Category: Semasa

  • PRN: Berkempen secara matang – Mufti Kelantan

    PRN: Berkempen secara matang – Mufti Kelantan

    MASYARAKAT Kelantan, khususnya umat Islam diingatkan agar bersikap lebih dewasa dan matang terutamanya dalam tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

    Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata sikap sedemikian bakal mencerminkan peribadi seseorang sekali gus mengelakkan tercetusnya perbalahan dan perpecahan sesama sendiri.

    “Kita telah menempuh beberapa kali pilihan raya, sepatutnya perkara ini mendewasakan kita.

    “Oleh itu, berkempenlah secara matang dan dewasa dan tidak menimbulkan sebarang provokasi. Kalau timbul perbalahan mahupun perpecahan antara masyarakat itu tandanya masih kebudak-budakan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Arafah #QuranHour di Masjid Sultan Muhammad II, di Kota Bharu hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Marhaini Yusoff.

    Mohamad Shukri juga menasihatkan orang ramai agar memilih pemimpin yang akan membawa kebaikan kepada masyarakat dalam PRN yang bakal diadakan.

    “Kita nak pilih pemimpin, pilih mereka yang akan memperkenalkan perkara kebaikan kepada negara dan masyarakat. Jangan pula kita nak menempa kemajuan dan kebaikan tetapi kita melakukan perkara yang bercanggah dengan perkara itu,” katanya.

    Mengulas mengenai majlis berkenaan, Marhaini berkata program Arafah #QuranHour bersempena dengan Hari Arafah merupakan penganjuran kali keenam yang turut diadakan secara serentak di beberapa lokasi berdaftar di Tanah Suci.

    Katanya program yang disertai 700 peserta di Kelantan itu, turut diadakan di 18 lokasi membabitkan lapan negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perak, Selangor dan Pulau Pinang untuk melahirkan ejen perubahan dalam kalangan ummah.

    “Kita juga berharap program ini dapat menjadi program wajib setiap tahun memandangkan ia mampu menjadi pencetus kebangkitan dalam menggerakkan pelbagai projek membina ummah,” katanya.

  • Bapa dipenjara, denda kerana cederakan anak lelaki dengan rotan

    Bapa dipenjara, denda kerana cederakan anak lelaki dengan rotan

    SEORANG bapa dihukum penjara sehari dan didenda RM1,400 oleh Mahkamah Majistret di Muar hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan anak lelakinya dengan rotan, tahun lepas.

    Majistret Analia Kamaruddin menjatuhi hukuman itu terhadap Goh Chiaw Hoe, 36, seorang penganggur, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah, sewaktu sebutan kes hari ini.

    Mahkamah memerintahkan bapa lima anak itu menjalani hukuman penjara tersebut hari ini dan mengarahkan dia dipenjara dua bulan, sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Mengikut pertuduhan, Goh didakwa telah menyebabkan kecederaan ke atas kanak-kanak berusia tujuh tahun ketika kejadian, di Taman Beting di Muar, pada 6 petang, 7 Ogos tahun lepas.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, pada 12.30 tengah hari, 8 Ogos 2022, seorang pegawai perubatan telah menerima seorang pesakit, dibawa oleh gurunya kerana terdapat kecederaan di tangan kiri dan kaki kiri akibat dirotan oleh bapanya, sebelum pegawai perubatan itu membuat laporan di Balai Polis Muar dan menyatakan mangsa telah dipukul.

    Mangsa yang mengalami kecederaan lebam di tangan kiri serta kaki kiri telah dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar dan bapa kanak-kanak itu telah ditangkap untuk siasatan lanjut pada 10 malam, 9 Ogos 2022.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabihah Mohd Noor manakala peguam Tay Chee Fu mewakili tertuduh.

  • Tun M tempelak UMNO anjur Kongres Ekonomi Melayu

    Tun M tempelak UMNO anjur Kongres Ekonomi Melayu

    TUN Dr. Mahathir Mohamad menempelak tindakan UMNO yang mahu mengadakan Kongres Ekonomi Melayu ketika pihaknya berusaha menjayakan gerakan Proklamasi Orang Melayu (POM).

    Bekas Perdana Menteri itu secara sinis berkata, walaupun hasrat dan tindakan parti berkenaan dilihat mahu memperkasakan Melayu, namun duit dan sogokan untuk mendapatkan sokongan pengundi masih menjadi keutamaan.

