutera profesional bagi membantu siasatan kerana mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM250,000 bagi projek pembinaan jambatan sementara di Segamat.

    Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki yang masing-masing berusia 52 dan 41 itu ditahan pejabat SPRM Johor Bahru, Johor Bahru sekitar pukul 7 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

    Pada 2016 hingga 2020, kedua-dua suspek bersubahat dalam mengemukakan dan memperakukan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan di Segamat bagi projek pembinaan jambatan sementara bernilai lebih RM4 juta, sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

    Kedua-kedua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, pagi ini, bagi mendapatkan permohonan reman.

    Majistret Nurmardiana Mamat membenarkan tempoh reman selam enam hari bermula hari ini hingga 15 Januari.

  • Keputusan penjarakan saf bukan dibuat-buat- Menteri agama

    Keputusan penjarakan saf bukan dibuat-buat- Menteri agama

    KEPUTUSAN penjarakan saf solat bukan ‘saja-saja’ dibuat oleh kerajaan sebaliknya diputuskan pihak berkuasa agama negeri setelah mengambil kira pandangan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan ulama ketika negara masih berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata adalah menjadi hasrat untuk merapatkan kembali saf solat berjemaah di Malaysia namun akur dan menghormati keputusan bidang kuasa agama negeri-negeri dengan mengambil kira situasi semasa.

    “Kalau kita ingin rapat saf, keputusan yang dibuat bukanlah saja-saja dibuat sebaliknya dah diputuskan oleh orang agama, ulama, KKM dan sebagainya. Kita juga kena rujuk kepada bidang kuasa agama negeri dan sekiranya dibenarkan KKM dan semua itu bergantung kepada keputusan mereka dan semua kena hormat.

    “Di Arab Saudi pun mereka terpaksa melakukan penjarakan semula saf solat kerana tentu ada sebab tertentu dan insya-Allah kita akan bincang semula perkara itu dari semasa ke semasa apabila diperlukan,” katanya selepas merasmikan pecah tanah bangunan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Bestari di sini hari ini.

    Beliau mengulas langkah beberapa negeri termasuk Perlis yang kembali merapatkan saf di masjid dan surau manakala Johor pula memendekkan jarak ditetapkan menerusi prosedur operasi standard (SOP).

    Dalam perkembagan lain, Idris berkata beliau akan membuat pertemuan dengan pengendali umrah susulan tindakan kerajaan menangguhkan perjalanan umrah ke Arab Saudi selama sebulan berkuat kuasa semalam.

    Katanya, walaupun pelaksanaan ibadah umrah adalah bidang kuasa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) namun pihaknya sedia berbincang mengenai masalah dihadapi pengendali umrah.

    “Boleh bincang dengan saya dan insya-Allah pegawai saya akan aturkan tarikh sesuai dalam masa terdekat,” katanya.

    Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk menangguhkan sementara perjalanan umrah bagi tempoh sebulan berkuat kuasa semalam bagi memberi laluan kepada proses penilaian risiko dan penelitian terhadap beberapa perkara termasuk SOP.

    — BERNAMA

  • ’Salurkan segera bantuan kepada mangsa banjir’’ – Muhyiddin

    ’Salurkan segera bantuan kepada mangsa banjir’’ – Muhyiddin

    PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi berharap segala bantuan kepada mangsa banjir hendaklah disalurkan secepat mungkin.

    Katanya, golongan itu sangat memerlukannya lebih-lebih lagi menjelang Thaipiusam dan Tahu Baru Cina tidak lama lagi.

    ‘’ Pastinya bantuan ini sedikit sebanyak memberi sinar kegembiraan kepada mereka yang akan merayakannya,’’ katanya dalam kenyataan melalui Facebook beliau mala mini.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, apa  yang menjadi harapan mangsa-mangsa banjir  adalah bantuan pasca banjir dapat diteruskan selepas musibah berakhir.

    ‘’Bantuan yang diperlukan termasuklah kerja-kerja membersihkan rumah, membaiki kerosakan dan kemusnahan serta menyediakan tempat tinggal sementara bagi mereka yang kehilangan tempat berlindung,’’ katanya.

    Hari ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh meluangkan masa meninjau sembilan Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa banjir dalam Parlimen tersebut.

    PPS tersebut adalah Durian Chondong yang menempatkan 15 keluarga, Felda Sri Jaya (10), Sekolah Agama Penchu (10), SJKC Kung Yu, Kundang Ulu (36), Sek. Agama Bukit Rahmat (21), SK Bukit Rahmat (31), SJKC Pei Eng (34), SMK Sultan Alauddin Riayat Shah 1 (80) dan Dewan Serbaguna Pagoh (31 keluarga).

    Muhyiddin berkata, walaupun keadaan cuaca sudah baik dan tidak lagi hujan, masih ada mangsa banjir yang perlu berlindung di PPS kerana kawasan atau rumah mereka digenangi air.

    ‘’Sepanjang berbual dan menyantuni mereka,  rata-rata melahirkan rasa puas hati dengan kemudahan dan layanan yang diterima ketika berada di pusat penempatan sementara ini.

    Keperluan asas seperti makanan, pakaian serta penjagaan kesihatan terjaga.

    ‘’Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada frontliners, para sukarelawan dan orang perseorangan yang berterusan membantu mangsa banjir ini. Jasa dan sumbangan anda semua sungguh besar nilainya dan tidak terbalas,’’ katanya.

  • Malaysia tidak mampu laksana ‘lockdown’ – Khairy

    Malaysia tidak mampu laksana ‘lockdown’ – Khairy

    MALAYSIA tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat sekiranya melaksanakan lockdown (sekatan pergerakan) untuk mengekang penularan COVID-19.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sebaliknya berkata, strategi kerajaan untuk menyekat penularan wabak tersebut adalah dengan melaksanakan strategi mitigasi.

    “Tidak dinafikan pendekatan China (melaksanakan lockdown) berkesan.

    “Namun strategi mereka iaitu containment (pembendungan) atau ‘zero COVID’ bermaksud total lockdown bila ada hanya tiga kes positif,” kata Khairy menerusi ciapan di Twitter rasmi beliau, hari ini.

    Dalam ciapan itu, Khairy turut menyertakan tangkap layar laporan berita menyebut “Yuzhou : Second Chinese city forced into COVID lockdown” (Yuzhou : Bandar China kedua dikenakan sekatan pergerakan COVID).

    Khairy berkata, Malaysia telah mengurus kes positif dengan berkesan apabila kadar vaksinasi tinggi, selain turut mengingatkan rakyat terus menjaga prosedur operasi standard (SOP) agar kadar kematian, penggunaan unit rawatan rapi dan kemasukan ke hospital dapat dikurangkan.

    Dalam pada itu, Khairy berkata beliau memberi sokongan penuh kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk menjalankan tugas.

    Kenyataan itu sebagai reaksi terhadap kenyataan Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing mempersoalkan latar belakang Dr Noor Hisham sebagai pakar bedah dan bukan daripada bidang kepakaran kesihatan awam. – BERNAMA

  • Tidak boleh bergantung pengeluaran KWSP setiap kali bencana

    Tidak boleh bergantung pengeluaran KWSP setiap kali bencana

    Oleh SITI ALYA NADIAH ISMAIL

    PENGELUARAN i-Citra RM10,000 wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mereka yang terjejas dalam bencana banjir baru-baru ini bukan satu jalan penyelesaian yang baik untuk mangsa-mangsa banjir, kata pakar berkaitan kewangan.

    Naib Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pengeluaran KWSP akan menyebabkan simpanan persaraan pada hari tua berkurang.

    Beliau berkata, purata umur rakyat di negara ini adalah 75 tahun dan sekiranya mereka bersara pada umur 55 tahun, mereka akan mempunyai 20 tahun lagi untuk hidup sebagai pesara.

    “Dalam 20 tahun itu memerlukan RM1,000 untuk keperluan bulanan, maka simpanan mereka kena ada RM240,000. Tapi apa yang berlaku sekarang, secara purata, pencarum KWSP hanya mampu RM42 sahaja sebulan berdasarkan purata simpanan pencarum sekarang,” katanya ketika dihubungi.

    Ahmed Razman berkata, tidak semua pencarum akan menikmati manfaat daripada kebenaran mengeluarkan dana RM10,000 memandangkan lebih kurang 6.1 juta pencarum KWSP mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 pada masa ini.