    “Sekarang baharu mereka teringat nak buat kongres, selama ini mereka hanya teringat nak buat duit.

    “Banyak yang curi duit, mereka guna duit untuk dapat sokongan. Sebab itu dalam pilihan raya mereka perlukan duit yang banyak (untuk) beli bendera, buat sepanduk dan sebagainya serta nak sogok pengundi.

    “Sebab itu kalau mereka berjaya tarik sokongan orang Melayu dan jadi kerajaan sekali lagi, duit kita akan hilang,” katanya pada sidang akhbar khas di Sepang hari ini, lapor Sinar Harian.

    Sebelum ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, Kongres Ekonomi Melayu yang bakal dianjurkan Pemuda dan Puteri UMNO akan lebih bermakna berbanding POM yang diterajui Mahathir.

    Ahmad Zahid berkata, ini kerana Mahathir sudah diberi peluang sebelum ini, namun tidak memanfaatkan sepenuhnya untuk membina ekonomi Melayu malah mengeluh dengan situasi kaum itu apabila tidak lagi menerajui negara.

    Kongres Ekonomi Melayu merupakan antara tujuh agenda yang dipersetujui pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 untuk dilaksanakan parti berkenaan.

  • Pelajar tingkatan lima ditahan bersama heroin bernilai RM40,000

    Pelajar tingkatan lima ditahan bersama heroin bernilai RM40,000

    POLIS menahan seorang remaja berusia 17 tahun serta merampas sejumlah dadah disyaki heroin seberat 74.80 gram bernilai RM40,000, di Pasir Puteh semalam.

    Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Supt Zaizul Rizal Zakaria berkata remaja yang juga pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah menengah di Pasir Puteh, ditahan ketika serbuan dilakukan di tepi jalan di Kampung Lembah Semerak pada 5 petang.

    Beliau berkata ketika intipan dilakukan suspek dilihat sedang duduk di atas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR warna kuning/hitam tanpa nombor pendaftaran di tepi jalan.

    “Suspek bertindak untuk cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah yang membuat serbuan.

    “Hasil pemeriksaan ke atas motosikal suspek telah ditemukan sebanyak 20 botol plastik cerah bertudung kuning yang setiap satu botol berisi serbuk keputihan disyaki dadah jenis heroin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Zaizul Rizal berkata hasil ujian saringan awal polis mendapati suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

    “Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 4 Julai depan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.

  • Pegawai, dua anggota polis antara ditahan positif dadah

    Pegawai, dua anggota polis antara ditahan positif dadah

    SEORANG pegawai polis berpangkat Asisten Superintenden serta dua anggota berpangkat Sarjan dan Koperal antara 152 individu ditahan kerana positif terhadap dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Sungai Padungan, di Kuching, Ahad lepas.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri pada sidang media di Kuching hari ini berkata, ketiga-tiganya yang berusia antara 45 hingga 49 tahun disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas hasil saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

    Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM197,458 selain menyita harta yang dianggarkan bernilai RM1.2 juta.

    Katanya, serbuan pada 1.20 hingga 6 pagi itu memeriksa seramai 204 pengunjung sebelum hasil pemeriksaan mendapati 152 daripadanya positif terhadap dadah.

    “Mereka yang positif dadah ini berusia antara 19 hingga 54 tahun dan disiasat di bawah seksyen sama,” katanya.

  • Bukan Melayu mahu tukar nama Malaysia-Tun M

    Bukan Melayu mahu tukar nama Malaysia-Tun M

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa bahawa terdapat pihak yang mahu menukar nama dan pemilikan Malaysia.

    Beliau mendakwa terdapat percubaan orang dari negara lain untuk mengubah Malaysia daripada tanah Melayu menjadi negara berbilang kaum.

    Mahathir juga mendakwa golongan ini enggan mengiktiraf orang Melayu sebagai pengasas, penduduk tempatan dan pembangun negara.

    “Dan demikianlah angkuhnya mereka yang datang sini, kita yang jadikan mereka warganegara, tetapi warganegara yang datang ini nak tuntut supaya nama negara kita ditukar, dijadikan multiracial country (negara berbilang kaum).

    “Banyak orang berhijrah daripada satu negara ke negara yang lain. Apabila mereka pergi ke negara yang lain, mereka terima negara yang lain itu dan pemiliknya dan mereka meniru hidup seperti orang di negara yang mereka pilih.

    “Tetapi kali ini kita dapati orang yang datang sini, datang ke tanah Melayu, kita sebagai tuan rumah, kita beri hak kepada mereka, kita sekarang ini disuruh tukar nama negara kita,” katanya dalam sidang akhbar di Sepang hari ini.

    Terdahulu, Mahathir membidas sejarah Malaysia dan mendakwa terdapat dua percubaan yang dibuat oleh ‘orang luar’ untuk mengubah negara.

    Beliau menghuraikan secara panjang lebar mengenai latar belakang sejarah Malaysia, dengan tumpuan ketika zaman yang dikenali sebagai Malayan Union semasa pemerintahan penjajah British.

    Mahathir kemudian menyentuh tentang era pasca kemerdekaan, semasa mendiang Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew, yang adalah ketua pembangkang ketika itu menentang kerajaan Malaysia, dengan menganjurkan konsep ‘Malaysian Malaysia’.

    Pada pertengahan 1960-an, istilah ‘Malaysian Malaysia’ diangkat sebagai slogan perhimpunan Konvensyen Solidariti Malaysia untuk memperjuangkan wawasan negara yang lebih egalitarian, mengatasi perpecahan etnik dan mempromosikan hak sama rata untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum atau etnik.

    Ia bertujuan untuk mencabar penekanan yang lazim terhadap etnik Melayu dan keistimewaan khas untuk orang Melayu, seperti yang termaktub dalam dasar tindakan afirmatif Perlembagaan Persekutuan.

    “Kita bernasib baik dalam pilihan raya tahun 1964 cadangan Kuan Yew itu ditolak, cuma seorang saja yang menang, yang lain semua kalah.

    “Dan itu kita berjaya tolak satu lagi percubaan untuk menjadikan tanah Melayu ini sebagai negara berbilang kaum, bukan lagi milik orang Melayu. Akan ada hak sama rata (untuk semua rakyat),” katanya.

    Mahathir juga mendakwa setiap kali orang Melayu bercakap tentang perjuangan bangsa, mereka terus dihentikan dan dilabel sebagai rasis.

    “Saya hairan, di negara kita, kita tak boleh bercakap berkenaan tentang bangsa kita.

    “Oh itu rasis. Orang Melayu rasis kalau cakap pasal Melayu,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

    Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana didakwa terlibat dalam aktiviti yang disifatkan memudaratkan demokrasi berparlimen, berhubung perkara berkaitan Proklamasi Rakyat Melayu yang diterajuinya itu.

    Selain itu, dia juga disiasat berhubung kenyataannya, yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap institusi diraja, apabila menyebut bahawa orang Melayu tidak boleh bergantung kepada raja-raja Melayu untuk melindungi mereka.

  • Guan Eng macam budak-budak – Sanusi

    Guan Eng macam budak-budak – Sanusi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan Pengerusi DAP bersikap seperti budak-budak apabila menuduhnya menggalakkan keganasan kerana mengaitkan peristiwa berkaitan penaklukan ‘Constantinople’ kira-kira 600 tahun lalu dengan Pulau Pinang.

    Malah Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu turut menganggap Guan Eng sebagai seorang yang kelakar kerana membuat tuduhan sedemikian.

    “Lawaklah Guan Eng ini, macam budak-budak. Orang lain buat apa pun, semua dianggap ancaman dan rasanya selepas ini kalau saya makan pun, mungkin beliau akan kata saya nak bagi sihat untuk melawannya.

    “Saya rasa ini satu penyakit di peringkat pimpinan DAP. Orang lain semua tak betul dan mendatangkan ancaman tetapi kita tahu mereka justifikasikan perkara itu dari segi apa.

    “Ucapan saya tentang ‘Constantinople’ itu adalah satu metafora dan ‘Constantinople’ pun tak ada sekarang ini kerana dah jadi Istanbul,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Rasmi Kenderaan Menteri Besar Dan Exco Kepada Kerajaan Negeri Berikutan Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini.