    Isu pengeluaran khas i-Citra RM10,000 secara sekali keluar itu kembali hangat diperkatakan apabila terdapat beberapa pihak mendesak kerajaan mempertimbangkan pengeluaran itu untuk meringankan beban mereka yang terjejas dalam musibah banjir.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran i-Citra KWSP bagi kali kedua berikutan kerajaan memperuntukkan pelbagai bantuan termasuk kewangan untuk membantu mangsa banjir di seluruh negara.

    Selain bantuan wang ihsan RM1,000, kerajaan turut memberikan baucar tunai bernilai RM500 kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi pembelian barangan elektrik, pemberian diskaun dan baucar tunai RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan dalam banjir dan bantuan tunai sehingga RM5,000 untuk pembaikan rumah yang mengalami kerosakan tidak serius.

    Bagi rumah yang mengalami kerosakan serius, kerajaan akan mengurus baik pulih dengan kos sehingga RM15,000 dan bagi rumah yang musnah, peruntukan sehingga RM56,000 untuk setiap unit rumah yang dibina baharu.

    Selain itu, kerajaan juga bersetuju memberikan wang tunai RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing.

    KWSP dalam kenyataan baru-baru ini pula menyebut skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada tahun 2020, diikuti oleh i-Citra pada Julai 2021, adalah bersifat luar biasa kerana inisiatif itu diperkenalkan semata-mata untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

    Menurut KWSP, walaupun skim pengeluaran itu memberikan sedikit kelegaan kewangan kepada ahli semasa pandemik COVID-19 dan PKP, ia menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP dengan 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000.

    Senada dengan pendapat itu, Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Adilah Azhari berkata, pengeluaran wang simpanan untuk hari tua itu tidak boleh dijadikan sebagai satu kebiasaan untuk dikeluarkan setiap kali dilanda bencana.

    Beliau berkata, rakyat melihat bencana banjir sebagai peluang mengeluarkan wang simpanan KWSP dan sekiranya ia menjadi kebiasaan, pengeluaran itu akan dilakukan secara berterusan menyebabkan simpanan rakyat semakin berkurang pada masa depan.

    “Kalau biasa gunakan peluang untuk keluarkan KWSP itu, nanti umur sudah 60 tahun nak guna bantuan daripada mana lagi kalau sudah tidak ada simpanan dalam KWSP untuk pengeluaran jika sentiasa guna ketika kecemasan.

    “Kita faham orang yang terlibat (banjir), nak (guna) duit untuk teruskan kelangsungan hidup, jadi kalau nak jadikan KWSP satu-satunya punca untuk meneruskan kelangsungan, jika (individu) ada RM1,000 (dalam KWSP) nak bagi RM500? Jumlah itu mungkin boleh beli makanan untuk sebulan kemudian bulan seterusnya kita masih perlukan (duit),” katanya. – BERNAMA

  • Ulama tersohor Pulau Pinang meninggal dunia

    Ulama tersohor Pulau Pinang meninggal dunia

    ULAMA tersohor dan tertua di Pulau Pinang, Datuk Syeikh Maulana Abdullah Abdul Rahman Al Bukhari Al Masyuri meninggal dunia hari ini pada usia 88 tahun.

    Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 11 pagi tadi di kediamannya di Jalan Brani, Georgetown. Berita pemergian agamawan itu di kongsi di laman sosial Facebook hari ini, lapor Astro Awani.

     Allahyarham merupakan bekas imam di Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang semenjak tahun 1972 sehingga 31 Disember 2018. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Makam Noordin, di Masjid Kapitan Keling di Georgetown, selepas solat Asar hari ini.

    Kematian Allahyarham mendapat perhatian dan ucapan takziah daripada pelbagai pihak yang menyifatkan pemergiannya sebagai khabar duka dari bumi Pulau Mutiara itu.

    Turut berkongsi kesedihan dengan berita pemergian ulama itu ialah Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyudin Abdul Rahman.

    “Al-Fatihah. Saya menerima khabar duka hari ini, berita akan pemergian Datuk Sheikh Abdullah Bukhari Al-Hafiz, tokoh yang banyak berjasa dalam perkembangan umat Islam rantau ini.

    “Semoga Allah SWT merahmatinya, menerima segala amalannya dan ditempatkan rohnya di kalangan para solihin,” kata Ahmad Zakiyudin dalam hantaran di laman Facebook.

    Selain itu, berita pemergian Allahyarham turut dikongsi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zulkifli Mohamad Al Bakri.

    Menerusi hantaran Facebook, Zulkifli menyifatkan Allahyarham adalah antara ulama tua Pulau Pinang yang boleh dianggap sebagai mutiara berharga bagi negerinya.

    “Kali terakhir saya menziarahinya dan menyampaikan sumbangan penghargaan kepada beliau adalah pada 9 Ogos 2020 semasa saya masih menjawat jawatan sebagai menteri. Beliau berkhidmat tanpa jemu sebagai Guru Takmir bermula pada tahun 1985 sehingga tahun 2019,” tulis Zulkifli.

    Allahyarham Abdullah Abdul Rahman yang dilahirkan pada 29 Jun 1933 di Jalan Brani, Pulau Pinang lebih dikenali dengan panggilan Syeikh Abdullah Bukhari kerana menjadi rujukan dalam hadis al-Bukhari.

    Beliau memulakan pendidikan awalnya di Madrasah al-Mashoor al-Islami dengan kelulusan 4 Thanawi dan pengkhususan Qismun Takhasasin dan Qismun Muallimun pada tahun 1952.

    Allahyarham memperoleh kelulusan Tahfizul Qurani dari Jamia Misbahul Hudha, Nidur, India pada tahun 1953 selain memperoleh kelulusan Kelas Alim Maurlaui, Nidur, India pada tahun 1958.

    Sepanjang hayatnya, Syeikh Abdullah Bukhari pernah mengajar ilmu Fiqh, Usul Fiqh, Mantiq, Tafsir dan Hadits di Madrasah al-Mashoor, Pulau Pinang pada tahun 1958 sehingga 1979.

    Beliau juga sangat aktif dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat Islam di Pulau Pinang khususnya dan kebolehan memberi ceramah dalam beberapa bahasa seperti bahasa Melayu, bahasa Tamil dan bahasa Arab.

    Allahyarham juga pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah pada tahun 1960. Anugerah yang diterima itu sebagai mengiktiraf sumbangan besar Allahyarham dalam perkembangan syiar Islam di negeri Pulau Pinang.

  • Lindungi Long Tiger, lelaki lembut dipenjara 5 bulan

    Lindungi Long Tiger, lelaki lembut dipenjara 5 bulan

    MAHKAMAH Majistret Sungai Petani hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap seorang lelaki kerana melindungi Abdul Hamim Ab Hamid atau dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang melarikan diri dari Mahkamah Tangkak, Johor pada Disember lepas.

    Majistret Nurul Ainna Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Rusli Mat, 47, yang bekerja sendiri selepas dia mengaku bersalah.

    Mahkamah memerintahkan lelaki berperwatakan wanita itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Dis 2021.

    Rusli didakwa melindungi Abdul Hamim atau Long Tiger dengan niat hendak mengelakkannya daripada ditangkap dan tertuduh mengetahui lelaki itu yang menghadapi pertuduhan di Mahkamah Tangkak pada 15 Dis lepas telah melarikan diri daripada tahanan polis.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat LBS 854A, Kebun Tebu, Jalan Kuala Ketil pada 3.15 petang, 28 Dis.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau dengan denda.

    Berdasarkan fakta kes, Rusli menerima panggilan telefon daripada satu nombor tidak dikenali lebih kurang pukul 10 pagi pada 18 Dis dan individu itu memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Hamim Ab Hamid serta memberitahu ingin menumpang sementara di rumah tertuduh sebelum melarikan diri ke Indonesia.

    Pada 8.45 malam hari sama Abdul Hamim tiba di rumah Rusli dan menumpang di rumah tertuduh selama 11 hari dengan Rusli mengetahui bahawa Abdul Hamim adalah individu yang dikehendaki pihak polis kerana melarikan diri daripada tahanan polis semasa proses perbicaraan di Mahkamah Tangkak.