    Menurut Guan Eng, tindakan Muhammad Sanusi itu merupakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan adalah amat berbahaya untuk menjelaskan sesuatu isu dengan menggunakan istilah ‘ala perang’, walaupun seseorang individu itu mendakwa tidak bercakap mengenai penggunaan kekerasan berhubung sesuatu perkara.

    Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, metafora yang sering digunakannya merupakan satu bentuk seni dalam ucapan namun ada pihak yang tidak pandai untuk bercakap dan memahami bahasa Melayu.

    “Saya rasa beliau kena perbetulkanlah banyak perkara sebelum bercakap tentang perkara tidak benar mengenai orang lain. Kena fahamkan dulu bahasa, tentang metafora dan sebagainya.

    “Masih ingat lagi dulu beliau metaforakan dirinya sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz? Yang itu tak salah pula sedangkan beliau bukan Islam pun dan akhirnya muncul skandal terowong, beli banglo serta isu tanah di Kampung Manggis,” katanya.

    Dalam pada itu katanya, sikap ditunjukkan Guan Eng itulah sebenarnya yang berbahaya kerana hanya beliau saja boleh berbuat segalanya sedangkan orang lain tak boleh.

    “Ada satu bangsa di dunia ini yang yang bersikap sedemikian dan mereka duduk di Israel. Mereka buat nuklear tak apa tetapi orang lain tak boleh, jenis macam itu.

    “Nanti ‘depa’ kata saya samakan Guan Eng dengan Israel pula tetapi yang saya maksudkan perangai. Metaforanya semua benda nak ‘riau’ (merengek) orang salah, tetapi dia buat boleh dan ‘hangpa’ nak sokong lagi orang macam itu?” katanya.

  • Kerajaan mungkin akur saman pencen oleh bekas hakim

    Kerajaan mungkin akur saman pencen oleh bekas hakim

    KERAJAAN berkemungkinan akur dengan dua saman dikemukakan hakim bersara dan tanggungan mereka berhubung kekurangan dalam pencen yang dibayar, berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang memihak kepada penjawat awam bersara.

    Menurut sumber, prinsip undang-undang dibangkitkan oleh panel lima hakim mahkamah tertinggi itu mungkin terpakai dalam kedua-dua saman itu.

    “Tinggi kebarangkalian pihak peguam negara tidak mencabar saman yang kini belum selesai di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan itu,” kata sumber itu, yang enggan namanya disiarkan, lapor FMT.

    Dalam keputusan itu, Hakim Besar Malaya Zabidin Diah berkata, pindaan kepada Seksyen 3(2) Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) yang diluluskan pada 2013 meletakkan bekas penjawat awam dalam ‘kedudukan yang kurang baik’ berhubung hak mereka dalam kenaikan pencen.

    Menolak rayuan ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan, panel hakim mengisytiharkan pindaan yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2013 itu terbatal dan tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

    Mahkamah Persekutuan kemudiannya memerintahkan Seksyen 3 Akta Pelarasan Pencen 1980 yang asal dikembalikan.

    Pesara Aminah Ahmad dan 56 individu lain memulakan saman pada 2017 tetapi kalah di Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu.

    Mengikut skim lama, pencen pesara kerajaan disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred itu.

    Bagaimanapun, pada 2013, satu skim baharu diperkenalkan berdasarkan kenaikan tahunan pada kadar rata 2%.

    Awal tahun ini, kerajaan menghadap Mahkamah Rayuan dalam usaha membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan seorang hakim bersara menuntut kekurangan dalam pembayaran pencen yang dibuat kepadanya antara 2015 dan 2022.

    Ian Chin, yang memulakan saman itu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada Februari tahun lepas, memohon beberapa deklarasi, yang dibenarkan.

    Pada 9 Disember 2022, Hakim Leonard David Shim mengisytiharkan Akta Saraan Hakim 2014 yang dipinda tidak sah dan tidak konsisten dengan Perkara 125(7) Perlembagaan.

    Beliau memerintahkan agar Chin diberi pampasan RM301,768.60, iaitu jumlah yang kurang bagi pencen yang dibayar kepadanya antara Julai 2016 dan Februari 2022. Jumlah ini termasuk faedah 5%.

    Sementara itu, kira-kira 30 hakim bersara dan lapan tanggungan memfailkan saman awal tahun lepas, terhadap perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Jemaah Menteri, JPA dan kerajaan kerana gagal memberikan pelarasan sewajarnya bagi pencen mereka.