    Rusli dengan rela hati memberikan kebenaran kepada lelaki beretnik Rohingya berumur 33 tahun itu untuk menyembunyikan diri daripada pihak polis sementara menunggu tekong untuk membawanya ke Indonesia.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Azreem Mamat dan Zulfadzly Hassan manakala Rusli diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Ruzanna Abdul Rahim. – BERNAMA

  • Kereta api tak berhenti di Kuala Gris, KTMB gantung tugas kakitangan

    Kereta api tak berhenti di Kuala Gris, KTMB gantung tugas kakitangan

    KERETAPI Tanah Melayu (KTMB) Berhad menggantung tugas kakitangan yang terlibat dalam kejadian tren Shuttle Timuran No 51 tidak berhenti di Hentian Kuala Gris, Kuala Krai pagi tadi.

    KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan dalam laman Facebook hari ini memaklumkan, siasatan lanjut sedang dijalankan dan tindakan disiplin akan diambil sekiranya berlaku kecuaian oleh kakitangan terbabit dalam insiden itu.

    “KTMB mengesahkan tren Shuttle Timuran No 51 yang berlepas dari Stesen Tumpat pada pukul 4.05 pagi tidak berhenti di Hentian Kuala Gris pada 7.08 pagi.

    “KTMB memandang serius dan berasa kesal dengan kejadian lebih-lebih lagi melibatkan 100 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong yang baru memulakan sesi persekolahan hari ini,” menurut kenyataan itu.

    Justeru, KTMB memohon maaf kepada pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah yang terlibat dan kesal dengan kejadian yang berlaku.

    “Tindakan penambahbaikan akan dilakukan secara berterusan dan KTMB menjamin insiden yang sama tidak akan berulang pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

    Terdahulu, media melaporkan kira-kira 100 pelajar SMK Dabong tidak dapat mengikuti hari pertama persekolahan apabila tren yang menjadi pengangkutan mereka untuk ke sekolah itu tidak berhenti di stesen terbabit. – BERNAMA

  • Kadar tarif baharu elektrik dijamin tidak bebankan rakyat

    Kadar tarif baharu elektrik dijamin tidak bebankan rakyat

    KERAJAAN memberi jaminan tarif baharu elektrik yang akan diumumkan dalam masa terdekat bagi tahun ini sehingga 2024 tidak akan membebankan rakyat, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

    Beliau berkata, tarif baharu itu juga akan memberi manfaat khususnya kepada hampir 85 peratus daripada lapan juta pemilik akaun domestik di seluruh negara.

    “Keadaan negara sekarang yang baru pulih daripada pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi berikutan wabak itu telah menjadi pertimbangan kepada kerajaan dalam menentukan kadar tarif elektrik baharu.

    “Kerajaan telah mengkaji (perkara ini) dan akan membuat pengumuman dalam masa terdekat. Namun saya menjamin ia (tarif elektrik) tidak akan membebankan rakyat khususnya pemilik akaun domestik iaitu akaun rumah,” katanya sambil menambah tarif baharu turut melibatkan akaun industri dan komersial.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, di Kota Bharu, hari ini.

    Terdahulu, beliau turut menyampaikan sumbangan bernilai RM10,000 kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) yang diwakili oleh Bendahari KEMUDI, Nor Fazlina Abdul Rahim.

    Sementara itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, lebih 40,000 Ketua Isi Rumah (KIR) akan memanfaatkan rebat 100 peratus secara sekali beri (one-off) bagi bil elektrik Disember.

    “Inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini dilihat dapat meringankan beban mangsa banjir yang terkesan dalam musibah itu sejak 18 Dis lepas,” katanya.

    Menurutnya, kerajaan kini dalam usaha menggalakkan orang ramai menggunakan peralatan elektrik yang bertaraf empat atau lima bintang untuk menjimatkan tenaga elektrik.

    Beliau berkata, pengguna harus bijak memilih peralatan elektrik yang cekap tenaga yang mempunyai label empat atau lima bintang yang diberikan penarafan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

    “Walaupun harga agak mahal sedikit, tetapi kerajaan kita menggalakkan penggunaan peralatan elektrik kategori ini (empat dan lima bintang) dengan memberikan rebat bernilai RM200 bagi setiap isi rumah.

    “Setakat ini lebih 1,100 pekedai dan peruncit yang telah disenaraikan bagi menebus rebat ini termasuk barang elektrik yang tersenarai yang boleh dilawati menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) Malaysia,” katanya. – BERNAMA

  • Bayaran inisiatif ringankan beban mangsa banjir mula esok

    Bayaran inisiatif ringankan beban mangsa banjir mula esok

    PEMBAYARAN inisiatif bantuan meringankan beban mangsa banjir akan bermula esok, dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) menyalurkan wang itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk diserahkan kepada mereka yang terlibat.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran itu meliputi sumbangan pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500, diskaun baik pulih kenderaan, rebat pembelian barangan elektrik RM500 dan bantuan baik pulih rumah antara RM5,000 hingga RM15,000 bagi kerosakan akibat bencana tersebut.

    “Terdapat tiga kaedah pembayaran iaitu pemberian secara terus dengan menghantar ke rumah, berkumpul di pusat orang ramai seperti dewan dan sebagainya atau dikreditkan terus ke akaun penerima. Kita serahkan kepada pihak daerah untuk berbincang dengan ICU JPM dalam urusan pembayaran.

    “Saya mahu pembayaran ini disegerakan dan jangan disulitkan…jangan ada macam-macam borang yang perlu diisi kerana senarai (mangsa banjir) sudah ada jadi tidak perlu borang. Prinsip kita jangan ada kerenah birokrasi yang susah sebaliknya mudahkah bantuan,” katanya.

    Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 daripada kerajaan Pusat dan RM500 sumbangan kerajaan Pahang kepada 478 mangsa banjir daerah Bera termasuk 45 mangsa banjir gelombang kedua di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera hari ini.

    Beliau berkata, kerja pembaikan rumah rosak yang melibatkan baik pulih kontraktor dilantik, telah mula dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.

    Bagi bantuan baik pulih kenderaan pula, Ismail Sabri berkata pejabat daerah dan tanah juga diminta menyenaraikan bengkel di kawasan terlibat supaya mangsa banjir tidak perlu ‘keluar jauh’ bagi mencari pusat servis kenderaan seperti Proton, Perodua atau jenama lain yang mungkin tidak terdapat dalam kawasan mereka.

    Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, walaupun senarai mangsa banjir sudah ada di tangan pihak menguruskan bantuan, namun jika terdapat individu tercicir, mereka diminta merujuk kepada pejabat daerah, yang juga dipertanggungjawabkan menyiasat jika terdapat unsur penipuan dalam permohonan bantuan.

    “Pegawai daerah boleh menyemak dengan ketua kampung yang tahu dan ada senarai rumah siapa yang ditenggelami air atau siapa yang berpindah ke rumah saudara-mara. Jika di pusat pemindahan sementara (PPS) kita sudah ada senarai (mangsa banjir).

    “Di kampung kita juga ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan mereka juga boleh serahkan nama kepada pegawai daerah. Harap mereka dan ketua kampung akan membantu kerajaan mengenal pasti mangsa yang mengalami bencana ini untuk dibantu sebaiknya,” katanya.

    Sementara itu, Ismail Sabri menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa pelbagai ‘bantuan banjir paling banyak dan cepat diberikan’ itu sebagai tanda-tanda Pilihan Raya Umum (PRU) bakal diadakan dalam masa terdekat.

    “Tak ada kena mengenai dengan PRU. Apabila rakyat susah, itu tanggungjawab dan kewajipan kerajaan membantu. Ini bukan hanya bantuan daripada kerajaan Persekutuan, tapi kerajaan negeri juga banyak memberi bantuan. Contohnya kerajaan Pahang turut memberikan sumbangan tunai.

    “Kita juga terima permohonan beberapa kerajaan negeri yang hendak membantu dalam pembinaan rumah. Kita perlukan bantuan kerana sebagai contoh jika tanah terlibat ialah tanah rizab sungai, kita perlukan kerjasama kerajaan negeri untuk mencari tapak lain supaya tidak risau dilanda banjir setiap tahun,” katanya.

    Mengulas mengenai pembayaran BWI, Perdana Menteri berkata, proses pembayaran di seluruh negara hampir selesai dengan 42,901 ketua isi rumah (KIR) daripada 45,475 atau 94.3 peratus yang berpindah ke PPS sudah menerima wang itu, manakala bagi yang tidak berpindah ke PPS, pembayaran melibatkan 8,631 (KIR) daripada 9,203 atau 93.8 peratus. – BERNAMA