    Masalah timbul apabila kerajaan membuat semakan gaji pada 2015 untuk hakim, memberikan pencen yang lebih tinggi ditambah kenaikan tahunan 2% bagi mereka yang bersara selepas pindaan akta itu dibuat.

    Bagaimanapun, mereka yang bersara sebelum 2015 terus menerima pencen berdasarkan gaji lama mereka dengan tambahan kenaikan tahunan 2%.

    Plaintif mahukan deklarasi bahawa pindaan itu melanggar peruntukan perlembagaan bahawa saraan hakim dan terma jawatan lain, termasuk hak pencen, tidak boleh diubah kepada sesuatu yang merugikan mereka selepas pelantikan.

    Kes itu kini sedang dibicarakan di hadapan Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

  • Shabery Cheek dilantik Pengerusi baharu Felda

    Shabery Cheek dilantik Pengerusi baharu Felda

    DATUK Seri Ahmad Shabery Cheek diumumkan sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang baharu berkuat kuasa 1 Julai 2023.

    Dalam satu kenyataan, Felda memaklumkan pihaknya optimis bahawa pelantikan Ahmad Shabery akan dapat meneruskan kesinambungan usaha-usaha transformasi Felda yang telah berjalan selama ini.

    Felda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Idris Jusoh yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi Felda pada 30 Jun.

    “Sepanjang tiga tahun perkhidmatan, Tan Sri telah mengangkat Felda kembali gemilang dengan pelbagai kejayaan yang dikecapi oleh agensi ini serta warga peneroka Felda.

    “Antara kejayaan yang paling besar ialah peningkatan produktiviti ladang peneroka yang meningkat lebih dua tan perhektar setahun daripada 17.29 tan perhektar pada tahun 2021 kepada 19.43 tan perhektar pada tahun 2022.

    “Peningkatan hasil ini secara langsung turut meningkatkan pendapatan warga peneroka,” kata kenyataan tersebut, lapor Astro AWANI.

    Idris juga, kata kenyataan itu telah membawa paradigma baharu yang menyokong komuniti peneroka menjadi komuniti yang memberi berbanding menerima.

  • Dua anggota polis antara empat individu didakwa rompak libatkan jutaan ringgit

    Dua anggota polis antara empat individu didakwa rompak libatkan jutaan ringgit

    DUA anggota polis yang bertugas di Bukit Aman antara empat individu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan merompak seorang lelaki membabitkan nilai jutaan ringgit di sebuah kondominium.

    Dua sarjan iaitu Ahmad Shahrizan Ab Rahman, 42, dari Bahagian Risikan, Operasi, Rekod Jenayah (D4) dan Mohamad Shawal Chekman, 40, dari E9 Cawangan Khas serta Khairul Anwar Ahmad, 40, dan Muhammad Firdaus Zainal, 27, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

    Empat lelaki itu didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan ke atas Mohammad Syafiq Hazane Dzulfikri, 25, di Irama Wangsa Kondominium, Seksyen 10, Wangsa Maju, pada 8.30 malam, 25 Mei lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip berkata pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

    “Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, saya mencadangkan setiap tertuduh dijamin RM50,000 dengan seorang penjamin kerana ia membabitkan nilai rompakan jutaan ringgit,” kata Nidzuwan.

    Peguam Mohamed Yazzer Azzad Zainudin, yang mewakili dua anggota polis itu memohon agar mahkamah membenarkan kedua-dua anak guamnya diikat jamin dengan jumlah yang rendah.

    “Tertuduh pertama, iaitu Ahmad Shahrizan adalah anggota polis D4 yang bertugas di Bukit Aman. Dia yang telah bercerai dan kini menanggung empat anak telah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia selama 16 tahun dan berpendapatan RM3,000 sebulan.

    “Anak guam saya juga pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang pada 2009 dan 2018,” katanya.

    Mohamed Yazzer berkata Mohammad Shawal pula yang merupakan anggota polis bertugas di E9 Cawangan Khas menanggung empat anak dan pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang pada 2021.

    Sementara itu, peguam Mohamad Rohan Mohamad Razi mewakili dua lagi tertuduh memohon kedua-dua anak guamnya diikat jamin RM3,000.

    Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 31 Julai ini.